AHAD, 21 DISEMBER 2014 @ 5:14 PM
KUALA LUMPUR: Polis Antarabangsa (Interpol) mengeluarkan waran tangkap terhadap sarjana Islam terkenal Dr Yusuf Al-Qaradawi selepas beliau dikaitkan dengan kegiatan kumpulan Ikhwanul Muslimin yang diharamkan di Mesir.
Menurut laman web Interpol pada 5 Disember lalu, notis merah terhadap Yusuf, 88, dikeluarkan terhadap Al-Qaradawi selepas dikehendaki pihak berkuasa kehakiman Mesir bagi pendakwaan dan sabitan hukuman kerana dituduh menghasut dan membantu pembunuhan antarabangsa, membantu banduan melepaskan diri dari penjara, aktiviti vandalisme dan kecurian.
Kerajaan Malaysia pernah menganugerahkan beliau sebagai Tokoh Maal Hijrah pada 2009.
Al-Qaradawi yang kini menetap di Qatar dituduh mempunyai kaitan dengan insiden kekecohan ahli kumpulan Ikhwan Muslimin di dalam penjara dan penentangan terhadap pemimpin diktator Hosni Mubarak.
Pemimpin kanan Ikhwan Muslimin, Mohamed Morsi yang dilantik menjadi Presiden Mesir pada tahun 2012 adalah antara individu yang berjaya melarikan diri ketika insiden berkenaan.
Terdahulu, Al-Qaradawi mengkritik kerajaan baharu Mesir selepas penyingkiran Morsi pada Julai 2013.
"Dari hari dia (Presiden baru, Abdel Fattah al-Sisi) dilantik, semua yang kita lihat adalah pembunuhan dan pertumpahan darah serta tahanan wanita diperkosa," kata Al-Qaradawi sebelum pilihan raya pada Mei lalu.
Sementara itu, pada Februari lalu, pegawai kanan Mesir menuntut Qatar mengekstradisi Al-Qaradawi.
Mereka juga mendesak Interpol supaya menahan Al-Qaradawi tahun lalu.
Menurut Global Muslim Brotherhood Daily Watch, Interpol mengeluarkan notis merah yang menunjukkan tahap berjaga-jaga paling tinggi dan memerlukan tindakan segera oleh agensi polis antarabangsa terhadap Al-Qaradawi.
Sementara itu, mengulas mengenai waran yang dikeluarkan oleh Interpol itu, Al-Qaradawi berkata, beliau terkejut dengan waran tangkap berkenaan yang menyatakan beliau bertanggungjawab terhadap beberapa kesalahan yang dilakukan di Mesir, beberapa tahun lalu.
Bercakap menerusi perbualan telefon dengan stesen televisyen Ikhwan Muslimin, Rab, minggu ini, pemimpin Islam kelahiran Mesir itu memberi maklum balas terhadap tuduhan berkenaan dengan berkata:
"Saya tidak tahu apa piawaian Interpol gunakan... Bagaimana saya mengambil bahagian dalam insiden kekecohan di penjara dan membebaskan tahanan ketika tinggal di Qatar? Saya membawa pasport Qatar dan menggunakannya semata-mata untuk perjalanan saya.
"Adakah saya meninggalkan Qatar dalam tempoh itu? Adakah saya ke Mesir dalam tempoh itu? Mereka boleh menyemak dan mengetahui bahawa saya tidak terbabit dalam perkara itu." - Agensi