Friday, April 1, 2011

Lebih 19,000 kes penyakit Tibi dikesan di Malaysia tahun lalu



01/04/2011 4:55pm

KUALA LUMPUR 1 April – Sebanyak 19,337 kes penyakit batuk kering atau Tuberkulosis (Tibi) dikesan di Malaysia sepanjang tahun lepas.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, berikutan kadar notifikasi kes pada tahun lepas ialah 66.9 bagi setiap 100,000 penduduk negara ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengklasifikasi Malaysia sebagai negara beban penyakit sederhana.
Justeru beliau menyeru setiap individu supaya peka terhadap tanda-tanda awal penyakit itu seperti batuk, demam, susut berat badan yang ketara dan berpeluh pada waktu malam.
"Mereka yang menghidap kencing manis, perokok dan mengambil alkohol secara berlebihan pula mempunyai risiko yang tinggi mendapat penyakit itu,” katanya dalam perutusan sempena Hari Tibi Sedunia.
Beliau meminta individu yang mempunyai satu daripada tanda-tanda atau mempunyai risiko tinggi menghidap penyakit itu supaya mendapatkan pemeriksaan kesihatan dengan segera bagi mencegah perebakan.
Beliau berkata setiap individu yang mendapat rawatan harus mematuhi arahan rawatan dalam jangka masa sekurang-kurangnya enam hingga lapan bulan.
Adalah amat merbahaya sekiranya pesakit tidak mengambil ubatan seperti yang diarahkan kerana ini akan mengakibatkan kuman Tibi kebal terhadap ubat, katanya.
Liow berkata penyakit Tibi boleh membawa maut jika pesakit tidak mendapat rawatan yang sempurna manakala rawatan sempurna boleh menyembuhkan penyakit itu di samping dapat menjamin ia tidak menular kepada orang lain.
"Kerajaan memberi komitmen yang tinggi dalam usaha membanteras penyakit Tibi dengan memastikan rawatan penyakit itu di semua kemudahan kesihatan awam diberikan secara percuma,” katanya.
Liow berkata kuman Tibi merebak melalui udara apabila pesakit Tibi batuk dan WHO melaporkan terdapat 9 juta kes baru jenis berjangkit di seluruh dunia setiap tahun dan sekurang-kurangnya 4,700 kes kematian akibat Tibi dilaporkan setiap hari. - Bernama
Utusan Malaysia Online - Terkini

Harga petrol RON97 naik 20 sen





2011/04/01

KUALA LUMPUR: Harga petrol RON97 akan naik 20 sen kepada RM2.70 seliter berkuatkuasa tengah malam ini.

Timbalan Presiden Persatuan Penjual Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Datuk Zulkifli Mokti, berkata kenaikan harga itu bagaimanapun tidak membabitkan petrol RON 95 dan bahan api lain.
Zulkifli berkata, peningkatan sebanyak 20 sen itu berikutan kenaikan harga minyak mentah di pasaran dunia kepada AS$114 setong minggu ini berbanding AS$105 minggu lalu.
"Kenaikan harga minyak mentah itu berikutan krisis di Asia Barat," katanya ketika dihubungi di sini.

Zulkifli juga berkata, harga minyak mentah dijangka terus meningkat berikutan situasi di Asia Barat itu yang mungkin berterusan.

Pada 31 Januari lalu, harga RON 97 yang diapungkan mengikut harga pasaran semasa meningkat 10 sen kepada RM2.50 seliter. - BERNAMA 

Malek Noor bertambah baik, boleh bercakap

Berita Harian Online | Malek Noor bertambah baik, boleh bercakap: "

2011/04/01

IPOH: Keadaan bekas jaguh bina badan negara, Datuk Malek Noor yang dirawat di Wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pantai Ipoh kerana sakit jantung, kini bertambah baik dan sudah boleh bercakap sebentar tadi.

Adiknya, Mohd Salleh, 49, berkata abangnya menyatakan rasa syukur dan menitiskan air mata apabila melihat adiknya di sisi.

