Monday, November 29, 2010

Roboh menjelang kenduri kahwin



Oleh Mohd Rashidi Yusuf
bhnews@bharian.com.my
2010/11/29

LENGGONG: "Mak cik nak buat kenduri perkahwinan anak tunggal tiga minggu lagi tapi jambatan depan rumah roboh dilanda banjir kilat tiga hari lalu dan ia tidak boleh digunakan. 

"Banjir kilat akibat limpahan air Sungai Nerok itu juga mengakibatkan satu lagi jambatan yang siap dibina April lalu retak apabila rasuknya patah," kata Wan Khadijah Wan Ahmad, 63.
Wan Khadijah yang rumahnya itu terletak kira-kira 20 meter dari jambatan roboh di Kampung Bor, Banggol Belimbing dekat sini, bimbang sekiranya jambatan retak yang letaknya kira-kira 200 meter dari rumahnya juga akan roboh dan tidak boleh digunakan pada hari kenduri nanti, bulan depan.
Berikutan itu, dia berharap kerajaan menyegerakan pembinaan jambatan baru atau membaik pulih jambatan sedia ada yang roboh itu yang sudah beberapa kali mengalami kerosakan akibat dilanda banjir. 

Katanya, jambatan itu adalah laluan utama ke rumahnya dan beberapa rumah jiran itu dibina kira-kira 10 tahun lalu, rosak teruk akibat banjir kilat dua hari sebelum Aidiladha lalu dan berbahaya kepada laluan. 

"Sejak dibina, ia beberapa kali rosak dan amat berbahaya kepada laluan, termasuk penunggang motosikal sebelum roboh lagi tiga malam lalu," katanya. 

Pekerja swasta, Abdul Rahman Khamis, 48, yang pulang bersama isteri dan anaknya ke rumah mentuanya di kampung itu selepas banjir kilat itu terpaksa juga menggunakan jambatan itu, walaupun berbahaya. 
Katanya, rumah mentuanya terletak kira-kira 15 meter dari jambatan itu dan sekiranya hendak menggunakan jambatan yang retak, mereka terpaksa berjalan kaki sejauh 200 meter dalam keadaan jalan berlumpur selepas banjir. 

"Jambatan yang baru siap dibina April lalu itu mengalami keretakan, saya tidak berani naik kereta melalui jambatan itu dan terpaksa berjalan di atas jalan berlumpur," katanya. 

Jambatan roboh dan jambatan retak itu adalah dua daripada tiga jambatan di Kampung Banggol Belimbing yang mengalami kerosakan ketika banjir kilat atau banjir lumpur akibat limpahan air Sungai Nerok, tiga hari lalu selepas hujan lebih dua jam. 

Banjir dua hari sebelum Aidiladha lalu mengakibatkan sebuah jambatan menyeberangi sungai itu di laluan utama Jalan Raya Lama Lenggong-Kuala Kangsar di Kampung Bor juga mengalami kerosakan akibat rasuknya patah. 

Jambatan berkenaan yang rosak teruk ketika banjir besar 11 dan 12 November tahun lalu dan siap dibina semula beberapa bulan kemudian, tetapi terpaksa ditutup kepada semua laluan kenderaan baru-baru ini.

Dua wanita dakwa sakit selepas ambil pil pelangsing



Oleh Zuliaty Zulkiffli 
bhnews@bharian.com.my
2010/11/29

SUZIANA menunjukkan pil langsing yang diambilnya ketika ditemui di Kuala Nerang, semalam.
SUZIANA menunjukkan pil langsing yang diambilnya ketika ditemui di Kuala Nerang, semalam.
Produk diseludup dari negara jiran

KUALA NERANG: Dua wanita mendakwa mengalami masalah kesihatan selepas mengambil pil pelangsing yang dibeli melalui ejen yang dikatakan mampu menurunkan berat badan dengan cepat.
Difahamkan, produk itu turut digunakan ahli politik, orang kenamaan, penjawat awam termasuk guru dan polis untuk menurunkan berat badan dalam tempoh singkat.
Produk itu dipercayai diseludup dari negara jiran dan dibungkus semula di sebuah kediaman yang beroperasi di Alor Setar dan dikatakan mengedar di beberapa salun kecantikan di sekitar Jitra dan Alor Setar, selain menggunakan khidmat ejen di daerah lain. 

