Saturday, April 2, 2011

Ku Li: Dedah video seks bukan budaya Melayu, Islam - Malaysiakini

Ku Li: Dedah video seks bukan budaya Melayu, Islam
Apr 2, 11 2:22pm
Kongsi 417
Pemimpin veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah hari ini membidas pihak yang mendalangi video lucah untuk menjatuhkan pemimpin pembangkang. Katanya, rakyat akan menolak "politik kotor' sebegitu untuk mengalihkan tumpuan mereka daripada isu-isu nasional yang jauh lebih penting.

NONE"Ini orang panggil gutter politics, politik longkang (dan digunakan) bila sudah tidak ada modal lagi. Ia timbul sebab polisi dan dasar yang diperjuangkan sudah tidak laku dan rakyat nampak tidak menerimanya.

“Oleh kerana itu (mereka) main politik kotor menyerang seseorang dengan harapan rakyat ketepikan hal seumpama itu. Ini bukan politik," kata mantan menteri kewangan dan bekas naib presiden Umno itu.

Dalam wawancaranya di TV Selangor, Tengku Razaeligh yang juga dikenali 'Ku Li' menegaskan rakyat, khususnya masyarakat Melayu, menolak cubaan mana-mana pihak menyerang keperibadian pihak lain semata-mata untuk mencari kelebihan politik.

"Saya tak fikir rakyat terima hal (video seks) ini. Kalau tengok kesAnwar yang pertama tahun 1998, rakyat tidak terima. Usung tilam, bantal semua, tak ada orang terima. Saya masih ingat semasa saya adakan majlis dialog di Gua Musang. Orang cakap. Ni Melayu ke ni? Malulah.

"Perkara ini tak patut didedah kepada orang ramai. Jadi itu tunjukkan orang tak faham politik pun menolak benda macam ni. Saya rasa (video seks) ini salah langkah," katanya.

NONEMenurut Razaleigh biarpun pihak yang mendalangi video seks itu berjaya menjatuhkan Anwar dan mencapai kemenangan politik, ia tidak bermakna dalam konteks kemuliaan tamadun negara itu sendiri.

"Kenapa kita nak amalkan ini semua kerana politik? Jika berpolitik sebegini, kalau kita menang pun, tidak ada maruah, tidak ada nilai, jadi tidak guna kita menang pun kalau kita guna cara buruk dan keji untuk mendapat tempat. Saya rasa rakyat pun tak dapat terima dengan baik," katanya.

Bukan budaya Melayu, Islam

Tiga individu - bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, Bendahari PERKASA, Datuk Shuib Lazim dan ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay mengaku mendalangi penayangan video itu kepada wartawan terplih pada 21 Mac lalu.

azlanMereka mendakwa rakaman itu menunjukkkan seorang pemimpin kanan pembangkang yang mirip Anwar sedang mengadakan hubungan seks dengan seorang pelacur di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 21 Februari.

Anwar kemudiannya membuat laporan polis bagi membolehkan polis menyiasat siapa pelaku dalam rakaman itu.

Pada sidang mediannya, ketua umum PKR itu menjelaskan pada malam adengan rakaman itu, beliau di rumah bersama ahli keluarga dan kakitangannya serta berinteraksi dengan kenalan menerusi Twitternya.

Razaleigh berkata perbuatan mencantas ahli politik dengan taktik-taktik keji seperti menayangkan video seks "bukan budaya" Melayu mahupun Islam kerana ia amat keji.

azlan"Saya tak tahu di mana kita belajar perkara ini. Di Amerika pun orang kata politiknya kotor. Saya rasa ia bergantung pada kita. Rakyat Malaysia punya tamadun dan budaya yang baik, kenapa kita hendak ikut budaya tak baik.

"Apatah lagi bagi orang Melayu Islam, tak patut kita lakukan benda yang jijik yang dipandang rendah oleh orang. (Apa guna) kita buat perkara yang hina di sisi masyarakat," tegas beliau.

Semalam, Ketua Polis Negara Ismail Omar membuat pengumuman bahawa video itu adalah tulen namun tidak mengulas sama ada pelakunya dikenal pasti.

Kenyataan Ketua Polis Negara itu menimbulkan pelbagai kecurigaan kerana adalah difahamkan polis tidak mengambil keterangan daripada pihak-pihak yang relevan untuk memperakukan keterangan Anwar sebelum ini.

Ku Li: Dedah video seks bukan budaya Melayu, Islam - Malaysiakini

Pornthip: 'Teoh Beng Hock dicekik sebelum jatuh' - Malaysiakini

Pornthip: 'Teoh Beng Hock dicekik sebelum jatuh'
Hafiz Yatim
Apr 2, 11
4:48pm
Pakar patologi Thai, Dr Pornthip Rojanasunand bersependapat dengan pakar forensik Britain Prof Dr Peter Vanezis bahawa Teoh Beng Hock masih bernyawa.

Namun katanya, beliau tetap mempertahankan hujahnya bahawa kesan tanda merah di sekeliling leher mangsa pembantu politik itu adalah akibat dicekik.

dr pornthip rojanasunand at teoh beng hock rciMenurut beliau, kesan merah itu amat ketara pada bahagian kiri leher Teoh pada bedah siasat pertama meskipun tubuh mangsa telah dijahit semula.

Pakar patologi dari Thai itu tidak menjalankan bedah siasat pertama tetapi hadir sebagai pemerhati pada bedah siasat kedua.

Pornthip, 56, yang tiba hari ini dan diberi kawalan ketat berkatakontusi pada sebelah kiri leher Teoh menunjukkan mangsa dicekik.

Tegasnya, terdapat tiga senario di mana kontusi boleh berlaku.

  • dicekik dengan menggunakan tangan,
  • leher mangsa dipukul dengan objek tumpul,
  • ataupun leher mangsa ditekan kepada objek atau kedua-duanya sekali.

Katanya, tanda seperti bentuk syiling di leher Teoh adalah akibat tekanan jari atau objek bulat dan kejelasan tanda itu mengikut Pornthip bergantung kepada tekanan yang digunakan.

"Teoh berkulit cerah jadi kesan tanda lebam ini boleh dilihat dengan jelas,” kata saksi itu.

Beliau juga memberikan beberapa contoh tentang bagaimana kecederaan di leher akibat dicekik yang mempunyai tanda-tanda lebam yang sama.

Pornthip: 'Teoh Beng Hock dicekik sebelum jatuh' - Malaysiakini

Video lucah dan dosa politik - Malaysiakini


Video lucah dan dosa politik
Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Mac 25, 11
7:56pm


Dalam budaya manusia yang tiada nilai agama dan tamadun berakhlak, isu keaiban peribadi dijadikan mainan golongan yang selekeh.