Bagaimanapun, katanya, abangnya itu tidak banyak berkata-kata selain ada perkataan yang tidak jelas kerana masih lemah dan perlu banyak berehat."

Menteri Luar letak jawatan



TENTERA pemberontak lari menyelamatkan diri semasa dibedil oleh tentera setia kepada Muammar Gaddafi dekat Brega di timur Libya, semalam. – REUTERS


LONDON 31 Mac – Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi menerima satu lagi tamparan apabila Menteri Luar, Mussa Kussa tiba di Britain lalu memberitahu pegawai-pegawai di sini bahawa beliau meletakkan jawatan dan tidak mahu lagi mewakili rejim di Tripoli.

Kussa tiba di Lapangan Terbang Farnborough, barat London, semalam.

“Beliau datang ke sini dengan kerelaan sendiri dan memberitahu kami, beliau meletakkan jawatan,” menurut satu kenyataan Jabatan Luar Britain.

Kenyataan itu menggambarkan Kussa sebagai seorang tokoh paling kanan dalam kerajaan Gaddafi dan berperanan mewakili rejim di peringkat antarabangsa, sesuatu yang beliau tidak lagi sanggup melakukannya.

“Kami menggalakkan mereka yang berada di sisi Gaddafi supaya meninggalkannya dan menerima masa depan lebih baik untuk Libya bagi membolehkan peralihan politik dan pembaharuan sebenar yang memenuhi aspirasi rakyat Libya,” menurut kenyataan itu.

Kussa, 59, tiba di London dari Tunisia, di mana beliau tinggal selama dua hari setelah memasuki negara jiran itu mengikut pintu sempadan Ras Jdir.

Tripoli dalam kenyataan rasmi menggambarkan lawatannya ke Tunisia sebagai ‘lawatan peribadi’.

Kemudian apabila beliau dilaporkan dalam perjalanan ke London, pihak berkuasa Libya berkata, beliau menjalankan ‘misi diplomatik’.

Peletakan jawatan Kussa adalah tamparan terbaru kepada rejim Gaddafi, selepas beberapa anggota kanannya termasuk menteri dan pegawai kanan tentera berpaling tadah sejak pemberontakan menentang pemerintahannya bermula lebih sebulan lalu.

Selaku Menteri Luar sejak Mac 2009, Kussa memainkan peranan penting dalam usaha Libya untuk menggilap reputasinya di peringkat antarabangsa sebelum berlaku krisis sekarang, termasuk dengan meyakinkan Gaddafi supaya membubarkan program nuklear Libya.

Sementara itu di Brussels, Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) mengetuai semua operasi di Libya mulai 0600 GMT hari ini (2 petang waktu Malaysia), dengan mengambil alih peranan itu daripada tentera bersekutu pimpinan Amerika Syarikat (AS) yang melancarkan serangan udara ke atas tentera Muammar Gaddafi sejak 19 Mac lalu.

Pakatan 28 negara itu mengambil alih kuasa pemerintahan ke atas operasi udara antarabangsa di Libya, kata Setiausaha Agung NATO, Anders Fogh Rasmussen. – AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Pilihan raya Mesir November ini


KAHERAH 31 Mac - Selepas mengumumkan pilihan raya Parlimen pada September ini, Majlis Angkatan Bersenjata Mesir mengumumkan pula pilihan raya Presiden negara ini akan diadakan menjelang November.

