Tuesday, April 14, 2015

Alahai...bergetar tulang rusuk

Afghanistan: Pernah diugut bunuh bukan saja oleh puak Taliban, malah keluarganya, tetapi Kapten Niloofar Rahmani, 23, tetap meneruskan cita-citanya sehingga menjadi juruterbang pesawat wanita pertama tentera udara Afghanistan.
Ketika bertugas, si cantik ini juga pernah melanggar arahan pihak atasan demi kemanusiaan apabila menerbangkan askar yang cedera ke hospital kerana secara tradisinya wanita dilarang membawa mayat atau askar cedera.
Bagaimanapun, Niloofar tidak dihukum selepas memaklumkan tindakannya itu kepada pihak atasan.
Menurut Niloofar, dia tidak mahu melihat dirinya sebagai seorang wanita semata-mata.
“Saya perlu ada keyakinan diri. Amat sukar untuk saya menghabiskan sekolah penerbangan di Afghanistan kerana bukan mudah untuk mereka menerima kehadiran wanita.
“Bagaimanapun, saya perlu mengambil risiko supaya wanita lain dapat mengejar cita-cita mereka," katanya ketika ditemubual stesen televisyen WTKR, baru-baru ini.
Niloofar berkata, dia memasang impian untuk menjadi juruterbang sejak kecil dan sanggup belajar bahasa Inggeris selama setahun.
Katanya, Dia mendaftarkan diri dalam program latihan pegawai angkatan udara Afghan pada 2010 dan tamat latihan pada 2012 dengan pangkat Leftenan
“Penerbangan solo pertama saya adalah menerbangkan sebuah Cessna 182.
“Selepas itu saya menghadiri kelas penerbangan lanjutan kerana mahu menerbangkan pesawat lebih besar dan tidak lama selepas itu berjaya menerbangkan sebuah pesawat kargo askar C-208,” katanya.
Niloofar berharap kisahnya menjadi inspirasi kepada wanita lain dan walaupun berdepan ancaman Taliban dia nekad terus berkhidmat dalam Angkatan Udara Afghanistan selagi diperlukan. - Daily Mail
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2015 @ 7:50 PM


Niloofar harap kisahnya jadi inspirasi kepada wanita lain. FOTO ihsan Xinhua
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/43778#sthash.GSonPQtS.dpuf

DAP 'Mahu' Wan Azizah


Diterbitkan: Selasa, 14 April 2015 11:18 AM
Dr Wan Azizah Wan Ismail

PERMATANG PAUH: DAP dikatakan lebih suka jika Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dipilih sebagai Ketua Pembangkang berbanding timbalannya yang juga Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali.
Jika Dr Wan Azizah memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh, beliau akan mengambil alih kerusi yang sebelum ini diisi suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika ini menjalani hukuman penjara lima tahun kerana kesalahan meliwat.
Kerusi Parlimen itu diisytiharkan kosong selepas permohonan keluarga Anwar untuk mendapat pengampunan diraja ditolak.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon bagi kerusi parlimen itu pada 25 April, manakala pengundian diadakan pada 7 Mei.
Pemerhati politik berkata, PKR Permatang Pauh berpecah kerana tidak sependapat berhubung pemilihan calon untuk bertanding kerusi itu.
"Daripada lima pihak dalam PKR, tiga menentang Dr Wan Azizah sebagai calon. Malahan, mereka tidak mahu adanya ahli keluarga Anwar bertanding," katanya.
"PKR sepatutnya mendengar suara akar umbi kerana umumnya penduduk di sini tidak lagi mahu melihat drama keluarga Anwar.
"Pada 2008, Dr Wan Azizah meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh untuk membolehkan suaminya bertanding kerusi berkenaan. Ketika itu, beliau juga menyatakan hasratnya untuk bersara dan menjaga cucunya.
"Jadi kali ini, rakyat mahu dengar apa pula alasannya jika mahu kembali ke Permatang Pauh," katanya.
Sumber PAS pula berkata, ia suatu langkah yang sukar untuk jentera parti itu sepanjang kempen PRK Permatang Pauh.
"Ada di kalangan ahli yang berpendapat PAS seharusnya dibenarkan bertanding kerusi itu kerana mempunyai penyokong ramai di kawasan berkenaan.
"Malahan, akar umbi juga tidak berpuas hati dengan PKR  berhubung pendiriannya mengenai hudud," katanya.

