Tuesday, March 1, 2011

1.5j saman selesai dalam seminggu

Kosmo! Online - Terkini: "
01/03/2011 8:47pm

KUALA LUMPUR — Sebanyak 1.5 juta saman diselesaikan pesalah trafik dalam tempoh seminggu sehingga tengah malam tadi, iaitu tarikh akhir diskaun yang ditawarkan polis.

Bagaimanapun, Ketua Trafik Pasukan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof berkata, masih ada 17.3 juta saman belum dibayar.

'Jadi untuk pemandu yang belum menyelesaikan saman, mereka telah disenarai hitam berkuat kuasa hari ini,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Abdul Aziz berkata, daripada 49.4 juta saman dikeluarkan bagi tempoh tahun 2000 hingga sekarang, hanya 65 peratus atau 31.9 juta saman dijelaskan.

Sebanyak 5.5 juta saman dibayar sepanjang tempoh diskaun iaitu bermula 12 Ogos lepas sehingga tengah malam tadi, katanya. — Bernama"

Britain anggap 'sudah masa Gaddafi undur'

Kuasa besar dunia bincang langkah lanjut atas Libya
LONDON: Perdana Menteri Britain, Encik David Cameron, kelmarin memberitahu pemimpin Libya, Encik Muammar Gaddafi, bahawa 'sudah masa untuk berundur' sambil berkata beliau sudah tidak ada peranan lagi dalam masa depan negara itu.
Menteri-menteri luar kuasa-kuasa besar pula berhimpun di Geneva semalam bagi membincangkan langkah lanjut untuk menamatkan pertumpahan darah di Libya.Bercakap selepas misi Britain yang berjaya mengeluarkan 150 rakyatnya dari negara padang pasir itu, Encik Cameron berkata:'Semua ini memberi isyarat jelas kepada rejim: sudah masanya bagi Gaddafi undur dan beliau harus pergi sekarang. Beliau sudah tidak ada tempat dalam masa depan Libya.'Britain kelmarin membekukan semua aset Encik Gaddafi dan keluarganya di Britain dan menarik balik kekebalan diplomatik pemimpin itu.Sebelum itu, Menteri Kewangan Britain, Encik George Osborne, dalam satu kenyataan, berkata keputusan itu diambil bagi memastikan aset- aset itu 'tidak boleh digunakan untuk menganiaya rakyat Libya'.Kuasa-kuasa besar berhimpun di Geneva semalam turut membincangkan tindakan ke atas Encik Gaddafi atas apa yang mereka sifatkan sebagai jenayah ke atas kemanusiaan itu.Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Cik Hillary Clinton; Menteri Luar Russia, Encik Sergei Lavrov; dan rakan-rakan sejawatan mereka dari Britain, Perancis, Jerman, Kesatuan Eropah (EU) dan Italy dijangka bercakap dalam satu sesi Majlis Hak Asasi Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di bandar Switzerland itu.Menteri beberapa negara yang telah mengalami pemberontakan atau bantahan, termasuk Mesir, Jordan dan Tunisia, juga dijangka bercakap kepada badan 47 ahli itu.Majlis itu, perhimpunan tertinggi hak asasi badan, memutuskan Jumaat lalu untuk menyokong satu resolusi diketuai EU bagi mengeluarkan Libya daripada badan tersebut.Ia juga melancarkan satu penyiasatan ke atas 'keganasan tersusun' di Libya, yang boleh menjadi 'satu jenayah kemanusiaan', setelah 1,000 orang dilaporkan maut dalam langkah pemerintah menamatkan pemberontakan itu.Majlis Keselamatan PBB Sabtu lalu juga mengundi sebulat suara menyokong sekatan ke atas Libya dan merujukkan negara itu kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa.Kumpulan hak asasi mengalu-alukan tindakan itu tetapi mereka juga menggesa dunia agar memastikan orang awam di Libya terlindung.Pemberontak di Libya telah menubuhkan satu 'majlis nasional' peralihan di beberapa bandar Ahad lalu dan menyeru agar pihak tentera membantu mereka menguasai Tripoli. -- AFP.Cyberita Online Luar Negara

Penunjuk perasaan mati ditembak di Oman



KEADAAN TEGANG: Para penunjuk perasaan membakar kenderaan semasa bantahan di Sohar kelmarin. -- Foto AFP

