Sunday, March 13, 2011

Warga dunia hantar bantuan ke Jepun

Beberapa negara termasuk Singapura menghantar pasukan mencari dan menyelamat ke tempat kejadian



MENANTI BANTUAN: Wanita ini bersama anaknya menyertai ribuan penduduk wilayah Iwate yang mencari perlindungan di tanah tinggi selepas Tsunami, kelmarin. - Foto REUTERS


GENEVA: Masyarakat antarabangsa sudah mula menghantar pasukan-pasukan bantuan bencana semalam bagi membantu Jepun setelah negara itu dilanda satu gempa bumi besar yang disusuli tsunami, dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menghantar satu pasukan penyelaras.
'Kami dalam proses menghantar sembilan pakar yang paling berpengalaman dalam menangani bencana.'Mereka akan membantu apa-pa yang diperlukan dan menyelaras bantuan dengan pihak berkuasa Jepun,' kata Cik Elisabeth Byrs, jurucakap bagi Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Kemanusiaan (Ocha) kepada Reuters.Pasukan bencana khas PBB itu termasuk beberapa penutur bahasa Jepun dan seorang pakar persekitaran, katanya.Setiausaha Ketua Kabinet Jepun, Encik Yukio Edano, berkata terdapat satu kebocoran radiasi di loji tenaga nuklear Fukushima Daiichi.Gempa berukuran 8.9 pada skala Richter itu telah melanda Jepun kelmarin dan mengakibatkan satu ombak besar yang telah meranapkan pekan-pekan dan bandar-bandar di perairan timur laut Jepun kelmarin.Media Jepun menganggarkan sekurang-kurangnya 1,300 orang maut dalam bencana itu.PBB telah membuat pengumuman lewat kelmarin bahawa empat pasukan mencari dan menyelamat asing, dari Australia, New Zealand, Korea Selatan dan Amerika Syarikat, sedang dalam perjalanan ke Jepun.Singapura juga sedang menghantar satu pasukan penyelamat ke tempat kejadian, Cik Byrs memberitahu Reuters semalam.Switzerland pula mengumumkan ia akan menghantar sepasukan lima pakar bersama sembilan anjing penghidu.Britain juga berkata akan menghulurkan bantuan, selepas menerima rayuan daripada Jepun.Pasukan dari Switzerland akan ditugaskan mencari mangsa-mangsa di bawah serpihan kerosakan akibat tsunami, kata ketua Swiss Humanitarian Aid Unit, Encik Toni Frisch.Pasukan Switzerland itu merupakan sebuah kumpulan militia dengan sekurang-kurangnya 700 orang yang pakar dalam pelbagai bidang termasuk kejuruteraan, kajian gempa bumi, telekomunikasi dan pembedahan waktu perang. -- Reuters.

Mukhriz alu-alukan Anwar saman Tun Mahathir



JITRA - Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir mengalu-alukan tindakan saman Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad, berikutan pertuduhan skandal seks yang ditulis bekas Perdana Menteri itu dalam bukunya ‘A Doctor in the House’ yang dilancarkan beberapa hari lalu.

Mukhriz berkata, dakwaan Anwar mengatakan tindakan bapanya menyerang peribadi beliau disebabkan terdesak untuk mempertahankan kedudukan politiknya adalah tidak masuk akal dan cuba menafikan kebenaran.

Menurutnya, sikap Anwar yang melenting setelah salah laku peribadi beliau terdedah, membuktikan dakwaan Dr Mahathir ada kebenarannya dan beliau yakin ayahnya turut mengalu-alukan sebarang tindakan saman.

“Sekiranya ayah saya hendak mempertahankan kedudukan politik anaknya, mengapa ayah saya tidak melakukannya sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri, sebaliknya mengambil masa begitu lama untuk menaikkan saya?

“Bagi saya, apa yang dibangkitkan oleh ayah saya adalah soal kepentingan negara. Bagaimanapun, apa yang dibangkitkan oleh Anwar adalah menyentuh soal peribadi yang hanya bersifat dakwaan semata-mata,” katanya sewaktu ditemui media di Majlis Perasmian Pergerakan Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Dewan Institut Kemahiran Belia Negara, di sini kelmarin.

Majlis itu dirasmikan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu, yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO. Turut hadir ialah Ahli Parlimen dan Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu, Datuk Johari Baharom; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Datuk Saad Man; ADUN Bukit Kayu Hitam, Datuk Ahmad Zaini Jaapar dan barisan Exco Kerajaan Perlis.