Siasat Penglibatan Jho Low Dalam 1MDB - Pemuda Umno


Diterbitkan: Selasa, 14 April 2015 3:51 PM

PETALING JAYA: Pemuda Umno menggesa agar siasatan terperinci dilakukan bagi mengesan penglibatan ahli perniagaan Low Taek Jho dalam operasi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selepas beliau melabelkan parti itu sebagai 'kaki putar belit' (spinmasters).
Dalam satu kenyataan pada Selasa, Exco Pemudanya, Ibdillah Ishak mengkritik kenyataan individu yang dikenali sebagai Jho Low itu dengan mempersoalkan sama ada ahli perniagaan itu sebenarnya berasa bersalah dalam kontroversi besar ini.
"Siapakah individu ini untuk berkata sedemikian? Apakah Jho Low benar-benar terlibat dan berasa bersalah dalam kontroversi besar ini?," soalnya.
Jho Low dalam satu temubual dengan majalah Euromoney mengkritik Pemuda Umno kerana cuba menyalahkan beliau sebagai punca kegagalan 1MDB.
"Ianya tidak masuk akal, orang Umno itu kaki putar belit (spinmaster). Mereka semua tahu perkara tersebut tidak masuk akal," kata Jho Low seperti dipetik dalam laporan tersebut.
Kenyataan itu menimbulkan kemarahan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang menggesa agar siasatan segera dilakukan terhadap penglibatan Jho Low dalam syarikat pelaburan yang dibebani hutang itu.
Menerusi Twitternya pada Selasa, Khairy berkata siasatan 1MDB perlu disegerakan dan kenyataan tersebut turut disokong Pemuda Umno yang turut mendesak agar penglibatan Jho Low disiasat.
"Saya berharap audit (terhadap 1MDB) boleh dilakukan secara telus dan tanpa melindungi kepentingan orang lain.
"Sekiranya Jho Low terbukti bersalah, tindakan perlu diambil. Tak perlu untuk fitnah pemimpin Umno apabila sedang berdepan masalah yang besar. Seolah-olah Jho Low mahu melepaskan tengkuk beliau sahaja," katanya.

Siapa Calon BN PRK P044 Pmtg Pauh Sudah Jadi Perbualan Ramai


Diterbitkan: Selasa, 14 April 2015 3:22 PM
Kawasan Parlimen Permatang Pauh bakal meriah menjelang hari penamaan calon dan sepanjang kempen PRK tidak lama lagi.

KOMENTAR MSTAR
SEMAKIN hampir hari penamaan calon untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) P044 Permatang Pauh, semakin rancak perbualan pengunjung-pengunjung kedai kopi membicarakan soal politik lebih-lebih lagi siapakah yang bakal menjadi calon Barisan Nasional (BN).
Soal calon Pakatan Rakyat atau dalam kes ini, calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), orang ramai nampaknya semacam dah jelak. Semua dah tahu siapa yang akan masuk ke gelanggang semula.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudahpun menetapkan hari penamaan calon akan berlangsung pada 25 April dan hari pengundian pula pada 7 Mei. Undi awal untuk para petugas pilihan raya dan anggota keselamatan ditetapkan pada 3 Mei.
Yang paling menarik mengenai pemerhati-pemerhati politik kedai kopi ini ialah mereka seakan mendapat maklumat awal tentang siapakah yang akan disenarai pendekkan sebagai calon malah ada juga maklumat-maklumat yang tidak pernah terfikir oleh penulis dapat dikutip hasil daripada perbualan mereka.
Setelah Tan Sri Muhyiddin Yassin datang ke Permatang Pauh pada Ahad (12 April) dan memberikan gambaran tentang kriteria calon yang bakal menjadi pilihan BN, iaitu calon tersebut mestilah berpendidikan tinggi, tiada isu sampingan serta bersih dari sebarang skandal, mulalah pemerhati politik kedai kopi membuat ramalan dan andaian siapakah calon-calon yang termasuk di dalam kategori tersebut.
Ada yang sebut beberapa nama dari kalangan pemimpin Umno tempatan sendiri, ada juga yang menyebut nama-nama dari golongan orang profesional tetapi bukan ahli parti dan ada juga yang menyebut golongan profesional dari kalangan ahli biasa parti.
Namun ada satu nama yang nampaknya menjadi bualan ramai di kedai-kedai kopi sekitar Permatang Pauh ialah Hassan Mohammad, iaitu pengarah Biro Tatanegara (BTN) Pulau Pinang atau pun lebih dikenali dengan nama Cikgu Hassan.