Maka muncullah kisah seks dan skandal peribadi tokoh politik itu dan ini sebagai senjata beracun membunuh musuh politik masing-masing.

Dalam Islam, perbuatan mendedahkan keaiban peribadi sebagai senjata politik adalah perbuatan yang dilarang oleh Allah dan rasul-Nya. Ia haram.

Hanya mereka yang jahil nas-nas agama sahaja yang menyangka itu adalah suruhan syarak. Malangnya praktik ini telah diamalkan oleh ramai tokoh dan penceramah politik sejak dahulu lagi di negara kita ini.

Sama ada PAS, Umno dan PKR; ramai individu dalamparti-parti itu telah terbabit dalam perkara yang diharamkan oleh syarak ini. Tuduhan seks, arak, kaki judi dan seumpamanya sudah menjadi ringan di lidah mereka.

Bahkan kadang-kala mereka menghina rupa ciptaan Allah yang ada pada musuh-musuh politik mereka seperti mengatakan si botak, gagap, hidung besar, mamak dan lain-lain. Mereka melanggar pantang larang agama dalam berpolitik.

Wabak inilah sedang memakan diri mereka sendiri. Mereka yang tiada etika dan akhlak telah dan akan terus terbabit dalam hal ini.

Sedangkan Nabi SAW bersabda: "Sesiapa yang menutup (keburukan) seorang muslim, Allah tutup (keburukannya) di dunia dan akhirat." (Riwayat Muslim).

Aib peribadi

Islam melarang didedahkan aib peribadi yang tidak membabitkan kezaliman terhadap orang lain. Aib peribadi seperti zina, minum arak, berjudi dan seumpamanya hendaklah ditutup semampu mungkin.

Jika hendak didakwa, hendaklah di mahkamah dan bukan untuk tontonan orang ramai. Pun begitu, Islam mengetatkan syarat saksi dan proses penyaksian. Bagi kes zina, jika gagal dipenuhi syarat, penuduh boleh dijatuhkan hukuman qazaf.

Tujuannya, untuk mengelakkan perangai suka menuduh dan mendedahkan aib peribadi orang lain. Sebab itu penzina dihukum 100 sebatan dan yang menuduh tanpa empat orang saksi 80 sebatan. Angka yang hampir bagi menunjukkan kesalahan menuduh tanpa empat orang saksi - sekalipun mungkin benar - adalah berat di sisi agama.

Firman Allah (maksudnya): "Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik. (Surah al-Nur: Ayat 4).

Nabi SAW sendiri mengelakkan agar aib itu didedahkan, bahkan disuruh bertaubat secara sendirian; dengan solat dan istighfar.

Dalam riwayat Muslim, seorang lelaki datang kepada Rasulullah dan berkata:

"Wahai Rasulullah, aku mengubati seorang wanita di hujung bandar. Aku telah melakukan kepadanya (seks), cuma aku tidak menyetubuhinya. Inilah aku, maka hukumlah aku apa yang engkau mahu. Lalu 'Umar (Ibn Khattab) berkata kepadanya: Allah telah tutupi keaibanmu jika engkau menutupi dirimu. Nabi s.a.w tidak berkata apa-apa. Lalu lelaki itu bangun dan pergi. Nabi SAW menyuruh seorang lelaki memanggilnya dan membaca kepadanya firman Allah (maksudnya) Dan dirikanlah sembahyang pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari malam. Sesungguhnya kebaikan itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat (Surah Hud ayat 114). Maka ada seorang bertanya: Wahai Nabi Allah, ini khas untuknya sahajakah? Jawab Nabi SAW: Bahkan untuk manusia keseluruhannya."
Bukan bukti asas
Rakaman video bagi kes maksiat peribadi tidak boleh dijadikan asas bukti. Bagi kes zina hendaklah dengan empat orang saksi. Tiada keperluan untuk pencarian bukti sampingan. Itu soal dosa insan dengan Allah bukan dengan orang lain.

Jika ia terlepas, mahkamah Allah di mahsyar tetap ada, atau mungkin dia bertaubat. Tiada pihak yang rugi atau untung melainkan dirinya sendiri.
Kata Dr Yusuf al-Qaradawi mengenai usaha mencegah kemungkaran:

"Kemungkaran itu mesti nyata dan dilihat. Adapun jika pelakunya melakukannya secara sembunyian dari pandangan manusia dan menutup pintu rumahnya, maka tidak seorang pun boleh mengintipnya atau merakamnya secara diam-diam dengan menggunakan alat elektronik atau kamera video atau menyerbu rumahnya untuk memastikan kemungkarannya. Inilah yang ditunjukkan pada lafaz hadis 'barangsiapa yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya...."

Dikaitkan kewajipan mengubah itu dengan melihat atau menyaksikan kemungkaran. Tidak dikaitkan dengan mendengar tentang kemungkaran dari orang lain. Ini kerana Islam tidak menjatuhkan hukuman kepada orang yang mengerjakan kemungkaran secara bersembunyi dan tidak menampakkannya.

Diserahkan hanya kepada Allah untuk menghisabnya pada hari kiamat. Hisab ini bukan menjadi wewenang seseorang di dunia. Sehinggalah dia melakukannya secara terang-terangan dan menyingkap keaibannya.
Bahkan hukuman Ilahi itu lebih ringan bagi orang menutupi kemungkarannya dengan menggunakan tabir Allah dan tidak menampakkan kederhakaannya sebagaimana yang disebutkan dalam hadis sahih (bermaksud):

"Setiap umatku diberikan keampunan kecuali orang-orang yang menampakkan (dosanya)" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Justeru, tiada seorang pun mempunyai wewenang untuk menjatuhkan hukuman terhadap kemungkaran-kemungkaran yang dilakukan secara sembunyian. (Al-Qaradawi, Min Fiqh al-Daulah fi al-Islam, hal 124, Kaherah: Dar al-Syuruq).
Berbeza dengan kes kezaliman
Ia berbeza dengan kes jenayah terhadap lain seperti bunuh, curi, rompak, rogol, diliwat secara paksa, rasuah dan seumpamanya. Kes-kes ini perlu dibongkar dan diambil tindakan demi keadilan terhadap mangsa.

Rakaman dalam kes-kes ini perlu diusahakan. Islam mengizinkan, bahkan menyuruh didedahkan bahaya atau kezaliman yang dilakukan yang boleh memudaratkan orang ramai dan rakyat. Jika ada perasuah, atau perompak, atau perogol maka hendaklah diberi amaran kepada orang yang mungkin menjadi mangsa.

