Friday, August 12, 2011

Suspek kes pembunuhan warga Perancis direman hingga 16 Ogos


KUANTAN: Suspek dalam kes pembunuhan wanita Perancis yang ditemui ditanam di sebuah gua di Pulau Tioman ditahan reman sehingga 16 Ogos ini bagi membantu siasatan polis.

Ketua Polis Pahang Datuk Sharifuddin Abdul Ghani, berkata lelaki berusia 36 tahun itu, terbabit dalam perniagaan penyewaan alat menyelam.
Isnin lalu, polis menemui rangka manusia di Kampung Tekek, Pulau Tioman pada yang dipercayai adalah warga Perancis, Stefanie Foray, 30, yang dilaporkan hilang sejak Mei lalu.
Polis juga masih menunggu ujian DNA keluarga Foray di Perancis untuk dipadankan dengan penemuan mayat berkenaan.

Sharifuddin berkata, seorang lagi suspek berusia 44 tahun yang ditahan sebelum ini bagi membantu siasatan sudah dibebaskan.

Beliau berkata, polis masih meneruskan siasatan berhubung kes berkenaan dan meminta sesiapa yang mempunyai sebarang maklumat supaya membantu siasatan pihak polis.

Pada 8 Ogos lalu sepasukan polis yang diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang Senior Asisten Komisioner T Narenasagaran menemui rangka mangsa yang dibungkus seperti mumia selain sebuah beg galas dipercayai milik mangsa.
Saifuddin berkata, Foray dilaporkan pergi ke Pulau Tioman menaiki feri dari Mersing pada 10 Mei. - BERNAMA , bharian

Keganasan terburuk sejak 25 tahun






SEORANG lelaki pertengahan usia hanya mampu merenung sisa runtuhan sebuah bangunan usang yang berada di hadapannya. Matanya kelihatan sayu dan manik-manik jernih mulai mengalir di pipinya yang dipenuhinya kedutan.
Dia tidak pernah langsung menyangka segala hasil titik peluhnya dalam mengusahakan perniagaan perabot milik keluarganya yang diwarisi turun-temurun akhirnya musnah dibakar begitu sahaja.
Gara-gara tindakan perusuh yang bertindak sesuka hati membakar blok-blok bangunan yang ada di pekan Croydon, menyebabkan perniagaan perabot House of Reeves yang telah mencecah usia 144 tahun itu hilang sekelip mata ditelan api yang marak.
“Saya merupakan generasi kelima yang menjalankan perniagaan di bangunan bersejarah ini. Saya mempunyai dua orang anak perempuan yang bakal meneruskan kesinambungan empayar perniagaan kami bagi generasi keenam.
“Sejak 30 tahun lalu, saya bersama isteri telah menjalankan perniagaan ini. Namun, kini kehidupan saya telah musnah,” tutur Graham Reeves, 52, dalam nada sebak yang bersarang di dada.
Gedung perabot terbabit mula dibuka di Croydon, yang ketika itu sebuah bandar berasingan dan terletak kira-kira 15 kilometer dari selatan London pada tahun 1867. Ia satu perniagaan yang maju dan berjaya. Meskipun pernah mengharungi Perang Dunia Kedua dan kemelesetan ekonomi teruk sekitar tahun 1929 hingga 1930, tetapi House of Reeves kekal utuh.
Situasi tegang


ANGGOTA keselamatan berusaha memadamkan kebakaran sebuah bangunan di Tottenham, utara London akibat keganasan yang melanda.



Croydon merupakan salah satu daripada lokasi yang terlibat dalam rusuhan paling teruk pernah berlaku di kota London dalam tempoh lebih 25 tahun.
Keganasan dikatakan bermula Sabtu lalu di kawasan petempatan berbilang etnik di Tottenham, utara bandar raya itu selepas seorang lelaki kulit hitam berusia 29 tahun, Mark Duggan ditembak mati oleh polis dua hari sebelum itu.
Selain London, rusuhan turut merebak ke bandar raya lain seperti Liverpool, Birmingham, Manchester, West Bromwich, Wolverhampton, Bristol, Salford dan hampir ke seluruh United Kingdom.
Menurut Setiausaha Dalam Negeri Britain, Theresa May, situasi yang berlaku kini sangat tegang dan pihak berkuasa sedang berusaha mengawal keadaan agar tidak menjadi lebih buruk.
“Kami perlu menamatkan rusuhan ini dengan segera. Seboleh-bolehnya pihak polis tidak mahu menggunakan meriam air untuk meleraikan rusuhan, melainkan menerusi persetujuan masyarakat,” katanya kepada stesen televisyen Sky News.
Bagaimanapun, Perdana Menteri Britain, David Cameron berikrar akan mengakhiri kegasanan tersebut dan membayangkan kesediaan menggunakan meriam air buat pertama kalinya terhadap perusuh.
“Dalam situasi sekarang, kita perlu melawan balik dan ia telah bermula,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat krisis Jawatankuasa Kecemasan Kerajaan (Cobra) kelmarin.
Batal perlawanan


ASYRAF HAZIQ (kanan) cuba menyelamatkan dirinya apabila diserang perusuh di kota London baru-baru ini.



Jika ia dilakukan, penggunaan meriam air untuk meleraikan rusuhan itu buat julung kalinya dilakukan di Britain sekali gus mencatat sejarah tersendiri di kalangan polis negara tersebut.
Sementara itu, rentetan rusuhan dan keganasan yang berlaku di jalanan juga menyebabkan perlawanan persahabatan antara England menentang Belanda di Stadium Wembley, London yang dijadualkan berlangsung semalam (11 Ogos) terpaksa dibatalkan demi keselamatan orang ramai.
Kapten England, Rio Ferdinand turut melahirkan rasa kesalnya di atas apa yang berlaku. Menerusi laman sosial Twitter peribadi, Ferdinand berkata: “Situasi yang berlaku ketika ini cukup mengejutkan. Apakah sebenarnya yang menyebabkan ia berlaku? Orang yang tidak bersalah mendapat susah. Kenapa?”
Bukan hanya Ferdinand, tetapi ramai pemain yang menyuarakan rasa hati masing-masing dan berharap agar ia dapat dihentikan segera termasuklah Wayne Rooney selaku penyerang berbisa skuad kebangsaan England.
“Kenapa orang yang terlibat dengan rusuhan ini melakukannya di negara mereka sendiri? Ini bandar mereka sendiri. Ia memalukan negara. Sila hentikan,” kata Rooney dalam akaun Twitter miliknya.
Apa yang pasti, mereka yang terlibat dalam rusuhan ini turut menjadikan tindakan kerajaan yang mahu memotong 80 bilion pound (RM389 bilion) daripada perbelanjaan awam menjelang tahun 2015 bagi mengurangkan rekod defisit negara sebagai alasan untuk menyuarakan rasa ketidakpuasan hati rakyat terhadap perkara itu.
Zon peperangan


RUSUHAN yang berlaku banyak mengorbankan harta benda sekali gus merugikan warga London sendiri.



