Friday, May 4, 2012

PDRM tanggung kos RM1.8j

myMetro | PDRM tanggung kos RM1.8j:

PUTRAJAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengalami kerugian harta benda dan aset tanggungan berjumlah RM1.8 juta sepanjang menjalankan tugas bagi menjamin keselamatan dan keamanan ketika perhimpunan Bersih 3.0, Sabtu lalu, kata Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Mahmood Adam.
Menurutnya, kerugian itu sepatutnya boleh dielak dan digunakan untuk membiayai perkara lebih berfaedah sekiranya perhimpunan itu tidak diadakan. “Di samping bersabar dengan maki hamun dan dicederakan peserta perhimpunan itu, PDRM juga terpaksa mengalami kerugian harta benda dan aset tanggungan. “Malah, seramai 14,331 anggota ditugaskan sepanjang perhimpunan haram itu dan antaranya ialah pegawai dari Jabatan Pengurusan, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, Jabatan Logistik, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Jabatan Siasatan Jenayah, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial dan Cawangan Khas,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam. Dalam perkembangan lain, Mahmood berkata, PDRM sedang mengesan perusuh yang bertindak ganas mencederakan anggota polis, petugas media dan harta awam sepanjang perhimpunan itu berlangsung. “Kerajaan juga akan mendedahkan semua rakaman sebenar sepanjang perhimpunan itu serta mengedar gambar individu terbabit dalam insiden keganasan dan kekecohan dalam masa terdekat supaya orang ramai boleh membuat penilaian sendiri,” katanya.

49 dicari

myMetro | 49 dicari:


pix_middle 
KUALA LUMPUR: Polis menyiarkan gambar 49 individu termasuk mahasiswa yang dikenal pasti melakukan pelbagai kesalahan termasuk jenayah ketika perhimpunan Bersih 3.0, di ibu negara, Sabtu lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, individu berkenaan diminta tampil secepat mungkin sebelum mereka dijejaki melalui alamat kediaman masing-masing.

“Polis sudah mempunyai maklumat lengkap mereka, namun kami meminta mereka tampil sendiri untuk memberi kerjasama dan membantu siasatan.
“Kalau mereka masih berdegil, kita tidak teragak-agak untuk mencari mereka di alamat yang sudah dikenal pasti,” katanya dalam sidang media, semalam.

Beliau berkata, orang ramai yang mengenali wajah yang disiarkan dan mempunyai maklumat juga boleh menghubungi mana-mana balai polis atau berhubung terus dengan Asisten Komisioner Azmi Aziz di talian 019-2602344 atau 019-3872344 atau emel azmiaziz@rmp.gov.my.

“Semua mereka akan disiasat mengikut Seksyen 143 dan 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan merosakkan harta benda awam,” katanya.
Katanya, setakat ini, polis sudah menerima 258 laporan polis berhubung perhimpunan terbabit yang dibuat pelbagai pihak termasuk anggota polis, wartawan, peserta perhimpunan, peguam dan peniaga.

“Semua laporan yang dibuat akan diteliti dan masih dalam proses siasatan khususnya dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) untuk tindakan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.
“Saya memberi jaminan, semua laporan polis yang diterima akan disiasat seadil-adilnya supaya undang-undang dapat ditegakkan sepenuhnya,” katanya.

Menurutnya, selain meneliti aduan, gambar yang disiarkan media dan dirakam polis turut diteliti bagi membantu siasatan lanjut.

Individu pertama kena dakwa

Berita Harian Online | Individu pertama kena dakwa:

KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Cabang PKR Rasah, R Tangam yang dikenal pasti bertanggungjawab memecahkan sekatan polis di Dataran Merdeka, Sabtu lalu, menjadi individu pertama didakwa berhubung rusuhan ketika perhimpunan BERSIH 3.0 itu. 

Semalam, dia didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, atas tuduhan melanggar perintah Majistret Zaki Asyraf Zubir dengan menghadiri perhimpunan yang dilarang di dataran itu.
Tangam, 50, yang mengalami kecederaan di ligamen, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Tangam yang berjalan terhincut-hincut ketika dibawa anggota polis ke dalam kandang tertuduh memohon supaya dibenarkan duduk apabila pertuduhan dibacakan terhadapnya dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Mahmud Abdullah. Mahmud membenarkan permohonannya. 

Dia didakwa sebagai ahli perhimpunan yang menyalahi undang-undang dengan tujuan bersama menentang pelaksanaan Kanun Tatacara Jenayah yang dibuat pada 26 April lalu oleh Zaki Asyraf. Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Raja di sini, jam 3 petang, 28 April 2012. 

Dia juga menghadapi tuduhan pilihan iaitu bersama-sama penyokong BERSIH 3.0 dilarang supaya tidak hadir, berada atau mengambil apa-apa bahagian dalam apa-apa perhimpunan dari 28 April 2012 hingga 1 Mei 2012 di Dataran Merdeka, iaitu semua permukaan tanah yang disempadani Jalan Sultan Hishamuddin, Jalan Raja dan Jalan Kelab di sini, kecuali kawasan diduduki Kelab Diraja Selangor. 

Pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 188 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. 
Pertuduhan itu menyebut perhimpunan berkenaan dilarang melalui satu perintah Zaki Asyraf sebagai penjawat awam yang diberi kuasa mengikut Seksyen 98 Kanun Tatacara Jenayah dan tertuduh mengingkari arahan itu dengan menghadiri perhimpunan sehingga menyebabkan rusuhan atau gaduh gempar. 

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Hanafiah Zakaria menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin atas alasan pertuduhan itu membabitkan kepentingan awam, selain tertuduh tidak memberi kerjasama ketika disoal siasat. 

Bagaimanapun, peguam bela Latheefa Koya memohon supaya jumlah itu dikurangkan kerana anak guamnya yang juga bekas tentera kini tidak bekerja selain anaknya sebagai penjamin terpaksa mengumpulkan wang ikat jamin daripada rakan-rakannya. 

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Mahmud menetapkan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan kes pada 5 Jun depan.