Friday, June 24, 2011

Liputan Pendakwaan Datuk T Di Mahkamah

KUALA LUMPUR: Perkarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini pada Jumaat, dibanjiri oleh pihak media ekoran tersebarnya berita bahawa Trio Datuk T yang dikatakan mendedahkan video seks mirip seorang pemimpin pembangkang akan didakwa pada hari ini.

Trio itu terdiri daripada ahli perniagaan, Shazryl Datuk Eskay Abdullah; bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan bekas bendahari Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), Datuk Shuib Lazim.

Selain media, orang awam turut berada di mahkamah termasuk penyokong-penyokong yang membawa kertas manila yang ditulis dengan kata-kata sokongan.

Antara kata-kata semangat itu ialah 'pejuang kebenaran Datuk T:-perkasa', 'We Love Datuk T', 'Perkasa Tentang Pengkhianat Bangsa', 'Bebaskan Datuk T' dan 'Datuk T Korbankan Diri Demi Keadilan'.

Kes tersebut telah didaftarkan di Mahkamah Majistret 3, dan beberapa anggota polis mahkamah dilihat membawa masuk dua buah televisyen lcd 42 inci ke dalam kamar mahkamah. Galeri awam mahkamah juga dipenuhi oleh orang awam termasuk wartawan menyebabkan polis terpaksa mengarahkan mereka yang berdiri untuk keluar.

Trio Datuk T tiba di mahkamah pada pukul 9.15 pagi.

mStar Online : Liputan Pendakwaan Datuk T Di Mahkamah

Isteri ketiga Osama dibenar pulang ke Yemen

SANAA 23 Jun – Isteri ketiga Osama bin Laden, Amal Abdulfattah akan dibenarkan pulang ke Yemen dari Pakistan dalam tempoh beberapa hari lagi, kata abangnya semalam.

Menurut Zakariya Abdulfattah, keluarga Amal telah dimaklumkan oleh Kementerian Luar Yemen dan Pakistan mengenai rancangan untuk menghantar wanita itu dan lima anaknya pulang ke Yemen beberapa hari lagi.

“Terdapat pertemuan diplomatik antara kerajaan Yemen dan Pakistan untuk memastikan dia pulang dengan selamat ke negaranya dan berjanji untuk melaksanakan langkah itu secepat mungkin,” katanya.

Keluarga wanita itu pada bulan lepas telah menuntut supaya Amal dan anaknya dihantar pulang selepas ditahan di Pakistan.

Zakariya berkata, Kedutaan Yemen di Islamabad turut memberi jaminan Amal berada dalam keadaan baik, walaupun mengalami kecederaan di kaki akibat ditembak ketika komando Amerika Syarikat (AS) menyerang sebuah rumah di Abbotabad dalam operasi membunuh Osama.

Pihak perisikan AS dilaporkan telah menyoal siasat ketiga-tiga isteri Osama yang ditahan dalam serbuan komando AS di utara Islamabad itu sehingga membawa kepada ketua militan al-Qaeda itu dibunuh.

Menurutnya, Amal, 29, mengahwini Osama pada 1999 dan mengikut suaminya mengembara ke Afghanistan.

Osama sebelum itu mengahwini dua wanita lain dan isteri pertamanya merupakan sepupunya sendiri, Najwa al-Ghanem dari Syria. – AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Belanda haram sembelih ikut cara Islam

THE HAGUE 23 Jun – Ahli-ahli Parlimen Belanda sudah bersiap sedia untuk meluluskan rang undang-undang bagi mengharamkan penyembelihan haiwan cara Islam dan Yahudi.

Bagaimanapun dalam kompromi saat-saat akhir semalam, anggota dewan bersetuju membuat pindaan bagi mengecualikan pertubuhan-pertubuhan agama daripada pengharaman itu, jika mereka dapat membuktikan kaedah penyembelihan mereka tanpa menggunakan kejutan elektrik, tidak menyebabkan kesakitan tambahan.

Ahli-ahli Parlimen berhaluan tengah daripada beberapa parti mencapai kompromi itu sejurus sebelum perbahasan terakhir mengenai rang undang-undang tersebut, kerana khuatir sokongan mereka terhadap pengharaman itu boleh menyebabkan mereka kehilangan sokongan daripada pengundi Islam dan Yahudi.

Seperti di kebanyakan negara Barat, undang-undang Belanda menetapkan penyembelih haiwan mesti menggunakan kejutan elektrik, bagi memastikannya tidak sedar, sebelum binatang itu boleh disembelih, untuk mengurangkan kesakitan dan rasa takut.