Hassan Mohammad
Cikgu Hassan, 50, juga adalah bekas penolong pegawai pendidikan daerah Seberang Perai Tengah dari tahun 2007-2013. Beliau berkelulusan ijazah sarjana muda pendidikan dari Universiti Sains Malaysia (USM). Pada masa yang sama beliau adalah ketua penerangan Umno Bahagian Permatang Pauh yang dilantik selepas peralihan kuasa Umno Bahagian yang kini diterajui oleh Datuk Mohd Zaidi Said.
Orang-ramai dilihat memperkatakan tentang perwatakan, latar belakang pendidikan dan juga keterampilan yang ada pada diri Cikgu Hassan yang memungkinkan beliau ditonjolkan sebagai calon yang layak dan memenuhi kriteria sebagaimana yang digariskan oleh Muhyiddin.
“Di Permatang Pauh ni kalau hangpa sebut nama Cikgu Hassan, orang semua dah tau dah sapa dia...dan orang dia lagu mana. Semua orang tau dia ni orang baguih la,” kata seorang pengunjung kedai kopi dalam loghat tempatannya yang tebal.
Pada pilihan raya umum yang lalu, nama Cikgu Hassan turut disebut-sebut sebagai calon BN di Permatang Pauh tetapi ia tidak menjadi realiti. Mungkin kali ini namanya harus diberi pertimbangan yang wajar.
Namun begitu, pada masa yang sama, ada juga nama lain yang turut disebut-sebut.
Salah seorang daripadanya adalah Naib Ketua Pemuda Umno Permatang Pauh, Abdul Aziz Shaik Ahmad.
Abdul Aziz Shaik Ahmad
Ahli perniagaan ini yang juga pemilik Restoran Nasi Kandar Dinas dan Route69 lebih dikenali sebagai 'Mamu Ajis' di kalangan orang tempatan. Beliau dilihat sebagai seorang aktivis yang cergas dan berpotensi malah Restoran Route69 beliau yang terletak di Bandar Perda di dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh juga adalah antara tempat berkumpulnya orang politik setiap malam.
Ramai juga yang tertanya-tanya bagaimana pula dengan Datuk Mohd Zaidi. Sebagai ketua Umno Bahagian, tidak mungkin namanya tidak termasuk dalam senarai calon yang akan dikemukakan kepada pucuk pimpinan parti.
Mohd Zaidi Said
Umno Bahagian Permatang Pauh sudah pasti akan mencalonkan namanya apatah lagi dia yang menerajui Umno bahagian berkenaan.
Memang benar, dari sudut hakikatnya, hirarki dan juga logik, nama Mohd Zaidi harus tersenarai untuk dipertimbangkan lebih-lebih lagi jentera parti semua berada di belakangnya.
Tapi politik juga adalah satu permainan yang penuh dengan muslihat dan juga perkiraan di luar lingkaran logik serta kebiasaan.
Pada masa yang sama bekas Calon BN pada PRU-13, Dr Mazlan Ismail turut tidak terkecuali disebut-sebut akan kembali untuk mencuba nasib buat kali kedua.
Dr Mazlan Ismail
Pada pilihan raya umum itu, Dr Mazlan memperolehi 25,369 undi manakala Datuk Seri Anwar Ibrahim, 37,090 undi - Anwar menang dengan majoriti 11,721 undi. Peratus keluar mengundi ialah 88.33% (63,332 undi daripada 71,699 pengundi).
Dr Mazlan yang juga bekas Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh timbalan presiden Umno iaitu berkelulusan dari University of Salford dan juga Coventry University, United Kingdom.
Beliau sebelum itu adalah bekas naib presiden Telekom Malaysia.
Bendera Umno dan BN mula dikibarkan di sekitar Permatang Pauh sejak beberapa hari lalu.
Walau siapa sekali pun yang diletakkan sebagai calon oleh BN, calon itu tetap berhadapan dengan cabaran yang mengunung.
Manakan tidak, pada pilihan raya yang lalu daripada 28 Pusat Daerah Mengundi (PDM), BN hanya menang di enam PDM. Tetapi jika hendak dilihat dari sudut moral, ia adalah jauh lebih baik berbanding pilihan raya kecil 2008 yang menyaksikan BN kalah di kesemua PDM.