Pengumuman itu dibuat semalam, 10 hari selepas pengundi Mesir hampir sebulat suara menyokong pindaan Perlembagaan sebagai sebahagian pakej pembaharuan.
Pertubuhan politik di Mesir termasuk yang baru muncul mempunyai tempoh lapan bulan untuk mengatur langkah bagi menyertai pilihan raya Presiden yang pertama sejak penyingkiran Hosni Mubarak Februari lalu.
Bagaimanapun ramai pengkritik khuatir pilihan raya begitu cepat akan memberi kelebihan besar kepada pertubuhan politik paling tersusun di negara ini, iaitu Ikhwan Muslimin serta tokoh daripada bekas parti pemerintah.
Kuasa politik baru muncul, terutama di kalangan belia yang terlibat dalam pemberontakan menjatuhkan rejim Mubarak, akan menghadapi kesuntukan masa untuk membuat persiapan.
Pemerintah tentera turut mengumumkan Perlembagaan sementara 62 perkara bagi menggantikan Perlembagaan yang digantung berikutan kejatuhan rejim Mubarak pada 11 Februari lalu.
Dengan menetapkan jadual waktu untuk pilihan raya Parlimen dan Presiden, tentera menunaikan komitmennya untuk menyerahkan kuasa kepada sebuah kerajaan awam demokratik secepat mungkin.
Pilihan raya Presiden itu dijadual berlangsung sebulan dua selepas pilihan raya Parlimen pada September ini, menurut tentera.
Ramai tokoh sudah pun mengumumkan rancangan untuk bertanding dalam pilihan raya Presiden, termasuk bekas Ketua Pengarah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Mohamed ElBaradei, Setiausaha Agung Liga Arab, Amr Moussa dan ahli politik veteran pembangkang, Hamdeen Sabahi.
Pertubuhan paling tersusun di Mesir, Ikhwan Muslimin, bagaimanapun tidak akan mengemukakan calon dalam pilihan raya Presiden. - AP
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Arnold Schwarzenegger kembali ke dunia lakonan dalam Governator

Utusan Malaysia Online - Luar Negara: "

NEW YORK 31 Mac – Setelah meninggalkan jawatan gabenor California yang dipegangnya selama dua penggal, pelakon terkenal Hollywood, Arnold Schwarzenegger akan kembali ke dunia lakonan bersama siri animasi TV baru.

Menurut sebuah syarikat usaha sama, Squared Entertainment, siri yang akan diterbitkan itu adalah berunsur kartun aksi komedi dikenali sebagai The Governator.

Ia akan menceritakan mengenai kehidupan seorang superhero sebagai manusia biasa, Schwarzenegger akan menyumbangkan suaranya untuk watak tersebut.

Legenda komik, Stan Lee yang juga merupakan rakan kongsi dalam projek tersebut, akan membuat pengumuman rasmi pada Isnin ini di pameran perdagangan MIPTV di Cannes, Perancis.

Siri animasi tersebut dijangka memulakan bahagian pertamanya tidak lama lagi termasuk penerbitan siri komik dan filemnya. – AP"

Militan guna bom desak kerajaan Indonesia



JAKARTA 31 Mac – Ketua Agensi Antikeganasan Indonesia, Ansyaad Mbai berkata, militan di negara ini kini menggunakan bom bungkusan dan menyerang golongan minoriti dalam usaha memaksa kerajaan melaksanakan agenda Islam, dan mereka berupaya melancarkan lagi serangan kecil-kecilan.
Serangan militan dan insiden yang didorong oleh sikap tidak toleransi meningkat dalam beberapa minggu lalu, termasuk orang ramai membunuh tiga anggota pertubuhan ajaran sesat, Ahmadiyah dan membakar dua buah gereja di pulau Jawa.
Bom di dalam bungkusan telah dihantar kepada mereka yang terlibat dalam menggalakkan fahaman pluralisme dan memerangi keganasan di Jakarta.
Ansyaad berkata, pertubuhan Islam yang sebelum ini tidak terlibat dalam kegiatan militan kini menyertai sebuah rangkaian militan di Indonesia kerana mereka mempunyai persefahaman mengenai isu tertentu.
“Keganasan ialah politik kerana motifnya ialah politik dan matlamat rangkaian militan ternyata untuk mempengaruhi dasar politik,” kata Ansyaad dalam wawancara di pejabatnya di sebuah bangunan bekas penjajah di tengah ibu negara ini.
Beliau mendakwa kumpulan-kumpulan radikal mengenakan tekanan ke atas kerajaan supaya memenuhi tuntutan untuk membubarkan Ahmadiyah, pertubuhan yang disahkan sebagai sesat oleh para pemimpin Islam di negara ini.
Anggota Barisan Pembela Islam (FPI) yang dikenali kerana melancarkan operasi merosakkan kelab malam tetapi tidak dianggap sebagai kumpulan pengganas, mengancam untuk melancarkan revolusi jika Ahmadiyah tidak diharamkan.
Ansyaad berkata, gerakan berhaluan Islam di negara sekular ini akan bertambah berpengaruh jika kerajaan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono, yang tidak mempunyai pendirian jelas berhubung isu itu, tunduk kepada tuntutan FPI.
“Presiden berkata kita tidak boleh ditundukkan oleh keganasan, tetapi saya berpendapat jika Ahmadiyah diharamkan, negara ini sudah tunduk,” kata Ansyaad.
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