Itu pun hendaklah atas asas bukti yang kukuh, bukan sekadar andaian. Demikian juga boleh mendedahkan kepada pihak yang berkaitan seperti hakim, pengundi dan orang awam tentang kezaliman yang boleh menimpa diri atau orang lain.

Firman Allah (maksudnya): "Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dizalimi, dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui. Jika kamu melahirkan sesuatu kebaikan, atau menyembunyikannya, atau kamu memaafkan kesalahan (yang dilakukan terhadap kamu), maka sesungguhnya Allah adalah Maha Pemaaf lagi Maha Berkuasa". (Surah al-Nisa: Ayat 148-149).
Tidak perlu suruhajaya
Tiada keperluan menubuhkan suruhanjaya khas bagi kes-kes maksiat peribadi. Ini hanya akan membazirkan harta rakyat. Al-Imam al-Ghazali (meninggal 505H) dalam kitabnya Ihya 'Ulum al-Din telah menyebut mengenai rukun-rukun perlaksanaan Hisbah.

Hisbah bermaksud perlaksanaan al-Amr bi al-ma'ruf (menyuruh kepada makruf) apabila ia nyata ditinggalkan, dan al-Nahy 'an al-munkar (pencegahan kemunkaran) apabila ia nyata dilakukan.

Rukun ketiga yang disebut oleh al-Imam al-Ghazali ialah:

"Hendaklah kemungkaran tersebut zahir (jelas) kepada ahli hisbah tanpa perlu melakukan intipan. Sesiapa yang menutup sesuatu kemaksiatan di dalam rumahnya, dan mengunci pintunya maka tidak harus untuk kita mengintipnya. Allah Ta'ala telah melarang hal ini. Kisah 'Umar dan 'Abd al-Rahman bin 'Auf mengenai perkara ini sangat masyhur. Kami telah menyebutnya dalam kitab Adab al-Suhbah(Adab-Adab Persahabatan). Begitu juga apa yang diriwayatkan bahawa 'Umar RA telah memanjat rumah seorang lelaki dan mendapatinya dalam keadaan yang tidak wajar. Lelaki tersebut telah membantah 'Umar dan berkata: Jika aku menderhakai Allah pada satu perkara, sesungguhnya engkau telah menderhakai-Nya pada tiga perkara. 'Umar bertanya: Apa dia? Dia berkata: Allah Ta'ala telah berfirman (maksudnya): Jangan kamu mengintip mencari kesalahan orang lain. Sesungguhnya engkau telah melakukannya. Allah berfirman (maksudnya: Masukilah rumah melalui pintu-pintunya. Sesungguhnya engkau telah memanjat dari bumbung. Allah berfirman: (maksudnya): Janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya). Sesungguhnya engkau tidak memberi salam. Maka 'Umar pun meninggalkannya... Maka ketahuilah bahawa sesiapa yang mengunci pintu rumahnya dan bersembunyi di sebalik dindingnya, maka tidak harus seseorang memasuki tanpa izin daripadanya hanya kerana ingin mengetahui perbuatan maksiat. Kecuali jika ia nyata sehingga diketahui oleh sesiapa yang berada di luar rumah tersebut." (Al-Ghazali, Ihya 'Ulum al-Din, 3/28, Beirut: Dar al-Khair 1990).
Ingatan
Muslim hendaklah mengelakkan diri dari terlibat dalam kes-kes seperti ini. Ia menjadi pengajaran kepada semua parti politik. Manusia-manusia yang rendah nilai dan maruah sanggup untuk terbabit dalam hal seperti ini sejak lama dahulu.
|
Mereka ini ada dalam Umno, PKR dan PAS. Sedangkan Allah berfirman (maksudnya):

"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip mencari-cari kesalahan orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat antara satu sama lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? Maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah penerima taubat, lagi Maha mengasihani." (Surah al-Hujurat: 12).

Bangkit generasi baru


Marilah kita bermufaraqah atau meninggal segala pelakon atau watak yang selekeh dan rela menghalalkan apa sahaja untuk kepentingan politik mereka. Tanpa mengira parti! Mereka mesti diusir dari pemainan bodoh ini.

Kita tentang semua pelakon politik yang suka mengelak kain orang. Tak kira kerajaan atau pembangkang. Kita dijadikan 'penonton bodoh' yang seakan merelakan apa sahaja watak yang mereka lakonkan.

Politik kita memerlukan nafas baru dan dibersihkan dari golongan yang jijik dan kotor ini! Kita perlukan politik idea, bagaimana dan cara membangunkan umat dan rakyat agar hidup berdisiplin, bermaruah dan bertamadun. Bukan cerita-cerita bodoh seperti ini!

Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin merupakan bekas mufti kerajaan Perlis. Tulisan ini adalah pendapat peribadi penulis.
Video lucah dan dosa politik - Malaysiakini

Adegan paling tak ranjang - Malaysiakini

Adegan paling tak ranjang
Hishamuddin Rais
Apr 1, 11
3:30pm
Aku tak tahu apa yang harus aku buat. Aku nak menangis tetapi aku rasa bersalah. Kalau aku ketawa aku juga akan merasa bersalah. Aku merasa bersalah kerana aku adalah salah seorang yang telah djemput untuk menonton tayangan perdana pembukaan sedunia, filem Tiga Mat Boroi. Aku merasa bersalah kerana orang lain tidak dijemput.

Walau apa pun aku mesti berkata benar bahawa aku merasa begitu bangga sekali apabila seorang pengarang akhbar The Star menelefon dan menjemput aku untuk datang menonton. Menggeletek anak tekak, tak sabar-sabar nak menonton Tiga Mat Boroi. Cepat-cepat aku seterika baju dan seluar.

Aku juga merasa amat amat gembira kerana dapat sama-sama merayakan kerja seni garapan Le Petit Tambi. Le Petit Tambi ini adalah pengarah filem kanak-kanak pada tahun 80-an dahulu. Dia cukup hebat dalam hal kanak-kanak dan buat anak. Dari apa yang aku difahamkan, filem terbaru ini adalah percubaan awal untuk meninggalkan genre kanak-kanak dan memasuki filem yang dianggapengaging atau filem fikrah.

Bayangkan betapa bangganya aku kerana telah dijemput untuk melihat tayangan eklusif Tiga Mat Boroi ini. Tayangan ini bukan di panggung kokak di Penang Road atau di Mid Valley. Aku dijemput ke panggung yang amat eklusif - Le Carcosa.

