Sunday, November 7, 2010

India risau Obama kena buah kelapa




2010/11/07

Ancaman semula jadi di Mumbai dihapus 

NEW DELHI: India membuat persediaan paling rapi bagi menjamin keselamatan dan melindungi Presiden Amerika Barack Obama, ketika kunjungan beliau ke negara itu, antaranya termasuk menyabit semua buah kelapa dari pokok yang di kawasan laluan pemimpin itu di Mumbai.Obama tiba di India petang semalam dalam lawatan pertamanya ke negara Asia Selatan itu dan segera mengisytiharkan ‘kita semua tidak akan melupakan kegana-san di Mumbai’.
Beliau merujuk kepada keganasan dua tahun lalu apabila 166 orang terbunuh dalam ketegangan 60 jam di Mumbai. 

Atas sebab itu, di sebalik semua prosedur keselamatan biasa bagi mengalu-alukan lawatan pemimpin asing ke India, pihak berkuasa memutuskan untuk tidak mengambil sebarang risiko dengan turut menghapuskan sebarang bentuk ‘ancaman semula jadi’ ke atas presiden itu. 

“Semua buah kelapa kering dari pokok yang ditanam di sekitar Muzium Gandhi dan kediaman Gandhi, Mani Bhavan, sudah disabit. Kita tidak boleh mengambil sebarang risiko,” kata seorang pegawai, Meghshyam Ajgaonker. 

Muzium itu dan Mani Bhavan, antara lima tempat yang yang akan dikunjungi Obama ketika berada lima hari di Mumbai. 
Minggu lalu, pegawai keselamatan Amerika, membuat pemeriksaan di Mani Bhavan, kawasan sekitarnya dan tempat lain yang akan dilawati Obama. 

Setiap tahun ramai rakyat India yang cedera atau terbunuh akibat ditimpa buah kepala yang gugur secara tiba-tiba. 

Obama yang baru mengalami kekalahan pilihan raya pertengahan penggal akan mengunjungi India, Indonesia, Korea Selatan, Jepun dan China dalam lawatannya selama 10 hari. – Agensi 

Pengantin baru lemas




2010/11/07

NOR FARIDAH  (kanan) ditenangkan ahli keluarganya selepas melihat jenazah suaminya di Sungai Lembing,  semalam.
NOR FARIDAH (kanan) ditenangkan ahli keluarganya selepas melihat jenazah suaminya di Sungai Lembing, semalam.
KUANTAN: Seorang kakitangan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) yang baru sebulan berkahwin lemas ketika mandi di Kawasan Perkelahan pasir Kubur, di Sungai Lembing, semalam. 

Dalam kejadian pada jam 12 tengah hari Mohd Hazrul Abdul Jalil, 26, dikatakan tergelincir bersama isterinya, Nor Faridah Mamat Amin, 26, sebelum mereka dihanyutkan arus deras ketika mandi di sungai itu.Adik mangsa, Mohd Helmi Abdul Jalil, 25, berkata, ketika kejadian, dia dan ibunya, Zaidah Abdul Aziz, 55, mandi di kawasan air cetek manakala mangsa dan isterinya mandi di kawasan lebih dalam tidak berapa jauh dari mereka.
"Arwah bersama isterinya dipercayai tergelincir sebelum dihanyutkan arus kira-kira sejauh 50 meter sebelum mereka berjaya dibawa naik ke tebing dengan bantuan seorang pengunjung yang menghulurkan tali pancingnya. 

"Namun ketika itu, arwah dikatakan cuba menyelamatkan isterinya daripada lemas dengan mengangkatnya ke permukaan air ketika mereka berdua tenggelam dan dihanyutkan arus. 

"Malangnya, usaha kami untuk menyelamatkan arwah dengan memberi bantuan pernafasan (CPR) kira-kira 30 minit gagal dan dia disahkan sudah meninggal dunia ketika bantuan tiba," katanya. 

Beliau berkata, mangsa yang bertugas di Padang Rengas, Perak pulang bercuti di kampung dan dijadualkan menghadiri kursus di Terengganu pada minggu hadapan. 
"Arwah akan dikebumikan di Pekan iaitu di tanah perkuburan berdekatan kampung selepas ayah (Abdul Jalil Hassan, 54) pulang dari Sarawak," katanya yang juga anak kedua dari dua beradik. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian itu dan polis mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai mati lemas. 