3 dipanggil siasat komik lucah

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri: "

KUALA LUMPUR, 31 Mac - Polis telah memanggil tiga individu bagi membantu siasatan berhubung penyebaran komik 16 muka surat mengandungi imej-imej lucah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dihantar kepada penduduk di kawasan Lembah Pantai di sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zulkifli Abdullah memberitahu hari ini, salah seorang individu itu adalah pengadu, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan dua lagi individu yang turut dipanggil memberi keterangan dan membantu siasatan kes itu.

'Siasatan telah dimulakan namun masih di peringkat awal dan kita juga telah merakamkan percakapan saksi bagi aduan terbabit.

'Kita akan maklum perkembangan nanti apabila siasatan telah selesai,' jelasnya ketika sidang akhbar selepas perasmian Kelab Toastmasters di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini hari ini.

Kelmarin Nurul Izzah hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini, untuk membuat laporan berhubung penyebaran komik bertajuk 'Kisah Juara Raja Lawak' itu yang diterimanya melalui sebuah Pejabat Pos di Shah Alam.

Difahamkan, terdapat beberapa nama dikaitkan dengan Anwar turut dimasukkan dalam komik berkenaan.

habis"

421,800 penganggur setakat Januari 2011


KUALA LUMPUR 31 Mac - Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam (gambar)berkata, bilangan penganggur dalam negara setakat Januari lalu ialah 421,800 orang atau mewakili kadar 3.4 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia.

Katanya, kadar itu tetap membolehkan Malaysia diisytiharkan mencapai tahap guna tenaga penuh kerana dalam piawaian antarabangsa, sesebuah negara itu mencapai tahap sedemikian apabila kadar pengangguran berada di bawah empat peratus.
"Oleh yang demikian, walaupun sesebuah negara itu diisytihar sebagai guna tenaga penuh, ia tidak bermaksud bahawa tiada penduduk yang tidak mempunyai pekerjaan," katanya ketika menjawab soalan M. Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Kulasegaran ingin tahu mengapa Malaysia diisytiharkan mencapai tahap guna tenaga penuh walaupun masih terdapat ramai penganggur dalam negara serta apakah langkah kerajaan bagi mengurangkan kadar pengangguran tempatan.
Subramaniam menjelaskan, seseorang graduan gagal mendapat pekerjaan kerana faktor seperti kurang permintaan terhadap bidang pengajian yang telah mereka ikuti dan banyak majikan menetapkan pengalaman bekerja sebagai salah satu syarat pelantikan.
Selain itu, katanya, ada graduan tempatan kurang mahir berkomunikasi selain lemah menulis dan bertutur dalam bahasa Inggeris.
Bagi bukan graduan pula, menurutnya, mereka didapati mempunyai sikap terlalu memilih pekerjaan, mengharapkan gaji tinggi, kurang maklumat mengenai peluang pekerjaan dan tawaran gaji yang diterima tidak sepadan dengan kos sara hidup.
"Kerajaan antaranya telah membuka 12 pusat jobsMalaysia Center di seluruh negara pada setiap Sabtu mulai 8 pagi hingga 5 petang dan merancang 143 Program Penempatan Pekerjaan di seluruh negara.
Katanya, kementerian turut memperkenalkan Peraturan-Peraturan Kerja (Pekerja Separa Masa) 2010 bagi menggalakkan penyertaan golongan sasar di luar tenaga buruh untuk menyertai pasaran kerja.
Utusan Malaysia Online - Parlimen

