Monday, October 4, 2010

Polis Israel tembak mati lelaki Palestin



BAITULMAQDIS - Seorang polis sempadan Israel menembak mati seorang lelaki Palestin yang dituduh cuba menceroboh masuk ke kawasan Israel berhampiran Baitulmaqdis Timur, semalam. 

Mangsa berumur 37 tahun itu dituduh cuba melompat melepasi pagar bersama-sama 15 pekerja lain untuk memasuki Israel secara haram. 

Polis terbabit mendakwa kononnya lelaki itu cuba merampas pistol miliknya semasa mangsa ditahan, menyebabkan pistol itu 'tertembak' lelaki Palestin tersebut. 

:Keganasan terbaru ini berlaku selepas penduduk Palestin dan pihak berkuasa Israel bertempur berhubung pembunuhan penduduk Palestin oleh rejim ganas itu, bulan lalu.

Hubungan kami diterima Nor Asidah – Zizie






PELAKON jelita Zizie Ezzete yang mengahwini Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin pada 16 Disember tahun lalu, sekali gus menjadi isteri kedua ahli politik itu menafikan khabar angin kononnya dia kini merupakan satu-satunya isteri Bung, manakala isteri pertama Bung, Nor Asidah Alimuddin telah diceraikan sekitar sebulan lalu.
Terkejut dengan khabar angin terbaru itu, Zizie yang ditemui pada majlis rumah terbukanya di Ukay Perdana, Hulu Kelang, Selangor hujung minggu lalu berharap perkara ini tidak akan diperbesarkan kerana ia akan mengguris hati banyak pihak.
“Setakat ini hubungan Bung dengan isteri pertamanya baik dan saya pun tidak mempunyai sebarang masalah dengannya. Alhamdullilah kini, dia telah menerima hubungan kami, jadi cerita itu tidak berasas sama sekali,” ujarnya.
Tambah Zizie: “Saya harap gosip-gosip seperti ini jangan diperbesarkan, kerana keluarga Bung bukan artis, mereka tidak biasa menerima gosip seperti ini. Lainlah saya kerana ini sudah menjadi asam garam saya sebagai artis. Saya tidak mahu perkara seperti ini menimbulkan salah faham dan menjejaskan hubungan kami.

Adik Zizie, Shaheizy dan ibu mereka, Khaty tidak ketinggalan hadir untuk memeriahkan majlis anjuran Zizie bersama Bung ini.


Bung yang turut berada pada majlis tersebut turut menafikan khabar angin itu sambil menyatakan gosip seperti itu sudah menjadi lumrah kehidupan.
“Tidak, mana ada. Itu semua gosip sahaja. Orang boleh cakap apa sahaja yang mereka mahu,” katanya sambil tersenyum manis.
Pada majlis yang sama, dua orang anak Bung turut kelihatan kelibat mereka. Meskipun menolak dengan baik untuk bergambar, kedatangan mereka sekali gus menepis khabar angin tersebut dan memperlihatkan hubungan baik yang terjalin antara Zizie dan anak-anak Bung.
Begitu pun, salah seorang anak Bung, sempat dirakam fotonya bersama Zizie dan ibu Zizie, aktres Khaty Fauziah yang turut hadir bersama adik Zizie, aktor Shaheizy Sam pada majlis tersebut.
Ingin zuriat
Setelah kira-kira 10 bulan melayari bahtera sebagai suami isteri, heboh dikatakan Zizie telah hamil. Bagaimanapun melihat sendiri Zizie di depan mata nyata segala khabar angin itu hanyalah khabar angin yang akan lenyap ditelan waktu.
Tampil dengan busana indah warna sedondon dengan suaminya, Zizie kelihatan lebih kurus berbanding biasa.
PASANGAN Zizie dan Bung melayan tetamu yang hadir termasuk Julie Dahlan.


“Mana ada saya hamil, tengok sendirilah perut saya, macam orang mengandung ke? Saya sebenarnya makin kurus. Kalau dikurniakan rezeki, saya terima kerana saya sudah bersedia untuk menjadi seorang ibu dan saya pun bukannya muda lagi, umur saya sudah masuk 32 tahun, tetapi kami tidak terburu-buru dalam hal itu,” ungkap Zizie.
Menurutnya lagi: “Biasalah kalau pasangan yang baru berkahwin kalau setahun tidak dapat anak itu normal, tunggulah sampai setahun lebih, kalau tidak ada juga kami akan ikhtiar sesuatu. Buat masa sekarang kami tidak menjalani sebarang rawatan untuk mendapatkan anak.”
Sama seperti Zizie, Bung juga menyerahkan soal anak kepada Allah. Meskipun telah mempunyai anak dengan isteri pertama, Bung bersedia andai dikurniakan anak bersama Zizie pada usianya kini iaitu 51 tahun.
“Tidak ada salahnya kalau Allah mahu beri rezeki saya terima. Tetapi sebagai manusia saya bukannya boleh tentukan saya mahu berapa orang anak, lelaki atau perempuan, itu semua kerja Allah,” luah Bung.

Polis lelong motosikal RM30



NIBONG TEBAL – Sebanyak RM2,375 berjaya dikumpulkan apabila 20 motosikal yang tidak dituntut pemilik dan dirampas, dilelong kepada orang ramai. 

Lelongan yang dimulakan sekitar jam 9 sehingga 10 pagi itu dilakukan di pekarangan Balai Polis Nibong Tebal dan dikendalikan oleh beberapa pegawai dan anggota polis yang ditugaskan. 

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Shafien Mamat berkata, RM2,375 berjaya diperoleh hasil dari lelongan itu. Harga tertinggi yang ditawarkan oleh pembeli ialah sekitar RM500. 

“Tujuan diadakan lelongan berkenaan adalah untuk mengurangkan barang-barang yang tidak dikehendaki dan tidak dituntut oleh pemilik yang terdapat di IPD. 

“Wang yang diperoleh akan diberikan kepada tabung polis manakala bakinya akan diberikan kepada perbendaharaan. 

“Bagi tabung polis sebanyak RM885 akan diberikan manakala RM1,490 pula akan diberikan kepada perbendaharaan ,” katanya ketika ditemui Sinar Harian. 

