Saturday, October 22, 2011

Polemik liwat: Peguam PAS cabar MP Zul kritik ‘hukum hudud Umno’

Oleh G Manimaran
October 22, 2011
KUALA LUMPUR, 22 Okt — Peguam PAS Mohamed Hanipa Maidin mencabar jika Ahli Parlimen Bebas Kulim Bandar-Baru Zulkifli Noordin, yang menimbulkan aspek berkaitan dengan peruntukan liwat dalam hukum hudud yang digubal kerajaan negeri Terengganu pada 2002, jika jujur sepatutnya mengkritik “hudud Umno” di Wilayah Persekutuan.
Menurut Hanipa, dalam undang-undang yang digubal kerajaan pusat — yang dilabelnya sebagai “undang-undang Umno” — di Wilayah Persekutuan, liwat hanya “salah jika lelaki meliwat lelaki yang lain.”
“Berdasarkan tafsiran liwat di Seksyen 2 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan adalah jelas bahawa seorang yang sama ada meliwat seorang perempuan yang lain atau meliwat isterinya tidak dikira melakukan apa-apa kesalahan di Wilayah Persekutuan jauh sekali akan dihukum.
“Renungan kepada Zulkifli Nordin - undang-undang mana yang lebih melindungi wanita?” kata beliau dalam entri blognya.
Semalam, Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Harun Taib berkata dakwaan Zulkifli berhubung suami meliwat isteri melambangkan kejahilannya dalam hukum yang berkaitan syarak.
Harun berkata, hukum syarak tidak boleh dibaca sepintas lalu tetapi memerlukan disiplin ilmu yang tinggi.
Menurut Harun, liwat di antara suami isteri tidak termasuk dalam hukum hudud tetapi bukan bererti perbuatan itu tidak salah.
Jelas beliau, perbuatan itu tetap salah, cuma tidak termasuk dalam hukum hudud dan dari sudut hukuman ia akan dikenakan hukum takzir.
Hanipa menulis ekoran isu yang dibangkitkan oleh Zulkifli di Dewan Rakyat kelmarin, antara lain menurutnya, wakil rakyat itu menuduh hukum hudud yang hendak dilaksanakan oleh PAS membenarkan suami meliwat isteri.
Katanya, tuduhan tersebut dibuat dengan kononnya dirujuk kepada draf dan Enakmen Hudud dan Qisas Terenggganu 2002 yang diluluskan pada persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu ketika PAS memerintah negeri itu.
Kerajaan negeri Kelantan pula menggubal enakmen yang sama pada 1993.
Polemik baru ini muncul ketika timbul semula kontroversi pelaksanaan hukum hudud di Kelantan. Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat terus melahirkan hasrat mahu melaksanakan undang-undang itu di Kelantan.
“Menurut beliau (Zulkifli) berdasarkan Seksyen 14 enakmen tersebut yang menerangkan tentang liwat yang dimaksudkan dengan seseorang lelaki memasukkan zakarnya ke dalam dubur seseorang lelaki atau perempuan, kecuali isteri. Katanya, perkataan kecuali dengan isteri itu jelas membawa maksud seseorang suami boleh memasukkan zakarnya ke dalam dubur isterinya kerana ia tidak dimaksudkan meliwat,” tulis Hanipa.
Beliau seterusnya berkata adalah sesuatu yang malang bagi profesion guaman negara ini mempunyai seorang peguam yang nampaknya tidak memahami perkara asas dalam penafsiran undang-undang.
Kata Hanipa, daripada kenyataan Zulkifli nampaknya beliau terlibat dengan politik murahan yang hanya sekadar untuk menimbulkan keraguan terhadap perkara yang jelas dan tiada keraguan.
