Showing posts with label tempur. Show all posts
Showing posts with label tempur. Show all posts

Tuesday, September 6, 2011

18 terbunuh pertempuran etnik, agama di Nigeria

JOS(Nigeria): Lapan belas individu dilaporkan terbunuh di sebuah kawasan yang dilanda pertempuran etnik dan agama, dekat Nigeria, kata seorang pegawai hari ini.

Penasihat kepada Gabenor negeri Plateau, Pam Ayuba, berkata 18 terbunuh malam semalam manakala 10 lagi cedera berhampiran ibu negeri Plateau.
Beliau berkata, kerajaan sedang berusaha untuk menguatkuasakan undang-undang dan mengembalikan ketenteraman.
Pesuruhjaya Polis, Komisioner Emmanuel Dipo Ayeni mengesahkan serangan itu, tetapi tidak mengenal pasti angka mangsa.

Nigeria adalah sebuah negara yang kaya dengan minyak dan mempunyai seramai 150 juta penduduk, berpecah antara orang Islam di utara manakala majoriti Kristian di kawasan selatan. - AP

Negeri Plateau dalam ketegangan di mana berpuluh-puluh kumpulan etnik bersaing untuk mengawal kawasan subur dan kuasa politik serta ekonomi. 

Tuesday, August 2, 2011

Pertempuran akibat pilihan raya di Papua, empat lagi maut



JAYAPURA 1 Ogos - Empat maut sementara lima yang lain cedera parah apabila satu lagi pertempuran berkaitan pilihan raya berlaku di sini hari ini, menjadikan jumlah angka korban akibat pertempuran sama di daerah ini meningkat kepada 21 orang dalam tempoh dua hari.
Insiden terbaru itu berlaku di kampung Nafri, apabila sekumpulan penyerang menghalang laluan beberapa kenderaan di tempat kejadian sebelum menyerang pemandu dan penumpangnya dengan kapak, senapang dan parang.
Dua penumpang sebuah kenderaan pacuan empat roda ditetak hingga mati, sementara seorang lagi yang maut merupakan penumpang sebuah teksi.
Seorang lagi mangsa yang meninggal dunia dikenal pasti sebagai anggota tentera, Prebet Dominikus Kerap.
Penyerang dilapor turut menyerang hendap sebuah pengangkutan awam menyebabkan sekurang-kurangnya lima cedera parah terkena tembakan dan semua mangsa kini dirawat di Hospital Abepura.
Jurucakap polis Papua, Wachyono berkata, pihaknya masih menjalankan penyiasatan di lokasi kejadian.
Sekurang-kurangnya 17 orang terbunuh, manakala beberapa orang lagi cedera dalam pertempuran antara dua kumpulan penyokong ahli politik di sini, semalam.
Jelas Wachyono, perusuh yang bersenjatakan anak panah dan getah mentah bertempur di luar bangunan majlis tempatan di daerah Puncak.
Media tempatan melaporkan, pertembungan tercetus apabila suruhanjaya pilihan raya tempatan enggan mendaftar calon untuk bertanding dalam pilihan raya yang dijadual diadakan pada November ini bagi jawatan ketua daerah. - AFP/dpa
http://www.utusan.com.my

Friday, April 29, 2011

Konflik sempadan Thai, Kemboja tamat


PHNOM PENH: Thailand dan Kemboja akhirnya bersetuju melaksanakan gencatan senjata semalam, selepas seminggu tentera kedua-dua negara bertempur menyebabkan sekurang-kurangnya 15 maut serta lebih 60,000 menjadi pelarian.
Perjanjian itu menamatkan pertempuran di sana-sini, termasuk membabitkan senjata berat dan roket kedua-dua pihak.

Kementerian Pertahanan Kemboja berkata, kedua-dua negara bersetuju mengekalkan tentera masing-masing di kawasan itu dan pegawai kanan akan mengadakan pertemuan dari semasa ke semasa.

Pertikaian sempadan yang berpanjangan itu pula diserahkan kepada Suruhanjaya Persempadanan Bersama Thailand - Kemboja untuk diputuskan selepas badan itu dibentuk sedekad lalu.