Tentang Carcosa ini, aku pernah diberitahu bahawa satu ketika dahulu Queen Elizebeth pernah terkencing berdiri di tandasnya. Ini terjadi sesudah Queen Elizebeth makan sup tomyam yang agak pedas di Jalan Masjid India. Drama ini berlaku ketika Queen Elizebeth datang ke Kuala Lumpur untuk merasmikan Sukan Kommonwealth pada tahun 1998 dahulu.

Berita Queen Elizebeth terkencing berdiri di Carcosa ini memang tidak dilaporkan media kerana takut akan menjadi satu trend ikutan anak-anak muda. Amat ditakuti kalau-kalau anak muda akan pergi beramai-ramai ke Carcosa hanya untuk berdiri terkencing.

Bila aku sampai ke Le Carcosa, aku telah disambut oleh lelaki gelap berpakaian serba hitam, termasuk berkaca mata hitam. Sekali pandang mereka kelihatan seperti pelakon dalam filem Man in Black. Sekali lagi pandang mereka ini semuanya seperti samseng dalam filem Tamil - bangang tapi lawak.

Liputan meluas


Kemudian aku pun dibawa masuk ke dalam panggung. Kelihatan ramai para gedebe tempatan dan wartawan yang telah datang lebih awal berada di situ. Semuanya kelihatan resah dan gelisah , duduk ternanti-nanti bilakah filem ini akan diputar.

Sebelum filem diputar, Le Petit Tambi sebagai pengarah telah mengalu-alukan kedatangan para jemputan, terutama wakil media. Le Petit Tambi berharap filem Tiga Mat Boroi ini akan mendapat liputan yang meluas. Menurut pengarah filem ini, dengan laporan media pasti orang ramai akan teringin ke panggung untuk menonton.

Filem pun diputar. Belum sampai tiga minit, mula kedengaran orang berdengkur. Pada minit ketujuh, dua orang penonton bangun untuk ke tandas. Untuk aku, ini petanda yang kurang sihat kerana filem ini tidak dapat memaku bontot penonton di kerusi.

Aku sendiri kembali untuk memberi konsentrasi dan melihat semua adegan yang sedang bergerak di hadapan mata. Aku terperanjat besar. Menurut Le Petit Tambi, filem ini adalah filem drama politikyang serius. Tetapi bila aku lihat, filem ini adalah filem komedi bodoh bergenre Senario.

Malah aku hairan kenapa tajuk filem ini diberi nama Tiga Mat Boroi. Tajuk sebegini sudah lawak. Tidak mungkin tajuk sebegini akan dilihat sebagai filem yang serius. Filem genre politik yang serius untuk aku adalah filem seperti Maria Mariana atau Sembilu. Filem-filem ini memiliki drama politik yang hebat dan tak ada tolok bandingan dalam dunia perfileman.

Sebelum filem diputar tadi, Le Petit Tambi juga berkata bahawa adegan di ranjang dalam filem ini cukup hebat. Pengarah telah menggunakan lapan buah kamera. Ini untuk memastikan semua sudut dirakam tanpa ada potongan. Penggunaan lapan buah kamera ini cukup hebat, malah lebih hebat dari Stanley Kubrick ketika membuat adegan ranjang dalam Lolita. Stanley Kubrick hanya menggunakan tujuh buah kamera sahaja. Ini betul-betul sikap Malaysia Boleh dari Le Petit Tambi!

Menurut Le Petit Tambi, filem ini mengisahkan seorang negarawan ulung yang telah digoda oleh seorang gadis Siam. Si gadis ini adalah pengintip macam Mata Hari yang dihantar khusus ke Malaysia oleh kerajaan Siam untuk mengagalkan projek Getah Negara. Jika projek Getah Negara ini berjaya, maka Siam akan kehilangan pasaran yang amat besar. Inilah jalan cerita filem ini.

Bila aku mendengar kata-kata Le Petit Tambi tentang adegan ranjang ini, air liur aku meleleh. Aku ternanti-nanti adegan ranjang ini. Malah aku telah bersedia dengan sarung tangan, jika kejantanan aku terganggu. Jika terganggu, aku tahu apa yang wajib aku lakukan.

Long shot

Tup! Tup! Apabila adegan ranjang bermula, aku terperanjat besar. Aku merasa tertipu. Walaupun lapan kamera digunakan dari pelbagai sudut, semuanya kelihatan gagal. Semua gambar kabur dan bergoyang- goyang. Tidak ada satu pun kamera yang berani menyorot dekat. Semua gambar diambil dari jarak jauh - long shot.

Malah cukup menyedihkan kerana tidak ada satu pun reverse angleuntuk memperlihatkan reaksi muka negarawan yang sedang bertogel. Apa yang jelas dilihat hanyalah punggung dan bahagian belakang si negarawan ini sahaja. Macam si negarawan sedang membuat tekan tubi.

Adegan ranjang ini adalah adegan yang paling tidak ranjang, yang pernah aku lihat. Gambar yang agak kabur dan bergoyang-goyang ini bertambah buruk lagi dengan lakonan kaku watak utamanya. Pelakon yang menjadi negarawan ini kelihatan tidak kacak. Kalau tidak kacak tetapi memilik badan yang gagah perkasa, mungkin juga penonton akan berpuas hati. Tetapi ini tidak juga berlaku.

Mengikut istilah 'nyah ', badan pelakon utama ini, "cukup mak taktaste."

Biar aku berkata jujur bahawa pelakon ini kelihatan boroi. Keboroiannya kelihatan jelas apabila dia bangun untuk memakai seluar. Perutnya kelihatan gendut. Malah apabila dia bangun, aku terdengar ramai yang ketawa melihat perutnya yang boroi dan bergoyang-goyang.

Mengambil pelakon berperut boroi adakah kesilapan yang amat besar. Dalam pembikinan filem, amat penting pemegang watak utama dilihat kacak dan bergaya. Kalau pun bukan bermuka Brad Pitt, sekurang kurangnya pilihlah muka kacak seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Apabila wira filem ini mula berjalan, aku hampir terbarai ketawa. Tetapi kerana hormat kepada penonton yang lain aku terpaksa mengigit jari untuk menahannya. Sakit perut aku menekan ketawa masuk ke perut.

Pesta filem di Cannes

Bayangkan, siapa pun akan ketawa apabila melihat imej negarawan ini, bukan sahaja boroi, pungungnya tonggek pula. Oh la la... di mana silapnya tuan pengarah ini? Mata aku mencari-cari dalam gelap, di manakah Le Petit Tambi? Pada ketika itu, aku rasa nak memberi satu penampar kepada tuan pengarah.