Golongan muda pula menggunakan sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) termasuk mesej segera melalui telefon pintar BlackBerry dan platform media sosial seperti Twitter untuk membentuk kordinat serangan dan mengelak berdepan dengan pihak polis.
“Sudah beberapa hari sejak rusuhan berlaku kanak-kanak langsung tidak gembira. Malah, mereka benci pada anggota polis.
“Ia kelihatan seperti zon peperangan dan pihak polis tidak mampu berbuat apa-apa untuk menghalangnya. Mereka (perusuh) sangat ramai dan pihak polis tidak mencukupi,” kata Matthew Yeoland, 43, seorang guru di Peckham, selatan London.
Dalam pada itu, penganalisis politik tempatan, Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam berkata, keganasan dan rusuhan yang berlaku di London, kota yang aman dan terkenal di seluruh dunia dengan tarikan pelancongan dan sebagainya boleh dijadikan iktibar buat semua pihak.
Ini menunjukkan tidak semestinya setiap negara yang bertamadun, mempunyai kestabilan ekonomi dan maju akan terus aman dan kesejahteraan buat selama-lamanya jika ia tidak dipelihara.
“Rakyat Malaysia keseluruhannya harus membuka mata luas-luas terutama bagi pihak yang gemar mencetuskan hura-hara seperti mahu mengadakan perhimpunan dan demonstrasi bagi menunjukkan protes terhadap pihak berkuasa.
“Demonstrasi ini kalaupun dilakukan dalam keadaan aman, tetapi pasti ada golongan tertentu akan cuba mengambil kesempatan untuk mengeruhkan keadaan sekali gus menyebabkan rusuhan teruk.
“Jika ini terjadi, sudah tentu banyak harta benda yang rosak, kehilangan nyawa, wujudnya anasir-anasir luar yang cuba menghancurkan negara dan menjejaskan imej tanah air sendiri,” ujar beliau yang mengaitkan situasi itu dengan cubaan pihak-pihak tertentu menganjurkan perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.
Terperangkap
Dekan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu turut memuji tindakan tegas dan pantas pihak polis dalam menangani demonstrasi jalanan tersebut.
Sementara itu, seorang pelajar Malaysia di United Kingdom, Siti Suriani Othman, 32, bersyukur kerana terselamat daripada rusuhan sewaktu berkunjung ke London Ahad lalu.
Menurut Suriani, dia hairan apabila melihat semua kedai di Oxford Street ditutup pada pukul 6 petang berbanding pukul 8.30 malam sebelum ini.
“Rupanya-rupanya semua perusuh berkumpul di sana dan mula membuat onar. Nasib baik kami cepat pulang, kalau tidak mungkin saya pun akan terperangkap dalam rusuhan tersebut,” kata pelajar jurusan Doktor Falsafah (PhD) di Nottingham Trent University, Nottingham, United Kingdom itu.
Tambahnya, di London kuasa polis sangat terhad sehingga mereka tidak boleh mengambil apa-apa tindakan kepada perusuh kerana terpaksa mengikut peraturan sekali gus menjaga periuk nasi mereka ketika keadaan ekonomi yang teruk.
Menurut Suriani selama hampir empat tahun tinggal di United Kingdom, dia melihat terdapat banyak kepincangan walaupun ia sebuah negara yang maju.
“Perkara ini (kelemahan dan kepincangan pentadbiran kerajaan) hanya dapat kita ketahui jika menetap di sini untuk sesuatu tempoh tertentu dan ia tidak dapat dikesan hanya daripada penyiaran berita mereka atau laporan-laporan dalam bentuk buku ilmiah dan sebagainya.


RUSUHAN dan keganasan yang berlaku di London dan hampir seluruh United Kingdom mampu memberi kesan buruk terhadap imej Britain dan melumpuhkan ekonomi mereka yang sedia terjejas.-kosmo

Penduduk keturunan Asia sedia pertahan diri dalam rusuhan di London

LONDON: Paparan di Internet yang menunjukkan pelajar Malaysia, Asyraf Haziq Rosli, diserang dan dirompak dalam rusuhan di sini, telah mendorong penduduk keturunan Asia untuk bersiap sedia mempertahankan diri dan harta sendiri.

Ketika rusuhan itu merebak, ramai penduduk khusus beragama Islam dan Sikh mengambil langkah berjaga-jaga bagi melindungi nyawa, harta benda dan juga tempat ibadat masing-masing.
Tiga lelaki berketurunan Pakistan terbunuh akibat dilanggar sebuah kereta yang dipandu seorang perusuh yang kemudiannya diberkas oleh polis.
Ketiga-tiga lelaki itu dipercayai sedang mengawal sebuah masjid daripada dicerobohi oleh perusuh.

Banyak kedai milik penduduk berasal dari Asia menjadi sasaran perusuh yang memecah masuk dan mencuri pelbagai barangan.

"Mereka ini bertindak sesuka hati dan melarikan apa saja yang mereka mahu," kata seorang saksi, Rahmat Khan, kepada Bernama.

Katanya, kejadian merusuh dan membakar harta benda berlaku di London, Birmingham dan beberapa bandar raya lain.
Masyarakat Sikh, termasuk mereka yang sudah lanjut usia di kawasan Southall di barat London bersiap sedia dengan pedang dan kayu hoki bagi melindungi tempat ibadat mereka. - BERNAMA , bharian

Hishammuddin tidak puas hati penjelasan The Star

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein hari ini, berkata beliau tidak berpuas hati dengan penjelasan akhbar The Star mengenai penyiaran artikel berbuka puasa dengan memuatkan berita tentang restoran tidak halal dalam segmen sisipannya.

Beliau berkata, pihaknya memanggil Ketua Pengarang The Star Publication untuk memberi penjelasan berhubung artikel itu yang dimuatkan dalam sisipan 'Dining Out' akhbar itu dan 'Ramadan Delights' sebagai tajuk muka depan.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Semalam, Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri, Datuk Abdul Rahim Mohamad Radzi memanggil Ketua Pengarang akhbar berkenaan bagi menyatakan kesalahan terhadap akhbar itu berikutan tindakan akhbar itu yang dianggap tidak sensitif dengan penyiaran artikel terbabit.

Akhbar terbabit mengakui kesilapan dan akan menyiarkan kenyataan memohon maaf di atas perkara itu.

Dalam sisipan dua hari lalu, akhbar itu menyiarkan artikel bertajuk 'Ramadan Delights' yang memuatkan gambar masakan daging khinzir serta artikel mengenai restoran tidak halal yang menyediakannya. - BERNAMA 
-bharian

SPR padam nama pengundi berusia 90 tahun ke atas

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan memadam senarai nama pengundi berusia 90 tahun ke atas daripada senarai daftar pemilih berkuatkuasa serta merta, kata Pengerusinya Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Beliau berkata keputusan itu dicapai oleh SPR dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) baru-baru ini kerana golongan usia sedemikian tidak lagi aktif berurusan dengan JPN selain telah meninggal dunia atau lucut kewarganegaraan.
Bercakap kepada pemberita sebelum menghadiri majlis berbuka puasa SPR di sini hari ini, Abdul Aziz berkata terdapat seramai kira-kira 12,000 pengundi di seluruh negara yang berusia 90 tahun ke atas.
Bagaimanapun, katanya, warga negara berusia 90 tahun ke atas yang ingin mengundi tetapi mendapati namanya sudah dipadam, mereka boleh menghubungi SPR dan JPN untuk mengaktifkannya kembali.

Dalam perkembangan lain, Abdul Aziz menafikan SPR mendaftarkan nama warga negara asing sebagai pengundi supaya jumlah pengundi berganda seperti yang didakwa pihak pembangkang.

