Monday, April 9, 2012

BN tidak popular dikalangan pengundi muda, kata Khir Toyo



April 09, 2012
SHAH ALAM, 9 April — Pentadbiran Najib harus menarik pengundi muda kerana pemberian wang tunai daripada kerajaan tidak memberikan kesan kepada mereka, kata Dr Mohd Khir Toyo.
Bekas Menteri Besar Selangor itu berkata pemberian wang tunai itu memang mewujudkan “rasa senang” rakyat Malaysia, namun ia hanya dirasai oleh mereka yang berumur 50 tahun ke atas. Tawaran yang dibuat Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memansuhkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sekiranya Pakatan Rakyat (PR) memerintah turut memberikan tekanan kepada kerajaan Barisan Nasional.
Khir (gambar) turut memberi amaran kerajaan BN mempunyai tugas sukar — bagaimana hendak menarik perhatian mereka sedangkan pengundi lingkungan 21-30 dan 30-50, sudah “muak dengan politik”.
“Rasa senang itu ada namun terhad kepada pengundi berusia 50 tahun ke atas ... mereka sudah sememangnya menentukan siapa yang akan mereka undi.
“Mereka berusia lingkungan 30 ke 50 masih belum membuat keputusan, tapi lebih bahaya adalah mereka yang berumur 21-30 yang tidak minat politik,” katanya kepada The Malaysian Insider dalam satu temuramah eksklusif baru-baru ini.
“Saya beritahu perdana menteri, (Datuk Seri Najib Razak) pengundi 21 ke 30 tahun adalah masalah. Mereka tidak menikmati faedah daripada BR1M ... bagaimana hendak menarik perhatian kumpulan ini,” kata Khir merujuk kepada Bantuan Rakyat 1 Malaysia.
Najib telah mengumumkan sejumlah RM500 untuk isi rumah berpendapatan kurang RM3,000 sebulan dalam pembentangan belanjawan Oktober lalu, bagi mengurangkan beban peningkatan kos sara hidup.
Pemberian wang tunai besar-besaran itu dianggarkan diterima oleh 5.3 juta isi rumah dengan kos RM2.3 bilion. Perdana menteri bulan lalu menjelaskan 80 peratus, atau 3.74 juta daripada 4.78 juta isi rumah memohon untuk BR1M sehingga pada 1 Mac, menjadikan sejumlah RM1.92 bilion sudah diserahkan.
Bukti kurangnya sokongan terhadap BN jelas Khir adalah “tidak semua belia” menyokong sayap pemuda parti Pemuda Umno.
Tambah Khir, walaupun pemberian-pemberian daripada kerajaan “diterima”, pengundi muda mahukan penyelesaian jangka panjang bagi menangani masalah peningkatan harga barang.
“Pengundi muda professional berumur 40 dan ke bawah adalah kumpulan kritikal, mereka semakin muak, kerana kita menghadapi banyak sangat masalah ... Lebih-lebih lagi perbezaan pendapatan dengan kos kehidupan.
“Tiada penyelesaian mutlak diberi pemimpin kedua-dua parti, Pakatan Rakyat atau kerajaan,” tambahnya dan menjelaskan janji Anwar untuk menurunkan harga minyak jika PR memerintah.
“Sekiranya Anwar kata beliau akan turunkan harga minyak, saya tidak rasa harga gula akan turun, roti canai tidak akan turun.
“Sesetengah isu yang perlu diambil berat adalah perkhidmatan awam yang murah ... saya tahu Transit Aliran Deras (MRT) sedang dalam pembinaan tapi dalam tempoh interim, apa tindakan yang dibuat untuk meningkatkan mutu pengangkutan awam?” soal Khir.
Adun Sungai Panjang ini menjelaskan beliau kerap berjumpa pengundi muda dan kebanyakan merek sudah jelik deng, politik dan ahli politik kedua-dua belah pihak dan perpecahan politik ini memusnahkan mereka.
“Masyarakat semakin muak,” katanya sebelum menamatkan sesi temuramah berkenaan.
BN menghadapi pilihan raya terburuk pada 2008 apabila hilang lima negeri kepada Pakatan Rakyat termasuk kehilangan dua per tiga majoriti di Parlimen.
Namun begitu, Perdana Menteri Najib memperlihatkan beliau akan melaksanakan pilihan raya dalam masa terdekat, ditambah keyaki,an yang tinggi terhadap BN. The Malaysian Insider difahamkan pilihan raya hanya akan dibuat awal Jun dengan Parlimen dijangka akan dibubarkan pertengahan Mei depan.