Kemudian si negarawan bangun untuk memakai baju. Nah, sekali lagi aku teperanjat. Kelihatan jelas tangannya yang memegang baju itu kelihatan berbulu lebat. Memang betul, bukanlah berbulu macam King Kong. Tetapi aku amat yakin pelakon ini cukup sesuai untuk berlakon dalam iklan Gillette. Tangannya yang berbulu itu akan kelihatan licin jika dicukur dengan Gillette.

Bila lampu dibuka, aku terperanjat sekali lagi. Hanya tinggal lima kerat dalam panggung Carcosa ini. Penonton yang lain telah senyap-senyap cabut pulang. Aku diperkenalkan oleh Le Petit Tambi dengan dua orang lagi yang menjadi pembantu pengarah. Bila aku lihat muka pembantu pengarah ini, aku rasa nak menempeleng kepala mereka. Muka mereka kelihatan 'poyo' walau pun mereka kelihatan bangga menjayakan filem ini.

Le Petit Tambi tanpa malu dan segan telah berkata bahawa filem ini akan di bawa ke pesta filem di Cannes. Sedih bila aku mendengar kata-kata Le Petit Tambi ini. Aku merasa sedih kerana kebodohan mereka. Aku rasa filem ini, kalau YouTube adakan syarat piawaian, sudah pasti filem ini tidak akan lepas.

Bila sampai ke rumah, aku termenung dan langsung membuka internet. Aku terperanjat beruk apabila membaca tentang Ummi Ufilada yang telah membuat sidang akhbar untuk mengumumkan bahawa dia memiliki 18 buah lagi filem yang akan menandingi kehebatan filem Tiga Mat Boroi. Aku hampir pengsan apabila membaca berita ini. Nampaknya si Ummi ini ingin bertempur dengan Le Petit Tambi.

Lalu aku terfikir, apa sudah jadi? Lalu aku bertanya, ke mana arahnya perkembangan filem Melayu hari ini? Apakah peranan Finas telah gagal? Apakah desas-desus yang aku dengar tentang Finas kini betul?

Untuk para pembaca yang teringin menonton filem Tiga Mat Boroi ini, lupakan sahaja. Tetapi kalau nak melihat orang boroi tak susah. Yang agak susah ialah bertemu orang boroi yang tonggek dan tangan bebulu. Orang jenis ini hanya berada di Siam. Tetapi kepada anak muda, kalau hendak pergi terkencing berdiri di paggung Le Carcosa seperti Queen Elizebeth dipersilakan.
Adegan paling tak ranjang - Malaysiakini

Enam nelayan Perak akan dibebaskan: Zahid





2011/04/02

HUTAN MELINTANG: Enam nelayan tempatan yang ditahan pihak berkuasa Indonesia sejak tiga bulan lalu ketika menangkap ikan di perairan antarabangsa berhampiran Pulau Perak akan dibebaskan pada waktu terdekat, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. 

Zahid berkata, beliau sudah berbincang dengan Menteri Pertahanan serta Menteri Perikanan dan Kelautan Indonesia mengenai kes itu selain menemui pemilik bot serta enam tekong yang berasal dari sini.
“Kata sepakat sudah dicapai untuk membebaskan semua nelayan terbabit selepas segala masalah ditangani,” katanya kepada media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Veteran UMNO Bagan Datoh dan Teluk Intan, di sini.
Katanya, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) diarah meronda kawasan sempadan perairan antarabangsa di Pulau Jarak dan Pulau Perak untuk menentukan tiada pelanggaran sempadan perairan berlaku di antara Malaysia dan Indonesia. 

Sementara itu, Ahmad Zahid mengesahkan Kementerian Pertahanan mengambil tindakan ke atas seorang pegawai dan tiga anggota tentera yang menyembelih burung Enggang di Taman Negeri Royal Belum di Grik selepas gambar mereka bersama burung itu tersebar di laman blog dan Facebook. 

Beliau berkata, mereka mendakwa menemui Enggang itu dalam keadaan separuh mati selepas dikatakan menjadi mangsa pemburu lain sebelum menyembelihnya dan mengambil gambar. 

Katanya, mereka disiasat mengikut Akta Tentera dan didakwa mengikut Akta Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara 1972. 

PAS yakin menangi kerusi pertama di Sarawak-InsyaAllah





2011/04/02

SIBU: Setelah pulang dengan tangan kosong selepas dua pilihan raya negeri Sarawak, PAS yakin percubaan ketiga parti itu kali ini akan membuahkan kejayaan. 
PAS sedar yang parti itu tidak mendapat sokongan secukupnya daripada kalangan orang Islam, yang merupakan 26 peratus daripada populasi Sarawak, untuk memenangi kerusi pertamanya di negeri ini, dan dengan itu turut berusaha mendapatkan sokongan pengundi bukan Islam yang tidak berpuas hati. 
Ketua PAS negeri, Adam Ahid mendakwa "perubahan mood" di kalangan pengundi Islam dan bukan Islam akan membawa kebaikan kepada parti itu.
"Di Beting Maro pada pilihan raya negeri yang lepas, contohnya, terdapat hanya sebuah rumah panjang yang menyokong kami. Kini, terdapat tiga buah rumah panjang yang telah menyatakan sokongan kepada kami," katanya. Beting Maro, kawasan majoriti Melayu di Sri Aman, adalah satu daripada lima kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandingi oleh PAS, yang telah melebarkan sayapnya ke Sarawak pada 1996. Empat lagi DUN ialah Sebuyau, Sadong Jaya, Muara Tuang dan Tanjung Datu.
Adam berkata PAS telah menubuhkan Dewan Himpunan di Miri untuk mendekati pengundi Islam dan bukan Islam di kawasan bandar. 
Bagi mendapatkan sokongan masyarakat Iban, beliau berkata PAS akan menumpukan pada tanah hak adat (NCR), isu yang dekat dengan hati mereka. 
Adam berkata parti itu akan meletakkan calon berwibawa dengan latar belakang profesional. 
"Kami tidak mahu terlalu yakin, tetapi kami sedang berusaha melahirkan apa yang kami panggil "Anak Sulung PAS"," katanya. 
Penganalisis politik, bagaimanapun, berpendapat adalah mustahil untuk PAS memasuki Dewan Undangan Negeri. 
Menurut pensyarah Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Dr Awang Azman Awang Pawi, laluan "amat sukar" bagi PAS berikutan latar belakang penduduk yang terdiri daripada pelbagai agama, kebudayaan dan etnik. 
"Rakyat masih sukar untuk menerima ideologi sebuah negara Islam, dan PAS dianggap sebagai sebuah parti ekstremis," katanya. Awang Azman berkata PAS telah disamakan dengan penduduk Islam di Mesir, dianggap sebagai pergerakan Islam paling berpengaruh di dunia, dan keadaan itu telah menakutkan banyak orang. 
"Faktor lain ialah kaum Bumiputera, sama ada Islam dan bukan Islam, lebih selesa dengan PBB daripada PAS yang berpangkalan di Semenanjung," katanya. 
"Bumiputera Islam ialah minoriti di negeri ini, tetapi pencapaian mereka dalam bidang pendidikan dan ekonomi agak signifikan, dan rakyat menghargainya," katanya. - BERNAMA
bharian