Seorang pengguna yang mahu dikenali sebagai Suziana, 26, mendakwa mengalami cirit-birit, pening kepala dan keguguran rambut selepas mengambil pil berkenaan dalam tempoh seminggu selepas disyorkan seorang rakannya.

Beliau berkata, pil itu dijual dalam plastik lutsinar yang dibungkus semula dengan harga RM70 untuk satu set lengkap bagi kegunaan siang dan malam, manakala set malam pula dijual pada harga RM40.

Sementara itu, seorang lagi mangsa yang hanya dikenali sebagai Aisyah, 54, yang ditemui di rumahnya di Kerpan, Jitra kelmarin berkata, pil pelangsing yang diambil sejak setahun lalu menyebabkan dia mengalami sakit sendi kaki yang serius. 
Aisyah yang mengalami masalah berat badan 76 kilogram (kg) berjaya menurunkan ke 70kg dalam tempoh hanya seminggu selepas mengambil produk itu.

“Akibatnya, saya mengalami cirit-birit, manakala najis menjadi hitam, selain kerap pening kepala dan muntah,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Bahagian Farmasi Kedah ketika ditemui berkata, pihaknya akan menganalisis sampel pil berkenaan dan akan menjalankan siasatan berhubung perkara itu.

Beliau berkata, dari segi pembungkusan, pihaknya mendapati ia menyalahi peraturan kerana setiap pil yang diluluskan Kementerian Kesihatan mempunyai label, tarikh dan nama pesakit tetapi pil ini tidak mempunyai sebarang label.

“Kita percaya kemungkinan besar pil ini mengandungi sibutramine yang boleh menyekat selera makan pengguna tetapi boleh menyebabkan kesan seperti kerosakan jantung, buah pinggang dan hati, selain boleh menyebabkan kematian,” katanya.

Jurucakap itu berkata, jika didapati bersalah, pengeluar pil itu boleh disiasat mengikut Akta Racun 1952 dan sabit kesalahan boleh dikenakan denda RM5,000 atau dua tahun penjara atau keduanya sekali.

Beliau berkata, kes itu juga disiasat mengikut Akta Pendaftaran Ubat dan Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik kerana ia dipercayai mengandungi bahan ubat terkawal dan tidak berdaftar dengan kementerian itu dan boleh didenda sehingga RM50,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Terkejut bil RM309,608





Siti Manzairina Osman menunjukkan bil rawatan terlalu tinggi di Subang Jaya, Selangor, semalam.


SHAH ALAM 28 Nov. - Seorang pekerja swasta terkejut selepas mendapati kos pembedahan dan rawatan untuk membuang fibroidnya di sebuah hospital swasta di ibu negara pada 6 Julai lalu mencecah RM309,608.
Siti Manzairina Osman, 46, mendakwa, caj tersebut terlalu tinggi berbanding kira-kira RM18,000 yang pernah dikenakan oleh hospital itu semasa dia menjalani pembedahan dengan doktor yang sama pada 2005.
Wanita tersebut yang tidak berpuas hati dengan caj tersebut mendakwa, dia telah membuat perbincangan dengan pihak hospital pada 30 Oktober lalu untuk mendapatkan laporan perubatan bagi mengetahui secara terperinci rawatan yang diterimanya sehingga dikenakan caj terlalu tinggi.
Menurutnya, dia juga tertanya-tanya mengapa sehingga lapan doktor telah ditugaskan untuk merawatnya selepas pembedahan fibroid itu dan terpaksa ditahan di hospital selama tiga bulan.
''Bayangkan bil ubat sahaja lebih kurang RM81,000 sepanjang tiga bulan saya berada di hospital.
''Itu tidak termasuk caj barangan pakai buang seperti lampin, tisu dan sarung tangan sebanyak RM60,181.31, dialisis RM29,250 dan banyak lagi caj yang tidak berpatutan," katanya ketika ditemui di Subang Jaya dekat sini hari ini.
Siti Manzairina mendakwa, dia juga telah meminta laporan perubatan daripada lapan doktor yang merawatnya tetapi setakat ini belum memperolehi kesemuanya.
Dakwanya, ekoran bil yang semakin tinggi di hospital berkenaan, dia juga telah meminta untuk pulang ke rumah walaupun kesihatannya belum pulih sepenuhnya dan sudah menjelaskan bil hospital sebanyak RM223,280.
''Saya tidak kisah caj perubatan mahal jika saya sembuh. Tetapi sakit saya belum pulih dan sekarang terpaksa pula menanggung hutang untuk melangsaikan bil perubatan yang masih berbaki RM86,328.
''Akibat pembedahan itu juga, saya tidak boleh berjalan dengan betul, selain terpaksa menggunakan alat bantuan seperti tiub plastik pakai buang untuk membuang air besar.
''Sehingga kini saya juga terpaksa memperuntukkan kira-kira RM300 sehari untuk kos perubatan seperti membeli tiub plastik, mengupah jururawat dan melakukan fisioterapi," dakwanya.