Katanya, hujah beliau yang mengatakan bahawa Seksyen 14 Enakmen Jenayah Syariah Terengganu bercanggah dengan Islam kerana tidak menganggap perbuatan meliwat isteri sebagai satu kesalahan boleh dengan mudah dipatahkan dengan beberapa alasan.
Kata Hanipa, Seksyen 14 Enakmen Jenayah Syariah Terengganu secara jelas memperuntukkan “liwat ialah satu kesalahan yang merupakan persetubuhan di antara seorang lelaki dengan seorang lelaki yang lain atau di antara seorang lelaki dengan seorang perempuan selain daripada isterinya yang dilakukan di luar tabii iaitu melalui dubur.
“Jika dilihat kepada Seksyen 14 tersebut terdapat dua kesalahan yang boleh diklasifikasikan sebagai kesalahan liwat iaitu hubungan seks melalui dubur antara lelaki dan lelaki dan hubungan seks melalui dubur antara lelaki dan wanita selain daripada isteri lelaki tersebut.
“Seksyen 15 enakmen yang sama memperuntukkan ‘sesiapa melakukan kesalahan liwat hendaklah dihukum dengan hukuman yang sama seperti yang ditetapkan bagi zina,” katanya lagi.
Menurut Hanipa, hukuman zina adalah 100 rotan bagi pesalah zina yang ghayru muhsan dan rejam sehingga mati bagi yang muhsan.
“Zulkifli menyatakan bahawa berdasarkan Seksyen 14 enakmen tersebut seorang yang meliwat isteri tidak melakukan kesalahan. Beliau berhujah bersandarkan frasa ‘selain daripada isterinya’ suami yang meliwat isteri terlepas dari hukuman hadd,” kata beliau sambil menambah, hujah itu memperlihatkan bahawa beliau tidak memahami perbezaan asas antara hudud dan takzir.
“Seksyen 14 bercakap tentang hudud. Seorang suami yang meliwat isterinya bukan tidak bersalah. Ia tetap salah. Cumanya kesalahan itu tidak boleh dikenakan hukuman hudud. Mungkin Zulkilfli bertanya kenapa tidak boleh kena hukum hudud?” katanya lagi.
“Jawapannya sepertimana yang dikatakan oleh Abdul Kadir Audah dalam bukunya yang terkenal ‘Tasyri’ Janaie’ terdapat keraguan sama ada isteri yang dinikahi secara sah oleh lelaki boleh dikenakan hukuman hadd hanya kerana ia ‘mengguna pakai hartanya’ mengikut kehendaknya. Dan, prinsip yang terpakai dalam hukum hudud adalah keraguan membatalkan hukuman hadd.
“Zulkifli mungkin bertanya adakah ini bermakna seorang suami yang meliwat isterinya akan terlepas hukuman? Jawapan kepada soalan tersebut adalah tidak. Suami yang meliwat isteri masih boleh dihukum tetapi bukan dengan hukuman hudud sebaliknya beliau hanya boleh dihukum oleh hukuman takzir,” kata Hanipa lagi.
Jelas beliau, jika Zulkifli cermat dan tidak tergopoh-gapah membaca keseluruhan enakmen tersebut beliau akan pasti dapat melihat Seksyen 3 enakmen yang sama, yang menyatakan secara jelas, “dengan syarat bahawa apabila sesuatu kesalahan hudud atau qisas tidak boleh dihukum dengan hukuman hudud atau hukuman qisas kerana tidak dapat memenuhi syarat-syarat yang dikehendaki bagi hukuman-hukuman itu, maka kesalahan itu adalah menjadi suatu kesalahan takzir dan hendaklah ia dihukumkan demikian.”
“Seksyen 3 enakmen tersebut sekali gus menjawab segala kekeliruan yang Zulkifli cuba timbulkan. Seksyen 3 menunjukkan bahawa liwat ke atas isteri tetap salah menurut enakmen yang PAS gubal tetapi ia bukan kesalahan hudud sebaliknya ia hanya satu kesalahan takzir. Dan, Zulkifli juga kena faham hukum takzir tidak semestinya lebih ringan dari hukuman hudud,” katanya lagi.
-minsider

