Monday, September 12, 2011

Helikopter terhempas, 5 selamat



TIMIKA 11 Sept - Sebuah helikopter penyelamat Indonesia yang pada mulanya dikuatiri terhempas di wilayah terpencil Papua semasa melakukan misi mencari dua juruterbang warga asing yang hilang dilaporkan selamat dan berada dalam keadaan baik.
Menurut Komander Christian Tuhuteru, helikopter Bell 412 yang membawa lima askar Indonesia ditugaskan untuk mencari dua juruterbang Australia dan Slovakia yang hilang setelah pesawat milik Cessna milik Air Susi yang mereka naiki terhempas kelmarin.
Namun, helikopter itu terputus hubungan dengan pihak berkuasa selama 20 minit selepas ia berlepas dari bandar perlombongan Timika.
"Mungkin terdapat kegagalan sistem komunikasi pada helikopter, kerana itu mereka tidak dapat melaporkan kepada kami tentang kedudukan mereka, tambahan pula cuaca buruk," katanya.
Kesemua lima anak kapal dan juruterbang helikopter itu dilaporkan selamat serta helikopter itu dalam keadaan baik.
"Oleh itu, mereka boleh meneruskan misi mencari dan menyelamat dua juruterbang pesawat Susi Air itu," ujarnya. - AFP/AP

Filipina bunuh 3 anggota Abu Sayyaf

ZAMBOANGA: Tentera Filipina semalam menembak mati tiga anggota pelampau yang ada hubungan dengan Al-Qaeda.
Ia berlaku dalam pertempuran di Pulau Basilan, selatan Filipina.

Pertempuran dengan anggota Abu Sayyaf, militan tempatan di pulau ini menjadi bukti usaha berterusan pihak berkuasa negara itu memerangi keganasan walaupun 10 tahun selepas peristiwa 9/11, kata jurucakap tentera, Kolonel Alexander Macario.

“Ini menunjukkan kami tidak pernah berhenti daripada memerangi keganasan di negara ini,” katanya.

Dalam kejadian semalam, pasukan khas antikeganasan Filipina menjejaki militan Abu Sayyaf dan membunuh tiga anggota kumpulan itu serta memaksa yang lain melarikan diri.

Menurut Macario, kumpulan yang terbabit dalam pertempuran dengan tentera itu mempunyai kaitan dengan beberapa siri penculikan di selatan negara itu sejak beberapa tahun lalu.


Antara mangsa mereka ialah aktivis keamanan Sri Lanka yang diculik pada 2009.

Abu Sayyaf ialah kumpulan militan kecil yang diasaskan pada 1990 dengan pembiayaan al-Qaeda dan didakwa bertanggungjawab terhadap beberapa serangan terburuk di negara itu, termasuk pengeboman sebuah feri yang meragut lebih 100 nyawa pada 2004. - AP

Chairul, 2, merokok


ARDI mengejutkan dunia dua tahun lalu dengan tabit merokoknya ketika masih berusia dua tahun.
ARDI mengejutkan dunia dua tahun lalu dengan tabit merokoknya ketika masih berusia dua tahun.

JAKARTA: Seorang kanak-kanak Indonesia yang menjadi terkenal seluruh dunia tidak lama dulu kerana merokok pada usia dua tahun, sudah menghentikan tabiat itu.
Bagaimanapun, dia memberitahu ibunya, dia akan merokok semula kecuali dia dibelikan mainan.

Ardi Rizal ditemui oleh sebuah stesen televisyen Amerika Syarikat, ABC, dan menjadi terkenal apabila satu rakaman video yang menunjukkan dia merokok tersebar luas.

Program itu bagaimanapun mendapati Ardi bukan satu-satunya kanak-kanak yang menghisap rokok di Indonesia apabila mereka menemui seorang lagi perokok, juga berusia dua tahun bernama Chairul, yang tinggal di sebuah perkampungan nelayan di Jawa Timur.

Chairul dilihat terus merokok selepas bangun tidur, dengan bantuan datuknya.

Si datuk memberitahu rancangan berkenaan, dia membenarkan Chairul merokok kerana rasanya enak, seperti roti dengan cokelat.


Ketika Chairul merokok di sebelahnya, lelaki itu berkata, ia bukan satu masalah.



“Dia kadang-kadang merokok dua kotak sehari. Dia akan tidak sihat jika tidak merokok.
“Ia tidak akan mendatangkan masalah selagi dia minum kopi secukupnya sambil merokok,” kata lelaki itu.