Lubang tunggu mangsa




SRI PETALING - Seramai 326 orang murid Sekolah Rendah Bandar Baru Sri Petaling (2) berdepan bahaya apabila tanah jerlus yang dahulunya hanya seperti lopak biasa kini menjadi kawasan lurah yang dalam.

Kejadian yang mula disedari sejak awal Jun yang lalu menjadi sebuah kawasan lubang yang dalam hingga boleh membahayakan sesiapa sahaja terutamanya kanak-kanak.

Pengerusi PIBG, Abd Malik Endok berkata, kawasan lubang itu berhampiran dengan pintu masuk sekolah dan bersebelahan dengan kantin sekolah.

“Sememangnya kawasan ini dilalui oleh murid-murid di sini dan semakin hari kawasan lurah itu menjadi besar dan dalam.

“Bermula dengan hanya lopak kecil sahaja kini sudah bertukar menjadi lubang besar sedalam empat meter,” katanya.

Katanya lagi, semakin hari lubang itu semakin besar, kawasan tanah di sekitarnya sangat lembut apabila dipijak boleh berlaku runtuhan kecil.

15 keluarga tanah wakaf enggan pindah





2010/11/29

BUTTERWORTH: Lebih 15 keluarga yang menghuni tanah wakaf Jalan Mengkuang, di sini, tetap dengan keputusan enggan berpindah dan hanya berbuat demikian jika diarahkan mahkamah. 

Walaupun beberapa penduduk ada yang merobohkan rumah mereka untuk berpindah ke tempat lain selepas menerima pampasan, 15 keluarga terbabit enggan berbuat demikian.
Kampung berkenaan yang dihuni lebih 50 keluarga akan dibangunkan dengan projek perumahan dan penduduk terbabit turut ditawarkan rumah yang bakal dibina di situ.
Bagaimanapun penduduk berkenaan yang menetap di situ sejak 70 tahun lalu enggan berpindah kerana faktor usia, selain masalah kewangan untuk membeli rumah baru. 

Berikutan itu, penduduk terbabit nekad memasang kain rentang berbunyi 'Tanah Kami, Rumah Kami. Hidup dan Mati Kami Juga Di Sini' di tepi jalan kampung berkenaan. 

Seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, walaupun ada penduduk sudah merobohkan rumah mereka kerana mahu berpindah, baki 15 keluarga tetap dengan keputusan dibuat sebelum ini. 

Katanya, penduduk sudah menghantar memorandum kepada Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) dan pihak berkaitan berhubung projek di kampung itu dan sedang menunggu maklum balas. 
"Kami sedang menunggu maklum balas berhubung memorandum yang dihantar sebelum ini. Kami tidak akan keluar sehingga mahkamah memutuskan kami perlu berbuat demikian. 

"Jika kalah dalam kes itu, kami akan keluar dan jika menang, kami akan kekal tinggal di kampung itu," katanya di sini, semalam. 

Penduduk berkenaan berkata, mereka juga tidak menghalang jika penduduk yang sudah berpindah kembali ke kampung itu jika mereka menang perbicaraan di mahkamah kelak.