Bangkok dan Phnom Penh juga bersetuju membuka pusat pemeriksaan sempadan berhampiran dua kuil Hindu abad ke-12 yang menjadi pertikaian.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan bila penduduk kampung dibenarkan kembali ke kediaman masing-masing di kawasan terpencil itu. - Reuters, mymetro

Tuesday, April 26, 2011

Thai mahu runding


PHANOM DONG RAK (Thailand): Tentera Thai dan Kemboja bertempur lagi semalam, hari keempat berturut-turut yang menyaksikan sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh dan menyebabkan hampir 50,000 penduduk berpindah ke pusat perlindungan sementara.
Bunyi tembakan dan letupan kedengaran di kawasan berhampiran dua kuil Hindu abad ke-12 di sempadan kedua-dua negara. Dalam pada itu, Thailand menggesa supaya kerajaan Kemboja berunding secara bersemuka dengannya dalam menyelesaikan perbalahan bersenjata itu.

Gesaan itu dibuat selepas Menteri Luar Indonesia yang juga Pengerusi Asean Marty Natalegawa, membatalkan lawatan ke kedua-dua negara. Marty sebelum ini menjadi orang tengah dalam mendamaikan kedua-dua pihak pada 22 Februari lalu dengan cadangan menghantar pemerhati tentera Indonesia ke kawasan sempadan kedua-dua negara.

Thailand menolak kehadiran pemerhati antarabangsa tetapi Menteri Luarnya, Kasit Piromnya semalam membayangkan ia mungkin mengubah pendirian.

Pertempuran berhampiran dua kuil itu menyusuli pertempuran empat hari Februari lalu yang menyebabkan 11 orang terbunuh berhampiran Preah Vihear, kira-kira 150 kilometer ke timur.

Pertempuran terbaru tertumpu di kawasan berhampiran Kuil Ta Moan and Ta Krabey, berdekatan kawasan hutan yang penuh dengan periuk api dan dituntut oleh kedua-dua negara. Kementerian Pertahanan Kemboja berkata semalam, pengeboman tentera Thai menyebabkan kuil terbabit rosak. Kira-kira 17,000 penduduk di sebelah sempadan Kemboja dipindahkan sementara sebuah sekolah dan 10 rumah musnah.


Jurucakap kerajaan Kemboja, Phay Siphan berkata, beberapa warga Thai ditahan atas dakwaan mengintip. - AP

Friday, March 11, 2011

13 maut rakyat Islam, Kristian Mesir bertempur

Utusan Malaysia


KAHERAH 10 Mac - Pertempuran maut antara masyarakat Kristian Qibti dengan penganut Islam malam kelmarin di bandar ini yang meragut 13 nyawa, memburukkan lagi ketegangan kaum dan meningkatkan kebimbangan di kalangan penduduk Kristian tentang kedudukan mereka di Mesir.
Keganasan itu tercetus semasa satu bantahan berlangsung di kawasan miskin Manshiyet Nasr, lokasi kebanyakan masyarakat Kristian bekerja sebagai pengutip sampah.
Kira-kira 100 penganut Kristian menyekat sebatang jalan raya bagi menuntut kerajaan membina semula sebuah gereja di luar Kaherah yang dimusnahkan penganut Islam Jumaat lalu.
Mereka dilapor marah dengan hubungan percintaan terlarang melibatkan seorang lelaki Kristian dengan wanita Islam yang kemudian berubah menjadi pertelingkahan antara keluarga.
Seorang penganut Kristian, Ashraf Ramzy yang mengalami kecederaan di kepala selepas pertempuran itu menyifatkan kejadian itu sebagai menakutkan kerana tentera tidak campur tangan.
"Penganut Islam berdiri di belakang tentera dan melaungkan 'tentera dan rakyat adalah satu', yang juga slogan yang biasa didengar semasa revolusi Mesir.
"Adakah itu bermaksud kami bukan rakyat negara ini?," kata Ramzy.
Seorang lagi penganut Kristian, Mina Magdy berkata, keadaan kini menjadi semakin buruk selepas Presiden Hosni Mubarak digulingkan kerana tentera dikatakan tidak berbuat apa-apa untuk melindungi masyarakat Kristian.
"Lihatlah apa yang berlaku kepada kami. Mubarak memang teruk, tetapi situasi kini semakin tegang," katanya.
Tambahnya, penduduk di kejiranan Kristian juga tidak berani keluar dari rumah semalam kerana bimbang serangan sama akan berulang. - Agensi