Thursday, August 4, 2011

Undi pos: Lagi bekas tentera dakwa subahat




Seorang lagi bekas tentera hari ini tampil mendakwa pernah terlibat menyalahguna undi pos semasa berkhidmat atas arahan pegawai atasannya.

Nasir Mohamad (kiri) yang hanya memperkenalkan dirinya sebagai bekas "kerani" di kem Sandakan, Sabah berkata, kejadian itu berlaku ketika pilihan raya umum ketujuh pada tahun 1986.

"Saya bersama seorang kerani diarah buka karung undi... (kami) diarah pegawai atasan buka uncang undi dan diarahkan memangkah. Kertas undi itu lebih kurang 900 keping, termasuk tentera dan isteri mereka.

"Saya diarah bahagi dua, kawan saya, namanya Ayub Mat ambil 400 lebih, saya ambil 400 lebih (kertas undi). Saya diminta undi ikut citarasa saya," katanya dalam majlis anjuran Pemuda PAS di sebuah hotel di Ampang pagi tadi.

Menurut Nasir lagi, oleh kerana dia "mungkin BN" pada masa, maka undi diberikan kepada parti pemerintah itu.

"Saya ambil hak orang lain yang sepatutnya undi kertas itu. Tetapi saya sebagai tentera kena yes men (jadi penurut)," katanya lagi yang tamat perkhidmatan dengan tentera pada tahun 1998.

Kes yang hampir sama didakwa berlaku pada Oktober 2009 apabila bekas "sarjan gaji" Abu Kassim mengakui pernah memangkah BN bagi pihak tentera lain dalam dua pilihan raya umum – pemalsuan undi yang selama ini hanya digembar-gemburkan oleh pembangkang.

'Bukan jumpa kerani Datuk Wan'
Hadir sama dalam majlis pendedahan "penipuan" sistem pilihan raya itu antaranya Pengarah Pilihan Raya PAS Mohd Sany Hamzan dan Pengerusi Sekretariat Mobilisasi dan Pemulihan Demokrasi Pemuda PAS Suhaizan Kaiat.

Sementara itu, Nasir ketika ditanya kenapa beliau tampil membuat penjelasan selepas hampir lebih 20 tahun, beliau mengakui "takut" sebelum ini.

"Tetapi apabila saya lihat tidak lagi terikat dengan sebarang perintah tentera, sebab itu sekarang saya berani," katanya sambil memberitahu rasa terpanggil bertanggungjawab terhadap sistem demokrasi negara ini.

Nasir bagaimanapun buat masa itu tidak mempunyai sebarang rancangan untuk memanjangkan kes yang disimpannya selama 25 tahun itu kepada pihak SPR.

"(Ia) bergantung kepada keadaan," kata Nasir lagi yang kini bergiat bersama PAS.

Sementara itu, Suhaizan pula berkata, ketika pihaknya mengetengahkan dakwaan Abu menjelang pilihan raya kecil Bagan Pinang dua tahun lalu, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Yusof berjanji perkara itu tidak akan berulang.

"Tetapi kalau sistemnya sama, ia masih boleh boleh berlaku. Saya cakap ini dengan Tan Sri Aziz, saya jumpa dengan dia.

"Saya bukan jumpa kerani (timbalan SPR) Datuk Wan Ahmad (Wan Omar), saya jumpa bos Datuk Wan Ahmad," kata Suhaizan dengan nada menyindir.

Terlalu teknikal
Dalam forum pasca 9 Julai yang menyaksikan Wan Ahmad dan Pengerusi BERSIH S Ambiga sebelum ini, Wan Ahmad pernah menolak soalan teknikal daripada peserta dengan menyifatkan ia sebagai "soalan kerani".

Sementara itu, dalam pembentangan lebih dua jam kepada media hari ini, Suhaizan membentangkan pelbagai data dakwaan "penipuan" yang dikumpulkannya dalam pilihan raya Bagan Pinang dan Sibu sebelum ini.

Banyak disentuh berhubung undi pos yang "terlalu teknikal" yang didakwa terdedah kepada banyak ruang manipulasi, antaranya penjualan kertas undi di pasaran gelap dan kuasa terhadap petugas SPR dan pemantau di kem tentera.

Dalam masa yang sama, beliau menimbulkan persoalan sama ada SPR benar-benar berhasrat memperkenalkan pengundian awal bagi menggantikan undi pos kerana sehingga sekarang belum ada sebarang pindaan dibuat.