Lembu NFC didakwa mati akibat keracunan



DAP hari ini mendesak Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar mengesahkan keselamatan daging lembu yang diusahakan National Feedlot Corporation ekoran dakwaan bahawa ternakan itu mengalami keracunan.

Setiausaha publisiti DAP, Tony Pua berkata demikian berdasarkan dokumen yang menunjukkan bahawa beberapa ekor lembu berkenaan mengalami keracunan kuprum yang teruk (severe copper poisoning).

"Menteri (Noh) juga perlu mengesahkan jika semua daging yang dikeluarkan oleh NFC adalah bebas daripada bahan kimia kuprum dan juga memaklumkan jika kementerian telah menjalankan pemeriksaan berikutan penemuan keracunan kuprum pada tahun lepas

"Apa yang rakyat perlu tahu ialah berapa banyak lembu yang telah mati ketika dibawah jagaan NFC, berapa angka yang terlibat dan adakah kesemua lembu ini dilupuskan dengan cara yang betul," katanya.

Pua berkata, ujian oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar itu dijalankan ke atas enam ekor lembu yang mati pada pertengahan Jun 2011.

Menurut Pua, ujian tersebut menunjukkan tahap kandungan kuprum melebihi julat normal untuk seekor lembu.

Jelasnya, hati lembu yang normal hanya mempunyai antara 25 hingga 100 bahagian per juta kuprum (ppm), sedangkan sampel yang diuji itu menunjukkan kandungan kumprum sebanya 172,98 bahagian per juta.

Ginjal lembu tersebut pula mengandungi 43.71 ppm kuprum, berbanding paras normal ialah 4-6 ppm," katanya lagi dalam satu kenyataan media.

Selain itu, Pua berkata, ujian lain yang dilakukan terhadap lembu tersebut menunjukkan terdapat 721.24 ppm kumprum.

"Perkara ini memerlukan perhatian serius kerana melibatkan produk daripada daging lembu yang berpenyakit dan mungkin telah dijual untuk kegunaan rakyat di Malaysia," katanya lagi.

Justeru, Pua mendesak supaya Noh mengesahkan ujian yang telah dijalankan ke atas lembu itu bagi memastikan keracunan itu tidak menjejaskan lembu lain.

Katanya, secara keseluruhan, lembu-lembu lain kemungkinan akan mengalami tahap kuprum yang berlebihan atau mungkin tidak akan mati semasa proses tersebut.

Husam: Hutang PTPTN RM28b, bukan RM43b



Naib presiden PAS Datuk Husam Musa mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberi angka mengelirukan berhubung jumlah keseluruhan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional yang telah dikeluarkan kerajaan kepada pelajar.

Husam berkata angka RM43 bilion yang disebut Najib itu juga mungkin sengaja disebut perdana menteri untuk menakut-nakutkan rakyat.

"Dengan jumlah peminjam seramai 1.9 juta orang, jumlah keseluruhan pinjaman yang dikeluarkan sejak ia mula dikeluarkan sehingga akhir 2012 hanya berjumlah RM28 bilion sahaja. Bukan RM43 bilion seperti disebut.
 
"Mengapa PM sanggup memberikan angka yang silap? Adakah sengaja untuk mengeliru dan menakutkan rakyat jelata?," kata Husam yang juga exco kanan kerajaan Kelantan.  

