Showing posts with label zakat. Show all posts
Showing posts with label zakat. Show all posts

Sunday, May 13, 2012

Syarikat milik kerajaan enggan bayar zakat


Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri:
KUALA TERENGGANU 13 Mei - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) hari ini mendedahkan ada segelintir syarikat milik kerajaan yang enggan membayar zakat.
Yang Dipertua MAIDAN, Datuk Mazlan Hashim berkata alasan syarikat-syarikat terbabit ialah kerana mereka menyumbang terus kepada kerajaan.
"Kebelakangan ini saya telah didatangi pengurus beberapa syarikat yang dimilki oleh kerajaan menyatakan mereka tidak mahu membayar zakat dengan memberi alasan mereka telah memberi sumbangan kepada kerajaan," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan zakat Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebanyak RM269,249,79 di sini hari ini.
Pada majlis itu, TNB diwakili Pengurus Besar TNB negeri Md Yuslan Md Yosof manakala Mazlan mewakili MAIDAM.
Mazlan berkata pihaknya akan merujuk perkara itu kepada Majlis Fatwa negeri untuk mengkaji secara mendalam berhubung perkara tersebut.
Begitupun, beliau berkata MAIDAM cuba memberi penjelasan dan penerangan dengan harapan syarikat-syarikat tersebut akan mengeluarkan zakat mengikut lunas-lunas yang ditetapkan agama.
Mengikut Enekmen Jenayah Takzir 2001 Terengganu, mereka yang tidak mengeluarkan zakat boleh dikenakan denda, katanya. - BERNAMA

'via Blog this'

Friday, January 20, 2012

Apa makna orang agama kalau wang zakat disalahguna?



KUALA LUMPUR, 20 Jan: “Apa makna jawatan tertentu kalau diserahkan kepada golongan agama sekalipun, jika wang zakat pun boleh disalahgunakan seperti yang diledakkan Ketua Audit Negara?”

Itulah jawapan ringkas berbentuk soalan daripada Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) untuk membalas serangan bertubi-tubi media Umno terhadap PAS dalam isu exco agama kerajaan negeri Selangor.

Bagi beliau, serangan Umno menandakan pemikiran Umno masih berada di kotak lama kerana menganggap exco agama mesti diberikan kepada PAS, seolah-olah orang lain tidak layak; atau PAS hanya layak pegang exco agama; sedangkan portfolio lain tak layak.

Dalam memegang jawatan dalam apa bidang sekalipun, Tuan Ibrahim menegaskan yang penting ialah amanah seperti yang dinyatakan dalam satu nasihat Nabi Muhammad kepada Abu Zar Radiallahu'anhu.

“Dalam satu peringatan Rasulullah kepada Abu Zar Radiallahu'anhu, baginda menyatakan:

"Wahai Abu Zar, sesungguhnya kamu lemah, sedangkan jawatan ini adalah amanah, dan ianya adalah penyesalan di hari akhirat, melainkan kamu menerimanya di atas kelayakan kamu dan kamu menunaikan hak kepada yang berhak menerimanya (tunaikan amanahnya).

"Jelas apa yang penting penyandang adalah mesti seorang yang amanah. Apa makna jawatan tertentu kalau diserahkan kepada golongan agama sekalipun, jika wang zakat pun boleh disalahgunakan seperti yang diledakkan Ketua Audit Negara?” kata beliau.

Kenyataan beliau ini dipercayai merujuk kepada kontroversi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menggunakan dana zakat sebanyak RM63,650.00 untuk sebagai pendahuluan membiayai kos guaman Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir dalam menangai kes permohanan qazaf Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tuan Ibrahim, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang turut berpendapat bahawa kenyataan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dan perakuan untuk mengadakan perbincangan dengan PAS dalam isu-isu agama dan merujuk kepada pakar dalam isu-isu hukum telah menggambarkan kepada rakyat, sikap berhati-hati yang diambil kerajaan Selangor dalam melaksanakan amanah yang dipertanggungjawab kepadanya.

Dalam perlantikan Dr Yunus dengan sokongan padu Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Rani Osman, Tuan Ibrahim berkata ia memperlihatkan kepada umum betapa kepimpinan PAS bukanlah golongan yang mengejar jawatan.

