Friday, April 22, 2011

Tuai Rumah mengaku terima rasuah Cek Tendang


Mungkin jika Tuai Rumah tidak menerima cek tendang sebagai rasuah daripada Calon Barisan Nasional Joseph Mauh, kita tidak akan tahu bahawa Tuai Rumah ini telah dirasuah agar memberikan undi serta memastikan anak-anak buahnya mengundi Barisan Nasional semasa Pilihanraya Sarawak tempoh hari.
Sarawak Report telah mendedahkan pengakuan seorang Tuai Rumah, bernama Kuching Anak Moyang yang telah menerima 3 keping cek sebagai rasuah untuk membantu kemenangan Barisan Nasional di Sarawak. Cek-cek tersebut bernilai, RM2000, RM3000, dan RM5000. Malangnya cek yang bernilai RM5000 adalah cek tendang [SarawakReport].


Tuai Rumah ini juga mengaku bahawa amalan rasuah juga berlaku pada pilihanraya Negeri Sarawak tahun 2006 yang lalu. Namun kali ini habuan rasuah yang diterima adalah lebih besar.




ReJaM© "Ini yang dinamakan penyamun jual perompak"RAKYAT MARHAEN: Tuai Rumah mengaku terima rasuah Cek Tendang

Sebak lihat anak terlantar



SUNGAI YAN - Siapa sangka akibat demam campak seorang kanak-kanak perempuan 8 tahun terpaksa terbaring seumur hidupnya setelah menghidapi penyakit kronik.

Siti Hajar Mohamad Hanafi kini hanya mampu terbaring sejak umur dua tahun.

Ibunya, Norazlina Ab Ghani, 34, berkata, anak sulungnya dilahirkan normal sehinggalah terkena demam campak ketika berusia 1 tahun.

“Makin lama tubuh Siti Hajar semakin lemah dan segala anggota tubuhnya menjadi kejang. Setelah kami membawanya ke hospital untuk menjalankan fisioterapi selama satu tahun, akhirnya doktor memberitahu dia tidak menunjukkan sebarang tindak balas yang positif,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, pada 25 Januari lalu, anaknya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Bahiyah selama seminggu.

“Doktor terpaksa memasukkan tiup ke dalam hidungnya bagi memudahkan dia makan dan minum.

“Dia hanya minum susu dan bubur nasi, harga satu tin susu ialah RM130 dan sebulan, kami terpaksa membeli satu tin besar ditambah lagi satu tin kecil yang hanya bertahan selama sebulan,” katanya.

Norazlina berkata, sebelum ini suaminya, Mohamad Hanafi Abdullah, 35, pernah memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil.

Dia juga berkata, dengan pendapatan suaminya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah, tidak dapat menampung perbelanjaan mereka sekeluarga.

“Hanya suami saya seorang yang bekerja untuk menyara hidup kami sekeluarga dan pendapatannya tidak cukup untuk menampung perbelanjaan kami sekeluarga, memandangkan kos pengurusan Siti Hajar sahaja mencecah RM250 sebulan termasuk lampin.

“Hati ibu mana yang tidak tersentuh apabila melihat anaknya hanya mampu terbaring tanpa melakukan sebarang pergerakan seperti kanak-kanak lain yang seusia dengannya,” katanya.

Turut sama hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Chempedak, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail yang menyampaikan sumbangan kepada keluarga Mohamad Hanafi bagi meringankan beban mereka.

Lumpuh lepas disuntik



BESUT - Sepasang suami isteri sedih memikirkan masa depan anak lelaki mereka yang kini terlantar selepas didakwa menerima suntikan oleh kakitangan kesihatan pada Disember tahun lalu.

Nik Hanisah Ishak, 46, berkata, anaknya Muhammad Muhaimin Yauza, 16, kini hanya terlantar selepas lumpuh sebahagian tubuhnya dan terpaksa dibantu sepenuhnya jika ingin makan atau membuang air besar.

Menurutnya, anaknya, pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Pahang, mengalami lumpuh pada 8 Disember tahun lalu apabila pulang bercuti penggal di rumahnya, di sini.

“Anak saya memang sihat ketika pulang ke rumah. Tetapi pada hari terbabit ketika bangun dari tidur, dia mengadu tangan kanannya kebas dan kemudian tidak dapat menggerakkan seluruh tubuhnya.

“Keadaan itu menyebabkan dia terlantar selama dua bulan di sebuah hospital,” katanya yang sentiasa mengalirkan air mata mengenangkan anak lelaki harapannya pada masa depan.

Nik Hanisah berkata, tidak lama sebelum anak kedua daripada empat anaknya itu pulang bercuti, dia ada menerima suntikan di bahu kanan daripada kakitangan Pejabat Kesihatan yang datang ke sekolahnya itu.

Beliau mendakwa, pemeriksaan pegawai hospital mendapati, punca Muhammad Muhaimin lumpuh dipercayai disebabkan kesilapan suntikan.

“Dia kini tidak mampu melakukan apa-apa. Semuanya terpaksa dibantu dan saya meminta agensi berkaitan membantu keluarga menuntut hak jika benar kecuaian yang dilakukan kakitangan kesihatan terbabit,” katanya mengenai anaknya yang kini sepatutnya belajar dalam Tingkatan Empat.

Kata ibu malang itu, bagaimanapun Pengerusi Mara, Datuk Seri Idris Jusoh telah melawatnya di rumahnya baru-baru ini, manakala pihak sekolah sering bertanya khabar serta menyumbangkan sebuah kerusi roda.