40,000 mangsa banjir mohon bantuan





2010/11/29

AHMAD BASHAH (dua dari kiri) membantu penduduk membersihkan longkang di Taman Muhibbah, Alor Setar, semalam.
AHMAD BASHAH (dua dari kiri) membantu penduduk membersihkan longkang di Taman Muhibbah, Alor Setar, semalam.
ALOR SETAR: Sehingga tarikh tutup semalam, Jawatankuasa Khas Banjir Negeri Kedah menerima hampir 40,000 borang bantuan daripada ketua keluarga dan pemilik premis yang terbabit dengan bencana itu. 

Pengerusinya, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah, berkata pihaknya menganggarkan 60,000 keluarga yang terbabit akan mendaftar dan jawatankuasa berkenaan masih menerima borang yang dihantar lewat daripada tarikh tutup.
“Kita faham ada penduduk yang menghadapi pelbagai masalah dan tidak dapat menghantar borang awal, namun mereka tidak perlu risau kerana jawatankuasa ini masih menerima borang yang dikembalikan lewat.
“Kerajaan Persekutuan mahu memastikan tidak ada pihak tercicir daripada menerima bantuan dan jawatankuasa akan memantau setiap keluarga yang tidak mendaftar bagi membolehkan mereka menerima bantuan sewajarnya,” katanya selepas gotong-royong membersihkan kawasan perumahan yang terbabit banjir di Taman Muhibbah, semalam. 

Ahmad Bashah berkata, borang berkenaan boleh didapati di pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat, Majlis Keselamatan Negeri, Pejabat Pembangunan Negeri Kedah, pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) serta pejabat parti komponen BN. 

Borang perlu diisi mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan banjir atau tidak, menetap di hotel atau rumah saudara dan penghuni rumah kedai yang terjejas akibat banjir. 

Sementara itu, 50 penduduk Taman Muhibbah yang terbabit banjir membersihkan longkang dan kawasan jalan bagi mengelak nyamuk Aedes membiak. 
Gotong-royong itu mendapat kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Alor Setar, Syarikat Air Darul Aman (SADA), Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Persatuan Autisme Kedah serta Belia 4B Alor Setar.

JKOAM rayu kerajaan siasat seleweng elaun Tok Batin


Oleh Halina Mohd Noor
halina@bharian.com.my
2010/11/29

KUALA LUMPUR: Jaringan Kampung Orang Asli Malaysia (JKOAM) menyeru kerajaan supaya siasatan awam yang telus dijalankan mengenai elaun Tok Batin yang didakwa menerima hanya separuh daripada RM450 sebelum ini. 

Menerusi siasatan itu, JKOAM meminta senarai terperinci bagaimana peruntukan berjuta untuk kemudahan asas itu digunakan termasuk senarai kampung yang sudah mendapat kemudahan berkenaan.Pengerusi JKOAM, Tijah Yok Chopil, berkata pihaknya gembira dengan pengumuman kenaikan elaun Tok Batin sebanyak RM800 sebulan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berbanding RM450 pada masa ini, tetapi terkejut kerana kebanyakan Tok Batin hanya menerima RM200 berbanding RM450 itu.
“Kami terkejut kerana selama ini Tok Batin tidak pernah mendapat RM450 tetapi cuma RM200 sebulan, yang diberikan dalam tempoh setahun atau tiga bulan sekali, malah ada masanya tempoh pembayaran elaun ditunda kepada beberapa bulan tanpa alasan jelas. 

“Jika benar elaun yang sepatutnya diberikan itu berjumlah RM450 sebulan, sedangkan Tok Batin hanya menerima RM200 sebulan, ke manakah perginya perbezaan baki RM250 itu? 

“Ada kes Tok Batin tidak pernah mendapat elaun itu dan bagaimana mahu naik kepada RM800 itu?” katanya yang ditemui pada sidang media di sini baru-baru ini yang turut dihadiri lebih 100 Orang Asli (OA) termasuk 20 Tok Batin dari Negeri Sembilan, Perak dan Pahang. 