"Tiada daftar pemilih yang 100 peratus tepat di mana-mana negara pun. Kita ada 12.3 juta pengundi di seluruh negara. Memang perlu berhati-hati supaya tidak berlaku kesilapan.

"Kadangkala ia berlaku juga disebabkan masalah teknikal, nama bertindih dan sebagainya. Tetapi kita tidak akan biarkan nama-nama itu dan sentiasa dibersihkan melalui Agency Link-up System' (ALIS)," katanya yang akan mengadakan perbincangan untuk memperbaiki masalah itu dengan JPN pada minggu hadapan.
ALIS adalah sistem ekslusif yang menghubungkan secara dalam talian, ibu pejabat dan pejabat negeri SPR dengan JPN.

Mengenai persediaan untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-13, Abdul Aziz berkata SPR sentiasa bersedia pada bila-bila masa untuk menghadapinya termasuk mewujudkan jawatankuasa teknikal khas antaranya untuk memantau kawasan logistik di setiap negeri, urusan bajet, petugas serta peti undi.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim dan kakitangan sokongan SPR dalam membantu meringankan beban mereka untuk menyambut Aidilfitri. - BERNAMA , bharian

MB Kedah dijangka keluar IJN minggu depan

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang kini menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur dijangka dibenarkan keluar dari pusat itu minggu depan. 
Azizan berkata, beliau sudah sihat tetapi masih berada di IJN bagi pemantauan, selain penelitian beberapa perkara kecil berhubung rawatan beliau.

"Saya dah baik tetapi dalam keadaan direhatkan. Sekarang ini dah banyak perubahan. InsyaAllah, minggu depan saya balik ke Alor Setar," katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.
Azizan dimasukkan ke IJN Jumaat lalu selepas mengadu sakit pada bahagian jantung dan pemeriksaan oleh doktor mendapati satu saluran ke jantungnya tersumbat. - BERNAMA , bharian

Ibu tunggal rayu bantuan



PADANG DAS – Pendapatan sebagai penoreh getah yang tidak seberapa menyukarkan kehidupan seorang ibu tunggal untuk menyara lima anaknya selepas ketiadaan suami beberapa tahun yang lalu.

Sabariah Mat Hassan, 65, berkata, dia bersama anaknya kini menetap di sebuah rumah yang agak uzur hasil peninggalan suaminya.

Menurutnya, rumah yang hanya mempunyai satu bilik itui tidak selesa untuk didiami namun pasrah dengan takdir yang melanda keluarganya.

“Dengan pendapatan sebagai penoreh getah yang tidak menentu menyebabkan hidup kami sekeluarga ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

“Ada juga anak yang sudah berkahwin juga menumpang di rumah ini dan menjadikan beban perbelanjaan juga bertambah,” katanya.

Sabariah berkata, kenaikan harga barangan masa kini menyebabkan hidupnya semakin bertambah sukar.

Katanya, keadaan ini memberikan kesan kepada golongan yang kurang berkemampuan sepertinya.

“Makcik memohon perhatian serta bantuan pihak berkenaan untuk membantu meringankan beban keluarga kami.

“Sekiranya keluarga kami dibantu sekurang-kurangnya dapatlah kami menjalani kehidupan yang sama seperti insan lain,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Kubu Gajah, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar berkata, beliau bersimpati dengan nasib yang menimpa ibu tunggal berkenaan.

“Kami telah memanjangkan masalah berkenaan kepada Ketua Kampung Padang Das, Musa Ibrahim untuk diambil tindakan selanjutnya.

“Kita juga mengharapkan agar pihak yang berkenaan dapat tampil untuk melihat dan membantu keluarga Sabariah,” katanya ketika ditemui semasa menyampaikan sumbangan Yayasan Bina Upaya (YBU) kelmarin. 
-SH

Dugaan Ramadan

KOTA TINGGI – Gara-gara terlupa hendak mematikan api dapur gas ketika menjerang air selepas keluar rumah, nyaris menyebabkan seluruh rumah hangus dijilat api dalam satu kejadian kebakaran di Felda Air Tawar 2, di sini, semalam.

Namun, kepantasan pihak bomba dan jiran tetangga membantu memadamkan api dapat menyelamatkan keadaan seterusnya mencegah kebakaran besar berlaku.

Saksi kejadian yang juga jiran mangsa, Fatimah Jaafar, 65, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 12.05 tengah hari itu ketika dia sedang berehat di rumah sebelum terdengar bunyi letupan seperti mercun dari arah rumah jirannya itu.

“Setelah mendengarnya, saya keluar rumah dan melihat api dari arah dapur rumah jiran sedang marak menjulang tinggi ke langit. Saya yang panik segera ke rumah jiran berdekatan untuk meminta pertolongan.

“Ada jiran yang cuba membantu memadamkan api namun api yang semakin marak menyebabkan usaha mereka terbantut sehinggalah pihak bomba datang kurang 10 minit dan berjaya memadamkan api," katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Penolong Kanan Penguasa Bomba Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi, Mohd Ismail Abdul Latif mengesahkan kejadian itu dipercayai berpunca daripada api dapur yang tidak dimatikan penghuni ketika keluar dari rumah.

“Siasatan awal mendapati kebakaran yang berlaku berpunca daripada penghuni yang menjerang air tidak mematikan api dapur gas sebelum meninggalkan rumah untuk ke bandar.

“Setelah menerima laporan daripada penduduk, anggota bomba telah bergegas ke tempat kejadian dan kebetulan juga ketika kejadian berlaku, anggota kami terlibat dengan aktiviti gotong-royong di kawasan ini serta merta ke rumah mangsa dan berjaya memadamkan api dalam masa dua minit," katanya.

Katanya, anggaran kerugian masih disiasat dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

"Kita berharap orang ramai supaya mengambil langkah keselamatan dengan memastikan dapur gas serta peralatan elektrik yang lainnya dimatikan sebelum keluar rumah untuk mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

"Mereka perlu sentiasa berwaspada dengan keadaan cuaca panas yang tidak menentu terutama menjelang musim perayaan ini,” katanya.-SH

Ibu kandung dicari



SEPANG - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sepang sedang berusaha mengesan ibu kandung kepada tiga kanak-kanak yang ditinggalkan sejak tiga tahun lalu.

Kanak-kanak itu, G Deewani, 6, G Darshini, 5, dan G Karthikeyen, 4, ditempatkan di Rumah Kanak-kanak Sultan Abdul Aziz, Kuala Kangsar, Perak pada 16 April 2008 untuk tempoh tiga tahun kerana didera bapa kandung.

Wakil JKM Sepang, Faridah Othman berkata, kedua-dua ibu dan bapa kanak-kanak terbabit sudah berpisah dan mereka diletakkan di bawah jagaan ibu.

Menurutnya, melalui perbincangan awal, ibu kandung kanak-kanak itu berjanji untuk mengambil kembali anaknya setelah dia mempunyai rumah sendiri dan ekonominya stabil.

“Bagaimanapun JKM Sepang mendapat laporan sosial ibu kandung daripada pelindung kanak-kanak Daerah Subang Jaya tempat ibu kandung tinggal dan dimaklumkan ibu mereka masih tidak yakin serta tidak berkeupayaan untuk mengambil dan menjaga anaknya kembali.

“Dimaklumkan dia masih tiada mempunyai pekerjaan tetap dan sedang mencari pekerjaan lain,” katanya.

