Monday, October 1, 2012

Basri perlu tempurung kepala



NURUL HUSNA AZIZAN
1 Oktober 2012
Basri perlu tempurung kepala
Keadaan kepala Basri tanpa tempurungnya.
“Ibu bapa mana sanggup melihat kehidupan anak yang dulunya lincah dan cergas tiba-tiba berubah 360 darjah. Dia kini hanya mampu terlantar di katil dan tidak dapat bercakap.”

Itulah luahan kata hati sepasang suami isteri menceritakan keadaan anak lelaki mereka selepas menjadi mangsa kemalangan dua tahun lalu. Akibat kejadian itu, tempurung kepala Mohd Basri Basharudin, 18, atau lebih mesra dengan panggilan Basri, terpaksa dibuang bagi mengeluarkan darah beku.

Bapanya, Basharudin Bakar, 46, berkata, ketika kejadian, anak ketiganya itu sedang membonceng motosikal yang ditunggang sepupunya. Motosikal itu terbabas dan menyebabkan Basri terpelanting.

Ketika kemalangan, Basri baru memasuki tingkatan lima dan hanya sempat bersekolah selama sebulan.

“Pada mulanya doktor membuang tempurung kepala Basri di sebelah kanan, namun disebabkan masih ada darah beku, doktor sekali lagi membuang tempurung kepalanya di sebelah kiri pada 25 Jun 2011," katanya yang tinggal di Kangar, Perlis.  
            
Jagaan rapi

Basharudin berkata, kini anaknya itu memerlukan sejumlah RM7,000 hingga RM10,000 untuk menggantikan tempurung kepalanya yang baru supaya kelihatan seperti insan normal yang lain walaupun dia tidak mampu berjalan dan bercakap.

“Dengan pendapatan sekarang, saya tidak dapat menampung kos menggantikan tempurung kepala anak saya yang baru. Dia (Basri) hanya mampu makan bubur dan minum susu khas bagi memastikan tubuhnya sihat.

“Setiap tiga jam, kami akan memberi Basri makan, atas nasihat doktor, kerana dia tidak boleh bercakap seperti insan normal lain,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Darat Barat, Santan.

Basharudin berkata, bagi memastikan Basri sentiasa berada dalam keadaan sihat, dia perlu minum susu khas yang berharga RM62 setiap tin dan sebulan dia memerlukan 10 tin kerana satu tin susu berkenaan hanya mampu bertahan selama empat hari.

Ibunya, Jamilah Kamis, 41, berkata, disebabkan keadaan Basri yang memerlukan jagaan rapi, dia dan anak perempuan sulungnya tidak bekerja bagi menguruskan segala keperluan Basri.

Setiap bulan, Basharudin memperuntukkan RM1,000 untuk makanan dan keperluan anak ketiganya itu.

“Saya dan suami juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Santan, Sabry Ahmad yang banyak membantu kami serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pihak lain,” katanya.

Sabry yang juga Exco Pertanian, Industri dan Asas Tani, menyampaikan sumbangan berjumlah RM1,000 kepada Basri bagi menampung perbelanjaan hariannya.

Kos pembedahan

Sebelum ini, keluarga Basri membuat permohonan katil khas daripada Adun Santan itu bagi memastikan Basri tidur dalam keadaan selesa dan memudahkan urusan penjagaan Basri.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Darat Barat, Fazil Yob merupakan individu prihatin yang telah memaklumkan mengenai Basri kepada Sabry.

Sabry ketika ditemui berkata, sepatutnya di usia ini, Basri sedang menuju ke menara gading. Namun disebabkan kemalangan itu, remaja itu terpaksa terlantar di katilnya.

"Bagi memastikan tempurung kepalanya diganti semula, keluarganya terpaksa mencari sejumlah kos yang agak besar untuk menampung pembedahan itu,” katanya.

Untuk tujuan itu, Sabry berharap pelbagai pihak dapat membantu keluarga Basri untuk mengumpulkan sejumlah wang bagi tujuan pembedahan tempurung kepalanya.

Orang ramai yang bersimpati dengan penderitaan ditanggung oleh Basri bolehlah salurkan bantuan dan derma melalui akaun Sinar Di Hati seperti yang tertera.

Maybank - SINAR KARANGKRAF SDN BHD : 506164-019988

Menyesal kahwini warga asing



Ramlah bersama dua anaknya hasil perkahwinannya dengan warga asing.
Ramlah bersama dua anaknya hasil perkahwinannya dengan warga asing.
KEDAIK - “Walaupun saya menyesal kahwin dengan lelaki warga asing, tetapi bersyukur kerana mempunyai anak-anak yang memahami penderitaan yang saya alami,” demikian kata seorang wanita Ramlah (bukan nama sebenar), 32.
Ramlah berkata, perkahwinannya dengan seorang lelaki warga asing tidak memberinya kebahagiaan, malah dia didera fizikal dan mental meskipun mempunyai tiga orang zuriat hasil perkahwinan mereka.
Menurutnya, dia juga ditinggalkan tidak bertali oleh warga asing itu yang suatu ketika dahulu pernah bekerja di sebuah ladang kelapa sawit syarikat swasta berhampiran kediamannya.
“Saya tidak bahagia berkahwin dengan lelaki asing kerana saya seolah-olah menjadi hamba kepadanya. Segala kemahuannya perlu saya turut, malah saya juga sering dipukul dan diterajang,” katanya kepada Sinar Harian.

Ramlah berkata, sehingga kini, bekas suaminya itu lari meninggalkannya dan anak-anak tanpa nafkah, malah kesal dengan sikap lelaki itu yang disifatkannya sebagai tidak bertanggungjawab.

“Inilah suratan yang terpaksa saya terima kerana bersuamikan lelaki warga asing.

"Perkahwinannya dengan saya mungkin hanya sekadar nafsu semata-mata tanpa memikirkan hal kami anak beranak,” katanya.
Menurutnya, dia sekali lagi diduga apabila perkahwinannya dengan lelaki Sarawak juga tidak lama apabila diceraikan oleh lelaki itu setelah tiga tahun mendirikan rumah tangga.
“Memang tiada keserasian antara kami berdua. Saya dan dia mempunyai seorang cahaya mata dan perkahwinan kami juga tidak bertahan lama memandangkan sikapnya yang kaki botol dan panas baran,” katanya.

Katanya, dia yang kini terpaksa bekerja di sebuah restoran di Johor Bharu bagi menampung kehidupannya dan anak-anak bagi memastikan nasib mereka terbela pada masa depan.

“Sayalah ibu dan sayalah bapa kerana dengan wang pendapatan RM900 sebulan ini saya berjimat cermat untuk membeli keperluan anak-anak kerana hanya mereka saja dapat memberi kekuatan kepada saya untuk meneruskan kehidupan,” katanya.

Ekonomi Iran menuju kemusnahan: Israel

SALEM: Menteri Kewangan Israel, Yuval Steinitz semalam berkata, ekonomi Iran semakin menghampiri kemusnahan akibat sekatan antarabangsa berkait dengan program nuklearnya.

