Showing posts with label gaduh. Show all posts
Showing posts with label gaduh. Show all posts

Thursday, March 21, 2013

Anggota Parlimen Ukraine bergaduh




SEJUMLAH wakil rakyat bergaduh di dalam bangunan Parlimen di Kiev kelmarin.


KIEV - Sejumlah wakil rakyat di Parlimen Ukraine bertumbuk dan menarik rambut sesama mereka semasa satu sesi perdebatan berlangsung di sini kelmarin.
Kejadian itu berlaku apabila seorang ketua wakil rakyat daripada sebuah parti pemerintah, Oleksandr Yefremov berucap dalam bahasa Rusia.
Yefremov kemudian disindir oleh wakil rakyat pembangkang yang mahu dia bercakap dalam bahasa Ukraine.
Wakil rakyat pembangkang dan pemerintah kemudian saling sindir-menyindir menyebabkan pergaduhan tersebut berlaku.
Speaker Parlimen, Volodymyr Rybak kemudian menjerit meminta pergaduhan tersebut dihentikan.
Bagaimanapun, sesi perbahasan itu disambung semula selepas sejam ditangguhkan ekoran kejadian itu setelah semua wakil rakyat berkenaan berhenti bergaduh. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0321&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_09.htm#ixzz2O934NRU5 
Hakcipta terpelihara 

Thursday, May 10, 2012

Polis Johor tubuh pasukan khas siasat kejadian di Pulau Rawa

Polis Johor tubuh pasukan khas siasat kejadian di Pulau Jawa - Johor - Sinar Harian:

JOHOR BHARU - Polis Johor telah menubuhkan satu pasukan khas bagi menjalankan siasatan terhadap kejadian pergaduhan yang berlaku di sebuah pusat peranginan di Pulau Rawa, berhampiran Mersing Sabtu lepas.
Ketua Polis Johor Datuk Mokhtar Mohd Sharif berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 452 Kanun Keseksaan.  
"Setakat ini seramai sembilan orang saksi ini telah dirakamkan percakapan mereka untuk membantu siasatan," katanya di dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata sehingga hari ini, polis telah menerima sembilan laporan berkaitan kejadian itu yang dibuat saksi rakyat Malaysia yang berada di pulau terbabit ketika kejadian.
Bagaimanapun, polis sehingga kini belum menerima laporan termasuk daripada mangsa atau pihak lain yang berkaitan, katanya.
Media melaporkan kejadian pergaduhan itu melibatkan sekumpulan warga asing yang bekerja di Singapura dan pengawal peribadi rombongan diraja. - Bernama

'via Blog this'

Saturday, October 23, 2010

Minta halal makan minum

KUANTAN: “Ketika terbaring berlumuran darah dan sebelum menghembuskan nafas terakhir, arwah sempat meminta ibunya menghalalkan makan minumnya,” kata Abdul Rauf Salleh, 63, datuk Muhammad Naili Nafis Zakaria, 14.
Menurutnya, ketika kejadian, cucunya yang juga anak kedua daripada tiga beradik tinggal bertiga bersama kakak dan adik bongsunya di rumah manakala ibunya, Noranita Abdul Rauf, 37, berada di surau berhampiran menunaikan solat Asar.

“Ketika ibunya pulang ke rumah, dia mendapati arwah terbaring dalam keadaan berlumuran darah dan ketika itu arwah meminta ibunya menghalalkan makan minumnya.

“Arwah juga muntah sebelum dibawa ke klinik berhampiran oleh jiran, tetapi disahkan meninggal dunia di klinik kesihatan berkenaan,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Menurutnya, dia hanya dimaklumkan kejadian itu kira-kira jam 5.30 petang dan terkilan kerana mangsa cucu kesayangannya, malah hubungan mereka berdua mesra.

Jenazah mangsa dikebumikan kira-kira jam 9 pagi semalam di Tanah Perkuburan Islam Balok, di sini.

Wednesday, July 7, 2010

Cucuh karan badan isteri

SUBANG JAYA: Seorang lelaki yang berang kerana ditegah isterinya mengambil anak perempuan tunggal mereka berusia enam tahun bertindak ganas apabila mencucuh alat renjatan elektrik ke tubuh wanita berkenaan sehingga pengsan.
Sebelum kejadian di sebuah kondominium di Bukit Puchong di sini, kira-kira jam 9 malam kelmarin, pasangan yang dalam proses perceraian itu bertengkar mengenai hak penjagaan anak mereka di hadapan rumah mangsa.

Difahamkan, pasangan terbabit mendirikan rumah tangga lebih 10 tahun, namun tinggal berasingan sejak empat bulan lalu selepas dikatakan tidak lagi serasi dan tiada sefahaman.

Menurut sumber polis, semuanya bermula apabila suspek berusia lewat 30-an menghubungi isterinya, awal 30-an, bagi memaklumkan hasratnya menjemput anak perempuan mereka untuk tinggal bersama dengan alasan bagi menjamin masa depan kanak-kanak berkenaan.

“Bagaimanapun, tindakan itu kurang disenangi mangsa sebelum wanita terbabit meminta suaminya datang berbincang di rumah,” katanya.

Sumber berkata, sebaik tiba di rumah mangsa, berlaku pertengkaran lebih 30 minit kerana masing-masing berkeras mahu menjaga kanak-kanak berkenaan.
“Selepas gagal mencapai kata sepakat, mangsa beredar untuk masuk ke rumahnya. Tindakannya itu menyebabkan suspek berang sebelum mengeluarkan alat renjatan elektrik dibawanya.

“Suspek mencucuh alat berkenaan ke tubuh mangsa menyebabkan dia terjatuh dan kepala mangsa terhantuk pada lantai di kaki lima rumahnya menyebabkan dia pengsan,” katanya.
Sumber itu berkata, suspek yang panik melarikan diri sebelum jiran yang melihat kejadian terbabit segera menghubungi polis.

“Beberapa minit kemudian, polis tiba di tempat kejadian sebelum mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut,” katanya.

Menurut sumber itu, mangsa bagaimanapun, hanya dirawat sebagai pesakit luar dan dibenarkan pulang selepas sedar, semalam.

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Bukit Puchong di sini, untuk siasatan dan tindakan lanjut. Difahamkan, suspek masih gagal dikesan sehingga kini.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar ketika dihubungi, mengesahkan kejadian berkenaan.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya