Saturday, September 4, 2010

Segerakan penyampaian saman ekor kepada penerima: Kong



LUMUT - Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha meminta polis memastikan semua saman ekor yang dikeluarkan sepanjang Ops Sikap ke-22 yang bermula semalam dapat disampaikan dengan kadar segera bagi mengelak kesulitan kepada penerima.

Beliau berkata, polis perlu memikirkan kaedah terbaik bagi mempercepatkan proses penghantaran saman itu berikutan banyak aduan yang diterima daripada pengguna mengenai perkara itu.

"Ada yang mengadu hanya menerima saman selepas dua hingga lima tahun dari tarikh kesalahan yang didakwa dilakukan.

"Ini satu tindakan kurang cekap kerana menimbulkan banyak kesulitan kepada mereka. Ia terlalu lama dan sukar bagi mereka untuk menyemak sama ada benar atau tidak kesalahan itu dilakukan," katanya kepada Bernama selepas majlis penyampaian sumbangan Hari Raya di Kampung Melayu Baru, Felcra Simpang Dua, Sitiawan, dekat sini, hari ini.

Kong mencadangkan agar saman itu disampaikan dalam tempoh satu hingga dua minggu selepas kesalahan dikesan.

Beliau berkata, aduan pengguna berhubung perkara itu perlu diberi perhatian serius kerana kelewatan penghantaran saman berkenaan menyukarkan penerima dan isu seperti itu hanya menimbulkan kemarahan orang ramai serta memberi imej buruk kepada kerajaan.

Polis sebelum ini telah menarik balik tindakan menyenarai hitam kesalahan di jalan raya bagi membolehkan orang ramai memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan sehingga 28 Feb tahun depan.

Ops Sikap ke-22 yang akan berakhir 17 Sept dilancarkan serentak semalam di seluruh negara menjelang sambutan Hari Raya Puasa minggu depan.

Pada majlis itu, sebanyak 40 orang anak yatim, ibu tunggal, anak istimewa dan keluarga kurang berkemampuan menerima sumbangan duit raya dan barangan keperluan harian daripada Kong yang juga Anggota Parlimen Lumut.

Harapan menjelang Syawal



MERSING - Seorang warga emas yang memikul tanggungjawab sebagai ibu kepada orang kurang upaya (OKU) berharap ada pihak sudi memberi bantuan kepada dirinya yang kesempitan hidup di Jalan Ibrahim, di sini. 

Sabariah Mohd Noh, 82, bukan sahaja memikul beban menjaga anak yang menghidapi sakit misteri dan tidak mampu berbuat apa-apa, malah turut menjaga suaminya, Yusof Tahir, 75, yang kini tidak berdaya untuk bekerja kuat kerana sudah tua. 

Sumber pendapatan mereka sekeluarga hanya bergantung kepada kerja suami sebagai penoreh getah dengan hasil tidak seberapa selain bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan. 

“Cabaran paling besar ialah menjaga anak saya, Robayah Yusof, 47. Kecacatan yang dialaminya ini bukan sejak lahir, tetapi berpunca daripada satu kejadian yang berlaku hampir 30 tahun lepas,” katanya. 

Mengimbau semula peristiwa itu, Sabariah berkata, ketika Robayah berusia 17 tahun, tanpa diduga dia mengalami kejadian mistik terkena pintasan bunian. 

“Satu hari Robayah yang ketika itu masih remaja hilang seharian sebelum dia ditemui dalam keadaan aneh. 

“Seingat saya, semasa kejadian, Robayah ingin ke bandar namun masih tidak pulang sehingga waktu malam dia ditemui dalam semak berhampiran rumah. Masa itu, dia berada di atas pokok, dan kami semua berusaha menurunkannya,” katanya. 

Menurutnya, selepas kejadian itu, Robayah atau lebih mesra dipanggil Yah terus berubah; dia tidak bercakap, suka mengurungkan diri dan tidak terurus.