"Kalau pilihan raya bulan 11 ini adakah dia boleh buat? Nak buat (pindaan) kena bawa Dewan Rakyat, Dewan Negara lagi. Jadi pilihan raya akan datang pakai sistem apa?" soalnya.

Sehubungan itu, Suhaizan mencadangkan, undi pos hanya mestilah melibatkan pihak yang mempunyai tugas-tugas kritikal sahaja, contohnya tentera di perbatasan.

"Isterinya tak perlulah terlibat, dia (isteri tentera) kerja lain pun. Kalau undi awal pula, buat luar kem, kerana dalam kem kawalan lebih sukar," katanya yang juga ketua Pemuda PAS Johor.http://razali01.blogspot.com/2011/08/undi-pos-lagi-bekas-tentera-dakwa.html

Breivik mahu pakar Jepun



OSLO - Suspek serangan berkembar di Norway menuntut penilaian psikologinya dijalankan oleh pakar psikiatri dari Jepun, menurut peguam lelaki itu, kelmarin.

“Anak guam saya mahukan pakar Jepun kerana percaya individu dari Jepun akan lebih memahaminya berbanding seseorang dari Eropah,” menurut Geir Lippestad.

Dua pakar psikiatri Norway sebelum ini, ditugaskan menilai keadaan mental Anders Behring Breivik, 32, iaitu seorang pengganas yang mengakui melakukan serangan itu pada 22 Julai lalu.

Mereka akan membuat cadangan pada 1 November depan sama ada Breivik cukup waras untuk dibicarakan atas serangan yang membunuh 77 orang dan mencederakan puluhan lain.SH

Sarbani tak dibunuh atau bunuh diri, diklasifikasikan mati mengejut



KUALA LUMPUR - Mahkamah hari ini diberitahu bahawa kematian Penolong Pengarah Kastam Selangor, Ahmad Sarbaini Mohamed, tiada unsur dibunuh atau membunuh diri sebaliknya diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
ASP Zuhairi Mohamed, pegawai penyiasat kes Ahmad Sarbaini berkata, beliau percaya punca kematian Ahmad Sarbaini disebabkan beliau terjatuh dari tempat tinggi. 
Katanya, kesimpulan itu dibuat berdasarkan keterangan 57 saksi, termasuk pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan, kastam, pakar patologi, pegawai forensik, ahli kimia, anggota polis, anggota keluarga dan rakan allahyarham.
Zuhairi, 46, yang bertugas di Bahagian Siasatan Perundangan dari Ibu pejabat Polis Daerah Cheras menyatakan demikian pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Abazafree Mohd Abbas.

Zuhairi berkata sampel cat yang ditemui pada seluar mangsa juga berpadanan dengan dinding tingkap di bilik pantri, aras tiga bangunan SPRM Wilayah Persekutuan, yang dipercayai mangsa terjatuh. 
"Ada sebab dan akibat kenapa mangsa (Ahmad Sarbaini) keluar dari tingkap bilik pantri berkenaan, tetapi sehingga ke hari ini saya tidak mendapat jawapan dan tiada keterangan daripada mana-mana saksi yang nampak mangsa berbuat demikian," katanya. -BernamaSH

Geran RM1 juta bantah SPR



SHAH ALAM- Kerajaan Negeri Selangor menyediakan geran RM1 juta untuk membiayai usaha memfailkan bantahan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terhadap senarai daftar pengundi baru.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar) berkata, geran berkenaan terbuka kepada orang ramai tanpa mengira kaum, agama dan parti politik.

Menurutnya, Kerajaan Negeri memandang serius aduan kepincangan daftar pengundi sedia ada dan senarai daftar pengundi baru.

“Aduan dan tuduhan termasuk rakyat negara jiran yang mendapat taraf pemastautin tetap dan di senarai sebagai pengundi amat merunsingkan dan perlu diselesaikan dengan segera,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco, di sini semalam.

Abdul Khalid berkata, bantahan berkenaan hanya melibatkan kawasan di Selangor memandangkan ia menggunakan dana Kerajaan Negeri.

Kerajaan Selangor berpandangan, rakyat mempunyai hak menuntut satu daftar pemilih untuk membuka jalan kepada pilihan raya bersih dan adil.

“Setiap usaha mesti diambil demi memastikan kredibiliti pilihan raya dijaga dan pilihan sebenar rakyat dihormati,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Khalid berkata, Kerajaan Negeri bersetuju memberikan ‘bonus’ kepada kakitangan awam Gred 54 ke bawah sebanyak RM 500 seorang sebagai persediaan menyambut Aidilfitri.