Katanya lagi, kenyataan perdana menteri bahawa negara tidak mampu menjelaskan hutang RM43 bilion itu juga menunjukkan bahawa Najib tidak memahami mekanisme kewangan yang lazim diamalkan – termasuk dalam soal memberi perjanjian dan menjadual semula pinjaman.

Husam mengulas kenyataan Najib sebelum ini bahawa kerajaan perlu membelanjakan RM43 bilion jika ingin memansuhkan pinjaman melalui PTPTN.

Dalam kenyataannya, Husam – yang berkelulusan bidang ekonomi dari Universiti Malaya – turut menjelaskan kaedah yang boleh diambil Pakatan Rakyat untuk melunaskan jumlah hutang RM28 bilion itu, sekiranya membentuk kerajaan.

Katanya, jumlah berkenaan tidak semestinya dilunaskan secara keseluruhan, serta merta.

Tambahnya, Pakatan juga boleh mengambil alih pinjaman tersebut atau memberikan jaminan pembiayaan tahunan kepada institusi kewangan yang memberi pembiayaan kepada PTPTN.

"Antara tindakan yang boleh diambil ialah mengambil alih pinjaman PTPTN atau memberikan jaminan pembiayaan tahunan sama jumlah dengan tanggungan PTPTN kepada institusi kewangan yang memberikan pembiayaan kepada PTPTN.

"Dengan itu kos tahunan kepada kerajaan adalah masih dalam tahap kemampuan kerajaan pusat sebagaimana PTPTN mempunyai jadual pembayaran tahunan yang tertentu," katanya.

Pakatan Rakyat rangka usul batal ISA



Muhammad Faizal,09 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 9 April:Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan satu usul sedang dirangka untuk dibentangkan di Parlimen untuk dibahaskan bagi tujuan pembatalan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Beliau yang menerima memorandum dari Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Syed Ibrahim Syed Noh turut menyatakan bahawa dua undang-undang yang akan dibentangkan oleh kerajaan tidak akan terpakai sehingga ia dirujuk kepada rakyat.

"Apa sahaja alasan untuk kita memperkenalkan undang-undang baru walhal sudah ada undang-undang yang cukup ketat untuk kita kawal kegiatan jenayah termasuk pengganas.

"Namun tindakan memperkenalkan undang-undang baru tidak akan terpakai sekiranya ia tidak merujuk kepada rakyat (rundingan awam)," jelasnya.

Tambahnya lagi, apa yang akan dibentangkan olehnya di Parlimen nanti berkenaan pemansuhan ISA tidak memerlukan rundingan awam.

"Kita nak mansuh maka tidak memerlukan pendengaran awam, kalau kita nak pinda baru perlu rundingan awam sebab itu hak rakyat," sambungnya lagi.

Sementara itu, Syed Ibrahim turut berharap Pakatan Rakyat dapat mengenengahkan perkara tersebut di Parlimen.

Dalam pada itu beliau turut menyatakan sehingga sekarang GMI mahupun badan bukan kerajaan (NGO) yang lain tidak menerima apa-apa maklumat dari kerajaan mahupun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung pemansuhan ISA.

"Pada sesi Parlimen yang lepas Najib telah menyatakan bahawa usul untuk memansuhkan ISA hanya akan dibentangkan pada Mac 2012 iaitu sesi Parlimen kali ini.

"Namun sehingga kini kita tidak mendapat apa-apa maklumat dari Najib berhubung perkara tersebut termasuk juga rundingan awam tentang dua akta penganti ISA, apatah lagi untuk pemansuhan ISA," katanya.

Sebelum itu, GMI turut menyerahkan memorandum kepada Ketua Pembangkang untuk diberikan kepada Perdana Menteri yang menuntut tujuh perkara dalam janji Najib terhadap memansuhkan ISA.