Namun pengecualian diberikan selama ini untuk haiwan yang disembelih cara Islam dan Yahudi yang menghendaki haiwan itu berada dalam keadaan sedar.

Pemimpin Parti bagi Haiwan, Marianne Thieme yang mengemukakan rang undang-undang itu yakin pengharaman itu akan diluluskan.

Beliau tidak fikir penyembelih Yahudi dan Islam akan dapat membuktikan kaedah penyembelihan mereka menyebabkan kurang kesakitan berbanding jika haiwan dikenakan kejutan elektrik terlebih dahulu.

“Menjadi andaian semata-mata bahawa penyembelihan tanpa kejutan elektrik boleh dibuktikan lebih mesra haiwan berbanding penyembelihan dengan kejutan elektrik, tetapi pindaan ini memberi peluang kepada pertubuhan-pertubuhan agama untuk mencari dan mengemukakan bukti itu,” kata Thieme.

Bagaimanapun kompromi itu tidak meredakan kemarahan kumpulan-kumpulan Islam dan Yahudi yang menyifatkan pengharaman yang diusulkan sebagai serangan ke atas kebebasan beragama.

“Ini cara gila untuk menggubal undang-undang, bahawa kami perlu membuktikan apa yang sudah lama kami yakini,” kata Ronnie Eisenmann daripada Komuniti Yahudi Amsterdam.

Wakil-wakil pertubuhan Islam pula berkata, jika penyembelihan cara Islam diharamkan oleh kerajaan Belanda, penduduk Islam akan terpaksa membeli daging halal dari negara jiran seperti Belgium dan Jerman. – Agensi

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

3,900 pegawai Kastam belum isytihar harta

MELAKA 23 Jun - Seramai 3,900 daripada 13,000 atau 30 peratus pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di seluruh negara, dikesan masih belum mengisytiharkan harta mereka di bawah Sistem Pengurusan Maklumat Sumber Manusia (HRMIS).

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Pengurusan), Datuk Khazali Ahmad berkata, kesemua pegawai di jabatan tersebut diwajibkan berbuat demikian bagi tujuan mempertingkatkan imej JKDM.

"Jika gagal, pegawai berkenaan akan disekat daripada mendapat peluang kenaikan pangkat, biasiswa melanjutkan pelajaran malah tidak boleh bercuti atau bertugas ke luar negara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Setia dan Mesra di Wisma Kastam Ayer Keroh, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Kastam negeri, Datuk Mohd. Nasir Said.

Terdahulu Khazali merasmikan Klinik Cukai Dalam Negeri (CDN) yang pertama di negara ini bagi memberi khidmat perundingan dan pematuhan pembayaran cukai.

Menurut Khazali, pengisytiharan harta oleh setiap pegawai Kastam perlu dibuat setiap kali menerima lantikan atau apabila ada perubahan dari segi pemilikan harta dalam tempoh yang ditetapkan.

"Kalau pegawai itu naik pangkat yang lebih tinggi, mereka diwajibkan mengisytiharkan harta," katanya.

Sementara itu, Mohd. Nasir berkata, lebih 80 peratus daripada 236 pegawai Kastam di negeri itu telah mengisytiharkan harta dan mereka yang belum berbuat demikian diberi tempoh sehingga akhir tahun ini.


Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

Terkejut tunggakan bil selenggara 3 kali ganda

KLANG: Terkejut dengan penyata tunggakan hutang penyelenggaraan berlipat kali ganda, sekumpulan 11 pemilik premis di Kompleks Desa, Jalan Kepong, di sini, tampil mengadu bagi menuntut keadilan.

Mereka mempersoalkan bagaimana bil penyelenggaraan premis yang dikeluarkan Perbadanan Pengurusan Kompleks Desa (PPKD) mencecah tiga kali ganda dalam tempoh kurang setahun.


Seorang daripada mereka, Lee Jah Jun, berkata tunggakan bil penyelenggaraan pada Oktober tahun lalu sebanyak RM53,751.55 dan meningkat RM90,381.40 pada April lalu dan pada Jun ini jumlahnya RM195,149.30.

Katanya, bil yang diterimanya daripada PPKD tidak logik kerana dalam dua bulan iaitu dari April hingga Jun ini, caj penyelenggaraan dan hutang premisnya dianggarkan lebih RM100,000.


“Berdasarkan bil penyata itu, ia mencatatkan caj dikira mulai 2000, tetapi pengurusan Kompleks Desa bermula pada 2007,” katanya ketika membuat aduan kepada Ketua MCA bahagian Kapar, Datuk Song Kee Chai, di sini, kelmarin.