Menurutnya, lelongan berkenaan merupakan kali kedua yang diadakan pada tahun ini dan setakat ini sambutan yang diberikan ketika lelongan dijalankan amat menggalakkan. 

“Apa yang menarik pada lelongan kali ini ialah, harga terendah yang ditawarkan ketika lelongan dijalankan adalah sekitar RM30 bagi motosikal yang hanya memiliki rangka badannya sahaja. 

“Lelongan pada kali itu juga melibatkan pelbagai motosikal antaranya seperti Modenas Kriss, Yamaha, Honda dan Suzuki,” katanya kepada Sinar Harian.

Malaysia peroleh semula enjin jet yang hilang bulan ini: Ahmad Zahid




KUALA LUMPUR - Mahkamah Uruguay memutuskan bahawa dua buah enjin F-5E jenis GE J85 21-A yang kini berada dalam pegangan Kerajaan Uruguay adalah hak milik Kerajaan Malaysia.: 

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, yang menghubunginya tiga hari lalu, bagi memaklumkan keputusan mahkamah itu. 

“Kita akan menghantar pasukan terdiri daripada pegawai tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pejabat Peguam Negara ke Uruguay dalam bulan ini, bagi mengambil semula enjin berkenaan. 

“Jabatan Peguam Negara sedang berusaha menterjemahkan keputusan mahkamah terbabit dalam Bahasa Sepanyol ke Bahasa Inggeris bagi memastikan kandungan dan maksud sebenar tidak mengelirukan mana-mana pihak dan dijangka proses ini akan mengambil masa selama seminggu,” katanya kepada media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Pertahanan di sini, malam kelmarin. 

Ahmad Zahid berkata, proses pengurusan membawa pulang enjin berkenaan akan dikendalikan sepenuhnya oleh Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa Jabatan Peguam Negara. 

Menurutnya, proses itu adalah perkembangan positif dalam pengurusan kes itu dan setiap langkah pastinya perlu mengambil kira kesan secara langsung ke atas proses pendakwaan yang sedang berjalan. 

Beliau berkata, proses memperoleh semula enjin berkenaan menunjukkan wujudnya hubungan baik antara kedua-dua kerajaan walaupun berlaku kes demikian. 

Ahmad Zahid berkata, kejayaan kes itu adalah kerjasama baik antara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Pejabat Peguam Negara dan Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga selesainya kes berkenaan. 

Enjin terbabit dilaporkan hilang dari dua kemudahan TUDM pada 20 Disember 2007 dan 1 Januari 2008. 

Beliau menolak dakwaan bahawa kedua-dua enjin terbabit bernilai RM100 juta, sedangkan sebuah pesawat seumpama itu hanya bernilai RM2.45 juta. - Bernama

Anggota SPRM diminta ditempatkan di pintu masuk negara

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan diminta untuk menempatkan anggota mereka di pintu-pintu masuk di negara ini bagi membasmi kegiatan rasuah di kalangan kakitangan imigresen.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Abdul Rahman Othman berkata, langkah itu juga bertujuan memberi ingatan kepada kakitangan imigresen agar tidak terbabit dengan rasuah.
"Perbincangan mengenainya akan diadakan secepat mungkin dengan SPRM," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau mengucapkan tahniah kepada SPRM yang menahan dua kakitangan Imigresen yang dipercayai terbabit dengan aktiviti rasuah.

"Ia diharap menjadi ingatan serta pengajaran kepada kakitangan yang lain," katanya.

Dua pegawai Imigresen dan seorang orang awam hari ini dilaporkan ditahan oleh SPRM kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan penyeludupan masuk pendatang tanpa izin.

Pegawai Imigresen berkenaan ditahan di Jeti Port Dickson Rabu lalu lalu.

Abdul Rahman turut meminta kerjasama penyelia dan Ketua Pengarah Imigresen Negeri memantau gaya hidup anggota mereka.

"Misalnya mungkin boleh dilihat daripada penampilan, cara hidup serta kereta yang dipakai oleh anggota. Jika mereka menggunakan kereta mewah berbanding dengan pendapatan sebenar mereka, mungkin ada sesuatu yang berlaku," jelasnya.-Bernama

Media tidak sepatutnya mengadili kes bunuh Sosilawati, kata Nazri

SHAH ALAM: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, media sepatutnya tidak mengadili suspek dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain.
Katanya, beliau tidak mahu media menjadi penganiaya atau pendakwa awam bagi kes itu kerana adalah tidak adil untuk membuat andaian atau melemparkan tuduhan ke atas mereka.
"Sebaik isu ini disensasikan di dalam media, orang yang disiasat itu akan dianggap sebagai bersalah walaupun mungkin tidak begitu.

"Orang ini kemudian akan menjadi mangsa penganiayaan media dan berdepan dengan tekanan yang tidak sepatutnya daripada orang awam," katanya kepada pemberita selepas menghadiri forum mengenai kebebasan bersuara dengan para pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), dekat sini hari ini.

Mohamed Nazri meminta media berpegang kepada etika kewartawanan dan menegakkan keadilan dalam melaporkan kes berprofil tinggi.

Ketika ditanya mengenai tindakan beberapa buah pertubuhan yang menyiarkan gambar suspek pembunuhan tanpa mengaburkan wajah mereka, beliau berkata ia adalah tanggungjawab media dan bukan kerajaan untuk menetapkan kandungan berita mereka.

“Kita dalam kerajaan menghargai jika amalan penapisan sendiri dibuat oleh media sendiri kerana jika kami yang lakukannya, ia akan kelihatan seperti menghalang kebebasan media," katanya.

Sosilawati, 47, bersama pemandu peribadinya Kamarudin Shansuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dilapor hilang sejak 30 Ogos selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah.

Pada 13 September lalu, polis mengesahkan keempat-empat mereka dipukul sampai mati sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai berdekatan ladang Gadong.

Sementara itu, Mohamed Nazri memberi jaminan kepada penulis blog Malaysia Today Raja Petra Raja Kamaruddin bahawa beliau akan selamat jika kembali ke Malaysia.

