Showing posts with label jantung. Show all posts
Showing posts with label jantung. Show all posts

Thursday, August 2, 2012

Ibu muda rayu bantuan RM20,000 kos bedah jantung bayi sulungnya

KEMAMAN - Seorang ibu muda merayu bantuan sebanyak RM20,000 bagi membolehkan pembedahan jantung kali kedua dilakukan terhadap bayi sulungnya berusia 10 hari.

Wan Norshafieka Wan Shaharuddin, 18, yang masih berpantang di rumah ibu mertuanya di Kampung Mak Lagam di sini manakala bayi lelakinya, Mohd Aiddil Idham dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur dengan ditemani suaminya Mohd Faizal Azuan Mohamood, 20.

Wan Norshafieka berkata, bayinya itu dilahirkan secara normal di Hospital Kemaman 23 Julai lalu, namun ketika menerima suntikan BCG beberapa jam selepas dilahirkan, tubuh bayi itu secara tiba-tiba bertukar biru-kebiruan.

"Petugas hospital kemudian merujuk bayi saya ke Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu, namun doktor mengesahkan bayi saya mengalami masalah jantung dan menerbangkan anak saya ke IJN dengan ditemani suami," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Menurut Wan Norshafieka, bayinya itu telah menjalani pembedahan secara laser di IJN dan kini menunggu keadaannya stabil supaya pembedahan kali kedua dapat  dijalankan segera bagi membetulkan saluran darahnya.

Apa yang merunsingkan ibu muda yang tidak bekerja itu ialah selain kos pembedahan kedua sebanyak RM20,000 yang tidak mampu dikumpulnya, beliau dan suami turut dibebani kos pembedahan pertama sebanyak RM6,000 yang belum mampu dijelaskan.

Suaminya bekerja sendiri dengan pendapatan purata RM700 sebulan.

"Ibu bapa dan keluarga terdekat juga tidak boleh membantu dari segi kewangan kerana mereka juga hidup susah dan hanya melakukan kerja-kerja kampung sebagai sumber pendapatan," katanya dengan sebak.

Beliau yang kini amat merindui bayinya itu berharap ada pihak yang sudi menghulurkan bantuan kerana ingin melihat bayi sulungnya itu membesar seperti bayi normal selepas pembedahan kedua itu kelak.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyumbang ke akaun Tabung Haji Wan Norshafieka bernombor 120301000015289.- Bernama

Thursday, August 4, 2011

Nik Aziz, Azizan sakit jantung

Jalani rawatan pantau kesihatan

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak masing-masing menghidap komplikasi jantung tersumbat dan dijangka menjalani pembedahan dalam tempoh terdekat.
Mursyidul Am PAS itu mengesahkan tiga saluran darah ke jantungnya tersumbat dan sedang menjalani rawatan tiga bulan sekali di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.
Sambil menafikan beliau menghidap barah seperti didakwa sebuah laman blog yang menyatakan tahap kesihatan pemimpin berusia 80 tahun itu kini semakin serius, Nik Aziz berkata, pemeriksaan terbaru doktor juga menunjukkan tahap kolesterolnya semakin menurun.

“Saya tak ada apa... tak betul (dakwaan menghidap barah). Saya cuma ada tiga saluran tersumbat dan pergi (ke HUSM) baru-baru ini (untuk) rawatan tiga bulan sekali,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kota Darulnaim, Kota Bharu, semalam.

Laporan dalam blog itu mendakwa Nik Aziz menghidap kanser dan keadaannya semakin serius serta disahkan sekumpulan pakar yang merawat Nik Aziz ketika dimasukkan di wad HUSM, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Azizan dijangka menjalani prosedur ‘angioplasty’ bagi membuka saluran jantungnya yang tersumbat, bulan depan.
Beliau yang kini dirawat di Unit Rawatan Jantung (CCU) Institut Jantung Negara (IJN) kerana masalah jantungnya, dijangka perlu berehat kira-kira sebulan sebelum dapat kembali bertugas.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan negeri, Dr Ismail Salleh, berkata Menteri Besar yang pernah menjalani pembedahan pintasan jantung pada tahun 2006 dijangka akan dibenarkan keluar dari IJN selewat-lewatnya minggu depan.

Dr Ismail mengesahkan Azizan dijadualkan menjalani sama ada pembedahan jantung atau prosedur ‘angioplasty’ bulan depan.

“Beliau tidak mengalami masalah jantung yang serius. Bagaimanapun, doktor menasihatkannya supaya berehat sehingga rawatan susulan yang lain dalam jangkamasa kira-kira sebulan,” katanya.bharian

Thursday, March 31, 2011

Serangan jantung, Malek Noor masuk ICU



31/03/2011 5:05pm

IPOH – Bekas juara bina badan Asia, Datuk Malek Noor, dimasukkan ke sebuah hospital di sini malam tadi selepas sesak nafas semasa menyertai perlawanan bola sepak Piala Amal Menteri Besar Perak di Stadium Perak di sini.
Malek, 54, dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pantai di sini dan keadaannya dilaporkan stabil.
Malek, yang menjadi penjaga gol, rebah secara tiba-tiba selepas lima minit perlawanan bermula, kata Pengerusi Jawatankuasa Piala Amal Menteri Besar Datuk Azhar Ahmad.
Perlawanan berkenaan menemukan pasukan pilihan Menteri Besar Perak dengan pasukan Lagenda Negara yang dibarisi beberapa bekas pemain kebangsaan seperti K.Gunalan, Hassan Sani, Karim Pin, Khalid Ali, Shahrin Majid, Ahmad Yusof, Shukor Salleh dan Bakri Ibni.
Malek, yang mewakili pasukan Lagenda Negara, pada mulanya dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun sebelum dipindahkan ke Hospital Pantai.
"Kita sama-samalah berdoa supaya beliau cepat sembuh,” kata Azhar.
Perlawanan persahabatan itu adalah antara bekas pemain kebangsaan era 60-an hingga 90-an menentang pasukan veteran Menteri Besar Perak yang diketuai oleh Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Pasukan Lagenda Negara menang 1- 0 pada perlawanan itu hasil jaringan Sharin Majid.
Pasukan Menteri Besar dibarisi beberapa bekas pemain Perak seperti Azizul Abu Haniffa, Ramli Talib, A. Elangovan, Roafandi Yusof, Ahmad Shahrul Azhar, Chan Kok Heng dan P. Umaparam.
Lebih 1,000 penonton menyaksikan perlawanan itu. Sebanyak RM10,000 berjaya dikutip untuk disumbangkan kepada tabung Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb). - Bernama

Malek Noor diserang sakit jantung ketika bermain bola


IPOH: Bekas jagoan bina badan negara, Datuk Malek Noor dikejarkan ke sebuah hospital swasta selepas diserang sakit jantung ketika menyertai perlawanan bola sepak di antara pasukan Menteri Besar Perak dan pasukan Pilihan Veteran Kebangsaan di Stadium Perak, malam tadi.

Malek yang menjadi penjaga gol bagi pasukan Pilihan Veteran Kebangsaan dikatakan memegang tiang gol ketika kejadian berlaku dan diberi bantuan kecemasan sebelum dikejarkan ke hospital berkenaan.
Pihak hospital yang dihubungi sebentar tadi mengesahkan keadaan Malek stabil dan sedang berehat.