15 Orang Peluk Islam Terima Dakwah Adam Corrie Di FB, Instagram


Diterbitkan: Selasa, 14 April 2015 5:32 AM
Adam Corrie bakal membawa jemaah mualaf menunaikan umrah Jun depan.

PETALING JAYA: Pelakon Adam Corrie mendedahkan dia berjaya menarik kira-kira 15 individu bukan Islam untuk memeluk agama itu sejak dia bergelar mualaf pada Julai 2007.

Adam atau nama sebenarnya Adam Corrie Lee Abdullah , 47, berkata, perkara tersebut dilakukan menerusi dakwahnya setiap hari di laman sosial Facebook (FB) dan Instagram.

"Alhamdulillah, setakat ini ada sudah 15 orang saya berjaya bantu untuk memeluk agama Islam. Ramai terbuka hati menerusi dakwah yang saya lakukan di laman sosial Facebook dan Instagram.
"Saya selalu memuat naik status tentang Islam, ia hanya status yang mudah dan semua umat Islam tahu, seperti potongan ayat-ayat Al-Quran yang memberi makna tentang kebaikan dan Islam itu mudah.

"Daripada situ ramai yang bukan beragama Islam memberi mesej secara peribadi bertanyakan lebih lanjut tentang Islam," ujarnya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Isnin.

Tambah Adam, dia juga pernah mendapat mesej daripada seorang lelaki India yang menetap di Australia yang ingin mengetahui beberapa perkara tentang Islam.

Katanya, lelaki tersebut pulang ke Malaysia untuk melafazkan syahadah dan menganggap ayat-ayat yang saya muat naik itu memberi inspirasi kepadanya untuk memeluk agama Islam.

"Ada seorang lelaki berbangsa India, dia orang Malaysia tetapi menetap di Australia. Dia sering bertanya tentang Islam dan maksud ayat-ayat yang saya muat naik di laman sosial.

"Sehinggalah dia minta bantuan saya untuk menghubungi pihak tertentu bagi memeluk Islam. Selalunya, saya akan bawa mereka ke Perkim (Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia) atau seorang ustaz untuk mengetahui lebih lanjut serta cara untuk mengucap syahadah," ujarnya.

Dalam pada itu, Adam berkata, dia dalam proses menjalankan projek ibadah umrah bersama golongan mualaf yang tidak berkemampuan.

Katanya, projek yang sudah diusahakan selama dua tahun itu akhirnya bakal dilaksanakan pada 10 Jun depan bersama 25 jemaah dari Perkim.

"Projek ini sudah dua tahun saya usahakan, namun banyak sangat rintangan terutama dalam hal dana dan penaja. Dulu saya pernah kena tipu juga, mereka kata ingin taja 40 jemaah, namun akhirnya diam tanpa sebarang mesej.

"Kali ini, pelakon Adi Putra banyak menolong cari dana dan penaja untuk 25 jemaah, Insya-Allah jika tiada halangan kami akan berangkat menunaikan umrah pada 10 hingga 21 Jun depan," ujarnya.

Tambah Adam, dia masih mencari dana untuk duit perbelanjaan jemaah di tanah suci.