“Saya berterima kasih kepada semua pihak yang membantu termasuk pemimpin peringkat kampung, mukim dan wakil rakyat setempat,” katanya yang terpaksa berhenti menjual goreng pisang memandangkan perlu menjaga anaknya itu manakala suaminya bekerja kampung.

Sementara itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Besut ketika dihubungi mengesahkan sedang memproses untuk mempertimbangkan bantuan bulanan kepada keluarga ini. 

Bank lupus hutang ribuan ringgit



PASIR MAS – Seorang ibu tunggal lapan anak tidak menyangka bahawa hutang ditanggung arwah suaminya dilupuskan pihak Bank Rakyat, semalam.

Tengku Ariah Ghani, 44, berkata, setelah kematian suaminya, Ismail Ahmad akibat barah pada 2 Jun 2010, dia hilang sumber pendapatan utama memandangkan dia tidak bekerja dan menjaga anak-anak.

“Namun saya terkejut apabila dimaklumkan oleh pihak Bank Rakyat mengenai hutang arwah suami yang bernilai ribuan ringgit dalam pembiayaan kad kreditnya, dihapuskan tanpa syarat.

“Malah, saya turut diberikan sumbangan khairat kematian sebanyak RM1,000 bagi meringankan beban kehidupan kami,” katanya semalam.

Tengku Ariah berkata, sumbangan ini akan digunakan sepenuhnya bagi melunaskan perbelanjaan harian serta perbelanjaan pengajian anak-anaknya yang bakal menduduki peperiksaan tahun ini.

:Menurutnya, anak keenamnya bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) manakala anak ketujuh menghadapi Penilaian Menengah Rendah (PMR) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mahmood Mahyidin.

“Anak bongsu pula bakal menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Sekolah Kebangsaan Pasir Pekan tidak lama lagi.

“Saya terharu dan berterima kasih kepada Bank Rakyat atas sumbangan ini selain menghapuskan hutang arwah suami digunakan sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, pengurus Bank Rakyat cawangan Pasir Mas, Samsiah Mahamad berkata, bantuan ini merupakan satu kemudahan kepada pemegang kad kredit agar ia tidak membebankan pewaris jika pemegang meninggal dunia.

“Kita menyampaikan sumbangan ini kepada dua pewaris pemegang kad kredit Bank Rakyat iaitu Tengku Ariah yang kehilangan suami dan Mohd Khairul Anuar Mohd Zawawi setelah kehilangan bapanya, Mohd Zawawi Awang pada 20 Julai lalu.

“Kita harap bantuan ini bukan sahaja meringankan beban mereka sekeluarga, malah membantu mereka menjalani kehidupan lebih selesa di masa hadapan,” katanya.

Pengalaman Sejam Bersama Ulama Kontroversi Indonesia, Abu Bakar Baasyir


Penulis (kiri) bersama tokoh ulama, Abu Bakar Baasyir (kanan) menggemparkan Indonesia kerana penangkapannya ekoran disyaki terlibat dalam kegiatan pengganas. Abu Bakar merupakan pemimpin pergerakan Jamaah Anshorut Tauhid (JAT).

INDONESIA digemparkan dengan pengumuman penangkapan tokoh ulama Abu Bakar Baasyir, yang kini menjadi pemimpin pergerakan Jamaah Anshorut Tauhid (JAT), kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pengganas. Ulama yang sering dikaitkan dengan kejadian bom Bali pada suatu ketika dulu itu, ditahan di daerah Banjar, Ciamis, Jawa Barat pada pukul 8.15 pagi dan dibawa ke Markas Besar Polis Indonesia untuk disoal siasat.

Abu Bakar ditangkap kerana disyaki terlibat dalam beberapa kegiatan pengganas termasuk merancang latihan ketenteraan untuk kumpulan pengganas di Aceh. Hasil siasatan polis mendapati Abu Bakar berperanan aktif menyiapkan rancangan awal latihan ketenteraan bagi kumpulan pengganas di Aceh, menentukan pelantikan beberapa orang sebagai pemimpin kumpulan pengganas, merestui dan membiayai kegiatan latihan kententeraan itu.

Sememangnya saya mempunyai kenangan tersendiri dengan Abu Bakar yang tak mungkin dapat saya lupakan sampai bila-bila.

Sewaktu saya bertugas di Utusan Malaysia dulu, saya pernah diarahkan untuk membuat liputan gempa bumi yang meragut nyawa lebih 3,000 orang penduduk di Daerah Istimewa Yogyakarta (DIY), Indonesia.

Ini merupakan tugasan ketiga saya ke sana selepas dihantar membuat liputan tsunami di Aceh dan gempa bumi Pulau Nias, Sumatera Utara.

Saya ingin berkongsi pengalaman mengenai satu tugasan yang bagi saya dan rakan jurugambar, Mohd. Noor Amin cukup mencabar.

Semuanya bermula sewaktu kami berdua sedang `belasah' kopi Jawa dan pisang goreng berkeju di sebuah warung buruk di pinggir kota Yogyakarta.

Sambil menikmati hidangan ala-kadar itu, saya tiba-tiba ternampak berita kecil yang termuat di dalam akhbar paling berpengaruh di Indonesia, Kompas.

Bunyinya : ABU BAKAR BAASYIR DIBEBASKAN DARI PENJARA CIPINANG ESOK.