Serah bendera Indonesia



GEORGETOWN - Dua bekas anggota Pasukan Gerak Khas Komando Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyerahkan bendera Indonesia, Sang Saka Merah Putih kepada pejabat konsulat republik itu di sini semalam sebagai simbolik untuk ‘mengajar’ rakyat negara jiran itu menghormati kedaulatan negara lain. 

Selain itu, Othman Abdul Majid, 58, dan Saad Din, 56, turut menyerahkan memorandum mendesak kerajaan republik itu dan rakyat mereka meminta maaf kepada Malaysia atas perbuatan jelik yang telah mereka lakukan, membakar Jalur Gemilang dan juga melempar najis ke kawasan Kedutaan Besar negara di Jakarta. 

Othman berkata, dia kecewa dengan tindak-tanduk segelintir rakyat Indonesia yang menghina lambang negara dan mahu mereka mengikut jejaknya supaya sentiasa menghormati jiran. 

“Saya mendapat latihan sebagai komando ketika berkursus di Pengembangan Pendidikan dan Latihan Pusat Sandi Yudha di Batu Djadjar, Bandung pada 1971 di bawah Tentera Nasional Indonesia (TNI). 

"Dalam kursus itu, kami diajar supaya menjunjung Pancasila, mentaati negara dan menghormati panji-panji negara. 

“Namun apa yang terjadi, mereka kini sewenang-wenangnya membakar dan menghina panji-panji (bendera) negara lain. Ini yang saya berasa sangat sedih kerana di Indonesia dulu, rakyatnya tidak pernah diajar buat begitu kepada negara lain,” katanya.

Apa yang lebih menyedihkannya, kata Othman, apabila ada laporan rakyat negara berkenaan melakukan perbuatan keji itu kerana diupah.

“Saya yang sebaliknya berasa malu dan terhina apabila perbuatan sehina itu dilakukan kerana wang semata-mata. Saya berasa terhina kerana mereka itu serumpun dengan kita, yang kita anggap sebagai saudara,” katanya.

Saad pula berkata, rakyat Indonesia yang melakukan perbuatan terkutuk itu seharusnya insaf bahawa, saban tahun berbilion rupiah dibawa pulang oleh warga mereka yang mencari rezeki di sini sekali gus membantu memakmurkan kampung halaman mereka.

“Apa yang mereka nak sebenarnya? Saya tidak fikir kumpulan itu sudah menimbang sebelum membuat gesaan supaya dua juta rakyat mereka yang bekerja di sini, pulang segera. Mereka sekadar ikut kepentingan sendiri tanpa memikirkan implikasi jika benar-benar dua juta rakyat mereka itu pulang. Apa akan jadi sedangkan mereka sendiri sanggup ambil upah berdemonstrasi sekadar untuk dapat nasi bungkus?,” katanya.

Saad mengingatkan rakyat negara itu supaya insaf akan bala Allah yang sering menimpa mereka dengan pelbagai tragedi meragut ratusan ribu nyawa.

“Kita bukan mahu menghina mereka tetapi harap supaya mereka insaf. Pada masa mereka susah, siapa yang bantu? Mengapa jiran yang baik ini dihina-hina dengan perbuatan yang begitu melampau.”

“Kita harap mereka insaf dan bersyukur dengan kebaikan rakyat dan kerajaan kita. Kami mahu kerajaan dan rakyat Indonesia meminta maaf kepada kita atas apa yang telah mereka lakukan terhadap Jalur Gemilang kita,” katanya.

Sementara itu, Kepala Fungsi Ekonomi, Penerangan dan Sosial, Pejabat Konsulat Indonesia di Pulau Pinang, Izrani Ratini yang menerima memorandum dan Sang Saka Merah Putih bagi pihak konsulat berkata, pihaknya akan menghantar memorandum itu kepada Kedutaan Besar Indonesia di Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.