Tiket Hari Raya habis dijual


Purwokerto (Indonesia): Perayaan Hari Raya Aidilfitri bakal disambut tiga bulan lagi tetapi tiket kereta api untuk penduduk di bandar ini pulang ke kampung sudah habis dijual.
Seorang pengurus syarikat kereta api, Surono berkata, tiket perjalanan untuk pulang ke kampung sempena perayaan berkenaan mula dijual pada Rabu lalu.
“Tiket perjalanan 10 dan enam hari sebelum perayaan itu untuk keperluan penduduk pulang ke kampung halaman masing-masing sudah habis dijual.
“Tiket untuk perjalanan pulang semula selepas perayaan berakhir akan dijual pada 20 April ini,” katanya.
Menurut kalendar, Hari Raya Aidilfitri bakal disambut di Indonesia pada 7 Julai ini.
Surono menasihatkan orang ramai yang merancang pulang ke kampung supaya membeli tiket lebih awal menerusi Internet.
Beberapa orang yang ditemui berkata, mereka terpaksa datang ke stesen kereta api utama untuk membeli tiket berkenaan kerana terlalu sukar membelinya secara online. - Agensi
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/43379#sthash.5hEZHuSw.dpuf

Projek pembesaran hampir siap

Makkah: Pembesaran ruang tawaf dan kawasan bahagian utara Masjidilharam kini berada dalam peringkat akhir untuk disiapkan.
Pengurus Besar Projek Dua Masjid Suci Sultan Al-Qurashi berkata, pihaknya akan menyegerakan kerja pembesaran itu bagi memastikan ia siap menjelang Ramadan.
“Kami sudah menyiapkan tapak dua rumah api di pintu Al-Umrah. Selain itu, kami juga sudah mengubah suai tiang di kawasan bahagian utara dan Al-Mikbariyah (bilik azan) yang terletak di utara kawasan mataf,” katanya.
Menurut Sultan, syarikat utama yang terbabit dalam projek pembesaran itu mengarah jurutera, juruteknik dan pekerja binaannya menyiapkan projek itu secepat mungkin.
“Mereka bekerja 24 jam sehari,” katanya.
Projek pembesaran itu bermula pada 2012. Tahun pertamanya menyaksikan pembesaran pintu Al-Safa ke Al-Fatih. Tahun kedua pula membabitkan pembesaran pintu Al-Fatih ke Al-Umrah.
“Projek itu memasuki peringkat ketiga dan terakhir. Kami juga membesarkan sehingga pintu Raja Abdulaziz. Tingkat bawah siap sepenuhnya dan kini kami memberi tumpuan kepada tingkat satu kawasan mataf,” kata Sultan.
Kerja pembesaran dan pengubahsuaian itu termasuk pemasangan semula lantai marmar dan tiang. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 April 2015 @ 8:17 AM


PEMANDANGAN di Masjidilharam, kelmarin.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/43376#sthash.seAhjnNw.dpuf

Gesa mandulkan penganut Islam


Jind (India): Seorang ketua kumpulan Hindu, semalam mencetuskan kontroversi apabila mendesak kerajaan India memaksa penduduk Islam dan Kristian negara itu menjalani proses pemandulan untuk menghadkan peningkatan populasi mereka.
Naib presiden persatuan Mahasabha Hindi Seluruh India Sadhvi Dewa Thakur berkata, peningkatan penduduk Islam dan Kristian di negara itu mengancam kedudukan penganut Hindu di negara itu.
“Jumlah penduduk Islam dan Kristian meningkat hari demi hari. Untuk mengatasinya, kerajaan pusat perlu melaksanakan langkah kecemasan dengan memaksa penganut Islam dan Kristian menjalani proses pemandulan.
“Ini bagi memastikan jumlah penganut kedua-dua agama itu tidak meningkat,” kata Sadhivi.
Dalam satu lagi kenyataan kontroversi, Sadhvi berkata, patung Tuhan Hindu baik Tuhan Jantan atau betina, perlu ditempatkan dalam masjid dan gereja. - Agensi
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/43374#sthash.wek4o5Wq.dpuf