Saya tiba-tiba terfikir, alangkah menariknya kalau kami dapat menemu bual pemimpin agama paling kontroversi dan paling dikehendaki oleh Amerika Syarikat kerana disyaki menjadi dalang dalam banyak siri pengeboman di rantau ini.

Tanpa melengahkan masa, saya terus menghubungi Pengarang Berita di Kuala Lumpur untuk mendapatkan pandangannya. Beliau menyambut baik cadangan tersebut dan memberi `lampu hijau' untuk kami meneruskan misi berkenaan dengan syarat kami terlebih dahulu memberi pertimbangan yang sewajarnya daripada aspek keselamatan.

Bila dapat saja `lampu hijau', kami terus menyusun strategi dan sasaran pertama kami ialah Ketua Pengarang Akhbar Kedaulatan Rakyat, Bapak Octo Lampito. Kami memilih Octo kerana beliau sangat dihormati di Yogyakarta dan ini sudah tentu memberi kelebihan dalam usaha kami menjejaki Abu Bakar.

Ternyata strategi `serkap jarang' kami berhasil! Jangan ditanya apakah rahsia kami `mengayat' Octo, yang pasti beliau sangat senang dengan kami berdua, bukan itu saja, malah beliau turut mengarahkan seorang wartawannya untuk membantu kami menemui Abu Bakar.

Sebaik saja Abu Bakar dibebaskan, kami menyewa sebuah van dan terus menuju ke Rumah Sakit Umum Muhammadiyah (RSUM), Solo yang terletak kira-kira dua jam perjalanan dari Yogyakarta. Ini kerana Abu Bakar dijadualkan singgah di situ untuk menjalani pemeriksaan sebelum pulang ke rumahnya.

Kami tiba di RSUM tepat pukul 9 malam namun ketika itu Abu Bakar belum sampai, maklumlah perjalanan dari Penjara Cipinang, Jakarta ke Solo mengambil masa hampir 12 jam. Ketika itu ribuan penyokong Abu Bakar yang siap dengan berpakaian ala-ninja dan separa tentera sudah pun berhimpun di perkarangan RSUM untuk menyambut kepulangan `wira' mereka.

Teriakan Allahu Akbar bergema di sana sini. Suasana tidak ubah seperti waktu reformasi di Kuala Lumpur suatu ketika dulu. Tepat pukul 11 malam, Abu Bakar dan rombongannya tiba dengan sebuah kenderaan MPV, Toyota Alphard berwarna hitam metalik.

Suasana menjadi semakin huru-hara, malah anggota polis yang ada bagaikan `patung' kerana tidak mampu lagi membendung asakan ribuan penyokong Abu Bakar yang mahu memeluk dan bersalaman dengan pemimpin kesayangan mereka.

Mohd. Noor terpaksa `surrender' lebih awal apabila tubuhnya terhoyong-hayang ke kiri dan ke kanan kerana ditolak oleh penyokong Abu Bakar. Malah saya yang `comel' ini pun hampir tersembam ke tanah kerana dirempuh ribuan orang yang sudah tidak dapat lagi mengawal emosi mereka.

Dalam keadaan kelam-kabut itu, seorang rakan wartawan dari TransTV Indonesia yang kebetulan mengenali Mohd. Noor telah mengajak kami ke rumah Abu Bakar di Pesantren (pondok pengajian agama) Al-Mukmin, Ngruki yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari RSUM.

Dengan pertolongannya jugalah, kami akhirnya dapat `merempuh' masuk ke pesantren itu dan mendengar pidato ulung yang disampaikan Abu Bakar kepada lebih 3,000 pengikutnya pada malam itu. Keesokan harinya kami kembali semula ke Yogyakarta. Kami belum puas, kami mahu menemu bualnya secara eksklusif!

Strategi seterusnya diatur, kali ini melalui seorang `sahabat', kami dapat menghubungi orang kanan Abu Bakar yang dikenali sebagi Ustaz Fikri. Bayangkan hampir seminggu lamanya kami berbalas SMS dengan Ustaz Fikri bagi mendapatkan persetujuannya untuk bertemu dengan Abu Bakar sehingga kami sendiri hampir putus asa.

Jawapan SMS Ustaz Fikri mudah saja: "Ustaz Bakar Basyir belum mahu ketemu sesiapa pun termasuk dari CNN mau pun BBC". Namun betullah kata orang tua-tua, sabar itu ada hikmahnya. Ketika kami sedang berkemas-kemas untuk pulang ke tanah air, tiba-tiba saya menerima SMS dari Ustaz Fikri yang menyatakan kesediaan Abu Bakar untuk menemui kami berdua.

Tanpa melengahkan masa, kami terus menemui Abu Bakar yang ketika itu sedang berehat di ruang tamu rumahnya. Sebelum pertemuan itu berlangsung, identiti kami telah diperiksa satu-persatu oleh pengikutnya, nasib baik kami berdua ada membawa pas Bernama dan Utusan bersama-sama.

Malah sepanjang temu bual itu dilangsungkan, orang-orangnya merakamkan perbualan kami dengan menggunakan dua buah kamera video, suasana di dalam rumah Abu Bakar itu kini tak ubah seperti dalam studio mini RTM. Dek kerana terlalu banyak soalan yang dikemukakan, pertemuan yang pada mulanya dirancang berlangsung sekitar 15 minit itu berlanjutan sehingga hampir satu jam.