Husam: IPT Kelantan perlu tawar Prof Aziz Bari kerja

October 22, 2011
KUALA LUMPUR, 22 Okt ― Kelantan disyor menawarkan peluang untuk berkhidmat di pusat pengajian tinggi (IPT) di bawah kerajaan negeri itu kepada Prof Dr Abdul Aziz Bari, yang kini berhadapan dengan tindakan berkuasa termasuk pengurusan Universiti Islam Antarabangsa (UIA).
“Selain daripada berharap Profesor Dr Abdul Aziz Bari tidak menggadaikan kejujuran dan keberanian akademiknya, saya cadangkan jika perlu, kerajaan negeri Kelantan boleh menawarkan kedudukan seperti profesor pelawat bagi beberapa buah IPT di bawah kerajaan negeri seperti KIAS (Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra),” kata Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa dalam satu kenyataan.
Husam (gambar) yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan berkata, “saya rakamkan ucapan takziah kepada Profesor Dr Abdul Aziz Bari, yang telah dikenakan tindakan separa tidak tamadun oleh UIA, bagi pihak kerajaan Umno-BN.”
Katanya, tidak syak lagi tindakan itu, mengembalikan “kita kepada zaman Singapura dilanggar todak, di mana Hang Nadim yang bercakap benar dan berani telah difitnah, dinafikan kebebasannya serta dihapuskan.”
Oleh itu katanya, beliau berharap Aziz terus gigih di atas landasan keberanian demi kebenaran.
“Dalam masa yang sama, saya ucapkan tahniah kepada beliau kerana telah menjadi ikon kebebasan akademik pada era kongkongan ke atas mahasiswa dan pensyarah di negara ini begitu mencengkam.
“Kebangkitan mahasiswa untuk bersuara dalam perhimpunan di UIA tengah hari tadi, disertai dengan kenyataan beberapa badan akademik universiti-universiti, membuktikan bahawa dunia akademik tidak boleh menerima budaya sempit yang ditunjukkan oleh kerajaan di negara ini,” kata beliau dengan merujuk kepada tindakan mengecam tindakan ke atas Aziz.
Beberapa pihak mengecam tindakan UIA manakala kira-kira 700 pelajar mengadakan demonstrasi di kampus induk universiti itu di Gombak semalam.
Kata Husam, “(Timbalan Presiden PAS) saudara Mohamad Sabu didakwa oleh polis hanya kerana atas polemik sejarah, pensyarah UIA digantung hanya kerana beliau memberi lontaran pandangan.”
Bulan lalu Mohamad dihadapkan di mahkamah berhubung satu ceramahnya di Pulau Pinang berkaitan dengan peristiwa Bukit Kepong.
-minsider

