Friday, August 2, 2013

Juruterbang diskriminasi penumpang buta

JAKARTA 1 Ogos - Seorang juruterbang pesawat syarikat penerbangan Sriwijaya Air, hari ini melakukan diskriminasi apabila menghalang seorang penumpang buta menaiki pesawat yang dipandunya, semalam.
Juruterbang itu menyatakan dia tidak akan memulakan penerbangan, selagi penumpang buta bernama Deny Yen Martin masih berada di dalam pesawat berkenaan.
Alasan juruterbang berkenaan tidak membenarkan Deny menaiki pesawat tersebut kerana dia tidak ditemani pendamping.
Sebelum itu, Deny sudah diberi kebenaran ketika pendaftaran masuk oleh pengurusan Sriwijaya Air bagi laluan Jakarta-Surabaya, malahan dia sudah duduk di kerusi, tetapi diminta turun oleh juruterbang berkenaan.
Walaupun berlaku pertengkaran antara pengurusan Sriwijaya Air dengan juruterbang itu, dia tetap memaksa penumpang buta tersebut turun, lapor portal berita detik.com, hari ini.
Sehubungan itu, pengurusan Sriwijaya Air yang kesal dengan kejadian tersebut telah memohon maaf kepada Deny dan menguruskan perjalanannya ke Surabaya dengan menaiki pesawat lain.
"Kita sudah meminta maaf dan masalah itu sudah selesai," kata Pengurus Kanan Komunikasi Korporat Sriwijaya Air, Agus Sujono. - UTUSAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130802/lu_06/Juruterbang-diskriminasi-penumpang-buta#ixzz2b06JszeF
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Kabinet serah pada polis

Kabinet serah pada polisRibuan penyokong Mursi berhimpun di perkarangan Masjid Rabaa al-Adawiya untuk menuntut supaya Mursi dibebaskan segera. Foto: EPA

KAHERAH - MESIR, Kerajaan sementara Mesir dilaporkan semakin bimbang susulan kegagalan menghentikan protes besar-besaran penggulingan Presiden Mesir Muhammed Mursi sejak 3 Julai lalu.

Dalam satu kenyataan rasmi, Kabinet Mesir terpaksa mengarahkan polis untuk mengambil tindakan kekerasan ke atas penunjuk perasaan pro bekas Presiden Mesir itu.

“Penunjuk perasaan pro-Mursi yang berkampung di Rabaa al-Adawiya dan Dataran Nahda membawa ancaman kepada keselamatan nasional. Polis juga gagal melakukan sekatan jalan raya di kawasan terbabit,” menurut kenyataan itu.

Arahan dikeluarkan Menteri Dalam Negeri itu dijangka meningkatkan lagi ketegangan di Mesir selepas tunjuk perasaan besar-besaran itu menyebabkan lebih 82 orang terbunuh, Sabtu lalu.

Difahamkan kekecohan terus meningkat sejak beberapa wakil Eropah tiba di Kaherah untuk membantu menangani krisis yang kini meragut lebih 150 nyawa.

Sementara itu menurut laporan Press TV, wakil Amnesty International berpendapat, keputusan kerajaan mengarahkan pasukan keselamatan menamatkan perhimpunan pro Mursi bakal meningkatkan lagi pertumpahan darah.

“Tindakan ini adalah tidak wajar kerana pengumuman itu dilihat sebagai penyalahgunaan kuasa. Pihak berkuasa dan pasukan keselamatan perlu mengelakkan kekerasan. Mereka disarankan menggunakan kaedah pujukan, rundingan atau pengantaraan seperti disyorkan piawaian antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan.

Cuaca panas melampau jejaskan China

Cuaca panas melampau jejaskan ChinaPeniaga air botol memperoleh pendapatan berganda selepas cuaca panas melampau di Shanghai.

HONG KONG - CHINA, Cuaca panas melampau yang melanda China menyebabkan puluhan maut hingga menyebabkan pihak berkuasa terpaksa mengeluarkan amaran berjaga-jaga.

Kerajaan tempatan juga dilaporkan berusaha melakukan pembenihan awan bagi menangani masalah itu selain bertujuan untuk mengairi berjuta hektar ladang pertanian yang kering kontang.

