Sunday, September 29, 2013

Wanita misteri hilang di celah dinding

Wanita misteri hilang di celah dindingAzim merakamkan lokasinya bertemu dengan wanita berpakaian kilang dan hilang di celah lubang kecil.

SUNGAI NIBONG - Pengalaman terserempak dengan wanita berpakaian kilang dan kemudiannya menghilangkan diri di celah dinding mungkin tidak dapat dilupakan seorang lelaki.

Dia yang dikenali dengan nama Azim berkongsi kisah berkenaan kepada Sinar Harian.

Azim berkata, kejadian berlaku ketika dia memandu di bawah jejantas Sungai Nibong kira-kira jam 11 malam.

Menurutnya, ketika itulah dia terpandang wanita berpakaian kilang duduk di atas batu dengan wajahnya yang begitu muram.

“Tanpa ragu-ragu saya pun terus ingin bertanya jika dia (wanita) perlukan bantuan, dan ketika saya baru hendak berjalan menuju ke arahnya serta merta dia masuk di celah dinding jejantas berkenaan.

“Pada mulanya saya terkejut kenapa dia lari dan bergegas saya mengejarnya kerana bimbang keadaan yang amat gelap di situ, tetapi alangkah terkejutnya saya apabila ternampak ruang berkenaan begitu sempit iaitu sebesar ibu jari saya saja,” katanya kepada Sinar Harian.

Kejadian itu terus membelenggu dalam ingatan Azim sehingga kini.

Sama seperti Azim, rakannya, Zul turut melalui pengalaman yang sama ketika jam 3 pagi apabila terserempak dengan wanita berpakaian kilang sama seperti yang dilihat Azim.

Zul berkata, dia terserempak dengan wanita itu setiap tiga malam berturut-turut dan pada masa yang hampir sama.

“Hari ketiga saya bertekad untuk memandang mukanya, apabila saya nampak mukanya, ada raut persis wanita Indonesia tapi dalam keadaan yang amat sugul dan menyedihkan, apa lagi, terus saya memandu laju,” katanya.

Ketika berkongsi kisah berkenaan dengan rakan-rakan yang lain, lokasi berkenaan dipercayai menjadi kawasan panas kemalangan jalan raya.

Ada yang beritahu ada kanak-kanak sekolah yang dilanggar beberapa kali di situ hingga menemui ajal.

Tun Dr. M sangkal laporan The Economist mengenai Mukhriz

PUTRAJAYA 29 Sept. - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyangkal laporan The Economist bahawa anaknya Datuk Mukhriz akan menjadi ancaman kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sekiranya beliau menang dalam perebutan jawatan Naib Presiden UMNO kelak.
Dr. Mahathir berkata, majalah kewangan yang berpejabat di London, United Kingdom itu tidak boleh memikirkan sebarang perkara baik untuk ditulis terhadap sesiapa pun.
"Di Malaysia, kita (anggota politik) tidak mengamalkan budaya jahat itu... iaitu menyingkirkan sesiapa," katanya secara ringkas kepada pemberita selepas menghadiri Hari Terbuka Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.
The Economist, dilaporkan berkata jika Mukhriz yang juga menteri besar Kedah menang, beliau akan diajak oleh kumpulan anti-Najib sebagai proksi bapanya dan kemudiannya seorang perdana yang lemah boleh digulingkan melalui satu gerakan dalaman.
Ditanya mengenai pandangan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dalam satu ceramah baru-baru ini bahawa kerajaan perlu menyemak semula perjanjian dengan Sabah dan Sarawak dalam memastikan kepentingan dua negeri itu dilindungi selepas membantu pembentukan Malaysia, beliau berkata: "Kerajaan telah menguruskan perkara itu."
Bagaimanapun, Dr. Mahathir enggan mengulas lanjut mengenainya.
Terdahulu, beliau dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd. Ali membaca buku cerita kepada kanak-kanak di perpustakaan yang terletak di dalam bangunan yayasan itu dan melawat gerai pameran di sana.
Selepas menghadiri hari terbuka Yayasan Kepimpinan Perdana, beliau dan isteri turut menghadiri majlis penyampaian hadiah kepada pemenang Sirkit Pancing Putrajaya siri ketiga tahun 2013 bersempena sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia anjuran Perbadanan Putrajaya di Tasik Presint 8 di sini.
Dr. Mahathir menyampaikan hadiah kepada pemenang sirkit pancing itu.
Nik Nazriariffin Nik Hassan, 34, muncul juara dengan memenangi hadiah pertama berjumlah RM7,000 setelah menangkap ikan tenggalan seberat 3.1 kilogram (kg).
Tempat kedua yang menawarkan hadiah wang tunai RM5,000 dimenangi Mohd Akmal Hashim, 26, dengan tangkapan ikan tenggalan seberat 2.4 kg, manakala tempat ketiga dimenenangi Rosli Chik Mat, 45, yang memenangi hadiah wang tunai RM3,000 selepas menaikkan ikan tenggalan seberat 1.9 kg.
Turut hadir Presiden Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Aseh Che Mat. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130929/dn_27/Tun-Dr-M-sangkal-laporan-iThe-Economisti-mengenai-Mukhriz#ixzz2gHXOlNgw
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pemberontak MNLF tewas

