Tuesday, November 2, 2010

Merapi terus mengamuk

PENDUDUK Kampung Balerante, Klaten, meninggalkan kediaman mereka selepas Gunung Merapi memuntah- kan asap panas, semalam.
PENDUDUK Kampung Balerante, Klaten, meninggalkan kediaman mereka selepas Gunung Merapi memuntah- kan asap panas, semalam.
SEORANG lelaki ditangkap kerana menjarah kampung yang ditinggalkan mangsa letupan gunung berapi 
di Sleman, semalam.
SEORANG lelaki ditangkap kerana menjarah kampung yang ditinggalkan mangsa letupan gunung berapi di Sleman, semalam.


JAKARTA: Gunung Merapi memuntahkan lebih banyak asap dan debu panas semalam selepas meletup sekali lagi, yang paling kuat dalam masa seminggu. Bagaimanapun, tidak ada kemalangan jiwa dilaporkan.
Letupan baru itu berlaku ketika Indonesia terus bergelut dalam menghadapi bencana tsunami yang memusnahkan satu rangkaian pulau pedalamannya di Sumatera.
Bencana kembar yang melanda Indonesia hampir serentak menyebabkan kira-kira 500 orang terbunuh, sekali gus menguji kecekapan kerajaan dalam menangani kecemasan.

Dalam kedua-dua kejadian itu, tentera dikerah untuk membantu.

Gunung Merapi di Jawa Tengah, antara 129 gunung berapi yang aktif di Indonesia, meragut 38 nyawa sejak mula meletup seminggu lalu.

Hampir semua penduduk yang tinggal di lereng gunung berkenaan, yang dulunya subur tetapi kini dilitupi debu, sudah dipindahkan ke pusat perlindungan sementara yang sesak.

Sebahagiannya menjerit dan menangis ketika diangkut oleh anggota tentera.

Sementara itu, kira-kira 1,300 kilometer ke barat, sebuah pesawat pengangkut C-130, enam helikopter dan empat bot mengangkut bantuan ke beberapa pulau yang terjejas teruk akibat tsunami minggu lalu, memusnahkan ratusan rumah, masjid dan gereja.
Angka kematian akibat ombak besar itu yang berpunca daripada gempa bumi berukuran 7.7 magnitud sudah mencecah 450 orang sementara mangsa yang hilang kini tidak sampai 100.
Kejadian letupan gunung berapi dan gempa bumi itu yang berlaku selang 24 jam menyebabkan timbul persoalan kemungkinan kedua-duanya mempunyai kaitan. Sehubungan itu, kerajaan Indonesia meningkatkan tahap berjaga-jaga terhadap 21 gunung berapi lain yang kebanyakannya menunjukkan peningkatan dalam aktiviti, bergegar dan mengeluarkan asap hitam tebal. - Reuters

Warga emas tinggal dalam hutan




TASEK – Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Begitulah ungkapan yang menggambarkan kehidupan seorang warga emas yang tinggal bersendirian di pondok kecil dalam hutan di sini. 

GRangasamy, 63, tinggal seorang diri dan hanya menoreh getah yang tumbuh dalam hutan untuk menampung perbelanjaan harian. 

Lebih menyayat hati apabila pondok kecil yang didiaminya itu hanya mempunyai dua tingkap dan tidak mempunyai bekalan air paip dan elektrik. 

“Saya mandi di parit yang berhampiran manakala air untuk minum saya peroleh dari tokong cina yang terletak di atas bukit di sini. Sementara makanan pula, saya hanya makan sayur dan jika ada duit lebih baru saya membeli nasi di kedai itu pun dengan kadar RM1 atau RM2 sahaja. 

“Semasa saya berusia sekitar 20-an ahli keluarga saya mati dan sejak itu saya hidup sebatang kara. 

“Selepas kematian ayah, ibu pula menyusul dan diikuti adik-beradik lain. Kematian mereka tidak diketahui puncanya seolah-olah dugaan untuk saya. 

“Sedih dengan kejadian yang menimpa saya mengambil keputusan menaiki basikal ke mana sahaja tanpa arah tuju,” katanya. 