Siasat dakwaan Shamsul Iskandar miliki video seks



AYER KEROH - Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini semalam, membuat dua laporan polis berikutan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Shamsul Iskandar Mohd Akin yang mendakwa memiliki video seks beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN).

Laporan dibuat di Balai Polis Ayer Keroh, kira-kira jam 5.30 petang oleh Naib Pengerusi Sekretariat Pemikir dan Perpaduan Melayu, Ramli Mohd Tahir.

Beliau menggesa polis menyiasat dakwaan Shamsul Iskandar yang diulas di dalam beberapa blog bahawa pemimpin itu memiliki video seks berkenaan tetapi tidak akan mendedahkannya atas alasan moral.

Presiden Sekretariat Pemikir dan Perpaduan Melayu, Shahrul Azuwar Abdul Aziz berkata, mungkin tujuan laporan dalam blog itu dibuat supaya ia dijadikan propaganda untuk mengalihkan perhatian awam selepas pemimpin parti berkenaan terpalit dengan skandal video seks, baru-baru ini.

“Kita juga tidak mahu ia dijadikan isu pada pilihan raya umum Sarawak tidak lama lagi dan kami tidak akan berkompromi jika benar dakwaan video seks berkenaan benar-benar wujud.

“Sama ada pemimpin pembangkang atau kerajaan, jika memang terlibat skandal seks, mereka wajar disingkirkan,” katanya, semalam.

Justeru menurutnya, Sekretariat Pemikir dan Perpaduan Melayu serta beberapa NGO termasuk GPMS, Pekida dan Persatuan Ketua-ketua Kampung (Sidang) Negeri Melaka meminta Shamsul Iskandar tampil membuktikan bahawa beliau memiliki video seks berkenaan.

:Semalam, sebuah akhbar tempatan menyiarkan kenyataan bekas Setiausaha Sulit Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anuar Shaari yang mencabar Shamsul Iskandar supaya membuktikan dakwaannya memiliki video seks beberapa pemimpin BN.

Sementara itu, usaha Sinar Harian menghubungi Shamsul Iskandar gagal apabila taliannya di luar kawasan liputan namun setakat semalam, Ketua Penerangan AMK Melaka, Hairiz Nordin menyatakan bahawa pemimpin menafikan ada membuat kenyataan berkenaan.

KDN, polis didesak siasat akhbar ciplak




SHAH ALAM – Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor meluluskan usul mendesak Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) segera menyiasat dan mengambil tindakan terhadap dalang bertanggungjawab menerbitkan akhbar ciplak ‘ Selangor Terkini’.

Usul oleh Ng Suee Lim (DAP-Sekinchan) itu mempertikaikan penerbitan akhbar itu yang tidak mempunyai alamat pencetak, sidang redaksi serta tidak juga disertakan penerbit.

Suee Lim berkata, beliau juga curiga dengan lambang 1Malaysia yang terdapat di muka surat akhir akhbar tersebut selain beberapa risalah ADUN Kuang, Abdul Shukur Idrus.

Beliau turut kesal apabila akhbar tersebut menggunakan logo sama dan ‘tagline’ yang hampir sama dengan Selangor Kini.

“Mengapa pihak polis membiarkan surat khabar haram ini terus bermaharajalela? Jadi KDN dan PDRM perlu menyiasat siapa yang menerbitkan akhbar haram itu.

“Apa yang memeranjatkan, akhbar haram itu tidak mempunyai alamat pencetak, tiada sidang redaksi dan tidak mempunyai penerbit,” katanya.

Usul disokong Dr Abd Rani Osman (Pas-Meru) dan ADUN Bangi, Dr Shafie Abu Bakar (Pas-Bangi).

Pantau kes anak luar nikah: Exco




SHAH ALAM –: Statistik menunjukkan anak tidak sah taraf di Selangor berjumlah 257,000 seperti direkod perangkaan sejak 2008.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali berkata, daripada jumlah berkenaan, 83 kes anak tidak sah taraf dilaporkan setiap hari di negeri ini.

“Kalau seharian 83 kes dicatatkan maknanya, setiap 17 minit 17 saat ada sahaja anak-anak yang anak lahir tidak sah taraf, maknanya masalah ini sangat besar,” katanya.

Menurutnya, kemungkinan jumlah sebenar tidak diketahui lebih ramai kerana ada kes tidak dilaporkan dan didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara.

“Punca-punca yang mendorong ke arah pelakukan zina adalah kurang didikan agama dan perhatian ibubapa, pergaulan bebas atau pengaruh rakan sebaya, faktor berpakaian serta pengaruh televisyen.

“Ini juga disebabkan kekurangan anggota Penguatkuasa Agama untuk memantau kegiatan/perbuatan tidak bermoral. Nisbah pecahan anggota Penguatkuasa Agama dan masyarakat Islam di Selangor adalah 1:25,000,” katanya menjawab pertanyaan mulut Dr Abd Rani Osman (Pas-Meru) mengenai bilangan anak tidak sah taraf di negeri ini pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, semalam.

Hasan menyarankan agar Kerajaan Negeri menambah anggota penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dalam meningkatkan usaha pemantauan aktiviti tidak bermoral dalam masyarakat Islam di Selangor.

Bapa rayu anak dipulangkan



BERA – Seorang bapa merayu mana-mana pihak yang boleh membantunya membawa anak perempuan, Tab Xin Ru, 8, pulang ke pangkuannya yang kini berada bersama bekas isteri di Batam, Indonesia.

Tan Eng Keong, 31, berkata, setelah dua tahun Xin Ru disorokkan bekas isterinya, Pau Moi Moi, 32, hanya minggu lalu dia dapat berjumpa dengan anaknya.