Pemberontak MNLF tewasSETIAUSAHA Dalam Negeri dan Kerajaan Tempatan, Mar Roxas (tengah) dan Setiausaha Pertahanan Filipina Voltaire Gazmin (kanan) meninjau kawasan pertempuran antara tentera kerajaan dan pemberontak MNLF di Zamboanga semalam. - Foto AFP

Kempen tentera kerajaan Filipina ke atas pemisah berakhir

MANILA: Kempen tentera kerajaan Filipina ke atas pemberontak yang menentang rundingan damai, berakhir semalam, dengan hampir 500 militan terbunuh atau ditahan, manakala 200 tebusan dibebaskan di selatan negara itu.

“Ancaman ke atas Zamboanga sudah berakhir. Tiada lagi kubu musuh yang tinggal,” kata jurucakap tentera Leftenen Kolonel Ramon Zagala.
Beliau berkata, polis akan mengambil alih kawalan keselamatan daripada tentera untuk ‘membersihkan’ pusat perdagangan wilayah yang dikuasai Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) dan memburu pemimpin gerila Nur Misuari yang masih bebas.


Tentera berkata, Nur Misuari yang mengasaskan MNLF pada awal 1970an, menghantar beratus-ratus pengikutnya diketuai Leftenen Habier Malik, ke Zamboanga tiga minggu lalu dalam usaha melengahkan rundingan sebuah lagi kumpulan pemisah Islam yang menjadi pesaingnya.

Sejumlah 183 pemberontak terbunuh, manakala 292 lagi ditahan sepanjang pertempuran yang berlarutan sejak tiga minggu lalu. Bagaimanapun Misuari dan Malik gagal ditemui. Kerajaan percaya Misuari bersembunyi di sebuah kawasan lain di wilayah selatan.

Zagala berkata pihak berkuasa sedang memeriksa identiti beberapa lelaki bersenjata yang terbunuh untuk mengenal pasti jika Malik adalah salah seorang daripada mereka.

Jabatan kehakiman juga mengumumkan rancangan untuk memfailkan pertuduhan ke atas pemberontak yang ditahan termasuk Misuari. Seramai 23 askar dan polis selain 12 orang awam terbunuh dalam pertempuran itu.
Militan menahan sejumlah tebusan ketika mereka menawan beberapa daerah di pesisir pantai Zamboanga yang mempunyai sejuta penduduk. Kerajaan menghantar 4,500 tentera untuk menentang mereka.

Lebih 10,000 rumah turut dibakar dalam pertempuran sengit di jalanan yang memaksa lebih 100,000 orang atau satu persepuluh daripada jumlah penduduk Zamboanga melarikan diri.

Pegawai kerajaan Filipina berkata, pihaknya percaya bahawa semua 195 tebusan yang ditahan kumpulan pemisah sama ada berjaya melarikan diri, dibebaskan atau diselamatkan pasukan bersenjata. - AFP

Pendek kerana kurang minum susu


2013/09/29
Bangkok: Golongan muda Thailand kebiasaannya pendek kerana mereka tidak minum banyak susu, kata Menteri Kesihatan Awam, Pradit Sintawanarong.

Ini berdasarkan kajian kementerian berkenaan yang mendapati purata ketinggian remaja lelaki berusia 18 dan 19 tahun ialah 167.1 sentimeter, manakala bagi perempuan, 157.4 sentimeter.
Kurangnya amalan minum susu dipercayai punca utama mengapa ketinggian mereka begitu, kata Dr Pradit.

Penduduk Thai kurang minum susu berbanding di negara lain di Asia Tenggara dengan purata 14 liter susu seorang setiap tahun.

Ini berbanding dengan kadar purata negara lain serantau sebanyak 60 liter manakala kadar antarabangsa, 103.9 liter setahun, katanya lagi.

Ketua Pengarah Jabatan Kesihatan Thailand, Pornthep Siriwanarangsan, berkata pihak kementerian merancang untuk menaikkan kadar ketinggian remaja lelaki Thai berusia 18 tahun kepada 175 sentimeter dan 162 sentimeter bagi remaja perempuan.