Difahamkan, semasa usianya 50 tahun, dia terpaksa menjalani pembedahan usus akibat makan makanan segera. 

“Makanan segera itu sahaja mampu saya beli dan kini jika lapar saya hanya makan sayur dan minum air yang dimasak menggunakan dapur kayu. 

Kesempitan hidup Rangasamy mendapat perhatian daripada Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Tasek. 

Pengerusinya, Mohd Said Mohd Zain, berkata, pihaknya akan membantu Rangasamy untuk mendapatkan bantuan. 

“Sebelum ini, kita tidak tahu dia tinggal dalam hutan disebabkan kawasan yang terpencil dan terasing dengan penduduk lain. 

“Kita mendapat tahu perkara ini daripada penduduk dan difahamkan mereka ternampak sebuah pondok yang didiami seorang lelaki India ketika memasuki kawasan ini. 

“Hasil maklumat yang diterima, pihak JKKK segera memantau dan mendapati hampir empat tahun dia menetap di hutan. 

“Justeru itu, kami memberi beberapa sumbangan berupa makanan harian sebagai membantunya pada peringkat awal,” katanya.

Kerajaan akan beri geran tanah: Nik Aziz




GUA MUSANG - Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menafikan dakwaan bahawa kerajaan pimpinannya tidak akan memberikan geran tanah kepada penduduk di Gua Musang. 

Sebaliknya Mursyidul Am Pas itu berkata geran tanah itu akan diberikan selepas mendapat kelulusan daripada Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang. 

“Kita akan beri geran tanah, tidak timbul isu tidak mahu beri (geran tanah). 

“Kita tidak suka cakap kosong,” katanya ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan di Bandar Baru Lojing di sini, semalam. 

Beliau kemudiannya melawat ke perkampungan orang Asli di Sandrop dan menyerahkan sumbangan kepada penduduk di sana. 

Isu tanah orang Asli sebelum ini menjadi perbalahan antara Pas dan Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dalam kempen pilihan raya kecil DUN Galas yang mana Pas menuduh beliau mengkhianati orang Asli di negeri ini:. 

Namun dakwaan tersebut dinafikan oleh Tengku Razaleigh dan menyifatkan Pas tidak sewajarnya membuat tuduhan tersebut kepadanya

DUN Galas: Jambatan konkrit ganti titi gantung





2010/11/02

 Pelajar  di Kampung Batu Papan  terpaksa menyeberangi jambatan gantung  yang uzur setiap hari.
Pelajar di Kampung Batu Papan terpaksa menyeberangi jambatan gantung yang uzur setiap hari.
GUA MUSANG: Saban hari, Abdul Hadi Mansor, 47, dari Kampung Batu Papan, di sini menggunakan laluan alternatif jambatan gantung merentasi Sungai Galas untuk menghantar anaknya ke sekolah sejak lapan tahun lalu. 

Penoreh getah itu mengakui laluan alternatif berkenaan menjimatkan masanya untuk membawa lima anaknya dengan motosikal ke tiga sekolah berhampiran, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Indera Putra 2, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Wangi 1 dan SK Seri Wangi 2, sejak berpindah ke kampung itu.
Jambatan gantung sepanjang 35 meter berusia 15 tahun itu menjadi nadi laluan kepada 1,500 penduduk di tiga kampung iaitu Kampung Batu Papan 1, Kampung Batu Papan 2 dan Kampung Batu Papan Kundur.
Setiap pagi kelihatan hampir 150 penunggang motosikal menggunakan laluan itu untuk ke sekolah berkenaan. Walaupun kelihatan uzur dan usang, penduduk tidak mempunyai pilihan lain selain menggunakan jambatan gantung yang hanya boleh dilalui pejalan kaki dan penunggang motosikal kerana ia menjimatkan masa terutama bagi mereka yang memiliki anak ramai. 

Tinjauan mendapati, hampir semua penunggang motosikal membawa dua atau lebih pembonceng sama ada diletakkan di depan atau belakang penunggang dan mereka yang berada di laluan bertentangan perlu menunggu sehingga semua kenderaan selesai melalui jambatan itu. 