Di satu bandar lain, rancangan 20/20 ABC itu menemui seorang budak berusia tujuh tahun, Maulana, yang mahir mengeluarkan asap berbentuk bulatan sambil ibunya melihat dia merokok.


Maulana menghabiskan sekotak rokok sehari.


Ibunya berkata, dia sedar tabiat itu membahayakan kesihatan dan boleh membawa maut, tetapi dia tidak mampu melarang kanak-kanak itu daripada terus merokok. “Dia akan lemah dan mula menangis,” kata wanita itu.


Program itu menyalahkan syarikat tembakau kerana mengambil kesempatan terhadap kelemahan undang-undang pengiklanan bagi mensasar golongan muda Indonesia.


Indonesia tidak menetapkan had umur untuk membeli rokok.


Kru program itu juga menjejaki Ardi, yang kini berusia empat tahun dan tinggal di Sumatera. Ketika ditemui, dia memakai cerminta mata hitam ranggi.


Kanak-kanak itu berhenti merokok selepas pegawai Indonesia yang malu bertindak menghantarnya menjalani pemulihan.


Bagaimanapun, ibunya berkata, dia menggunakannya untuk mengancam.


“Jika saya tidak membelikannya mainan, dia ancam untuk merokok semula,” kata ibunya.


Ketika Ardi ditanya sama ada dia masih merokok, kanak-kanak itu menjawab dia tidak akan merokok lagi.


Tetapi ibunya berkata, dia menangkap Ardi bersama rokok baru-baru ini kerana ada orang yang memberinya. - Agensi

Israel pindah diplomat di Mesir





2011/09/12

KAHERAH: Israel berdepan krisis terburuk dengan Mesir dalam tempoh 30 tahun selepas terpaksa memindahkan diplomat dan keluarga mereka ke tempat selamat ketika kedutaan rejim Zionis itu di Kaherah diserang penduduk tempatan. 

Kepungan terhadap kedutaan berakhir dengan 86 warga Israel dipindahkan selepas campur tangan Rumah Putih berikutan panggilan telefon antara Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama.
Serangan itu ialah krisis diplomatik terbaru menyelubungi kerajaan Yahudi itu, yang sedia berdepan masalah ketegangan dengan Turki sejak sembilan hari lalu.
Israel turut berdepan tsunami diplomatik di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) lewat bulan ini apabila majoriti negara dijangka menyokong pengiktirafan negara merdeka Palestin. 

Serangan ke atas kedutaan, yang menyaksikan pagar keselamatan dimusnahkan dan sekumpulan penunjuk perasaan masuk ke pintu kawasan selamat bangunan berkenaan, akan menjejaskan dengan teruk kepada hubungan aman kedua-dua negara, kata Netanyahu. 

Beliau juga menyifatkan tindakan itu sebagai pencabulan besar ke atas amalan diplomatik yang diterima. 

Netanyahu bermalam di bilik operasi Kementerian Luar yang menangani krisis itu. Lapan diplomat dan keluarga mereka dipindahkan dengan pesawat tentera Israel tetapi enam lagi kakitangan terperangkap di dalam bangunan. 
Ada satu pintu memisahkan mereka daripada penunjuk perasaan, kata pegawai, yang menggambarkan malam berkenaan sebagai amat dramatik dan tegang. 

Bagaimanapun, keenam-enam yang terperangkap itu berjaya diselamatkan komando Mesir selepas campur tangan Amerika. 

Obama bercakap dengan Netanyahu pada malam berkenaan, kata Rumah Putih. Beliau turut merayu Mesir untuk menghormati kewajipan antarabangsa. 

Perdana Menteri Britain, David Cameron, turut mengutuk serangan itu dan mendesak Kaherah mematuhi tanggungjawabnya menurut Konvensyen Vienna untuk melindungi kakitangan dan harta diplomatik. 

Tiga maut ketika bantahan itu di Kaherah dan sekurang-kurangnya 1,093 cedera, menurut Timbalan Menteri Kesihatan Mesir. 

Sentimen anti-Israel di Mesir memuncak sejak pembunuhan lima tentera negara itu oleh tentera Israel berikutan serangan militan bulan lalu berhampiran sempadan kedua-dua negara yang meragut nyawa lapan penduduk Israel. 

Beribu-ribu penduduk menyerbu Kedutaan Israel di Kaherah, dan rejim Zionis itu terpaksa mengeluarkan isu menyatakan kekesalan mereka di atas kejadian berkenaan dengan harapan ia dapat membendung kebencian rakyat Mesir. 