Lelaki asing ghairah bawa lari gadis tempatan


Oleh Mohd Azis Ngah dan Alzahrin Alias 
bminggu@bharian.com.my 
2010/11/07

pix_gal0
Kes gadis bawah umur hilang semakin membimbangkan 

KUALA LUMPUR: Kes warga asing melarikan gadis tempatan ke negara asal mereka semakin membimbangkan dengan purata dua hingga tiga kes sebulan sepanjang tahun ini dengan kebanyakan kes membabitkan gadis bawah umur.Walaupun kes seperti itu kini agak kurang didedahkan hingga dianggap ‘sejuk’ terutama selepas kes membabitkan lelaki Lombok, Indonesia, namun senario sebenar membuktikan keghairahan membawa pulang anak gadis tempatan tidak pernah pudar.
Jumlah itu hanya berdasarkan laporan diterima polis dan dirujuk kepada Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno Malaysia. Jika dikira kes tidak dilaporkan, jumlahnya barangkali lebih besar termasuk kes membabitkan wanita dewasa. 

Gadis yang hilang atau melarikan diri itu berusia seawal 14 hingga 24 tahun termasuk yang masih bersekolah dan dianggap terlalu mentah membuat pilihan. 

Sejak Januari hingga Jun lalu, Biro Aduan Komuniti Pemuda itu sudah memulakan siasatan terhadap 15 kes termasuk beberapa kes yang sudah diselesaikan. 

Pendedahan itu tidak menghairankan kerana berdasarkan laporan Bukit Aman mengenai siasatan kes orang hilang, terdapat 16 kes gadis dan remaja wanita yang dilaporkan hilang dalam tempoh tiga bulan sejak Julai hingga September lalu. 
Kebanyakan mereka berusia 14 hingga 30 tahun dan Biro Aduan Komuniti Pemuda tidak menolak kemungkinan ada antara mereka terbabit dalam gejala yang sama, iaitu mengikut teman lelaki atau dilarikan teman lelaki. 

Ketua Biro Aduan Komuniti, Datuk Mohd Khairun Aseh menyifatkannya sebagai serius dan jelasnya, berdasarkan pengalaman mengendalikan kes, beliau mendapati warga asing cukup berbangga dengan tindakan mereka walaupun menyalahi undang-undang. 

“Biro terima 15 kes melarikan diri bersama kekasih warga asing atau anak gadis bawah umur dilarikan ke negara jiran sejak Januari hingga Jun lalu. Walaupun nisbah kes tidak begitu besar berbanding keseluruhan 300 aduan pelbagai kes, ia berpotensi untuk meningkat. 

“Bagi kes bawah umur, secara automatik ia dikategorikan sebagai melarikan gadis mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 dan kebanyakan mereka diseludup ke sana secara haram. Mereka jadi pendatang haram di sana dan itu kesalahan besar,” katanya. 

Katanya, gadis dewasa akan dibantu dengan memberikan nasihat dan rundingan, tetapi keluarga mereka mesti ada keinginan untuk selesaikan kes kerana ada keluarga yang kecewa hingga berputus asa untuk selamatkan anak mereka. 

Biarpun Lombok masih dilabel kawasan paling tinggi kes melarikan gadis Malaysia, Khairun menjelaskan trend semakin berubah dengan lelaki Indonesia di kawasan lain juga terbabit seperti dari Kalimantan, Surabaya dan Yogyakarta , Indonesia. 

Ketika ini pihaknya memfokuskan kes gadis bawah umur yang disifatkan mudah terpedaya dengan pujuk rayu hingga terlanjur dengan teman lelaki dan ada yang mengandung anak luar nikah. 

Mengikut Akta Kanak-Kanak, mereka berusia bawah 18 tahun akan diberi perlindungan kerana tidak boleh membuat keputusan berdasarkan kemahuan atau pemikiran sendiri. Segala yang berlaku ke atas mereka akan disabitkan seperti gangguan atau serangan seksual. 

“Dalam kebanyakan kes terlanjur, biasanya gadis akan diberi bayangan mereka akan mengikut ‘sang kekasih’ ke negara asal dan tidak akan terabai, kononnya untuk menyelesaikan masalah. Sebenarnya itu menambah masalah kerana tidak menggunakan dokumen sah,” katanya. 

Difahamkan, kos membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di sana selepas melarikan diri ke Indonesia termasuk Lombok dianggar mencecah RM30,000 seorang. 