Bagi Abdul Hadi yang dikurniakan 12 anak berusia satu hingga 23 tahun, setiap hari dia akan membawa lima anaknya berusia tujuh hingga 16 tahun ke sekolah berhampiran kerana hanya satu daripada dua motosikalnya memiliki insurans, manakala satu lagi hanya digunakan untuk laluan kampung. 

Bagi perjalanan pertama, Abdul Hadi membawa dua anak lelakinya berusia 16 dan 10 tahun sebelum kembali ke rumah untuk mengambil tiga lagi anaknya berusia tujuh, 11 dan 12 tahun. 
"Kami gembira jika jambatan gantung diganti jambatan konkrit kerana setiap pagi terutama hari hujan, laluan akan menjadi licin dan menyukarkan penunggang untuk mengawal motosikal,” katanya. 

Sementara itu, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin yang berkunjung ke kampung itu memberi jaminan akan mengemukakan permohonan kepada Kerajaan Pusat untuk membina jambatan konkrit.

Nak pilihanraya....minta apa saja


RM23.5j naik taraf peralatan Hospital Gua Musang


2010/11/02

  CALON  BN, Ab Aziz Yusoff mencuba peralatan kesihatan  sambil diperhatikan   Rosnah   (dua dari kiri)   pada Majlis Penyerahan Projek Bekalan Air Luar Bandar di Klinik Desa RPT Sungai Terah, Gua Musang, semalam.
CALON BN, Ab Aziz Yusoff mencuba peralatan kesihatan sambil diperhatikan Rosnah (dua dari kiri) pada Majlis Penyerahan Projek Bekalan Air Luar Bandar di Klinik Desa RPT Sungai Terah, Gua Musang, semalam.
GUA MUSANG: Kerajaan Pusat memperuntukkan RM23.5 juta untuk menaik taraf peralatan perubatan, termasuk pembelian 24 ambulans bernilai RM7.04 juta bagi Kelantan tahun ini, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin. 

Beliau berkata, jumlah itu tidak termasuk peruntukan sebanyak RM231 juta untuk pembangunan fizikal yang diberikan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9).
"Kelantan mempunyai 121 ambulans yang mana pembeliannya dibuat secara kontrak dan hari ini kita menyerahkan tujuh ambulans baru manakala 17 lagi akan menyusul selewat-lewatnya hujung tahun ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan peralatan perubatan terdiri daripada 10 mesin thermal fog, tiga motosikal dan sebuah mesin ultrasound, yang keseluruhannya bernilai RM90,000 kepada Jabatan Kesihatan negeri di Hospital Gua Musang di sini, semalam. 

Rosnah berkata, kementeriannya turut menyerahkan satu unit mesin hemodialisis kepada Hospital Gua Musang, sekali gus mengurangkan bilangan pesakit menunggu untuk rawatan. 

"Kerajaan memang sedar mengenai kekurangan pusat hemodialisis dan ia akan ditambah dari semasa ke semasa kerana kementerian sedar rakyat terutama golongan kurang mampu amat memerlukannya. 

"Kos setiap kali sesi rawatan hemodialisis membabitkan perbelanjaan ratusan ringgit, tetapi bagi pesakit yang mendapat rawatan di hospital kerajaan kita hanya mengenakan caj RM13 setiap kali sesi rawatan," katanya. 
Beliau berkata, kerajaan tidak pernah jemu melaksanakan pelbagai usaha memastikan setiap lapisan rakyat terus menikmati perkhidmatan kesihatan terbaik. 

Sementara itu, Rosnah berkata, Kelantan menjadi antara tiga negeri yang mencatat jumlah kes denggi yang tinggi di negara ini selain Selangor dan Sarawak dengan 3,258 kes direkod sehingga 24 Oktober lalu. 

"Jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding hanya 2,332 kes dalam tempoh sama tahun lalu,” katanya.

Azhar digantung enam bulan





Azhar Ibrahim keluar dari dewan persidangan di Bangunan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang , Georgetown, semalam.