Ditanya sama ada pelancaran buku itu adalah untuk membuatkan pihak pembangkang berhadapan dengan perang persepsi berikutan serangan terbaru terhadap Anwar, Mukhriz berkata, itu bukan tujuannya.

Menurutnya, terdapat banyak perkara yang tidak dapat dijelaskan oleh bapanya sewaktu menjadi Perdana Menteri dan pelancaran buku ini adalah untuk memberi ruang kepadanya meluahkan isi hati yang terbuku selama ini.

“Bagaimanapun, sekiranya pemimpin pembangkang menganggap pendedahan dalam buku itu untuk mengurangkan sokongan pengundi terhadap mereka, itu bukan masalah ayah saya dan mereka seharusnya bersedia menerima hakikat kebenaran yang diluahkan,” katanya.

Sebelum ini, portal berita melaporkan kenyataan Anwar yang menganggap tuduhan Dr Mahathir terhadapnya dalam buku itu adalah untuk menutup penyelewengan semasa pemerintahannya dan demi menjamin masa depan politik Mukhriz.

Dalam buku mengenai kisah hidupnya itu, Dr Mahathir sekali lagi mengulangi dakwaan fitnah perlakuan moral Anwar.

Anwar berkata, beliau tidak terkejut dengan pusingan terbaru tuduhan liar Dr Mahathir dan percaya masyarakat celik terhadap motif beliau untuk terus menyerangnya.

Beliau berkata, pembohongan Dr Mahathir terserlah dalam buku itu, khususnya apabila mendakwa beliau tidak menafikan tuduhan liwat terhadapnya apabila perkara itu dibincangkan pada mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO sebelum dia dipecat dari parti itu.

Lima dakwa ditampar guru


SAKIT... mangsa menunjukkan bagaimana guru didakwa menampar muka mereka.
SAKIT... mangsa menunjukkan bagaimana guru didakwa menampar muka mereka.


PORT DICKSON: Hanya kerana dikesan ponteng kelas, lima pelajar tingkatan satu sebuah sekolah menengah kebangsaan (SMK) di sini, mendakwa terpaksa menanggung malu apabila ditampar oleh guru mereka di depan rakan lain, baru-baru ini.
Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 5 petang Rabu lalu, semua pelajar perempuan berusia 13 tahun iaitu Cheok Lai Jun, Liew Jia Kei, Choo Je Yan, Sua Hui Yi dan Yong Poi Xia yang berlainan kelas dikatakan dipanggil oleh guru wanita berusia lingkungan 20-an.

Sejurus berkumpul di dalam sebuah kelas, pelajar sesi petang itu dikatakan diarah guru berkenaan supaya beratur dan menampar pipi kiri mereka di depan beberapa pelajar lain.
Menceritakan kejadian itu, Je Yan berkata, mereka berlima tidak menyertai pelajar lain pergi ke bengkel kemahiran hidup berikutan terlalu letih kerana menyertai program kokurikulum pada sebelah pagi.

“Kira-kira jam 4 petang itu, kami bagaimanapun tidak keluar dari kawasan sekolah dan hanya berehat di kelas. Sejam kemudian, guru yang turut mengajar mata pelajaran Sejarah pada ketika itu memanggil kami dan bertanya mengapa kami tidak pergi ke bengkel.

“Kami memberitahu kerana terlalu letih namun dia tidak dapat menerima alasan itu lalu menampar muka kami,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Turut hadir, ibunya, Tan Sew Eng, 40, dan dua lagi rakannya, Lai Jun dan Jia Kei.

Menurut Je Yan yang mewakili semua rakannya, emosi mereka terganggu dengan kejadian itu kerana terpaksa menanggung malu dengan rakan pelajar lain.
Sementara itu, Sew Eng berkata, beliau tidak dapat menerima tindakan guru berkenaan yang dianggap keterlaluan.

“Saya tahu dia (anak) memang bersalah tetapi mengapa guru menampar muka mereka di depan pelajar lain?Saya tidak akan mempertikaikan tindakannya jika dia merotan tangan atau anggota badan lain kurang tidak sensitif,” katanya.

Menurutnya, dia akan membuat laporan rasmi kepada Jabatan Pelajaran negeri dan Kementerian Pelajaran supaya guru terbabit dikenakan tindakan sewajarnya
myMetro

Doa ayah cepat mati



BAHAYA... wayar sambungan elektrik yang boleh menyebabkan litar pintas.
BAHAYA... wayar sambungan elektrik yang boleh menyebabkan litar pintas.

