Showing posts with label birokrasi. Show all posts
Showing posts with label birokrasi. Show all posts

Sunday, August 14, 2011

Hasrat kahwin warga China terhalang kerana birokrasi




ABDUL Rahman Abu Talib (kanan) dan Roslinda Zheng menunjukkan surat pengesahan Imigresen dan surat permohonan kebenaran bernikah kepada Hassan Rahman di Sungai Rambai, Jasin, semalam.


JASIN 13 Ogos - Hasrat seorang lelaki tempatan, Abdul Rahman Abu Talib, 24, untuk bernikah dengan seorang wanita warganegara China terhalang kerana masalah birokrasi Kedutaan Besar China di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Menurutnya, kakitangan kedutaan tersebut seperti enggan melayan permohonan bakal isterinya, Zheng Xian atau nama Islamnya, Roslinda Cheng, 25, yang mahu mendapatkan pengesahan permohonan pernah bernikah dan bercerai di China.
Malah katanya, Mahkamah Rendah Syariah Jasin telah mengeluarkan surat memohon kebenaran bernikah bagi Roslinda yang berasal dari Wilayah Fujian untuk urusan wali hakim kepada kedutaan itu pada 10 Ogos lalu dan ia juga tidak dipedulikan oleh pihak terbabit.
''Saya dan bakal isteri telah pergi ke pejabat kedutaan itu pada 4 dan 11 Ogos lalu bagi mendapatkan pengesahan tetapi malangnya tidak dipedulikan walaupun semua dokumen yang diperlukan turut disertakan," katanya kepada Mingguan Malaysia di Kompleks Jawatankuasa Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Japerun) Sungai Rambai di sini, hari ini.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Datuk Hasan Rahman.
Menurut Abdul Rahman yang berasal dari Kampung Parit Penghulu di sini, dokumen yang disertakan ialah surat dari pejabat Imigresen Malaysia yang mengesahkan kemasukan Roslinda ke Malaysia melalui pas lawatan sosial, surat memeluk agama Islam dan surat pengesahan cerai dari pejabat agama Islam Xiamen.
''Saya benar-benar kecewa dengan sikap pihak kedutaan yang tidak memberikan kerjasama. Sepatutnya tidak timbul sebarang masalah untuk kami bernikah," ujarnya.
Sementara itu Hasan berkata, beliau akan bertemu dengan Duta China ke Malaysia, Chai Xi minggu depan bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh Roslinda dan Abdul Rahman.
''Jika Kedutaan China gagal memberikan kerjasama, mungkin saya terpaksa meminta bantuan Kementerian Luar untuk campur tangan bagi membantu pasangan ini," ujarnya.-utusan

Friday, June 3, 2011

Banyak birokrasi daftar TASKA


Pengusaha berdepan syarat ketat PBT, bayar yuran perunding RM10,000


KUALA LUMPUR: Kerenah birokrasi pihak berkuasa tempatan (PBT) dikenal pasti sebagai punca utama kegagalan pengusaha taman asuhan kanak-kanak (TASKA) mendaftarkan perniagaan masing-masing hingga beroperasi tanpa lesen.
Wakil Persatuan TASKA Selangor, Azlina Johari, berkata ini kerana pengusaha TASKA terpaksa berhadapan dengan beberapa syarat ketat ditetapkan PBT khususnya di Shah Alam selain perlu membayar yuran sehingga mencecah RM10,000 kepada perunding dilantik mereka (PBT).
Katanya, perunding itu bertanggungjawab melukis pelan bangunan bakal beroperasi sebagai TASKA kadang-kala prosesnya mengambil masa kira-kira tiga bulan.

“Pelan bangunan ini adalah antara syarat perlu dipatuhi semua pengusaha TASKA sebagai proses penukaran status kediaman kepada premis perniagaan..., kita melihat yuran yang dikenakan PBT itu amat mahal sehingga membebankan pengusaha.

“Kita juga tidak boleh melantik perunding sendiri sebaliknya terpaksa berurusan dengan mereka (perunding) ditetapkan oleh PBT saja..., selain kekerapan pertukaran kakitangan PBT juga menyukarkan kelicinan proses permohonan lesen TASKA,” katanya semalam.

Terdahulu, Azlina menghadiri sesi dialog disertai lebih 200 pengusaha TASKA Wilayah Persekutuan dan Selangor bersama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Hadzir Md Zain.
Sementara itu, Shahrizat turut mengakui kerenah birokrasi PBT menjadi punca sebilangan besar pengusaha TASKA gagal mendapat lesen daripada JKM untuk menjalankan operasi mereka.

“Maklum balas saya terima daripada sesi dialog hari ini (semalam), kebanyakan pengusaha memberitahu mereka hanya berhadapan masalah dengan PBT, manakala urusan bersama Jabatan Kesihatan dan Jabatan Bomba dan Penyelamat amat mudah,” katanya.
Berita Harian Online | Banyak birokrasi daftar TASKA