Ketua Perkhidmatan Kaji Cuaca, He Lifu kepada CNN berkata, kira-kira 19 wilayah dilanda cuaca panas melampau selepas suhu mencecah sehingga 35 darjah Celsius.  

Kawasan paling teruk terjejas adalah di selatan dan timur China termasuk di Shanghai yang mencatatkan suhu paling panas dalam tempoh 140 tahun.

Raja Thailand keluar hospital selepas 4 tahun



BANGKOK -THAILAND, Raja Thailand dilaporkan keluar dari wad selepas empat tahun berada di hospital untuk menjalani rawatan sejak 2009.

Gabenor Prachuap Khiri Khan, Weera Sriwathanatrakoon berkata, baginda kini berpindah ke kediamannya di bandar Hua Hin selatan Bangkok selepas keluar dari Hospital Siriraj di Bangkok.

“Keadaan baginda semakin baik namun masih berada di bawah pemantauan kumpulan perubatan,” katanya kepada AFP.

Raja Bhumibol Adulyadej, 85, dirawat di hospital berkenaan sejak empat tahun lalu dan tiada maklumat lanjut didedahkan kepada media.

kenapa jenayah meningkat dimalaysia?

 

Beruang lapar curi tong sampah restoran



COLORADO, AMERIKA SYARIKAT - Seekor beruang kelaparan dilaporkan mencuri tong sampah dua malam berturut-turut dari sebuah restoran di Colorado Springs, pada malam Rabu lalu.

Melalui rakaman daripada kamera litar tertutup (CCTV), beruang itu dilihat mencapai dan membuka penutup tong sisa makanan dan terus menarik tong itu keluar dari kawasan restoran berkenaan.

Difahamkan beruang itu telah memakan sisa makanan di dalam tong berkenaan akibat terlalu lapar.

Kejadian yang sama berulang pada hari berikutnya apabila sekali lagi apabila CCTV berjaya merakamkan aksi sama oleh beruang itu.

Dipecat kerana hidang daging khinzir di sekolah



LONDON - Gara-gara menghidangkan daging khinzir secara tidak sengaja kepada murid beragama Islam, seorang pekerja kantin yang mempunyai pengalaman selama 11 tahun di Sekolah Rendah Queen Edith, Cambridge dipecat.

Alison Waldock, 51, dilaporkan memohon maaf dan mengaku menghadapi kesukaran mengingati senarai makanan berbeza untuk dihidangkan kepada lebih 40 murid di sekolah itu.

Difahamkan, insiden tersebut disedari guru besar lalu bertindak menghalang murid perempuan berumur tujuh tahun itu daripada memakan daging khinzir terbabit.

Dalam satu kenyataan kepada DailyMail, kumpulan komuniti Muslims4UK memaklumkan, majoriti keluarga Islam akan memahami 'kesilapan' yang tidak disengajakan itu.

"Semua manusia membuat kesilapan dan tindakan memecat Alison adalah satu hukuman yang agak berat kepada wanita tersebut," jelas jurucakap kumpulan itu.

Anak jadi pengapit sebelum 'pergi'


Anak jadi pengapit sebelum 'pergi'

SEORANG kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang hanya mempunyai masa beberapa minggu saja untuk hidup bakal menjadi pengapit kepada ibu bapanya yang bakal berkahwin hujung minggu ini.

Sean Stevenson dan Christine Swidorsky pada mulanya merancang untuk berkahwin tahun hadapan tetapi mereka memutuskan untuk mempercepatkan tarikh perkahwinan pada Sabtu ini supaya anak mereka, Logan yang mempunyai penyakit leukimia dan komplikasi penyakit lain dapat menyertai majlis perkahwinan itu.

“Kami mahu Logan masuk dalam potret keluarga kami dan mahu dia melihat ibu bapanya berkahwin,” kata Swidorsky.

Logan menghidapi Fanconi anemia, penyakit yang jarang berlaku dan menyebabkan kanser.

Kanak-kanak malang ini disahkan menghidap leukimia mieloid akut seawal usia 14 bulan dan pernah membuat pemindahan sel stem tahun lalu.

Minggu lalu, pasangan itu dikejutkan apabila doktor mengesahkan anak lelaki mereka hanya mampu hidup dalam masa tiga minggu saja lagi.