PETALING JAYA: Dia anak tunggal dalam keluarga tapi kerana dendam kesumat sejak kecil berikutan sikap baran ayahnya, seorang wanita bertindak umpama ‘Si Tanggang’ apabila tergamak mendoakan kematian lelaki itu.
Episod dendam itu bermula sejak Sara, 40-an, masih kanak-kanak apabila mendakwa sering dipukul dan dimaki hamun oleh ayahnya, Pak Atan, 74, meskipun kesalahan hanya kecil.

Kemarahan wanita itu makin membara selepas ayahnya bernikah dengan perempuan seberang kira-kira tujuh tahun lalu, iaitu selepas tiga tahun kematian isteri yang juga ibu kepada Sara.
Kemuncaknya pada September lalu apabila Sara didakwa menghalau ayah dan ibu tirinya keluar dari rumah mereka di sini, hingga terpaksa membina pondok kecil serba daif di tepi rumah itu.

Menurut Sara, dia dan ayah tidak mungkin berbaik semula kerana terlalu banyak kenangan pahit bersama lelaki itu sejak kecil lagi.

“Mungkin orang nampak saya jahat bila saya katakan saya selalu berdoa supaya Allah cepat cabut nyawa ayah sebab tidak mahu menanggung dosa lagi apabila selalu berfikiran negatif terhadapnya.
“Biarlah kami dengan dunia masing-masing sebab ayah sudah mewasiatkan kepada saudara mara tidak membenarkan saya menyentuh atau melihat mayatnya jika dia meninggal dunia kelak,” katanya kepada Metro Ahad.

Dia berkata, punca perselisihan faham disebabkan sikap panas baran ayah sejak muda hingga kini.
Sejak kecil, dia sering dipukul dan dimaki hamun meskipun kesalahan dilakukan hanya kecil.

“Saya tidak rapat dengan ayah kerana kebanyakan masa dihabiskan bersama ibu. Mana mungkin saya mengadu masalah bersama ayah yang baran tidak kira masa.

“Jika anak tunggal lain, pastinya mereka disayangi dan ditatang bagai minyak penuh, malangnya situasi itu tidak pernah terjadi kepada saya.

“Saya masih ingat sewaktu kecil, arwah datuk dan nenek (sebelah ayah) pernah bergaduh hingga menggunakan senapang selain mengeluarkan perkataan tidak sopan, dan sikap itu mengalir dalam tubuh ayah,” kata ibu kepada empat cahaya mata lelaki itu.

Menurut Sara, sikap ayah yang tidak boleh menerima pendapat orang lain dan merasakan diri selalu betul sungguh berbeza dengan sikap arwah ibu yang sentiasa sabar dan tenang.

“Tiada anak yang tidak sehaluan dengan bapa kandung tanpa sebab. Kadangkala kita terlepas pandang perkara remeh hingga tidak sedar kita membuatkan orang lain kecewa.

“Pernah saya diugut ayah jika buku laporan peperiksaan ada dakwat merah, dia menyuruh saya makan habuk buku selain dirotan hingga meninggalkan birat di punggung,” katanya kesal dengan sikap bapanya.
myMetro

Enam tahun tunggu sijil lahir



PENGHULU HIM – Seorang ibu hampa apabila sijil kelahiran anaknya yang dinanti sejak enam tahun lalu, gagal dikeluarkan oleh pihak yang berkenaan.

Hafishah Hanafiah, 40, berkata, dia berasa kecewa dengan pihak berkaitan setelah beberapa kali ke pejabat berkenaan untuk bertanyakan sijil kelahiran anaknya yang sudah mencecah enam tahun.

“Saya melahirkan anak pada 16 Ogos 2005 dan selepas itu suami membuat surat beranak anak kami, apabila cukup setahun saya ke pejabat pendaftaran untuk menuntut MyKid, tetapi pekerja di situ memaklumkan bahawa MyKid anak saya tidak boleh dituntut, kerana sijil kelahiran anak disyaki palsu.

“Saya terkejut dan tidak sangka perkara sebegini akan timbul, kerana anak-anak saya yang lain tidak timbul sebarang masalah dari segi sijil kelahiran,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Menurutnya, dia berulang alik ke pejabat pendaftaran lebih dari lima kali untuk menyelesaikan masalah itu, namun keputusannya mengecewakan.

“Pihak mereka memberitahu bahawa mereka akan menghantar surat kelewatan sijil kelahiran.

“Namun, sudah genap setahun sijil kelahiran yang dijanjikan masih belum saya terima

"Saya sudah tawar hati untuk menunggu, anak saya sudah enam tahun dan bersekolah di tabika, jadi sijil kelahiran diperlukan untuk masuk ke sekolah rendah,” katanya.

