Showing posts with label BUKIT KEPONG. Show all posts
Showing posts with label BUKIT KEPONG. Show all posts

Tuesday, September 13, 2011

Filem Bukit Kepong berdasarkan sejarah sebenar - Jins



JINS Shamsuddin pada sidang akhbar khas mengenai filem Bukit Kepong di Studio Panca Delima, Hulu Kelang, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 12 Sept. - FilemBukit Kepong yang mengisahkan serangan komunis terhadap Balai Polis Bukit Kepong dibuat berdasarkan sejarah sebenar tragedi berdarah pada 23 Februari 1950 itu, bukannya mengikut perspektif UMNO seperti dituduh Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu.
Pengarahnya, Tan Sri Jins Shamsuddin berkata, beliau membuat penyelidikan rapi dengan menemu bual bekas anggota komunis yang terbabit dalam serangan itu, waris mangsa serta ahli keluarga terdekat Muhammad Indera, lelaki tempatan yang bersekongkol dengan pengganas komunis.
Justeru itu, beliau menolak kenyataan Mohamad atau Mat Sabu yang menganggap 200 anggota Pasukan Kompeni Keempat, Parti Komunis Malaya (PKM) yang menyerang dan membunuh 25 anggota keselamatan serta ahli keluarga mereka dalam tragedi itu, ialah hero sebenar.
Pada masa sama, beliau menafikan dakwaan kononnya Muhammad Indera mengetuai operasi itu bagi 'mengajar' anggota keselamatan yang mabuk.
"Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan Mat Sabu bahawa filem ini dihasilkan berdasarkan perspektif UMNO hanya kerana saya ahli UMNO. Filem ini digarap berdasarkan fakta sejarah yang sebenar dan saya sendiri menetap di Pagoh, Johor selama setahun.
"Saya sendiri membuat penyelidikan dan hasil penyelidikan tersebut, faktanya langsung tidak bercanggah dengan apa yang diberikan oleh pihak polis. Malah, ahli keluarga Muhammad Indera sendiri datang berjumpa dengan saya bagi berbincang mengenai filem ini.
"Muhammad Indera terlibat secara langsung dalam serangan ini. Benar dia tidak membunuh dan ada menyuruh beberapa mangsa supaya melarikan diri tetapi hasil arahan dia yang menyebabkan 25 nyawa menjadi korban," katanya kepada pemberita di Studio Panca Delima di sini hari ini.
Beliau mengadakan sidang akhbar khas itu bagi mengulas kenyataan biadab Mat Sabu yang memperlekehkan pergorbanan anggota keselamatan dalam tragedi Bukit Kepong, sebaliknya mengagungkan pula pengganas komunis sebagai hero sebenar.
Mat Sabu semasa berceramah di Padang Menora, Tasik Gelugur dilaporkan berkata: "Dekat nak merdeka nanti, siarlah cerita mengenai Bukit Kepong. Bukit Kepong ini, polis yang mati polis British. Hat (yang) serang Bukit Kepong itulah pejuang kemerdekaan sebenar, yang serang itu Mat Indera.
"Jins Shamsuddin buat filem, Jins Shamsuddin ini orang UMNO. Cerita Bukit Kepong (yang dibuat Jins) hat serang itu pula jahat, hero yang mempertahan balai polis. Padahal Mat Indera yang mengetuai operasi itu akhirnya dihukum gantung."
Mengulas lanjut mengenai penyelidikannya, Jins berkata, berdasarkan keterangan daripada bekas anggota komunis, mereka mengesahkan bahawa operasi itu diketuai Mat Indera dan bekas guru agama tersebut yang bertanggungjawab mengarahkan serangan melalui tiupan trompet.
Tambahnya, operasi berkenaan juga dirancang dengan begitu rapi dan pengganas komunis sudah mula mengambil posisi dari atas Bukit Kepong sejak petang sebelum serangan bermula lagi.

Thursday, September 1, 2011

Bukit Kepong: Serangan terhadap British


HARAKAH DAILY
KUALA LUMPUR, 1 Sept: Isu serangan ke atas balai polis Bukit Kepong pada tahun 1950 iaitu tujuh tahun sebelum Merdeka merupakan serangan ke atas sarang penjajah British dan bukannya kepada anak bangsa sendiri.

Menurut Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mujahid Yusof, serangan kira-kira jam 5.00 pagi pada tanggal 23 Februari 1950 itu manifestasi kemarahan rakyat terhadap penjajah British ketika itu namun sejarah itu telah diseleweng oleh Umno BN.

Ianya termasuklah kemarahan terhadap anggota polis yang pada waktu itu menjadi talibarut British.

"Isu Bukit Kepong tahun 1950 adalah serangan ke atas sasaran penjajah bukan kepada anak bangsa sendiri.

"Polis waktu itu adalah apparatus penjajah, penyerang pula adalah mereka yang menentang penjajah, apakah kerana ini mereka menjadi komunis," soalnya.

Bercakap kepada Harakahdaily beliau yang juga ahli parlimen Parit Buntar berkata, pada zaman dijajah British itu sesiapa sahaja yang menentang mereka akan dicop golongan berhaluan kiri atau komunis.

Manakala golongan kanan atau konservatif pula adalah mereka yang mengikut telunjuk British.

"Golongan konservatif akan mengekalkan penguasaan British.

"Penentang yang keras dan mahu negara ini merdeka mengikut acuan sebenar dicop kiri atau komunis." jelasnya lagi.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu kenyataan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dalam satu ceramahnya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada 21 Ogos lalu yang diputarbelitkan oleh media perdana khususnya akhbar Umno, Utusan Malaysia sehingga menjadi kontroversi.

Utusan dalam laporan muka depannya baru-baru ini menyiarkan Mohamad Sabu sebagai mendakwa Muhammad Indera, lelaki yang bersekongkol dengan Goh Pen Tun dan 200 anggota komunis yang menyerang Bukit Kepong adalah hero sebenar, bukannya 25 anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan di balai tersebut.

Turut mengecam Mohamad termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, timbalannya Muhyiddin Yassin dan terbaru mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mohamad dalam satu sidang akhbarnya di Perlis kemudiannya menafikan perkara itu dan mendakwa kenyataannya telah diputarbelitkan dan mendapati apa yang dilaporkan oleh akhbar Umno, Utusan Malaysia berkaitan dengan tragedi Bukit Kepong adalah fitnah terhadap beliau dan PAS.

Sehubungan itu, beliau telah mengarahkan peguamnya untuk menghantar notis saman kepada akhbar itu dan memintanya meminta maaf dan menarik balik laporan palsu itu.

Mengulas lanjut kecaman Umno terhadap Mohamad itu, Mujahid berkata Umno adalah anak didik British yang diiktiraf sebagai golongan konservatif sebab itulah sehingga sekarang walaupun sudah 54 tahun merdeka, mereka masih bermati-matian mempertahankan British.

"Umno adalah golongan konservatif yang menjadi anak didik British, malangnya setelah 54 tahun merdeka Umno masih mempertahankan British.

"Cuma Umno tidak sedar mereka adalah "radio buruk" hari ini di mata rakyat yang sudah merdeka," katanya.