“Bahkan rela diberi kepada orang lain yang difikirkan sesuai dan layak demi memperkasakan jentera parti,” tambah beliau.

Tuesday, November 1, 2011

Mahathir patut nasihat Petronas keluar zakat

Khairil Abdul Rahim

TEMERLOH, 31 Okt: PAS mengalu-alukan pandangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mencadangkan agar sebahagian kecil kutipan zakat dari negara Islam kaya diberi kepada negara miskin atau rakyat miskin di negara lain.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Man berkata, dalam masa yang sama Dr Mahathir perlu juga menasihat agensi-agensi korporat yang kaya di negara ini agar turut mengeluarkan zakat.
“Bayangkan tahun lalu saja keuntungan Petronas mencecah RM80 bilion. Ini bermakna jika syarikat tersebut membayar zakat nilainya hampir RM2 bilion dan banyak boleh dimanfaatkan untuk pembangunan umat Islam negara ini.
“Sebab itulah Profesor Ungku Aziz pernah berkata, jika Pertronas menunaikan zakat perniagaannya, pelajar miskin boleh ditanggung daripada pra-sekolah hingga ke universiti,” ujarnya.
Tuan Ibrahim berkata demikian bagi mengulas laporan akhbar semalam yang memetik Dr Mahathir mencadangkan agar sebahagian kecil kutipan zakat dari negara Islam yang kaya diberi kepada negara miskin atau rakyat miskin di negara lain kerana lapan asnaf yang layak menerima zakat sudah tidak wujud di kebanyakan negara kaya, selain kutipan juga melebihi keperluan mereka yang ada.
Beliau juga percaya jika sebuah tabung diwujudkan bagi mengumpul sumbangan zakat daripada negara kaya, akan ada wang yang mencukupi bagi membina infrastruktur membolehkan negara miskin membangun dan menghasilkan peluang kerja menerusi pelaburan dalam industri berasaskan buruh.
Bekas Perdana Menteri itu berkata demikian dalam ucaptama Persidangan Antarabangsa Kewangan dan Ekonomi Islam di Langkawi, kelmarin.
Menurut Tuan Ibrahim, banyak lagi syarikat korporat selain daripada Tabung Haji yang tidak menunaikan zakat dan mungkin disebabkan tidak mendapat pelepasan cukai perniagaan oleh kerajaan.
“Selain daripada Petronas banyak lagi gergasi korporat seperti Felda dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang jika membayar zakat wang tersebut boleh digunakan bagi meningkatkan sosial dan kebajikan rakyat.
“Cuma kerajaan kena laksanakan satu kaedah kepada syarikat korporat ini yang membayar zakat dikecualikan daripada cukai,” tambahnya.
Mengenai pertanyaan Dr Mahathir bolehkah wang zakat digunakan untuk pembangunan infrastruktur, Tuan Ibrahim berpendapat ia dibolehkan melalui asnaf fi sabilillah kerana takrifnya yang luas.
Namun begitu beliau berharap jawapan sebenar boleh didapatkan daripada hujah-hujah ulamak melalui kajian dan penelitian.
Mahathir patut nasihat Petronas keluar zakat:

'via Blog this'