Beliau berkata, perintah perlindungan kanak-kanak ini tamat pada 29 April 2011 lalu, namun perbincangan bersama ibu kandung mengenai masa depan anaknya masih gagal dilakukan kerana ibu mereka tidak dapat dihubungi.

“Ketidakhadiran ibu ke mahkamah menyebabkan pelindung daerah Sepang gagal mendapatkan perintah tetap untuk kanak-kanak,” katanya.

Dalam pada itu, sehingga kini perintah perlindungan sementara bagi kanak-kanak dipohon di mahkamah bagi kanak-kanak Sepang sebanyak tiga kali iaitu pada 27 Mei 2011, 24 Jun 2011 dan 29 Julai 2011.

Katanya, Mahkamah Bagi Kanak-kanak akan bersidang lagi pada 22 Ogos ini.

Ibu kandung kanak-kanak tersebut dikenali sebagai Loo Ley Peng, nombor kad pengenalan 870417-56-5162 dan berusia 24 tahun.

Alamatnya ialah No 4, tingkat 1, Blok B, Jalan SS 13/1J, Subang Jaya, Selangor.

Segala pertanyaan boleh berhubung dengan Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Sepang di talian 03-87061026.-SH

Polis tendang dada, potong rambut

SHAH ALAM –“Rambut saya dipotong depan kedai makan,” kata R Khatavarayan, tertuduh keempat kes bunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lain di Mahkamah Tinggi di sini, semalam.

Khatavarayan memberi keterangan pada prosiding bicara dalam bicara selepas Hakim, Datuk Akhtar Tahir membenarkan prosiding itu untuk mengetahui tahap mental Khatavarayan semasa memberi keterangan kepada polis.

Khatavarayan berkata, pada 11 September 2010 polis menutup matanya dengan kain dan membawanya ke ladang di Banting.

“Sepanjang berada di ladang itu, saya ditendang banyak kali. Ramai yang tendang. Saya tak kenal mereka,” katanya.

Ditanya peguam, Ravi Nikoo, jam berapa polis membawanya pulang ke ke Ibu Pejabat Polis Gombak, Khatavarayan menjawab lebih kurang jam 2 atau 3 pagi.

Menurutnya, ketika dalam perjalanan balik ke Gombak, polis berhentikan kereta di hadapan kedai makan.

“Masa itu, polis nama Steven datang ke kereta. Dia buka pintu kereta dan suruh saya keluar. Masa tu tangan saya digari.

“Apabila saya keluar, Steven tendang dada saya. Saya rasa sakit dan cuba bengkokkan badan. Steven tarik rambut saya,” katanya.

Khatavarayan berkata, Steven mengarahkan pegawai polis yang ada di situ mengambil gunting dari kedai makan dan kemudian memotong rambutnya.-SH

Warga asing asal rakyat Malaysia: MB



KEMAMAN – Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said menyifatkan Pas kini tertekan sehingga membangkitkan isu pengundi warga asing di negeri ini sedangkan pengundi warga Myanmar yang dimaksudkan sebenarnya asal dari Malaysia yang menjadi pelarian ketika zaman British puluhan tahun lalu.

Beliau berkata, isu itu bukan baru tetapi Pas sengaja menimbulkan perkara tersebut kerana terdesak (untuk meraih sokongan) apabila mereka menukar perjuangan daripada mahu mewujudkan negara Islam kepada negara berkebajikan.

“Kebajikan apa yang mereka mahu buat? Semua kebajikan kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) sudah lakukan jadi sekarang mereka sengaja cari salah orang lain (Kerajaan Umno dan BN) kononnya undi tidak bersih dan pengundi bukan warganegaralah.

“Sebenarnya mereka (pengundi yang didakwa warga asing) sudah berada di negeri ini lebih 20 tahun, malah sebelum saya menjadi wakil rakyat lagi mereka sudah mengundi.

“Memang kita ada beri kerakyatan kepada orang Rohingya, Kemboja, Myanmar menjadi pelarian yang asalnya orang Malaysia dikerah membuat jambatan maut waktu zaman British dan pendudukan Jepun di negara ini dulu. Mereka ini semua kita bawa balik dan beri kerakyatan, memang kebanyakan mereka dari Kedah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyampaian dana raya kepada penduduk di Seri Bandi, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian menyangkal pendedahan Pas Terengganu yang mengesan ribuan warga asing memiliki kad pengenalan mendaftar sebagai pengundi di beberapa kawasan di negeri ini yang disiarkan Sinar Harian semalam.

Pesuruhjaya Pas Terengganu, Abdul Wahid Endut berkata, seramai 5,006 bangsa asing kebanyakannya keturunan Myanmar didapati tersenarai sebagai pengundi iaitu 1,239 di Dun Kijal dan 529 di Air Putih termasuk 43 daripadanya dikesan tiada rekod dalam Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Sebaliknya Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu itu menegaskan pada hakikatnya yang menipu rakyat adalah Pas.

Ahmad berkata, buktinya pada 1995 Pas membawa masuk seramai 979 pengundi dari kawasan lain (termasuk dari Dewan Undangan Negeri (Dun) Kemasik) ke Dun Kijal sementara berdasarkan semakan terdapat kira-kira 1,200 pemilih di Rusila, Marang adalah pengundi luar iaitu dari Johor, Selangor dan Pahang.

“Saya ada bukti Pas membawa masuk pengundi luar di Dun Kijal pada 1995 kerana waktu itu saya jadi penolong pegawai daerah dan saya jaga pemilih, jadi Pas jangan nak kelirukan rakyat,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ahmad mempersoalkan mengapa perkara berkenaan (pengundi bangsa asing) tidak dibangkitkan pada pilihan raya umum terdahulu seolah-olah pembangkang ketandusan isu.

“Kalau undi tidak adil bagaimana Pas dapat menang dalam pilihan raya umum pada 1999 di Terengganu, di Kelantan pembangkang berjaya kekalkan kemenangan hingga 20 tahun selain menang di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor pada pilihan raya umum lalu,” katanya.-SH

Orang agama dan pejuang bangsa bercakap ikut terlepas?

Apabila berita 'serbuan' JAIS ke gereja Methodist di Damansara mula kencang diperkatakan, kita dapati akhbar Melayu , terutamanya Utusan Malaysia telah mensensasikan berita tersebut yang dilihat sebagai propaganda politik untuk menarik sokongan kepada agenda mereka.

Seakan-akan Utusan sangat prihatin untuk menjaga kemurnian ajaran dan amalan Islam serta kepentingan Melayu. Demi menjaga kemurnian ajaran dan amalan Islam serta kepentingan Melayu itu , maka ummah secara tersurat dan tersirat tiada mempunyai pilihan kecuali mempertahankan sokongan mereka kepada UMNO.
Sebaliknya ada pula pemimpin Pas yang mengatakan 'serbuan' tersebut adalah agenda UMNO untuk menutup beberapa isu hangat politik semasa. Pemimpin Pas yang paling tertonjol agaknya adalah Khalid Samad, Ustaz Idris Ahmad tidak begitu diberi perhatian.

