Wednesday, March 9, 2011

Kerajaan tanggung kos lawatan Rosmah RM134,000

Kerajaan tanggung
KUALA LUMPUR, 9 Mac: Kos keseluruhan lawatan rasmi isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor ke Arab Saudi, Oman dan Bangladesh ditanggung kerajaan berjumlah RM134,317.76.
Perkara itu dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz dalam jawapan bertulisnya terhadap soalan sama Ahli Parlimen Rasah, Loke Siew Fook dan Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar di parlimen hari ini.
Bagaimanapun,soalan Firdaus sama ada kos itu tersenarai dalam bajet 2011, tidak dinyatakan jawapan.
Dalam penjelasan itu, Nazri berkata rombongan yang diketuai Rosmah itu turut disertai Menteri Wanita, isteri-isteri menteri, menteri besar-menteri besar, ketua menteri serta beberapa pegawai kerajaan.
Rombongan ke bandar Riyadh, Muscat dan Dhaka itu juga mendapat kelulusan Jemaah Menteri.
Isu lawatan Rosmah sebelum ini menjadi pertikaian banyak pihak ekoran didakwa melangkaui bidang kuasa menteri berkaitan yang hanya menjadi peserta rombongan.
Turut dipertikaikan, duit rakyat yang digunakan untuk menanggung kos lawatan tersebut di saat rakyat berdepan pelbagai tekanan ekonomi.
Nazri memberitahu, di Riyadh, Rosmah dijemput menyampaikan ucaptama di Seminar Antarabangsa Pertama, mengenai Pengurusan Kualiti Pendidikan K-12, atas jemputan Timbalan Menteri Pelajaran Arab Saudi.
Di Muscat pula, Rosmah diundang daripada Menteri Pembangunan Sosial Oman manakala di Dhaka, isteri perdana menteri itu diundang Madam Cherie Blair, Penaung Asian University for Women dan menyampaikan ucaptama di Simposium Memikirkan Masa Hadapan Asia.
Berhubung isu jabatan First Lady of Malaysia (Flom) yang sebelum ini dimuatkan dalam web Pejabat Perdana Menteri pula, Nazri berkata ianya dibuang kerana menimbulkan kekeliruan.
Jabatan itu kini kata Nazri sedang dalam proses penyelenggaraan.

Suami Zakiah Anas enggan cerai

myMetro 
Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my

PETALING JAYA: Suami kepada personaliti TV3, Zakiah Anas enggan menceraikan isterinya walaupun dinasihat berbuat demikian di Mahkamah Rendah Syariah di sini, hari ini.

Mohamad Yusof @ Mohamed Yusof Taib, 49, memberitahu mahkamah dia bertindak demikian kerana masih sayangkan keluarga dan anak-anaknya. Hakim Syarie Ghazali Ahmad kemudian menegaskan, nasihat yang diberikan termaktub dalam undang-undang syariah mengikut Seksyen 47(14) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003.


'Ini prosedur, orang dah failkan. Mahkamah ada langkah-langkah yang harus diikuti. Saya nasihat mengikut undang-undang, bukan atas kehendak sendiri,' kata Ghazali.

Beliau menetapkan 11 April depan untuk Zakiah dan Mohamad Yusof berbuat demikian. Zakiah yang hampir 20 tahun menjadi pengacara di TV3 mendirikan rumah tangga dengan Mohamad Yusof kira-kira 15 tahun lalu dikurniakan dua cahaya mata, Aiman Muzammil, 11, dan Amir Muzhaffar, 9. Zakiah memfailkan permohonan cerai secara baik pada 31 Oktober 2008 sebelum menukarnya kepada permohonan cerai fasakh dan kemudian permohonan cerai taklik sebelum menarik semula semua permohonan itu pada 1 September 2009."