“Sekatan ke atas Iran pada tahun lalu meningkat kepada satu tahap. Ekonominya masih belum musnah, tetapi semakin hampir kepada kemusnahan,” kata Steinitz kepada Radio Israel.
Menurutnya, kehilangan pendapatan Republik Islam itu menerusi hasil minyak ialah hampir AS$45 bilion (RM135 bilion) hingga AS$50 bilion (RM150 bilion) menjelang akhir tahun ini.

Rejim Zionis itu berulang kali menyuarakan kemungkinan melancarkan serangan ke atas Iran kerana bimbang negara itu menghasilkan senjata nuklear.


Perdana Menterinya, Benjamin Netanyahu sebelum ini berkata, meskipun sekatan memberikan kesan, ia mastih tidak memaksa Iran menghentikan aktiviti nuklearnya. - Reuters

Iraq akan periksa pesawat dari Iran ke Syria

DUBAI: Iraq akan mengarahkan pesawat Iran yang dalam penerbangan ke Syria menerusi ruang angkasanya mendarat untuk pemeriksaan rambang.

Langkah itu dibuat selepas Amerika Syarikat (AS) berkata, pesawat terbabit mungkin mengangkut senjata ke Damsyik.
“Kami sudah memaklumkan kepada Hillary Clinton (Setiausaha Negara AS) dan pegawai negara itu bahawa kerajaan akan mengarahkan pesawat terbabit mendarat dan melakukan pemeriksaan rambang,” kata Menteri Luar Iraq, Hoshiyar Zebari kepada akhbar al-Hayat yang berpusat di London.

Zebari juga berkata, penerbangan pesawat Iran menerusi ruang angkasa Iraq bermula Mac lalu tetapi sudah diberhentikan selepas Baghdad memintanya supaya tidak diteruskan. - AFP

Manila hantar 2 batalion tentera laut ke Spratly

MANILA: Kerajaan Filipina menghantar 800 anggota tentera laut dan membuka ibu pejabat baru untuk melindungi kepentingan mereka di Kepulauan Spratly yang menjadi rebutan antara negara ini dengan China, kata pegawai kanan tentera, semalam.

Terletak di antara laluan kapal penting dan juga dikatakan kaya dengan sumber asli, termasuk minyak, Kepulauan Spratly di Laut China Selatan telah lama menjadi rebutan di rantau itu.
Pulau itu turut menjadi rebutan Vietnam, Brunei, Malaysia dan Taiwan.

Leftenan Jeneral Juancho Sabban dilihat mahu meredakan kebimbangan Beijing dengan berkata, penghantaran itu itu adalah sebagai langkah pertahanan dan tidak sepatutnya dilihat sebagai tindakan agresif pihak mereka.


“Dua batalion yang tiba baru-baru ini akan meningkatkan pengawalan ke atas pulau kami,” kata Sabban yang mengetuai ketenteraan yang mempunyai bidang kuasa ke atas Kepulauan Spratly.


Katanya, satu ibu pejabat tentera laut didirikan di Wilayah Palawan yang menghadap Laut China Selatan sebagai “pusat perintah dan kawalan” - MT

10 terbunuh serangan berani mati di Afghan

KABUL 1 Okt. - Satu seranga berani mati dilancarkan di timur Afghanistan hari ini mengorbankan sekurang-kurangnya 10 orang termasuk tiga tentera NATO dan empat polis Afghanistan.
Tiga orang awam juga disahkan maut manakala 13 lagi cedera dalam serangan ke atas pasukan peronda jalan kaki NATO-Afghan di bandar Khost, kata jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Najeeb Danish. = AFP


Amazon dikecam jual gambar kontroversi

BERLIN 1 Okt. - Syarikat perniagaan dalam talian, Amazon dikecam seorang ahli politik Jerman ekoran penjualan permainan susun suai gambar yang menggunakan gambar kontroversi tempat membakar mayat di kem Nazi di Dachau.
Ahli politik parti konservatif, Gerda Hasselfeldt dalam sepucuk surat yang dihantar kepada Amazon semalam berkata, penjualan permainan kontroversi itu memberi kesan buruk kepada mangsa yang terselamat di kem terbabit dan ahli keluarga mangsa yang lain.
Permainan tersebut mempamerkan gambar tempat membakar mayat di kem Dachau, yang merupakan tempat tahanan kira-kira 200,000 Yahudi, golongan homoseksual, ahli parti pembangkang, dan tahanan perang semasa Perang Dunia Kedua. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121001/lu_11/Amazon-dikecam-jual-gambar-kontroversi#ixzz282TWvf00
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Perairan Spratly kembali bergolak



Pemandangan dari udara menunjukkan Pulau Pagasa, didakwa sebagai milik Filipina yang terletak di kepulauan Spratly, Laut China Selatan. - Agensi
MANILA 30 Sept. - Filipina menempatkan 800 anggota marin tambahan dan membuka sebuah ibu pejabat baru untuk mengawal kepentingannya di kepulauan Spratly, menurut seorang pegawai kanan tentera, hari ini.
Kepulauan Spratly yang terletak di Laut China Selatan dan menjadi laluan perdagangan penting antarabangsa serta dipercayai kaya dengan sumber minyak, telah lama menjadi punca konflik di rantau ini.
Selain Filipina dan China, Vietnam, Brunei, Malaysia dan Taiwan turut menuntut sebahagian kepulauan tersebut.
Leftenan Jeneral Juancho Sabban yang tampil untuk meredakan keadaan terutamanya dengan Beijing, berkata, penempatan anggota marin itu adalah sebagai langkah pertahanan dan tidak sepatutnya dilihat sebagai tindakan agresif.
"Dua batalion yang tiba, baru-baru ini akan meningkatkan perlindungan ke atas pulau-palau kami di Spratly," kata Sabban yang mengetuai garison tentera yang bertanggungjawab ke atas Spratly.
Menurutnya, ibu pejabat briged Marin turut dibina berhampiran wilayah Palawan, Filipina yang berdepan Laut China Selatan 'untuk menyediakan kawalan dan pemerintahan' ke atas pasukan itu.
Anggota marin itu, bagaimana pun tidak akan berpangkalan di Spratly tetapi akan membuat rondaan dari kawasan berhampiran.
Sabban turut menuduh China secara berterusan memperkuatkan kedudukannya di pulau-pulau yang dikuasainya di Spratly, walaupun 'tidak ada negara penuntut lain dengan jelas mengambil tindakan agresif'. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121001/lu_01/Perairan-Spratly-kembali-bergolak#ixzz282TD0eHE
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Portugal bantah bajet kerajaan