Malah GMI akan meneruskan desakan sehinggalah Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri mengotakan janji untuk memansuhkan ISA.

Mengapa arah pindah RM308,700 ke akaun CEO TH?



Abdul Aziz Mustafa,09 Apr 2012
KUALA LUMPUR, 9 April: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) mempersoalkan mengapa terdapat arahan pindahan wang RM308,700.00 dari akaun Tabung Haji (TH) kepada akaun Ketua Pegawai Eksekutif (CEO)nya, Datuk Ismee Ismail.

Ketika bercakap kepada media di lobi parlimen hari ini, beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena mempersoalkan apakah alasan arahan pindahan wang itu.

"Mengapa? Untuk apa? Adakah ini bonus kepada CEO TH kerana kepandaiannya mengurus pelaburan TH dalam Silverbird?

"Kalau benar pindahan wang itu adalah bonus untuknya, adakah pelabur-pelabur TH kerugian berjuta-juta ringgit, CEO pula dapat bonus?!" kata beliau.

Dalam ucapannya mengenai TH di Dewan Rakyat pula, Mahfuz membangkitkan beberapa isu yang penting dalam permaslahan TH iaitu kerugian yang dihadapi anak syarikatnya, Silverbird Bhd akibat penyelewengan wang syarikat, penggunaan wang TH berjumlah kira-kira RM500 juta untuk kompleks bangunan pejabat-pejabat kerajaan di Putrajaya dan arahan pindahan wang tersebut.

Mengenai Silverbird, beliau sekali lagi mempersoalkan mengapa penyelewengan kewangan di dalam syarikat tersebut tidak disedari oleh wakil-wakil TH dalam Lembaga Pengarah Silverbird?

"Apa tindakan disiplin dan tata tertib yang diambil oleh TH terhadap wakil-wakilnya dalam lembaga pengarah Silverbird?

"Adakah elaun Ahli Lembaga Pengarah diambil tetapi tidak ada akauntabiliti?" soal Mahfuz.

Beliau juga mempersoalkan mengapa TH tidak menempatkan wakilnya dalam pengurusan Silverbird sebagai Pengarah Eksekutif?

"Jika terdapat wakil Tabung Haji dalam pengurusan Silverbird kemungkinan pemyelewengan tersebut tidak berlaku," katanya.

TH merupakan pemegang saham terbesar dalam Silver Bird iaitu sebanyak 22.19 peratus manakala Koperasi Permodalan Felda Bhd pula mempunyai 12.7 peratus saham dalam syarikat pembuat roti dan kek itu.

Kejatuhan saham syarikat pembuat roti dan kek itu berpunca dari akaun syarikat itu yang tidak teratur yang melibatkan jumlah yang dianggarkan sehingga RM111.5 juta.

Silverbird kini diklasifikasikan sebagai syarikat PN17 iaitu syarikat bermasalah yang mesti mengemukakan pelan pemulihannya kepada Bursa Malaysia.

"Apa tindakan pemantauan Jabatan Perdana Menteri terhadap isu ini dan terhadap kealpaan lembaga pengarah dan pengurusan TH sehingga menyebabkan kerugian berjuta wang pendeposit-pendeposit TH?

"Mengapa CEO TH tidak dipertanggung jawabkan terhadap kerugian Tabung Haji dalam Silverbird?

"Atau adakan JPM juga menghadapi Sindrom JK?!" katanya.

Mahfuz bagaimanapun tidak menjelaskan adakah sindrom JK itu merujuk kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Mengenai pembinaan kompleks pejabat kerajaan dengan menggunakan dana TH, beliau mempersoalkan adakah kerajaan akan menyewa kompleks tersebut daripada TH?

"Kalau sewa, berapa sewanya dan berapa tahun pula baru dapat diperoleh semula kos binaan dan membuat untung?

"Kalau TH sewa kepada kerajaan, sila bentangkan perjanjian penyewaan dalam Parlimen," katanya.