Calon MPP hilang mungkin ada unsur jenayah

Kosmo! Online


09/03/2011 9:23pm

KUALA LUMPUR – Polis tidak menolak kemungkinan wujud unsur jenayah dalam kes kehilangan seorang calon Pro Mahasiswa pada pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaya (UM) bulan lepas.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Zulkifli Abdullah berkata siasatan kes itu masih berjalan dan telah diambil alih Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields.
Polis kini menunggu laporan perubatan berhubung status kesihatan fizikal dan dalaman pelajar terbabit, katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Penilaian Khidmat Pelanggan di IPD Dang Wangi, di sini hari ini.
Masturah Abu Bakar, 22, dilaporkan hilang 19 Feb lalu selepas berkempen di Projek Perumahan Rakyat Pantai Dalam di sini, sebelum ditemui semula 33 jam kemudian di Bangi.
Kehilangannya itu dikaitkan dengan empat ugutan yang diterima beliau beberapa hari sebelum dilaporkan hilang dan Masturah ditemui dalam keadaan bingung dan menangis berhampiran sebuah masjid di Kampung Teras Jernang, Bangi.
Pada pemilihan MPP UM yang berakhir pada 21 Feb itu, Masturah diumumkan sebagai antara calon Pro Mahasiswa yang menang.
Polis sebelum ini mengklasifikasikan kes itu sebagai orang hilang dan siasatan awal juga mendapati tiada unsur jenayah, malah pelajar berkenaan tidak diculik.
Zulkifli juga meminta orang ramai supaya tidak mencampuri urusan polis dan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan. - Bernama

Sultan Qaboos pecat dua menteri dalam rombakan kabinet Oman

Cyberita Online


MUSCAT: Pemimpin Oman, Sultan Qaboos bin Said, memecat Menteri Ekonomi dan Menteri Dalam Negeri dalam satu rombakan Kabinet besar-besaran selepas beberapa minggu protes antikerajaan dilancarkan rakyat di negara Teluk itu.
'Sultan Oman mengarahkan rombakan dalam majlis menteri,' menurut satu pengumuman televisyen sebelum senarai Kabinet baru dibacakan, kelmarin.Menteri Ekonomi, Encik Ahmad Abdel Nabi Mekki, dan Menteri Dalam Negeri, Encik Saud Ibrahim al-Busaidi adalah antara menteri utama yang terkeluar.Ini selain Menteri Perdagangan dan Industri, Encik Maqbool Ali Sultan.Kementerian yang dipegang Encik Mekki dibubarkan manakala tempat Encik Busaidi digantikan oleh ketua perkhidmatan awam, Encik Faisal Said al-Busaidi, menurut agensi berita ONA.Rombakan kebinet itu sememangnya dijangka selepas Sultan Qaboos memecat dua menteri pada Sabtu lalu sebagai reaksi terhadap bantahan rakyat yang mengaitkan gejala rasuah dan reformasi demokrasi yang perlahan di negara itu.Sekurang-kurangnya seorang penunjuk perasaan terkorban dalam pertempuran dengan polis di bandar perindustrian Sohar, minggu lalu.Bantahan aman diteruskan di Sohar untuk hari ke-10 semalam.Salah seorang penunjuk perasaan, Encik Ali Habib, berkata rombakan Kabinet itu tidak mencukupi dan menggesa agar menteri yang korup diheret ke muka pengadilan.'Kami mahukan pegawai yang korup didakwa dan diletakkan di bawah tahanan dalam rumah,' katanya.Para penunjuk perasaan berkata mereka tidak mempunyai 'masalah' dengan Sultan Qaboos tetapi merancang menggiatkan lagi bantahan dengan melancarkan mogok umum semalam.Sementara itu, Washington menyambut baik pembaharuan yang diperkenalkan oleh pihak berkuasa Oman.'Kami menggalakkan kerajaan agar terus melaksanakan pembaharuan dengan meningkatkan peluang ekonomi dan lebih bersikap inklusif dalam porses politik,' kata jurucakap Jabatan Negara, Encik Philip Crowley.Sebelum ini, Sultan Qaboos telah mengumumkan usaha mewujudkan 50,000 pekerjaan baru dan menawarkan elaun bulanan bernilai 150 riyal ($493) kepada mereka yang mendaftarkan diri untuk mendapatkan pekerjaan. -- AFP.