Penunjuk perasaan memegang sepanduk membantah langkah penjimatan kerajaan di Lisbon, Portugal, kelmarin. - Reuters
LISBON 30 Sept. - Selepas rakyat Greece dan Sepanyol mengadakan tunjuk perasaan, baru-baru ini bagi membantah langkah penjimatan kerajaan, kini penduduk Portugal pula bangkit membuat bantahan sama.
Beribu-ribu penduduk Portugal berhimpun di jalan-jalan raya di kota Libson, semalam bagi membantah program penjimatan kerajaan yang dijangka lebih ketat bagi memenuhi janji yang dibuat kepada pemiutang antarabangsa.
Penunjuk perasaan memenuhi Dataran Praca do Comercio di tengah bandar raya ini selepas Kongres Umum Pekerja Portugal (CGTP) melancarkan demonstrasi bagi menentang 'kecurian pencen dan gaji'.
Menteri Kewangan Portugal, Vitor Gaspar telah memberi petunjuk bahawa kerajaan akan mengumumkan langkah baru termasuk pemotongan perbelanjaan dan peningkatan cukai modal bagi memenuhi sasaran defisit.
Penunjuk perasaan meniup wisel dan memukul gendang sambil memekik 'Gagalkan Penjimatan' serta mengibarkan bendera kesatuan yang mewakili kakitangan awam tempatan, guru dan polis itu.
Di Sepanyol, beribu-ribu penunjuk perasaan terus berhimpun di kota Madrid, semalam ketika kerajaan membentangkan bajet penjimatan dan memberi amaran hutang awam serta defisit dijangka meningkat lebih tinggi daripada yang diramal sebelum ini.
Penunjuk perasaan menggesa ahli politik meletak jawatan dan mengecam pemotongan bajet oleh kerajaan konservatif ketika mereka berhimpun di luar Dewan Rendah yang dikenali sebagai Congress of Deputies, petang semalam.
Penunjuk perasaan turut memegang sepanduk yang tertera perkataan 'Tidak', 'Letak Jawatan' dan 'Demokrasi' sambil memekik 'Mereka tidak menghormati kita' kepada wakil-wakil rakyat. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121001/lu_03/Portugal-bantah-bajet-kerajaan#ixzz282TLaH67
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Penduduk Bangladesh protes hina al-Quran



Seorang penduduk memerhatikan kuil Buddha yang hangus terbakar di Ramu, kira-kira 350 kilometer dari Dhaka, Bangladesh, semalam. - AFP
DHAKA 30 Sept. - Beribu-ribu penunjuk perasaan membakar beberapa buah tokong Buddha dan rumah kediaman di tenggara Bangladesh, hari ini ekoran penyiaran gambar yang mengutuk agama Islam di laman sosial Facebook.
Menurut pihak berkuasa Bangladesh, kira-kira 25,000 penunjuk perasaan merusuh dan membakar lima tokong termasuk berpuluh-puluh rumah kediaman di pekan Ramu kira-kira 350 kilometer dari Dhaka.
Pegawai Pentadbir Daerah, Joinul bari berkata, rusuhan tersebut tercetus selepas seorang lelaki beragama Buddha berasal dari pekan itu memuat turun gambar yang menghina Al-Quran di dalam Facebook.
"Kesemua penunjuk perasaan bertindak ganas dengan membakar tokong dan kediaman penduduk Buddha sejak semalam hingga pagi ini.
"Kira-kira 100 buah kediaman musnah dan pasukan tentera serta pengawal sempadan dikerah ke tempat kejadian bagi mengawal keadaan," katanya.
Setakat ini, tiada sebarang kecederaan dilaporkan.
Penduduk beragama Buddha merupakan golongan minoriti berjumlah kurang satu peratus daripada 153 juta populasi Bangladesh.
Beberapa minggu lalu, beribu-ribu penduduk Islam di negara ini mengadakan demonstrasi mengecam filem anti-Islam yang menghina Nabi Muhammad SAW di YouTube. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121001/lu_04/Penduduk-Bangladesh-protes-hina-al-Quran#ixzz282T60Jz5
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Rakyat Libya serah senjata



Penduduk Libya beratur untuk menyerahkan senjata mereka kepada pasukan tentera di Dataran Syahid, Tripoli, kelmarin. - Reuters
TRIPOLI 30 Sept. - Penduduk Libya, semalam menyerahkan beratus-ratus senjata kepada tentera kerajaan, sebagai tanda sokongan terhadap kempen pembubaran kumpulan militia di negara ini.
Penduduk menyerahkan senjata mereka di pusat pengumpulan senjata di Dataran Syahid di sini dan di Dataran Kebebasan di Benghazi.
"Ini adalah langkah pertama dan kami akan meneruskan usaha ini bagi mewujudkan keamanan di Libya," kata jurucakap tentera, Ali al-Sheikhi.
Penyelia serahan senjata di Tripoli, Kolonel Hussein Abdullah Khalifa berkata, langkah itu dilakukan selepas perhimpunan anti-militia pada bulan ini mendesak tentera untuk bersatu.
Penganjur kempen di sini, Ziad Hadia berkata, beratus-ratus penduduk menyerahkan senjata ringan serta berat termasuk peluru, bom dan raifal.
Di Benghazi, pasukan tentera menerima 730 senjata ringan, 200 butir bom tangan, 100 senjata berat dan 20,000 peluru pelbagai jenis.
Kempen tersebut akan turut dilaksanakan di beberapa bandar lain. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121001/lu_07/Rakyat-Libya-serah-senjata#ixzz282SnDDWO
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Enam lagi maut di selatan Thai



Kakitangan hospital merawat seorang penduduk kampung yang cedera dalam satu kejadian letupan bom di wilayah Narathiwat, selatan Thailand, kelmarin. - AFP
BANGKOK 30 Sept. - Beberapa insiden letupan dan tembakan, selama dua hari sejak semalam di wilayah selatan Thailand, menyebabkan sekurang-kurangnya enam orang terbunuh, manakala 27 yang lain cedera, menurut polis hari ini.
Semalam, seramai lima orang ditembak mati, manakala berbelas-belas yang lain cedera dalam beberapa serangan keganasan di tiga wilayah bergolak Pattani, Yala dan Narathiwat.
Di Pattani, tiga orang ditembak mati oleh lelaki bersenjata dalam beberapa kejadian berasingan, melibatkan seorang anggota polis beragama Islam dan dua anggota sukarelawan.
Insiden tembakan di Yala turut menyaksikan seorang wanita maut, manakala suaminya cedera.
Menurut polis, letupan dua butir bom tangan jenis M-79 yang dilempar oleh kumpulan militan ke dalam sebuah pasar sesak di Narathiwat, menyebabkan 23 cedera.
Awal pagi ini, seorang remaja lelaki beragama Islam ditembak mati di Yala, manakala seorang wanita dan anak perempuannya cedera dalam satu serangan di wilayah yang sama.
Siri serangan tersebut berlaku seminggu selepas enam orang terbunuh, manakala lebih 40 cedera dalam satu insiden letupan bom kereta di pekan Sai Buri di Pattani. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121001/lu_02/Enam-lagi-maut-di-selatan-Thai#ixzz282SeZ5S3
© Utusan Melayu (M) Bhd 

28 saksi bantu siasatan kes Ketua Pemuda Umno Kepong diserang



Datuk Norizan Ali
Datuk Norizan Ali
AMPANG - Polis mengambil keterangan daripada 28 individu bagi membantu siasatan berhubung kes Ketua Pemuda Umno Kepong, Datuk Norizan Ali, 41, yang parah ditikam dalam kejadian berhampiran rumahnya di Taman Dagang, Ampang, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, keterangan tersebut diambil daripada kakitangan, keluarga, rakan dan jiran yang ternampak insiden itu.

“Polis bagaimanapun belum mengambil keterangan daripada mangsa kerana beliau masih dirawat. Mangsa kini ditempatkan di wad Hospital Ampang dan keadaannya stabil,” katanya.

Menurutnya, polis masih menyiasat motif kejadian dan tidak boleh membuat andaian kerana laporan siasatan belum lengkap.