MUSCAT: Polis kelmarin menembak mati seorang penunjuk perasaan yang keluar bagi menyatakan bantahan terhadap pemerintahan Sultan Oman, menjadikan negara Arab itu yang terbaru tercetuskan keganasan.
Polis sebelum itu melepaskan tembakan peluru getah ke arah 2,000 penunjuk perasaan yang cuba menyerbu ke sebuah balai polis.Lagi 20 orang dilaporkan cedera, kata Menteri Kesihatan Oman, Encik Ahmed bin Mohammed al-Said, semalam.Tunjuk perasaan tercetus di Sohar, kira-kira 200 kilometer dari barat daya Muscat, yang mendesak Sultan Qaboos bin Said, memulihkan ekonomi dan meningkatkan faedah pekerja di negara itu serta mengatasi pengangguran.Agensi berita ONA berkata, keganasan berlaku sejak subuh Sabtu lalu dan berlarutan kelmarin dengan beberapa kenderaan persendirian dan kerajaan dibakar penunjuk perasaan.Penunjuk perasaan juga membakar kediaman Gabenor Sohar dan sebuah balai polis.Mereka sebahagian besarnya terdiri daripada golongan yang menganggur.Menyusuli pertempuran itu, Sultan Qaboos, yang memerintah Oman sejak 40 tahun lalu, mengarahkan agar 50,000 pekerjaan baru diwujudkan.Beliau juga mengarahkan agar habuan bernilai AS$386 ($492) sebulan diberi kepada setiap pekerja yang menganggur.Sultan Qaboos juga cuba meredakan ketegangan dengan merombak Kabinet melibatkan penukaran enam menteri.Bantahan masih dilaporkan di Sohar semalam dengan penunjuk perasaan dilaporkan membakar sebuah pasar raya.Sementara itu di Tunisia, Perdana Menteri Mohamed Ghannouchi meletak jawatan kelmarin ketika keganasan tercetus di negara Afrika Utara itu.Encik Ghannouchi mengumumkan peletakkan jawatannya di rangkaian televisyen dan radio tempatan sehari selepas empat penunjuk perasaan mati dalam satu pertempuran dengan polis.Encik Ghannouchi, 69 tahun, dikritik hebat kerana kelemahan pimpinannya ketika pemerintahannya bersama Presiden Zine El Abidine Ben Ali, yang tersingkir akibat kebangkitan rakyat.Dalam pada itu, Presiden Perancis, Encik Nicolas Sarkozy, mengisytiharkan sokongan negara itu ke atas penduduk negara Arab yang memberontak menentang 'pemerintah diktator'.Beliau berikrar Paris akan melakukan yang mampu untuk membantu. -- AP, AFP, Reuters.Cyberita Online Luar Negara

Selamat tinggal Libya



 Foto AFP

TRIPOLI (Libya): Orang ramai yang mahu melarikan diri dari Libya menunggu bersama bagasi mereka di sebuah lapangan terbang di ibu kota Tripoli, kelmarin.
Ketua-ketua pemberontakan Libya telah menubuhkan satu 'majlis nasional' peralihan di bandar-bandar yang telah dirampas daripada pemimpin Libya, Encik Muammar Gaddafi, sedang pemimpin-pemimpin dunia menggesa beliau supaya berundur.Selain menawan bandar-bandar di timur dan barat Libya, para pemberontak juga sedang meminta bantuan tentera bagi menakluki ibu kota Tripoli.Namun, di sebalik perkembangan ini, Encik Gaddafi, dalam satu ucapan di televisyen Serbia, berkata bahawa negaranya itu telah kembali aman dan beliau turut mengatakan bahawa sekatan-sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dikenakan ke atas Libya tidak sah.Cyberita Online Luar Negara

Suasana macam zon perang’


Oleh Haika Khazi

2011/03/01

Jurutera Malaysia trauma lihat polis Libya belasah penunjuk perasaan

SEPANG: “Saya tidak dapat melupakan peristiwa ngeri melihat penunjuk perasaan dan warga asing dipukul polis dan tentera Libya sehingga ada yang cedera parah di kepala dan pengsan ketika beratur memasuki terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Tripoli," kata jurutera sebuah syarikat pembinaan Malaysia yang berpangkalan di Libya, Shahrizal Zulkifli, 33.

Beliau yang menceritakan detik cemas itu berkata kejadian itu pada Jumaat lalu ketika beliau bersama 130 rakyat Malaysia serta rakyat negara lain beratur untuk memasuki terminal kerana mahu keluar dari negara bergolak itu berikutan rusuhan semakin memuncak.
“Lapangan Terbang Antarabangsa Tripoli menjadi seperti zon perang apabila polis dan tentera Libya mula memukul penunjuk perasaan dan warga asing yang tidak mempunyai tiket penerbangan tetapi mahu meninggalkan negara berkenaan sehingga ada di kalangan mereka berdarah di kepala, pengsan dan terpaksa dibawa ke hospital dengan ambulans,” katanya ketika ditemui sejurus tiba dengan pesawat sewa khas Penerbangan Malaysia (MAS) MH0015, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, jam 6.22 pagi semalam.
Shahrizal berkata, walaupun beliau bekerja di kawasan jauh dari lokasi rusuhan dan bandar, dia dapat dengar dengan jelas bunyi tembakan senapang dan letupan ketika rusuhan memuncak di ibu negara Libya.

Kakitangan Ranhill Berhad, P Maveen, 36, berkata walaupun menetap di luar ibu kota Libya, beliau dapat lihat banyak bangunan runtuh dan kelongsong peluru bertaburan di atas jalan ketika mereka mahu meninggalkan Tripoli Jumaat lalu.

“Saya nampak bangunan ditembak bertalu-talu dan kelongsong peluru bertaburan serta penunjuk perasaan dipukul ketika keluar ke bandar. Ia adalah satu pengalaman yang menakutkan kerana sebelum ini saya hanya mengetahui keadaan rusuhan melalui radio atau televisyen.