Merapi letus lagi: Korban kini lebih 100

MANGSA DISELAMATKAN: Askar-askar Indonesia mengangkat seorang lelaki yang melecur akibat letupan terbaru Gunung Merapi, sebaik saja mangsa tiba di Hospital Sarjito di Yogyakarta semalam. -- Foto REUTERS


SLEMAN: Gunung Merapi meletup lebih kuat lagi semalam menyebabkan 78 orang terkorban, 71 lagi cedera parah, sekali gus menambah angka korban sejak 26 Oktober lalu kepada 122 orang, kata para pegawai.
Sembilan kanak-kanak di bawah usia 10 tahun termasuk antara mangsa yang terkorban.Mereka yang cedera - dengan pakaian, selimut dan tilam melekat pada badan oleh haba setinggi 750 darjah Celsius - dibawa dengan tandu menyusuli letupan kuat sejurus sebelum tengah malam kelmarin.Askar pemerintah yang menyertai operasi di Bronggang, 15 kilometer dari kawah Gunung Merapi, menarik keluar 78 mayat daripada rumah yang hangus dan tepi jalan yang diselubungi abu panas setebal 30 sentimeter.Rumah-rumah yang hangus, mayat penduduk dan lembu yang rentung, semuanya diselaputi jelaga putih.'Saya nampak penduduk melarikan diri dalam kegelapan malam. Ada wanita yang terlalu ketakutan hingga jatuh pengsan,' kata Encik Niti Raharjo, 47 tahun, yang jatuh daripada motosikal semasa melarikan diri bersama anak lelakinya berusia 19 tahun.Jumlah korban dijangka meningkat kerana sesetengah tempat tidak dapat didatangi pekerja penyelamat kerana diselaputi abu panas, kata pegawai akhbar Hospital Sardjito, di Yogyakarta, Cik Susan Ananti, kepada Xinhua.Ramai mangsa yang terkorban adalah dari desa Argomulyo, kira-kira 18 kilometer dari kawah gunung berapi itu, kata para pegawai.Penyelaras operasi, Encik Marsono, berkata para pekerja penyelamat, askar dan sukarelawan harus menjalankan tugas secara berhati- hati kerana adanya debu panas dan gas beracun.'Saya menjumpai tiga mayat - seorang budak, ibu dan ayahnya, masih di atas katil. Mereka mungkin sedang tidur ketika abu panas melanda rumah mereka,' kata pekerja penyelamat bernama Utha kepada AFP sewaktu beliau menghantar 10 mayat ke hospital.'Kami juga menjumpai seorang lelaki yang mati sedang telefonnya masih di tangan,' imbas beliau lagi.Pegawai perubatan polis Yogyakarta, Encik Teguh Dwi Santosa, berkata: 'Desa Argomulyo hangus terbakar oleh awan panas. Ramai kanak-kanak mati di sana. Apabila saya sampai, tanahnya masih panas.'Gunung Merapi meletup selama tiga jam malam kelmarin. Ia muntahkan abu dan awan panas setinggi 8 kilometer ke udara. Abunya jatuh di kawasan sejauh 45 kilometer, kata Cik Kurniati Rinekso, seorang pegawai Agensi Vulkanologi di Yogyakarta kepada Xinhua.Jurucakap Badan Nasional Penanganan Bencana (BNPB), Cik Nelis Zuliasri, berkata semua penduduk dalam lingkungan 20 kilometer dari Gunung Merapi mesti berpindah bagi keselamatan diri mereka.Letupan semalam menyebabkan lapangan terbang Adi Sucipto di Yogyakarta ditutup sejak 6 pagi kerana awan panas dan abu sampai ke paras ketinggian penerbangan pesawat penumpang.Kementerian Pengangkutan Indonesia mengarahkan juruterbang menghindari kawasan 12 kilometer dari Gunung Merapi.Presiden Susilo Bambang Yudhoyono semalam mengumumkan pengerahan satu briged tentera bagi membantu operasi bantuan dan pembinaan semula kawasan dilanda bencana.'Pihak tentera sudah siap untuk mengerah satu briged bagi menangani bencana,' kata beliau dalam sidang akhbar semalam. -- Agensi.

Ketepi fahaman politik bantu mangsa banjir


TUANKU Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Tuanku Haminah Hamidun bertanya khabar kepada mangsa banjir di pusat pemindahan banjir di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar, semalam.