Peguam: Surat UIA amat jelas Aziz Bari digantung, dilarang masuk kampus

Oleh G Manimaran
October 22, 2011
KUALA LUMPUR, 22 Okt — Prof Dr Abdul Aziz Bari menafikan kenyataan Rektor Universiti Islam Antarabangsa (UIA) bahawa pensyarah itu tidak pernah ditegah memasuki pusat pengajian tinggi tersebut sehingga siasatan ke atasnya selesai, demikian menurut peguam beliau hari ini.
Sebaliknya Dr Zulqarnain Lukman berkata, kandungan surat tunjuk sebab yang dikeluarkan, bertarikh 19 Oktober lalu, dengan jelas menunjukkan Aziz digantung perkhidmatan beliau berkuasa “serta-merta sehingga siasatan selesai dan bukan hanya dalam tempoh tujuh hari” sebagaimana dikatakan oleh Rektor Prof Dr Zaleha Kamaruddin semalam.
“Berhubung kenyataan yang diberikan oleh Rektor UIA Prof Dr Zaleha Kamaruddin, yang disiarkan oleh akhbar hari ini khususnya oleh Bernama (semalam), saya mendapat arahan anak guam bahawa kenyataan Rektor UIA berkaitan penggantungan perkhidmatan selama tujuh hari dan bahawa beliau bebas masuk ke dalam premis UIA adalah tidak tepat,” kata Zulqarnain sambil menambah, beliau diarah membuat penjelasan berhubung perkembangan terbaru ini.
Kenyataan Zaleha itu keluar semalam ketika banyak pihak menggesa UIA menarik balik penggantungan perkhidmatan ke atas Aziz (gambar) sehingga siasatan dijalankan.
Zulqarnain berkata, berdasarkan surat tunjuk sebab dikeluarkan, Aziz digantung perkhidmatan dengan gaji penuh, dengan serta-merta sehingga notis susulan.
Katanya, surat itu juga mengingatkan bahawa ketika tempoh penggantungan, Aziz tidak dibenarkan memasuki premis universiti tanpa kebenaran bertulis daripada Dekan Kulliyah Undang-undang.
Selain itu kata beliau, surat tersebut juga menyebut bahawa Aziz tidak dibenar mengadakan sebarang transaksi bagi pihak universiti atau menghubungi staf universiti atau sekutu bisnes UIA tanpa kebenaran Dekan Kulliyah Undang-undang.
“Oleh itu, adalah jelas bahawa penggantungan perkhidmatannya adalah berkuat kuasa serta-merta sehingga siasatan selesai dan bukan hanya tempoh tujuh hari.
“Tempoh tujuh hari yang dinyatakan Rektor UIA itu adalah merujuk kepada tempoh menjawab surat tunjuk sebab, bukan tempoh penggantungan. Tempoh penggantungan tidak ditetapkan, ertinya sepanjang yang mungkin selagi tidak ditamatkan secara rasmi oleh UIA,” kata beliau.
Aziz dikehendaki menjawab surat tunjuk sebab sebelum 4 petang 25 Oktober ini.
Begitu juga bahawa adalah jelas, kata Zulqarnain, pelangganya tidak dibenarkan masuk ke premis universiti atau berhubung dengan mana-mana staf UIA melainkan terdapat kebenaran bertulis daripada Dekan Kulliyah Undang-undang.
“Jika benar terdapat sebarang perubahan kepada notis yang diberikan kepada anak guam, seharusnya pihak universiti mengeluarkan notis baru membatalkan kandungan notis bertarikh 19/10/2011 ini,” kata beliau lagi.
Zulqarnain menambah, anak guamnya juga memohon pengurusan UIA tidak mengeluarkan kenyataan yang berkonflik dan bercanggah satu sama lain yang membingungkan masyarakat awam.
Dalam satu kenyataan semalam, UIA menjelaskan tindakan menggantung tugas Aziz bukanlah hukuman, sebaliknya bagi memastikan siasatan terperinci dapat dijalankan berikutan kenyataan beliau mempertikai titah Sultan Selangor.
Zaleha turut menafikan laporan media dan portal berita bahawa Aziz tidak dibenarkan masuk serta berurusan dengan pihak universiti, dan digajinya turut ditahan.
Beliau berkata UIA tetap membayar gaji Aziz seperti biasa dan pensyarah itu dibenarkan memasuki kawasan universiti untuk berurusan dengan fakulti.
Zaleha berkata Aziz digantung selama tujuh hari mulai Rabu lalu dan dalam tempoh itu, pensyarah berkenaan perlu menjawab surat tunjuk sebab yang dikeluarkan Lembaga Disiplin, Tatatertib dan Kakitangan UIA berhubung tindakan mempertikaikan titah Sultan Selangor mengenai serbuan Jabatan Agama Islam Selangor sebuah gereja di Damansara Utama pada 3 Ogos lepas.
Beliau berkata jika Aziz tidak membalas surat tunjuk sebab itu dalam masa yang ditentukan, pensyarah berkenaan boleh dihadapkan ke Lembaga Displin, Tataterib dan Kakitangan UIAM untuk dibicarakan.
Zaleha berkata kenyataan Aziz berhubung titah ucapan Sultan Selangor akan disiasat mengikut Peraturan 15 Peraturan Tatatertib Kakitangan universiti itu.
-minsider

Gadhafi hidup dan mati dengan pedang


ADA sebuah ungkapan Inggeris yang berbunyi “he who lives by the sword, dies by the sword.” Dibahasa-Melayukan secara literal, ia bermaksud, sesiapa yang hidup dengan pedang akan mati kerana pedang.

Selama 42 tahun, selepas menjatuhkan Raja Idris dengan kekuatan “pedang” pada bulan September 1969, Kolonel Moammar Gadhafi aka Muammar Gaddafi aka “King of Kings” memerintah dengan kuasa “pedang”. Semalam, pada 20 Oktober, beliau mati di mata “pedang”.

Menurut laporan Associated Press, beliau ditarik keluar cedera daripada lubang persembunyiannya. Beliau merayu kepada penangkapnya: “Jangan bunuh aku anak-anakku.” Tetapi, sudah terlambat. Mereka bukan lagi anak-anak beliau. Mereka adalah anak-anak revolusi musim bunga Arab.

Mereka “meronyeh-ronyeh” dan mencabut rambutnya. Belum jelas sama ada beliau benar-benar mati kerana cedera atau mati dibunuh oleh penangkap-penangkapnya. Ada laporan mengatakan dia tertembak di kepala ketika pasukan yang setia kepadanya berbalas-balas tembak dengan tentera rakyat.