Saturday, August 27, 2011

Menangisi murtad dan zakat

Minggu lepas saya dan beberapa orang sahabat pergi menemui salah seorang dari 12 individu yang dikaitkan dengan isu murtad baru-baru ini. Dia seorang janda yang mempunyai tiga orang anak. Usianya masih muda. Latar pendidikannya saya rasa ‘amat sederhana’. Saya tidak pergi untuk mempersalahkannya kerana pergi ke gereja dan terjebak dalam usaha kristiansasi. Saya pergi untuk membolehkan dia merasakan bahawa masih ramai yang ingin mengambil berat tentangnya. Lebih penting lagi, saya pergi untuk mengetahui apakah yang membawa dia sehingga terpaksa meminta simpati dan bantuan hidup dari pihak gereja. Sedih Saya sedih mendengar ceritanya. Menurutnya, dirinya seorang janda yang ditinggalkan suami. Terpaksa menanggung hidup tiga orang anak. Dalam kesempitan hidup yang amat, diminta keluar dari rumah sewa dan tenat mencari sesuap nasi untuk diri dan anak-anak dia pergi merintih di pejabat zakat. Dia tidak dilayan. Bahkan pegawai bertugas dengan tegas memberitahunya peruntukan sudah habis. Rayuannya tidak diendahkan. Dia keluar berusaha lagi. Dia berjaya mendapatkan surat sokongan ahli politik. Kembali ke pejabat zakat membawa surat tersebut, terus sahaja dia mendapat peruntukan zakat. Peruntukan yang kononnya sudah habis sebelum itu, kembali ada untuknya. Dengan berbekalkan wang zakat itu dia berusaha survive. Dia juga pergi ke bahagian kebajikan masyarakat, juga tidak dilayan. Dia bekerja untuk meneruskan hidupnya yang sempit. Di tempat kerja, melihatkan keadaannya yang susah dan miskin maka ada rakan sekerja yang beragama kristian mencadangkan untuk dia pergi ke suatu tempat yang mudah dan mesra dalam memberikan bantuan. Di situlah bermula hubungan dia dengan pihak gereja. Apa tidaknya, dia susah, kehidupan terhimpit dan anak-anak yang masih kecil memerlukan makanan dan perlindungan. Pihak gereja membantu keperluan hidupnya. Diberikan wang serta menziarahi keluarganya. Mereka tidak menjadikan dia peminta sedekah, tetapi mereka menggunakan pendekatan ‘mesra dan sayang’. Hatinya terpaut dengan kehalusan budi. Walaupun saki baki akidahnya membantah untuk dia menukar agama, tetapi dia tidak dapat menafikan perasaan sayang dan terhutang budi kepada pihak gereja yang berjasa menyelamatkannya.Bagaimana mungkin untuk dia merasai kehebatan Islam di saat penganut yang seagama dengannya tidak memperdulikannya. Bahkan enggan membantunya. Bagaimana pula dia dapat melihat kesilapan pihak gereja secara lahiriahnya sedangkan ternyata merekalah menolongnya? Orang mungkin berfalsafah dan berceramah secara retorik, namun jiwa insani terpengaruhi dengan apa yang dia rasai. Sakit demam anak-anaknya pihak gereja yang mengambil berat. Makan-minum mereka, pihak gereja yang membiayai. Bahkan keperluan rumah juga diberikan satu persatu. Tangkap Menurutnya, dia tidak menukar akidahnya, tetapi dia terus ke gereja membawa anak-anaknya. Anak-anaknya diterapkan ajaran Kristian oleh pihak gereja. Diajar nyanyian keagamaan dan nilai-nilai budi tertentu. Baginya, dilakukan semua itu untuk hidup. Rupanya ramai lagi yang senasib dengannya berada di bawah bantuan pihak gereja. Sebahagian mereka memang menukar agama kerana kecewa dengan sikap masyarakat Islam dan terpengaruh dengan budi pihak gereja. Menurutnya juga, tiada paksaan dari pihak gereja. Cumanya, pendekatan mereka amat mempengaruhi. Akhirnya, apabila pihak berkuasa agama mengetahui dia ke gereja, dia ditangkap untuk kali pertama dan beritanya disiarkan dalam akhbar. Menurutnya, sebaik sahaja ditangkap dan beritanya tersiar di media barulah pejabat zakat tergesa-gesa datang ke rumahnya. Begitu juga pihak kebajikan masyarakat. Dia memberitahu kepada pihak zakat bahawa dia ingin membuka taska. Mereka menyuruh dia mendapatkan rumah yang sesuai dan mereka akan bantu. Dia pun mendapatkan sebuah rumah yang mereka setujui yang agak besar dan sudah pasti sewanya agak tinggi. Malangnya, selepas dia menyewa rumah tersebut, selama tujuh bulan pihak zakat tidak menghulurkan bantuan kepadanya. Terkapai-kapai ketika itu. Pihak gereja jugalah yang datang dan melangsaikan kesempitannya untuk menjelaskan sewa rumah tersebut. Sehinggalah apabila timbul isu, pegawai zakat menghubungi dan meminta agar dia memaklumkan kepada pihak yang bertanya bahawa pegawai zakat memang ada datang. Ya, selepas itu memanglah pihak zakat memberikan satu jumlah bantuan yang agak besar kepadanya dengan ‘tukaran’ yang tidak dapat saya maklumkan di sini. Semasa pihak berkuasa agama membuat penyiasatan ke atas gereja berkenaan, dia berada dalam gereja berkenaan bersama dengan sejumlah orang Islam yang lain yang senasib dengannya. Walaupun, kali kedua media menyiarkan dia termasuk dalam senarai murtad dalam peristiwa itu, hakikatnya dia tidak murtad, cumanya ada di situ bersama dengan mereka yang senasib dengannya. Namun, menurutnya memang ada yang murtad. Alhamdulillah dia masih kekal dengan