Menurutnya, pertemuan selama lima jam itu tidak memadai kerana mahkamah memutuskan dia memiliki hak penjagaan sepenuhnya terhadap anaknya itu.

“Sebelum ini, bekas isteri saya memang tidak rapat dengan anak kami, malah dia sering mengelak menjaganya dan selalu pulang ke negara asal.

“Setiap kali dihubungi supaya pulang, pelbagai alasan diberikan. Justeru, kami sepakat untuk bercerai pada 2007 dan bekas isteri bersetuju menyerahkan anak kepada saya,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, pada akhir 2008, Moi Moi memohon supaya membawa Xin Ru ke Batam dengan alasan terlalu merindui anak mereka.

Bagaimanapun, ketika Eng Keong ke Batam untuk menjemput anaknya, mereka sudah tiada dan hilang jejak dari tempat tinggal mereka.

“Berbagai-bagai usaha dilakukan termasuk membuat laporan polis di kedua-dua negara, mengadu melalui MCA dan UMNO dan menyiarkan penderitaan dalam akhbar tempatan dan Indonesia.

“Anak saya adalah warga tempatan dan saya mahu dia tinggal bersama saya di sini,” katanya.

Menurutnya, selepas pertemuan lima jam itu, dia tidak lagi dapat bercakap dengan anaknya melalui telefon kerana tidak berjawab.

Eng Keong terpaksa mengambil cuti panjang semata-mata untuk menyelesaikan masalah ini lebih-lebih lagi membabitkan dua negara yang mempunyai perbezaan undang-undang.

Beliau berharap, ada pihak yang sanggup membantunya membawa Xin Ru pulang ke negara ini secepat mungkin.

Lebih 50 pegawai kastam ditahan


KUALA LUMPUR 1 April – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 50 lagi pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di seluruh negara hasil operasi susulan suruhanjaya itu yang memasuki hari keempat, bermula Isnin lalu.

Penahanan semua pegawai pelbagai pangkat dan jawatan itu diperoleh dalam serbuan SPRM di pelabuhan utama negara di Selangor, Pahang, Johor dan Pulau Pinang.

Dalam operasi itu, SPRM turut menemui wang tunai lebih RM500,000 di salah sebuah rumah pegawai kastam berkenaan.

Menurut sumber, modus operandi mereka terlibat adalah memudahkan barang-barang diimport masuk ke dalam negara tanpa pemeriksaan dan mengikut prosedur yang ditetapkan.

“Lokasi operasi pula tertumpu di pelabuhan-pelabuhan utama negara dan tangkapan tertinggi adalah di Pelabuhan Klang.

“Jadi apa sahaja jenis barang ‘dihalalkan’ masuk ke sempadan dengan bayaran suapan tertentu yang dikenakan,” kata sumber tersebut di sini hari ini.

Sebelum ini, SPRM dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta dibantu lima agensi lain membuat serbuan ke atas 84 ejen penghantaran, sebuah syarikat induk dan 24 anak syarikat berkaitan serta 25 premis JKDM di seluruh negara dalam operasi besar-besaran tersebut.

Dalam satu serbuan di Pahang, dua pegawai JKDM yang juga pasangan suami-isteri ditahan selain ratusan ribu ringgit ditemui berselerakan di rumah mereka.

Sementara itu, Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri Mohamed Khalid Yusuf meminta semua pegawai di jabatannya terus fokus terhadap tugas dan tanggungjawab masing-masing seperti yang diamanahkan.

“Pegawai-pegawai agensi itu perlu mengekalkan khidmat terbaik kepada pelanggan jabatan iaitu masyarakat,” katanya mengulas penahanan ke atas pegawai JKDM yang dilakukan SPRM, sejak Isnin lalu.

Menurutnya, penahanan tersebut dibuat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

“Hasil operasi itu, beberapa pegawai JKDM telah disiasat lanjut. JKDM percaya di atas kewibawaan SPRM dalam menjalankan siasatan tersebut,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Ibu Pejabat JKDM Putrajaya, di sini hari ini.

Utusan Malaysia Online - Berita Utama

‘Ini hukuman paling wajar’


BERSALAH...Mustafa keluar dari Mahkamah Sesyen Seremban, semalam.
BERSALAH...Mustafa keluar dari Mahkamah Sesyen Seremban, semalam.

SEREMBAN: “Ini adalah hukuman paling wajar dan tidak boleh diringankan kerana kesalahan adalah amat serius apatah lagi membabitkan kepentingan awam,” kata Hakim Amran Jantan.
Mahkamah Sesyen di sini, semalam, menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM20,000 terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lenggeng, Mustafa Salim, 53, yang didapati bersalah atas tuduhan menerima rasuah berkaitan surat sokongan penjualan pasir, tiga tahun lalu.

Terdahulu, tertuduh yang memakai sut hitam dan kemeja putih hanya kelihatan tenang ketika keputusan dibacakan mahkamah.

Amran dalam penghakimannya berkata, mahkamah tidak boleh memberi hukuman lebih ringan berikutan kesalahan dilakukan tertuduh adalah serius.

“Hukuman ini sesuai bagi kesalahan dilakukan tertuduh. Jika hukuman ringan dikenakan, maka ia akan memberi gambaran salah kepada masyarakat seolah-olah mahkamah tidak memandang serius kes seumpama itu.

“Selain itu, matlamat kerajaan untuk memerangi rasuah seperti terkandung dalam enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) juga tidak akan dicapai,” katanya.


Mengikut pertuduhan, Mustafa yang juga bekas guru didakwa menerima rasuah sebanyak RM2,000 daripada M Manimaran, 38, sebagai dorongan mengeluarkan surat sokongan berkaitan penjualan pasir di sebuah restoran di Taman Bunga Raya 2, Mantin, Seremban, kira-kira jam 5 petang, 28 Ogos 2008.

Berikutan itu, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 10 (a)(aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Amran bagaimanapun membenarkan hukuman penjara ditangguhkan sementara menunggu proses rayuan dan Mustafa diarah membayar denda RM20,000 dan wang jaminan RM10,000 pada Isnin depan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri, Penguasa Kanan Jasmi Buang dan Fieza Fazlin Fandi, manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Taqiyuddin Yahya.

Sementara itu, Mustafa yang dikerumuni wakil media sejurus keluar dari mahkamah hanya berkata dia akan membuat rayuan.

Benci lihat muka anak


KESAL...Azli menceritakan kisahnya kepada wartawan Harian Metro.
KESAL...Azli menceritakan kisahnya kepada wartawan Harian Metro.