Dalam kejadian kira-kira 3.30 pagi itu, Norizan, dikatakan baru sahaja keluar dari kereta yang diparkir kira-kira 20 meter dari rumahnya sejurus pulang daripada menonton perlawanan bola sepak di sebuah kedai makan berhampiran, sebelum didatangi dua lelaki dipercayai warga asing yang kemudiannya menikam mangsa.

Tikaman tersebut menyebabkan Norizan cedera parah di perut dan jari tangan.

Mangsa kini masih dirawat di Hospital Ampang.

Pasangan Jepun pilih tradisi adat Melayu



Rakan sekerja Kosenda, Torishima tidak ketinggalan menepung tawar pengantin pada majlis itu.
Rakan sekerja Kosenda, Torishima tidak ketinggalan menepung tawar pengantin pada majlis itu.
KUANTAN - Tempoh dua tahun berada di Malaysia cukup membuatkan pasangan Jepun, Tetsu Kosenda, 28, dan Chiaki Kosenda, 27, jatuh cinta dengan budaya dan adat masyarakat Melayu.

Justeru, mereka memilih untuk mengadakan majlis resepsi perkahwinan bertemakan adat Melayu yang kaya dengan keunikan seperti acara persandingan dan menepung tawar.

Kosenda, yang bekerja sebagai Jurutera Kawalan Kualiti di TDK Lambda Malaysia Sdn Bhd di Jaya Gading melangsungkan perkahwinan dengan pasangannya di Jepun Ogos lalu itu kelihatan sepadan dalam persalinan merah jambu sempena perkahwinan mereka.

Menurutnya, dia memilih mengabadikan kenangan manis perkahwinan dengan isteri tercinta bersama kakitangan syarikat yang terdiri daripada masyarakat Melayu.

“Selain kagum dengan adat Melayu, saya juga suka dengan pakaian pengantin seperti tanjak yang unik.

“Saya gembira apabila majlis perkahwinan saya berlangsung dengan meriah malah turut diraikan rakan sekerja,” katanya ketika ditemui di Kampung Jaya Gading, di sini.

Turut meraikan perkahwinan pasangan ini, Pengarah Urusan TDK Lambda Malaysia Sdn Bhd, Yuzuru Honma dan Jurutera Kanan, Nakazawa.
Kosenda berkata, dia dan isteri masih belum berpeluang berbulan madu namun merancang untuk ke tempat menarik di Malaysia.

Siapa salah bila anda dilanggar lembu?



Datuk Khairul Anwar Rahmat.
Datuk Khairul Anwar Rahmat.
Soal jawab bersama Pengerusi Sukarelawan Peguam Untuk Semua (Sukaguam), Datuk Khairul Anwar Rahmat.
BERITA  mengenai kemalangan jalan raya semakin meningkat. Sekiranya anda terlibat dalam kemalangan, buatlah laporan polis dalam tempoh 24 jam dari masa kejadian. Kemudian, jalani rawatan perubatan dan dapatkan salinan perubatan.

Jika kemalangan itu melibatkan kematian, dapatkan sijil kematian dan apa jua resit perbelanjaan yang telah dibayar. Kemudian segeralah memaklumkan pihak insurans.

Jenis tuntutan

Terdapat tiga jenis tuntutan kemalangan; maut, kecederaan dan rosak kenderaan.Tuntutan ganti rugi kemalangan maut boleh dilakukan isteri / suami/ ibu bapa /anak si mati yang kehilangan tanggungan akibat kematian dalam kemalangan itu.

Perkiraan jumlah tuntutan adalah berdasarkan Seksyen 7 Akta Undang-Undang Sivil 1956.  Faktor yang  menentukan jumlah tuntutan adalah umur si mati, status perkahwinan dan jumlah pemberian si mati kepada keluarganya. Keluarga si mati boleh membuat tuntutan kedukacitaan (bereavement) (Seksyen 7 (3A) berjumlah RM10,000 dengan syarat si mati berusia 18 tahun ke atas dan berkahwin dan jika di bawah 18 tahun dan tidak berkahwin hanya ibu bapa yang berhak.

Untuk kes mangsa mengalami kecederaan, mahkamah memutuskan jumlah tuntutan yang patut diberikan. Ada dua jenis tuntutan, iaitu ganti rugi khas dan ganti rugi am. Ganti rugi khas diberikan atas faktor perbelanjaan yang perlu ditanggung pihak menuntut hasil dari kemalangan itu.Pihak menuntut perlu menunjukkan bukti perbelanjaan yang dikeluarkan seperti resit rawatan hospital.

Ganti rugi am pula seperti ganti rugi kecederaan mata atau kaki yang dikira mahkamah berhubung dengan jumlah yang wajar diberikan untuk kecederaan tertentu. Ini berdasarkan faktor pihak menuntut telah mengalami kesakitan dan penderitaan.

Kecuaian penternak

Tuntutan boleh dilakukan jika mengakibatkan kenderaan rosak merangkumi kos baiki kenderaan, kerugian akibat kehilangan hak penggunaan kenderaan untuk jangka masa yang munasabah dan jumlah kemerosotan nilai harta kenderaan.

Seksyen 96 Akta Pengangkutan Jalan 1987 menetapkan, penanggung insurans adalah pihak bertanggungjawab membayar bagi pihak yang mengambil insurans berkenaan dengan risiko pihak ketiga. Sekiranya kenderaan itu tidak mempunyai insurans, pemilik kenderaan/pemandu sendiri perlu membayar ganti rugi berkaitan kecederaan yang dituntut.

Menurut Akta Had 1953 (Limitation Act) dan Akta Undang-undang Sivil 1956 : tuntutan hendaklah dibuat dalam tempoh ditetapkan. Jika melebihi tuntutan itu dikira tidak sah.

Jika kemalangan tidak melibatkan kematian hendaklah menuntut dalam tempoh enam tahun dari tarikh kemalangan manakala yang melibatkan kematian adalah tiga tahun.

Tuntutan melibatkan kerajaan adalah tiga tahun dari tarikh kemalangan. Kemalangan disebabkan kecuaian penternak atau ternakan yang berkeliaran di jalan raya tertakluk kepada undang-undang penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan.

Contohnya, Majlis Perbandaran Alor Gajah mempunyai Undang-undang Kecil Ternakan Lembu dan Kerbau 1987. Mengikut peruntukan undang-undang itu pemilik boleh dikenakan kompaun sehingga RM250 bagi setiap ekor yang ditangkap dan jika pemilik gagal untuk menjelaskan kompaun itu dalam tempoh tujuh hari, ternakan itu boleh dilelong.

Seseorang yang melakukan kesalahan di bawah mana-mana peruntukan undang kecil ini jika dihadapkan ke mahkamah dan disabitkan dengan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

'Chegubard' fail semula permohonan batal pertuduhan berkaitan Bersih 3.0

KUALA LUMPUR - Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rembau Badrul Hisham Shaharin memfailkan semula permohonan bagi membatalkan tiga pertuduhan terhadapnya berkaitan perhimpunan Bersih 3.0.

Badrul Hisham atau 'Chegubard', 34, menamakan pendakwa raya sebagai responden dalam permohonan yang difailkan melalui Tetuan SN Nair & Partners di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.