Hafishah berkata, anaknya Wan Muqris Syamri Hadif Wan Salman, 6, memerlukan sijil kelahiran untuk pendaftaran persekolahan kelak.

“Saya mohon kepada pihak yang berkenaan supaya mempercepatkan proses mengeluarkan sijil kelahiran anak saya, supaya dia dapat meneruskannya hidupnya tanpa sebarang masalah,” katanya.

Ku Li dakwa memoir Tun M pembohongan politik





SHAH ALAM - Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menyifatkan beberapa bahagian tulisan dalam memoir bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, A Doctor in the House, sebagai ‘pembohongan politik’.

Katanya, tuduhan beliau menggunakan wang ketika berkempen dalam pemilihan UMNO 1987 (semasa menentang Dr Mahathir untuk rebut jawatan Presiden UMNO) tidak berasas kerana ketika itu beliau tidak mempunyai wang bagi membeli undi.

Beliau, yang pernah menjadi Menteri Kewangan, turut menafikan dakwaan beliau mengetuai Team B untuk mengadakan kempen kotor bagi menjatuhkan Dr Mahathir, yang mengakibatkan pengharaman UMNO oleh mahkamah.

“Saya dituduh membawa parti ke mahkamah. Saya juga dituduh terlibat dalam politik wang. Saya tidak pernah mencuri dan menipu. Dia yang mencuri dan menipu akan rasa berdosa sepanjang masa, sepanjang hayatnya.

“Sebenarnya, saya menentang politik wang. Saya tidak ada kroni. Allah Maha Mengetahui bahawa saya tidak pernah membuat semua perkara itu,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Kelmarin, ketika pelancaran buku bahasa Mandarin Professor Wang Gangwu, berjudul Junzi, di Ipoh, Tengku Razaleigh berkata, pembohongan politik semakin meresap dalam arena politik tanah air masa kini.

“Ini adalah komoditi yang sukar diperoleh hari ini, khususnya dalam persekitaran politik yang dihadapi di Malaysia di mana pembohongan politik kian menular.

“Menipu secara politik datang melalui media dan ada kalanya dengan menulis buku memoir,” katanya.

Tengku Razaleigh berkata, walaupun Dr Mahathir membuat tuduhan, rakyat tetap memilihnya setiap kali beliau bertanding di Gua Musang.

Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, beliau percaya ia tidak akan menggugat kedudukan dan imej UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Kebenaran tetap kebenaran. Apa yang diutarakan Ku Li adalah pandangan peribadinya. Setiap orang berhak mengutarakan pandangan,” katanya.

Saudi pula bersiap hadapi tunjuk perasaan

PERGOLAKAN POLITIK DI DUNIA ARAB
RIYADH: Pengeluar minyak terbesar, Arab Saudi, bersiap-siap semalam bagi menghadapi tunjuk perasaan yang menuntut pembaharuan politik dan ekonomi, sehari selepas saksi-saksi berkata polis menembak dan mencederakan tiga penunjuk perasaan Syiah.
Para aktivis menggunakan laman sosial seperti Facebook dan Twitter untuk menyeru diadakan satu 'Hari Kemarahan' dan 'Revolusi 11 Mac Saudi' yang menuntut satu pemimpin dan parlimen dilantik sepenuhnya dalam kerajaan Islam konservatif itu.Tahap keselamatan dipertingkat di ibu kota Riyadh awal semalam selepas kementerian dalam negeri mengeluarkan satu amaran keras mengharamkan sebarang bantahan.Tekanan meningkat lewat kelmarin apabila pasukan keselamatan menembak hingga cedera tiga pemberontak Syiah di Al-Qateef di Wilayah Timur, kata saksi-saksi.Seorang pegawai diraja semalam berkata polis membalas tembakan seorang lelaki, yang akhirnya ditembak dan hingga kini masih dalam tahanan polis.Pegawai itu tidak mengesahkan jika ada lagi orang yang cedera.Penunjuk perasaan itu menuntut pembebasan tiga penganut Syiah yang dipenjarakan 14 tahun tanpa perbicaraan, kata seorang saksi.Arab Saudi, dengan sekitar suku daripada simpanan minyak dunia, merupakan negara penting bagi keselamatan di Timur Tengah dan sebarang kekacauan kini menjadi kekhuatiran Amerika Syarikat dan kuasa- kuasa besar lain.Washington kelmarin berkata ia sedang memantau situasi, manakala Persatuan Pertama Hak Asasi Arab Saudi menyelar tindakan polis di Wilayah Timur yang mempunyai penduduk Syiah terbanyak dalam negara majoriti Sunni itu. -- AFP.