Batu hempap rumah waktu gempa dilelong

Cyberita Online


WELLINGTON: Seorang pemilik rumah yang hancur dihempap batu sebesar saiz kereta dalam gempa bumi yang memusnahkan bandar kedua terbesar di New Zealand baru-baru ini, telah melelongkan batu tersebut secara dalam talian (online) dengan harga lebih NZ$60,000 ($56,040).
Penduduk bandar Christchurch itu, Encik Phil Johnson, berkata batu seberat 30 tan itu jatuh dari sebuah bukit berdekatan rumahnya dan menghempap bumbung garaj serta ruang tamu rumahnya.Beliau menggelarkan batu itu 'Rocky'.'Ia berada dalam keadaan aslinya (hanya terdapat sedikit habuk konkrit). Sesuai untuk diletak di taman, atau, seperti halnya dengan kami, satu tambahan yang mengagumkan kepada ruang tamu anda,' tulis Encik Johnson dalam nota penjualannya.'Rocky akan menambahkan keindahan dalam dan luar rumah anda dengan banyaknya, terutamanya jika anda meletakkannya pada bumbung garaj seperti yang kami lakukan,' tambahnya.Hasil kutipan daripada lelong itu akan didermakan kepada Rayuan Persatuan Palang Merah, kata Encik Paul Ford, seorang jurucakap bagi 'Trade Me', laman web yang digunakan bagi penjualan itu, kepada agensi berita The Associated Press (AP), semalam.Gempa bumi sekuat 6.3 pada skala Richter yang menggegarkan Christchurch pada 22 Februari lalu telah meruntuhkan bangunan-bangunan, memusnahkan ribuan rumah dan membunuh sekurang-kurangnya 166 orang, dalam apa yang disifatkan sebagai bencana alam paling teruk di New Zealand.Harga tawaran yang berjaya itu ialah NZ$50,000, yang dibuat oleh sebuah syarikat pemaju gelanggang ski, NZSki.Tawaran kedua tingginya adalah NZ$10,050, sebagai tukaran kepada satu pakej percutian di resortnya oleh NZSki juga.Lelong tersebut berakhir kelmarin, kata Encik Ford.Ketua eksekutif NZSki, Encik James Codington, berkata syarikat tersebut akan mengangkut 'Rocky' ke sebuah tempat meletak kereta di gelanggang ski Mount Hutt, kira-kira 97 kilometer di luar kawasan Christchurch, di mana ia bakal menjadi tumpuan penontonnya. -- AP.

PBB didesak kenakan sekatan penerbangan



CARI PERLINDUNGAN: Seorang pemberontak berlari mencari perlindungan semasa satu serangan udara oleh tentera Libya di Ras Lanuf, kelmarin. -- Foto REUTERS
PERGOLAKAN BERDARAH DI LIBYA
RAS LANUF (Libya): Britain dan Perancis kini menerajui usaha untuk mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenakan sekatan penerbangan di ruang udara Libya sedang pertempuran sengit terus berlaku di seluruh negara itu.
Sementara itu anak lelaki Encik Muammar Gaddafi memberi amaran kemungkinan meletusnya perang saudara jika bapanya didesak meletak jawatan.Rumah Putih pula sedang cuba meredakan tekanan daripada beberapa penggubal dasarnya supaya mencampur tangan secara langsung di Libya, sambil berkata ia terlebih dahulu mahu menimbangkan apa yang dapat dicapainya melalui beberapa pilihan tindakan tentera dalam negara gurun pasir yang kaya dengan minyak itu.Orang awam yang membantah kepimpinan Encik Gaddafi kini dikepung oleh tentera pemimpin Libya itu di dua bandar sebelah barat negara itu - di Misrata dan Zawiyah - manakala pesawat-pesawat perang Libya pula membedil bandar Ras Lanuf, yang kaya dengan minyak dan dikuasai pembantah, di sebelah timur negara tersebut.Dua akhbar Arab dan stesen televisyen Al-Jazeera pula berkata Encik Gaddafi sedang mencari jalan mengadakan satu pakatan bagi membolehkan beliau meletak jawatan. Namun, rejim Encik Gaddafi semalam menafikan perkara itu.'Ia karut. Menyakitkan hati betul untuk mengulas mengenai perkara mengarut itu,' kata seorang pegawai pemerintah Libya atas syarat namanya tidak didedah.Encik Gaddafi telah berikrar di khalayak awam untuk terus berjuang dan tidak akan meninggalkan Libya.Salah seorang anak lelaki beliau, Encik Saadi, dalam satu wawancara dengan stesen televisyen Al-Arabiya, berkata bapanya masih belum mengerahkan askar-askarnya untuk menghadapi pertempuran sepenuhnya terhadap para pembantah, sambil berkata ia adalah untuk melindungi Libya daripada serangan luar asing dan untuk melindungi 'tapak-tapak sensitif' negara itu.'Puak-puak itu kesemuanya bersenjata, ada pasukan dari tentera Libya dan wilayah timurnya yang bersenjata. Suasananya tidak seperti Tunisia atau Mesir,' kata Encik Saadi.'Jika sesuatu berlaku ke atas pemimpinnya, siapakah yang akan menguasai? Satu perang saudara akan tercetus,' tegasnya.Semalam, tentera Encik Gaddafi melancarkan sekurang-kurangnya empat serangan udara ke atas bandar Ras Lanuf, dengan salah satu serangannya disasarkan ke arah sebuah kawasan perumahan, menurut seorang wartawan kanan agensi berita Reuters.Seorang penyelaras bantuan PBB, Cik Valerie Amos, berkata pertempuran yang berlaku di seluruh Libya bermakna lebih sejuta orang pelarian atau mereka yang masih berada dalam negara itu memerlukan bantuan kemanusiaan. -- Reuters, AFP.

