Sumpahan Mahsuri sekitar kurun ke-18 lalu mencetuskan kisah hitam terhadap sejarah Pulau Langkawi.
Generasi keenam Datuk Pekerma Jaya atau juga dikenali sebagai Wan Yahya, Che Ah Che Ngu, 83, menceritakan perjalanan hidup waris Wan Yahya kepada wakil Sinar Harian.
Menurutnya, bermula dari generasi kelima keturunan Wan Yahya tidak lagi menggunakan pangkal nama Wan.
Datuk kepada Che Ah, Wan Yom memberi pangkal nama Che kepada ketiga-tiga anaknya iaitu Che Dah, Che Teh serta Che Ngu yang merupakan ayah kepada Che Ah.
Ia berikutan, Wan Yahya melakukan kesilapan kerana terlalu mengikut cakap isterinya Wan Mahora yang juga dikenali sebagai Mas Jingga sehingga Mahsuri yang tidak berdosa mati teraniaya.
Oleh kerana itu, nama Wan tidak diterima baik pada masa itu terutamanya bagi keturunan Mahsuri.
Sementara itu, Che Ah berkata, Wan Yahya mempunyai sebuah pedana yang digunakan untuk mandi sebelum keluar berperang malah semua tenteranya turut mandi di pedana itu.
“Air di dalam pedana itu dikatakan sangat sejuk dan boleh menyembuhkan sakit-sakit ringan seperti sakit kepala sekiranya disapukan di bahagian kepala yang sakit.
“Pedana itu merupakan satu-satunya barang warisan yang masih disimpan oleh keluarga Che Ah untuk dijadikan kenang-kenangan,” katanya.
Sebelum ini keluarga Che Ah turut menyimpan Panji Datuk Wan Ali, tetapi diserahkan kepada pihak Muzium Negeri Kedah.
“Kami ada meminta pihak muzium menyerahkan kembali bendera itu tetapi, mereka meminta kebenaran untuk mengabadikannya sebagai warisan pihak muzium dan memberikan sijil penghargaan kepada kami,” katanya.
Panji itu mempunyai kisah tersendiri kerana menurut Che Ah, rumah yang menyimpan panji terbabit tidak terbakar semasa diserang tentera Siam walaupun rumah di sekeliling hangus terbakar.
Kini waris Wan Yahya menjalinkan hubungan baik dengan waris Mahsuri dan menurut Che Ah mereka sudah tidak berdendam malah waris ke tujuh Mahsuri pernah datang melawatnya di Langkawi satu ketika dulu.