Kami hanya berhenti bila ada sekumpulan ahli Majlis Ulama Indonesia datang menemuinya. Keesokannya kami pulang ke tanah air dengan perasaan puas dan gembira kerana misi mustahil kami akhirnya berjaya dilaksanakan tanpa banyak masalah.

Cuma kami sedikit hampa kerana wawancara eksklusif dengan Abu Bakar itu tidak dapat disiarkan untuk tatapan pembaca atas sebab-sebab tertentu, ia bagaimanapun bukanlah satu masalah besar untuk dipatuhi. Mungkin ada kebaikan dan hikmah di sebalik semua itu.

Bangga? Tidak sekali, cuma kalau anda tanya apa perasaan kami ketika ini, jawapannya hanya satu, kami puas.

Kami puas kerana dapat melaksanakan tugas yang diberikan ini biarpun cabarannya bukan mudah sehingga adakalanya menyesakkan nafas yang menghidu, menyakitkan dada yang menyedut..

SYAHRIL A. KADIR adalah blogger dan bekas wartawan kanan jenayah yang pernah bertugas di akhbar arus perdana serta media elektronik tanah air. Blog beliau boleh dilawati di www.syahrilkadir.wordpress.com

mStar Online
: Pengalaman Sejam Bersama Ulama Kontroversi Indonesia, Abu Bakar Baasyir

Sama Tapi Tak Serupa….


SEBELUM berceloteh lebih lanjut, eloklah penulis menyeru kepada para pembaca agar bertafakur dan berdoa sejenak kepada rakyat dan orang awam yang tidak berdosa di Palestin dan Libya yang pada ketika ini berhadapan dengan cabaran yang amat perit atas sebab suasana tidak aman dan tenteram yang sedang melanda negara mereka.

Harus dan wajib juga kita mensyukuri nikmat keamanan yang sedang kita rasai sekarang di negara kita ini sendiri, walaupun kadang-kadang diganggu-gugat oleh acara “protes” dan tunjuk perasaan tidak rasmi oleh mereka yang berkepentingan.

Penulis sebenarnya mengikuti dengan penuh minat tentang ketidakstabilan dan juga protes “domino” yang sedang menular di Asia Barat dan Timur Tengah ketika ini. Kebangkitan protes yang “kononnya” dipelopori oleh rakyat ini menular dan berkembang di Timur Tengah seperti api yang marak menyala.

Dari sebuah negara ke sebuah negara yang lain, seolah-olah sindrom kebangkitan ini bakal merubah kedudukan geopolitik dan iklim pemerintahan serantau, yang rata-rata berteraskan autokrasi dan teokrasi kekeluargaan kepada suasana yang lebih kondusif dan lebih demokratik.

Walaupun secara asasnya perubahan ini perlu, namun haruslah kita lihat semula sama ada keperluan ini adalah untuk kebaikan ataupun membawa lebih keburukan kepada rakyat di negara-negara yang terbabit. Prinsip demokrasi tidak akan ada maknanya jika dikorbankan kemakmuran dan juga keamanan yang dinikmati ketika ini.

“Democracy for democracy’s sake” tidak lagi membawa erti sekiranya keadaan ekonomi, kemakmuran dan keamanan terancam sehingga rakyat hidup melarat, miskin dan negara menjadi kucar-kacir, tidak stabil, lemah dan dipandang rendah oleh dunia dan selepas itu boleh dicucuk hidung oleh kuasa besar.

Penulis juga tertarik dengan reaksi masyarakat dunia terhadap krisis yang melanda di Timur Tengah terutamanya berkaitan dengan negara-negara Islam di rantau itu. Melihat kepada Mesir, apabila revolusi rakyat menjelma tiba, pihak Barat dilihat pada mulanya “cuba” untuk mententeramkan keadaan dan bersifat neutral.

Namun, melihat usaha ini tidak berjaya dan usaha protes makin kuat, maka pihak Barat terus menerus menyokong usaha protes dan hasilnya Hosni Mubarak pun berundur dari tampuk kuasa, yang mana pada ketika ini kuasa eksekutif di Republik Arab Mesir dipegang oleh Majlis Eksekutif yang dikuasai oleh pihak tentera.

Walaupun niat asal protes ini dilaksanakan adalah untuk menuntut agar Hosni Mubarak berundur dan demokrasi dipulihkan namun demokrasi di Mesir masih jauh dari pandangan. Hasil sampingan dari protes ini, ekonomi Mesir yang banyak bergantung pada pelancongan hampir lumpuh sama sekali kerana pelancong tidak berani lagi ke Mesir atas sebab suasana yang tidak aman.

Malah bila penulis berkunjung ke Mesir baru-baru ini, penulis dimaklumkan juga yang muzium tempat pelbagai khazanah purba Mesir turut dirompak semasa suasana di Medan Tahrir dan Kaherah bergolak. Alangkah ruginya rakyat Mesir akibat dari protes ini!

Lain pula akibatnya apabila protes terhadap pemerintah berlaku di Libya. Berhadapan dengan Kolonel Muammar Gadafi, yang sememangnya dikenali dunia sebagai seorang yang agak keras kepala, rakyat yang memprotes berhadapan dengan tindakan keras dari kerajaan. Maka, berlakulah pertempuran dan pertumpahan darah antara pasukan kerajaan dan pihak pemberontak. Pihak pemberontak yang berjaya menguasai beberapa bandar di luar Tripoli menggesa bantuan dari luar bagi menjayakan usaha mereka menggulingkan Gadafi.