30 peniaga buat laporan SPRM




MOHD. Zaman Yusoff (kiri) bersama peniaga Pasar Lama MPKB membuat aduan di Ibu Pejabat SPRM Kelantan, Kota Bharu, semalam. – UTUSAN/ROSNI MASRI


KOTA BHARU 31 Mac – Kira-kira 30 peniaga Pasar Lama MPKB membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggesa siasatan dibuat berhubung transaksi wang bernilai RM44.8 juta membabitkan urusan jual beli pasar itu, Bazar Tengku Anis dan Bazar Tok Guru.
Peniaga terbabit mendakwa, transaksi tersebut menimbulkan tanda tanya memandangkan kerajaan Pas Kelantan dikatakan telah menjual Pasar Lama MPKB dengan nilai RM3.8 juta kepada sebuah syarikat swasta dan pada masa sama membeli tingkat satu Bazar Tengku Anis dengan harga terlalu tinggi iaitu RM18 juta untuk menempatkan mereka di situ.
Mohd. Zaman Yusoff yang mengetuai kumpulan peniaga terbabit berkata, Bazar Tok Guru yang asalnya dibangunkan oleh Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) tetapi akhirnya terpaksa dibeli balik daripada pemaju swasta dengan jumlah RM23 juta juga perlu disiasat.
“Kami mahu tahu kenapa kerajaan Pas Kelantan jual Pasar Lama MPKB tapi beli Bazar Tengku Anis dengan harga sangat tinggi untuk tempatkan peniaga yang asalnya berniaga di Pasar Lama MPKB.
“Lepas itu tanpa pasal-pasal boleh pula beli Bazar Tok Guru berharga RM23 juta, sedangkan asalnya memang milik kerajaan Pas Kelantan. Kenapa perlu beli balik,” tegasnya ketika ditemui di pekarangan pejabat SPRM Kelantan di sini, hari ini.
Polemik membabitkan para peniaga Pasar Lama MPKB dan kerajaan Pas Kelantan berhubung isu Bazar Tok Guru merupakan masalah yang telah tercetus sejak dua tahun lalu ekoran kelemahan kerajaan negeri.
Pembinaan bazar itu paling menarik tumpuan apabila Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebelum ini mengakui bahawa kerajaan Pas Kelantan telah melakukan kesilapan sehingga menanggung kerugian besar dalam pembinaannya.
Nik Abdul Aziz dilaporkan berkata, pihaknya terpaksa menebus balik bangunan yang sebelum ini diserahkan kepada PMBK, diserahkan pula kepada sebuah syarikat swasta untuk dibangunkan. Kerugian dikatakan kira-kira RM50 juta.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Operasi SPRM Kelantan, Che Aziz Hamzah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut pukul 10.53 pagi.
Utusan Malaysia Online - Jenayah

Bergetar hati isteri


NGERI...mayat mangsa tersepit dalam kereta.
NGERI...mayat mangsa tersepit dalam kereta.


GUA MUSANG: “Saya pelik apabila arwah suami kelihatan tergesa-gesa keluar rumah kira-kira jam 8 pagi sambil memberitahu mahu ke Kuala Krai melalui Jeli.
Sebelum ini, arwah tidak pernah memberitahu arah tujuannya jika keluar rumah, tetapi sentiasa pulang awal, sekurang-kurangnya sebelum jam 4 petang.