"Malaysia bukan "banana republic" sehingga tidak dapat memberi jaminan keselamatan terhadap seorang saksi bagi satu kes. Saya lebih suka jika Raja Petra balik ke Malaysia dan hadapi dakwaan terhadapnya, dan bertindak mengikut peraturan," katanya.
Mohamed Nazri berkata, terpulang kepada orang ramai untuk mengadili sama ada apa yang ditulis Raja Petra, betul atau sebaliknya, tapi beliau berpendapat bahawa penulis blog yang sedang melarikan diri itu tidak sepatutnya menjadikan masalah lebih rumit bagi pihak berkuasa untuk menjalankan tugas.

"Ada kebaikan juga dengan (apa yang ditulis Raja Petra dalam blog) kerana sekurang-kurangnya SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) boleh bertindak ke atasnya jika ianya benar.

"Tapi jika ia dibuat seperti ini, orang ramai akan keliru dan ini akan menyebabkan SPRM sukar menjalankan tugas," katanya.

Raja Petra ditangkap pada 12 September 2008 kerana beliau disifatkan sebagai satu ancaman terhadap keselamatan nasional dan perintah untuk menahan beliau mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dikeluarkan pada 22 September 2008.
Penulis blog itu ditahan atas alasan beliau antara lain, memiliki dan mengusahakan laman web Malaysia Today dan berniat dan sengaja menyiarkan artikelnya dan juga komen pembaca dalam Malaysia Today yang kritikal dan menyinggung perasaan orang Islam, kesucian Islam dan Nabi Muhammad.-Bernama

Kenyataan perkauman: Hamim buat laporan polis



04/10/2010 3:53pm

KUALA LUMPUR 4 Okt . - Timbalan Pengarah Biro Tata Negara (BTN) Wilayah Persekutuan, Hamim Husin hari ini membuat laporan polis terhadap laman portal berita The Malaysian Insider dan seorang wartawannya, dipercayai berhubung satu kenyataannya yang didakwa perkauman dan menimbulkan kontroversi baru-baru ini.
Hamim yang membuat laporan polis di Balai Polis Sentul pada pukul 12.30 tengah hari ini bagaimanapun enggan memberi sebarang ulasan mengenai kandungan laporan yang dibuatnya itu.
Selepas selesai membuat laporan, dia dilihat keluar dari balai dan berhenti seketika sebelum menadah tangannya untuk membaca doa selama beberapa minit.
Dia kemudiannya terus menuju ke sebuah kereta Proton Wira dan sebelum menaikinya sempat mengucapkan terima kasih sebanyak beberapa kali sambil melambaikan tangannya. - Utusan

RM5 juta untuk 5 syarikat petroleum



04/10/2010 3:54pm

KUALA LUMPUR 4 Okt. - Kerajaan telah memperuntukkan RM5 juta kepada lima syarikat petroleum untuk membina kemudahan adunan/campuran dan infrastruktur untuk menyokong pelaksanaan penggunaan biodiesel B5.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok berkata, kerajaan telah memberi kepada syarikat petroleum sebanyak RM1 juta setiap satu menerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia.
"Wang yang diperuntukkan ialah untuk pembinaan kemudahan dan infrastruktur campuran dan seharusnya tiada masalah untuk mereka menyiapkannya menjelang Jun 2011," katanya kepada pemberita di Seminar dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa hari ini.
Beliau berkata, syarikat-syarikat yang dikenalpasti menerima peruntukan tersebut ialah ialah Petronas, Shell, Chevron, Exxon Mobil dan BHP.
Katanya, rancangan biofuel untuk tahun depan masih lagi pada sasarannya.

Biofuel itu ialah untuk kegunaan awam tahun depan dan akan dilaksanakan secara berperingkat dengan wilayah tengah Semenanjung terdiri daripada Lembah Klang, Negeri Sembilan dan Melaka.
Biofuel B5 ialah campuran diesel dengan lima peratus biodiesel berasaskan minyak sawit. - Bernama

Petronas catat perolehan suku pertama RM58b



04/10/2010 4:48pm

KUALA LUMPUR 4 Okt. - Kumpulan Petronas merekodkan perolehan sebanyak RM58.6 bilion, kenaikan 26.3 peratus bagi suku pertama 2010/2011 yang berakhir 30 Jun lalu.
Presiden dan Ketua Eksekutif Petronas, Datuk Shamsul Azhar Abbas berkata, peningkatan prestasi itu disumbangkan oleh kenaikan harga produknya. -Utusan

Amaran kepada calon



SHAH ALAM - Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran kepada semua calon yang bertanding dalam pemilihan parti tidak menggunakan media arus perdana sebagai medium berkempen. 

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, setiap calon perlu bijak dalam menggunakan media dan mengelak media yang secara jelas tidak berpihak kepada PKR. 

Menurutnya, tindakan meluahkan rungutan dalam media arus perdana ketika pemilihan parti berlangsung hanya akan menunjukkan seolah-olah PKR seperti mengikut rentak Barisan Nasional (BN) untuk membangkitkan masalah dalaman parti. 

“Calon-calon seharusnya berwaspada agar tidak dieksploitasi oleh media arus perdana untuk menyerang polisi-polisi dan pemimpin kita. 

"Jangan benarkan parti digunakan oleh media arus perdana dan propaganda (mereka),” katanya dalam satu kenyataan, semalam. 

Beliau berkata demikian ketika menghadiri majli dia- log anjuran Friends of Pakatan Rakyat di London, kelmarin. 

Anwar turut menasihati semua ahli PKR menggunakan hak satu ahli satu undi yang dilaksanakan pada pemilihan November ini dengan penuh rasa tanggungjawab dan tidak melakukan perkara yang boleh menjejaskan imej serta kestabilan parti itu. 

“Saya berpendapat elok biarkan ahli putuskan serta mendengar sendiri kepada calon tanpa memudaratkan komitmen parti dalam melakukan pembaharuan,” katanya. 

Menurutnya, kesemua pemimpin adalah penting kepada perjuangan parti, namun sekiranya ada pihak yang menang dan sesetengah yang lain akan kalah, perpecahan tidak patut berlaku. 

“Mereka yang menang tidak harus menggondol semua manakala yang kalah tidak wajar mengetepikan agenda besar parti yang mahu membawa pembaharuan,” katanya.