PULAU PINANG 1 Nov. – Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Azhar Ibrahim digantung enam bulan daripada menghadiri sidang Dewan berkuat kuasa 17 Ogos lalu.
Bagaimanapun, segala saraan dan elaun beliau dikekalkan.
Keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga DUN Ke-12 di sini hari ini selepas usul tersebut dibentangkan Ketua Menteri, Lim Guan Eng dan disokong Timbalan Ketua Menteri, Datuk Mansor Othman.
Usul menggantung Azhar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga dibuat oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Pulau Pinang dan diluluskan selepas menerima suara majoriti.
Sejurus usul tersebut diumumkan Speaker DUN, Datuk Abdul Halim Hussain, Azhar bangun dan meninggalkan Dewan diikuti 11 ADUN Barisan Nasional (BN) yang lain.
Azhar ketika membahaskan usul tersebut menegaskan, beliau tidak akan meminta maaf atau menarik balik perkara itu kerana beliau tidak bersalah dan memberi enam sebab enggan berbuat demikian.
“Usul itu cacat kerana ia tidak pernah dibahaskan, perkataan yang dirujuk telah ditarik balik dan diterima oleh Dewan dan ia juga tidak jelas mengenai siapa yang hendak didakwa sebagai melakukan kesalahan.
“Usul tersebut juga tidak terdapat dakwaan yang spesifik dan jelas yang menunjukkan kesalahan dilakukan, usul yang dibawa adalah di luar sesi pagi dan selepas Dewan berehat dan ia satu tindakan after thought,” tegasnya.
Jawatankuasa yang dipengerusikan Abdul Halim mengadakan mesyuarat berhubung perkara tersebut sebanyak tiga kali iaitu pada 7 Jun, 3 serta 17 Ogos dan Azhar hadir memberi keterangan pada mesyuarat terakhir.
Azhar yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri dirujuk ke jawatankuasa itu kerana didakwa melanggar peraturan berikutan mengeluarkan kata-kata berbaur hasutan ketika hari terakhir sidang DUN 6 Mei lalu.
Beliau dikatakan menggunakan perkataan ‘13 Mei’ ketika berlaku pertikaman lidah dengan Ketua Menteri, Lim Guan Eng pada sesi penggulungan Usul Terima Kasih Ucapan Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas.
Usul menghadapkan beliau ke jawatankuasa itu sebelum ini telah dicadangkan oleh Jagdeep Singh Deo (DAP-Datuk Keramat).
Sementara itu, pada sidang akhbarnya di luar Dewan, Azhar berkata, penggantungan tersebut tidak betul dan yang pasti beliau ‘sakit hati’ dengan keputusan berkenaan sambil menyifatkan corak pentadbiran kerajaan negeri bersifat ‘ala Guan Eng’.
“Saya Ketua Pembangkang yang paling vokal dan selalu mengkritik pemerintahan mereka dan kes seumpama ini juga yang pertama kali berlaku dalam sejarah Pulau Pinang,” ujarnya.
Ditanya mengapa beliau enggan memohon maaf walaupun berkali-kali diminta berbuat demikian, jelasnya:
“Untuk apa saya minta maaf, saya tidak bersalah, saya teraniaya dan ini cara mereka untuk tutup mulut saya,” katanya.