Sementara itu di SELAYANG, Pas Kawasan melalui Jawatankuasa Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer (JPrD) membuat laporan polis berhubung isu pemberian MyKad serta pendaftaran sebagai pemilih kepada 31 individu disyaki sebagai warga asing atau penduduk tetap dalam kawasan DUN berkenaan.

Penyelaras DUN Taman Templer, Mohamad Abdul Rahman berkata, laporan dibuat berikutan pendedahan dalam beberapa blog dan laman web.

Mohamad yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) Badan Perhubungan Pas Selangor berkata, berdasarkan semakan Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) Suku Kedua 2011 diterbitkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), terdapat keraguan pada senarai pendaftaran pemilih baru yang memiliki nombor kad pengenalan menggunakan kod 71 (kod taraf kewarganegaraan/negeri).

“Ia adalah warga negara asing berstatus penduduk tetap diberi taraf kewarganegaraan dan didaftarkan sebagai pemilih baru.

“Kita mensyaki terdapat usaha pihak tertentu mengeluarkan MyKad kepada warga asing berstatus penduduk tetap untuk membolehkan mereka mengundi dalam pilihan raya akan datang,” katanya selepas mengetuai rombongan JPrD Taman Templer ke Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak untuk membuat laporan polis berkenaan isu itu, semalam.

Menurutnya, justeru pihaknya menuntut polis menyiasat perkara berkenaan secara terperinci dan membongkar kegiatan disifatkan berunsur subversif ini yang mampu mengancam keselamatan negara,” katanya.SH

Hosni Mubarak dibicarakan



Hosni Mubarak berbaring dalam kandang tertuduh mahkamah khas di Akademi Polis Kaherah dalam gambar yang dipetik dari video, semalam. – REUTERS


KAHERAH 3 Ogos – Bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak dan dua anak lelakinya mengaku ‘tidak bersalah’ apabila mereka dihadapkan ke mahkamah hari ini atas tuduhan rasuah dan terlibat dalam pembunuhan penunjuk perasaan.
Perbicaraan bersejarah terhadap bekas Presiden itu bermula di sini beberapa bulan selepas pemerintahan beliau selama 30 tahun berakhir dalam pemberontakan rakyat.
“Saya menafikan sama sekali semua tuduhan itu,” kata Mubarak di kandangan tertuduh.
Beliau yang kelihatan pucat dan berpakaian serba putih terbaring di atas pengusung yang diletakkan di dalam kandang tertuduh di bilik mahkamah yang didirikan di Akademi Polis Kaherah, sementara dua anak lelakinya, Alaa dan Gamal berdiri di sisinya.
Kedua-dua mereka juga mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan membunuh penunjuk perasaan antirejim semasa pemberontakan rakyat itu.
Bekas Menteri Dalam Negeri, Habib al-Adly dan enam timbalannya turut dihadapkan ke mahkamah dalam kes yang sama.
Mubarak dilihat bercakap dengan Alaa dan Gamal yang nampak tenang sepanjang perbicaraan yang disiarkan secara langsung di televisyen Mesir.
Kemunculan bekas Presiden itu adalah yang pertama di khalayak ramai sejak beliau disingkirkan pada 11 Februari lalu.
Hakim Mahkamah Jenayah Kaherah, Ahmed Refaat berkata, perbicaraan ditangguhkan pada 15 Ogos ini dan sesiapa yang dilihat mengganggu prosiding akan diusir.
Kesemua defendan tersebut dituduh menggelapkan wang kerajaan berjumlah berjuta-juta dolar dan mengarahkan pembunuhan penunjuk perasaan semasa pemberontakan 25 Januari yang membawa kepada kejatuhan Mubarak.
Lebih 1,000 anggota polis dan askar berkawal di sekitar kompleks itu dan memeriksa kira-kira 600 peguam dan wartawan yang hadir.
Mubarak sebelum itu dibawa ke Kaherah dengan pesawat dari pusat peranginan Sharm el-Sheikh di mana beliau ditahan di sebuah hospital.
Berpuluh-puluh penyokong setia Mubarak bertempur dengan penentang beliau di luar mahkamah, dengan membaling batu ke arah satu sama lain, sebelum segera dileraikan oleh pasukan keselamatan. – AFPutusan

Kadar cerai meningkat


KUALA TERENGGANU: Kadar perceraian di negeri ini berada pada tahap membimbangkan apabila statistik dikumpul Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu (JKST) menunjukkan 1,454 permohonan cerai diterima jabatan berkenaan sepanjang tahun lalu.
Jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 108 kes berbanding 1,346 kes diterima jabatan terbabit pada 2009.