Bahkan Khalid Samad menulis di dalam blog-nya mengulas isu serbuan ini dari angle yang agak menarik. YB Dato Hassan Ali pula mempertahankan JAIS dan rela dikenakan apa-apa tindakan dari kerajaan negeri dan partinya sendiri.
Kita juga membaca kenyatan badan bukan kerajaan (NGO) yang menyokong JAIS dan juga kenyataan Dr. Asri Zainal Abidin yang mempersoalkan tindakan JAIS di dalam Malaysiakini kemudian di petik oleh beberapa blog. Seperti biasa MAZA memang mahir menunggangi arus populariti, dia adalah seorang selebiriti agama bagi sebahagian ahli masyarakat kita termasuk dalam isu ini.
Sebelum kita memperkatakan sudut pandang kita ke dalam isu ini, kita perlu menentukan beberapa tanggapan asas:

1-Adakah JAIS bertindak luar bidang kuasanya dan melanggar peraturan yang sediada?
2-Atau adakah tindakan JAIS itu merugikan Islam dan Ummah, terutamanya ianya adalah tindakan yang tidak syar'ie?
3-Adakah benar majlis tersebut mengandungi unsur-unsur dakyah untuk menarik orang Melayu kepada ajaran kristian di dalam majlis tersebut?
4-Adakah benar terdapat unsur-unsur amalan (rituals)keagamaan semada kristian atau campur-aduk antaragama di dalam majlis tersebut?
Sekira JAIS telah melepasi bidang kuasanya atau melanggar mana-mana peraturan, maka pihak berwajib negeri perlu meluruskan perkara ini, ianya masaalah pentadbiran . Yang salah perlu diperbetulkan.
Sekiranya JAIS bertindak melanggari ketetapan syara, serta bertindak merugikan agama dan ummah, maka pihak berwajib dan ulama perlu bertindak agar JAIS patuh sepenuhnya kepada ketentuan syara', perkasakan JAIS agar ianya menjadi badan agama yang berwibawa dan berfungsi mengikut ruh dan amalan syara'.
Bagaimanapun sekiranya JAIS bertindak mengikut peraturan dan dalam bidang kuasanya serta mengikut ketentuan syara', JAIS perlu diberi sokongan oleh semua pihak, kelemahan yang ada perlu diperbaiki, imej JAIS perlu dijaga, peranan JAIS perlu dipertingkatkan.

Bukankah soal-soal beginilah yang dilaung-laungkan oleh UMNO, yang diperjuangkan oleh Pas, yang didukung oleh PKR bahkan PERKASA.

Adakah terdapat unsur-unsur dakyah kepada agama kristian di dalam majlis tersebut dan terdapat ungkapan-ungkapan 'rituals' bagi agama tersebut?. Apakah kebimbangan bahawa majlis seumpama ini memang bertujuan secara tersiratnya kalaupun tidak secara tersurat agar ummah Islam cenderung untuk memeluk kristian itu mempunyai asas?.
Kita ummah Islam mengetahui bahawa jenayah murtad adalah jenayah yang tersangat berat. Sehingga jenayah tersebut lebih berat daripada bunuh, di dalam mazhab Imam as-Syafi'ie sememangnya hukuman bagi orang murtad adalah bunuh. Ayat 191 surah al-Baqarah yang menyebut 'fitnah itu lebih dahsyat dari pembunuhan" telah ditafsirkan oleh ulama yang fitnah di dalam ayat ini bermaksud kekufuran , maka kemurtadan itu lebih berat lagi dari kekufuran yang asal. Lihat juga ayat 193 surah yang sama.
Rasulullah mengingatkan kita yang kita sepatutnya takut dan bimbang tergelincir dari Islam lebih daripada takut dan bimbang daripada dicampak ke dalam api yang marak membakar. Itulah sepatutnya 'paradigm' kita dalam soal yang berkaitan dengan isu murtad. Ianya bukan soal secondary bagi pemerentah Islam, masyarakat Islam , keluarga Islam dan individu Islam. Pemerentah bertanggung-jawab menjaga agama, maksudnya mempertahankan faham agama, mengamalkan amalan agama dan menyekat penyelewengan dan kemurtadan dari agama.
Tidak layak dan sekali-kali tidak patut bagi mana-mana pimpinan organisasi Islam yang menjadikan isu murtad sebagi isu secondary. Bagaimana tergamak agaknya Khalid Samad mengatakan sekira memang terdapat dakyah-dakyah untuk mengkristiankan orang Islam (sekiranya tidak dipaksa), maka JAIS tidak layak menyerbu, sebalik JAIS sepatutnya menggunakan saluran undang-undang untuk mencegah kemaksiatan ini , dari mana datangnya logik beliau ini?.

Rasulullah berpesan kepada kita sekiranya kita melihat sesuatu kemungkaran, hendaklah kita ubahnya dengan tangan, sekiranya tidak mampu dengan lidah, sekiranya tidak mampu maka cegahlah dengan hati, dan itu adalah sedaif-daif iman. Apakah ada maksiat yang lebih dahsyat daripada kemurtadan? Atau kita bertanya adalah tindakan JAIS dalam kes ini menyalahi undang-undang dan peraturan yang sedia ada?.
Kita membaca yang Dr.Asri Zainal Abidin dengan sinisnya membuat suatu perbandingan atau qias (dalam istilah feqah) mempersoalkan larangan orang bukan Islam dari memasukki masjid, serta tegahan orang Islam berada di gereja: katanya kalau larangan orang Islam berada di gereja kerana bimbangkan orang Islam meninggalkan Islam, maka apakah larangan orang bukan Islam memasukki masjid kerana bimbangkan orang bukan Islam memeluk Islam?
Masyaallah kenyataan ini datangnya dari seorang bekas mufti, yang sepatutnya bercakap mengikut syara', berdasarkan al-Quran dan sunnah serta fahaman dan amalan salaf as-soleh.
Bagaimana agaknya MAZA memahami ayat 28 Surah at-Taubah:

"Wahai orang yang beriman sesungguhnya orang musyrikin itu najis, jangan (benarkan) mereka mendekati Masjid al-Haram selepas tahun mereka yang ini (9 hijrah), dan sekiranya kamu takut ianya akan membebani kamu (kerana kekurangan sumber pendapatan), maka Allah nanti akan memberi kekayaan kepada kamu dari anugerah-Nya sekiranya dikehendaki-Nya, Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana."
Imam Ibn Kathir menyebut dalam tafsirnya yang Khalifah Umar bin Abdul Aziz telah mengeluarkan arahan kepada gabnor-gabnor nya agar mencegah orang kafir daripada memasukki masjid. Larangan orang kafir memasukki masjid adalah persoalan feqah, kita juga mengetahui khilaf ulama tentang hukum tersebut, sekiranya MAZA tidak bersetuju dengan tegahan tersebut, maka bahaskan dari sudut feqah, mana pendapat yang rajih dan mana pula yang marjuh.
Tentang larangan berada di dalam majlis keagamaan penganut agama lain itu atau bersamaan dengan mereka itu sangat jelas dihuraikan oleh Imam Ibn Taimiyyah di dalam kitabnya 'al-Iqtida', Besarlah hati kita untuk membaca huraian MAZA tentang apa yang dikupas oleh Imam Ibn Taimiyyah dalam kitabnya yang berharga ini.