80 tahun tunggu MyKad





PARIT ABAS - Hampir 80 tahun hidup tanpa memiliki MyKad, impian seorang warga emas, akhirnya tercapai apabila Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Kawasan Parit Buntar menyerahkan MyKad baru.

Fatimah Saad, 90, lebih dikenali sebagai Mak Ngah terharu apabila pertama kali menatap wajahnya yang dicetak di MyKad .

Warga emas yang hidup sendirian selepas kematian suami lebih 20 tahun lalu, di sini sama sekali tidak menyangka masih diberi peluang untuk memiliki MyKad sendiri.

“Saya bersyukur kerana impian saya tercapai, terima kasih kepada semua pihak yang sudi membantu, sebagai orang susah, saya tidak akan berjaya miliki kad ini tanpa bantuan orang lain,” katanya ketika ditemui dalam majlis ringkas penyampaian MyKad di rumahnya oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Pongsu, Sham Mat Sahat.

Fatimah berkata, penduduk kampung banyak membantu kehidupannya yang serba daif.

Tanpa kemudahan air dan bekalan elektrik, warga emas ini hidup menggunakan sumber air dari parit berhampiran dan hanya bercahayakan lampu minyak tanah apabila gelap.

Kisah kepayahan hidup Mak Ngah pernah disiarkan Sinar Harian pada 13 Mac tahun lalu.

Keadaannya itu berjaya menarik perhatian JPN yang turun padang memantau keadaannya sebelum proses mengumpul maklumat dilakukan bagi memproses MyKad baru.

Seorang penduduk, Ismail Husin Ali, 52, berkata, dia pernah beberapa kali memujuk Mak Ngah menetap di rumah kebajikan orang tua memandangkan kehidupannya yang tidak terurus tetapi ditolak.

Menurutnya, dia bersama penduduk kampung yang simpati sentiasa membantu keperluan makanan dan minuman warga emas berkenaan.

“Rumahnya yang usang itu juga tidak lagi selamat untuk didiami, saya ada menghantar permohonan bantuan rumah dengan harapan Mak Ngah mendapat rumah yang lebih selesa,” katanya.

Ismail atau dikenali dengan panggilan Pak Tam berkata, selepas bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Mak Ngah ditamatkan, penduduk kampung melancarkan kutipan derma setiap bulan untuk menyediakan kelengkapan termasuk makan minum.

“Hari ini (semalam) saya sendiri terharu dengan kelulusan MyKad yang diterima Mak Ngah, harap ini dapat membantu proses mendapatkan bantuan rumah dan bantuan bulanan kelak.



Proses semula, dokumen tak lengkap



Ketua Pejabat JPN Parit Buntar, Azimah Mohamad berkata, pihaknya terpaksa memproses semula permohonan kad pengenalan yang dibuat memandangkan terdapat beberapa dokumen yang tidak lengkap.

Menurut beliau, pihaknya terpaksa mengambil masa agak lama kerana kelulusan perlu mengikut prosedur yang ditetapkan.

