2010/10/09
Raja Azura
KUALA LUMPUR: "Saya sudah memaafkan mereka yang terbabit secara langsung atau tidak langsung dalam keruntuhan rumah tangga. Saya tidak berdendam, tetapi saya percaya Tuhan pasti memberikan balasan setimpal buat mereka yang sanggup merentap kebahagiaan saya dan anak-anak. Apa perasaan anda jika orang yang disayangi diambil orang?"Kenyataan itu sekali gus membayangkan rumah tangga pelakon, pengacara dan penyampai radio Sinar FM, Raja Azura Tengku Ahmad Tajudin, 38, dan Adzmin Tan Sri Osman, 37, berkecai disebabkan kehadiran orang ketiga.Pasangan yang dikurniakan tiga cahaya mata, Megat Muhammad Raziq, 7, Megat Luqman Hakim, 6, dan Puteri Mia Maizura, 4, itu bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah, Shah Alam, Selangor pada 28 September lalu secara tertutup.
“Tak perlu nak ulas panjang lebar, saya tidak mahu mengeruhkan hubungan dengan bekas suami. Saya tidak marah, jauh sekali menyimpan sekelumit perasan dendam. Bagi saya, jika seronok teruskanlah! Saya percaya buat baik dibalas baik, buat jahat dapatlah habuannya. Biar Allah SWT saja yang memberi balasan. Kebenaran akan datang tanpa ditegakkan dan berdiri dengan sendirinya. Itu janji Tuhan kepada mereka yang berdiri atas kebenaran.
“Saya meneruskan perceraian selepas perselisihan tidak menemui jalan penyelesaian. Jalan terakhir, saya terpaksa merelakan perpisahan. Bagaimanapun, ia bukan bermakna rumah tangga kami tidak dapat diselamatkan lagi. Perceraian berlaku atas dasar cuba memulihkan rumah tangga melalui kaedah memperbaiki dari luar selepas cara memperbaiki dari dalam tidak mendatangkan kesan.
“Kami bercerai atas dasar persetujuan bersama dan tiada apa-apa sengketa. Bekas suami memang berat hati melepaskan saya, tetapi terpaksa menurut. Punca perceraian, biarlah menjadi rahsia hati saya selama-lamanya, ia terlalu peribadi untuk dijelaskan. Ada hikmah di sebalik apa yang berlaku, perceraian amat mematangkan kami. Apabila berpisah, terselit rasa rindu, kehilangan dan sunyi, jadi antara kami saling menilai.
“Saya dan bekas suami masih berusaha untuk mencari jalan penyelesaian. Insya-Allah, kami mungkin rujuk kembali andai kata dapat mencari jalan penyelesaian dalam tempoh edah selama tiga bulan. Bagaimanapun, jika keadaan tidak berubah, saya harus memilih jalan hidup sendiri. Saya reda jika antara kami sudah tiada jodoh,” katanya.
Raja Azura berkata, hubungannya dengan bekas suami masih baik, malah mereka bergilir-gilir menjaga dan menguruskan keperluan anak-anak setiap hari. Bekas suaminya pulang ke rumah apabila dirinya keluar bekerja kira-kira jam 5 pagi.
“Saya dan bekas suami tetap melaksanakan tanggungjawab sebagai ibu bapa, malah hingga hari ini, anak-anak tidak pernah mengetahui kami sudah bercerai. Adzmin keluar rumah sejak melafazkan cerai pada 28 September lalu, tetapi tetap menjenguk anak-anak setiap hari.
“Walaupun bukan lagi suami isteri tetapi kami tetap jadi sahabat baik untuk anak-anak. Saya tidak mahu anak-anak menerima tekanan apabila mengetahui kami sudah berpisah. Anak-anak saya masih kecil untuk memahami apa yang berlaku, saya tidak mahu mereka menjadi mangsa perceraian,” katanya.