Kali ini respons pihak Barat amat berbeza sekali. Belum lagi resolusi Bangsa-bangsa Bersatu diluluskan, pihak Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya dari NATO telah pun menghantar kapal perang mereka dan bersiap sedia untuk menyerang Tripoli. Satu kawasan larangan penerbangan atau “no-fly zone” dilaksanakan di Libya.

Tentera Gadafi di beri amaran keras untuk tidak menyerang bandar-bandar yang dikuasai pemberontak, tapi sebaliknya pemberontak dibenarkan pula untuk menyerang tentera Gadafi tanpa sebarang tindakan. Bandar Tripoli dan di mana sahaja kawasan yang menyokong kerajaan dibedil dan dibom siang dan malam.

Demikianlah usaha Barat untuk memastikan yang keamanan dan “demokrasi” terlaksana di Libya. Pasukan pemberontak yang disokong Barat, tidak mempunyai hierarki yang tertentu dan sekiranya mereka berjaya menawan Libya, tentunya kepimpinan negara ini bakal menjadi “point of contention” atau titik pergolakan.

Libya bakal berhadapan dengan senario Afghanistan ketika pasukan Mujahideen berjaya menawan Kabul. Atas sebab tiada kesatuan kepimpinan, maka perpecahan dan pergolakan antara puak akan berlaku. Kesannya, sehingga kini pakar-pakar dan ahli bijak laksana “geopolitik” dari Barat masih gagal menstabilkan Afghanistan.

Tetapi, yang paling memilukan penulis ialah pada masa yang sama, konflik di Libya berlaku, pihak Israel turut melancarkan serangan terhadap penduduk Palestin, atas sebab berlaku krisis antara pendatang Yahudi yang membina rumah secara haram di atas tanah milikan sah rakyat Palestin. Maka, atas dasar “keselamatan” , pendududuk di Palestin diserang bertalu-talu tanpa belas kasihan dan tanpa peluang untuk mempertahankan diri mereka.

Respons dari Barat akan krisis ini? Sudah tentu tiada. Tiada laporan dari media-media Barat. Tiada kutukan mahupun gesaan untuk Israel menghentikan serangan. Tiada usaha dari Amerika Syarikat mahupun NATO untuk menghantar kapal-kapal perang bagi mententeramkan keadaan. Tiada usul di PBB untuk mengecam Israel mahupun usaha untuk melaksanakan “no-fly zone” di Israel mahupun Palestin.

Demikianlah demokrasi cara Barat dalam menangani konflik dan usaha keamanan di Asia Barat. Sama tapi tak serupa...

mStar Online
: Sama Tapi Tak Serupa….

Kita Cuba Gambarkan Seakan Tiada Rahmah Antara Muslim dan Bukan Muslim


SAYA amat bimbang apabila isu-isu agama dipolitikkan. Islam cuba ditafsirkan menurut kepentingan politik masing-masing. Hukum-hakam syarak menjadi mangsa. Permainan politik sanggup menggadaikan segalanya.

Amat berbeza antara penilaian berteraskan politik kepartian dengan penilaian yang berasaskan metodologi ilmu dalam Islam. Politik kepartian sering menilai isu atau sesuatu berasaskan kepentingan (political interest), persepsi dan prejudis.

Sementara ilmu Islam yang sahih menilai sesuatu berdasarkan dalil dan fakta. Kebenaran dalam Islam itu buta warna parti atau kumpulan. Kebenaran itu kebenaran, tanpa mengira dari mana dan kepada siapa ia berpihak.

Firman Allah: (maksudnya): "Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan." (Surah al-Maidah, ayat 8).

Orang politik datang dan pergi. Parti politik juga demikian. Namun, Islam kekal abadi. Ia menjadi cahaya yang menyinari kehidupan manusia. Orang politik boleh musnah, parti juga boleh hancur. Manusia tidak semestinya bergantung kepada seseorang tokoh atau sesebuah parti. Namun, manusia sentiasa perlukan hidayah Islam yang membimbing ke jalan yang benar.

Islam mesti kekal bersih, membimbing semua manusia. Malanglah jika orang politik sanggup mempertaruhkan Islam untuk survival mereka!

TAMBAH KELIRU

Bukan muslim bertambah keliru dengan hukam-hakam berkaitan mereka yang dikeluarkan kebelakangan ini. Fatwa-fatwa ‘ala-Taliban’ yang menggambarkan sikap keras Islam terhadap pihak lain dicadang dan didendangkan oleh sesetengah media.

‘Juru-juru fatwa’ yang boleh ditekan suisnya oleh pihak politik bersedia menunggu. Islam dikaburkan oleh permainan yang seperti ini. Dalam Islam, hubungan dengan bukan muslim bermula dengan terang dahulu, setelah diperjelaskan dan masih ada permusuhan barulah tindakan ‘peperangan’ boleh diambil jika ada keperluan.

Tetapi dalam masyarakat kita agak terbalik iaitu ‘perang dahulu’ tanpa sebarang penerangan awal yang jelas. Saya telah ulas dalam banyak media tentang isu doa kebaikan kepada bukan muslim. Kini timbul pula isu bukan muslim masuk masjid. Ya, isu ini bermula dengan orang politik. Namun janganlah dalam keghairahan hendak menghentam musuh politik, fakta Islam pula yang dimangsakan.