Dipetik daripada Muqabalah Blog-SH

Waris Muhammad Imran dicari



Muhammad Imran Jaharudin


PUTRAJAYA 11 Ogos - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) cawangan Putrajaya meminta waris kepada seorang kanak-kanak berketurunan Melayu, Muhammad Imran Jaharudin, 11, tampil menghubungi jabatan tersebut.
Pegawai JKM cawangan Putrajaya, Hamsa Moksin berkata, Muhammad Imran ditemui berseorangan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 23 Julai lepas tanpa sebarang tujuan dan penjaga.
"Menurut Muhammad Imran, dia datang ke Putrajaya bersama ibunya, Timah Sara untuk berjumpa dengan abang kandungnya di masjid berkenaan.
"Selepas pertemuan itu, ibunya menunaikan solat sementara abangnya meninggalkan mereka, kemudian dia gagal untuk bertemu dengan ibunya semula," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Hamsa berkata, menurut kanak-kanak malang itu, dia berasal dari Kampung Alek Bukit, Kuala Krai, Kelantan.
"Buat masa ini, dia ditempatkan di Rumah Kanak-kanak Kuala Kangsar, Perak," katanya.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai waris Muhammad Imran menghubungi Mohd. Fazli Abdul Rahman atau Hamsa sendiri di talian 03-88901672.-utusan

Kes saman: GLC, Tajudin cari penyelesaian luar mahkamah



KUALA LUMPUR 11 Ogos – Kes-kes saman sivil membabitkan syarikat- syarikat milik kerajaan (GLC) dan Kerajaan Malaysia terhadap bekas Pengerusi Eksekutif Malaysian Airline System Bhd., (MAS), Tan Sri Tajudin Ramli kini dalam peringkat rundingan untuk mencari penyelesaian di luar mahkamah.
Dengan perkembangan tersebut, Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 29 September ini untuk pengurusan kes berhubung isu penyelesaian tersebut.
Tarikh tersebut ditetapkan oleh Hakim Pengurusan Mahkamah Tinggi (Bahagian Dagang) Kuala Lumpur, Tan Sri Md. Raus Sharif, yang juga merupakan Hakim Mahkamah Persekutuan ketika kes itu disebut di kamar beliau hari ini.
Sekiranya tiada persetujuan dicapai, kes-kes saman yang membabitkan tuntutan berbilion ringgit itu akan diteruskan dengan perbicaraan.
Secara keseluruhan terdapat lebih daripada 10 kes saman di pelbagai peringkat mahkamah termasuk Mahkamah Rayuan membabitkan GLC seperti MAS, Telekom Malaysia Bhd., Naluri Corporation Bhd., Celcom (M) Bhd., Pengurusan Danaharta Bhd. dan Atlan Holdings Bhd.
Tajudin turut mengemukakan saman balas ke atas 24 defendan termasuk GLC terbabit bagi menuntut ganti rugi RM13.46 bilion.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz ketika dihubungi mengesahkan ada mengeluarkan sepucuk surat cadangan bagi penyelesaian luar mahkamah kepada GLC terbabit sebagaimana yang dilaporkan dalam satu portal berita.
Ujar beliau, cadangan penyelesaian itu bukanlah satu perkara yang ‘tiba-tiba’ sebaliknya telah difikirkan oleh kerajaan sejak enam bulan lalu.
Ia dibuat selepas pihak kerajaan memikirkan kes itu akan mengambil masa terlalu lama dan tidak akan memberikan keuntungan kepada sesiapa sekiranya perkara itu berlaku.
Bagaimanapun, beliau menyatakan bagi GLC seperti MAS dan Telekom, entiti tersebut boleh meneruskan kes itu sekiranya ‘tidak sudi’ terhadap jalan penyelesaian kerana itu adalah hak syarikat terbabit.-utusan

Somalia perlu bantuan segera AS$2.4 bilion



GENEVA 11 Ogos - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan kebuluran yang melanda Afrika Timur sebagai krisis kemanusiaan paling teruk di dunia ketika ini.
Timbalan Penyelaras Bantuan Kemanusiaan PBB, Catherine Bragg berkata, berdasarkan maklumat Unit Analisis Nutrisi dan Keselamatan Makanan, kejadian itu juga merupakan krisis keselamatan makanan Afrika terburuk sejak krisis kebuluran Somalia pada 1991 dan 1992.
''Krisis terbaru ini masih belum sampai ke kemuncaknya,'' ujarnya.
Badan dunia itu merayu masyarakat antarabangsa menyumbang kira-kira AS$1.3 bilion (RM3.9 bilion) bagi membantu menangani krisis kebuluran di Afrika Timur.
Bragg berkata, seluruh wilayah di selatan Somalia dijangka menghadapi krisis kebuluran dalam tempoh antara empat hingga enam minggu lagi jika bantuan tidak disalurkan.
''Kami percaya berpuluh ribu orang telah mati. Beratus ribu orang lagi pula sedang kebuluran dan menghadapi kemungkinan akan mati. Kita perlu bertindak sebelum kejadian ini bertambah buruk,'' katanya.
Menurut PBB, pihaknya telah menerima bantuan berjumlah AS$1.1 bilion (RM3.3 bilion) iaitu hanya 46 peratus daripada AS$2.4 bilion yang diperlukan, daripada negara-negara penyumbang.
Rayuan Bragg itu dikeluarkan ketika pegawai agensi makanan PBB memberi amaran jumlah mereka yang melarikan diri dari wilayah dilanda kemarau tersebut meningkat mendadak dan menyebabkan bantuan antarabangsa tidak mencukupi.
Wakil Pertubuhan Makanan dan Pertanian di Kenya, Luca Alinovi memberi amaran situasi akan bertambah teruk pada minggu-minggu akan datang jika rakyat Somalia terus keluar dari wilayah yang mengalami krisis kebuluran bagi mencari makanan, kebanyakan wilayah itu dikawal oleh kumpulan pengganas, al-Shabab.
PBB menjangka lebih 11 juta orang di Afrika Timur akan memerlukan bantuan makanan ekoran kemarau, selain keadaan diburukkan oleh tindakan al-Shabab yang tidak membenarkan pertubuhan kemanusiaan menghantar bantuan ke kawasan di bawah kawalannya. - Agensi, utusan

Askar akan dikerah: Cameron

CAMERON...penjenayah tidak akan terlepas.
CAMERON...penjenayah tidak akan terlepas.

LONDON: Britain akan bertindak tegas ke atas kumpulan samseng yang mencetuskan huru-hara di beberapa bandar negara itu dan mungkin mendapatkan bantuan tentera jika rusuhan berulang. Perdana Menteri Britain, David Cameron, berkata kerajaan tidak akan membenarkan “budaya takut” wujud di jalanan negara itu. “Kerajaan juga akan memberi kuasa kepada polis untuk menuntut orang awam membuka sebarang penutup muka selepas mendapati ramai penjarah memakai topeng ketika memecah masuk pelbagai kedai pada minggu ini, katanya kepada Parlimen yang mengadakan sidang tergempar, semalam. Sidang itu diadakan khusus membincangkan rusuhan melanda Britain ekoran pembunuhan seorang pemuda disyaki penjenayah, Mark Duggan, 29, di Tottenham. Menurut Cameron, mana-mana pihak yang mengalami kerugian akibat rumah atau kedai mereka dirosakkan sepanjang tempoh rusuhan boleh menuntut pampasan kepada kerajaan seperti diperuntukkan Akta Kemusnahan Rusuhan. “Ia adalah perbuatan jenayah dan langsung tiada sebarang alasan untuk menghalalkannya,” katanya. Selain melakukan kekacauan di jalan raya, perusuh turut membakar bangunan serta kenderaan, selain menyerang polis. Kata Cameron, kerajaan tidak akan membiarkan kekacauan tercetus di negara itu. “Kerajaan akan melakukan apa saja bagi mengembalikan keamanan serta membangunkan semula komuniti yang terjejas. “Kepada penjenayah yang minoriti, saya ada pesanan ini: Kami akan memburu kamu dan untuk mendakwa dan menghukum kamu. “Semua perbuatan kamu akan dibalas,” katanya. Mengenai kehadiran polis yang meningkat kepada 16,000 orang di London ketika ini, Cameron berkata, jumlah itu akan dikekalkan sehingga hujung minggu ini. Apabila keadaan memerlukan, kata Cameron, tentera akan dipanggil bagi menghadapi perusuh - sesuatu yang tidak pernah dilihat berlaku di Britain setakat ini. - Reuters, hmetro