Latihan tentera jadi rutin


Jakarta: Indonesia mahu menjalankan latihan tentera secara tetap dengan Amerika Syarikat (AS) di kepulauan Natuna - kawasan kurang berpenghuni yang terletak di Laut China Selatan, berhampiran wilayah yang dituntut China.
Walaupun Indonesia tidak mengemukakan tuntutan di lautan berkenaan, ia menuduh China turut merangkumkan Natuna di dalam kawasan tuntutannya.
AS Jumaat lalu menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan China menebusguna pelbagai kawasan terumbu karang di Laut China Selatan.
Pada hujung minggu lalu, AS dan Indonesia menjalankan latihan tentera di Batam, 480 kilometer dari Natuna.
Jurucakap tentera laut Manahan Simorangkir berkata: “Ia latihan bersama kedua dengan AS di kawasan itu dan kami merancang mengadakan satu lagi tahun depan.
“Kami mahu menjadikannya latihan itu rutin tahunan.”
Latihan membabitkan penggunaan pesawat pengawasan dan peronda termasuk P-3 Orion yang mampu mengesan kapal serta kapal selam.
Katanya, latihan itu tidak dapat dilakukan di Natuna disebabkan kekurangan kemudahan untuk membawa semua pesawat.
Sementara itu, pihak berkuasa Indonesia berkata, latihan bersama AS itu serta perancangan menambah kehadiran tentera di situ bukan disebabkan rasa terancam.
“Perlu diingat, Indonesia tidak terbabit langsung dengan sebarang pertelingkahan di Laut China Selatan.
“Kami tidak mahu apa-apa berlaku di lautan itu dan komited terus menggunakan pendekatan diplomatik untuk menyelesaikan isu tuntuan bertindih,” kata Manahan.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/43621#sthash.PiW0IWzq.dpuf

Wan Azizah paling layak gempur BN

Wan Azizah
Dr Wan Azizah Wan Ismail
SHAH ALAM - Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail adalah calon yang paling layak untuk ditampilkan dalam PRK Permatang Pauh pada 7 Mei ini.

Penganalisis Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata, ini kerana Wan Azizah mempunyai pengalaman matang serta pengaruh yang kuat ke atas Permatang Pauh.

“Wan Azizah mempunyai pengaruh luar biasa di sana kerana suaminya sendiri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menang besar di sana (Permatang Pauh).

“Wan Azizah lah yang paling layak tandingi BN di Permatang Pauh,” katanya kepada Sinar Online hari ini.

Mengulas kelayakan Nurul Nuha, Sivamurugam berkata, Nurul Nuha masih belum cukup matang bagi menghadapi tekanan pilihan raya.

“Nurul Nuha masih tidak cukup pengalaman, manakala Nurul Izzah pula sudah jadi Ahli Parlimen Lembah Pantai. Jadi Wan Azizah lah yang paling layak,” katanya lagi.

PRK Permatang Pauh akan menyaksikan pertembungan calon wanita PKR menentang calon BN.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat, G Manivannan berkata, perkara tersebut akan dimuktamadkan oleh Biro Politik pada Selasa depan.

“Buat masa sekarang, sudah ada dua nama diputuskan, namun keputusan mengenai calon tersebut akan dimuktamad dan diumumkan pada Selasa ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Online semalam.

GST: Kelantan dicabar haramkan cukai negeri juga

Fathul Bari
Fathul Bari Mat Jahaya
SHAH ALAM - Kerajaan Kelantan pimpinan Pas dicabar mengeluarkan fatwa bahawa semua cukai di bawah pentadbirannya adalah haram sebelum menyanggah hukum pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada masa ini.

Exco Pemuda Umno, Dr Fathul Bari Mat Jahaya berkata, Pas Kelantan tidak sewajarnya menyalahgunakan dalil untuk menyerang pelaksanaan cukai baharu itu sahaja tanpa pemahaman mendalam.

"Sebenarnya, nas-nas tersebut adalah bersifat umum terhadap apa-apa cukai, jadi kenapa ditumpukan kepada GST sahaja, saya melihat ini ada usaha-usaha politik.