“Hari itu (kelmarin), saya berasa tidak sedap hati apabila suami tidak pulang selepas jam 4 petang dan langsung tidak menghubungi saya. Rupa-rupanya arwah maut dalam kemalangan,” kata Wan Rosmah Wan Harun, 29, isteri kepada seorang pengawal keselamatan, Sa’ade Mohd Nor, 38, yang maut dalam kemalangan ngeri membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 47.9 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, berhampiran Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh Satu di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, Sa’ade yang menetap di Jalan Kesedar Inn di sini, terbunuh di tempat kejadian selepas kereta Perodua Kancil dipandunya merempuh sebuah treler pengangkut kenderaan sebelum ‘dilenyek’ sebuah lori kontena dari arah belakang.

Kemalangan itu turut mengorbankan rakan Sa’ade, seorang peniaga kedai makan, Mat Dahri Yusoof, 35. Turut maut, pemandu lori kontena dari Pedas, Negeri Sembilan, Muhammad Fathimy Hassan, 29, yang hampir putus kepala.


Difahamkan, kemalangan berlaku selepas pemandu treler pengangkut kenderaan itu membrek kenderaannya secara mengejut selepas menyedari sebuah lori yang sarat muatan tong gas rosak di hadapannya.

Akibatnya, kereta dipandu Sa’ade merempuh treler berkenaan sebelum sebuah lori kontena di belakang merempuh pula kereta Perodua Kancil itu. Pemandu treler tidak cedera, manakala kelindan lori kontena, Mohamad Zukhairi Baharom, 23, juga Pedas, Negeri Sembilan, cedera selepas tercampak keluar.

Wan Rosmah berkata, dia mengetahui kejadian menimpa suaminya selepas diberitahu rakan suaminya kira-kira jam 9 malam.

“Kini, terpaksalah saya membesarkan tiga anak yang masih kecil,” katanya yang turut memberitahu suaminya sempat menghantar salah seorang anaknya ke sekolah tadika.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Aziz Hassan, ketika dihubungi mengesahkan kemalangan membabitkan tiga kematian itu.


Katanya, 10 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang diketuai Pegawai Penjaga, Che Rusli Che Sulaiman mengambil mangsa hampir sejam untuk mengeluarkan dua mayat yang tersepit.
myMetro | Bergetar hati isteri

Korek kubur cari bijih

IPOH: Sebuah syarikat dikesan menceroboh dan melombong secara haram di kawasan tanah perkuburan Islam semata-mata untuk mendapatkan bijih besi.
Lebih biadab, syarikat berkenaan juga tidak gentar dan mempedulikan bantahan Jawatankuasa Tanah Perkuburan Rapat Setia (JTPRS) di sini dan sudah melakukan kegiatan berkenaan sejak Ogos tahun lalu.

Perkara itu didedahkan Pengerusi JTPRS, Mohd Mokhtar Saidin yang kesal dengan tindakan tidak bertanggungjawab syarikat berkenaan.

“Biarpun kegiatan dilakukan jauh dari kubur, ia tetap satu perbuatan tidak bermoral dan bertanggungjawab kerana kawasan yang diceroboh itu masih dalam kawasan tanah perkuburan yang seluas 6.9 hektar.

“JTPRS pernah membantah tindakan syarikat terbabit tapi mereka hanya berhenti sementara sebelum menyambung aktivitinya kembali,” katanya, semalam.


Selepas lama bersabar, beliau berkata, JTPRS dan lebih 200 penduduk berhampiran sepakat mengusir syarikat berkenaan dari tanah perkuburan itu, semalam.

Operasi pengusiran itu turut dihadiri wakil Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) dan beberapa anggota polis bagi mengelak berlaku sebarang kejadian tidak diingini.

Bagaimanapun, apabila diminta mengulas lebih lanjut, wakil syarikat terbabit mendakwa berani bertindak kerana mendapat ‘lampu hijau’ daripada Jaip.