Murid Syiah dan Sunni bergaduh di Bahrain



BANTAHAN DI SEKOLAH: Ibu bapa mencari anak-anak mereka sedang guru-guru cuba mengawal keadaan di Sekolah Tinggi Perempuan Sar di bandar Sar, Bahrain, selepas satu pergaduhan tercetus antara murid Syiah dengan Sunni. -- Foto AP

MANAMA (Bahrain): Pertempuran taifah meletus di sebuah sekolah di Bahrain kelmarin hingga menimbulkan kebimbangan bahawa satu perbarisan yang dirancang ke atas kawasan diraja semalam boleh memburukkan keadaan di pulau Teluk itu yang kebanyakan rakyatnya Syiah tetapi diperintah keluarga Sunni.
Bahrain, yang menempatkan Angkatan Kelima Tentera Laut Amerika Syarikat, dicengkam pemberontakan sejak bulan lepas.Tujuh orang terbunuh dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan dan beribu-ribu anggota gerakan belia yang digelar 14 Februari masih menduduki Bulatan Mutiara di ibu kota, tetapi pihak pembangkang semakin berpecah-belah.Pemimpin pembangkang yang sederhana menyeru golongan yang enggan bertolak ansur agar membatalkan perbarisan yang dirancangkan semalam, sambil berkata ia boleh mencetuskan pertelagahan antara Syiah dengan Sunni.Golongan sederhana yang diketuai parti terbesar Syiah, Wefaq, menuntut pembaharuan perlembagaan dan menyeru diadakan satu perhimpunan kurang provokatif semalam. -- Reuters.

Jepun dilanda gempa dan tsunami



TSUNAMI MENGGANAS: Gelombang setinggi 10 meter mengganas dan melanda kawasan perumahan di bandar Natori, di wilayah Miyagi, selepas Jepun digegarkan dengan satu gempa kuat di kawasan luar pantai timur laut negara itu semalam. -- Foto AP.

TOKYO: Satu gempa bumi sekuat 8.9 di skala Richter melanda timur laut Jepun hingga membakar sebuah loji kuasa nuklear dan mencetuskan tsunami 10 meter yang telah 'membaling' kapal-kapal ke darat. Kejadian itu turut mengorbankan sekurang-kurangnya 90 orang dan 56 hilang.
Ini gempa terkuat pernah melanda Jepun.Polis berkata ramai lagi yang cedera di Tokyo dan dan kawasan perairan pulau utama Honshu.Sedutan televisyen menunjukkan beberapa tempat musnah teruk atau dilanda banjir.Satu tsunami raksasa 10 meter melanda dekat bandar Sendai. Air hitam menghumbankan kontena kapal, kereta dan serpihan bangunan ke jalan raya dan tanah ladang.Pemerintah berkata tsunami dan gempa itu, yang dapat dirasakan di Beijing sejauh 2,500 kilometer, telah mengakibatkan 'kerosakan yang hebat' sedang gambar dari udara menunjukkan banjir-banjir besar di bandar-bandar di utara.Gempa itu juga merupakan gegaran kelima terkuat pernah dirasakan di seluruh dunia sejak 1900, dan gempa ketujuh terkuat dalam sejarah, menurut US Geological Survey (USGS) dan ahli kaji gempa Jepun.Pusat Amaran Tsunami Pasifik telah mengeluarkan satu amaran meluas ke Amerika Selatan, New Zealand dan Hawaii.Namun kebimbangan bahawa tsunami itu boleh merosakkan kawasan-kawasan di seberang Lautan Pasifik berkurang apabila ombak-ombak melanda Russia dan Taiwan tidak mengakibatkan banyak kerosakan.Sedutan televisyen menunjukkan ombak berlumpur mengalir deras di kawasan kediaman berhampiran Sungai Natori di Sendai.Televisyen NHK melaporkan, beberapa puluh rumah hanyut di Wilayah Miyagi.Tsunami itu juga sampai ke lapangan terbang Sendai hingga menenggelamkan landasan kapal terbang sedang satu proses pencairan, yang terjadi akibat gerakan bumi yang terlalu kuat, telah mencairkan beberapa bahagian tanah di situ.Sebuah kapal dengan 100 orang dihanyutkan tsunami itu, lapor agensi berita Kyodo.Kebakaran tercetus di sebuah bangunan turbin di loji nuklear Onagawa di Miyagi semalam, lapor Kyodo News. Namun tidak diketahui jika ada kebocoran radioaktif.Namun pihak berkuasa semalam telah mengarahkan 2,000 penduduk berhampiran satu loji nuklear di Fukushima berpindah.Di ibu kota, jutaan orang berlari keluar daripada bangunan-bangunan yang bergoyang.Gegaran pertama dirasakan hampir 400 kilometer ke timur laut Tokyo, kata USGS, diikuti lebih 10 gegaran susulan, ada sekuat 7.1 pada skala Richter.Perdana Menteri Naoto Kan segera menghimpunkan kabinetnya selepas gempa itu dan kerajaannya telah menghantar kapal-kapal tentera laut ke Miyagi.Gempa itu telah menjejas sistem pengangkutan utama termasuk lapangan terbang Narita, yang menutup landasannya.Gegaran itu, yang terjadi pada 2.46 petang, telah menggegarkan bangunan-bangunan di Tokyo, kawasan bandar terbesar di dunia dan tempat tinggal 30 juta orang.Loji-loji nuklear dan kereta api lajunya berupaya dipadam secara automatik jika terjadi gegaran. Kebanyakan bangunannya pula direka agar kalis gempa. -- AFP, Reuters.
http://cyberita.asia1.com.sg