“Akibat ketiadaan elaun, kampung OA masih mundur dan jauh ketinggalan daripada pembangunan pesat di bandar seperti ketiadaan kemudahan air bersih, elektrik dan jalan bertar. Misalnya Kampung Dong yang masih mundur kerana Tok Batinnya tidak pernah menerima elaun sejak 19 tahun lalu,” katanya. 
Tok Batin Kampung Dong di Muadzam Shah, Pahang, Kelipit Tenggek, 67, yang ditemui turut mengakui terpaksa berulang alik merayu kepada Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) untuk mendapatkan elaun bulanan tetapi sehingga kini masih belum menerimanya. 

“JHEOA meminta saya menunggu setiap kali masalah itu diajukan dan sehingga kini, kampung kami ketinggalan dari banyak segi. 

“Murid sekolah terpaksa menyeberang sungai dengan perahu untuk ke sekolah kerana kampung kami tiada jambatan dan tiada bekalan elektrik, selain bekalan air dari tangki disediakan juga sering terputus,” katanya. 

Tok Batin Kampung Buluh Nipis, Panjang Tangkak, 68, mendakwa kali terakhir mendapat elaun sebanyak RM700 untuk tempoh tujuh tahun pada 14 Februari 2007 lalu dan sehingga kini tidak menerima sebarang elaun lagi. 

“Akibat tidak mendapat elaun, saya memetik kelapa sawit di kebun sendiri yang terbabit dalam projek Tanaman Semula Komersil (TSK) untuk dijual sehingga ditangkap sebanyak empat kali dan pernah ditahan selama 13 hari di Balai Polis Rompin pada September tahun lalu,” katanya. 

Pemuda usia 23 tahun tiada Mykad




2010/11/29

AYER KEROH: Seorang pemuda yang tinggal bersama ibu bapa angkatnya di Batu 28, Kuala Sungai Baru Melaka, dekat sini, berada dalam dilema selepas tidak memiliki dokumen Mykad walaupun usianya sudah mencecah 23 tahun. 

Pekerja di sebuah pasar raya di Kuala Lumpur, Mohd Rohaizad Duski, mendakwa pernah memiliki dokumen surat kelahiran tetapi diambil seorang pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya ketika membuat permohonan Mykad, baru-baru ini.Katanya, pegawai berkenaan memberi alasan beliau bukan warga Malaysia kerana bapanya berasal dari Indonesia.
"Pegawai berkenaan berjanji memberi kad pengenalan hijau, tetapi tidak ditunaikan kerana saya yang sekali lagi datang ke pejabat JPN berkenaan hanya diberi sekeping surat pengesahan sementara," katanya. 

Beliau ditemui di Pejabat Pusat Perkhidmatan (PEMBELA) Barisan Nasional (BN) Melaka di sini, selepas mengadukan masalahnya itu kepada pihak berkenaan. Hadir sama, Ketua Penyelia PEMBELA BN, Amir Hamzah Aziz. 

Mohd Rohaizad berkata, beliau dilahirkan di Hospital Besar Melaka sebelum diserahkan bapa kandungnya kepada ibu bapa angkatnya selepas ibunya yang juga rakyat Indonesia meninggal dunia ketika melahirkannya. 

Katanya, selepas itu beliau dibesar dan disekolahkan keluarga angkatnya di negeri ini. 
"Saya pernah memiliki pengesahan surat beranak serta disahkan sebagai rakyat Malaysia, tetapi selepas kejadian di JPN Putrajaya, saya kini berdepan masalah besar kerana tidak dapat bergerak bebas seperti warga negara Malaysia lain. 

"Selain itu, saya juga tidak dapat menukar kerja yang lebih baik serta melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi kerana ketiadaan dokumen penting itu, malah sebelum ini saya pernah diragut ketika pulang dari tempat kerja tetapi tidak dapat membuat laporan polis kerana tidak memiliki Mykad," katanya. 

Kahwin selepas 13 tahun tunang





PUCHONG – Setahun, dua atau tiga tahun adalah tempoh biasa bagi mana-mana pasangan bercinta mengambil masa bertunang sebelum berumah tangga. 

Namun luar biasa bagi satu pasangan yang diijabkabulkan di Kampung Kenangan di sini, semalam apabila mereka mengikat tali pertunangan selama 13 tahun sebelum mengambil keputusan berumah tangga. 