“Saya berada di Libya hampir empat tahun kerana bekerja dan berharap keamanan dapat dicapai kerana Libya adalah negara sangat baik untuk bekerja dan melancong. Sebaik saja pesawat tiba di KLIA, hati saya kian tenteram kerana tiada lagi bunyi tembakan,” katanya.
Penuntut Universiti Dakwah Islamiah Libya, Julisah Jamahat, 26, dari Sabah, berkata pihak universiti juga menasihati pelajar supaya memastikan bekalan makanan mencukupi kerana bimbang peniaga menaikkan harga ketika rusuhan berlaku.

“Saya tidak sempat membeli bekalan makanan di kolej kerana penuntut lain sudah berebut-rebut membeli barang keperluan,” katanya.
Berita Harian Online

Rakyat Oman bangkit protes

SOHAR: Rakyat Oman terus menguasai jalan utama di bandar Sohar bagi menuntut kerajaan menangani masalah pengangguran dan melaksanakan reformasi di negara itu.
Bantahan terbuka itu diadakan sehari selepas enam penunjuk perasaan terbunuh gara-gara terkena peluru getah polis.

Protes itu - kebanyakannya disertai penganggur - menghalang laluan di bandar perindustrian penting Oman walaupun kerajaan mengumumkan bantuan baru untuk mereka.

Kerajaan juga memberikan lebih kuasa kepada majlis penasihat yang dilantik.

Protes diadakan di Bulatan Bumi - kawasan persimpangan penting untuk ke Muscat selama tiga hari berturut-turut walaupun polis cuba menyuraikan mereka.


Pihak berkuasa tidak kelihatan semalam selepas sehari sebelum itu berlaku pertembungan berdarah di antara polis dan penunjuk perasaan.

Jurucakap kerajaan mendakwa, hanya seorang terbunuh dalam konfrontasi itu.

Mangsa kedua, katanya, terselamat walaupun peluru getah itu terkena perutnya.

Bagaimanapun, di pihak penunjuk perasaan, mereka mendakwa sekurang-kurangnya enam terbunuh.

Agensi berita ONA melaporkan, protes bermula pada subuh Sabtu dan berlanjutan sehingga semalam.


Beberapa kenderaan kerajaan dan persendirian turut dibakar.


“Polis antirusuhan bertindak bagi melindungi orang ramai dan harta-benda mereka,” lapor ONA.


Selain rumah gabenor di Sohar, penunjuk perasaan turut membakar pusat membeli-belah. - AFP
myMetro

Bekas menteri tak sangka didakwa




ABDULLAH dan Kong Choy hadir pada satu sidang akhbar di Putrajaya pada Oktober 2005 ketika mereka masih dalam kerajaan.


PUTRAJAYA - Bekas Menteri Pengangkutan, Tan Sri Chan Kong Choy mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tiga pertuduhan menipu bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi berhubung skandal projek Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).
Kong Choy, 55, dituduh menipu Abdullah bagi meluluskan syarikat Kuala Dimensi Sdn. Bhd. (KDSB) sebagai pemaju siap guna untuk melaksanakan projek Hab Pemindahan di Zon Bebas Pulau Indah dan kerja pengubahsuaian berjumlah RM1.9 bilion di tapak PKFZ antara 2004 dan 2006.
Bekas menteri itu didakwa melakukan ketiga-tiga perbuatan menipu itu di Tingkat 4, blok utama Pejabat Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra di sini.
Kesemua pertuduhan terhadap Kong Choy didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan dan dia berdepan hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan bagi setiap pertuduhan tersebut.
Hakim Azhaniz Teh Azman Teh membenarkan Kong Choy dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM1 juta dengan seorang penjamin dan menetapkan 31 Mac untuk sebutan semula kes.
Kong Choy membayar wang ikat jamin itu. Dia yang ditemani isterinya, Puan Sri Ann Chan dan anak perempuan mereka meninggalkan mahkamah pada pukul 4.35 petang.Kosmo! Online - Negara

Anggota polis diarah bela diri




Jenain


SHAH ALAM - Mahkamah Sesyen di sini semalam memerintahkan Koperal Jenain Subi membela diri atas tuduhan menyebabkan kematian seorang remaja berusia 15 tahun, Aminulrasyid Amzah pada April tahun lalu.
Hakim Latifah Mohd. Tahar membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwa berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.
Latifah dalam penghakimannya berkata, berdasarkan keterangan 39 saksi yang dipanggil sepanjang perbicaraan, tertuduh didapati mempunyai niat untuk menyebabkan kematian terhadap Aminulrasyid dengan melepaskan tembakan di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 di sini.
Walhal katanya, ketika itu kereta Proton Iswara BET 5023 yang dipandu mangsa tidak lagi agresif.
"Pada masa itu, kereta tersebut dalam keadaan terhoyong-hayang dan kelajuan di antara 60 ke 70 kilometer sejam," kata beliau.
Jenain, 49, dari Unit Kereta Peronda, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid di Jalan Tarian 11/2 antara pukul 1.10 dan 2 pagi, 26 April 2010.
Kosmo! Online - Negara