Lebih 1,300 terkorban




PENDUDUK berjalan melalui jalan yang dipenuhi kayu-kayan dan pelbagai serpihan kesan daripada tsunami yang tercetus oleh gempa bumi di bandar Sendai, Miyagi di Jepun, semalam. Sendai adalah bandar terdekat dengan pusat gempa. - REUTERS


TOKYO 12 Mac - Lebih 1,300 orang terkorban selepas gempa bumi paling kuat pernah dirakamkan di Jepun mencetuskan tsunami setinggi 10 meter yang melanda pantai timur laut negara ini.
Ketika gegaran susulan terus melanda Jepun hari ini, termasuk satu yang berukuran 6.8 pada skala Richter, kerajaan mentaksir tahap kerosakan akibat gempa bumi berukuran 8.9 pada skala Richter yang berlaku selepas tengah hari semalam.
Bilangan kematian dijangka mencecah angka jauh melebihi 1,300 orang, kata Ketua Setiausaha Kabinet, Yukio Edano.
Pihak berkuasa menemui beratus-ratus mayat, manakala lebih 1,000 orang masih hilang dan ramai lagi cedera, lapor media.
Kerajaan bimbang lebih banyak gegaran susulan kuat boleh mendatangkan lagi kemusnahan, sementara Agensi Meteorologi mengeluarkan amaran tsunami seterusnya untuk banyak kawasan pantai di negara ini.
Agensi itu berkata, lebih 100 gegaran susulan telah berlaku, kebanyakannya lebih kuat daripada 6.0 pada skala Richter.
Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) di Washington melaporkan, sekurang-kurangnya lima gegaran susulan melebihi 5.5 pada skala Richter direkodkan dalam tempoh sejam sekitar tengah hari ini (11 pagi waktu Malaysia), termasuk gegaran sekuat 6.8 pada skala Richter dekat pantai timur Honshu, pulau terbesar di Jepun.
Akhbar perniagaan Nikkei berkata, kira-kira 210,000 penduduk dipindahkan di timur laut Jepun, manakala beribu-ribu lagi yang terkandas di Miyagi masih menantikan bantuan.
Pasukan penyelamat mencari mangsa di celah-celah runtuhan bangunan di banyak bandar yang ditenggelami air.
Askar dan pasukan penyelamat lain dikejarkan ke bahagian timur laut negara ini, manakala bantuan antarabangsa juga dihantar ke kawasan bencana, termasuk 140 anggota penyelamat dari Amerika Syarikat (AS) dan 48 anggota dari New Zealand.
Kerajaan Jepun mengerahkan 50,000 anggota pasukan pencari dan penyelamat, dan menghantar 190 pesawat udara dan bot ke kawasan yang dilanda gempa bumi dan tsunami.
Beribu-ribu rumah musnah, beberapa jambatan runtuh, perkhidmatan bas dan kereta api terhenti dan banyak jalan ditutup, sementara rangkaian telefon mudah alih dan perkhidmatan talian tetap turut terjejas.
Di bandar Rikuzen Takata, antara kawasan paling teruk dilanda bencana, kira-kira 5,000 daripada 8,000 rumah musnah. - dpa
http://www.utusan.com.my