Mahfuz juga mahu dibentangkan resolusi lembaga pengarah TH dalam pembinaan kompleks tersebut.

Shaariibuu dakwa Malaysia 'buat senyap' kes Altantuya



Harakahdaily,09 Apr 2012
KUALA LUMPUR 9 April:Bapa kepada Altantuya Shaariibuu, Setev Shaariibuu berkata beliau datang ke Malaysia sejak semalam untuk menuntut keadilan terhadap kematian anaknya.

Ianya antara lain mahu menuntut kerajaan mempercepatkan saman sivil RM100 juta beliau terhadap kerajaan Malaysia yang difailkan tahun 2007 lalu.

"Sudah enam tahun saya mencari keadilan untuk anak saya. Ini kali kedua saya datang ke sini (parlimen).

"Kerajaan Mongolia telah hantar surat rasmi kepada kerajaan Malaysia tapi tiada apa-apa respons sehingga sekarang," katanya pada sidang media di lobi parlimen hari ini yang diterjemah pembantunya Tsoggerel Och. (Gambar)

Pada sidang media sama, Shaariibuu turut menafikan khabar angin kononnya beliau telah dibayar sejumlah wang oleh kerajaan Malaysia selepas apa yang menimpa anaknya itu.

"Saya datang ke sini menafikannya, saya tak pernah terima walau satu sen.

"Malah saya yang mengeluarkan USD20,000 untuk kos perundangan," katanya lagi.

Anaknya, Altantuya dibunuh sekitar jam 10 malam 19 Okt, 2006 hingga 1 pagi hari berikutnya dalam sebuah hutan yang sedang dibersihkan di Lot 16735, Mukim Bukit Raja, Shah Alam.

Ianya didakwa ada kaitan dengan urus niaga kapal selam Scorpene dengan Thales International, melibatkan Syarikat Perimekar Sdn Bhd milik Abdul Razak Baginda dan Menteri Pertahanan pada masa itu, Datuk Seri Najib Razak.

Mahkamah bagaimanapun membebaskan Razak, namun dua yang lain yang dituduh bersamanya iaitu Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar didapati bersalah.

Bulan lepas, mahkamah Perancis memutuskan untuk memulakan inkuiri terbuka untuk menyiasat pegawai Perancis yang disyaki terlibat dalam skandal kapal selam itu, dan juga komisyen RM570 juta yang diterima Perimekar.

Sebelum ini beliau memberitahu pernah untuk bertemu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, tetapi beliau mendakwa 'Najib lari' dari bertemu dengannya.

Ketika ditanya wartawan, apa yang beliau akan beritahu jika berpeluang jumpa Datuk Seri Najib, beliau berkata: "Saya akan bercakap bukan sebagai dia perdana menteri tapi bercakap dari hati seorang bapa ke bapa dan kawan".

'RM100,000 akan saya berikan jika dapat buktikan Datuk K-Rozita berkahwin'