Nak jumpa sebelum ajal

ENDAU: “Disebabkan kesempitan hidup, selepas melahirkan anak bongsu, saya menyerahkannya kepada ibu angkatnya yang kebetulan tidak mempunyai anak,” kata Raja Kamariyah Omar, 52, yang ingin bertemu anak kandungnya yang terpisah sejak 22 tahun lalu, Mokhzani Hazly Mohd Nor.
Menurutnya, selepas 22 tahun terpisah, naluri keibuannya meronta-ronta untuk bertemu semula dengan anak bongsunya itu.
Beliau yang juga ibu tunggal dan cacat penglihatan serta berasal dari Kampung Bukit Rompin, di sini, terpaksa menyerahkan Mokhzani yang ketika itu berusia dua bulan kepada keluarga angkat.

“Suami meninggal dunia semasa saya mengandungkan Mokhzani. Sejak kematian suami, saya dihimpit kesukaran hidup kerana tiada lagi tempat berteduh.

“Pada masa sama, saya juga membesarkan seorang anak lelaki kurang upaya (OKU),” katanya di sini, semalam.

Raja Kamariyah menerima ketentuan Tuhan lantaran kedaifan hidup tetapi rasa terkilan kerana keluarga angkat anaknya tidak mahu menemukan dia dengan Mokhzani.

“Saya masih ingat sewaktu Mokhzani berusia tiga tahun, dalam satu majlis, dia ketika itu duduk di ribaan saya tiba-tiba ditarik ibu angkatnya.

“Saya hanya membiarkannya saja kerana dia masih kanak-kanak, tidak tahu lagi siapa ibunya. Namun, hati saya sangat tersentuh kerana Mokhzani sedang mengusap wajah saya sebelum ditarik ibu angkatnya,” katanya.

Menurutnya, kali terakhir dia berjumpa anaknya adalah ketika Mokhzani berusia lapan tahun iaitu semasa hari kematian datuknya.

“Itulah kali terakhir saya bertemu dengannya. Pada masa itu, rasa rindu saya seakan lenyap apabila dia datang dan memegang bahu saya. “Sekarang dia pasti sudah besar panjang. Saya mengikuti juga perkembangannya, dengarnya dia sudah berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Raja Kamariyah berterima kasih kepada ibu angkat Mokhzani kerana membesarkan anaknya itu selain memberikan pendidikan sempurna hingga berjaya ke menara gading.
Katanya, jika tinggal bersamanya, Mokhzani mungkin tidak akan menjadi seorang yang berjaya dalam hidup atau pelajaran.

“Saya tidak berniat untuk mengambilnya semula selepas 22 tahun berlalu cuma ingin bertemu dengan darah daging saya semula sebelum saya menghembuskan nafas terakhir,” katanya.

Mek Wook gembira

HULU TERENGGANU: Hasrat Mek Wook Kondor, 107, untuk menyambut Aidilfitri bersama suaminya, Mohd Nor Musa, 38, bakal menjadi kenyataan apabila lelaki berkenaan dibenarkan bercuti lebih seminggu oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
Khabar gembira itu disampaikan sendiri Pemangku Ketua Pegawai AADK daerah, Anwar Hamid, kepada wanita tertua Terengganu itu ketika dia melawat suaminya sempena pembukaan Pusat Khidmat Agensi Anti Dadah Kebangsaan (PKAADK) daerah dan Ihya’ Ramadan, di sini, kelmarin.
Mek Wook berkata, dia bersyukur kerana doanya untuk bersama suami menyambut lebaran dimakbulkan tuhan sekali gus menjadi hadiah Ramadan paling bermakna buatnya.

“Sebelum ini saya rasa macam tiada semangat hendak menyambut raya apabila suami ditahan dua bulan, namun apabila diberitahu pihak AADK semalam (kelmarin), saya gembira dan tidak sabar untuk pulang ke kampung.

“Jadi dengan kepulangan suami ini, dapatlah kami mengemas rumah dan membuat persiapan raya sebelum pulang ke kampung di Tanah Merah dan Bachok, Kelantan,” katanya ketika ditemui di PKAADK, di sini, kelmarin.