Seorang lagi pemilik premis yang enggan dikenali berkata, tunggakan yang diterima menjangkau RM847,189 pada Jun tahun lalu berbanding tunggakan pada Disember tahun lalu, RM183,848.70.

“Ini tidak adil kerana jika mengikut kadar, tunggakan dan caj yang dikenakan ke atas saya tidak mungkin hampir mencecah RM1 juta.

“Kadar yang ditetapkan sebelum ini ialah 60 sen bagi satu kaki persegi dan minimum RM250 bagi setiap lot. Lot paling besar mungkin dikenakan sehingga RM8,000,” katanya.

Sementara itu, Kong berkata, masalah itu dikhuatiri akan bertambah serius kepada kira-kira 300 pemilik premis di kompleks itu jika tidak ditangani segera.


“Sehubungan itu, saya akan menghantar surat kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Controller Of Buildings (COB) bagi mengatasi masalah ini. Mereka seolah-olah ditindas dan perlu diberi keadilan sewajarnya,” katanya.


Sementara itu, wakil PPKD ketika dihubungi berkata, tunggakan itu meningkat kerana pemilik premis terbabit tidak pernah membayar caj ke atas premis mereka.

myMetro | Terkejut tunggakan bil selenggara 3 kali ganda

Jakarta sekat amah ke Saudi

JAKARTA: Indonesia yang dikecam dari luar kerana melaksanakan hukuman mati, semalam mengambil keputusan melarang warganya bekerja di Arab Saudi selepas seorang pembantu rumah rakyat negara itu dipancung kerana membunuh isteri majikannya.

Pelaksanaan hukuman pancung oleh pihak berkuasa Saudi Sabtu lalu meningkatkan kecaman terhadap kerajaan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono yang didakwa tidak banyak bertindak melindungi rakyat Indonesia yang bekerja di seberang laut, kebanyakannya sebagai pembantu rumah dan pekerja binaan.


“Saya mengambil keputusan menggantung sementara penghantaran pekerja Indonesia ke Arab Saudi, berkuatkuasa 1 Ogos depan. “Bagaimanapun, langkah ke arah itu bermula hari ini,” kata Susilo.

Menurut Susilo, penggantungan itu akan berkuatkuasa sehingga kerajaan Indonesia dan Arab Saudi mencapai persetujuan untuk memberi hak yang sepatutnya kepada pekerja Indonesia.


Terdapat kira-kira 1.2 juta rakyat Indonesia bekerja di Arab Saudi, kebanyakannya sebagai pembantu rumah.


Mereka menjadi sumber penting pertukaran wang asing dan membantu mengurangkan pengangguran di Indonesia.

Menteri Luar, Marty Natalegawa berkata, Indonesia tidak boleh mencampuri proses perundangan negara lain seperti mana ia tidak mahu campur tangan negara lain dalam proses perundangannya, termasuk Australia yang rakyatnya berdepan dengan hukuman mati di Indonesia.



Indonesia memanggil pulang dutanya di Riyadh baru-baru ini kerana membantah tindakan Saudi tidak memberitahunya terlebih awal mengenai hukuman pancung ke atas pembantu rumah, Ruyati binti Sapubi, 54.

Dua puluh tiga warga Indonesia menghadapi hukuman mati di Arab Saudi ketika ini. - AFP

myMetro | Jakarta sekat amah ke Saudi

Gaddafi rela mati

TRIPOLI: Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi, berkata dia tidak takut mati dan berikrar terus menentang tekanan Nato, semalam.

Kata Gaddafi, tenteranya akan terus berjuang, manakala perang di Libya juga akan berpanjangan sehinggalah Barat dihapuskan.


Bagaimanapun, katanya, Libya tidak akan dapat dikalahkan.

“Tiada lagi perjanjian selepas anda (Barat) membunuh anak dan cucu kami. Anda boleh pulang,” katanya.


Sebelum itu, Gaddafi menziarahi rumah sahabatnya, Khuwildi Hemidi, yang kehilangan beberapa anggota keluarga akibat serangan Nato, Isnin lalu.


Kata Gaddafi, rakyat Libya tidak boleh ditakut-takutkan dengan serangan ke atas negara Islam yang mensasarkan orang awam serta kanak-kanak itu.

Sebelum ini, Nato mengakui jet tenteranya menyerang Surman di barat Tripoli, tetapi menegaskan sasarannya ialah kepentingan tentera LIbya.

Sebaliknya, Libya mendakwa serangan “pengecut” itu membunuh 15 orang awam, termasuk tiga kanak-kanak dan tidak boleh diterima sama sekali.