Kementerian itu juga mahu mempromosi amalan menyusu bayi bagi enam bulan pertama selepas kelahiran selain kanak-kanak minum dua hingga tiga gelas susu sehari, manakala yang lebih tua, dua gelas sehari, kata Dr Pradit. - AGENSI

5 maut serang hendap di Narathiwat


NARATHIWAT 28 Sept. - Seramai empat anggota polis dan seorang penduduk kampung terbunuh dan 12 lagi cedera akibat satu serangan hendap yang dilancarkan kumpulan pemisah di wilayah selatan Thailand, semalam.
Pegawai polis, Kapten Prachaup Nimruang berkata, konvoinya bersama 15 anggota diserang kira-kira 20 anggota pemisah ketika dalam perjalanan pulang ke pangkalan selepas menyiasat kes letupan bom di daerah Ruso.
"Seorang penduduk terbunuh selepas memandu kereta di lokasi kejadian berbalas tembakan antara pihak keselamatan dan kumpulan pemisah.
"Empat anggota polis maut selepas kenderaan yang mereka naiki terbabas ketika dalam perjalanan untuk memberi bantuan kepada kami yang sedang bertempur dengan kumpulan bersenjata terbabit," katanya. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130929/lu_09/5-maut-serang-hendap-di-Narathiwat#ixzz2gEi50thB
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Bekas ratu cantik hina Islam dalam poster


ANTWERP 28 Sept. - Pereka kasut terkemuka, Christian Louboutin hari ini memohon perintah injunksi agar satu kempen anti-Islam dihentikan, selepas mendapati produknya digunakan dalam poster kempen itu.
Bekas Ratu Cantik Belgium 1991, Anke Van Dermeersch (gambar) yang juga Senator dari Parti Vlaams Belang, kini giat menjalankan kempen menentang pendatang asing terutamanya orang Islam.
Dalam poster kempennya yang bertajuk 'Wanita menentang Keislaman', Van Dermeersch dilihat memakai sepasang kasut tinggi Louboutin hitam dengan tapak berwarna merah, sambil mengangkat skirt berwarna hitam yang dipakainya.
Ia jelas menunjukkan bahagian kaki Senator itu yang tertera perkataan menghina Islam antaranya perkara berkaitan 'kesesuaian Syariah' diletakkan di paras buku lali, manakala 'hukuman merejam' di bahagian paha.
Van Dermeersch yang tampil ke mahkamah Antwerp hari ini, turut dilihat memakai kasut sama seperti digunakan dalam poster kempen anti-Islam tersebut.
Louboutin yang menjalankan perniagaan beribu pejabat di Paris mendakwa, poster itu menjejaskan imej jenama kasut mewahnya yang turut dipakai oleh bintang terkenal seperti Victoria Beckham, Rihanna, Kim Kardashian dan Kate Moss. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130929/lu_08/Bekas-ratu-cantik-hina-Islam-dalam-poster#ixzz2gEhsz4fx
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Peserta Filipina dinobat Miss World 2013


Peserta Filipina, Megan Young dinobatkan sebagai pemenang pertandingan ratu cantik Miss World di Nusa Dua, Bali, Indonesia semalam.-AP


NUSA DUA, Bali - Peserta Filipina, Megan Young dinobat sebagai Miss World dalam pertandingan ratu cantik berkenan yang berlangsung di sini semalam.
Young mengenepikan lima finalis lain termasuk peserta Perancis dan Brazil.
Acara berprestij itu disiarkan secara langsung di lebih 180 negara.
Kemenangannya diumumkan ketika kawalan keselamatan dipertingkatkan ekoran siri bantahan oleh kumpulan radikal Islam di Indonesia sejak beberapa minggu lalu.
Terdahulu, beratus-ratus orang Islam mengadakan solat hajat semalam sebagai memprotes pertandingan ratu cantik antarabangsa itu
Solat hajat itu disertai oleh beratus-ratus anggota Barisan Pembela Islam (FPI) yang berhimpun di sebuah masjid di Sentul, pinggir bandar raya Jakarta.
"Indonesia jelas tentang pendiriannya berhubung pertandingan Miss World, kami menolaknya di negara ini atau di mana sahaja," kata seorang anggota FPI, Ustad Maman.
Pertandingan akhir Miss World kali ini menampilkan 129 peserta dari seluruh dunia.
Sejak beberapa minggu lalu ribuan penduduk Islam mengadakan protes jalanan di seluruh Indonesia untuk mengecam acara itu yang dilabel sebagai 'pertandingan jalang' dan 'pornografi'.
Terdahulu, beberapa kedutaan asing di Indonesia memberi amaran acara berkenaan berisiko menjadi sasaran serangan pengganas. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0929&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm#ixzz2gDzijJSu 
Hakcipta terpelihara