“Saya bakal menghadapi saat yang paling sukar, iaitu mengebumikan anak saya.

"Saya tahu ia akan berlaku dan saya tidak mampu untuk membuat apa-apa lagi," kata Stevenson.

Swidorsky berkata, majlis perkahwinan mereka bakal dihadiri 100 orang tetamu sahaja.

Berlusconi tetap ke penjara

Silvio Berlusconi
Silvio Berlusconi


ROM - ITALI. Mahkamah Itali mengesahkan hukuman penjara dijatuhkan kepada bekas Perdana Menteri, Silvio Berlusconi, semalam.

Mahkamah mengekalkan hukuman itu selepas mendapati Berlusconi bersalah atas kesalahan penipuan cukai empat tahun lalu.

Sumber mahkamah berkata, terdapat juga kemungkinan yang keputusan semalam boleh ditangguhkan sehingga hari ini.

Kerjaya bekas perdana menteri itu sering dibelenggu kontroversi dengan masalah undang-undang.

Berlusconi dihadapkan ke mahkamah pada kali pertama pada tahun 2006.

Beliau turut disabitkan kesalahan di atas kes lain termasuk mengadakan hubungan seks dengan pelacur bawah umur dan  menyalah guna kuasa sebagai perdana menteri.

Cowell hamilkan isteri kawan baik

London: Pengasas siri X Factor, Simon Cowell dilapor akan menjadi bapa kepada bayi isteri rakan baiknya, jutawan pemilik kasino, Andrew Silverman.
Silverman memfailkan tuntutan cerai daripada isterinya, Lauren awal bulan lalu, tetapi tidak diketahui sama ada dia melakukan demikian selepas mendapat tahu isterinya hamil dengan anak Cowell. 
Dia yang diwakili peguam keluarga Manhattan Cohen Goldstein memfailkan tuntutan cerai pada 24 Julai lalu.

Pasangan itu mempunyai seorang anak lelaki, Adam, 7, hasil daripada perkahwinan mereka.
Foto
AKSI mesra Cowell (baring) dan Lauren ketika bercuti di Caribbean sambil diperhatikan Silverman, Januari tahun lalu.

Sebelum ini ada gambar menunjukkan aksi mesra Cowell, 53, bersama Lauren, 36, ketika bercuti di Caribbean pada Januari tahun lalu walaupun Silverman turut menyertai percutian itu dan berada tidak jauh dari mereka.

Sumber yang rapat dengan Cowell sebelum ini pernah berkata, mogul muzik itu tidak ingin mempunyai anak.

Sumber itu juga berkata, kehamilan terbabit tidak dirancang dan Cowell benar-benar terkejut.

Bagaimanapun Cowell dikatakan dapat menerima kenyataan bahawa bayi yang bakal lahir itu adalah anaknya.

Lauren dikatakan hamil 10 bulan. Publisiti yang mengejutkan itu muncul hanya beberapa minggu sebelum bermulanya musim baru siri X Factor AS September depan.

Cowell dan Lauren yang menyerupai wajah bekas tunangnya Mezhgan Hussainy dikatakan sudah berkawan lebih lima tahun.

Cowell kini dikatakan sibuk dengan kes hartanya bernilai £225 juta (RM1.1 bilion), yang pastinya cukup untuk menyara anak yang bakal lahir itu. - Agensi

AS setuju siasat Pilihan Raya Parlimen Kemboja

AS setuju siasat Pilihan Raya Parlimen Kemboja

AS setuju siasat Pilihan Raya Parlimen Kemboja NRP menggesa Washington membantu menyiasat penyelewengan pilihan raya Kemboja.

WASHINGTON - Amerika Syarikat semalam, bersetuju dengan permintaan pembangkang Kemboja untuk menyiasat dakwaan wujudnya penyelewengan sewaktu Pilihan Raya Parlimen yang mengisytiharkan Perdana Menteri, Hun Sen sebagai pemenang kerusi.

"Kami mahukan siasatan secara telus terhadap kemungkinan adanya penipuan sewaktu proses pilihan raya," kata jurucakap kerajaan AS, Jen Psaki dalam laporan BangkokPost.