Jika kita enggan menerima mereka masuk, itu persoalan lain. Tetapi menggambarkan kepada mereka bahawa Islam melarang mereka sama sekali memasuki masjid, itu boleh menimbulkan salah faham. Islam ala melayu atau Islam yang ada dalam sejarahnya yang gemilang? Rasulullah menerima perwakilan dalam masjid, bagaimana tiba-tiba hari ini masjid diharamkan untuk mereka?!

MASUK MASJID

Ya, para fuqaha (ahli fekah) berbeza pendapat tentang hukum bukan muslim masuk ke dalam masjid. Namun, majoriti fuqaha termasuk dalam Mazhab al-Syafi’i berpendapat bahawa bukan muslim boleh masuk ke dalam masjid jika ada keperluan untuk itu. Pendapat ini disokong oleh beberapa dalil yang kuat.

Di samping, ia juga membantu memahamkan masyarakat bukan Islam mengenai Islam. Dalam negara yang berbilang agama seperti negara kita, pandangan ini bukan sahaja kuat dari segi dalilnya, ia juga memberikan kebaikan kepada dakwah Islam itu sendiri.

Dalam hadis al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w telah menghantar pasukan (skuad) tentera berkuda dan menawan Thumamah bin Athal yang merupakan kepimpinan Bani Hanifah dari Yamamah. Beliau dibawa ke Madinah dan diikat di tiang masjid Nabi s.a.w.

Apabila Nabi s.a.w datang ke masjid dan melihatnya, baginda bertanya: “Apa yang ada engkau dapati wahai Thumamah?” Jawabnya: “Bersamaku kebaikan, wahai Muhammad! Jika engkau membunuhku, engkau membunuh orang yang punyai darah (berhak dibunuh atau mungkin beliau meminta simpati), jika engkau memberi kurnia, engkau memberikan kurnia kepada orang yang berterima kasih. Jika engkau mahu harta, engkau boleh minta seberapa banyak yang engkau mahu”. Lalu Nabi s.a.w meninggalkannya.

Keesokannya Nabi s.a.w bertanya lagi: “Apa yang engkau dapati Wahai Thumamah?”. Jawabnya: “Seperti yang aku katakan, jika engkau memberi kurnia, engkau memberi kurnia kepada orang yang berterima kasih”. Nabi meninggalkannya. Keesokannya lagi Nabi s.a.w bertanya lagi: “Apa yang engkau dapati wahai Thumamah?”. Jawabnya: “Seperti yang aku katakan kepadamu”. Lalu Nabi s.a.w memerintahkan: “Bebaskan Thumamah”.

Thumamah pun keluar pergi ke mata air berdekatan masjid, beliau mandi, kemudian masuk semula ke masjid dan mengucapkan: “Aku bersaksi bahawa tiada ilah (yang diabdikan diri) melainkan Allah dan Muhammad itu Rasulullah”. Beliau juga berkata: “Wahai Muhammad! Demi Allah, duhulu tiada atas muka bumi yang lebih aku benci daripada engkau, sekarang berubah engkau telah menjadi orang yang paling aku sayangi.

"Demi Allah, dahulu tiada agama yang lebih aku benci dari agamamu, sekarang berubah agamamu menjadi agama yang paling aku sayangi. Demi Allah, tiada dahulu negara yang lebih aku benci dari negaramu, sekarang berubah negaramu menjadi negara yang paling aku sayangi..”.

Hadis di atas menunjukkan bagaimana Thumamah bin Athal seorang tawanan perang yang menentang kerajaan Nabi s.a.w dibawa masuk ke dalam masjid. Antara tujuannya, agar dia dapat melihat kehebatan ibadah dalam Islam. Sekalipun dia musuh dan tawanan perang, Nabi s.a.w menggunakan pendekatan yang menarik jiwanya sehingga dia akhirnya menganut Islam.

Ini dengan cara menempatkannya dalam masjid dan baginda bertanya soalan selama tiga hari lalu memaafkannya. Kesan berada di masjid dan kemaafan Nabi s.a.w, akhirnya kepimpinan musuh tersebut menganut Islam. Hadis ini menjadi bukti bahawa orang bukan Islam boleh masuk ke dalam masjid. Inilah pegangan kebanyakan ulama termasuk dalam Mazhab al-Syafi’i.

Kata al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H): “Hadis ini menunjukkan harus membawa orang kafir masuk ke dalam masjid. Mazhab Syafi’i mengharuskannya dengan izin muslim. Ini merangkumi kafir ahli kitab atau selain mereka”. (al-Nawawi, Syarah Sahih Muslim, 12/435, Beirut: Dar al-Khair).