KUALA LUMPUR 8 April - Datin Zaiton Mohd. Jiwa hari ini menawarkan ganjaran wang tunai RM100,000 kepada mana-mana individu yang dapat tampil menunjukkan bukti bahawa adiknya, Datuk Khalid atau Datuk K telah mengahwini pelakon jelita, Rozita Che Wan.
Zaiton berkata, dia tidak kisah mengeluarkan jumlah wang sebesar itu demi mencabar individu yang menyebar fitnah terhadap suami penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza itu.
"Kenalah berani berdepan. Kita mahukan bukti, jadi kepada mereka yang terlibat kita minta mereka tunjukkan bukti tersebut dan jika ia tulen serta sahih, ganjaran itu akan saya berikan.
"Ini bukan pertama kali cerita sebegini keluar, malah semasa keluar gosip pertama dulu, saya pernah minta supaya ditunjukkan kad jemputan perkahwinan mereka tetapi tiada siapa yang datang menunjukkan bukti," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia baru-baru ini.
Zaiton yang juga penerbit Global Station Sdn. Bhd menambah, pihaknya mengambil tindakan sedemikian bagi memastikan maruah keluarganya tidak dicalar sewenang-wenangnya oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.
Pada masa sama, Zaiton juga melahirkan rasa kecewanya dengan sikap segelintir penulis blog yang tidak henti-henti daripada terus menghangatkan isu tersebut.
"Keluarga kami rapat dan kami tahu berita itu tidak benar. Malah saya percaya adik saya tidak melakukannya, jadi bagaimana dengan persepsi masyarakat bila mereka terus disogok dengan berita-berita sedemikian," soalnya.
Sementara itu, Khalid atau Datuk K pula berkata, dia tidak pernah mengenali Rozita, apatah lagi mengahwininya.
Ujarnya, dia juga tidak pernah rapat dengan mana-mana ahli keluarga pelakon tersebut seperti yang diperkatakan.
"Kalau ada yang kata saya pernah rapat dengan dia, itu fitnah besar kerana saya tidak pernah mengenali atau rapat dengan dia atau mana-mana ahli keluarga pelakon tersebut.
"Jujurnya saya sudah sampai ke tahap 'menyampah' dan 'geram' untuk terlalu memikirkan gosip-gosip liar yang membabitkan diri saya ketika ini," tegasnya.
Datuk K menambah, sebenarnya mereka suami isteri sudah cukup lali dengan gosip-gosip sedemikian tetapi apabila isu berkenaan turut mendapat perhatian rakan-rakan perniagaannya perkara itu menjadi tidak manis.
"Jadi cukup-cukuplah. Saya sudah tidak mahu komen benda-benda remeh seperti ini dan malas serta menyampah sebab ia macam tak pernah habis," ujarnya.
Jelas ahli perniagaan itu lagi, jauh di sudut hati, dia tidak pernah terfikir untuk menduakan isteri kesayangan yang dianggap sebagai permata berharga dalam kehidupan.

Masuk hospital angkara hutang




MANGSA yang cedera selepas dipercayai diculik oleh ah long dirawat di sebuah hospital di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Seorang lelaki cedera parah dipercayai menjadi mangsa sekumpulan ah long yang menculik dan membelasahnya selepas gagal melangsaikan hutang sebanyak RM40,000 yang didakwa dipinjam mangsa.
Sebelum kejadian itu, mangsa yang berusia 54 tahun keluar dari rumahnya di Sungai Long di sini pada pagi Jumaat lalu dengan menunggang motosikal seorang diri sebelum dia dipercayai dilarikan ah long di satu lokasi yang belum diketahui.
Mangsa yang cedera parah di kepala dan badan selain patah tulang rusuk kini dirawat di sebuah hospital di ibu negara selepas ditemui di sebuah kawasan di Petaling Jaya pada malam pada hari sama.
Sebelum kejadian, anak perempuan mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang mendakwa bapanya berhutang sebanyak RM40,000.

Hidup tertekan bisnes merosot






KUALA LUMPUR – Seorang pengusaha produk kecantikan mendakwa bukan sahaja tertekan akibat menerima persepsi negatif masyarakat malah bisnesnya turut mengalami kerugian hampir RM180,000 sejak suaminya memfailkan dakwaan di mahkamah terhadap dirinya yang dikatakan lelaki menyerupai wanita.
Sri Wani Choo Abdullah, 37, berkata, dia terpaksa menanggung kerugian hampir RM20,000 setiap bulan sejak suaminya, Profesor Dr. Bahrom Sanugi, 61, memfailkan kes tersebut tahun lalu.
“Semua andaian yang dibuat mengenai status jantina saya menyebabkan saya tertekan dan menjatuhkan maruah diri, keluarga serta perniagaan.
“Saya juga terpaksa menutup premis selama dua hari kerana tertekan dengan apa yang berlaku,” katanya ketika ditemui Kosmo! di premis perniagaannya semalam.