SAMBUNGAN SEMALAM:
BERBALIK kepada lenggang lengok Azalina dan Abdul Rahman, saya sedikit pun tidak terkejut jika sememangnya parti-parti pembangkang di negara kita terutama parti rasis dan cauvinis DAP serta parti serpihan Umno – PKR – menerima wang daripada penyangak-penyangak dunia.
Tetapi perlu diingat bahawa parti pembangkang itu bukannya kerajaan yang mentadbir Malaysia sekarang. Mereka tidak ada kepentingan untuk membalas budi baik penyangak-penyangak itu kerana tidak ada apa-apa projek yang boleh diberikan, kecuali di Pulau Pinang dan Selangor.
Masalahnya, ialah parti yang menjadi kerajaan memerintah Malaysia sekarang ini telah diakui boleh menerima dana (atau sudah pun menerima dana) dari pihak luar, termasuk daripada penyangak-penyangak Barat atau Timur.
Ini sesuatu yang berbahaya kepada negara. Negara boleh tergadai, sebagai mana rancangan untuk ‘menggadai’ maruah dan kedaulatan Malaysia melalui persetujuan terhadap Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).
Kestabilan negara boleh terancam kerana pemberi dana itu sudah ‘memegang kepala’ kita. Adalah tidak mustahil negara boleh terjebak dengan penjajahan bentuk baru kuasa asing, seperti TPPA, kerana parti pemerintah menerima dana orang yang hendak menguasai kita dan sudah tentu mereka juga boleh mempengaruhi keputusan pilihan raya.
Tidak mustahil apabila pihak yang menerima dana itu menang dalam pilihan raya dan memerintah negara, nescaya mereka terpaksa tunduk dan akur dengan kehendak negara yang mengeluar dana berkenaan. Contohnya mereka boleh memaksa Malaysia akur dengan TPPA.
Semua parti politik, tidak kira pemerintah atau pembangkang mesti memelihara harga diri dan memastikan mereka tidak terdedah dengan gejala menerima dana asing, yang akhirnya akan merosakkan masa depan Malaysia.
Dan jika benar wang RM2.6 bilion yang masuk ke akaun peribadi Najib adalah dana politik bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14, kenapa akaun itu ditutup? Kenapa tidak menunggu sehingga hampir PRU-14 dikeluarkan semua wang itu untuk digunakan dalam kempen pilihan raya?
Sekarang, di mana RM2.6 bilion itu?
Jika wang itu milik peribadi Najib, sememangnya beliau tidak perlu memberitahu kita di mana wang itu sekarang, namun jika jawapannya wang itu hak beliau maka mungkin rakyat tertanya-tanya dari mana seorang Perdana Menteri yang baru enam tahun menduduki takhta sudah ada wang peribadi sebanyak itu.
Namun, jika wang itu bukan milik peribadi, maka Najib kena beritahu kita wang siapa? Betulkah untuk Umno dan BN dan di mana wang itu sekarang selepas akaun berkenaan ditutup.
Selepas SPRM mengesahkan memang ada RM2.6 bilion dalam akaun Najib, rakyat tertanya-tanya siapa yang memberi wang sebanyak itu kepada beliau. Bolehkan siasatan lanjut dijalankan ke atas Najib untuk mengetahui sama ada wang itu adalah rasuah atau tidak?
Jika mengikut undang-undang sudah tentu siasatan lanjut dijalankan dan SPRM sekurang-kurang menyoal siasat dan menangkap Perdana Menteri atas tuduhan menerima suapan, sebagaimana yang berlaku kepada beberapa ahli politik lain.
Sebelum ini, ramai juga ahli politik yang dituduh di mahkamah kerana menerima rasuah yang pada masa itu bukan dikatakan ‘dana politik’.
Datuk Norza Zakaria (ahli Umno yang pernah menjadi Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan); Datuk Suhaili Abdul Rahman (bekas Ahli Parlimen Labuan); Datuk Azman Mahalan (bekas EXCO Perak); Datuk Waad Mansor (bekas EXCO Negeri Sembilan); Mohd Yahya Mat Sahri (ahli PKR dan Pegawai Tugas-tugas Khas Menteri Besar Selangor); Wong Chuan How (ahli DAP dan Pembantu Khas Adun) dan Hasbie Satar (bekas Setiausaha Politik Menteri Kewangan), adalah antara ahli politik yang pernah dituduh menerima rasuah.
Ada yang didapati bersalah. Cuma ketika itu mungkin mereka terlupa untuk menggunakan istilah wang yang diterima adalah ‘dana politik’, sebagaimana ‘dana politik’ yang masuk ke akaun peribadi Najib.
Saya selama ini menganggap bahawa calon-calon BN, terutama yang mewakili Umno menggunakan peruntukan daripada Ibu Pejabat Umno untuk bertanding pada pilihan raya. Mungkin juga ada yang menggunakan wang bantuan daripada rakan atau saudara mara yang mendapat projek tertentu.
Tetapi, terfikir juga dari mana Ibu Pejabat Umno hendak mendapat wang membiayai calon-calonnya jika tidak datang dari dana pihak tertentu.
Apa yang biasa saya dengar sebelum ini ialah setiap calon Umno juga diperuntukkan sekurang-kurangnya RM1 juta seorang untuk kerja politik pada musim pilihan raya. Mungkin ada yang lebih, kerana khabar angin sentiasa bertiup bahawa syarikat-syarikat besar diminta menghulurkan bantuan.
Maka, jutaan ringgit dalam bentuk tunai mula bergerak di hotel-hotel seluruh negara ketika musim pilihan raya. Pada musim itulah ada rakan memberitahu bahawa wang tunai satu juta ringgit berada di bawah kakinya.
Wang yang datang dari dalam atau luar untuk membantu parti. Wang yang dikatakan ‘dana politik’ untuk digunakan oleh parti politik. Dana yang membantu untuk memenangkan parti.
Berbeza dengan seorang saudara saya yang bertanding bukan atas tiket BN, yang terpaksa menjual tanah pusaka untuk dijadikan modal berkempen pada pilihan raya umum yang lalu, selain sedekah seringgit dua daripada orang kampung yang setia sebagai penyokong.
Sedihnya apabila pemimpin politik sudah mula menjual maruah diri, agama, bangsa dan negara untuk mendapat ‘dana politik’. Janganlah kerana ingin memiliki kuasa yang tidaklah sebesar mana atau ingin mencapai kemenangan sehingga ada yang sanggup menggadai maruah agama, bangsa dan negara dengan membenarkan pemilihan kerajaan dipengaruhi oleh ‘white’, ‘black’ atau ‘yellow’.
P/S: Politik Malaysia kini berubah apabila pemberian wang kepada ahli politik bukan lagi ‘rasuah’ tetapi ‘dana politik’. Maka, sesiapa pun ahli politik sekarang ini bolehlah menerima ‘dana politik’ tanpa perlu takut ditangkap oleh SPRM.Razali bin ZakariaPengarang Kanan Ismaweb.net
Penafian: Artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Isma, sebuah pertubuhan Melayu dan Islam sederhana.