Sasaran Nato, dakwa Libya, ialah kawasan kediaman Khuwildi yang pernah berjuang bersama Gaddafi satu ketika dulu.


Gaddafi turut mempertikaikan hak Nato menyerang ahli politik dan keluarga mereka di Libya.


Katanya, pejabat Khuwildi di Tripoli pernah dibom empat kali sebelum ini.


“Nato memang sengaja mensasarkan Khuwildi kerana dia seorang wira.


“Selepas gagal menemuinya di pejabat, mereka menyerangnya di rumah,” katanya. Gaddafi juga berjanji membina tugu “tertinggi di Afrika Utara” untuk memperingati cucu perempuan Khuwildi yang baru berusia empat tahun, Khaleda, yang terbunuh dalam serangan Nato pada Isnin lalu. - AFP

myMetro | Gaddafi rela mati

Flotila ke Gaza bawa bahaya: Zionis

NEW YORK: Israel semalam memberi amaran kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai ancaman bahaya disebabkan pelayaran flotila kemanusiaan ke Gaza.

Duta baru Israel ke PBB, Ron Prosor, berkata semua negara perlu menghalang flotila berkenaan mencabar sekatan dilakukan rejim Zionis itu.


“Mereka perlu mengingatkan rakyat masing-masing terhadap risiko yang timbul kerana menyertai aktiviti provokasi berbahaya itu,” katanya. Dalam surat kepada PBB, Prosor mendakwa, konvoi kemanusiaan disertai aktivis kemanusiaan antarabangsa itu kononnya hanya mengelirukan orang ramai apabila mahu membantu penduduk Gaza.

“Provokasi ini sengaja dilakukan untuk memenuhi agensi politik ekstrem dan membawa kesan berbahaya,” katanya. Prosor berkata, flotila baru itu dijangka berlepas ke Gaza pada Sabtu atau Ahad ini.


Berdasarkan salinan surat berkenaan, ia bertarikh Selasa lalu. - Reuters

myMetro | Flotila ke Gaza bawa bahaya: Zionis

Melayu gila plat kereta cantik

Sembilan daripada 10 tender KDY 8, KDY 88, KDY 888, KDY 8888

ALOR SETAR: Minat orang Melayu di negeri ini menggunakan nombor plat kenderaan yang menarik dan istimewa meningkat dengan ketara apabila jumlah mereka yang menyertai tender terbuka untuk mendapatkan nombor itu semakin ramai.

Ini menunjukkan golongan itu kini sanggup menghabiskan sehingga berpuluh ribu ringgit untuk mendapatkan nombor plat kenderaan menarik, yang selama ini kebanyakannya lebih diminati bangsa Cina.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, Ahmad Musadad Sulaiman (kanan), berkata kajian pihaknya mendapati dalam kes nombor tertentu, sembilan daripada 10 yang menyertai tender adalah Melayu dan mereka sanggup membayar harga tinggi untuk mendapat nombor plat digemari.
Sebagai contoh, katanya, bagi nombor plat siri KDY 8, KDY 88, KDY 888 dan KDY 8888, sembilan daripada 10 pembida setiap nombor berkenaan adalah orang Melayu.

“Selain individu, pembida berkenaan adalah syarikat milik orang Melayu yang mana ia menunjukkan aliran golongan itu semakin meminati nombor plat menarik dan istimewa yang mana selama ini lebih diminati kaum bukan Melayu," katanya di sini.

Beliau berkata, selain nombor 8 yang biasanya diminati kaum Cina kerana kepercayaan mereka bahawa nombor itu membawa tuah atau `ong', nombor lain yang diminati Melayu yang memiliki kereta mewah ialah nombor 1 hingga 10.

JPJ mengkategorikan nombor plat kenderaan 1 hingga 10 sebagai nombor bernilai utama yang mana harga tendernya bermula dengan minimum RM10,000, manakala nombor menarik minimum RM2,000 dan nombor popular RM300.
Mengikut rekod JPJ, antara kutipan tertinggi bagi nombor bernilai utama ialah KCT 1 bernilai RM66,500, KCY 1 (RM75,000), KCX 1 (RM80,000) dan KCQ 1 (RM85,000) yang mana pemenang bidaan beberapa nombor berkenaan terdiri daripada individu atau syarikat Melayu.

Difahamkan, selain terikut-ikut dengan minat masyarakat Cina yang memilih sesuatu nombor kerana percaya ia membawa tuah, minat orang Melayu terhadap nombor menarik dan bernilai tinggi itu dipercayai ada kaitan dengan taraf ekonomi mereka yang semakin baik sehingga mampu memiliki kereta mewah.