“MyKad Mak Ngah akhirnya siap malah, sijil kelahirannya yang hilang sejak 80 tahun lalu juga diproses baru,” katanya.

Azimah berkata, dengan adanya MyKad itu, diharap dapat membantu urusan Mak Ngah terutama dalam proses mendapatkan bantuan kebajikan,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Pongsu, Sham Mat Sahat berkata, beliau akan membawa kes Mak Ngah ke mesyuarat kumpulan fokus (Focus Group) untuk diberi tindakan segera.

“Selepas ini kita harap pihak Baitulmal dapat mempercepatkan proses permohonan bantuan rumah yang dipohon bagi memberi lebih keselesaan kepada warga emas berkenaan menjalani rutin harian,” katanya.

Menurutnya, usaha keras semua pihak terutama JPN menunjukkan komitmen kerajaan menyelesaikan masalah rakyat.

Sementara itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Kerian, Asmaliza Ismail ketika dihubungi berkata, pihaknya ada menerima permohonan daripada nama sama iaitu Fatimah Saad tetapi umur yang berbeza, 72, bukan 90 tahun.

Menurutnya, jika kes berkenaan adalah individu sama, pihak JKM memang telah menamatkan bantuan bulanan sebanyak RM135 yang diterima.

Bagaimanapun, kata beliau, bantuan berkenaan ditamatkan untuk diperbaharui dengan tambahan bantuan kepada RM300 sebulan.

“Ia tertangguh kerana ketika itu Fatimah tidak memiliki MyKad,” katanya.

Guru tiduri anak rakan


myMetro
LONDON: Seorang guru wanita yang meniduri seorang pelajar separuh daripada usianya dibebaskan hari ini - selepas hakim mendapati pelajar itu yang memulakan langkah pertama.
Leah Davies, 29, meniduri pelajar berusia 15 tahun selepas mereka menonton DVD bersama-sama sambil meminum minuman keras dalam satu parti. Ibu remaja berkenaan tidur di tingkat atas kediaman ketika kejadian itu. Leah, ibu anak satu menghadapi empat tuduhan mengadakan hubungan seksual dengan individu bawah umur. Bagaimanapun, dia lepas daripada hukuman penjara selepas hakim mendapati pelajar terbabit tidak terjejas akibat hubungan sulit itu. Leah yang juga teman ibu pelajar itu sering berbual dengannya mengenai filem dan muzik kegemaran pelajar berkenaan sebelum mereka melakukan hubungan seks.

Hubungan sulit itu terbongkar selepas remaja berkenaan memberitahu ibu saudaranya yang kemudian membuat laporan polis.

Leah digantung kerja selama dua tahun dan di bawah pemantauan mahkamah sepanjang 24 bulan selepas hakim Martin Rudland memberitahu dia hanya wanita biasa yang telah melakukan kesilapan bodoh yang tragik.

Hakim berkata: “Terdapat kes di mana hubungan sulit seperti ini tidak seimbang apabila individu yang lebih muda terjejas, tetapi tidak dalam kes ini. “Pengadu adalah anak muda yang suka sosial dan bermain dalam kumpulan muzik. Dia juga berpengalaman dalam hubungan seks.


“Tempoh hubungan mereka singkat dan bukan atas paksaan kerana kedua-duanya puas hati. Dia yang mula menyentuh anda dan bukan anda yang menggodanya,” kata Rudland. - TS

Kejutan waktu malam


MUSNAH...keadaan rumah yang runtuh akibat gempa bumi masih kelihatan di sepanjang jalan raya   Christchurch.
MUSNAH...keadaan rumah yang runtuh akibat gempa bumi masih kelihatan di sepanjang jalan raya Christchurch.


CHRISTCHURCH (New Zealand): Misi kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia menyalurkan bantuan kepada pelajar dan rakyat Malaysia di sini berakhir semalam, namun di sebalik kejayaan itu, pengalaman merasai sendiri gegaran susulan gempa bumi mengejutkan delegasi sukarelawan itu.
Terkejut dengan gegaran sekuat 4.8 skala Richter malam Sabtu lalu menyebabkan ada di antara sukarelawan lari ke halaman motel Bella Vista di Bealey Avenue di sini, yang menjadi tempat tinggal sepanjang tempoh misi.