Tetapi apa yang berlaku selepas itu ialah, mayatnya diikat kepada bonet kereta dan diarak di jalan-jalan raya bandar kelahirannya, Sirte.

Selepas Presiden Zine El Abidine Ben Ali, Tunisia dan Presiden Hosni Mubarak, Mesir, Gadhafi adalah pemerintah kuku besi dunia Arab yang ketiga jatuh dalam masa tidak sampai setahun. Yang berbeza hanyalah darah yang mengalir di Libya. Revolusi jalanan Tunisia dan Mesir umumnya aman dan tidak mengorbankan banyak nyawa dan harta benda.

Soalnya sekarang ialah ke manakah Libya akan menghala selepas ini? Revolusi Tunisia dan Mesir sudah mula menampakkan kesan positif. Keamanan semakin pulih walaupun usaha mengubah kesan pemerintahan kuku besi yang berdekad-dekad lamanya bukanlah mudah dan tentunya memakan masa.


Ke Arah Mana Revolusi Arab?

Dan apa pula akan terjadi di Syria dan Yaman, di mana rakyat jelatanya juga bangun menuntut perubahan, dalam revolusi jalanan yang berdarah?

Bagi memudahkan analisis, kita boleh menuduh kebangkitan musim bunga Arab itu sebagai satu lagi konspirasi Barat.

Tetapi kita juga perlu akui bahawa suasana politik, ekonomi dan hak asasi manusia di negara-negara yang terbabit adalah jauh daripada sempurna.

Libya kaya dengan minyak dan gas – nombor sembilan di dunia dengan rizab dianggarkan 40 bilion tong – dan antara negara Afrika paling maju. Paras kemiskinan mengikut Rancangan Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) adalah 7.6 peratus pada tahun 2009 dan pengangguran 10 peratus.

Tetapi rakyat Libya nampaknya mahu lebih daripada hak ekonomi. Mereka mahu hak asasi dan hak politik. Dan dunia, khasnya Barat, mahukan bekalan minyak negara itu.

Apa yang kita saksikan di kebanyakan negara Arab, sama ada yang sedang bergolak atau yang di permukaannya nampak tenang, adalah perubahan aspirasi massa.


Antara Tirani Kuku Besi Dan Anarki

Mereka tidak boleh lagi menerima tirani kuku besi, pemerintahan oleh kelas elit dan ketidakseimbangan sosial dan ekonomi.

Mereka mahu demokrasi dan ekonomi bebas, walaupun demokrasi dan kapitalisme pasaran sedang mengalami keruntuhan di Amerika Syarikat dan Eropah.

Serentak dengan kematian Gadhafi di Libya, beribu penunjuk perasaan bertempur dengan polis di Athens, Greece dan di New York, Amerika Syarikat.

Di Athens mereka menentang dasar jimat-cermat Kerajaan Greece yang muflis dan di New York mereka menentang tirani pasaran bebas.

Sedangkan di negara kita sendiri, pelbagai transformasi sedang dipromosikan oleh elit politik dan ekonomi atas nama pasaran bebas, globalisasi, meritokrasi dan pelbagai klise awang-awangan lagi.

Dunia tanpa sempadan dan komunikasi tanpa batasan kini menjadi wadah kepada anarki intelektual dan fizikal. Facebook dan Twitter menyebabkan London terbakar beberapa minggu lalu. Takut-takut, demokrasi yang dicari, anarki menjadi realiti. Barang dijauhkan Allah.

Dipetik daripada blog A Kadir Jasin

SH:

'via Blog this'

Himpun - Pas Perak sokong kenyataan Presiden Pas


IPOH - Pas Perak menyokong kenyataan Presiden Pas yang mahu aqidah umat Islam dipertahankan melalui gerakan dakwah dan penguatkuasaan undang-undang tetapi bukan melalui gerakan yang boleh menimbulkan ketegangan antara agama dan kaum.

Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Misbahul Munir Masduki berkata, sejak dulu lagi Pas sememangnya tegas dalam isu yang melibatkan aqidah umat Islam, beberapa badan bertindak ditubuhkan oleh Pas apabila Nor Aisyah dimurtadkan, begitu juga Hartina Kamaruddin dan juga Lina Joy.