Pada 13 Sept lepas, dia menarik balik permohonan sama yang difailkan di pejabat pendaftar Mahkamah Sesyen di sini ketika kesnya disebut di depan Hakim Mahmud Abdullah.

Peguam SN Nair, ketika ditemui pemberita, berkata pihaknya menarik balik permohonan itu kerana Mahkamah Sesyen tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes berkaitan Perlembagaan Persekutuan.

Badrul Hisham didakwa bersama penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden parti itu Mohamed Azmin Ali pada 2 Julai dan 22 Mei berkaitan perhimpunan Bersih 3.0.
  
Pada 2 Julai, dia mengaku tidak bersalah bersubahat dengan R. Tangam, G. Rajesh Kumar dan Farhan Ibrahim melanggar perintah Majistret Zaki Ashraf Zubir bertarikh 26 April, yang melarang sebarang perhimpunan di kawasan Dataran Merdeka antara 28 April dan 1 Mei lepas.

Pada 22 Mei, Badrul Hisham mengaku tidak bersalah menyertai protes jalanan yang melanggar perintah majistret berkenaan, antara 2.30 petang dan 3 petang pada 28 April di Jalan Tun Perak di sini.

Dia juga mengaku tidak bersalah bersekongkol dengan Tangam, Rajesh Kumar dan Farhan dengan menghasut mereka supaya mengalihkan besi penghalang di Jalan Raja di sini pada hari yang sama.

Badrul Hisham didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 188 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(2)(c) Akta Perhimpunan Aman 2012.

Dalam permohonan itu, Badrul Hisham mendakwa perintah Zaki Ashraf tidak sah kerana dikeluarkan di luar bidang kuasa dan/atau ultra vires dengan Akta Perhimpunan Aman 2012 yang berkuat kuasa pada 30 Jan, yang membenarkan perhimpunan secara aman diadakan.

Katanya, pihak berkuasa yang sepatutnya melarang orang ramai mengadakan perhimpunan secara aman ialah polis, dan bukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, seperti yang disebut dalam perintah itu.- Bernama

Ratusan penduduk Libya serah senjata api

Ratusan penduduk Libya serah senjata api
Sebahagian penduduk menyerahkan senjata di Tripoli, Libya
TRIPOLI - Ratusan penduduk Libya berhimpun bagi gencatan senjata api dan pembubaran militan di Benghazi dan Tripoli selepas diarahkan oleh Panglima Angkatan Tentera Libya.

Jurucakap tentera, Kolonel Hussein Abdullah Khalifa berkata, keperluan menyerahkan senjata api itu semakin ketara berikutan serangan ke atas Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Benghazi baru-baru ini yang mengorbankan duta Amerika ke Libya serta tiga wakil kedutaan.

“Jumlah mereka yang tampil menyerahkan senjata memberangsangkan, termasuk senjata ringan, sederhana dan berat serta sejumlah besar peluru dari gudang penyimpanan," katanya.

Di Benghazi, kira-kira 730 senjata ringan, 200 bom tangan, 20,000 peluru dan puluhan kereta kebal diserahkan.

“Beratus penduduk tiba sejak awal pagi untuk menyerahkan senjata mereka membabitkan lelaki, belia dan wanita, termasuk kanak-kanak bagi menyerahkan peluru yang dijumpai di jalan raya,” katanya.

Sesetengah mereka ada yang memandu kenderaan tentera, kereta perisai, kenderaan antipesawat.

Sebelum ini, kerajaan Libya menganggarkan lebih 200,000 penduduknya memiliki senjata api.

Bagi menarik kempen penyerahan senjata anjuran Ziad Hadia itu, kerajaan turut menawarkan pekerjaan kepada penduduk serta membeli senjata mereka. - AFP

Gambar FB al-Quran dibakar cetus kemarahan

DHAKA - Penyiaran sekeping gambar al-Quran terbakar di laman sosial Facebook telah menyebabkan sekumpulan penunjuk perasaan beragama Islam menyerang sebuah perkampungan Buddha di Bangladesh.

Menurut saksi, kumpulan yang marah itu turut membakar rumah dan kuil di daerah Cox Bazar sehingga menyebabkan penduduk kampung berkenaan lari menyelamatkan diri.
Sehubungan itu, pihak berkuasa telah menguatkuasakan perintah berkurung dan pasukan keselamatan mengadakan rondaan di kawasan yang terjejas.
Sementara itu, lelaki yang dituduh menyiarkan imej tersebut diletakkan di bawah jagaan pihak polis.

Mangsa keganasan menyifatkan kejadian terbaru ini satu 'keganasan komunal terancang', yang menyasarkan penempatan penganut Buddha di Bangladesh.
"Sebelum mereka membakar rumah saya, mereka telah merompak segala-galanya.

"Mereka mengambil harta benda, wang, emas dan juga komputer kami. Kini saya hidup di bawah langit terbuka," kata pemastautin tetap, Sumoto Barua.
Keganasan meletus Sabtu lalu dan berterusan sehingga semalam.

Beratus-ratus penunjuk perasaan dikatakan merempuh masuk melalui kawasan kejiranan Buddha dan memecahkan patung, membakar biara serta menyerang rumah penduduk.
Seterusnya, keganasan telah merebak sehingga bandar perlabuhan, Chittagong, di mana kuil Hindu turut diserang.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Mohiuddin Alamgir Khan turut melawat tempat kejadian dan mengutuk keganasan itu.
Beliau menyifatkan insiden itu sebagai 'jenayah terancang' terhadap kaum minoriti.
Pesuruhjaya Daerah Cox Bazar, Jaynul Bari memberitahu BBC, pasukan tentera Bengali turut akan membantu mangsa.

"Kami telah mengedarkan bantuan makanan untuk mereka. Pihak tentera juga akan membekalkan lebih banyak makanan.
"Menteri Dalam Negeri telah mengarahkan supaya semua rumah dan kuil dipulihkan di tapak asal melalui dana yang disediakan oleh kerajaan," katanya.
Pada masa ini, pihak berkuasa telah menambah kawalan keselamatan bagi mengekang keganasan dan perintah berkurung turut dikenakan di kawasan paling teruk terjejas di Ramu, sebuah daerah kecil negara itu.

Banduan suka tarian Gangnam



Manila: Banduan Filipina yang menjadi terkenal kerana meniru gaya tarian Michael Jackson kini turut mengalami demam lagu popular penyanyi Korea Selatan, Psy, dengan menunjukkan aksi tarian Gangnam Style.

Video yang dikirim pihak berkuasa penjara di Cebu ke YouTube menunjukkan kira-kira 1,000 banduan berpakaian seragam jingga melakukan aksi tarian menunggang kuda itu yang dipopularkan penyanyi rap Korea Selatan, Psy. Tiru gaya Psy
Penari utama di tengah memakai baju hitam dan meniru Psy yang kemunculannya baru-baru ini di anugerah MTV di Los Angeles dan rancangan bual bicara Amerika meletakkan lagu itu dalam senarai 10 carta lagu paling popular.

Banduan membuat persembahan itu untuk tontonan pelawat ke Pusat Tahanan dan Pemulihan Cebu meskipun keadaan ketika itu hujan lebat dan klip empat minit itu dimuat naik ke YouTube kelmarin.