Kenduri tukar pilu

myMetro
BALING: “Mak Su (Wan Sarwani) sepatutnya mengadakan kenduri bersama ahli keluarga seperti dirancangnya semalam (kelmarin) tetapi majlis itu tiba-tiba bertukar menjadi pilu dan sedih apabila hanya jenazahnya serta dua anaknya yang tiba.”
Begitu kata Zulkhairi Ishak, 25, anak saudara kepada Wan Sarwani Zainol, 34, yang terbunuh bersama dua anaknya, Muhammad Izwan Hanif Mohd Zainuddin, 9, dan Muhammad Imran Haziq, 3, dalam kemalangan di Kilometer 55 Jalan Raya Timur Barat di Grik, Perak, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari, Wan Sarwani bersama Muhammad Imran Haziq dan Muhammad Izwan Hanif mati di tempat kejadian manakala suaminya Mohd Zainuddin Omar, 35, serta seorang lagi anak mereka, Muhammad Iqbal Hakim, 13, cedera parah.
Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Perodua Alza dipandu Mohd Zainuddin terbabas ketika menuruni selekoh dan memasuki laluan bertentangan sebelum dirempuh oleh kereta pelbagai guna (MPV) Toyota Wish dari arah bertentangan.

Zulkhairi berkata, ibu saudaranya menelefonnya untuk bertanya khabar kira-kira dua hari lalu dan memberitahu mahu mengadakan kenduri, malah menghubungi tiga abangnya supaya pulang ke Felda Teloi Timur, Kuala Ketil, di sini, pada hujung minggu.

Katanya, selepas itu ibu saudaranya tidak menghubunginya lagi dan dia pelik kerana biasanya jika mahu pulang ke kampung, Wan Sarwani pasti menelefonnya atau ahli keluarga terlebih dulu.
“Saya bersama bapa saudara lain hanya menanti kepulangan keluarga Mak Su di rumah semalam (kelmarin), malah makanan disiapkan kerana biasanya mereka tiba antara jam 1 atau 2 petang, namun sehingga jam 2 petang kelibat mereka masih tidak muncul.

“Ketika itu saya berasa tidak sedap hati dan percaya mungkin sesuatu yang buruk berlaku kerana telefon bimbit Mak Su tidak berjawab walaupun dihubungi berulang kali, menyebabkan kami sekeluarga bertambah resah.
“Namun, saya terkejut apabila menerima panggilan telefon daripada Hospital Kubang Kerian, kira-kira jam 5.30 petang memaklumkan Mak Su serta sekeluarga terbabit dalam kemalangan di Grik dan kini berada di Hospital Taiping,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Felda Teloi Timur, di sini, semalam.

Katanya, bapanya memberitahu kelmarin dia bermimpi melihat kematian berlaku, tetapi tidak tahu siapa dan di mana, namun tidak sangka sama sekali mimpi itu petanda mereka kehilangan ahli keluarga.

“Saya sedih dan tidak menyangka akan kehilangan tiga ahli keluarga serentak dalam sekelip masa, tetapi tetap reda dengan ketentuan Ilahi,” katanya.

Sementara itu, suasana sedih menyelubungi rumah abang mangsa, Ishak Ismail apabila jenazah Wan Sarwani serta dua anaknya, Muhammad Imran Haziq dan Muhammad Izwan Hanif dimandi serta dikapan untuk disemadikan.

Ketiga-tiga jenazah itu kemudian disembahyangkan di Masjid An-Nur kira-kira jam 11 pagi sebelum dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Felda Teloi Timur.

Rakyat Arab Saudi belum sedia protes

Berita Harian

2011/03/13


  • Foto

    PENUNJUK perasaan Syiah ditahan anggota tentera ketika tunjuk perasaan di wilayah timur Al-Qateef, kelmarin.

  • Foto

    PENGANUT Syiah berkumpul ketika demonstrasi menuntut perubahan dan pembebasan tahanan Syiah di wilayah timur Al-Qateef, kelmarin.

Gesaan tunjuk perasaan tak dapat sambutan

RIYADH: Rakyat Arab Saudi sememangnya dahagakan perubahan politik dan ekonomi tetapi kegagalan ‘Hari Kemarahan’ yang digesa aktivis siber kelmarin, menunjukkan mereka tidak bersedia memberontak, kata penganalisis.
Tiada rusuhan dilaporkan di negara itu kelmarin, selepas pasukan keselamatan melancarkan gerakan besar-besaran menghalang penunjuk perasaan daripada mematuhi gesaan Facebook untuk berhimpun di jalanan.
“Saya berpendapat penduduk Arab Saudi bersedia berubah tetapi belum bersedia memberontak. Ini menunjukkan mengapa gesaan untuk bantahan gagal,” kata aktivis hak asasi kemanusiaan, Fuad al-Farhan.