Menurutnya, Pas juga pernah menyokong kenyataan Mufti Perak yang mendedahkan ratusan ribu umat Islam telah murtad, UMNO ketika itu diam membisu seribu bahasa, bukan sahaja tidak pernah hadir dalam setiap perjumpaan dan forum isu murtad malahan memperlekeh usaha yang dibuat oleh Pas dan beberapa NGO yang lain.

"Hari ini UMNO cuba tunjuk hero kononnya mereka memperjuangkan isu murtad, walhal mereka hanya mengambil kesempatan untuk meraih sokongan rakyat terhadap UMNO yang semakin hari semakin rapuh.

'Usaha HIMPUN adalah murni dan sememangnya wajar disokong, tetapi usaha HIMPUN cuba dimanipulasi oleh pihak lain dan dibimbangi HIMPUN akan menjadi satu perhimpunan yang menyebabkan hubungan antara agama dan kaum menjadi tegang," katanya dalam satu kenyataan.

Situasi ini mendorong Pas Pusat melalui kenyataan Tuan Guru Presiden mengambil sikap yang cukup cermat dan berhemat. Menyokong agenda mempertahankan aqidah umat Islam dan memberi ingatan HIMPUN tidak menjadi satu perhimpunan yang boleh mencetuskan ketegangan antara kaum dan agama.

SH:

'via Blog this'

Alfariza cari kakak kandung





PONTIAN 20 Okt. - Seorang wanita, Alfariza Ab. Aziz (gambar), 38, meminta bantuan orang ramai untuk mengesan dan mencari kakak kandungnya yang terpisah sejak 39 tahun lalu.

Kedua-dua beradik tersebut terpisah sejak dilahirkan setelah mereka diserahkan kepada keluarga angkat Melayu oleh ibunya, Kiew Tai Yen, 79, dan bapanya, Loo Siau Chuan akibat kesempitan hidup.

Alfariza anak kelapan daripada sembilan beradik berkata, maklumat yang ada mengatakan kakaknya itu bekerja sebagai jururawat di Batu Pahat.

''Tetapi, tidak tahu di hospital mana. Kami juga tidak mengetahui nama kakak kerana hingga kini ibu saya tidak pernah berjumpa dengan keluarga angkat kakaknya itu,'' katanya di sini hari ini.

Dia yang kini sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak berusia 22 bulan tinggal bersama keluarga angkatnya Ab. Aziz Othman di alamat No. 684, Lorong 3, Taman Merdeka di sini.

"Adik bongsu kami juga diserahkan kepada sebuah keluarga Cina kerana kesempitan hidup," ujarnya.

Menurut Alfariza, bapa mereka yang telah meninggal dunia merupakan seorang tukang besi di Tongkang Pecah, Batu Pahat suatu masa dahulu.

"Walaupun telah beragama Islam, saya tidak melupai ibu yang telah melahirkan dan telah beberapa kali menemuinya di Batu Pahat. Begitu juga dengan adik-beradik yang lain," katanya.

Oleh itu, beliau berharap pihak-pihak yang mengenali kakaknya dapat membantu mempertemukan mereka.

Mereka yang mengetahui di mana kakaknya berada ataupun kakaknya sendiri membaca berita ini boleh menghubunginya di talian 012-3627764 atau 07-6876684 (Ab. Aziz Othman).

Utusan Malaysia Online - Johor:

'via Blog this'

Aziz Bari dihadap ke tribunal UIA


KUALA LUMPUR 21 Okt. – Pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Abdul Aziz Bari akan dihadapkan ke tribunal universiti jika surat tunjuk sebab beliau berhubung kenyataannya terhadap titah Sultan Selangor dalam isu serbuan di Gereja Methodist Damansara Utama, tidak kukuh.

Rektor UIAM, Prof. Datuk Dr. Zaleha Kamaruddin berkata, tindakan menggantung khidmat Abdul Aziz bermula kelmarin bertujuan memberi beliau masa dan peluang yang secukupnya untuk membela diri dan bukan sebagai ‘hukuman’ sebagaimana diuar-uarkan oleh sesetengah pihak.

“UIAM dikecam kerana menggantung beliau, tetapi ramai yang tidak tahu maksud ‘gantung’ itu. Kami bukan menghukum Abdul Aziz tetapi memberi peluang kepadanya untuk membela diri.