Daripada jumlah berkenaan, 1,408 kes berjaya diselesaikan pada 2010 manakala 1,318 kes di tahun sebelumnya.

Mengulas mengenai kenaikan jumlah berkenaan, Ketua Pendaftarnya, Wan Mohd Zakri Wan Mohd berkata, tiada persefahaman antara pasangan dikenal pasti menjadi faktor utama menyumbang kepada berlakunya kes perceraian di negeri ini.

“Selain itu, masalah ekonomi selalunya membabitkan suami tidak bekerja yang meninggalkan beban perbelanjaan ditanggung isteri secara sendirian turut menjadi sebab mengapa isteri bertindak membuat permohonan cerai,” katanya.

Menurutnya, masalah wujudnya orang ketiga antara pasangan berkenaan turut menjadi punca perceraian selain faktor seperti keegoan suami dan perbalahan kecil.hmetro

103 rakyat India mati, cedera diserang di Australia


NEW DELHI: Kira-kira 103 warga India telah terbunuh atau tercedera dalam serangan di Australia tahun lepas dan langkah telah diambil untuk memastikan serangan demikian tidak berulang, kata seorang menteri kepada Parlimen India semalam.
Hubungan diplomatik kedua negara tegang akibat keganasan yang melibatkan rakyat India di Australia. India menuduh Australia mengamalkan sikap perkauman dan mensasarkan rakyat India yang sedang belajar di luar negara.
Menteri Hal Ehwal Luar Negara India, Vyalar Ravi meletakkan bilangan 103 rakyat India yang telah menjadi mangsa keganasan tetapi dia tidak tahu jumlah sebenar ketika serangan dilakukan. - AFP hmetro

Melayu Kelantan 60,000 tahun

Kajian USM dapati sub-etnik penduduk paling asal di Semenanjung 

KOTA BHARU: Sekumpulan penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) yang melakukan kajian berhubung asal usul bangsa Melayu melalui kaedah genetik menunjukkan Melayu Kelantan kemungkinan besar orang Melayu paling asal menetap di Semenanjung sejak lebih 60,000 tahun.
Kumpulan penyelidik diketuai Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Pengajian Siswazah), Pusat Pengajian Sains Kesihatan USM, Prof Madya Dr Zafarina Zainuddin yang mendapat geran RM1.4 juta daripada Kementerian Pengajian Tinggi, melakukan kajian terhadap 10 sub-etnik Melayu di Semenanjung Malaysia bagi mengetahui asal usul Melayu.
Sub-etnik berkenaan adalah Melayu Jawa di Johor dan Selangor, Melayu Aceh (Perak), Melayu Minang (Negeri Sembilan), Melayu Banjar (Selangor dan Johor), Melayu Bugis (Selangor dan Johor), Melayu Rawa (Perak), Melayu Champa (Perak, Kedah dan Kelantan), Patani (Kelantan), Melayu Kelantan dan Kedah Langkasuka.bharian

6 tak mengaku milik dokumen subversif


 JEYAKUMAR Devaraj dan Letchumanan (kanan) ketika hadir di Mahkamah Butterworth, semalam.

JEYAKUMAR Devaraj dan Letchumanan (kanan) ketika hadir di Mahkamah Butterworth, semalam.


Tertuduh didakwa bantu BERSIH bawa 600 helai risalah haram di Plaza Tol Sungai Dua

BUTTERWORTH: Enam pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM), termasuk Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr Michael Jeyakumar Devaraj, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan memiliki dokumen subversif tanpa alasan sah dan pembabitan dalam perhimpunan haram, Jun lalu.

Selain Jeyakumar, 56, turut didakwa ialah Sarasvathy Muthu, 58; Letchumanan Aseer Patham, 49; Sukumaran Munisamy, 50; Saratbabu Raman, 25, dan Choo Chon Kai, 33.
Bagi tuduhan pertama, mereka didakwa dengan niat bersama memberi bantuan kepada satu pertubuhan haram, iaitu BERSIH 2.0 dengan membawa 600 helai salinan risalah haram.