Bagaimanapun, Jen Psaki berkata, siasatan membabitkan dua pihak dan bukannya dilakukan berlandaskan permintaan ketua Parti Pembangkang Kemboja (CNRP), Sam Rainsy.
Susulan kemenangan parti pimpinan Hun Sen, satu bantahan dikeluarkan pembangkang Kemboja yang menggesa siasatan melibatkan ahli-ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan negara luar.

Sam Rainsy yang sebelum ini berada di dalam buangan selama empat tahun kerana dakwaan motif politik, dibebaskan melalui pengampunan diraja pada 19 Julai.

"CNRP menolak keputusan PRU kerana mereka tidak mendapat undi majoriti dalam Dewan Negara," kata jurucakap kerajaan Phay Siphan.

Sementara itu, Badan Ketelusan Antarabangsa Kemboja (TIC) melaporkan, sebahagian pengundi gagal melaksanakan tanggungjawab mengundi kerana nama mereka tiada dalam senarai pengundi selain ramai dibenarkan mengundi tanpa kad pengenalan yang sah.

TIC turut mempersoalkan isu bilangan pengundi yang ramai menggunakan kad pengenalan sementara.

Setakat ini, Parti Rakyat Kemboja (CPP) menang dengan 55 peratus daripada 123 kerusi Parlimen tiga hari lalu berbanding kemenangan 73 peratus pada Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini.

Militan Abu Sayyaf bebaskan tawanan

Militan Abu Sayyaf bebaskan tawanan

 
Militan Abu Sayyaf bebaskan tawanan Tentera berkawal di sekitar kampung di wilayah utara Tarlac.

ZAMBOANGA CITY - FILIPINA. Kumpulan militan Abu Sayyaf membebaskan seorang tawanan di wilayah Sulu, selatan Filipina, semalam.

Mangsa, Alrashid Maha Rojas, 56, merupakan petugas Masjid Pusat Pengajian Islam di Western Mindanao State University (WMSU), dibebaskan dengan wang tebusan.

Polis tempatan berkata, pada 22 Jun lalu, mangsa diculik ketika berada di rumahnya di Desa Islam Campo, Zamboanga sebelum dilarikan ke Sulu pada malam kejadian.

“Mangsa kini berada dalam keadaan selamat dan ditempatkan di balai polis tempatan. Beliau juga diberi pemeriksaan kesihatan,” katanya kepada AFP.

Sementara itu, enam pemberontak diketuai seorang wanita terbunuh dalam pertempuran dengan tentera Filipina di sebuah kampung di wilayah utara Tarlac.

Jurucakap tentera, Leftenan-Kolonel Ramon Zagala berkata, pertempuran tercetus apabila pihaknya cuba melumpuhkan kegiatan merekrut ahli baru untuk diserapkan ke dalam gerakan pemberontak yang digelar Tentera Rakyat Baru (NPA).

“Sembilan daripada mereka di tembak mati dan tiga yang lain melarikan diri. Pemberontak kini cuba untuk mendapatkan pengaruh baru di kawasan kampung itu,” katanya. 

Aidilfitri: Jutaan warga Yogyakarta balik kampung

Aidilfitri: Jutaan warga Yogyakarta balik kampung

Aidilfitri: Jutaan warga Yogyakarta balik kampung Jutaan kenderaan dijangka memasuki Yogyakarta mulai hari ini.

YOGYAKARTA - INDONESIA. Pihak Berkuasa Tempatan kini sedang giat membuat persiapan rapi menjelang kepulangan lebih empat juta warga Yogyakarta sempena Syawal minggu hadapan.

Wali Kota Yogyakarta Haryadi Suyuti berkata, pihaknya kini sedang melakukan operasi  'Jogo Lebaran' atau 'Jogobaran' bermula hari ini hingga 15 Ogos dengan 150 pegawai bakal berkawal setiap hari.

“Kami jangkakan lebih empat juta orang akan masuk ke Yogyakarta melalui  pengangkutan udara, darat dan laut. Kami juga meningkatkan kawalan keselamatan bagi memastikan bandar ini kekal bersih dan aman,” katanya kepada akhbar Antara.

Menurutnya, kawasan utama di beri perhatian khusus adalah sekitar Malioboro memandangkan kawasan itu menjadi tumpuan warga tempatan setiap kali Syawal.