Mohd Mokhtar berkata, masalah timbul apabila syarikat berkenaan tidak menepati perjanjian asal dibuat iaitu menjalankan kegiatan pertanian dan penternakan ikan.

“Jaip dan JTPRS sebelum ini pernah mengadakan perjanjian dengan sebuah syarikat untuk mengusahakan aktiviti pertanian dan penternakan.


“Tapi terdapat kesilapan dalam surat perjanjian itu dan perlu diperbetulkan semula menyebabkan ia terpaksa ditangguhkan. Namun, tanpa pengetahuan kami, syarikat itu melalui anak syarikatnya menjalankan kerja di tanah perkuburan sedangkan perjanjian belum ditandatangani,” katanya.


Katanya, syarikat berkenaan turut memperdaya Setiausaha JTPRS dengan memintanya mengeluarkan surat sokongan bagi mendapatkan permit mengusahakan tanah berkenaan bagi tujuan pertanian.


Menurutnya, ia alasan semata-mata kerana syarikat berkenaan tidak pernah melakukan kegiatan pertanian dan selepas permit berakhir pada Oktober lalu, sebaliknya mereka masih meneruskan kerja menggali bijih besi.


“Perjuangan JTPRS bersama penduduk untuk mengusir pihak syarikat terbabit sejak lima bulan lalu akhirnya berjaya dilakukan hari ini (semalam) tanpa sebarang kejadian tidak diingini.


“Kami berharap kejadian ini tidak berulang dan meminta pihak berkuasa supaya memandang serius apabila menerima aduan mengenai perkara seumpamanya pada masa depan kelak,” katanya.

myMetro | Korek kubur cari bijih

Menteri Luar Libya paling tadah


LONDON: Menteri Luar Libya semalam disoal siasat olah pegawai Britain selepas beliau berpaling tadah secara mengejut.
Penentang pemimpin Libya melihat perkembangan itu sebagai tanda bahawa rejim Muammar Gaddafi semakin goyah.

Pejabat Luar Britain berkata, Mussa Kussa, bekas Ketua Perisik dan pernah menjadi duta negaranya ke Britain, tiba di Lapangan Terbang Farnboroughm barat daya London, kelmarin.

“Beliau memberitahu kami bahawa beliau sudah meletakkan jawatan. Kami masih menyoal siasatnya dan akan mendedahkan butir lanjut mengenainya selepas itu,” menurut kenyataan pejabat berkenaan.

Menurut kenyataan itu lagi: “Mussa ialah antara tokoh paling kanan dalam kerajaan Gaddafi and peranannya ialah untuk mewakili rejim itu di peringkat antarabangsa, sesuatu yang beliau tidak sanggup lakukan lagi.” Sehubungan itu, pihak berkuasa Britain menggesa pemimpin Libya lain meninggalkan Gaddafi. Mussa, 59, tiba di Britain selepas menghabiskan masa dua hari di Tunisia. Kerajaan Libya sebelum itu berkata, Mussa berada di negara itu kerana kunjungan peribadi.

Mussa sebelum ini pernah dinamakan sebagai perancang pengeboman pesawat di ruang angkasa Lockerbie di Scotland yang menyebabkan 270 orang terbunuh pada 1988. - AFP

2 kali nikah dalam 24 jam

KOTA BHARU: Sepuluh tahun lalu, hatinya disakiti apabila anak perempuannya yang diberi didikan agama sebaik mungkin, malah dihantar ke sekolah tahfiz, kahwin lari. Kini luka di hatinya bertambah parah apabila mendapati anaknya itu menipu dengan mencipta ‘perkahwinan ajaib’.
Ayah yang mahu dikenali sebagai Manaf, 66, itu mendakwa dia mengesan keanehan pada tarikh perkahwinan anak perempuannya seolah-olah wanita berusia 30 tahun itu bernikah dua kali dalam tempoh selang sehari.