Ambil tindakan tegas terhadap warden



KUALA LUMPUR 1 Nov. - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, warden yang didakwa menekap seterika panas ketika mengejutkan pelajar untuk solat subuh perlu dikenakan tindakan tegas jika terbukti beliau melakukan perbuatan itu.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berpendapat warden terbabit tidak mematuhi peraturan dalam mengambil tindakan disiplin terhadap pelajar yang sebenarnya hanya boleh dilaksanakan oleh pengetua atau guru besar dan guru disiplin.
''Nampaknya daripada apa yang dilaporkan macam benar, jadi pihak sekolah perlu mengambil berat dan memandang serius hal sebegitu.
''Kalau apa yang disebutkan oleh pelajar ini terbukti memang betul, maka kita tak boleh biarkan. Tindakan yang setimpal perlu diambil terhadap sesiapa sahaja yang melakukan hal sebegitu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Pameran dan Persidangan Bio-Malaysia 2010 di sini hari ini.
Muhyiddin mengulas laporan akhbar kelmarin mengenai tindakan seorang warden menekapkan seterika panas untuk mengejutkan pelajar bangun awal pagi dan solat subuh.
Dalam kejadian 12 Oktober lalu, Muhammad Al-Hakim Mat Nawi, 16, dan adiknya, Muhammad Fairuz, 14, bersama 12 rakan mereka tidur di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Bunut Susu, Pasir Mas, Kelantan dan 11 daripada mereka telah ditekap seterika panas manakala tiga lagi terselamat kerana telah bangun lebih awal.
Akibatnya, pelajar yang terkena seterika panas itu melecur dan mengalami kesakitan berpanjangan.
Menurut Muhyiddin, tindakan tegas itu adalah selaras dengan usaha kerajaan untuk menjadikan sekolah sebagai tempat yang selamat.
''Kita memang hendak pastikan sekolah kita ini jauh daripada perkara-perkara yang boleh menyebabkan bahaya kepada pelajar.
''Jadi kalau ia dilakukan oleh orang yang kita pertanggungjawabkan (menjaga pelajar) walaupun jumlahnya mungkin kecil, ini kita tidak boleh biarkan.
''Saya telah maklumkan perkara ini kepada Pengarah Pelajaran negeri untuk menyiasat dengan lebih terperinci," katanya.
Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata, kerajaan akan mengumumkan secara terperinci langkah untuk menambah baik Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang dijangka bermula pada 2012.
''Yang disetujui adalah ia tidak boleh diteruskan dalam bentuk yang sedia ada, kita perlu tambah baik umpamanya hanya 60 peratus penilaian dalam peperiksaan melibatkan subjek teras seperti Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris berbanding dahulunya 100 peratus.
''Sebanyak 40 peratus akan melibatkan perkara lain seperti kokurikulum serta bidang-bidang yang ada kaitan dengan pembelajaran secara interaktif yang ada hubung kait dengan persekitaran," katanya.
Tambah beliau, langkah penambahbaikan itu bertujuan menjadikan proses pembelajaran lebih menyeronokkan dan mengelakkan sistem berorientasi peperiksaan seperti sedia ada yang menyebabkan pelajar rasa tertekan.
''Untuk memastikan perkara ini tercapai kita perlu melatih semula guru-guru kita supaya penyampaian pelajaran dapat dilakukan dengan cara yang paling berkesan," ujarnya.

Perintah pembebasan Raja Petra kekal



PUTRAJAYA 1 Nov. - Perintah pembebasan Raja Petra Kamaruddin daripada tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kekal berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria ketika memutuskan demikian berpuas hati bahawa rayuan tersebut kini bersifat akademik kerana perintah tahanan dua tahun itu telah tamat.
Perintah yang dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri di bawah Seksyen 73(1)ISA itu bermula pada 22 September 2008 dan tamat pada 21 September lalu.
Keputusan sebulat suara yang turut dicapai oleh Hakim Tan Sri James Foong Cheng Yuen dan Hakim Datuk Seri Md. Raus Sharif itu sekali gus mengekalkan perintah Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membebaskannya.
Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah yang mewakili kerajaan Malaysia berhujah, notis rayuan agar pengendali dan editor laman blog Malaysia Today itu hadir ke mahkamah tidak dapat diserahkan.
Beliau menyatakan, pendirian kerajaan adalah untuk tidak menarik balik rayuan walaupun tempoh tahanan selama dua tahun itu telah tamat.
Tun Abdul Majid menjelaskan, ini kerana rayuan tersebut turut menyentuh beberapa isu perundangan penting antaranya termasuk isu agama di bawah Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.
Bagaimanapun, beliau berhujah, pihaknya menyedari peruntukan Seksyen 314 Kanun Tatacara Jenayah yang menyebut bahawa Raja Petra perlu berada di sini jika panel hari ini membuat keputusan sebaliknya.
''Berdasarkan atas faktor-faktor tersebut, saya tidak merasakan bahawa kami boleh meneruskannya (walaupun arahan terhadap kami agar rayuan tidak ditarik balik). Saya menyerahkan kepada mahkamah,'' ujar Tun Abdul Majid