Pemandu kereta api ditahan

JAKARTA: Polis Indonesia menahan pemandu kereta api yang terbabit dalam kemalangan di Jawa Tengah menyebabkan 36 penumpang terbunuh dan puluhan lagi cedera.
Kereta api penumpang yang menuju Surabaya berlanggar dengan kereta api ke Semarang yang berhenti di stesen Petarukan Pemalang, di Jawa Tengah, kelmarin.
Mohammed Khalik Mustofa yang memandu kereta api menghala ke Surabaya ditahan kerana dituduh melakukan kecuaian hingga mengakibatkan 36 nyawa terkorban, kata peguam tertuduh, Tugiman.

“Pelanggan saya didakwa sebagai suspek oleh pihak polis. Kami akan menunggu perkembangan lanjut mengenai kes ini,” kata Tugiman.

Polis menyoal siasat sembilan saksi termasuklah ketua stesen kereta api Petarukan Pemalang dan kedua-dua pemandu kereta api terbabit, lapor laman berita Kompas.com.

Menurut polis, 36 penumpang terkorban, sementara, jurucakap operator rel kereta api nasional, Sugeng Priyono berkata, 36 lagi cedera dengan lima daripadanya parah.

“Kebanyakan mangsa yang dirawat di hospital mengalami kecederaan ringan. Semua mangsa akan diberi bayaran ganti rugi,” tambah Sugeng. - AFP

Bimbang lif terhempas

KUALA LUMPUR: “Kami bimbang kejadian lif terhempas terjadi di pangsapuri ini berikutan keadaan lif yang sering rosak,” luah penduduk Pangsapuri Mutiara Magna, Metro Prima, Kepong, Shahrom Mohamad Nasir.


BERSESAK...penduduk terpaksa menggunakan satu lif di Pangsapuri Mutiara Magna, Metro Prima, Kepong. Gambar kecil, Shahrom.
BERSESAK...penduduk terpaksa menggunakan satu lif di Pangsapuri Mutiara Magna, Metro Prima, Kepong. Gambar kecil, Shahrom.

Shahrom, 36, berkata, lebih membimbangkan penduduk apabila lif pangsapuri itu kerap menggelongsor ke bawah secara mendadak, terenjut-enjut dan tersangkut secara tiba-tiba.
“Malah, boleh dikatakan seminggu hingga empat kali lif rosak dan amat menyukarkan penduduk melakukan kegiatan harian. Mujur tiga blok pangsapuri ini bersambung dan jika satu lif rosak, penduduk boleh menggunakan lif blok lain.

“Tambahan pula saya tinggal di tingkat 13, keadaan itu menakutkan apatah lagi selepas kejadian lif terhempas di Petaling Jaya, baru-baru ini. Penduduk kini berasa tidak selamat kerana khuatir berlaku kejadian sama,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Kebimbangan penduduk bermula apabila kejadian lif terhempas di Blok A, Pangsapuri Impian Baiduri, Petaling Jaya, yang hampir meragut empat nyawa penduduk pangsapuri itu, Jumaat lalu.

Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, sepasang suami isteri dan dua pelajar cedera selepas lif dinaiki mereka untuk pulang ke rumah masing-masing terhempas di tingkat bawah Blok A pangsapuri terbabit.

Sebelum itu, tinjauan Harian Metro di Pangsapuri Mutiara Magna mendapati terdapat dua lif di satu blok itu dan satu daripadanya ditampal notis dibaik pulih dan penduduk perlu bersesak menggunakan satu lif yang berfungsi.

Bagaimanapun, Shahrom berkata, lif yang kerap rosak itu mungkin disebabkan sikap segelintir penyewa yang tidak menjaganya dengan baik.

“Hampir 80 peratus penyewa terdiri daripada warga asing dan menyebabkan banyak kemudahan di sini rosak. Kini, kehidupan di sini kurang selesa dengan kehadiran mereka yang rata-rata tidak mahu bertanggungjawab menjaga kemudahan.

“Ketika mula-mula tinggal di sini lima tahun lalu, masalah kerosakan lif jarang berlaku, tapi keadaan berubah sejak kebelakangan ini dan penduduk amat berharap lif dapat ditukar bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Katanya, penyelenggaraan lif di pangsapuri itu diambil alih Badan Pengurusan Bersama (JMB) daripada pihak pemaju dan segala urusan berkaitannya di bawah tanggungjawab JMB pangsapuri berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi JMB, Mohd Nasir Shamsudin, berkata penduduk tidak perlu bimbang berikutan pihaknya sudah mengambil langkah tertentu supaya kejadian di Petaling Jaya tidak berlaku di pangsapuri berkenaan.

“Kami prihatin dengan kebimbangan penduduk dan diharap supaya penduduk bersabar serta tidak bimbang kerana pengurusan akan melakukan yang terbaik untuk menangani masalah lif rosak.

“Lif di Blok C dan D sudah dibaik pulih sepenuhnya dan tidak lagi bermasalah manakala hanya tinggal Blok B yang dibaiki. Bagaimanapun, kerjasama penduduk amat diharap supaya menggunakan kemudahan ini sebaik-baiknya,” katanya.

Wanita bakal dipenjara kerana lemaskan kucing



BICESTER, Britain - Seorang suri rumah, Julie Carter (gambar) bakal dihukum penjara oleh seorang majistret selepas dia melemaskan lapan ekor kucing peliharaannya, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Suri rumah itu memberitahu Persatuan Diraja bagi Perlindungan Haiwan (RSPCA) bahawa dia telah membunuh seekor demi seekor kucingnya di dalam sebuah bekas mandian bayi.
Carter, 43, mendakwa dia sudah tidak mampu untuk membayar cas bil panggilan telefon bagi mencari rumah baru untuk kucing peliharaannya itu.
Dia telah diarahkan untuk membuang sebahagian daripada 11 ekor kucing yang dipeliharanya oleh pekerja persatuan pembeli rumah yang mengesan bau hancing kencing kucing yang kuat di dalam rumahnya.
Carter mengaku membunuh semua kucingnya kerana menganggap dia tidak mempunyai pilihan lain lagi.
Bangkai lima ekor haiwan itu ditanam di halaman rumah Carter di Bicester dan tiga lagi di rumah ibunya.
Dia akan dihukum penjara pada 29 Oktober depan. - Agensi