Pasangan itu, Rashidi Abdul Rahman, 37 dan isterinya Suzilawati Muhamad, 34, mungkin adalah pasangan pertama yang mengikat tali pertunangan paling lama di negeri Selangor. 

Rashidi ketika ditemui Sinar Harian berkata, kesetiaan dan kesabaran kekasih hati yang kini sudah bergelar isterinya menjadi faktor percintaan yang dijalin sejak berusia 19 tahun itu masih kekal hingga ke hari ini. 

Katanya, ketika pertama kali melihat isteri, Suzilawati 18 tahun lalu, dia tidak pernah jatuh cinta dengan wanita lain meskipun mengakui pelbagai halangan dan dugaan ditempuhi selepas bertunang belasan tahun lalu.

“Saya mengenali Suzi apabila keluarganya berpindah ke Puchong dan tinggal di kawasan perumahan berdekatan. 

“Percaya cinta pertama membawa bahagia, kami kemudian mengikat tali pertunangan ketika saya berusia 24 tahun dan Suzi berusia 21 tahun,”katanya yang memberitahu persiapan perkahwinan diatur selepas beberapa bulan bertunang. 

Bagaimanapun, kerana keadaan ekonomi yang tidak begitu stabil, Rashidi berkata, hasrat berumah tangga terpaksa dipendam sebegitu sahaja sehingga tahun berganti tahun. 

“Sebelum berkahwin saya bercadang mahu mencari pekerjaan yang tetap dahulu. Tetapi setelah mengambil masa lama, saya kemudian menyuruh tunang ketika itu supaya menerima sahaja sekiranya ada lamaran oleh orang lain. 

“Tetapi tunang saya berkeras tetap mahu menunggu dan akhirnya selepas penantian terlalu lama kami mengikat janji kasih dan termeterai menjadi suami isteri,”katanya yang berhasrat mahu dikurniakan sepasang cahaya mata untuk menyerikan hidup bersama isteri. 

Katanya lagi dia sehingga kini masih tidak mempercayai berkahwin dengan ‘kekasih lama’ yang sungguh setia menantinya. 

“Saya rasa terharu kerana Suzi sanggup menunggu saya meskipun saya sendiri tidak pasti perkahwinan ini akan terjadi jua. 

“Malah kawan-kawan ketika diundang ke majlis persandingan turut tidak mempercayai saya berkahwin akhirnya dengan wanita pertama yang saya cintai itu,”katanya yang memberitahu isterinya itu kini dilihat lebih cantik berbanding dari kali pertama dia mengenalinya sejak di bangku sekolah. 

Suzilawati ketika ditemui pula berkata, masih tidak percaya sudah berkahwin dengan lelaki yang menjadi tunangnya sejak 13 tahun dahulu itu. 

“Apa pun saya bersyukur kerana dapat menjadi isterinya walaupun menunggu lama. 

“Saya tidak tahu bagaimana mahu menggambarkan perasaan ketika ini kerana masih lagi tidak percaya,”katanya lagi. 

Sementara itu, majlis persandingan perkahwinan pasangan ini semalam turut dimeriahkan apabila mereka disandingkan serentak dengan dua lagi pasangan pengantin masing-masing sepupu dan anak saudara Rashidi, Shahrul Zahidi Mohamed, 23 dan pasangan Nurul Huda Ismail, 22 dan Mohd Faizal Che Ramli, 23 dengan Sitit Huzrina Syafiqah Huzaini, 18.

Tidak menjadi 'tuan' selepas 53 tahun




PETALING JAYA - Parti Keadilan Rakyat (PKR) menegaskan bahawa konsep ketuanan Melayu tidak ada makna sekiranya majoriti rakyat termiskin negara ini masih terdiri daripada kaum Melayu selepas UMNO memerintah selama 53 tahun.

Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, daripada kajian yang dijalankan, terbukti 97 peratus daripada kira-kira 65,000 isi rumah termiskin seluruh negara terdiri daripada golongan Melayu-Bumiputera.:

Menurutnya, dengan adanya konsep Ketuanan Melayu serta diperkuatkan dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB), masih belum mampu meningkatkan ekonomi orang Melayu kerana dasar tersebut menguntungkan sebilangan kecil orang Melayu sahaja.