7,000 pelabur lega

IPOH: Hampir 7,000 pelabur skim emas seluruh negara yang mendakwa ditipu lega apabila syarikat pelaburan Bestino Golden House Sdn Bhd berjanji memulangkan wang pelaburan sebanyak RM411.19 juta.
Kebanyakan mangsa yang mula melabur sejak 2006 hingga 2009 mendakwa pernah dijanjikan pulangan keuntungan tiga peratus sebulan atau lebih 30 peratus setahun.

Akibatnya, ramai yang teruja hingga sanggup melabur ratusan ribu ringgit sebelum syarikat terbabit tiba-tiba ‘lumpuh’ selepas dikenakan tindakan Bank Negara kerana didakwa menjalankan aktiviti penggubahan wang haram.

Susulan itu, empat pengarah syarikat itu menghadapi 322 tuduhan pengubahan wang haram RM156.2 juta dan lima tuduhan menerima deposit awam tanpa lesen.

Pengarah syarikat berkenaan, Chong Yuk Ming berkata, dia tidak pernah berniat menipu sesiapa berikutan apa yang berlaku disebabkan tindakan undang-undang dikenakan mahkamah.

Beliau berkata, syarikat pelaburan itu bukanlah syarikat ‘tipu dan hilang’ seperti yang kerap dilaporkan media sebelum ini.


Menurutnya, pihak syarikat berjanji membayar balik pelaburan skim emas dibuat 6,740 pelaburnya membabitkan wang keseluruhan berjumlah RM411.19 juta.

“Pihak syarikat akan mengembalikan semula wang pelabur secara ansuran dengan bayaran permulaan membabitkan 25 peratus daripada jumlah pelaburan asal masing-masing.
“Kami berjanji membayar setiap ringgit pelaburan dibuat dan berharap setiap pelabur bersabar sementara menunggu keseluruhan wang itu dikembalikan semula. Ia akan dilakukan menerusi pihak pentadbir yang dipersetujui oleh Bank Negara,” katanya pada sidang media di rumahnya, semalam.

Menurutnya, pihak syarikat tidak akan membayar sebarang dividen kerana tidak mempunyai kapasiti berbuat demikian.

Pada 23 Februari lalu, empat pengarah syarikat Bestino Golden House Sdn Bhd dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh atas 322 tuduhan pengubahan wang haram bernilai RM156.2 juta dan lima tuduhan menerima deposit orang awam tanpa lesen dalam tempoh dua tahun syarikat itu beroperasi.

Yuk Ming, 49, bersama Ho Chee Cheong, 41; Goon Koon Lee, 48 dan Chang Kuei Geh, 57, mengaku tidak bersalah di atas semua tuduhan itu yang didakwa dilakukan antara tempoh 9 Julai 2006 hingga 21 September 2008.

Tuduhan mengikut Seksyen 41 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) iaitu menerima, mengguna serta memindahkan wang haram berkenaan menerusi skim pelaburan emas yang dilakukan di seluruh negara dan luar negara dalam tempoh terbabit dan mengikut Seksyen 25(1) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 (BAFIA).

Ditanya bagaimana pembayaran dibuat ekoran akaun syarikat dibeku Bank Negara, Yuk Ming berkata kakitangan syarikat itu di luar negara berusaha mendapatkan wang termasuk mencairkan aset syarikat di luar negara.

Dia turut merayu pelabur tidak menyalahkan ejen jualan dan pelaburan dilantik syarikat itu kerana mereka tidak bertanggungjawab dalam menguruskan wang pelaburan pelanggan.

Yuk Ming mendakwa, sepanjang syarikat itu beroperasi sebelum ini, mereka mampu membayar dividen tiga peratus sebulan bagi setiap pelaburan dan pernah membayar dividen sehingga 18 peratus bagi setiap enam bulan.

Dakwanya, beberapa bulan sebelum syarikat itu mula disiasat pada Jun 2009, syarikat itu memulakan aktiviti melombong emas di dua lombong yang terdapat di Papua New Guinea tetapi dihentikan tidak lama kemudian selepas Bank Negara membekukan akaun syarikat terbabit.-hmetro

Umar Patek tiba di Jakarta, hadapi tuduhan keganasan

JAKARTA: Umar Patek, militan yang disyaki perancang pengeboman Bali 2002 diekstradisi dari Pakistan ke Indonesia semalam selepas dia ditahan di bandar yang sama Osama bin Laden mati dibunuh.
Ketua agensi antikeganasan Indonesia, Ansyaad Mbai mengesahkan, Umar Patek tiba dengan kawalan ketat selepas berlepas dari Pakistan, menjelang perbicaraan terhadap tuduhan berkait dengan keganasan.

“Dia sudah ditahan. Dia suspek penting. Sukar untuk menyatakan pangkatnya. Tetapi anda boleh kata dia ikan besar,” kata Ansyaad.

Umar dijangka dibicarakan atas tuduhan melakukan keganasan, termasuk pengeboman Bali yang meragut 202 nyawa pada 2002 serta serangan petang Krismas yang menyebabkan 19 orang terbunuh pada 2000. - Reuters
hmetro   

Jumlah korban pertelingkahan 2 komander Moro meningkat

DATU PIANG: Angka kematian akibat pergaduhan antara kumpulan pejuang pembebasan Islam di selatan Filipina meningkat kepada 14 orang semalam.
“Kejadian tembak-menembak semakin sengit. Ia bergerak semakin jauh dari pusat bandar, menuju ke daerah sekitar. Ia semakin buruk,” kata Ketua Kampung, Ben Carandang.

Kira-kira 500 keluarga atau kira-kira 2,500 orang meninggalkan kediaman masing-masing untuk berlindung di pusat perlindungan kerajaan sejak pertempuran bermula minggu lalu.

Sengketa itu membabitkan Komander Adzmie dari Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) dengan Komander Abunawas, pemimpin kumpulan serpihan MILF.

Ia berkait dengan pertelingkahan mengenai tanah antara Adzmie dan Abunawas, kata pegawai kerajaan dan MILF.

Enam pejuang MILF dan lapan penyokong Abunasas terbunuh ekoran serangan itu, kata jurucakap tentera, Kolonel Prudencio Asto.


Menurutnya, kumpulan bersenjata lain yang ada hubungan dengan Adzmie dan Abunawas memasuki kawasan itu untuk menyertai pertempuran. - AP, hmetro

Kes pembunuhan Sosilawati Lawiya: 'Pendakwa hina mahkamah'

KATHAVARAYAN (dua dari kiri) bersama  Tilaiyalagan dibawa keluar selepas  perbicaraan kes pembunuhan Sosilawati di Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam.
KATHAVARAYAN (dua dari kiri) bersama Tilaiyalagan dibawa keluar selepas perbicaraan kes pembunuhan Sosilawati di Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam.