ALOR SETAR 6 Nov. - Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dukacita dengan nasib rakyat negeri itu yang dilanda banjir terburuk dalam sejarah Kedah dan meminta semua pihak mengetepikan fahaman politik bagi membantu mangsa menghadapi bencana itu.
Baginda berharap semua pihak termasuk kerajaan negeri, Kerajaan Pusat, korporat serta individu agar menyampaikan bantuan dalam apa jua bentuk bagi membantu meringankan beban mangsa.
"Beta berasa dukacita di atas kejadian banjir yang melanda negeri Kedah khususnya kepada rakyat," titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika bersama-sama Sultanah Kedah, Tuanku Haminah Hamidun mendengar taklimat mengenai banjir di Bilik Gerakan Negeri, Wisma Darulaman di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan puteri baginda yang juga Pengerusi Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB), Datuk Seri Tunku Puteri Intan Safinaz.
Sultan Kedah juga berkenan menyerahkan sumbangan RM500,000 daripada kutipan zakat negeri Kedah dan bantuan peribadi RM100,000 kepada kerajaan negeri untuk dimanfaatkan bagi membantu mangsa banjir di seluruh negeri.
Pada majlis sama, YSB menerima sumbangan RM200,000 daripada seorang individu untuk digunakan bagi membantu mangsa banjir.
Terdahulu, Sultan Kedah berkenan melawat mangsa banjir yang dipindahkan di pusat pemindahan banjir di Stadium Sultan Abdul Halim di Suka Menanti di sini.
Baginda dan Sultanah Kedah meluangkan masa selama 45 minit bertanyakan khabar kepada mangsa banjir di pusat pemindahan itu kira-kira pukul 1 tengah hari.

Demi cinta suami terkorban


NOR Faridah Mamat Amin ditenteramkan oleh keluarga ketika menunggu jenazah suaminya di bilik mayat Hospital Tengku Ampuan Afzan, semalam. – BERNAMA


KUANTAN 6 Nov. – Demi cinta dan kasih sayang, seorang pemuda yang baru sebulan mendirikan rumah tangga sanggup menggadaikan nyawa untuk menyelamatkan isterinya yang hampir lemas ketika berkelah di Sungai Jin di Pasir Kubur, Sungai Lembing di sini hari ini.
Namun malang tidak berbau, tindakan Mohd. Hazrul Abdul Jalil, 26, membawa padah apabila dia sendiri yang mati lemas dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari ini.
Adik mangsa, Mohd. Helmi, 25, berkata, dia bersama mangsa, kakak iparnya, Nor Faridah Mamat Amin, 26, dan ibunya, Zaidah Abdul Aziz, 55, berkelah di sungai tersebut sejak pukul 10.30 pagi.
Ketika kejadian, katanya, dia melihat abang bersama kakak iparnya sedang mandi di kawasan sungai yang dalam dan air agak deras.
“Tiba-tiba saya lihat abang dan kakak telah tenggelam timbul dipercayai terpijak pasir jerlus di kawasan itu.
“Abang saya cuba menyelamatkan kakak dengan menolaknya ke atas namun kedua-keduanya dihanyutkan oleh arus deras ke bahagian sungai yang agak cetek.
“Mujur ketika itu ada pemancing yang sedang memancing ikan lalu menghulurkan tali kepada kakak dan berjaya membawa naik kedua-dua mereka yang hanyut kira-kira 40 meter dari tempat kejadian,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini hari ini.
Menurut Mohd. Helmi, ketika dinaikkan ke daratan, abangnya masih bernafas dan mereka sempat memberi bantuan kecemasan pernafasan (CPR).
Namun, katanya, kira-kira 10 minit kemudian nafas abangnya itu semakin perlahan sebelum disahkan meninggal dunia oleh pembantu perubatan.
Mohd. Helmi menambah, pada malam sebelum kejadian, abangnya itu beria-ia mengajak mereka sekeluarga berkelah di kawasan perkelahan terbabit.
“Walaupun emak tidak benarkan pergi kerana cuaca tidak menentu tetapi abang tetap berkeras untuk pergi,” katanya.
Dia bagaimanapun percaya perubahan sikap abang sulungnya itu merupakan petanda terakhir bahawa dia akan pergi untuk selama-lamanya.
Sementara itu, Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohd. Jasmani Yusoff ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke HTAA untuk dibedah siasat dan kejadian itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.