Katanya, oleh kerana kegagalan pemimpin sekarang, penyelesaian kepada isu tersebut adalah meninggalkan konsep Ketuanan Melayu dan menghapuskan perbezaan etnik demi kepentingan bersama.

“Kita tidak nafikan kepentingan masa depan orang Melayu di negara ini, sebab itu pemimpin-pemimpin utama Pakatan Rakyat (PR) bersetuju menandatangani deklarasi bersama mempertahankan prinsip asal Perlembagaan negara.

“Kita bersetuju dengan hak-hak orang Melayu dan pada masa sama juga hak kaum lain turut terjaga,” katanya ketika sesi penggulungan pada Kongres PKR ke-7, di sini, semalam.

Selain itu, Anwar turut mengingatkan perwakilan yang ada agar tidak lagi risau dengan dakyah pihak lawan yang menakutkan orang Melayu mengenai nasib mereka sekiranya PR menang pada pilihan raya umum akan datang.

Katanya, dakwaan sebegitu muncul kerana pihak lawan berasa takut dengan kebangkitan rakyat yang mahukan reformasi secara besar-besaran dan ini pasti akan diterjemahkan pada pilihan raya melalui undi.

“Bagi saya, baik saya hidup di bawah pemerintahan bukan Islam yang adil daripada pemerintahan orang Islam yang penuh dengan rasuah dan salah laku,” katanya.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh turut menasihatkan semua pemimpin dan ahli parti agar terus bersabar apabila diserang bertubi-tubi oleh pihak lawan.

Katanya, PKR telah melalui pelbagai cabaran yang amat getir sehingga pernah disifatkan telah mati, namun Pilihan Raya Umum 2008 membuktikan PKR kembali kuat dan menjadi parti masa depan negara.

“Sekarang adalah pusingan terakhir, sebab itu kita diserang hebat dari segenap arah, dari luar dan dalam.

“Tetapi saya bersyukur kita sudah berjaya membersihkan parti kita daripada pemimpin yang berniat lain daripada perjuangan sebenar PKR,” katanya.

3 kanak-kanak perlu RM12O,OOO

pix_gal0

GEORGETOWN: Tiga kanak-kanak termasuk seorang bayi lelaki berusia enam bulan yang menghidap penyakit jantung berlubang merayu bantuan orang ramai untuk menghulurkan bantuan kewangan bagi menampung kos pembedahan segera masing-masing mencecah RM40,000 di Pusat Perubatan Gleneagles (GMC).

Muhammad Aiman Noor Hisyam, enam bulan memerlukan bantuan kewangan kira-kira RM40,000 untuk menjalani pembedahan segera kerana masalah jantung agak kronik.
Bapanya, Noor Hisyam Mohd Yosif, 36, seorang pemandu van di Taiping, Perak memperoleh pendapatan RM823 sebulan, manakala isterinya, Haslina Aminuddin, 31, seorang suri rumah. Mereka mempunyai seorang lagi anak lelaki berusia empat tahun.
Noor Hisyam berkata, anaknya semakin kritikal dan perlu dibedah supaya dapat pulih, tetapi pendapatannya tidak mampu menanggung kos berkenaan.

Selain itu, K Kukaneswaran yang berusia 12 bulan turut menghidap penyakit yang sama dan memerlukan perbelanjaan pembedahan sebanyak RM40,000.

Bapanya, seorang kurang upaya (OKU), G Kesawan, 45, tidak bekerja, manakala isterinya, Serjit Kaur Shantara Singh, 40, hanya suri rumah dan bergantung bantuan kebajikan yang diterima, selain bantuan saudara mara.

Sementara itu, seorang lagi yang mempunyai masalah jantung dan memerlukan wang RM40,000 bagi pembedahan ialah Emmer Lee, dua tahun.
Bapa Emmer, Lee Yew Pai, 36, seorang tukang masak di Sungai Dua dan hanya memperoleh pendapatan RM1,500 sebulan.