Untuk itu, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 48(1) Akta Pertubuhan 1966 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda sehingga RM15,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mereka turut menghadapi pertuduhan alternatif iaitu dengan niat bersama memberi bantuan kepada pertubuhan haram BERSIH 2.0 dengan membawa 600 helai salinan risalah haram.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM3,000 atau kedua-duanya.
Semua mereka turut menghadapi pertuduhan dengan niat bersama membawa dokumen subversif tanpa alasan yang sah dan didakwa mengikut Seksyen 29 (1) Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Mereka didakwa melakukan semua kesalahan itu dalam sebuah bas di Plaza Tol Sungai Dua, Lebuhraya Utara Selatan di sini, pada jam 3.30 petang, 25 Jun lalu.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Suhaimi Ibrahim, manakala semua tertuduh diwakili sepasukan peguam diketuai Datuk C V Prabhakaran.

Hakim Ikmal Hishan Mohd Tajuddin menetapkan ikat jamin RM8,000 setiap seorang. Tarikh perbicaraan ditetapkan 10 hingga 14 Oktober depan, bersama dengan 24 lagi penyokong PSM yang didakwa di mahkamah itu atas pertuduhan yang sama, bulan lalu.

Sebelum ini, Dr Jeyakumar, Sarasvathy, Letchumanan, Sukumaran, Saratbabu dan Chon Kai ditahan hampir tiga minggu mengikut Ordinan Darurat 1969 kerana disyaki terbabit dalam kegiatan mengancam keselamatan negara dan dibebaskan, Jumaat lalu. bharian

Nik Aziz, Azizan sakit jantung

Jalani rawatan pantau kesihatan

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak masing-masing menghidap komplikasi jantung tersumbat dan dijangka menjalani pembedahan dalam tempoh terdekat.
Mursyidul Am PAS itu mengesahkan tiga saluran darah ke jantungnya tersumbat dan sedang menjalani rawatan tiga bulan sekali di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.
Sambil menafikan beliau menghidap barah seperti didakwa sebuah laman blog yang menyatakan tahap kesihatan pemimpin berusia 80 tahun itu kini semakin serius, Nik Aziz berkata, pemeriksaan terbaru doktor juga menunjukkan tahap kolesterolnya semakin menurun.

“Saya tak ada apa... tak betul (dakwaan menghidap barah). Saya cuma ada tiga saluran tersumbat dan pergi (ke HUSM) baru-baru ini (untuk) rawatan tiga bulan sekali,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kota Darulnaim, Kota Bharu, semalam.

Laporan dalam blog itu mendakwa Nik Aziz menghidap kanser dan keadaannya semakin serius serta disahkan sekumpulan pakar yang merawat Nik Aziz ketika dimasukkan di wad HUSM, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Azizan dijangka menjalani prosedur ‘angioplasty’ bagi membuka saluran jantungnya yang tersumbat, bulan depan.
Beliau yang kini dirawat di Unit Rawatan Jantung (CCU) Institut Jantung Negara (IJN) kerana masalah jantungnya, dijangka perlu berehat kira-kira sebulan sebelum dapat kembali bertugas.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan negeri, Dr Ismail Salleh, berkata Menteri Besar yang pernah menjalani pembedahan pintasan jantung pada tahun 2006 dijangka akan dibenarkan keluar dari IJN selewat-lewatnya minggu depan.

Dr Ismail mengesahkan Azizan dijadualkan menjalani sama ada pembedahan jantung atau prosedur ‘angioplasty’ bulan depan.

“Beliau tidak mengalami masalah jantung yang serius. Bagaimanapun, doktor menasihatkannya supaya berehat sehingga rawatan susulan yang lain dalam jangkamasa kira-kira sebulan,” katanya.bharian

Perbincangan kes pelajar dibotak kecoh


SEORANG penjaga pelajar bertikam lidah dengan  pengetua sekolah  pada pertemuan bersama ibu bapa  di SMK Bandar Baru Uda, Johor Bahru, semalam.
SEORANG penjaga pelajar bertikam lidah dengan pengetua sekolah pada pertemuan bersama ibu bapa di SMK Bandar Baru Uda, Johor Bahru, semalam.