Perhimpunan mendesak perubahan demokratik di negara pemerintahan beraja itu sepatutnya bermula selepas solat Jumaat kelmarin, tetapi masjid kosong tanpa tanda rusuhan, sebaliknya hanya pasukan keselamatan kelihatan berkawal.

Bagaimanapun media melaporkan keadaan tegang berlaku di wilayah timur Al-Qateef, di mana tiga penunjuk perasaan Syiah ditembak mati dan cedera dalam usaha polis menyuraikan demonstrasi, Khamis lalu.

Satu demonstrasi menuntut perubahan dan pembebasan tahanan Syiah juga berlaku pada Jumaat, kata seorang saksi, tetapi tiada laporan mengenai rusuhan.
Farhan menjangkakan gesaan mengadakan protes lain melalui aktivis secara online untuk menggunakan cara sama pada 20 Mac ini.

Penganalisis berkata kebanyakan panggilan untuk demonstrasi yang haram di Arab Saudi adalah berdasarkan luar negara dan tidak mendapat sebarang sokongan tempatan.

Ulama Arab Saudi juga me-nyokong tindakan menghentikan rancangan bantahan berkenaan dan menasihatkan rakyat tidak menyertainya kerana menyifatkannya bertentangan dengan Islam dan menyebabkan huru-hara. – AFP

Ratu porno selamat dalam gempa bumi

Kosmo!



MIYABI


JAKARTA - Nasib pelakon pornografi Jepun, Maria Ozawa menarik perhatian ramai selepas negara tersebut dilanda gempa bumi dan tsunami kelmarin.

Para peminatnya di Indonesia yang mengenalinya dengan gelaran Miyabi tertanya-tanya keadaan pelakon itu selepas bencana tersebut.

Akhbar Kompas semalam melaporkan Miyabi menulis di akaun laman sosial Twitter miliknya menyatakan bahawa dirinya selamat.

"Setelah gempa bumi, saya selamat dan berada di kem bersama semua anggota pasukan pengurusan saya," tulis Miyabi dalam bahasa Jepun.

Pasangan cacat penglihatan bertemu jodoh

Kosmo!

MUHAMMAD ADAM (tiga dari kanan) dan Nurul Khairani (empat dari kanan) bergambar bersama ahli keluarga dan rakan-rakan selepas diijab kabul di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Biarpun tidak dapat melihat, ia tidak menghalang bagi pasangan mualaf untuk mendirikan rumah tangga seperti insan normal lain.
Muhammad Adam Lee Abdullah, 39, selamat diijab kabul bersama Nurul Khairani Choi Abdullah, 37, dengan mas kahwin RM80 di surau Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) semalam.
Adam yang telah memeluk agama Islam 17 tahun lalu menceritakan detik pertama perkenalannya bersama Nurul.
"Saya mula mengenali Nurul selepas salah seorang rakan saya memberikan nombor telefon Nurul kepada saya. Pada mulanya kami hanya berkenalan atas dasar saudara sesama Islam.
"Hari ini (semalam) genap dua tahun tempoh perkenalan kami serta Nurul memeluk agama Islam," katanya selepas majlis akad nikah semalam.
Ceritanya lagi, sepanjang perkenalannya, mereka selalu bertukar-tukar pendapat serta bercerita mengenai agama Islam.
Adam juga mempunyai kelebihan dalam menterjemah buku atau apa-apa penulisan ke dalam bentukbraille dengan menggunakan komputer.
Nurul yang berwalikan hakim semalam memberitahu, keluarga tidak pernah menghalang dirinya untuk memeluk agama Islam dan berkahwin sekali lagi.
"Saya pernah berkahwin lapan tahun lalu tetapi sudah bercerai. Adam sanggup menerima diri saya seadanya dan juga anak-anak saya yang berumur 10 dan 12 tahun.
"Adam telah menganggap anak-anak saya seperti anak kandungnya sendiri. Dia banyak mengajar saya dalam mendalami agama Islam," jelasnya.
Mereka yang baru membina tiang masjid itu mempunyai perancangan tersendiri dalam merangka perjalanan hidup selepas bergelar suami isteri.
Tambahnya, ramai pihak yang telah terlibat dalam membantu perkahwinan mereka dengan menaja pakaian pengantin, alat solek serta hiasan.