keislamannya. Semuanya itu kerana desakan hidup. Terus-terang dia sebut ‘semua untuk wang kerana saya ingin membesarkan anak-anak saya’. Semasa saya menziarahinya –tanpa notis awal- dia baru sahaja selesai menunaikan solat terawih. Menurut dia memang ramai lagi yang terpengaruh dengan usaha kristianisasi yang dilakukan. Mereka yang banyak terlibat terdiri dari kalangan ibu tunggal yang miskin, saudara baru muslim yang tidak dipedulikan, wanita yang mengandung tanpa suami, pesakit aids dan juga muslim dari Sabah dan Sarawak yang dalam kesusahan. Apa yang hendak dipelikkan, begitulah tabiat agama yang merasakan mereka berkhidmat untuk Tuhan. Apa yang hendak pelik jika gereja mengajar ajaran Kristian kerana itu memang kerja gereja. Tak mungkin gereja hendak berdakwah kepada Islam. Namun yang pelik apabila ada negeri yang puluhan individu yang mempunyai Ph.D dan masters dalam pengajian Islam yang disahkan oleh kerajaan tetapi tidak dibenarkan mengajar Islam di masjid dan menyampaikan Islam kepada orang Islam. Salah Siapa? Jika kita ingin melepaskan diri, mudah sahaja, kita letakkan kesalahan ini kesemua di pihak gereja. Kita tuduh merekalah punca segalanya. Kemudian kita buat demonstrasi, kita bakar semangat orang awam untuk bangun menentang gereja yang melakukan aktiviti bantuan dan ‘dakwah’. Adapun kita yang tidak membantu dan berdakwah ini, tidak perlulah disalahkan. Begitukah kita? Supaya orang dapat melupakan kesilapan kita, kita letakkan segala dosa ke atas orang lain semata. Cubalah bayangkan jika ada sebuah rumah yang didiami oleh satu keluarga yang besar dan kaya tiba-tiba salah seorang ahli rumah itu lari ke rumah jiran atas atasan tidak diberikan perhatian dan mendapat perlindungan serta makanan. Sementara si jiran sebelah pula menghulurkan bantuan dengan pelbagai tawaran. Apakah suatu penyelesaian yang tuntas dengan hanya kita mencadangkan agar dibakar rumah jiran, atau ditangkap si jiran atau dihukum si jiran kerana mempengaruhi ahli keluarga kita. Dalam masa yang sama kita, kita tidak persoalkan tanggungjawab kekeluargaan yang kita abaikan selama ini. Zakat Saya tidak menafikan usaha-usaha baik pengurusan zakat yang telah pun berjaya dilakukan. Kita tahu, zakat kita banyak. Jika dihimpun seluruh negara, mungkin mencecah lebih satu billion. Itu setiap tahun. Bangunan-bangunan zakat cantik dan indah. Iklan-iklan mengutip zakat juga canggih dan mahal. Gaji-gaji yang terlibat mengurusnya jangan ditanya lagi. Cara membayar zakat juga dipermudahkan dengan pelbagai kaedah dan teknologi. Tiba-tiba si miskin kita terpaksa merintih simpati dari gereja? Sesetengah pegawai zakat bersifat begitu meterialistik. Berwajah manis jika hadir di depannya pembayar zakat, tapi berwajah suram jika yang hadir itu pemohon zakat. Tiada semangat dakwah dan ukhuwwah Islamiyyah. Pemohonan menjadi sulit dan sukar. Apatahlagi jika mak cik tua yang uzur disuruh mengisi borang. Maka, pemohon zakat bagaikan peminta sedekah. Sebab itu barangkali ramai fakir yang tidak sanggup ke pejabat zakat. Jika program ‘Bersamamu’ boleh menemui si fakir saban minggu, kenapa pula pihak zakat gagal mengesan mereka. Jika usaha mengutip zakat begitu hebat, alangkah baik dihebatkan juga usaha mencari mereka yang layak menerima zakat. Mencari orang miskin itu penting, bukan menunggu mereka datang. Bukan semua yang miskin sanggup atau dapat datang kepada pihak zakat. Menurut al-Quran, yang miskin tidak meminta itu lebih patut diutamakan. Firman Allah (maksudnya): “(Pemberian sedekah itu) adalah untuk golongan fakir miskin yang telah menentukan dirinya (dengan menjalankan khidmat atau berjuang) pada jalan Allah (membela Islam), yang tidak berupaya mengembara di muka bumi (untuk berniaga dan sebagainya); orang yang jahil menyangka mereka kaya, kerana mereka menahan diri daripada meminta-minta. Engkau kenal mereka dengan (melihat) tanda-tanda mereka, mereka tidak meminta daripada orang ramai secara mendesak-desak, dan (ketahuilah), apa jua yang kamu belanjakan dari harta yang baik maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahuinya”.( Surah al-Baqarah ayat 273) Berilah zakat kepada mereka, kerana itu memang hak mereka. Jangan jadikan mereka pengemis di pejabat zakat. Berilah dengan kasih dan perancangan agar mereka keluar dari daerah kemiskinan. Kata Saidina ‘Umar r.a.: “Apabila engkau memberi zakat, kayakanlah mereka”. Kata Ibn Hazm (meninggal 456H): “Apa yang kami tahu tiada sahabah yang berbeza dalam hal ini” (Ibn Hazm, Al-Muhalla 4/280, Beirut: Dar al-Kutub al-‘ilmiyyah). Bahkan zakat boleh diberikan kepada bukan muslim yang miskin atas peruntukan fakir dan untuk dakwah atas peruntukan muallaf. Lihatlah perbahasan fekah yang lebih luas. Jika zakat berfungsi, bukan muslim akan tertarik dengan Islam. Jika ia tidak berfungsi, yang sudah Islam pun ingin keluar dari Islam! Dipetik daripada blog Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Wednesday, August 4, 2010