"Kalau hendak cakap cukai itu haram, saya minta Kerajaan Kelantan bercakap haram ke atas semua cukai, cukai pendapatan haram...cukai pintu haram...haramkan semua cukai, kenapa GST sahaja, tolong jangan selektif," katanya kepada Sinar Online, semalam.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob semalam yang mendakwa Islam melarang pemimpinnya mengutip cukai daripada orang miskin untuk menyelesaikan masalah ekonomi negara.

Ahmad berkata, lagi cukai tersebut harus dikutip termasuk orang miskin apabila negara berada dalam keadaan darurat untuk tujuan mempertahankan kedaulatan negara.

Mengulas lanjut, Fathul Bari juga kesal apabila sesetengah ustaz Pas menggunakan hadis Nabi Muhammad SAW yang menyatakan, ‘Tidak akan masuk syurga pemungut cukai’ dengan mudah untuk menghukum kerajaan.

“Saya hendak betulkan ada sebahagian Ustaz dengan mudah gunakan hadis ini untuk memasuk atau menerakakan pemungut cukai, kena tengok penjelasan ahli ilmu dan ulama, jangan ambil sekerat saja.

“Al-Imam Az-Zahabi berkata, ‘Ambil dari seorang yang tidak berhak dan agihkan kepada orang tidak berhak’, Imam Nawawi pula berkata, ‘Ambil harta manusia tanpa hak, agihkan bukan dengan cara yang betul,” jelasnya.

Tambah beliau, perkataan cukai dalam hadis itu merujuk kepada dua perkara iaitu kurang dan zalim, maknanya secara zalim kutip cukai, paksa orang, bila dia agihkan secara tidak adil atau kurang.

“Jadi kalau orang yang kutip zakat pun dengan bukan cara yang betul, dia termasuk dalam hadis tadi (tidak masuk syurga pemungut cukai),” katanya lagi.

Najib tak jawab soalan, kata Tun M

Tun Dr Mahathir Mohamad
Tun Dr Mahathir Mohamad
SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau akan berasa bersalah jika kehilangan duit rakyat dan ketidakadilan terus disembunyikan daripada pengetahuan umum.
 
Katanya, walaupun beliau bersendirian menuntut jawapan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam beberapa persoalan, namun ia menjadi tanggungjawabnya untuk bertanya.
 
"Saya sedar saya keseorangan. Tetapi jika saya juga berasa bertanggungjawab kepada rakyat salahkah. Apabila duit rakyat hilang dan ini tersembunyi dari rakyat salahkah kalau saya tanya.
 
"Hakikatnya wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ada di mana masih tidak dijawab, kata Datuk Seri Najib wang itu tidak ada di Cayman Islands. Tetapi dulu mengaku ada di Cayman Islands dan sudah dibawa balik," katanya dalam tulisan terbarunya bertajuk "Soal Tak Jawab" di blog Chedet, semalam.
 
Sebelum ini, Dr Mahathir dengan lantang mendesak supaya Najib menjawab pelbagai persoalan termasuk kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu, kontroversi 1MDB dan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).
 
Selepas beliau membuat asakan berulang kali, Najib akhirnya muncul di kaca televisyen menerusi Soal Jawab Bersama Perdana Menteri pada Khamis lepas untuk menjawab kritikan tersebut.
 
Mengulas lanjut, Dr Mahathir juga berkata, penjelasan Najib itu hanya menyebabkan rakyat bertambah keliru.
 
"Jika tidak ada di Cayman Islands, ada di mana? Dari mana datang wang yang separuh dibawa balik dahulu dan separuh dibawa balik untuk disimpan di Singapura.
 
"Kenapa perlu simpan duit yang bukan dari Cayman Islands dan tidak diguna untuk bayar faedah RM2 billion? Kenapa kerajaan membuat standing credit sebanyak 900 juta?" soalnya lagi.
 
Bekas Presiden Umno itu juga turut mengulangi persoalannya tentang dalang di sebalik pembunuhan model Mongolia yang tidak dijawab Najib dalam wawancara di televisyen itu.
 
"Saya hanya bertanya siapa yang memberi arahan kepada Sirul yang dikena hukum bunuh. Saya tidak tuduh Najib.
 