Ahmad Musadad berkata, aliran terbaru itu membawa faedah kepada JPJ dan kerajaan khususnya, kerana secara tidak langsung kutipan hasil juga meningkat yang mana ia dapat disalurkan untuk faedah rakyat bagi tujuan pembangunan infrastruktur.

Difahamkan, tahun lalu JPJ seluruh negara mengutip hasil RM2.9 bilion daripada pendaftaran nombor plat kenderaan dan bagi Kedah pula untuk siri KCX saja kutipannya ialah RM485, 534.
Berita Harian Online | Melayu gila plat kereta cantik

Nancy Ajram promosi Mesir


Nancy Ajram
Nancy Ajram
Diva Lubnan sedia sertai konsert mega pulih pelancongan jiran

BEIRUT: Penyanyi terkenal Lubnan, Nancy Ajram diberi penghormatan membantu memulihkan sektor pelancongan di Mesir yang bermasalah sejak dilanda kekacauan politik hingga menumbangkan Presiden Hosni Mubarak.

Bagi menyemarakkan semula minat pelancong asing, Mesir mengundang penyanyi terkenal Lubnan itu untuk menyanyi dalam konsert mega yang digelar Wahashteeni ya Masr (Aku Merinduimu Mesir) di bandar raya Rehab, 14 Julai depan.
Akhbar al Bayan yang berpejabat di Emiriah Arab Bersatu (UAE) melaporkan, Nancy mengambil bahagian dalam konsert itu untuk membantu memulihkan sektor pelancongan Mesir dan meningkatkan semula minat pelancong dari rantau Arab dan Eropah ke negara itu.
Ia juga bertujuan meyakinkan pelancong asing bahawa Mesir adalah negara yang selamat dan stabil untuk dikunjungi.

Pengarah Agensi Pengiklanan Al Qadisyah, berkata syarikatnya memilih Nancy berikutan populariti penyanyi di Mesir dan dunia Arab.

“Nancy juga adalah antara penyanyi yang diketahui amat sukakan Mesir dan menyanyi lebih daripada satu lagu yang menyatakan kecintaannya kepada negara itu. Nancy juga tidak teragak-agak mempersetujui tawaran yang diberikan kepadanya untuk menyanyi di konsert itu,” katanya yang dipetik akhbar itu. – Agensi
Berita Harian Online | Nancy Ajram promosi Mesir

Unipeq nafi sahkan Barbican halal

KUALA LUMPUR – Unipeq, anak syarikat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menafikan ia telah mengesahkan status halal terhadap produk minuman malta berperisa buah-buahan Barbican seperti didakwa pengeluar produk itu pada Khamis lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif Unipeq, Dr. Siti Noorbaiyah Abdul Malek berkata, syarikat itu hanya mengeluarkan sijil analisis yang menunjukkan kandungan kompaun yang diuji dan bukannya status halal.

“Sesuatu produk itu hendaklah dirujuk kepada pihak-pihak yang berwibawa seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk status halal dan Kementerian Kesihatan untuk piawai makanan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Kosmo! Online - Negara

Bekas bintang filem lucah bankrap



WAJAH terkini Patricia Kluge.


ABERMARLE, Amerika Syarikat (AS) - Seorang bekas penari gelek, bintang filem lucah dan model bogel yang dikenali sebagai janda 'terkaya dalam sejarah' selepas dia bercerai dengan suaminya yang merupakan seorang bilionair, telah bertindak mengisytiharkan dirinya muflis, lapor sebuah akhbar semalam.

Wanita berkenaan, Patricia Kluge memperoleh bayaran penyelesaian perceraian berjumlah AS$1 bilion (RM3 bilion) selepas dia bercerai dengan suaminya yang merupakan taikun media AS, John Kluge pada tahun 1990.

Pada tahun, 1980-an, Patricia menganjurkan parti-parti mewah untuk golongan diraja, tokoh korporat, selebriti dan tokoh sasterawan di rumahnya.

Patricia yang kini berusia 62 tahun bagaimanapun memohon perintah perlindungan muflis bersama suami ketiganya, William Moses baru-baru ini.

Model berkenaan yang dilahirkan di Baghdad dan pernah membintangi sebuah filem lucah, The Nine Ages Of Nakedness, mengisytiharkan dirinya muflis selepas asetnya merosot selain mengalami kerugian besar dalam perniagaan membuat wain miliknya.

Menurut kertas permohonan muflis yang difailkan di sebuah mahkamah AS, dia dan suaminya, William Moses yang menetap di sini, negeri Virginia, memiliki hutang berjumlah AS$50 juta (RM151.9 juta). - Agensi

Kosmo! Online - Dunia