Televisyen GMA melaporkan, lebih 1,000 pelawat menyaksikan tarian itu, persembahan pertama banduan sejak Februari lalu apabila pihak berkuasa menghentikan sebarang bentuk pertunjukan disebabkan keganasan di penjara.

Tarian zombie
Banduan terbabit menjadi sensasi internet pada 2007 selepas pihak berkuasa penjara menyiarkan rakaman mereka melakukan tarian zombie dari muzik video Thriller nyanyian Jackson, yang menarik lebih 42 juta tontonan.

Berbeza dengan lagu Jackson itu, banduan penjara itu berlatih hanya tiga hari untuk mempersembahkan Gangnam Style.

Pelancong Belgium yang masuk ke penjara itu bersama pelawat asing lain, Rudy Freemont, memuji persembahan banduan itu.
AFP/Agensi

Serangan meningkat di selatan Thailand



Bangkok: Enam orang terbunuh dan 44 lagi cedera di selatan Thailand akibat letupan bom dan tembakan selepas keganasan meningkat semula di rantau bergolak itu sejak kelmarin.

Dalam keganasan terbaru semalam, seramai 17 orang, seorang daripada mereka anggota polis, cedera apabila dua bom tangan M79 dibaling ke sebuah pesta tempatan di daerah Bacho, Narathiwat. Polis berkata, bom tangan itu dilontar ke arah sekumpulan pekedai yang menjual barangan tempatan di kawasan bertentangan balai polis Bacho pada 7.20 malam.
Kelmarin, lima orang ditembak mati dalam keganasan di tiga wilayah majoriti penduduk Islam di selatan negara itu yang dilanda konflik selama lapan tahun meragut beribu-ribu nyawa.

Di Pattani, penyerang tidak dikenali menembak mati anggota polis Islam, warga tua Buddha berusia 74 tahun dan seorang sukarelawan keselamatan dalam serangan berasingan.

Kejadian tembakan di Yala menyasarkan pasangan suami isteri Buddha dalam perjalanan ke pasar, menyebabkan wanita itu meninggal dunia dan suaminya cedera.

Baling bom tangan
Kejadian sama di Narathiwat menyaksikan seorang lelaki dan isterinya - kedua-duanya sukarelawan keselamatan yang dalam perjalanan ke sesi latihan menembak - ditembak, menyebabkan wanita itu terbunuh manakala suaminya cedera.

Selain itu, suspek militan membaling dua bom tangan ke arah pasar sibuk, menyebabkan kecederaan kepada 23 pengunjung yang cedera ringan.

Di Yala, seorang remaja lelaki Islam berusia 18 tahun ditembak mati di Yala, manakala seorang wanita dan anak perempuannya juga diserang dan dicederakan oleh kumpulan bersenjata dalam kejadian berasingan.

Perjuangan menuntut kuasa autonomi lebih besar menggegarkan selatan Thailand sejak 2004 meragut lebih 5,300 nyawa penduduk Buddha dan Islam disebabkan serangan bom dan tembakan.

Pemisah tembak kedai

Dalam reaksi kepada peningkatan keganasan terbaru, pihak berkuasa Thai berkata mereka memperbaharui rundingan damai dengan pemimpin pemisah.

Serangan terbaru berlaku lebih seminggu selepas sekurang-kurangnya enam maut dan lebih 40 cedera apabila bom kereta meletup di kawasan beli belah sibuk di bandar Sai Buri, Pattani.
AFP

Hukum penghasut kebencian



New York: Pemimpin Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menggesa masyarakat dunia mengharamkan perbuatan menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW kerana ia adalah ucapan menghasut kebencian.

Pengharaman itu akan membolehkan masyarakat dunia menghormati budaya yang berbeza, kata Setiausaha Agung OIC, Ekmeleddin Ihsanoglu, Jika dunia Barat gagal memahami sensitiviti dunia Islam, itu masalah besar. Provokasi seperti itu mengancam keamanan, keselamatan dan nyawa, Kami bukan suruh hentikan kebebasan berucap tetapi sekat ucapan menghasut kebencian, kata Ihsanoglu.
Beliau membuat kenyataan itu selepas bantahan meletus di berpuluh-puluh negara Islam selepas penyiaran filem Innocence of Muslims terbitan warga Amerika Syarikat menghina Nabi Muhammad,

Protes berterusan

Protes terhadap filem itu berterusan sehingga semalam di Bangladesh, Indonesia, Pakistan dan juga Amerika.

Menurut laporan dari Dhaka, beribu-ribu perusuh membakar lima kuil Buddha dan kediaman penduduk di tenggara Bangladesh berhubung gambar dianggap menghina Islam yang disiarkan di Facebook.
Pegawai berkata, kira-kira 25,000 orang membakar kuil Buddha dan berpuluh-puluh rumah di bandar Ramu dan kampung berhampiran, 350 kilometer dari Dhaka.

Perusuh mendakwa gambar menghina al-Quran dimuat naik ke Facebook oleh seorang lelaki Buddha di kawasan itu, kata pentadbir tempatan, Joinul Bari.

Serang rumah penduduk Buddha

Mereka marah dan menyerang rumah penduduk Buddha, membakar dan merosakkan kuil sejak tengah malam hingga pagi semalam. Sekurang-kurangnya 100 rumah rosak. Kami menghubungi tentera dan pengawal sempadan untuk mengawal keganasan, katanya sambil menambah pihak berkuasa mengharamkan perhimpunan di kawasan itu buat sementara untuk mengelakkan pertempuran seterusnya.

Di Jakarta, beribu-ribu penduduk Islam berarak ke kedutaan Amerika bagi membantah filem oleh Nakoula Basseley Nakoula.
AFP/AP

Parti berenang bersama buaya



Tampa Bay: Seorang lelaki Florida menawarkan hiburan unik untuk parti kanak-kanak: berenang bersama buaya.

Dengan bayaran 100 (RM494), Bob Barrett akan membayar seekor anak buaya ke kolam belakang rumah untuk dilepaskan dan berenang bersama anak pelanggan dan kawannya. Bentuk hiburan ini mendapat sambutan hangat. Semua orang suka bermain dengan anak buaya sambil berparti, katanya kepada Tampa Bay Times.
Barrett mengusahakan ladang ternakan haiwan itu yang turut dibuka untuk orang ramai iaitu Alligator Attraction.

Dia mendapat idea hiburan unik itu ketika memikirkan bagaimana mendapat pendapatan lebih baik ketika bisnes lembab pada musim panas.

Jika kamu berusia sembilan, 10 atau 11 tahun, anda sudah mendapat macam-macam hiburan ketika menyambut hari jadi termasuk makan piza atau bergelak ketawa dengan badut.

Anda perlu adakan parti tepi kolam bersama anak buaya. Ia parti paling popular sekarang, katanya lagi.
Barrett menutup mulut anak buaya itu dengan perekat sebelum membawanya ke parti dan menegaskan ia selamat.

Pegawai Suruhanjaya Perlindungan Hidupan Liar dan Ikan Florida mengesahkan Barrett tidak melakukan sesuatu yang menyalahi undang-undang.
Agensi

Lebih 12 juta halimunan, hidup tanpa identiti



Lebih 12 juta halimunan, hidup tanpa identiti
Remaja perempuan Rohingya. - Foto Reuters
Bayangkan anda tidak memiliki negara...