Israel bimbang dengan masa depan perjanjian damainya dengan Mesir, yang ditandatangani 30 tahun lalu, sejak sekutu kuatnya, bekas Presiden Hosni Mubarak, ditumbangkan dalam kebangkitan rakyat awal tahun ini. 

Kerajaan Yahudi itu juga risau dengan ketegangan hubungannya dengan Turki, terutama dengan lawatan Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan, ke Kaherah di tengah kebimbangan dia akan membentuk pakatan anti-Israel dengan kerajaan baru Mesir. Agensi 

Dunia peringati tragedi 9/11





2011/09/12

PRESIDEN Amerika, Barack Obama menyampaikan ucapan pada majlis  memperingati ulang tahun serangan 11 September, di New York, semalam.
PRESIDEN Amerika, Barack Obama menyampaikan ucapan pada majlis memperingati ulang tahun serangan 11 September, di New York, semalam.
Keluarga mangsa ratapi pemergian

WELLINGTON: Satu dekad selepas tragedi 11 September 2001 mengubah banyak perkara kepada ramai orang, pemimpin dunia dan berjuta-juta penduduk yang masih lagi mengingati tragedi serangan ke atas Amerika Syarikat itu. 

Dari Sydney ke Atlanta, upacara rasmi diadakan untuk mengingati hampir 3,000 orang daripada lebih 90 negara yang maut dalam serangan itu. Sementara itu, pihak berkuasa di Washington dan New York mengetatkan kawalan keselamatan sebagai reaksi kepada perisikan mengenai kemungkinan berlakunya serangan bom kereta.
Bagi sebahagian orang, kesakitan itu tidak akan berhenti.
Di KUALA LUMPUR, Pathmawathy Navaratnam, bangun setiap pagi Ahad di kediamannya di Kuala Lumpur dan melakukan perkara sama setiap hari sejak 10 tahun lalu, iaitu mengucapkan selamat pagi kepada anaknya, seorang penganalisis kewangan, Vijayashanker Paramsothy, 23, yang terbunuh dalam serangan di New York. 

Dia sinar hidup saya. Dia menikmati kehidupannya, tetapi saya tidak dapat menerima dia sudah tiada. Saya masih hidup, tetapi hakikatnya hati saya sudah mati, katanya. 

Di MANILA, berpuluh-puluh bekas penghuni rumah setinggan membawakan bunga mawar, belon dan berdoa untuk seorang lagi mangsa, Marie Rose Abad, warga Amerika. Kawasan kejiranan itu adalah kawasan setinggan yang dipenuhi sampah, tetapi pada 2004, suami Abad membina 50 rumah sebagai memenuhi permintaan terakhir isterinya yang mahu membantu golongan miskin negara itu. 

Di NEW PLYMOUTH, pemain pasukan ragbi American Eagles adalah antara yang pernah mengingati ulang tahun itu. Pemain yang mengambil bahagian dalam kejohanan Ragbi Piala Dunia mendengar ucapan Duta Amerika, David Huebner, yang saudara lelakinya, Rick, selamat dalam serangan ke atas Pusat Dagangan Dunia (WTC). 
Di SYDNEY, penduduk, Rae Tompsett, dia tidak pernah berasa marah berhubung pembunuhan anak lelakinya, Stephen Tompsett, 39, seorang jurutera komputer yang berada di tingkat 106 menara utara WTC ketika ia dirempuh pesawat yang dirampas. 

Tidak, bukan marah tetapi sedih. Sedih kerana orang melakukan perkara itu percaya mereka membuat perkara baik, katanya. 

Pesara guru dan suaminya, Jack, 92, bercadang menghadiri perhimpunan semalam seperti biasa di gereja sebelum menghadiri majlis peringatan pada tengah harinya. 

Menakjubkan kerana ia sudah 10 tahun, rasa seperti baru kelmarin, kata Tompsett. 

Di SEOUL, Presiden Korea Selatan, Lee Myung-bak, menghantar surat kepada Presiden Barack Obama, menyatakan takziah kepada mangsa serangan itu dan keluarga serta penduduk Amerika. 

Lee, menyifatkan serangan itu tidak boleh dimaafkan dan memuji usaha berterusan Amerika untuk memerangi keganasan. 

Sementara pemimpin di Pakistan, yang menjadi mangsa keganasan al-Qaeda, tetapi turut dituduh tidak berusaha bersungguh-sungguh memerangi militan, berkata, mereka menyertai rakyat Amerika menghormati mangsa yang maut 10 tahun lalu. 