Majlis Fatwa Tetap Arab Saudi mengeluarkan hukum tentang bukan muslim masuk ke masjid seperti berikut: “Pendapat yang tepat bukan muslim boleh masuk ke dalam masjid untuk sesuatu kemaslahatan syariah atau sesuatu keperluan tertentu seperti mendengar sesuatu yang membawa masuk ke dalam Islam, atau keperluannya untuk minum air yang berada dalam masjid atau selainnya. Ini kerana Nabi s.a.w mengikat Thumamah bin Athal al-Hanafi dalam masjid sebelum dia menganut Islam, baginda juga menempatkan perwakilan Thaqif dan perwakilan Kristian Najran di masjid sebelum mereka menganut Islam. Ini kerana ada banyak faedah mereka memasuki masjid, antaranya; mendengar ucapan dan nasihat Nabi s.a.w, melihat orang bersolat dan membaca al-Quran dan berbagai faedah besar yang lain bagi sesiapa yang melazimi masjid”. (Fatawa al-Lajnah al-Daimah 6/276. Riyadh: Idarah al-Buhuth)

LUASKAN FUNGSI MASJID

Kita sepatutnya meluaskan fungsi masjid agar dapat menjadi ‘centre for Islamic Information’ yang mesra pelanggan. Masjid sepatutnya berfungsi menyampaikan Islam kepada setiap pihak; muslim dan bukan muslim. Di negara seperti Malaysia yang berbilang agama dan budaya, kaum muslimin perlulah aktif dan intraktif dalam menyampaikan mesej Islam.

Jika masjid dijadikan zon larangan bagi orang bukan muslim sehingga tidak dapat mendekatinya, bilakah Islam akan dapat difahami oleh mereka. Sudahlah dalam negara ini banyak fatwa ala-taliban yang cuba menggambarkan seakan tiada rahmah antara muslim dan bukan muslim, ditambah lagi dengan ditutup ruang untuk mereka mendengar ajaran Islam.

Masjid digambarkan musuh mereka dan mereka dilarang menghampirinya. Sementara dalam masa yang sama ada pihak bukan Islam yang menjemput muslim dengan hormat ke tempat ibadah mereka serta menghulurkan berbagai bantuan.

Akhirnya, kita terus bermusuhan tanpa mencari titik dakwah, atau sekurang-kurang noktah yang mengurangkan sangkaan salah terhadap agama hidayah ini. Ke manakah hala tuju Islam yang hendak kita bawa dalam negara ini?

mStar Online
: Kita Cuba Gambarkan Seakan Tiada Rahmah Antara Muslim dan Bukan Muslim

Video Seks: PAS Nyatakan Pendirian Selepas Siasatan Selesai


KUALA LUMPUR: PAS hanya akan menyatakan pendiriannya berhubung kontroversi video seks yang dikaitkan dengan seorang pemimpin pembangkang sebaik sahaja pihak berkuasa selesai menjalankan siasatan.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, buat masa ini siasatan yang dilakukan adalah berdasarkan kepada undang-undang dan perlembagaan yang sedia ada.

"Bagi kita, PAS kata siasat dahulu sebab proses yang dilakukan oleh kerajaan ini berdasarkan kepada undang-undang dan perlembagaan yang ada.

"Ia bukan berdasarkan kepada kaedah Islam. Jadi PAS ikut proses perlembagaannya, undang-undang yang sedia ada

"Kalau kerajaan memutuskan cara mengikut Islam. Tapi di Mahkamah Syariah dalam kes liwat (sebelum ini) dah tolak dah... Kalau itu, kita lihat posisi kita lagu mana.

"Kalau betul-betul kerajaan memutuskan kes ini mengikut cara syariah, kita akan nyatakan pendirian kita," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Beliau menjawab mengulas cadangan bekas Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang mencadangkan supaya Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bersumpah laknat bagi membuktikan bahawa individu dalam video tersebut bukannya dirinya.

Dalam pada itu, Mustafa enggan mengulas mengenai isu berkenaan kerana menyifatkannya "perkara yang tidak berlaku".

"Kalau bukan dia macam mana... sehingga betul bahawa itu adalah Anwar, baru kita boleh buat pendirian macam mana," katanya.

Mengenai kesediaan Trio Datuk T iaitu Tan Sri Rahim Thamby Chik, Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Datuk Shuib Lazim menjadi saksi dalam kes video tersebut, Mustafa berkata:

"Dalam Islam orang yang layak jadi saksi ada kriterianya, kena tengoklah trio ini layak ke tidak jadi saksi. Saya tidak mahu komen jauhlah sebab kita kenal tiga orang ini."

mStar Online
: Video Seks: PAS Nyatakan Pendirian Selepas Siasatan Selesai

Ketua Polis Negara Dimasukkan Ke Hospital Kerana Penat

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar dimasukkan ke hospital selepas mengadu tidak sihat ketika menghadiri Perhimpunan Bulanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman di sini, pagi ini.

Ismail dibawa ke Pantai Hospital Kuala Lumpur di Bangsar sejurus majlis itu berakhir kira-kira pukul 10.30 pagi.

Pengarah Pengurusan Bukit Aman Datuk Robiah Abd Ghani berkata pemeriksaan doktor mendapati Ismail hanya kepenatan dan berada dalam keadaan stabil.

"Pada penghujung majlis itu, Tan Sri mengadu pening, tidak sedap badan dan rasa mahu pitam sebelum beliau dikejarkan ke sini.

"Pemeriksaan doktor mendapati beliau tidak sakit dan tiada apa yang tidak kena cuma kepenatan, malah beliau boleh bercakap seperti biasa," katanya kepada pemberita di perkarangan pusat perubatan itu.

Beliau berkata doktor juga meminta Ismail untuk berehat di dalam wad buat beberapa hari bagi pemantauan lanjut.

Dalam pada itu, isteri Ismail Puan Sri Suriati Md Sobri yang enggan ditemuramah pemberita hanya memberitahu yang suaminya sedang berehat. - BERNAMA

mStar Online
: Ketua Polis Negara Dimasukkan Ke Hospital Kerana Penat

Saya bukan suami dayus' - Jalani Sidek


KUALA LUMPUR 21 April - "Saya tidak mahu dilabelkan sebagai suami dayus membiarkan isteri mempunyai hubungan dengan orang lain."