Sementara itu, Mohd Nor pula, berkata dia berterima kasih kepada PKAADK kerana diberikan cuti dari 8 hingga 19 September ini untuk menyambut Aidilfitri bersama isteri di kampung.

“Mungkin kami akan menyambut raya pertama di Kampung Bukit Tok Bat sebelum pulang ke kampung di Kelantan, tapi tidak tentu lagi kerana kena fikir juga keadaan kereta dan kewangan.

“Saya akan pastikan sambutan raya kali ini lebih bermakna dan memberi tumpuan pada isteri kerana tahun lalu saya terpaksa menyambut raya berseorangan kerana ditahan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen), Besut tahun lalu,” katanya yang kini ditempatkan PKAADK daerah selama dua bulan.

Sementara itu, Anwar berkata, Mohd Nor kini ditahan di PKAADK daerah untuk menjalani rawatan pemulihan mengikut Seksyen 8(3)(a) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Pindaan 1998).

Menurutnya, sejak berada di situ dua minggu lalu, Mohd Nor menunjukkan perubahan positif apabila semakin bersemangat untuk menghindarkan diri daripada gejala tidak sihat itu selain selesa dan mudah menerima bimbingan daripada pegawai AADK.

Katanya, selain Mohd Nor sebagai ketua penghuni pusat berkenaan, terdapat tiga lagi penghuni yang menjalani rawatan pemulihan di situ secara sukarela.
“Suasana di sini lebih terbuka dan selesa apabila keluarga boleh melawat penghuni selain pelbagai aktivitinya menjurus kepada kegiatan bersama masyarakat di luar dan bertemu keluarga serta keadaannya tidak terkongkong seperti di Puspen.

“PKAADK boleh memuatkan 20 orang pada satu-satu masa dan penghuni dibimbing bagaimana cara untuk menahan diri daripada terjebak dengan gejala negatif selain persediaan untuk menempuh hidup di luar kelak,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan kesetiaan cinta wanita tertua Terengganu, Mek Wook, teruji lagi apabila suaminya, Mohd Nor, ditahan polis di Kampung Pasir Tinggi, di sini, kira-kira jam 10.30 pagi 12 Ogos lalu kerana didakwa positif dadah jenis heroin.

Bayi derita hidap jantung berlubang

GEORGETOWN: Seorang bayi perempuan berusia dua bulan menghidap jantung berlubang memerlukan sumbangan orang ramai bagi menampung kos pembedahan yang bakal dilakukan di Pusat Perubatan Gleneagles (GMC).
Lee Xinlin, berusia dua bulan memerlukan bantuan RM40,000 untuk pembedahan segera bagi memulihkan saluran jantung bagi membolehkannya bernafas dengan lancar.
Bapanya, Lee Wei Gee, 35, berkata anaknya juga perlu menjalani pembedahan lanjutan selepas berusia enam tahun bagi memasang Blalock-Taussig Shunt dan atrial septectomy untuk memudahkan saluran darahnya berfungsi seperti biasa.

Lee yang bekerja sendiri, memperoleh pendapatan RM2,000 sebulan manakala ibunya, Lee Chee Cheng, 31, suri rumah.

“Saya tidak mampu menampung kos pembedahan tinggi ini dan merayu orang ramai dapat membantu menyumbangkan sumbangan demi kesihatan anak saya ini,” katanya.

Katanya, keluarganya menaruh harapan tinggi untuk melihat anaknya sihat seperti kanak-kanak lain.

Orang ramai yang ingin menderma boleh menghantar cek atau wang pos kepada NSTP Charity Fund, Bahagian Kewangan / Tabung Kebajikan NSTP, The New Straits Times Press (M) Berhad, Balai Berita, 31 Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur dengan menulis nama bayi berkenaan di belakang cek berkenaan.