Menetap di sebuah tempat merdeka dan maju, tetapi tidak boleh bersekolah, bekerja atau mendapatkan perkhidmatan kesihatan.

Anda tidak mempunyai kad pengenalan atau lesen memandu dan tidak boleh ke luar negara, sepanjang hayat anda.

Menakutkan? Itu juga perasaan lebih 12 juta orang yang kini hidup menumpang di seluruh dunia, termasuk di Malaysia.

Orang tanpa negara ini seolah-olah tidak wujud di muka bumi, tiada kewarganegaraan, tiada rekod kelahiran dan kematian.

Hanya datang dan pergi begitu sahaja. Mungkin ramai tidak faham mengapa seseorang itu tidak mempunyai negara?

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ada individu kehilangan kewarganegaraan kerana masalah infrastruktur atau konflik di negara sendiri.

Faktor kedua: Diskriminasi. Ini termasuk kes kaum Kurdish Faili di Iraq dan orang Rohingya di Myanmar yang dikecualikan status warganegara oleh kerajaan masing- masing kerana mereka daripada etnik berbeza.

Punca lain adalah pembubaran negara, pembentukan negara baru dan penetapan semula garisan sempadan.

Siapa mereka?

Untuk mengenali siapa dikatakan individu tanpa negara, kes terbaru yang boleh dirujuk adalah kaum Rohingya di Rakhine, Myanmar.

Rohingya adalah antara kumpulan minoriti terbesar di dunia tanpa kewarganegaraan selepas kerajaan Myanmar menarik balik taraf itu bermula 1962 kerana budaya berbeza dengan etnik Burma.

Malangnya, orang Rohingya bukan satu-satunya kaum yang ditindas kerajaan sendiri kerana masalah sama turut berlaku di Iraq, Nepal, dan Eropah.

Menurut Suruhanjaya Tinggi PBB untuk Pelarian (UNHCR), masalah orang tanpa negara paling banyak berlaku di Asia Tenggara, Asia Tengah, Eropah Timur, Timur Tengah dan Afrika.
UNHCR sendiri tidak mempunyai data tepat kerana golongan ini tidak didaftar dan hidup bersembunyi tetapi mengikut jangkaan agensi itu, Estonia, Iraq, Kenya, Latvia, Myanmar, Nepal, Syria dan Thailand mempunyai jumlah orang tanpa negara paling ramai di dunia.

Amerika Selatan pula menjadi contoh jumlah orang tanpa negara paling sedikit kerana kebanyakan negara di wilayah itu memberikan kewarganegaraan secara automatik kepada sesiapa sahaja yang lahir di negara mereka.

Sehingga kini, UNHCR masih cuba untuk membawa keluar golongan ini daripada terus menjadi halimunan, dalam kempen yang dilancarkan sejak setahun lalu.

“Jika kita tidak selesaikan isu orang tanpa negara ini sekarang, masalah ini akan berterusan sampai bila-bila kerana ibu bapa yang tidak mempunyai warganegara tidak boleh mewariskan kewarganegaraan kepada anak mereka.

“Pengasingan dan penindasan ke atas satu kumpulan manusia secara berterusan buat beberapa generasi akhirnya akan menimbulkan tekanan hebat dalam masyarakat dan menjadi punca konflik,” kata Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Pelarian, Antonio Guterres.

Namun usaha untuk menyelesaikan masalah ini sukar kerana orang tanpa negara adalah antara isu yang paling kurang mendapat perhatian masyarakat dunia.

“Dalam media, hanya sedikit perbincangan mengenai hal ini, di universiti pun terlalu sikit kajian. Di PBB sendiri sebelum ini, tidak banyak dibincangkan mengenai isu orang tanpa negara,” kata Mark Manly, ketua unit untuk orang tanpa negara di UNHCR kepada agensi berita kemanusiaan AlertNet milik Reuters.

Apa dikatakan Manly itu terbukti apabila hanya 38 negara telah menandatangani Konvensyen Mengurangkan Orang Tanpa Negara walaupun perjanjian itu telah wujud sejak 51 tahun lalu.

Apa nasib mereka?

Kehadiran orang tanpa negara memburukkan masalah sosial di sesebuah tempat. Dalam kes lebih dahsyat, ia turut mencetuskan peperangan apabila orang yang diketepikan ini mula mengangkat senjata, seperti di Ivory Coast dan Congo.

Golongan ini tidak boleh membuka akaun bank atau berkahwin secara sah. Ada yang ditahan bagi tempoh lama kerana tidak boleh membuktikan siapa diri mereka dan dari mana mereka datang.

Timbalan pesuruhjaya tinggi untuk perlindungan di UNHCR, Erika Feller berkata, orang tanpa negara menjadi mangsa mudah jenayah pemerdagangan manusia, perhambaan, pelacuran, dan buruh paksa kerana tidak dilindungi undang-undang di negara tumpangan mereka.

Persoalannya, sampai bila mereka akan menjadi seolah halimunan sama ada di negara sendiri, atau di negara lain di mana mereka kini menetap?

Apakah kemanusiaan sudah pudar sehingga pihak berkuasa sanggup membiarkan golongan yang menjadi mangsa keadaan ini terus tertindas?

“Amat memalukan apabila jutaan manusia dibiarkan hidup tanpa kewarganegaraan, iaitu hak paling asas bagi seorang manusia. Masalah ini seolah-olah tidak diendahkan. Kita mesti mengubah sikap ini,” kata Guterres.

1,000 banduan menari tarian kuda




PSY (tengah) menari tarian kuda di New York pada 14 September lalu.


MANILA - Seramai 1,000 banduan di Filipina menari tarian kuda yang dipopularkan oleh penyanyi rap Korea Selatan, Psy menerusi lagu Gangnam Style.
Klip video mengenai tarian kuda selama empat minit oleh banduan itu dimuat naik di laman perkongsian video YouTube oleh pihak berkuasa penjara di bandar Cebu kelmarin.
Para banduan tersebut menari di pekarangan penjara Pusat Pemulihan dan Tahanan di Cebu.
Sebahagian daripada banduan tersebut memakai baju berwarna oren.
Sejumlah lagi penari memakai baju berwarna hitam.
Rangkaian televisyen GMA melaporkan, lebih 1,000 orang telah menonton klip video itu di YouTube setakat ini.
Ia merupakan persembahan awam pertama oleh banduan berkenaan sejak Februari lalu.
Banduan-banduan tersebut pernah menjadi terkenal di internet pada 2007 selepas mereka meniru tarian Michael Jackson menerusi klip video Thriller.
Tarian kuda itu kini menjadi popular di kebanyakan negara termasuk di Amerika Syarikat.
Muzik video Gangnam Style itu telah ditonton lebih 324 juta kali di YouTube sejak ia dimuat naik pada 15 Julai lalu. - AFP

Main 'golf rimba' dengan bola tenis




SEORANG peserta yang mengambil bahagian pada permainan 'golf rimba'.


UVALY - Sebuah kelab golf di Republik Czech menganjurkan acara permainan 'golf rimba' bagi peminat sukan itu pada 23 September lalu.
Permainan unik itu menggunakan batang kayu pokok ceri dan bola tenis.
Ia dianjurkan sebuah kelab golf dekat kampung ini sejak sepuluh tahun lalu.
Acara berkenaan diadakan di sebuah hutan sekali gus mencabar kemahiran para pemain. - Agensi

15,000 orang bersenam serentak




SEBAHAGIAN daripada 15,000 orang yang bersenam di Kiev semalam.


