Thursday, November 17, 2011

Kabinet saran ampun Thaksin

Anggota pentadbiran Yingluck kemuka cadangan kepada Raja Thailand

BANGKOK: Kerajaan Thailand mengemukakan cadangan supaya pengampunan diberi kepada bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra yang kini dalam buangan untuk membolehkan beliau pulang ke tanah air tanpa menjalani hukuman penjara kerana kesalahan salah guna kuasa pada 2008.
Media Thailand semalam melaporkan, cadangan pengampunan itu dipersetujui dalam satu mesyuarat Kabinet kelmarin.
Bagaimanapun, perkara itu tidak disebut dalam kenyataan selepas mesyuarat berkenaan manakala menteri pula enggan memberi komen mengenainya.

“Yingluck tidak hadir pada mesyuarat itu dan semua pegawai diminta meninggalkan bilik mesyuarat ketika isu terbabit dibentangkan,” lapor akhbar Bangkok Post yang memetik sumber di pejabat perdana menteri.

Yingluck yang menjadi perdana menteri sejak Ogos lalu adalah adik Thaksin dan dilihat sebagai proksi abangnya dalam Parti Puea Thai.

Thaksin adalah jutawan telekomunikasi yang menjadi ahli politik sebelum disingkirkan dalam rampasan kuasa tentera pada 2006, tetapi terus menjadi tumpuan dalam politik Thailand.
Penyokong ‘Baju Merah’ pro-Thaksin melumpuhkan sebahagian Bangkok selama beberapa minggu awal 2010 dalam satu cubaan untuk menggulingkan kerajaan Abhisit Vejjajiva sebelum tentera bertindak terhadap bantahan itu.

Yingluck tidak mempunyai banyak pengalaman dalam politik sebelum mengetuai parti terbabit dalam kempen pilihan raya umum Julai lalu dan sejak mula lagi pengkritik menyifatkan beliau diletakkan oleh Thaksin dengan tujuan untuk mencari satu jalan bagi membolehkan bekas perdana menteri itu pulang ke tanah air dengan bebas.

Bangkok Post melaporkan Yingluck tidak hadir pada mesyuarat Kabinet berikutan masalah pengangkutan yang menyebabkan beliau terpaksa bermalam di wilayah yang dilanda banjir ketika melakukan lawatan pada Isnin lalu, walaupun akhbar berkenaan memetik sumber tentera sebagai berkata bahawa pemimpin wanita itu boleh pulang ke Bangkok menaiki helikopter.

Cadangan Kabinet Thai itu akan diserahkan kepada Raja untuk diperkenankan bagi pengampunan sempena sambutan keputeraan baginda pada 5 Disember, membabitkan mereka yang menjalani hukuman penjara sehingga 60 tahun menerima hukuman lebih ringan hingga kurang tiga tahun.

Bagaimanapun beberapa kriteria kelayakan berubah daripada satu pengampunan kepada yang lain, tetapi mereka yang didapati bersalah melakukan rasuah seperti Thaksin atau melakukan kesalahan dadah biasanya boleh dibebaskan. Rangka draf kali ini bagaimanapun tidak membabitkan hukuman rasuah. – Reuters
Berita Harian Online | Kabinet saran ampun Thaksin:

'via Blog this'