“Tindakan tegas undang akan diambil terutama bagi kesalahan, penjualan di kaki lima jalan dan kedai, kenaikan harga mendadak dan kesesakan lalu lintas,” katanya. - Antara

Mursi dijangka tolak tawaran EU

Mursi dijangka tolak tawaran EU

Mursi dijangka tolak tawaran EU Ashton bertemu dengan Mursi kali terakhir pada Januari lalu di Kaherah. - Foto AP

KAHERAH - MESIR. Kumpulan gerakan Al-Jamaah Al-Islamiyah dan Ikhwanul Muslimin percayai, Presiden Mesir yang digulingkan Mohammed Mursi menolak tawaran Ketua Kesatuan Eropah (EU)  untuk mencapai perdamaian.

Kumpulan itu berpendapat, Mursi akan menolak tawaran EU diwakili Catherine Ashton dalam langkah untuk membebaskannya dengan cara selamat dan aman.

“Kami yakin, Mursi tidak akan tunduk dengan tawaran itu. Beliau akan menolak tawaran untuk ‘keluar mengikut jalan selamat’ seperti yang ditawarkan EU sekiranya jawatan Presiden dilepaskan secara rasmi ,” kata jurucakapnya kepada Press TV.

Menurut laman Mesir Ahram Online pula, Ashton bagaimanapun menafikan dakwaan tawaran tersebut.

“Saya tidak sependapat dalam banyak perbincangan. Pandangan kami bercanggah. Perkara ini akan dibincangkan nanti,” katanya.

Kelmarin, pihak tentera mesir membenarkan Ashton bertemu dengan Mursi dan membenarkan pemimpin itu diberi kelonggaran saluran media selama sebulan.

Selasa lalu, Ashton difahamkan berada di Kaherah untuk menghantar mesej jelas bahawa banduan ditahan atas alasan politik perlu dibebaskan segera.

Beliau kemudiannya diberi kebenaran untuk bertemu dengan Mursi selama dua jam di lokasi yang dirahsiakan.

Selain Ashton, agensi berita MENA melaporkan, delegasi Afrika diketuai bekas Presiden Mali Alfa Omar Konari turut mengadakan mesyuarat selama sejam dengan Mursi.

Namun, butiran pertemuan itu tidak didedahkan kepada media. 

Gencatan senjata sempena Syawal

Gencatan senjata sempena Syawal

Gencatan senjata sempena Syawal Gencatan senjata membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan kepada rakyat Syria dengan lancar ketika Syawal.

KAHERAH - MESIR. Negara Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengeluarkan kenyataan mendesak supaya gencatan senjata dilakukan di Syria menyelang Syawal minggu depan.

Dipetik laporan Press TV, Setiausaha Liga Arab Nabil al-Arabi dan rakan sejawatnya dari OIC Ekmeleddin Ihsanoglu dalam satu kenyataan bersetuju dan menyarankan Syria perlu bebas dari segala keganasan sepanjang minggu itu.

“Gencatan senjata ini bagi memberi ruang kepada rakyat Syria meraikan sambutan hari kemenangan itu dengan aman dan penuh jaminan keselamatan terutama ketika menunaikan solat Aidilfitri,” menurut kenyataan itu.

Kedua-dua wakil itu juga berpendapat, gencatan senjata pada Syawal nanti memungkinkan penyelesaian politik dicapai biarpun masih terdapat banyak halangan.

“Kami yakin pada bulan mulia ini, rejim Presiden Syria Basar al Assad dilihat berpotensi untuk berdamai dengan kumpulan Tentera Pembebasan Syria,” memetik kenyataan itu lagi.

Selain itu, gencatan senjata ini juga bakal memudahkan misi bantuan kemanusiaan disampaikan di kawasan paling terus terjejas. 

Vietnam haramkan perkongsian berita di internet



BEBERAPA orang lelaki menggunakan tablet dan telefon pintar di sebuah kafe siber di Hanoi semalam. Pemerintah Vietnem kelmarin mengeluarkan dekri yang menghalang pengkongsian berita di internet.