KIEV - Kira-kira 15,000 orang bersenam pada waktu pagi di sini semalam sebagai usaha untuk mencipta rekod baharu Guinness World Records.
Menurut pihak penganjur, para peserta itu berusaha mencipta rekod baharu bagi kategori bilangan orang yang paling ramai bersenam pada waktu pagi. - Reuters

Lagi protes di Jakarta



SEBAHAGIAN penunjuk perasaan berhimpun di luar Kedutaan Amerika Syarikat 
di Jakarta semalam.


JAKARTA, Indonesia - Beribu-ribu penunjuk perasaan berarak di sekitar ibu kota Indonesia di sini untuk memprotes filem Innocence of Muslims yang menghina Nabi Muhammad SAW.
Jurucakap polis Jakarta, Kolonel Rikwanto menganggarkan sekurang-kurangnya 5,000 orang menyertai demonstrasi itu yang berlangsung semalam.
Mereka berarak menuju ke Kedutaan Amerika Syarikat (AS) yang dikawal ketat oleh ratusan anggota polis.
Demonstrasi tersebut berlangsung dalam suasana aman.
Tunjuk perasaan tersebut dianjurkan oleh sebuah parti politik berteraskan Islam, Parti Keadilan Sejahtera yang melaungkan slogan anti-AS.
Ramai antara mereka memakai jubah putih dan membawa sepanduk yang membidas kebebasan bersuara di AS.
Protes terhadap filem tersebut turut diadakan di beberapa buah bandar lain di Indonesia baru-baru ini. - Agensi

130,000 tetamu rai pengantin

SEPADAN...Mohd Ridhwan dan Nur Azieha berarak masuk ke Dewan Tun Ali, semalam.
SEPADAN...Mohd Ridhwan dan Nur Azieha berarak masuk ke Dewan Tun Ali, semalam.
HADIR...Siti Nurhaliza dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa turut memeriahkan majlis.
HADIR...Siti Nurhaliza dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa turut memeriahkan majlis.
MELAKA: Kira-kira 130,000 tetamu memeriahkan majlis perkahwinan anak sulung Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam di Dewan Tun Ali, Bukit Katil, di sini, semalam, sekali gus mencatatkan jumlah kehadiran teramai dalam majlis perkahwinan diadakan.
Perkara itu disahkan wakil Malaysia Book of Records (MBR) yang turut berada di majlis berkenaan dan sijil disampaikan wakil MBR, Zulhairi Md Zin kepada Mohd Ali pada jam 5.30 petang.

Persandingan Mohd Ridhwan, 26, dan Nur Azieha Mohd Ali, 26, berlangsung dengan penuh meriah.

Keberangkatan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah turut menyerikan lagi majlis persandingan pasangan pengantin baru itu.

Antara tetamu kehormat yang hadir adalah Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob dan isteri, Toh Puan Zurina Kassim: Tengku Syarif Temenggung Perlis, Datuk Seri Diraja Syed Amir Abidin Tuanku Syed Putra Jamalullail dan isteri, Che Puan Temenggung Perlis, Datin Seri Diraja Farinawati Mohamat Din dan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Wira Othman Muhamad dan Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Mohammad Azlan Abdullah.


Sultan Sharafuddin berangkat merenjis air mawar terhadap pasangan yang segak dan anggun dengan busana berwarna kelabu serta perang itu.

Majlis dihiburkan dengan dendangan penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza.

Pasangan itu bertunang pada 3 September 2011 dan diijab kabul pada Jumaat lalu di Kampung Merlimau Pasir, Jasin, di sini. Mohd Ridhwan yang memiliki Ijazah Kejuruteraan Elektrik dari University of Auckland, New Zealand bekerja sebagai jurutera manakala Nur Azieha yang memiliki Ijazah Perubatan dari Crimea State Medical University, Ukraine, berkhidmat sebagai doktor di Hospital Selayang, Selangor.

Cermin kereta dinaiki Salahudin dipecah



Hazayani Zakaria,30 Sep 2012
KUALA LUMPUR: Cermin kereta Pengerusi Institut Peduli Rakyat, Datuk Seri Abdul Rahman Maidin dipecahkan manakala dua tayar ditoreh di Sungai Rengit, Pengerang tengah hari tadi.

Perbuatan khianat itu dipercayai dilakukan oleh kumpulan yang tidak senang dengan Himpunan Hijau Lestari Pengerang di Dataran Sungai Rengit pagi tadi.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub yang turut menaiki kereta tersebut bersama Abdul Rahman berkata, perkara itu disedari ketika mereka selesai menunaikan solat Zuhur di masjid berdekatan.

"Kita percaya ada pihak yang tidak berpuas hati dengan tindakan penduduk mengadakan perhimpunan hari ini sebab itu melakukan perbuatan khianat ini," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Bagaimanapun laporan polis belum lagi dibuat berhubung kejadian itu.

Salahuddin yang juga Pengerusi Badan Bertindak Pengambilan Tanah Pengerang (Mantap) sementara itu berkata, himpunan yang dihadiri kira-kira 5,000 penduduk pagi tadi berlangsung dalam keadaan aman dan dikawal polis walaupun pelbagai ugutan diterima.

"Banyak ugutan yang kita terima termasuk sms, panggilan telefon berbentuk amaran agar kita tidak meneruskan himpunan,"
katanya.

Selain itu, kereta yang dinaiki aktivis Hishamuddin Rais pula disimbah asid.

Himpunan pagi tadi bagi membantah Projek Bersepadu Penapisan dan Petrokimia Petronas (Rapid) melibatkan 22,500 ekar tanah serta kira-kira 28,000 penduduk dari 17 perkampungan nelayan dan tradisi di kawasan perairan Pengerang.

Gambar Pak Lah tersalah parking, terhangat



Harakahdaily,30 Sep 2012

KUALA LUMPUR: Gambar Tun Abdullah Badawi bersama Tengku Razaleigh Hamzah dan bersama banner tuntutan ROYALTI ‘R’  paparan Kedahkini ialah artikel paling popular di Facebook dan Twitter Harakahdaily bagi minggu ke 39.

Di tangga kedua adalah sekeping gambar menunjukkan ‘kekejaman’ negeri Selangor dalam pemberian air percuma yang dipaparkan http://shalehudin.blogspot.com .

Berita Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan isu penggunaan jet peribadi ketika beliau ke Sabah dan Sarawak pula menduduki tempat ketiga.

Artikel blog menempelak double standard Datuk Seri Ahmad Zahidi mempersoalkan penggunaan jet peribadi oleh pemimpin Pakatan Rakyat tetapi tidak ketika belliau menaikkan jet peribadi ke Mekah ni pula menduduki tangga keempat.

Di tangga kelima ialah perbandingan gambar bersalaman antara seorang pemimpin Pakatan Rakyat dengan “pemimpin besar” daripada Barisan Nasional oleh blog http://kachipemas.blogspot.com

Berikut ialah 10 artikel terhangat Facebook dan Twitter Harakahdaily bagi minggu, 23 September hingga 29 September, 2012.