Ibu bapa peserta program motivasi di penjara emosi
JOHOR BAHRU: Kegagalan ibu bapa pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru UDA, mengawal emosi hingga sanggup melemparkan pelbagai kata-kata kesat, menyebabkan perbincangan bersama Jabatan Pelajaran Johor dan Penjara Kluang berhubung dakwaan anak mereka didera ketika Price of Freedom, semalam berakhir tanpa penyelesaian.Malah, pertemuan selama tiga jam bermula 9.30 pagi di sekolah itu juga hanya dihadiri 13 keluarga daripada 33 pelajar yang mendakwa menjadi mangsa dera petugas program motivasi di Penjara Kluang selama tiga hari dua malam mulai Jumaat hingga Ahad lalu.
Pertemuan yang sepatutnya mencari penyelesaian, bertukar kecoh apabila ada penjaga melemparkan kata-kata kesat serta tohmahan tidak berasas terhadap pentadbiran sekolah.Pengarah Pelajaran Johor, Mohd Nor A Ghani, serta kakitangannya yang hadir juga tidak terlepas daripada dilemparkan dengan kata-kata kesat apabila dilabelkan sebagai bebal dan bodoh oleh waris pelajar.
Suasana tegang itu tetap dihadapi Mohd Nor serta Pengarah Penjara Kluang, Senior Asisten Komisioner Roslan Mohamed yang memberi jaminan akan menyiasat dakwaan itu.
Hadir sama, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMKBBU yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semarang, Datuk Samsol Bari Jamali.Ketika ditemui selepas pertemuan terbabit, Mohd Nor berkata, program Price Of Freedom akan diteruskan dan pihaknya sedia membuat penambahbaikan terhadap pengisiannya.Jika terbukti dakwaan pelajar benar, kita tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap kakitangan atau guru terbabit,” katanya.Sementara itu, Roslan berkata, lima sekolah sudah menghantar pelajar mengikuti program motivasi itu, namun pihaknya tidak menerima aduan berhubung salah laku atau keganasan yang didakwa dilakukan kakitangannya.Beliau berkata, pelajar hanya mengikuti program simulasi merasai kehidupan di penjara yang dijalankan di kawasan selamat.Kelmarin, akhbar ini melaporkan sekumpulan 33 pelajar sekolah terbabit mengharungi pengalaman mengerikan apabila mendakwa didera petugas program selepas menyertai kem motivasi ala banduan selamat tiga hari dua malam di penjara Kluang mulai petang Jumaat hingga Ahad lalu.Mereka mendakwa bukan saja digunting rambut pendek ala banduan, malam ditempeleng, ditumbuk dan diperlakukan seperti penghuni penjara, apabila ada di antara pelajar turut digari hingga mereka trauma. bharian

Majlis Keselamatan PBB kutuk Syria

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU: Mjlis Keselamatan PBB mengutuk tindakan melampau Presiden Syria, Bashar al-Assad, ke atas penunjuk perasaan sehingga menyebabkan kematian ketika kereta kebal kerajaan memasuki bandar utama penentang.

Dalam kenyataan pertama sejak krisis Syria meletus beberapa bulan lalu, majlis itu mahu penamatan segera segala bentuk keganasan dan pihak yang melakukannya dipertanggungjawabkan.
Namun, harapan untuk mencapai kesepakatan dalam mengenakan tekanan ke atas Damsyik terjejas apabila anggota Arab majlis itu, Lubnan, segera menolak pendirian itu dan menyatakan ia tidak akan membantu menamatkan krisis di negara jirannya.
Kuasa Eropah dalam majlis 15 anggota itu yang mengetuai kempen untuk tindakan dengan sokongan Amerika Syarikat, masih menegaskan kenyataan itu memberi amaran keras kepada Assad.

Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon, mengalu-alukan kenyataan itu dan menyifatkan perkembangan semasa di Syria "amat mengejutkan".

Kereta kebal tentera Syria memasuki bandar Hama semalam dan beberapa orang dilaporkan terbunuh sejak beberapa hari lalu. - AFPbharian

'Tak perlu berguling lagi'



SUHAIMI (kanan) dan beberapa ahli Wanita UMNO Puchong menyerahkan kerusi roda kepada Rosmahwati di Seri Serdang semalam.