Gegaran dalam tempoh beberapa saat itu yang berlaku pada jam 7.30 malam waktu tempatan (kira-kira 2.30 petang waktu Malaysia) mengejutkan ramai pihak yang tidak pernah berdepan situasi itu.

Sejak hari pertama delegasi tiba iaitu pada 3 Mac lalu, berlaku puluhan siri gegaran kecil dan kebanyakannya hampir tidak disedari anggota kumpulan sukarelawan.

Bagaimanapun, gegaran Sabtu lalu paling dirasai kerana kebanyakan sukarelawan sedang berehat di bilik masing-masing.


Seorang pegawai perubatan yang menyertai delegasi itu, Dr S Thiru berkata, akibat terkejut dengan gegaran itu dia lari ke halaman motel tanpa sempat memakai kasut.

“Saya sebelum ini mempunyai pengalaman berdepan gegaran gempa bumi kerana pernah belajar di Aceh, Indonesia selain menyertai beberapa misi bencana alam ini di negara lain.

“Namun yang menakutkan saya malam itu ialah bunyi keretakan pada bangunan menyebabkan saya berlari berkaki ayam,” katanya.

Pengerusi Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, beliau turut terkejut dengan gegaran itu.

“Ketika itu saya berada di bilik air sehingga menyebabkan saya kelam-kabut mahu menyelamatkan diri.


“Mujurlah tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku tetapi saya anggap kejadian itu menjadi antara pengalaman menarik,” katanya.


Walaupun berdepan situasi mengejutkan itu, Abdul Azeez berkata, beliau bersyukur dan gembira kerana misi kemanusiaan selama enam hari menyalurkan bantuan untuk pelajar dan rakyat Malaysia berjaya mengikut perancangan.

'Doakan terbaik buat saya'


JIMMY...saman kepada isteri tidak sempurna
JIMMY...saman kepada isteri tidak sempurna


SHAH ALAM: “Doakan yang terbaik buat saya. Apa yang saya lakukan ini demi anak (yang bakal lahir) dan keluarga,” kata pengacara Jimmy Shanley selepas Mahkamah Rendah Syariah di sini, menangguhkan kes permohonan perintah kembali taat dan nusyuz terhadap isterinya, Nursuhaila Eliani Suhaimy, 4 April depan.
Terdahulu, Hakim Syarie Saharuddin Selamat menetapkan tarikh itu selepas mahkamah mendapati penyerahan saman untuk kedua-dua permohonan dikemukakan Jimmy kepada Nursuhaila tidak sempurna.

Saharuddin berkata, tindakan Nursuhaila melantik peguam juga bukan bukti dia menerima saman berkenaan.

“Mahkamah memberi peluang kepada Nursuhaila hadir di mahkamah bagi memfailkan pembelaan dalam kes itu,” katanya.


Jimmy, 31, atau nama sebenarnya Jimmy Norjahan Salleh memfailkan perintah kembali taat diikuti permohonan nusyuz terhadap Nursuhaila, 25, di Mahkamah Rendah Syariah di sini, masing-masing pada 3 dan 27 Januari lalu.


Pengacara Akademi Fantasia ke-8 itu dan isterinya tinggal berasingan sejak 21 Oktober 2010 atau hanya 20 hari selepas bernikah di rumah keluarga perempuan di Sunway Rahman Putera, Sungai Buloh, dekat sini.

Nursuhaila yang juga anak jutawan produk kecantikan Natasya, Datin Muniroh Kassim, kini dilaporkan hamil lima bulan dan tinggal di rumah keluarganya.

Sementara itu, peguam syarie mewakili Jimmy, Mohd Noor Aizan Md Idrus ketika ditemui berkata, butiran lanjut berhubung permohonan perintah kembali taat dan nusyuz hanya akan diketahui apabila kes berkenaan dibicarakan.

“Permohonan ini bagi mendapatkan perintah mahkamah supaya isteri kembali mentaati suami. Secara tersirat ada beberapa perkara yang suami arahkan kepada isterinya untuk dipatuhi,” katanya.

Pada prosiding semalam, Jimmy hadir memakai kemeja merah dan bersongkok, manakala Nursuhaila tidak kelihatan sehingga prosiding sebutan selesai.