Indonesia siasat punca kemalangan kereta api



JAKARTA 3 Okt. - Polis Indonesia dan pegawai pengangkutan hari ini melancarkan siasatan bersama berhubung insiden perlanggaran kereta api di Jawa Tengah, semalam yang mengorbankan 36 nyawa dan mencederakan berpuluh-puluh yang lain.
"Polis dan suruhanjaya keselamatan pengangkutan sedang menyiasat sekiranya terdapat faktor kecuaian dalam kejadian tersebut.
"Kita akan menyiasat punca kejadian sama ada ia disebabkan individu yang mengawal kereta api tersebut atau pihak yang bertanggungjawab menetapkan laluan perjalanan. Siasatan akan mengambil masa kira-kira seminggu," kata jurucakap polis kebangsaan, Marwoto Soeto kepada AFP.
Bagaimanapun, Pengerusi Suruhanjaya Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (KNKT), Tatang Kurniadi berkata, siasatan menyeluruh hanya akan disiapkan dalam masa antara tiga hingga empat bulan.
"Kita perlu mengambil kira semua aspek, faktor manusia dan mekanikal. Kita juga perlu menyiasat keseluruhan sistem sebelum membuat kesimpulan sama ada insiden itu melibatkan kecuaian manusia atau faktor lain," katanya.
Polis melaporkan, seramai 36 terbunuh dan berpuluh-puluh lagi cedera teruk selepas sebuah kereta api merempuh bahagian belakang sebuah lagi kereta api yang berhenti di Stesen Petarukan Pemalang, Jawa Tengah awal pagi semalam.
Insiden tersebut berlaku ketika kebanyakan penumpang sedang tidur di dalam sebuah kereta api yang berhenti di stesen tersebut sebelum sebuah lagi kereta api dari Jakarta tiba-tiba melanggarnya pada pukul 3 pagi waktu Indonesia (pukul empat pagi waktu Malaysia).
Akibat perlanggaran tersebut, kereta api yang terlibat remuk dan rosak teruk dan serpihannya bertaburan di tempat kejadian.
Presiden Susilo Bambang Yudhoyono turut mengarahkan satu siasatan menyeluruh dijalankan dan berkata, hukuman akan dikenakakan sekiranya insiden itu didapati berpunca daripada kecuaian. - AFP

Azmin rujuk pemimpin 'tersungkur' itu Dr. M



KUALA LUMPUR 3 Okt. - Calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali mengakui pemimpin yang dirujuk sebagai 'tersungkur' di Australia dalam satu ucapannya hari ini ialah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Malah, beliau dengan angkuhnya menyatakan, perkataan tersungkur itu langsung tidak kasar tetapi sebaliknya amat sesuai dirujuk kepada negarawan itu.
"Itu istilah yang agak lunak untuk kita dengar kerana kedegilan beliau bersekongkol dengan Perkasa (Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia) yang memperjuangkan fahaman perkauman sempit.
"Dr. Mahathir sepatutnya sebagai bekas pemimpin harus mengambil tanggungjawab lebih besar kerana negara ini boleh maju apabila fahaman sempit ini dibuang," katanya.
Beliau ditemui selepas menyampaikan ucapan perasmian mesyuarat agung tahunan PKR Cabang Gombak di sini hari ini.
Terdahulu, dalam ucapannya, beliau berikrar akan melawan habis-habisan Perkasa dan individu berselindung di sebalik pertubuhan itu yang kini 'tersungkur' di Australia.
Sementara itu, ditanya adakah individu yang turut dikritik secara terbuka dalam ucapannya merujuk kepada Datuk Zaid Ibrahim, Azmin mengelak dengan menyatakan bahawa ia sekadar kenyataan umum.

PKR lawan Perkasa habis-habisan





KUALA LUMPUR 3 Okt. - Calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali hari ini berikrar melawan habis-habisan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan individu berselindung di sebalik pertubuhan itu kerana memperjuangkan perkauman sempit.
"Ikrar saya akan melawan Perkasa habis-habisan termasuk juga individu yang sedang 'tersungkur' di Australia," katanya dalam ucapan sempena Mesyuarat Agung Tahunan PKR Cabang Gombak di sini hari ini.
Azmin bagaimanapun tidak menyebut siapa yang dikatakan tersungkur di Australia itu.
Difahamkan, ia merujuk kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang dimasukkan ke Hospital Epworth, Melbourne semalam bagi menerima rawatan akibat jangkitan kuman pada saluran pernafasan.
Dalam pemilihan hari ini, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Azmin sebulat suara dipilih sebagai calon Presiden dan Timbalan Presiden parti.
Tambah Azmin, selagi Perkasa tetap memperjuangkan kepentingan perkauman sempit, maka selama itulah mereka akan dilawan oleh PKR.
Jelasnya, beliau sebagai seorang beragama Islam dan Melayu bertanggungjawab menjaga kepentingan semua kaum di negara ini, bukan setakat Melayu sahaja.
Dalam pada itu, Azmin juga membuat serangan terbuka terhadap lawannya dalam pertandingan jawatan Timbalan Presiden parti yang menggunakan media UMNO, Utusan Malaysia sebagai platform mengkritik pimpinan dan dasar PKR.
Walaupun tidak menyebut nama lawannya itu, tetapi difahami beliau merujuk kepada Datuk Zaid Ibrahim.
"Pemimpin ini masih setahun jagung dalam parti yang hanya masuk setelah PKR mendapat kemenangan besar dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 yang lalu, berbanding saya yang setia kepada perjuangan reformasi sehingga tertubuhnya parti ini kira-kira 12 tahun lalu.
"Tidak perlulah secara tergesa-gesa ingin membuat akujanji kesetiaan kepada Presiden parti, saya telah bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim (Penasihat PKR) sejak 26 tahun lalu dan bekerja bersama Wan Azizah sejak 10 tahun lalu, tiada siapa boleh cabar saya," katanya.
Beliau mengakui sejak kemenangan besar itu, ramai pihak yang berminat menyertai PKR termasuk yang ingin merosakkan parti kerana tidak memahami agenda sebenar perjuangan parti ini.
"Cermin muka anda dahulu sebelum mengkritik dasar dan pimpinan parti termasuk Anwar, Wan Azizah dan bekas Timbalan Presiden PKR, Dr. Syed Husin Ali. Siapa dan apakah kredibiliti anda berbanding semua tokoh ini?" katanya.

