Thursday, April 5, 2012

Lebih RM5j diberi kepada pekerja Hasbie - Saksi

Utusan Malaysia Online - Mahkamah:


BUTTERWORTH 4 April — Seorang pengurus projek sebuah syarikat memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa lebih 30 keping cek syarikat dan cek persendirian berjumlah lebih RM5 juta ditunaikan dan diberikan kepada dua lelaki yang mendakwa bekerja dengan Hasbie Satar.
Pengurus Projek Gallant Route Sdn. Bhd., Quah Hooi Eng berkata, beliau difahamkan tujuan pemberian wang itu adalah sebagai dorongan untuk mendapatkan projek-projek kerajaan di bawah Kementerian Kewangan kerana Hasbie adalah Setiausaha Politik Kepada Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop ketika itu.
Saksi ke-13 dan yang terakhir dalam prosiding kes itu berkata, beliau kerap diarah untuk menunaikan cek-cek berkenaan oleh majikannya, Tan Kim Chooi dan memberikan wang secara tunai kepada seorang lelaki yang dikenali sebagai Japaruddin Ibrahim manakala pernah memberi wang tunai sekali atau dua kali kepada seorang lagi lelaki yang hanya dikenali sebagai Hatta.
"Saya mula kenal Japaruddin dan Hasbie dalam sebuah pub karaoke di Kuala Lumpur apabila Mr. Tan (majikannya) meminta saya menemani dan melayan mereka," katanya di hadapan Hakim Ikmal Hishan Mohd. Tajuddin.
Katanya, dalam perjumpaan itu, Japaruddin juga ada memberitahu beliau bahawa Hasbie adalah 'bosnya'.
Hooi Eng berkata, tempat-tempat perjumpaan untuk memberikan wang tunai itu ditetapkan oleh Japaruddin di sekitar ibu negara setelah beliau menghubunginya.
Hooi Eng juga mengakui bahawa majikannya membiayai pembelian sebuah rumah oleh JBI Sdn. Bhd. yang berharga RM3.85 juta di Gita Bayu, Seri Kembangan, Selangor.
Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Anselm Charles Fernandis, saksi itu memberitahu, beliau difahamkan syarikat JBI itu adalah merujuk kepada nama Japaruddin bin Ibrahim dan sememangnya Japaruddin adalah pengarah syarikat berkenaan.
Katanya, syarikat Gallant Route mengeluarkan wang sebanyak RM80,000 sebagai deposit pembelian rumah itu atas nama JBI Sdn. Bhd.
Hooi Eng berkata, berdasarkan kepada perjanjian, rumah berkenaan kemudiannya akan disewakan kepada Hasbie oleh JBI Sdn. Bhd.
Hasbie, 39, dituduh melakukan pengubahan wang haram membabitkan RM2.134 juta di sebuah apartmen di Teluk Air Tawar pada pukul 3.30 petang, 11 Februari tahun lepas.
Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda sehingga RM5 juta atau penjara lima tahun atau kedua-duanya.
Perbicaraan bersambung 7 Ogos depan. - BERNAMA

Tujuh syor BERSIH diterima

Berita Harian Online | Tujuh syor BERSIH diterima:

Jawatankuasa Penambahbaikan Pilihan Raya cuma tolak kempen terlalu lama 21 hari

KUALA LUMPUR: Tujuh daripada lapan tuntutan Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (BERSIH) dimasukkan dalam 22 syor yang dikemukakan Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) Berhubung Penambahbaikan Pilihan Raya di Parlimen kelmarin.Ahli Jawatankuasa PSC, P Kamalanathan, ketika menjelaskan perkara itu, berkata hanya tuntutan BERSIH mengenai tempoh berkempen selama 21 hari saja tidak dimasukkan dalam syor itu kerana ia terlalu lama yang pastinya akan meningkatkan kos. Bagaimanapun tempoh sekarang dipanjangkan daripada tujuh ke 10 hari.


Semalam, Pengerusi Bersama BERSIH, Tan Sri A Samad Said pada sidang medianya berkata, BERSIH tetap akan mengadakan perhimpunan BERSIH 3.0 pada 28 April ini sebagai bantahan terhadap keputusan PSC itu.

Kamalanathan berkata, sepatutnya BERSIH memberi ruang kepada SPR melaksanakan pembaharuan bukan menggagalkannya. 

“PSC juga mengemukakan cadangan bagi memperkasakan SPR selaras tuntutan mereka tetapi mereka tetap tidak berpuas hati,” katanya.
Beliau berkata, pada sesi pendengaran awam, pandangan orang ramai turut diambil kira bukan saja pandangan BERSIH.

Semalam akhbar melaporkan, Parlimen meluluskan semua 22 cadangan yang dikemukakan PSC bagi menambah baik proses pilihan raya di negara ini tanpa dibahaskan ekoran kekecohan yang ditimbulkan wakil rakyat pembangkang.

Keputusan itu juga menyaksikan pembangkang yang dipimpin ketuanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertikai keputusan Dewan Rakyat yang menolak laporan minoriti.

Mengulas perkara itu, Kamalanathan berkata Dewan Rakyat perlu membuat keputusan untuk memilih salah satu syor yang dikemukakan dan laporan PSC juga turut menyelitkan cadangan dikemukakan pembangkang.

“PSC tidak meminggirkan cadangan pembangkang walaupun laporan minoriti tidak di masukkan, setiap cadangan dan syor dikemukakan, kita akan selitkan apa cadangan daripada pembangkang dan berapa yang menyokong dan menolak cadangan itu.

“Berhubung daftar induk pemilih, pembangkang membangkitkan mengenai 42,000 pemilih meragukan, PSC mengambil kira pandangan ini dan kita cadangkan supaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diberi kuasa menyingkirkan senarai nama pemilih berkenaan, kerana hari ini SPR tidak boleh berbuat demikian tanpa bukti sokongan kukuh menyatakan pemilih berkenaan sudah tiada,” katanya.

Beliau berkata, tidak wajar bagi BERSIH dan pembangkang untuk menjadikan perkara berkenaan sebagai isu untuk menganjurkan BERSIH 3.0 selain meminta kumpulan berkenaan mengemukakan bukti negara mana yang benar-benar memiliki senarai pemilih bersih.

Bahkan katanya, Amerika Syarikat yang maju dan canggih, tahun ini saja masih mempunyai 1.2 juta senarai pemilih meragukan.

Ditanya mengenai wakil pembangkang dalam jawatankuasa PSC, beliau berkata kumpulan berkenaan lebih gemar mengugut untuk keluar daripada jawatankuasa itu dan bukannya mencari jalan terbaik untuk menambah baik perjalanan sistem pilihan raya.

Syed Sobri ikhtiar bayar hutang

Kosmo! Online - Negara:


SYED SOBRI (kiri) mengumumkan dirinya muflis di kediamannya di Alor Setar malam kelmarin.


ALOR SETAR – “Saya akan terus ikhtiar bayar hutang walau dengan apa cara sekalipun.”
Demikian tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Nerang, Datuk Syed Sobri Syed Hashim yang mengumumkan dirinya muflis malam kelmarin setelah gagal membayar baki hutang bank berjumlah RM8 juta.
Syed Sobri yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Padang Terap berkata, ia merupakan sebahagian daripada pinjaman RM50 juta pada tahun 1998 bagi membolehkan syarikatnya, Kulim Enterprise Sdn. Bhd., disenaraikan di papan kedua Bursa Saham Malaysia.
“Saya sebagai pengarah syarikat gagal membayar hutang kerana masalah kegawatan ekonomi setelah syarikat gagal disenaraikan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.