Ini luahan bekas pemain badminton kebangsaan, Jalani Sidek, 48, yang juga suami penerbit kontroversi, Raja Azmi Raja Sulaiman, 52, yang selama ini berdiam diri sehingga menyebabkan anak-anaknya mempersoalkan tindakannya itu.

"Kerana hal ini anak-anak saya diejek oleh guru dan rakan-rakan yang mengatakan bapa mereka dayus," kata Jalani ketika ditemui pemberita di Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Jalani yang ditemani isterinya hadir pada sesi soal siasat berhubung dakwaan khalwat, tiba di Bangunan Pusat Islam di sini pada pukul 9.45 pagi, manakala Roslin Hashim, 35, menyusul dua jam kemudian.

Jalani mengulas dakwaan Nurhayati Othman, bekas isteri Roslin yang menuduh Raja Azmi berkhalwat dengan pemain badminton negara itu di sebuah hotel di Jalan Ampang di sini, 7 Ogos tahun lalu.

Mengulas lanjut, Jalani menegaskan, dakwaan itu tidak berasas bahkan, beliau dan isterinya berhasrat untuk menyaman Nurhayati dan pihak-pihak yang menabur fitnah serta memburukkan nama mereka setelah berbincang dengan peguam syarie Roslizam Rahim yang mewakili mereka.

Roslizam kemudian mengesahkan Roslin dan Raja Azmi dikehendaki hadir pada 19 Mei depan bagi menentukan sama ada mereka akan didakwa di mahkamah atau sebaliknya.

Roslin pula menjelaskan, beliau tidak serik berkahwin lagi namun bimbang tiada wanita yang sudi berkongsi hidup dengannya selepas dilanda pelbagai kontroversi.

Pemain badminton itu mengakui sedih kerana gagal mempertahankan dua perkahwinan dengan Faezah Mohamad, 35, dan Nurhayati, 40, namun nalurinya tetap menanti kehadiran seorang isteri.

Kegagalan tersebut menjadikan beliau lebih berhati-hati pada masa depan dan berharap kebenaran akan muncul suatu hari nanti.

Perkahwinannya dengan Faezah hanya bertahan selama 12 hari manakala tempoh ikatan pernikahan dengan Nurhayati dalam masa sebulan.

Utusan Malaysia Online - Mahkamah

Bieber gegar Stadium Merdeka



    Foto
    AKSI Bieber ketika membuat persembahan di hadapan kira-kira 17,000 peminatnya di Stadium Merdeka, malam tadi.



    Foto


    KUALA LUMPUR: Penyanyi remaja sensasi, Justin Bieber, membuktikan artis antarabangsa paling popular di negara ini, apabila konsert sulungnya, My World Tour, yang berlangsung di Stadium Merdeka, di sini malam tadi berjaya menarik kehadiran 17,000 penonton.


    Malah, sebaik diumumkan penyanyi kelahiran Ontario, Kanada, ini bakal mengadakan konsert di ibu kota, Januari lalu, semua tiket berharga RM98, RM188, RM288, RM358, RM498 dan RM888 habis dijual.

    Anak sulung Krisdayanti gembira ibu hamil




    KRISDAYANTI dan suaminya dalam majlis perkahwinan mereka pada 20 Mac lalu di Jakarta.


    JAKARTA - Anak sulung penyanyi terkenal Indonesia, Krisdayanti, Aurel (gambar kecil) terkejut selepas mengetahui ibunya sedang hamil empat bulan walaupun baru berkahwin dengan ahli perniagaan dari Timor Leste, Raul Lamos pada 20 Mac lalu namun dia gembira untuk menerima kehadiran adik tirinya kelak, lapor sebuah akhbar semalam.
    Berita gembira tesebut diberitahu sendiri oleh penyanyi yang berusia 36 tahun itu kepada Aurel ketika dia dan adik lelakinya, Azriel sedang bersantai di pusat beli-belah.
    "Terus aku kaget (terkejut). Mimi (panggilan kepada Krisdayanti) memberitahu selepas aku berjalan sama Azriel di mal (pusat beli-belah)," kata Aurel yang ditemui di Annex Building, Hotel Nikko, Jakarta Pusat pada Rabu lalu.
    Remaja yang akan bergelar penyanyi itu difahamkan cukup teruja untuk menyambut kehadiran orang baru dalam keluarganya kerana dia telah lama menyimpan hasrat untuk memiliki adik perempuan.
    Dia merupakan anak Krisdayanti dengan penyanyi dan komposer, Anang Hermansyah, 42.
    Menurutnya, dia sendiri tidak sabar untuk membelikan baju atau hadiah jika bayi yang akan dilahirkan beberapa bulan lagi adalah perempuan.
    Azriel kini berada di Dili bersama Krisdayanti dan suaminya.
    "Sekarang Mimi lagi di Dili sama Azriel. Ya dia (Azriel) juga tahu Mimi lagi hamil," ujar Aurel.
    Penyanyi terkenal dengan lagu Menghitung Hari itu mencetuskan kontroversi baru-baru ini apabila mengaku hamil empat bulan walaupun baru bernikah dengan ahli perniagaan Timur Leste tersebut pada 20 Mac lalu. - Agensi