Desas-desus keretakan perkahwinan pasangan itu mula diperkatakan akhir tahun lalu apabila media melaporkan pengacara program Itu Dia di Astro Ria berdepan masalah rumah tangga.

Bagaimanapun, keesokan harinya Jimmy menafikan berita itu dan menyifatkan gosip semata-mata.

Jimmy memberitahu, mereka masih dalam keadaan berbulan madu dan Nursuhaila ketika itu disahkan mengandung empat minggu.

Bagaimanapun, kelibat Jimmy di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, 11 Januari lalu, sekali lagi menimbulkan spekulasi mengenai perkahwinannya.

Artis itu yang dihubungi memberitahu dia enggan mengulas lanjut bagi menjaga hati keluarga mentua di samping mengharapkan peminat mendoakan kebahagiaan mereka.

Bom ditanam militan Islam meletup

Berita Harian Online




2011/03/09

LAHORE: Bom ditanam pihak yang disyaki militan Islam meletup di kawasan tempat mengisi gas asli di wilayah Punjab, tengah Pakistan, membunuh sekurang-kurangnya 25 orang dan mencederakan 127 yang lain, kata polis.

Ramai yang maut masih terperangkap dalam timbunan runtuhan beberapa jam selepas letupan itu memusnahkan bangunan stesen dengan pekerja penyelamat cuba mengangkat batu berat dan besi bagi menyelamatkan mangsa.
“Kami bimbang angka kematian meningkat kerana keadaan mangsa yang cedera kritikal,” kata Ketua Polis Wilayah Faisalabad yang kaya dengan pembuatan tekstil, Aftab Cheema.
“Ia bom kereta. Letupan itu disorok di dalam kereta,” kata Cheema.

Saksi kejadian, Ijaz Hussain memberitahu yang beliau mendengar letupan kuat dan menyebabkan keadaan kelam kabut. –AFP

Pemisah selatan Thai ubah taktik

Berita Harian Online




2011/03/09

BANGKOK: Keganasan semakin rancak di kawasan bergolak selatan Thailand, selepas beberapa lagi serangan bom dan senjata berlaku di rantau majoriti penduduk Islam, kata pihak berkuasa Thai, semalam.

“Saya mengakui pergolakan kian meningkat, namun pegawai kami bertungkus lumus untuk bekerja keras sehabis baik bagi menyelesaikan masalah itu,” kata Tawin Pleansri, Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Nasional memberitahu media.
“Agak sukar mengawasi kawasan yang sebegitu luas. Walaupun kurang insiden berlaku, kebelakangan ini keadaan berada pada tahap paling serius,” katanya.
Pemisah Islam melancarkan pemberontakan di rantau paling selatan Thailand sejak awal 2004, menyebabkan lebih 4,400 orang maut, membabitkan penduduk Islam dan Buddha.

Keganasan semakin hebat baru-baru ini dengan beberapa serangan bom berlaku termasuk dalam kejadian Januari lalu yang mengorbankan sembilan orang.

Satu serangan berani luar biasa seminggu sebelumnya ke atas sebuah pangkalan tentera menyebabkan sekurang-kurangnya empat askar terbunuh.

Pihak berkuasa berkata, pemberontak jelas menukar taktik mereka dengan memfokuskan lebih banyak serangan secara ganas.
Thailand menempatkan 60,000 anggota pasukan keselamatan di wilayah terjejas akibat keganasan bagi menentang militan yang belum diketahui matlamat mereka.
Pihak berkuasa berkata, agak mustahil untuk menamatkan konflik itu dengan segera.

“Masalah ini tidak dapat diselesaikan dalam tempoh beberapa bulan,” kata Timbalan Perdana Menteri, Suthep Thaugsuban, yang bertanggungjawab menguruskan keselamatan negara.

Pengkritik menuduh kerajaan gagal menangani kesengsaraan minoriti Islam Melayu Thailand, termasuk dakwaan mereka didera tentera yang turut dianggap kurang hormat ke atas identiti etnik, bahasa dan agama orang tempatan.

Mangsa terbaru termasuk seorang pesara polis Buddha berusia 61 tahun yang terkorban kelmarin dalam satu tembakan penunggang motosikal yang menyebabkan cucu perempuannya parah di wilayah Pattani. – AFP