Kuala Selangor tak calon Khalid, Azmin





KUALA SELANGOR 3 Okt. - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Kuala Selangor tidak mencalonkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim atau pun Naib Presiden, Azmin Ali untuk merebut jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan peringkat pusat parti itu pada November ini.
Kedua-dua pemimpin itu sebaliknya dicalonkan untuk jawatan Naib Presiden bersama dua lagi calon iaitu Mustafa Kamil Ayob (penyandang naib presiden) dan Suresh Kumar (Cabang Puchong) selepas diputuskan dalam mesyuarat agung cabang itu yang berlangsung selama dua setengah jam bermula pada pukul 2 petang ini.
Mesyuarat yang dihadiri 90 daripada 6,218 orang itu juga memutuskan mencalonkan penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai presiden dan presiden parti, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalannya.
Menurut Abdul Khalid, pada mulanya beliau dicalonkan sebagai Timbalan Presiden, tetapi selepas nama Wan Azizah turut dinamakan sebagai calon, beliau mengambil keputusan untuk mengundur diri bagi memberi laluan kepada wanita itu.
Katanya, beliau juga mencadangkan agar Wan Azizah dicalonkan sebagai Presiden tetapi mesyuarat sebulat suara memilih Anwar.
"Bila terdapat pertandingan antara Wan Azizah dan saya untuk jawatan Timbalan Presiden, saya rasa beliau lebih pengalaman.
"Bagaimanapun keputusan itu tidak akan menyekat saya untuk bertanding jawatan tersebut.
"Apa pun keputusan sama ada bertanding atau tidak (untuk jawatan Timbalan Presiden) hanya akan saya putuskan pada 5 Oktober nanti," kata beliau kepada pemberita selepas mesyuarat berakhir di Stadium Tertutup Kuala Selangor di sini petang ini.
Sementara itu, keputusan pemilihan bagi Cabang Kuala Selangor lewat malam ini menyaksikan Abdul Khalid masih mempertahankan jawatannya sebagai Ketua Cabang.
Abdul Khalid yang mendapat 722 undi mengalahkan dua pencabarnya iaitu bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang, Mazli Saring dan seorang anggota biasa yang juga bekas guru, Muhammad Kamil Vaanan Abdullah.
Ahli-ahli PKR Cabang Kuala Selangor turut memilih K. Tanarshu sebagai Timbalan Ketua Cabang, Lim Lai Seng sebagai Naib Ketua, Ketua Wanita, Mariana Abdullah dan M. Rajendran sebagai Ketua AMK.
Kemenangan Abdul Khalid ini sekali gus membuktikan kepimpinan beliau masih diperlukan di Kuala Selangor dan usaha-usaha untuk menamatkan kuasa politik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok itu tidak berhasil.

Raja Petra ancam berhenti sokong pakatan pembangkang



KUALA LUMPUR 3 Okt. - Penulis blog Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin mengkritik secara terbuka pakatan pembangkang kerana masih gagal menunaikan beberapa janji walaupun menguasai beberapa negeri.
Serentak dengan itu, beliau mengancam untuk berhenti menyokong pakatan pembangkang jika segala janji yang dibuat pakatan pembangkang pada Pilihan Raya Umum 2008 tidak dipenuhi.
Beliau menyatakan pendirian itu pada satu sesi dialog bersama rakyat Malaysia di London yang turut disertai Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam dan disiarkan melalui portal berita propembangkang, Malaysian Insider hari ini.
Raja Petra yang tidak berpuas hati terhadap pencapaian pakatan pembangkang setelah dua tahun memerintah beberapa negeri, memberi kata dua kepada Anwar supaya segera menunaikan beberapa janji jika mahu membentuk Kerajaan Persekutuan kelak.
Menjawab kenyataan Raja Petra itu, Anwar berkata, rakyat perlu memahami bahawa pembaharuan yang dilaksanakan pakatan pembangkang membantu pihaknya untuk berada di Putrajaya bagi melakukan semua pembaharuan yang dijanjikan itu.
Bagaimanapun, bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari (gambar) percaya ancaman Raja Petra yang mahu menarik diri daripada menyokong pakatan pembangkang pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas merupakan satu lagi sandiwara yang dirancang penulis blog itu bersama Penasihat PKR itu.
Beliau ketika dihubungi hari ini memberitahu, tindakan itu bagi mengalih perhatian rakyat terhadap krisis dalaman yang berlaku dalam pemilihan PKR yang sedang berlangsung di seluruh negara kini.
Kata Anuar, kenyataan yang dibuat penulis blog Malaysia Today itu bukan sesuatu yang mengejutkan atau perkara baru.
"Ia adalah kenyataan yang diulang semula, kali ini untuk mengalihkan perhatian semua terhadap isu dalaman PKR. Raja Petra selalu berkata demikian terutama apabila ada pilihan raya, jadi ia bukan perkara baru," katanya.
Anuar menambah, jelas sekali sandiwara terbaru Raja Petra itu menunjukkan bahawa selama ini dia sememangnya ditaja dan dibiayai oleh PKR.
"Jika benar Raja Petra mahu berhenti sokong Anwar ataupun pakatan pembangkang kerana gagal penuhi manifesto pilihan raya umum, dia sepatutnya sudah lama berbuat demikian.
"Kenapa dia masih tidak tinggalkan pakatan pembangkang sedangkan banyak perkara yang tidak ditunaikan mereka sebelum ini," katanya.
Malah Anuar berkata, Anwar sendiri tidak terkejut atau bimbang dengan ancaman Raja Petra itu kerana ia adalah sandiwara mereka berdua.

Bantu elak gejala murtad





Mazlan Hashim (tengah) bersama Wan Harujan Sulaiman menyampaikan hadiah kepada Hasmah Abdullah yang muncul johan qariah pada majlis Ujian Tilawah dan Hafazan al-Quran serta Pertandingan Azan Saudara Kita di Kuala Terengganu, semalam.