Menurut pesara kerajaan itu, selepas membuat pemeriksaan dia mendapati ada dua tarikh pernikahan pada kad daftar perkahwinan dikeluarkan dua jabatan agama berbeza iaitu Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Majlis Agama Islam Wilayah Pattani, Thailand.

“Walaupun hati saya disakiti apabila anak yang bergelar ‘hafizah’ itu kahwin lari 10 tahun lalu, saya tetap menyayanginya. Sebab itulah saya sentiasa memantau perkembangannya sehinggalah dapat membuktikan ada sesuatu tidak kena dengan perkahwinannya.

“Saya terkejut apabila mendapati tarikh nikah dicatatkan pada kad pengesahan perkahwinan Jawi dan surat keterangan nikah Majlis Agama Islam Wilayah Pattani berbeza. Pada kad berkenaan tercatat tarikh 21 Ogos 2000, tetapi pada surat itu pula 22 Ogos 2000,” katanya.


Manaf berkata, dia memperoleh satu lagi kejutan apabila Jawi mengesahkan kad perakuan nikah itu palsu kerana nama anaknya dan pasangannya berusia 40 tahun itu tidak tercatat dalam rekod pendaftaran nikah Jawi. “Menerusi bantuan Majlis Agama Islam & Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), Jawi menghantar satu surat mengesahkan nombor daftar kad perakuan nikah anak saya dan pasangannya milik pasangan lain. “Pada masa sama, surat keterangan nikah Majlis Agama Islam Wilayah Pattani pula meragukan kerana tiada tandatangan jurunikah dan dua saksi,” katanya.

Naluri Manaf kuat mengatakan anaknya terbabit dengan nikah sindiket selepas membaca laporan muka depan Harian Metro 28 Januari lalu bertajuk VIP Nikah Tanpa Rekod yang mendedahkan mengenai pembabitan sindiket nikah tidak bertauliah yang menyediakan pakej lengkap termasuk kad perakuan nikah kononnya dikeluarkan Jawi untuk berpoligami secara diam-diam. “Saya yakin, kes anak saya itu ada persamaan dengan pendedahan dibuat Harian Metro. Walaupun pasangan anak saya bukan orang kenamaan, tetapi berdasarkan kad perakuan nikah palsu yang dibuktikan, tidak mustahil ia ada kaitan dengan sindiket berkenaan.

“Pada masa sama, pasangan anak saya yang pernah menguruskan pusat tahfiz mengahwini anak saya ketika masih mempunyai isteri, sekali gus mengukuhkan lagi keyakinan saya,” katanya Menurut Manaf, dia bukan mahu memburukkan anaknya sebaliknya kerana kasih sayang mendalam, dia rela mendedahkan kisah peribadinya.

“Selepas keluar kisah nikah sindiket di Harian Metro, saya berasakan perlu untuk berkongsi pengalaman dengan masyarakat. Hati saya juga tidak tenteram selepas terbongkar segala rahsia perkahwinan anak saya itu. “Jika kad perakuan nikah palsu dan surat keterangan nikah pula meragukan, bagaimana status perkahwinan mereka? Mereka mempunyai tiga anak, bagaimana pula nasib anak mereka?” katanya.

Manaf membuat laporan polis 26 Februari lalu di Balai Polis Pengkalan Chepa berhubung hal itu dan berharap pihak berkaitan terutama Jawi dan Maik bertindak.


“Sudah terbukti berlaku penipuan. Lakukanlah sesuatu supaya kemungkaran itu diperbetulkan. Pada masa sama, saya berharap anak saya insaf dan segera melakukan sesuatu untuk memperbetulkan status perkahwinannya,” katanya. Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jawi, Tuan Asmawi Tuan Umar berkata, berdasarkan surat dikeluarkan Jawi yang mengesahkan kad perakuan nikah berkenaan adalah palsu membuktikan berlakunya penipuan.


Katanya, sikap pasangan berkenaan memilih jalan mudah tanpa mengikut prosedur undang-undang mengundang masalah pada masa depan.

myMetro | 2 kali nikah dalam 24 jam