SERDANG - Seorang gadis yang sebelum ini terpaksa bergerak secara berguling-guling di lantai terharu apabila menerima sebuah kerusi roda khas yang akan memudahkan pergerakannya semalam.
Ia adalah hasil sumbangan Skuad Sayang Wanita UMNO cawangan Puchong yang menaja kerusi roda yang direka mengikut kesesuaian bentuk badan gadis tersebut, Rosmahwati Abu, 30.
Rosmahwati mengalami penyakit tulang lembut (Osteopenia) sejak lahir dan tidak dapat berjalan, duduk atau berdiri seperti orang lain dan terpaksa dibantu ibu dan tiga orang adiknya untuk bergerak.
"Hari ini buat pertama kalinya saya dapat duduk, walaupun di atas kerusi roda. Ia cukup menggembirakan dan saya tidak perlu berguling-guling lagi selepas ini," katanya ketika ditemui di rumahnya di Seri Serdang di sini semalam.
Kerusi roda berharga RM9,000 itu disampaikan oleh Setiausaha Politik kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Suhaimi Ibrahim.
Ibu Rosmahwati, Maimun Baharuddin, 49, pula memberitahu, anak sulungnya itu tidak pernah ke sekolah atau menerima rawatan susulan di hospital ekoran masalah kewangan.
"Hendak dukung dia pun sudah tidak larat, terima kasih kepada Skuad Sayang kerana menyumbangkan kerusi roda dan akan membawa anak saya ke hospital selepas ini," ujarnya yang menyara keluarga dengan bekerja sebagai pekerja ladang di Jabatan Pertanian selepas kematian suami.
Sementara itu, Suhaimi berkata, kerusi roda itu dilengkapi motor dan meja bagi memudahkan pergerakan Rosmahwati pada masa hadapan.
"Selain itu, sebuah lagi kerusi roda akan disediakan bagi memudahkan urusannya untuk ke tandas dan mandi," jelasnya.kosmo

Ibu tunggal hilang sumber rezeki



GALI – Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, kehidupan seorang ibu tunggal lebih sempit dirasakan selepas terlibat kemalangan sejak lebih setahun lalu mengakibatkannya patah kaki kanan.

Sebelum kemalangan, Unizah Abdul Aziz, 60, hanya menjana pendapatan dengan menjual sayuran dan menoreh getah bagi menampung kehidupannya bersama dua anak perempuan berusia 20-an.

Bagaimanapun, sejak kakinya dimasukkan besi kekal selepas kemalangan yang hampir meragut nyawanya, dia hanya terlantar di atas tilam kerana menghadapi kesukaran untuk bergerak.

Menurutnya, kemalangan itu merubah kehidupannya sekelip mata apabila terpaksa bergantung hidup semata-mata dengan pencen arwah suami sebanyak RM228 setiap bulan.

“Ketika kemalangan pada Mac tahun lalu, saya membonceng motosikal jiran dan tiba-tiba dirempuh kereta apabila hendak keluar persimpangan dekat jalan utama di hadapan rumah.

“Kesakitan ditanggung hingga ke hari ini apabila besi diletakkan di kaki kanan mengakibatkannya membengkak dan saya tidak boleh langsung membengkokkan kaki seperti orang lain,” katanya.



Penderitaan berterusan



UNIZAH berkata, biarpun dibekalkan tongkat dan kerusi roda, dia tetap tidak mampu menggunakannya kerana mengalami kesulitan dan kesakitan.

Katanya, pergerakannya hanya sekitar tilam yang dihamparkan di ruang tengah rumah sahaja dan sekiranya ingin bergerak lebih jauh, dia perlu dipapah serta berpaut kepada apa sahaja di sekelilingnya.

“Tidak cukup dengan kesakitan yang ditanggung, anak sulung juga tidak dapat meneruskan pengajian ke peringkat ijazah akibat masalah kewangan dan terpaksa berhenti setelah mendapat diploma sahaja.

“Bekerja di ibu kota dengan pendapatan mengikut kelayakan diploma, memberi tekanan kewangan kepadanya sehingga memaksanya membuat keputusan untuk pulang ke kampung menjaga saya sepanjang masa di rumah,” katanya.

Dia berkata, anak keduanya pula bekerja di sebuah restoran dekat Bandar Raub dengan pendapatan yang cukup untuk menyara dirinya sendiri.



Rumah usang



AWAN mendung sering memayungi kehidupan tiga beranak ini kerana terpaksa berteduh di rumah papan pusaka yang usang dan mereput.

Sekiranya dapat mengumpul wang lebih daripada biasa, Unizah berusaha membaiki atap zink yang bocor, tetapi masih tidak mampu membaiki lantai papan yang banyak berlubang akibat mereput.

Tetapi sejak ditimpa kemalangan, usahanya mengumpul wang terhenti serta merta kerana tidak berupaya menjana pendapatan.

Tinjauan Sinar Harian mendapati tidak hanya keadaan kesihatan Unizah, rumahnya juga uzur dan berbahaya sekiranya tidak berhati-hati melangkah kerana lantainya mereput.

Unizah berkata, kunjungan beberapa pemimpin setempat juga tidak mampu untuk naik terus ke dalam rumahnya kerana beberapa lantai dipijak terus patah dan serpihannya jatuh ke tanah.



Usaha pelbagai bantuan



SEMENTARA itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Gali Tengah, Mohd Razi Abd Rahman berkata, pihaknya mengusahakan pelbagai cara bagi mendapatkan bantuan untuk meringankan beban ditanggung Unizah.