Orang ramai yang ingin menderma boleh menghantar cek atau wang pos kepada Tabung Kebajikan NSTP, The New Straits Times Press (M) Berhad, Balai Berita, 31 Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur dengan menulis nama kanak-kanak itu di belakang cek.

Anwar akui silap letak calon





2010/11/29

PETALING JAYA: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui parti itu meletakkan calon yang tidak begitu baik pada pilihan raya umum lalu, tetapi menyatakan terdapat hikmah di sebalik kegagalan pembangkang menumbangkan Barisan Nasional (BN). 

Beliau berkata, ada yang menjadi calon itu hanya mahukan jawatan dan kontrak saja.
Katanya, terdapat calon yang diletakkan, selepas memenangi pilihan raya keluar daripada parti.
“Bagus dia lompat, sebab itu parti akan bersih... golongan ini bila rasa nak menang, akan bertanding,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada penutup Kongres Nasional (PKR) di sini, semalam. 

Beliau berkata, kongres itu penting kerana percaya ia yang terakhir sebelum pilihan raya umum ke-13 berdasarkan serangan yang didakwanya dilakukan BN terhadap PKR. 

“Ini last lap sebabnya kita diserang bertubi-tubi,” katanya. 

Beliau turut mempertikaikan konsep ketuanan Melayu dengan mendakwa konsep itu menggalakkan rasuah dan ketidakadilan. 
Yang anehnya, kata beliau, ada 'pecacai' yang mempertahankan rasuah yang berlaku melalui amalan konsep itu.

AS-Korea Selatan mula latihan




GAMBAR menunjukkan kapal USS George Washington pada 21 Julai lalu di Busan, Korea Selatan.


PULAU YEONPYEONG, Korea Selatan - Tentera Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan memulakan latihan peperangan bersama semalam.
Latihan itu diadakan semasa pemerintah China mendesak supaya satu rundingan tergempar diadakan berhubung krisis bedilan meriam sebanyak 170 kali oleh tentera Korea Utara ke pulau ini pada minggu lalu.
Semalam, penduduk yang tinggal di Pulau Yeonpyeong, digegarkan dengan bunyi bedilan meriam dan roket tentera Korea Utara.
Penduduk mendapatkan perlindungan di kubu bawah tanah selepas mendengar bunyi letupan yang datangnya dari tanah besar Korea Utara apabila tenteranya melakukan latihan peperangan.
Kementerian Pertahanan Korea Selatan turut mendesak supaya ratusan wartawan meninggalkan pulau ini.
Menurut kementerian itu, Korea Utara mungkin menggunakan alasan latihan peperangan antara AS dengan Korea Selatan untuk melancarkan satu serangan.
Latihan peperangan Korea Selatan itu disertai oleh kapal pengangkut pesawat milik AS, USS George Washington berkuasa nuklear.
Penghantaran kapal itu dilakukan sebagai satu mesej kuat untuk menghalang serangan tentera Korea Utara.
Namun, kehadiran kapal pengangkut AS itu mendapat kritikan daripada China.
Kapal USS George Washington itu boleh membawa 85 pesawat dan 6,250 anak kapal.
Latihan ketenteraan Korea Selatan dengan AS yang melibatkan 11 buah kapal itu diumumkan pada Mac lalu selepas satu siasatan mendapati terdapat bukti bahawa sebuah torpedo tentera Korea Utara menenggelamkan sebuah kapal perang milik Korea Selatan.
Dalam insiden kapal perang Korea Selatan karam itu, seramai 46 anggota tentera maut.
Presiden Korea Selatan, Lee Myung-Bak dalam satu mesyuarat dengan wakil China, Dai Bingguo di Seoul mendesak China mengambil langkah yang adil dan bertanggungjawab dalam isu hubungan negara itu dengan Korea Selatan serta Korea Utara.
Myung-Bak menyatakan, Korea Selatan sudah mengambil sikap bertolak ansur ekoran tindakan provokasi Korea Utara sejak Perang Korea berlaku pada 1950 hingga 1953.
Menurutnya, Korea Selatan akan bertindak dengan tegas jika Korea Utara melakukan provokasi. – Agensi