Peguam pembela dakwa arahan cabar kebolehpercayaan saksi dilanggar

SHAH ALAM: Peguam pembela dalam perbicaraan kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya, mahu pasukan pendakwaan dikenakan tindakan menghina mahkamah kerana mendakwa saksi pendakwaan ke-29, U Suresh atas tuduhan memberi keterangan bercanggah di mahkamah.
Peguam Manjeet Singh Dhillon yang mewakili tertuduh pertama, N Pathmanabhan, berkata mahkamah sudah membuat arahan sebelum ini untuk menangguhkan keputusan untuk mencabar kebolehpercayaan Suresh sebagai saksi hingga akhir kes pendakwaan.
Tidak sepatutnya mana-mana pihak mengambil tindakan mengganggu Suresh, tetapi semalam (kelmarin) pendakwaan, termasuk Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Idham Abd Ghani dan seorang TPR lain mendakwa Suresh di Mahkamah Sesyen mengikut Seksyen 193 Kanun Keseksaan kerana memberi keterangan palsu. - Peguam Manjeet Singh Dhillon, Peguam pembela
“Tidak sepatutnya mana-mana pihak mengambil tindakan mengganggu Suresh, tetapi semalam (kelmarin) pendakwaan, termasuk Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Idham Abd Ghani dan seorang TPR lain mendakwa Suresh di Mahkamah Sesyen mengikut Seksyen 193 Kanun Keseksaan kerana memberi keterangan palsu,” katanya sebelum prosiding bicara dalam bicara (TWT) kedua bermula, semalam.

Manjeet mempersoalkan sama ada tindakan itu satu cubaan secara langsung atau tidak langsung agar Suresh memberi keterangan mengikut kehendak pendakwaan.

Sehubungan itu, katanya, pembelaan mahu supaya pendakwaan dikenakan tindakan menghina mahkamah.

TPR Saiful Edris Zainuddin memberitahu mahkamah beliau berada dalam prosiding itu tetapi tidak mewakili pendakwaan.
“Suresh adalah saksi kami dan dia melakukan 22 percanggahan dalam keterangannya sebelum ini. Keputusan sama ada untuk mencabar kebolehpercayaan saksi itu bukan syarat untuk mendakwa Suresh,” katanya.

Hakim Akhtar Tahir berkata, persoalannya bukan sama ada pendakwaan boleh mendakwa Suresh atau tidak, tetapi sama ada ia masa sesuai untuk berbuat demikian.
Beliau kemudian mengarahkan TPR berhujah berserta dengan autoriti dan nas undang-undang mengenai perkara itu, Isnin ini.

Suresh, 27, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, kelmarin, atas tuduhan memberikan keterangan palsu dalam perbicaraan kes itu di Mahkamah Tinggi di sini, pada 25 dan 27 Julai lalu. Dia mengaku tidak bersalah.

Suresh kini menjalani hukuman penjara 20 tahun bersama bekas pekerja ladang, K Sarawanan, 20, selepas mengaku salah membakar dan membuang abu Sosilawati dan tiga rakannya ke Sungai Panchau, Jalan Pantai Morib di Banting.

Sementara itu, apabila perbicaraan bersambung, mahkamah diberitahu dua daripada empat tertuduh mengadu mengalami kesakitan di beberapa bahagian tubuh badan akibat dipukul polis ketika dalam tahanan reman.

Pegawai Perubatan, Dr P Paramanathan, 67, berkata beliau menemui semua empat tertuduh iaitu bekas peguam, N Pathmanbhan, 40, dan tiga pekerja ladangnya, T Thilaiyalagan, 20; K Matan, 21; dan R Khatavarayan, 31; di kliniknya di Penjara Sungai Buloh pada 14 Oktober 2010.

Katanya, Thilaiyalagan (tertuduh kedua) mengadu sakit dan cedera di bahagian atas pinggul berdekatan buah pinggang dan tapak kaki kiri, manakala Khatavarayan (tertuduh keempat) mengadu mengalami kencing berdarah akibat ditendang dan ditumbuk di belakang badan.

Dalam pada itu, Thilaiyalagan ketika dikemukakan sekeping gambar oleh Gurbachan, mengakui itu gambarnya dan mendakwa ada orang menyuruhnya tunjukkan ke arah sungai, selain ketika itu kepala dan tengkuknya dipegang polis.

Disoal balas TPR Saiful Edris Zainuddin, Thilaiyalagan menafikan polis memegang kepalanya atas permintaannya sendiri kerana tidak mahu gambarnya disiarkan dalam akhbar.

Thilaiyagan turut menafikan perbuatan polis itu adalah bagi keselamatan dirinya.

Khatavarayan pula ketika dibawa ke ladang di Banting, September tahun lalu, matanya diikat sepanjang perjalanan dan ditendang polis ketika berada di ladang berkenaan.

“Ketika dalam perjalanan pulang dari ladang itu ke IPD Gombak pada jam 2 atau 3 pagi, rambut panjang saya yang melepasi bahu turut dipotong polis.

“Ketika dibawa semula ke ladang itu pada 12 September, saya dipukul seorang pegawai polis ketika sedang duduk di depan rumahnya di ladang berkenaan.

“Saya dan Thilaiyalagan kemudian dibawa keluar dari ladang oleh pegawai yang mengiringi Thilaiyalagan, bersama Govindan ke satu kawasan di sebelah sekolah Tamil dan Govindan mengarahkan saya menunjukkan ke arah sebatang sungai,” katanya.

Turut memberikan keterangan semalam, peguam bela Ravi Nekoo, jurufoto akhbar Utusan Malaysia, Saharuddin Abdullah, 38; peguam, AS Dhaliwal, yang mewakili Suresh dan Sarawanan serta Ketua Polis Balai Selayang, Cif Inspektor Nordin Misban, 46.

Perbicaraan bersambung 15 Ogos ini. -bharian

Tetapkan suhu bilik 24 Celcius




SUHU di semua bangunan kerajaan ditetapkan 24 darjah Celsius bagi mengurangkan kos. - Gambar hiasan


PUTRAJAYA - Semua bangunan kerajaan diarahkan menetapkan suhu dalam bangunan tidak kurang daripada 24 darjah Celsius sebagai langkah penjimatan tenaga, kata Menteri Tenaga, Teknoloji Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah Kui.
Beliau berkata, langkah kecekapan penggunaan tenaga itu akan berkuat kuasa selepas surat pekeliling mengenai perkara itu dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan.
"Perdana Menteri mengarahkan sebagai satu langkah yang bijak kecekapan penggunaan tenaga, semua bangunan kerajaan diminta menetapkan suhu bangunan tidak kurang daripada 24 darjah Celsius.
"Kecuali bagi tempat-tempat khas seperti hospital yang memang memerlukan paras suhu yang rendah," katanya pada sidang akhbar bersama Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Douglas Uggah Embas di sini semalam.
Terdahulu, kedua-dua mereka menghadiri mesyuarat Majlis Teknologi Hijau Negara dan Perubahan Cuaca, yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Bangunan Perdana Putra di sini.
Mengulas lanjut, Fah Kui berkata, suhu yang ditetapkan itu adalah sesuai untuk persekitaran tempat kerja dan ia juga boleh menjimatkan keseluruhan bil elektrik sesebuah bangunan kerajaan itu.-kosmo