Kadar zakat fitrah di Kelantan tahun ini RM7



KOTA BHARU 3 Ogos - Kadar zakat fitrah di negeri ini pada tahun ini ditetapkan RM7, meningkat 10 sen berbanding RM6.90 tahun lalu.
Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), Datuk Kamaruddin Mohd. Zin berkata, penetapan kadar zakat fitrah itu mengambil kira harga semasa beras.
Beliau berkata, bagi tujuan itu Maik telah melantik seramai 571 amil terdiri daripada para imam, bilal dan pegawai agama di kem-kem tentera, polis serta pusat tahanan.
"Kita menjangkakan kutipan zakat fitrah pada tahun ini sebanyak RM7.5 juta berbanding RM7.3 juta pada tahun lalu," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Kamaruddin turut mengumumkan kadar nisab zakat wang simpanan iaitu sebanyak RM10,200.
Mengenai zakat harta pula, katanya, umat Islam boleh menunaikan kewajipan mereka dengan membayar zakat harta di kaunter Maik, Balai Islam Lundang di sini yang beroperasi tujuh hari seminggu sepanjang Ramadan ini bermula pukul 8 pagi hingga 4.45 petang.
Selain itu katanya, pembayaran zakat harta juga boleh dibuat melalui ejen-ejen Maik yang dilantik seperti Bank Islam, CIMB, RHB, Ambank, Maybank dan pejabat pos.
"Pada tahun ini, pembayaran zakat harta juga boleh dibuat di tiga buah masjid iaitu di Masjid Bandar Pasir Puteh, Machang dan Pasir Mas," katanya.
Kamaruddin berkata, secara keseluruhannya, Maik menyasarkan kutipan zakat sebanyak RM70 juta tahun ini berbanding RM66.5 juta tahun lalu.
Beliau berkata, pembayaran zakat oleh umat Islam terus meningkat setiap tahun dan perkembangan tersebut menunjukkan kegawatan ekonomi sebenarnya tidak menjejaskan pendapatan mereka dalam menunaikan ibadat tersebut, malah semakin mendapat keberkatan.
Tambahnya, bagi menggalakkan umat Islam menunaikan kewajipan tersebut, Maik turut memperkenalkan sistem waad iaitu mengembalikan sebanyak 25 peratus wang zakat yang dibayar untuk diagih-agihkan sendiri oleh pembayar zakat kepada golongan asnaf di kawasan mereka.
Katanya, pelaksanaan sistem tersebut dibuat berikutan terdapat pandangan daripada pembayar zakat mengenai ada golongan fakir dan miskin di kawasan mereka yang perlu dibantu.
Jelasnya, Maik telah memperuntukkan sebanyak RM2.5 juta setahun bagi tujuan pembayaran balik wang zakat di bawah sistem waad yang mula diperkenalkan sejak 2006.
"Program ini bertujuan menggalak dan menarik umat Islam supaya membayar zakat," katanya.
Mengenai program Maik, Kamaruddin berkata, antara tumpuan pihak majlis ialah menyediakan rumah bagi golongan fakir dan miskin berharga kira-kira RM30,000 sebuah.
Beliau memberitahu, Maik sejak 2004 telah pun membina 501 buah rumah untuk golongan asnaf di seluruh negeri yang melibatkan peruntukan lebih RM15 juta.