Lupa emak lepas nikah

KUALA NERANG: “Sambutan Aidilfitri sudah tidak bermakna buat saya sejak tiga tahun lalu kerana anak tunggal perempuan menghilangkan diri sejak berkahwin,” kata warga emas Maria Harun, 75, yang sebak mengenangkan nasibnya ketika ditemui di Rumah Orang-Orang Tua Tanpa Waris, Kampung Padang Nyior di sini, kelmarin.
Menurutnya, dia kini menghabiskan sisa hidupnya di rumah berkenaan selain mendapatkan kasih sayang daripada tiga anak tirinya yang prihatin dengan penderitaannya.
“Saya tinggal di sini sejak tiga tahun lalu selepas satu-satunya anak perempuan berkahwin.

“Selepas berkahwin dengan lelaki pilihannya, dia terus menghilangkan diri tanpa khabar, mengikut suaminya tinggal di kawasan yang tidak diketahui.

“Selepas suami meninggal lima tahun lalu, saya tinggal bersama dia selama dua tahun sehingga dia berkahwin,” katanya.

Maria ditemui dalam program Kasih Ramadan anjuran Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Nerang, Datuk Syed Sobri Syed Hashim yang turun padang menyalurkan bantuan kepada golongan kurang berkemampuan.

Maria dari Keda, Bukit Ular, terkilan dengan sikap anaknya yang tergamak membiarkannya menetap di rumah orang tua.

“Kerinduan terubat apabila tiga anak tiri hasil perkahwinan arwah suami sebelum ini sering datang menjenguk.

“Walaupun dia bukan anak kandung, saya anggap mereka sebagai anak sendiri. Biasanya pada pagi raya, saya menunaikan solat Aidilfitri di masjid berhampiran sebelum anak tiri datang menjemput beraya bersama mereka,” katanya.

Menurutnya, dia menghabiskan seharian di rumah anak tirinya sebelum pulang semula ke rumah berkenaan.

“Terubat juga kerinduan melihat mereka menyambut hari raya. Saya berdoa agar anak saya dibukakan pintu hati untuk melawat saya di sini sementara masih hidup,” katanya sebak.

Abu Bakar Bashir jadi imam Ariel Peterpan





2010/09/04

JAKARTA: Penyanyi Nazriel Irham atau lebih dikenali sebagai Ariel Peterpan, suspek bagi satu kes skandal seks membabitkan dua pengacara televisyen Indonesia dilaporkan menjalani ibadat puasa dan solat tarawih di dalam tahanan Markas Besar Polis Indonesia bersama Abu Bakar Bashir. 

Ariel ditahan sejak Jun lalu dilaporkan menjadikan guru agama yang ditahan atas dakwaan terbabit dengan keganasan itu sebagai imam dalam melaksanakan ibadat sepanjang bulan Ramadan ini.

BENDERA halau warga kita di Jalan Diponegoro





2010/09/04

GERAKAN Ganyang Malaysia secara besar-besaran yang dirancang Benteng Demokrasi Rakyat Indonesia (BENDERA) termasuk mengadakan tunjuk perasaan di luar pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Kuningan, di sini tidak berlaku semalam. 

BENDERA hanya mengadakan demonstrasi dan gerakan menghalau rakyat Malaysia di Jalan Diponegoro iaitu di pejabat operasi mereka, namun dapat dikawal Polis Republik Indonesia (POLRI).

Namawee disiasat tujuh jam

PUTRAJAYA: Wee Meng Chee atau lebih glamor dengan nama Namawee yang memuat naik klip video didakwa berbau perkauman sekali lagi menghadapi soal siasat, kali ini selama lebih tujuh jam di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di Cyberjaya, dekat sini, semalam.
Namawee tiba di SKMM kira-kira jam 12.30 tengah hari bersama pengurusnya, Fred Wong disoal siasat berkaitan tindakannya memuat naik klip video Internet berbau perkauman.
Anak muda yang gemar memakai penutup kepala itu berkata, dia dihubungi SKMM pada Khamis supaya hadir di SKMM untuk diambil keterangan berhubung video berkenaan.