KUALA TERENGGANU 3 Okt. - Golongan saudara baru perlu terus didekati dan dibimbing agar mereka tidak berasa tersisih demi mengukuhkan pegangan mereka terhadap Islam.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Datuk Mazlan Hashim berkata, satu pendekatan yang sistematik perlu diambil bagi mengelakkan mereka kembali ke agama asal.
Beliau menekankan bahawa usaha itu turut menjadi tanggungjawab umat Islam yang lain dengan tidak menyisih atau menyebabkan mereka berasa didiskriminasi sehingga melihat Islam dengan persepsi yang salah.
"Umat Islam seharusnya membimbing, memandu dan memimpin mereka supaya akidah yang baru bertunas itu dapat bertapak kukuh dalam hati mereka," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis Penutup Ujian Tilawah dan Hafazan al-Quran serta Pertandingan Azan Saudara Kita, di sini hari ini.
Turut hadir, Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang, Ellias Zakaria yang dijemput sebagai penceramah khas dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Wan Harujan Sulaiman.
Baru-baru ini, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu mendengar permohonan dua saudara baru untuk keluar daripada agama Islam.
Mazlan berkata, walaupun tanpa perangkaan rasmi berhubung murtad di kalangan saudara baru, ia tidak harus dipandang ringan kerana kesan buruk akan turut dihadapi oleh umat Islam secara keseluruhannya.
"Golongan ini perlu diberikan sokongan moral untuk membolehkan mereka menyesuaikan diri dengan persekitaran hidup baru kerana Islam adalah agama sejagat berpaksikan keimanan dan ketakwaan dan tidak ada bangsa yang menjadi taraf kedua atau ketiga," katanya.
Jelasnya lagi, jika pihak berwajib terlepas pandang perkara itu akhirnya mereka akan bergaul dan bercampur sesama mereka sendiri menyebabkan hubungan dengan umat Islam lain terputus.
Sementara itu, dalam tilawah berkenaan, Mohamad Azlan Gan Abdullah (Marang) dan Hasmah Abdullah (Kuala Terengganu) muncul sebagai johan kategori lelaki dan wanita.
Mereka membawa pulang trofi, wang tunai serta menerima pakej menunaikan ibadah haji.
Sementara itu, Muhammad Faisal Sanya Abdullah (Kuala Terengganu) dan Murina Abdullah (Marang) menjuarai acara hafazan al-Quran dan menerima hadiah wang tunai serta trofi.
Bagi pertandingan azan, Hasan Salok (Hulu Terengganu) diumumkan sebagai pemenang kategori Orang Asli dan Mohd Ridhuan Junas (Kuala Terengganu) pula johan kategori bukan Orang Asli.

Jangan melatah tindakan Bendera





KUALA KRAU 3 Okt. - Golongan muda di negeri ini diminta supaya tidak melatah dengan tindakan anggota Benteng Demokrasi Rakyat Indonesia (Bendera) yang melakukan provokasi melampau berkaitan isu maritim dan penderaan pembantu rumah republik itu baru-baru ini.
Ketua Pemuda UMNO Pahang, Abu Jimmi Samat berkata, tindakan membalas semula tunjuk perasaan dan provokasi itu bukan jalan penyelesaian malah akan mengeruhkan lagi hubungan antara dua negara yang telah lama terjalin.
Katanya, pertubuhan itu hanya disertai oleh kumpulan individu yang berfikiran tidak waras dan cuba mengeruhkan hubungan baik kedua-dua negara.
''Tindakan tersebut juga dikutuk dan dibenci oleh rakyat negara itu sendiri, malah mereka yang bekerja di sini mengutuk dan kesal dengan tindakan seumpama itu.
'' Kita jangan pula mencontohi budaya tunjuk perasaan itu kerana negara kita mengamalkan demokrasi serta rakyatnya berfikiran matang dan bertamadun," katanya pada majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri Pemuda UMNO Pahang di Rumpun Makmur Kuala Krau hari ini.
Turut hadir Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala Krau, Radzuan Zaaba.
Abu Jimmi berkata, hanya mereka yang kurang waras dan kurang memahami sejarah serta hilang pertimbangan sanggup melakukan perkara yang tidak membawa sebarang faedah kepada kedua-dua negara.
Sementara itu, beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Lipis menyeru mereka yang berusia 21 ke atas supaya mendaftar sebagai pemilih bagi membolehkan mengundi pada pilihan raya umum akan datang.
''Pemuda UMNO akan menjalankan pendaftaran pemilih di seluruh negeri dalam tempoh terdekat ini bagi mendaftarkan seberapa ramai mereka yang layak untuk mengundi,'' katanya.
Beliau meminta semua bahagian dan cawangan Pemuda UMNO di negeri ini proaktif mendaftarkan belia-belia terbabit dengan segera dan secara bersepadu.

KDN dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia perlu tegas



KUALA LUMPUR 3 Okt. - Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlu bertindak tegas termasuk menahan dan mendakwa Katy Lim Li Nian kerana kebiadapannya terus menghina Islam di Internet termasuk laman sosial Facebook.
Ahli Majlis Tertinggi Pertubuhan Pribumi Malaysia (Perkasa), Mohd. Zahid Md. Arip berkata, Katy Lim perlu didakwa kerana ada individu lain sebelum ini dihadapkan ke mahkamah kerana menghina agama lain.
"Sebelum ini ada seorang pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) berbangsa Melayu telah dihadapkan ke mahkamah kerana menulis komen yang dikatakan berunsur perkauman di Facebook, begitu juga dengan dua beradik yang didakwa membakar gereja.
"Jadi, kenapa Katy Lim ini menerima keistimewaan apabila langsung tidak ada tindakan diambil terhadapnya, mengapa perlu ada pilih kasih," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai komen di laman Facebook yang ditulis oleh Katy Lim yang menghina Islam termasuk mencerca Allah.
Walaupun SKMM sebelum ini dilaporkan sudah menyiasat perkara itu, namun masih menjadi kemarahan umat Islam apabila komen Katy Lim itu dipautkan ke beberapa blog lain dan dijadikan sumber saling mencerca.
Sehubungan itu, Mohd. Zahid meminta pihak berkenaan tidak sekadar menyiasat sahaja kerana perkara serius berkenaan yang boleh menggugat keselamatan negara.
"Saya anggap SKMM sekadar melepaskan batuk di tangga, hanya siasat sahaja dan itu tidak cukup. Sehubungan itu, saya menggesa menteri yang bertanggungjawab, Datuk Seri Dr. Rais Yatim supaya memandang serius hal ini.
"Kalau tidak ada kuasa, cari kuasa itu supaya tindakan tegas terhadap individu yang menghina agama lain menerusi Facebook dan blog dikenakan tindakan tegas," katanya.
Pada masa yang sama, Mohd. Zahid turut menggesa supaya Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berperanan lebih berkesan bagi menangani tindakan pihak tidak bertanggungjawab di negara ini yang berniat jahat.
"Kita bimbang KDN akan dipersenda oleh rakyat malah sudah ada cakap-cakap yang menggelarkan KDN sebagai 'kementerian beri amaran' sahaja," katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) , Datuk Dr. Maamor Osman pula berkata, rakyat Malaysia yang tidak menghormati pegangan agama lain di negara ini juga bermaksud menentang Rukun Negara iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan dan Agama.
"Mereka harus ingat perkara itu kerana untuk membentuk gagasan 1Malaysia, setiap rakyat perlu menjunjung asas Rukun Negara.
"Pada masa yang sama, pihak berkuasa perlu lebih tegas mengambil tindakan, dan jangan sekadar siasat sahaja, mesti ada tindakan susulan, negara ini ada undang-undang, apa nak takut," katanya.
habis