Zakat fitrah di Melaka RM6.50



MOHD. Ali Rustam membelek buku mengenai masjid di Melaka yang dilancarkan pada Seminar Penghayatan Ramadan dan Majlis Pentauliahan Amil Zakat Fitrah di Kompleks Masjid Al-Azim, Melaka, semalam.


MELAKA 3 Ogos - Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) menetapkan kadar zakat fitrah sebanyak RM6.50 meningkat 20 sen berbanding RM6.30 tahun lalu.
Pengerusi MAIM, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, penetapan kadar itu telah diputuskan oleh Majlis Fatwa Negeri Melaka dengan mengambil kira harga semasa beras dan tanggungjawab terhadap fakir miskin di negeri ini.
Menurutnya, bagi tujuan tersebut MAIM telah melantik seramai 891 amil yang mana 711 daripada jumlah tersebut adalah daripada pegawai syarak manakala 180 lagi bukan daripada pegawai berkenaan.
''Para amil yang dilantik perlulah menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan penuh amanah serta dedikasi.
''Amil adalah sebahagian daripada institusi agama yang diberi kepercayaan oleh masyarakat Islam dalam konteks pelunasan kewajipan masyarakat," katanya.
Beliau berkata demikian sempena Seminar Penghayatan Ramadan, Majlis Pentauliahan Amil Zakat Fitrah dan pelancaran Buku Masjid Negeri Melaka di Auditorium Masjid Al- Azim di sini hari ini.
Mohd. Ali yang juga Ketua Menteri menambah, MAIM menyasarkan kutipan RM3.2 juta dengan jangkaan seramai 513,638 akan membayar zakat fitrah untuk tahun ini.
Menurutnya, bagi jumlah kutipan zakat fitrah tahun lalu, MAIM memperolehi sebanyak RM2.9 juta dengan 489,179 orang menunaikan tanggungjawab masing-masing.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh umat Islam di negeri ini untuk menunaikan tanggungjawab kerana ia akan dapat diagih-agihkan kepada fakir miskin seperti yang ditetapkan oleh syarak.
''Melalui pembayaran zakat fitrah ia dapat membersihkan diri dan jiwa seseorang hamba yang mengabdikan diri kepada Allah semata-mata," katanya.
Mengenai pelancaran buku Masjid Negeri Melaka, Mohd. Ali berkata, buku tersebut menerangkan seni bina dan reka bentuk masjid-masjid di negeri ini.
Justeru katanya, masjid-masjid yang baru dibina kebanyakannya menggunakan kubah bagi menggantikan reka bentuk mahkota pada bahagian bumbung.
Namun begitu katanya, pembinaan itu tidak menjejaskan reka bentuk asal terutama bagi masjid lama yang masih mengekalkan identiti seni bina yang unik.
''Buku ini diharap dapat menjadi panduan dan rujukan kepada seluruh umat Islam di negeri ini khususnya ahli seni bina dan pelajar," katanya.
Buku tersebut dihasilkan oleh Pusat Sumber, Jabatan Ketua Menteri.