"Biasanya anggota polis atau tentera tidak tembak mati sesiapa melainkan diserang atau di arah. Ini soal nyawa manusia. Kalau salah, bunuhlah Sirul. Tetapi kalau menjalankan tugas, menurut perintah tidak adil lah jika Sirul dibunuh," tegasnya.
 
Mengulas isu jambatan bengkok yang ditimbulkan Najib, beliau bagaimanapun berkata Ahli Parlimen Pekan itu cuba mengalih isu daripada menjawab persoalan sebenar.
 
"Jika kerana jambatan bengkok yang saya marah, saya patut tuntut peletakan Najib sebelum PRU 13. Sebaliknya saya berkempen untuk kemenangan Najib. Kepimpinan Najib di Selangor tidak berkesan," ujarnya.
 
Serangan ke atas Najib terus dilakukan Dr Mahathir dengan mendakwa sokongan kepada kepimpinan perdana menteri itu oleh beberapa pihak tidak mencerminkan sokongan dalam isu 1MDB.
 
"Mereka takut. Ada yang tanya saya berkenaan dengan 1MDB dan minta saya buat sesuatu. Sekarang ada ugutan terhadap sesiapa yang tidak menyatakan sokongan kepada Najib.
 
"Teringat saya kepada ribuan orang yang dibawa berhimpun dan disuruh angkat sepanduk “I love PM” dan menyanyi “I M 4 U”, tapi dalam PRU13 kalah," katanya lagi.

Hillary Clinton tanding Presiden AS


GAMBAR fail bertarikh 29 September 2014 ini menunjukkan Hillary bersama suami, Clinton melambaikan tangan ke arah media selepas anak mereka, Chelsea melahirkan seorang bayi di sebuah hospital di New York. - Agensi


WASHINGTON – Bekas Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton secara rasminya melancarkan kempen jelajah menawan White House kelmarin dalam usaha untuk menjadi Presiden Wanita Pertama di negara itu.
“Saya akan bertanding untuk menjadi presiden,” ujar Hillary dalam satu video di laman web kempennya yang disiarkan secara langsung pada pukul 3 petang waktu tempatan kelmarin.
Hillary juga merupakan bekas Wanita Pertama AS ketika suaminya, Bill Clinton memegang tampuk pemerintahan negara dari 1993 hingga 2001.
Pengumuman yang dibuat itu sekali gus menamatkan spekulasi yang bertiup kencang sejak beberapa bulan lalu mengenai cubaan keduanya untuk menjadi presiden.
“Setiap hari rakyat AS perlukan juara dan saya mahu menjadi juara. Oleh itu, anda boleh melakukan lebih daripada itu. Anda boleh berada di hadapan dan kekal dengannya,” kata Hillary dalam video yang berdurasi selama dua minit itu.
Tambahnya, rakyat AS telah berjuang untuk pulih dalam keadaan ekonomi yang sukar. Tetapi, perancangan yang disusun masih memihak kepada orang-orang atasan,” katanya.
Hillary, 67, menjadi tokoh ketiga utama yang mengumumkan dirinya bertanding jawatan presiden.
Senator Republikan, Ted Cruz dan Rand Paul telah pun mengumumkan kempen mereka beberapa minggu sebelum ini.
Senator Marco Rubio pula dijangka mengumumkan kempennya hari ini dan bekas Gabenor Florida, Jeb Bush masih mempertimbangkan mengenainya.
Hillary dilihat akan menjadi peneraju untuk partinya disebabkan persaingan agak serius dalam Parti Demokratik.
Wanita ini juga memberitahu di dalam video tersebut dia akan turun menjelajah ke seluruh negara untuk mendapatkan undi rakyat AS.
Bakal pengerusi kempennya, John Podesta memberitahu, penderma dan penyokong lain di dalam e-mel kelmarin bahawa kempen pertama Hillary akan dijalankan di Iowa, negeri yang akan membuat undian pertama dalam proses utama awal tahun depan untuk menentukan calon parti.
Acara rasmi permulaan kempen itu pula akan diadakan bulan depan. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0414&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3XEnHxXjg 
Hakcipta terpelihara