Katanya, pegawai daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah tiga kali membuat siasatan dan memberitahu bahawa Unizah akan diberikan Bantuan Orang Tua (BOT) sebanyak RM300.

“Kita masih menunggu maklum balas daripada JKM dan berharap supaya bantuan dapat disalurkan setiap bulan pada kadar segera kerana sudah lebih setahun setengah warga emas ini tidak mampu mengusahakan sebarang sumber rezeki.

“Kita turut masukkan data Unizah dalam senarai pemohon bantuan membina rumah baru kerana keadaan rumah didiami ketika ini terlalu uzur dan memerlukan kos yang tinggi untuk dibaik pulih,” katanya.SH

Empat suspek bunuh kelindan lori ditahan



SEREMBAN - Pihak polis telah menahan empat individu bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang kelindan lori di sebuah rumah di Taman Seremban Jaya dekat sini, Ahad lalu.

Timbalan Ketua Siasatan Jenayah negeri, Superintendan Zazali Hashim berkata, semua suspek berumur 30-an ditahan pada hari kejadian.

“Berdasarkan siasatan awal, motif pembunuhan dipercayai akibat suspek cemburu dengan perbuatan mangsa yang dikatakan mengganggu kekasih orang.

“Bagaimanapun, keterangan empat suspek berkenaan masih belum direkodkan dan soal siasat masih dijalankan,” katanya, semalam.

Menurutnya, pihak polis juga sedang mengenal pasti bilangan sebenar suspek terlibat dan siasatan dibuat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sinar Harian kelmarin, melaporkan mangsa, Nanthakumar, 20-an, ditemui mati berlumuran darah oleh seorang rakannya di dalam bilik air rumah terbabit, kira-kira jam 6.30 pagi, 31 Julai lalu.SH

11 tahun hanya makan biskut



KUALA KETIL - Seorang remaja di Kampung Kuala Merah, Mohd Khusairi Nor Mohd Saidin, 13, boleh dikategorikan sebagai ‘mat salleh’ kerana tidak memakan nasi sejak umurnya 2 tahun sehingga ke hari ini.

Anak kepada pasangan Nor Mohd Saidin Dollah dan Sarina Saperi itu hanya menjadikan biskut sebagai makanan rujinya.

Nor Mohd Saidin berkata, perubahan anaknya itu mula dikesan ketika umur Mohd Khusairi 2 tahun kerana meluahkan nasi yang disuapkan.

“Nasi bukan banyak mana pun, tapi dia tetap tak boleh terima. Saya pernah bawa dia jumpa pengamal perubatan tradisional. Tapi, tiada perubahan yang berlaku.

“Tapi saya tak kisah sangat. Sebab anak saya jarang sakit berikutan hanya makan biskut dan lauk pauk sahaja,” katanya.

Menurutnya, anaknya itu hanya makan biskut yang berwarna coklat, selain warna berkenaan, remaja terbabit tidak makan.

“Biskut pula bukan biskut murah. Biskut yang berjenama. Saya dah kira. Saya memerlukan RM40 sehari untuk perbelanjaan biskutnya sahaja.

“Selain itu, anak saya ini memang suka makan ayam. Kalau lalu dihadapan restoran ayam segera, saya akan pastikan saya ada duit kerana anak saya mesti akan minta ayam segera,” katanya.

Menurutnya, mungkin kanak-kanak lain akan buka periuk nasi dahulu selepas pulang dari sekolah tapi tidak untuk anaknya.

“Pertama sekali selepas anak saya pulang dari sekolah, dia akan bukan periuk lauk dulu. Memang itulah tabiatnya.

“Kadangkala, ada juga rakan-rakanya yang bergurau dengan mengatakan, kalau kenduri habislah mereka (rakan-rakan) kerana anak saya akan pilih lauk dulu berbanding nasi,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, dia pernah cuba untuk mengenakan anaknya itu dengan meletakkan sebutir nasi dalam masakan ikan.

“Saya ingat dia tak tak rasa, tetapi sebaliknya yang berlaku. Selepas makan dia terus luah lauk itu.

“Yang paling pelik, anak saya tak akan lalu di kawasan yang ada nasi. Maknanya, kalu ada beberapa nasi yang tumpah di dalam rumah, dia akan cuba untuk mengelak dari kawasan berdekatan nasi itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Saidin berkata, walaupun anaknya tidak makan nasi, kesihatan anaknya begitu baik berbanding adik beradik yang lain.SH