47 lagi serah wang judi



BUKIT MERTAJAM 3 Okt. - Seramai 47 orang lagi penerima bantuan program membasmi miskin tegar dan wang ihsan RM100 daripada kerajaan negeri memulangkan semula wang tersebut hari ini.
Golongan fakir miskin dan warga emas terlibat memulangkan wang tersebut pada majlis Aidilfitri anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di sini.
Seramai 27 daripada mereka menyerahkan wang berkenaan pada majlis itu manakala 20 lagi berbuat demikian di pejabat UMNO Bahagian Bukit Mertajam, di sini semalam.
Pada majlis tersebut, para penerima bantuan terbabit memulangkan wang secara beramai-ramai sebelum menyerahkannya kepada Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam, Senator Datuk Musa Sheikh Fadzir untuk dipulangkan semula kepada kerajaan negeri.
Turut hadir, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Azhar Ibrahim dan Timbalan Ketua UMNO bahagian tersebut, Ramlan Ishak.
Seorang warga emas, Elias Siru, 68, berkata, dia tertipu kerana menyangka wang bantuan kerajaan negeri itu diberi atas dasar keikhlasan untuk membantu orang tua sepertinya.
"Tapi kalau mengambil duit judi untuk disedekahkan kepada orang macam kami ini, saya rasa ia sudah keterlaluan.
"Kadang-kadang saya rasa takut jika saya mati sebelum dapat memulangkan wang ini, hari ini saya benar-benar berasa lega," jelasnya.
Che Yom Abdul, 62, pula bertekad memulangkan wang tersebut kerana ragu-ragu ia bersumberkan wang perjudian seperti yang didedahkan baru-baru ini.
"Selepas tahu mengenai perkara ini, saya bertekad untuk pulangkan semula dan ketiga-tiga anak saya juga menasihatkan untuk pulangkan kerana kami sekeluarga tidak perlukan duit yang diragui dari mana ia datang.
"Kerajaan pun sudah beri duit pencen tiap-tiap bulan, itu pun sudah cukup, kami bersyukur. Cuma nak tanya (kerajaan negeri), patutkah beri kami duit ini? Kami mungkin tidak mampu tetapi kami tidak tergamak terima duit haram," katanya.
Sharifah Abdul Rahim, 70, pula memberitahu, dia sekeluarga sangat terkilan selepas mendengar pengakuan kerajaan negeri ada menerima wang dari Kelab Lumba Kuda untuk membantu orang miskin di Pulau Pinang.
"Saya ragu-ragu sama ada wang (RM100) yang terima ini juga datang daripada sumber judi, jadi saya rasa lebih baik pulangkan supaya hati lebih tenang. Insya-Allah, tanpa duit ini saya dan anak-anak masih boleh hidup," tambahnya.
Pada 29 September lalu, 40 penerima bantuan kerajaan negeri terdiri warga emas dan fakir miskin di Kepala Batas memulangkan semula bantuan berkenaan diikuti 70 lagi penerima bantuan sekitar Bayan Baru, dekat sini yang membuat tindakan sama semalam.

Ambil amah selain Indonesia



ROMPIN 3 Okt. - Kerajaan sedang berusaha untuk mendapatkan khidmat pembantu rumah dari negara Asia lain selain Indonesia bagi mengurangkan pergantungan terhadap amah dari republik itu.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan berkata, antara negara yang dikenal pasti adalah Thailand, Kemboja, India, Sri Lanka, Filipina dan Burma.
"Kita akan mengadakan perbincangan antara kerajaan dengan kerajaan dan saya sendiri akan pergi ke negara berkenaan bagi melihat sendiri potensinya.
"Sebagai permulaan saya akan melawat Thailand dan Kemboja bagi melihat persefahaman yang boleh dibentuk ke arah itu," katanya selepas menghadiri jamuan Hari Raya Aidilfitri di Dewan Orang Ramai Muadzam Shah, di sini hari ini.
Menurut Maznah, selama ini Malaysia hanya memberi keutamaan terhadap pengambilan pembantu rumah dari Indonesia walaupun pada masa sama turut mengambil amah dari negara lain seperti Thailand dan Kemboja.
"Bagaimanapun, pembantu rumah dari Thailand dan Kemboja tidak popular seperti pembantu rumah Indonesia.
"Namun, kita terpaksa memilih negara alternatif kerana kebergantungan kepada satu-satu negara adakalanya akan menimbulkan kekangan dan masalah sekiranya berlaku sesuatu isu," jelasnya.
Mengenai isu pembantu rumah Indonesia, Maznah berkata, rundingan antara negara masih diteruskan.
"Semuanya masih dalam perbincangan dan tiada sebarang perkara diputuskan setakat ini. Oleh itu, pengambilan pembantu rumah dari republik itu masih dibekukan," jelasnya.