MUAR: Disebabkan wajah seiras ayah dan hubungan akrab dengan bapa yang sudah bercerai dengan ibu, seorang lelaki mendakwa hidup penuh kesukaran apabila dikhianati ibunya hingga perniagaan diusahakannya gulung tikar.
“Aku benci melihat muka kau, kau bukan anak aku dan aku tak akan ampunkan dosa kau dunia akhirat.” Itu antara ungkapan yang dihamburkan si ibu kepada lelaki berusia 28 tahun itu yang hanya mahu dikenali sebagai Azli dari Sungai Abong, di sini.

Menurutnya, dia disisihkan ibunya sejak berusia 12 tahun kerana wajahnya seiras ayahnya yang amat dibenci wanita berkenaan sejak mereka berpisah.
“Selain ibu, abang juga bencikan saya dan sering memukul saya. Berikutan itu, saya meninggalkan rumah ketika berusia 13 tahun.

“Saya sangka masalah selesai, namun ibu masih berdendam dan melakukan pelbagai tindakan yang menyusahkan hidup saya hingga sekarang,” katanya.

Azli berkata, dia pernah bekerja dengan sebuah firma guaman di negeri ini kira-kira tiga tahun lalu, namun diberhentikan tiba-tiba dan mendakwa ia disebabkan fitnah ditabur ibunya.
Sejak itu, dia bertekad bekerja sendiri dengan menubuhkan syarikat perniagaan berasaskan rempah dan usahanya itu membuahkan hasil.

Bagaimanapun, kejayaan yang dikecapinya hanya sementara kerana Azli mendakwa, ibunya yang berusia 50-an sekali lagi menabur fitnah kononnya rempah ratus yang dihasilkannya menggunakan bahan terlarang seperti serbuk kayu dan pewarna berlebihan.
Fitnah itu sampai ke pengetahuan pihak berkuasa dan akibatnya, serbuk rempah kurma dan kari keluaran syarikat Azli dilarang dipasarkan sejak setahun lalu.

“Berikutan itu, saya sekali lagi berdepan kesukaran, malah seorang demi seorang pekerja berhenti kerja tanpa sebab munasabah.

“Fitnah dilontar ibu terhadap saya terlalu kejam hingga saya pernah menerima kata-kata kesat daripada pekerja sendiri, malah saya juga dituduh menggunakan bomoh untuk mengahwini isteri serta tidak bertanggungjawab kepada keluarga,” katanya.

Selepas kilang diusahakannya ditutup, Azli kini hidup kesusahan dan berniaga kecil-kecilan dengan menjual makanan di sebuah gerai di bandar ini sejak beberapa bulan lalu.

Menurut Azli, walaupun ibunya berterusan menghinanya, namun dia masih memberikan wang saku setiap bulan selain menjaga makan dan pakai wanita berkenaan.

Pada masa sama, perkahwinan Azli dengan gadis tempatan berusia 24 tahun kira-kira dua tahun lalu turut tidak mendapat restu ibunya.

“Pada Aidilfitri lalu, saya dan isteri pulang ke rumah ibu, namun kami hanya dibenarkan berada di luar rumah,” katanya.

Menurutnya, bagaikan dalam babak filem Ibu Mertuaku lakonan Allahyarham Tan Sri P Ramlee, ibunya mengeluarkan pelbagai kata-kata kesat selain mengugut dengan ungkapan “Aku tak akan ampunkan dosa kau dunia akhirat.” Menurut Azli, ibu dan ayahnya bercerai akibat salah faham selepas kelahiran adik bongsu mereka (adik Azli) yang kini berusia 16 tahun dan ayahnya kini sudah berkahwin lain.

Warga tahfiz Kuin berdemonstrasi




PELAJAR Kuliyyah al-Quran Insaniah mengadakan demonstrasi membantah penempatan Sekolah Insan Bestari di bangunan Maahad Tahfiz di Alor Setar semalam.


ALOR SETAR – Kira-kira 200 tenaga pengajar dan pelajar tahfiz Kolej Universiti Insaniah (Kuin) di sini mengadakan demonstrasi bagi membantah tindakan pengurusan kolej menjadikan bangunan Maahad Tahfiznya sebagai Sekolah Insan Bestari (SIB).
Dalam demonstrasi di pekarangan Kolej Kediaman Ar-Raziy itu, warga tahfiz Kuliyyah al-Quran membawa kain rentang dan sepanduk yang menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap keputusan Kuin menempatkan SIB di bangunan mereka.
Timbalan Dekan Kuliyyah al-Quran, Mohammad Idrus Ismail, 50, berkata, demonstrasi itu diadakan bagi meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pengurusan Kuin terutama Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak selaku Pengerusi Kuin.
“Suara ini ditujukan khas buat Menteri Besar sebagai Pengerusi Kuin kerana kami sudah tidak ada lagi kepercayaan kepada pengurusan Kuin,” katanya.
Kosmo! Online - Negara

Risau 'dibogelkan' dalam Facebook

Kosmo! Online - Negara: "Risau 'dibogelkan' dalam Facebook
Oleh MOHD. ZAINI SAMSU HADI
zaini.hadi@kosmo.com.my
MANGSA (kiri) menunjukkan gambar lelaki yang didakwa mengugut untuk menyebarkan gambar bogelnya kepada Michael Chong di Kuala Lumpur semalam.
MANGSA (kiri) menunjukkan gambar lelaki yang didakwa mengugut untuk menyebarkan gambar bogelnya kepada Michael Chong di Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR – Seorang pelajar Fakulti Perubatan, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) di Kubang Kerian, Kelantan kini hidup dalam keadaan tertekan selepas menerima ugutan daripada seorang penggodam internet yang mahu menyebarkan gambar lucah menerusi teknik pertindihan (superimpose) dirinya.

Pelajar tersebut yang hanya mahu dikenali sebagai Devi, 20, menerima ugutan itu daripada seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Rao dan mendakwa bekerja sebagai pereka laman web.

Devi memberitahu, dia menerima ugutan tersebut selepas mengesahkan permintaan lelaki berkenaan untuk menjadi rakan di laman sosial Facebook pada 24 Mac lepas.

Dia mendakwa, selepas itu lelaki berkenaan bertindak mengambil gambarnya yang ada di dalam album di laman sosial itu serta mencuri alamat akaun miliknya.

“Lelaki berkenaan juga menukar kata laluan akaun alamat laman carian Yahoo! milik saya hingga membolehkan dia mengakses dan menukar maklumat peribadi saya sesuka hati,” katanya ketika ditemui di Pejabat Pengaduan Awam MCA di sini semalam."