mStar - Diterbitkan: Isnin, 16 Jun 2014 8:27 AM
KUALA LUMPUR: Bagi ibu kepada warga Iran yang menaiki penerbangan MH370 dengan pasport palsu, setiap hari yang dilaluinya tidak ubah seperti 'kematian perlahan-lahan', sejak pesawat itu hilang 8 Mac.
Niloufar Vaezi Tehrani, yang menetap di Jerman, menyifatkan dirinya sebagai seorang wanita yang menderita.
"Saya akan menemui ahli psikologi kerana saya bukan sahaja kehilangan anak, saya juga kehilangan kehidupan saya sendiri. Saya terlepas kereta api kerana tidak boleh menumpukan perhatian. Apabila saya bangun, saya akan menuju ke TV dan komputer riba untuk melihat berita dan tiba-tiba saya sedar segala-galanya sudah berlalu," kata Niloufar, 47.
Dia memberitahu The Star bahawa Pouria Nourmohammadi, 19, telah menghantar e-mel kepadanya sebelum ini, menyatakan rancangan untuk terbang ke Malaysia dan kemudian menggunakan pasport palsu untuk ke Jerman.
Pelajar kejuruteraan kimia itu rindu untuk melihat ibunya yang sedang berjuang melawan penyakit kanser payudara peringkat kedua.
Pada awal krisis MH370, perhatian global telah tertumpu kepada imej-imej kabur dua warga Iran yang dikenal pasti oleh polis sebagai penyamar yang telah menggunakan pasport palsu.
Untuk satu ketika, Pouria merupakan suspek utama dalam kehilangan Boeing 777. Terdapat spekulasi ketika itu bahawa dia merupakan seorang pengganas.
Bagaimanapun, kebenaran cerita seorang anak yang cuba sedaya upaya untuk bersatu kembali dengan ibunya, tidak menyebabkan spekulasi itu berpanjangan.
Walaupun keluarga anak-anak kapal MH370 dan penumpang berada di bawah jagaan Malaysia Airlines dan sukarelawan, Niloufar berkata dia menanggung derita keseorangan.
"Hari ini, tiada siapa yang menjaga saya. Saya tidak tahu apa-apa mengenai MH370. Saya tidak tahu apa yang berlaku kepada anak saya. MAS dan pihak berkuasa Malaysia tidak pernah sekali bercakap dengan saya atau memberi saya maklumat mengenai anak saya," dakwanya.
Dia melarikan diri dari Teheran dua tahun lalu selepas didera oleh suaminya.
Niloufar membawa bersama anak bongsunya Ilia, 14, dan menetap di Jerman.
"Dia mempunyai kesukaran membawa keluar Pouria bersama kerana usianya," kata peguam Niloufar, Dan Gilleon.
Pouria, 19, dan Delavar Seyed Mohammad Reza, 29, menaiki pesawat malang menggunakan pasport milik warga Austria dan Itali pada 8 Mac.
Mereka terbang ke Beijing dan kemudian mengambil penerbangan sambungan ke Frankfurt, di mana Niloufar menunggu di sana.
Dipercayai pasport dan dokumen Itali dan Austria yang digunakan tidak memerlukan visa untuk memasuki Jerman.
"Dia mahu melihat ibunya yang sakit. Okay, cari dia dan jatuhkan hukuman kepadanya. Tetapi saya hanya mahu tahu mengenai anak saya," kata Niloufar dengan penuh emosi.
Niloufar dan Gilleon kini merancang untuk meneruskan tuntutan 'kematian tidak benar' terhadap MAS.
Gilleon mendakwa MAS enggan melepaskan maklumat tiket Pouria, yang diperlukan untuk menentukan bidang kuasa bagi membuat tuntutan mahkamah, sambil menambah MAS memberi alasan bahawa siasatan sedang dijalankan terhadap Pouria.
Niloufar berkata apa boleh dilakukan sekarang ialah menunggu dan berdoa, dengan harapan pihak berkuasa akan memahami bahawa dia hanyalah seorang ibu yang mencari seseorang yang disayangi.
"Saya melihat gambar salah seorang isteri krew melahirkan anak. Saya tahu bagaimana penderitaan yang dialaminya. Hari ini, saya berdoa bukan sahaja untuk Pouria tetapi semua penumpang supaya mereka selamat dan Tuhan memberkati mereka. Saya berharap dunia tidak akan melupakan kami, "katanya.