“Tindakan universiti menggantung beliau tidak bercanggah dengan mana-mana undang- undang universiti mahupun negara. Jadi, mengapa perlu UIAM dikecam dan mengapa tindakan kami menggantung beliau dipersoalkan?” katanya pada sidang akhbar di UIAM hari ini.

Semalam, peguam Abdul Aziz, Dr. Zulqarnain Lukman memberitahu UIAM menggantung khidmat Abdul Aziz bermula kelmarin sehingga tempoh yang akan diberitahu kelak kerana kenyataan beliau berhubung titah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Zaleha menegaskan, dalam tempoh penggantungan itu, Abdul Aziz perlu memberi penjelasan berhubung isu tersebut iaitu sama ada beliau telah menjejaskan kepentingan universiti selaras dengan Peraturan 15, Peraturan Tatatertib Kakitangan atau tidak.

“Dalam peraturan tersebut, telah dijelaskan bahawa kebebasan ahli akademik dalam membuat sebarang kenyataan umum hendaklah tidak bercanggah dengan kepentingan universiti.

“Tetapi, tindakan Abdul Aziz itu secara tidak langsung telah menyebabkan nama baik UIAM terjejas,” katanya.

Utusan Malaysia Online - Politik:

'via Blog this'

Shamsul Iskandar ditahan

KUALA LUMPUR 21 Okt. - Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mat Akin (gambar) ditahan pihak keselamatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ketika menghadiri satu perhimpunan bagi membantah penggantungan pensyarah undang- undang, Prof. Dr. Abdul Aziz Bari di universiti itu, hari ini.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, penahanan itu dibuat oleh pihak keselamatan UIAM berikutan kehadirannya dianggap boleh menimbulkan suasana tidak tenteram di kalangan peserta perhimpunan.

"Pihak keselamatan UIAM menganggap bahawa Shamsul Iskandar adalah sangat mencurigakan kerana dia akan membuat suasana menjadi tidak tenteram kerana sikapnya yang keterlaluan terhadap sesuatu isu.

"Pihak polis tidak terlibat secara langsung dalam penahanannya kerana kami cuma memantau perjalanan perhimpunan itu yang tidak menggugat keselamatan warga UIAM," katanya di sini hari ini.

Jelas Abdul Rahim, perhimpunan tersebut dianjurkan oleh Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) yang dipimpin oleh pengerusinya, Shukri Abdul Hadi serta sembilan lagi persatuan yang berada di bawahnya.

Perhimpunan tersebut dihadiri seramai 500 mahasiswa dari seluruh negara bagi meluahkan rasa tidak puas hati terhadap penggantungan terhadap Abdul Aziz.

Mereka telah menyerahkan memorandum kepada Rektor UIAM untuk menarik balik penggantungan tersebut selepas tamat perhimpunan.

Utusan Malaysia Online - Politik:

'via Blog this'

Aziz Bari mula fikir ceburi politik

Utusan Malaysia Online - Politik: "

KUALA LUMPUR 21 Okt. – Pensyarah undang-undang kontroversi dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Abdul Aziz Bari mengakui beliau kini berkira-kira untuk menceburi politik sedikit masa lagi.

Katanya, ini kerana beliau berasa tersentuh apabila melihat terdapat pihak termasuk para pelajar UIAM yang mengadakan demonstrasi di premis institusi itu bagi membantah tindakan universiti berkenaan menggantung khidmatnya.

Bagaimanapun, katanya, beliau lebih mengutamakan rancangan untuk bersara awal dari UIAM bagi menumpukan perhatian kepada usaha menulis dan menerbitkan beberapa buku pada masa hadapan.

“Saya sebenarnya tidak suka berpolitik kerana melalui akademik, saya bebas mengeluarkan pendapat saya melalui landasan ilmu yang dipelajari, tiada kekangan, itu yang saya fikir.

“Tapi dengan perkembangan melihat orang berdemonstrasi kerana penggantungan saya oleh UIAM hari ini dan ada dua akaun facebook diwujudkan untuk menyokong saya, hati saya tersentuh dan mungkin ada sesuatu boleh saya buat jika berpolitik,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini."