HANOI - Pemerintah Komunis Vietnam akan mengharamkan perkongsian berita secara dalam talian melibatkan para pemilik blog dan pengguna media sosial.
Ia dibuat menerusi satu dekri baharu yang dilihat sebagai tindakan keras mengekang kebebasan menggunakan internet.
Menurut dekri tersebut, pemilik blog dan pengguna laman sosial seperti Facebook dan Twitter hanya dibenar bertukar-tukar maklumat peribadi.
Dokumen dekri berkenaan ditandatangani oleh Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Tan Dung dan dikeluarkan lewat kelmarin.
Ketua Jabatan Radio, Televisyen dan Maklumat Elektronik, Hoang Vinh Bao seperti dipetik akhbar VNExpress berkata, para pengguna internet dilarang berkongsi maklumat daripada akhbar, agensi berita atau laman web lain milik kerajaan.
Namun, perintah baharu itu tidak menjelaskan bagaimana peraturan tersebut akan dilaksanakan atau jenis denda yang bakal dikenakan.
Perintah yang dijangka berkuat kuasa pada September depan turut melarang pembekal perkhidmatan internet asing menyediakan maklumat bertentangan dengan dasar Vietnam.
Antaranya melibatkan isu yang boleh menjejaskan keselamatan negara, ketenteraman sosial dan perpaduan atau fitnah.
Sementara itu, akhbar dalam talian VietnamNet melaporkan, Timbalan Menteri Penerangan dan Komunikasi, Le Nam Thang berkata, peraturan baharu itu bertujuan membantu pengguna internet memperoleh maklumat bersih dan tepat dalam talian.
Pada tahun ini, seramai 46 aktivis didapati bersalah kerana terlibat dalam aktiviti antikerajaan dan telah dipenjara.
Sekurang-kurangnya tiga pemilik blog turut ditahan pada Jun lalu.
Kesemua mereka dituduh terlibat dalam aktiviti antikerajaan. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0802&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2al5JJvOJ 
Hakcipta terpelihara 

Pemerintah Mesir akan bersih lokasi perhimpunan


PARA penyokong bekas Presiden Mesir, Mohamed Morsi berarak dari masjid Al-Fath menuju ke bangunan Kementerian Pertahanan di Kaherah, kelmarin. Mereka berikrar akan meneruskan protes sehinggalah kuasa Morsi dikembalikan.


KAHERAH - Kabinet Mesir kelmarin mengarahkan polis mengambil tindakan keras untuk menyuraikan protes penyokong setia bekas Presiden Mesir, Mohamed Morsi.
Arahan kepada menteri dalam negeri itu meningkatkan lagi kemungkinan tercetusnya pertempuran berdarah, selepas 82 orang maut semasa bantahan pro-Morsi di sini beberapa hari lalu.
Perkara tersebut dibuat ketika beberapa wakil dari Eropah tiba di Kaherah bagi meredakan ketegangan di antara tentera pemerintah dan kumpulan Islam.
Pengumuman kabinet tersebut hadir menerusi satu kenyataan yang menyatakan bahawa kem-kem yang menempatkan penyokong Morsi di dua dataran di sini memberi ancaman kepada keselamatan negara.
"Situasi berbahaya yang berterusan di dataran Rabaa al-Adawiya dan Nahda, keganasan serta sekatan jalan raya tidak boleh diterima lagi, memandangkan ia memberi ancaman kepada keselamatan nasional," kata kenyataan itu.
Sementara itu, para penyokong Morsi dilapor berikrar untuk menentang arahan menyuraikan protes tersebut.
"Tiada apa yang akan berubah," kata jurucakap Ikhwanul Muslimin, Gehad El-Haddad.
Kumpulan penyokong Morsi berkata, mereka akan mengadakan perarakan berskala besar pada hari ini. Selain mengutuk perintah yang diberikan kepada polis bagi menamatkan bantahan di Kaherah.
"Gabungan yang menentang rampasan kuasa menyeru semua rakyat untuk mengadakan protes secara aman di Mesir," kata satu kenyataan gabungan penyokong setia Morsi.
Gabungan tersebut juga menggesa tentera dan polis tidak menembak rakyat Mesir.
Lebih 250 orang terkorban sejak tentera menggulingkan Morsi pada 3 Julai lalu berikutan protes besar-besaran di seluruh negara. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0802&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2al4zhzRF 
Hakcipta terpelihara