'via Blog this'

Pengantin MIRS1M1P selamat diijab kabul

Oleh Azman Mahmood
azmanm@bharian.com.my
2011/10/22

  WAN AHMAD FARID   (tengah) sempat bergambar kenangan bersama sepuluh pasangan pengantin yang menyertai My Idol Raja Sehari 1Malaysia, 1pasangan dinikahkan  di Masjid Kristal Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu.
WAN AHMAD FARID (tengah) sempat bergambar kenangan bersama sepuluh pasangan pengantin yang menyertai My Idol Raja Sehari 1Malaysia, 1pasangan dinikahkan di Masjid Kristal Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu.
Pasangan dapat wang tunai RM5,000, 1,000 kad jemputan, perbelanjaan kahwin ditanggung

KUALA TERENGGANU: Sepuluh pasangan yang terpilih dalam program My Idol Raja Sehari 1Malaysia 1Pasangan (MIRS1M1P) yang julung kali diadakan di negeri ini, selamat diijab kabul dalam satu majlis lafaz akad nikah di Masjid Kristal, Taman Tamadun Islam (TTI) di sini, semalam.
Akad nikah oleh Juru Nikah negeri yang juga bekas Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Datuk Ismail Ali, berlangsung kira-kira jam 4.30 petang, sebaik selesai solat Asar. Bagi memeriahkan majlis, 300 ahli keluarga pihak pengantin lelaki dan perempuan hadir pada majlis anjuran Pejabat Pembangunan Parlimen Kuala Terengganu.
Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, yang juga Pegawai Penyelaras Pembangunan Parlimen Kuala Terengganu.

Pasangan bertuah itu diberi wang tunai RM5,000 dan 1,000 keping kad jemputan selain segala perbelanjaan perkahwinan mereka ditanggung pihak penganjur.

Kemuncak program MIRS1M1P itu, semua pasangan itu akan disandingkan secara beramai-ramai dalam majlis Perkahwinan Perdana di Dataran Shahbandar di sini, kira-kira jam 9 malam ini yang dijangka turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said serta 5,000 tetamu.

Pasangan pengantin baru itu adalah Asrul Hafizal Abdul Halim, 28, dan Norfahani Mustafar, 21; Ahmad Ghazali Mohd Noor, 25, dan Siti Noor Hafizah Seman, 25; Dzulkarnain Othman, 28, dan Syamsiah Hussin, 26; Mohd Jailani Mohamad, 27, dan Nor Fadilah Awang, 21; Mohd Fitri Aziz Mohd Alias, 23, dan Wan Nur Liyana Wan A Razak, 23.

Pasangan lain adalah Mohamed Fadly Musa, 27, dan Syaidatul Akmal Ghazali, 21; Mohd Syaharidan Jaafardudin, 24, dan Wan Norfaizatul Ashikin Wan Mohd, 20; Ahmad Hanif Jaafar, 21; Shahrul Anuar Abdullah, 27, dan Syazrina Baharomm, 24, dan Mohd Safwan Mohamed, 25, dengan pasangannya Siti Nur Adnin Salim, 24 tahun.

Asrul Hafizal dan isterinya, Norfahani dari Kampung Gong Kemunting, Kuala Ibai, di sini, bersyukur kerana terpilih sebagai salah satu pasangan daripada lebih 100 pasangan yang memohon menyertai program MIRS1M1P anjuran Pejabat Pembangunan Parlimen Kuala Terengganu.

“Syukur Alhamdulillah, semuanya selamat dan berjalan lancar. Kami ingin berterima kasih kepada pihak penganjur kerana mengadakan program sebegini,” kata Asrul Hafizal yang bertugas di sebuah stesen minyak.

Mengulas program itu, Wan Ahmad Farid berkata program itu hasil kerjasama Pejabat Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT); Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT); Pejabat Pelancongan Malaysia Terengganu; Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Terengganu.

Antara syarat peserta yang ingin menyertai program itu dikehendaki menulis karangan tidak kurang 300 perkataan bertajuk 'Kenapa Saya Layak Dipilih', perlu melepasi beberapa sesi temu duga dan setiap pasangan mesti berpendapatan kurang RM1,500 sebulan, berumur 21 tahun ke atas, belum berkahwin dan bermastautin dalam kawasan Parlimen Kuala Terengganu.
Berita Harian Online | Pengantin MIRS1M1P selamat diijab kabul:

'via Blog this'