Sebagai negara yang terjejas teruk akibat keganasan, kami menegaskan kesediaan mengukuhkan kerjasama untuk membasmi keganasan, kata Kementerian Luar dalam satu kenyataan. AP 

Pembesar Waris Naning pertikai penerima anugerah




OMAR menunjukkan nama-nama penerima anugerah dan pingat kebesaran Lembaga Adat Naning di Melaka semalam.


MELAKA – “Jika anggap itu anugerah anak adat, kenapa ada penerima bukan daripada anak adat?”
Demikian persoalan yang ditimbulkan oleh Datuk Syahbandar Pembesar Waris Lembaga Adat Naning, Omar Ali mengenai pengurniaan darjah kebesaran oleh Datuk Undang Wilayah Naning ke-19, Abdul Latif Hashim, yang diadakan pada Mei lalu.
Menurutnya, sebelum ini, hanya ada anugerah jawatan adat antaranya Datuk Setia Bakti, Datuk Paduka Tuan, Datuk Pawang Diraja dan Datuk Maulana Hakim.
“Pada penganugerahan Mei lalu, diwujudkan anugerah baharu seperti Datuk Paduka Setia, Datuk Seri dan Datuk Kehormat yang tiada dalam adat Naning, malah penerimanya juga terdiri daripada pihak luar termasuk kaum lain seperti India dan Cina yang jelas menunjukkan mereka bukan anak adat Naning yang mengamalkan adat Pepatih.
“Saya tak tuduh Datuk Naning jual anugerah, namun saya bimbang jika anugerah baharu yang bukan anugerah anak adat ini dijual pihak-pihak tertentu yang mahu mengaut keuntungan peribadi,” katanya ketika ditemui di pejabat Kosmo! di sini semalam.
Omar berkata, kewujudan anugerah baharu termasuk yang membawa gelaran Datuk Seri boleh mengelirukan orang ramai sehingga mempercayai ia adalah sah dan sanggup membayar untuk menerima anugerah tersebut seperti yang dilaporkan Kosmo! Selasa lalu.
“Saya nasihatkan orang ramai jangan percaya jika didatangi individu menjual anugerah Datuk Undang Naning kerana anugerah ini asalnya hanya jawatan adat dan diberikan kepada anak adat iaitu suku-suku di Naning saja,” katanya.

Demi Moore siar gambar separuh bogelnya



GAMBAR yang dirakamkan Demi Moore yang disiarkannya di laman Twitter.


LOS ANGELES - Pelakon terkenal, Demi Moore, 48, bertindak berani dengan menayangkan gambar separuh bogelnya di dalam akaun laman sosial Twitter, lapor sebuah akhbar semalam.
Foto yang dirakamkan itu menampakkan bahagian belakang badannya bermula dari paras pinggang.
Dia menyiarkan gambar itu di laman tersebut pada malam Khamis lalu di dalam bilik mandi dengan memakai kaca mata berbingkai hitam.
Ia bukannya pertama kali Demi memasukkan gambarnya yang pelik di Twitter.
Sebelum ini, dia pernah merakamkan gambarnya sendiri dengan hanya memakai bikini.
Demi kini hidup bersama dengan suaminya, Ashton Kutcher selepas dia bercerai dengan Bruce Willis. - Agensi

Penduduk tanpa negara tuntut kewarganegaraan Bangladesh



DHAKA - Sejumlah penduduk India tidak memasang lampu pada waktu malam dalam bantahan untuk menuntut kewarganegaraan Bangladesh.
Bantahan itu dibuat selepas satu perjanjian ditandatangani di antara India dan Bangladesh pada Selasa lalu.
Dalam perjanjian itu, kewarganegaraan diberikan kepada ratusan ribu penduduk India yang tinggal di enklaf Bangladesh.
Bagaimanapun, perjanjian tersebut tidak menyatakan tempoh masa kewarganegaraan itu akan dilakukan.
Penganjur protes, Mofizar Rahman berkata, ribuan penduduk berarak melalui beberapa batang jalan raya di bandar Panchagarh malam kelmarin untuk menuntut tarikh tepat proses kewarganegaraan itu akan dilakukan.
Ribuan penduduk itu terperangkap untuk menjadi rakyat India atau Bangladesh selepas satu peta yang kabur dihasilkan semasa tahun 1947. - AP

PM Turki tak akan lawat Gaza



ANKARA - Menteri Luar Turki, Ahmet Davutoglu menyatakan Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan tidak akan melawat Genting Gaza.
Menurutnya, lawatan itu tidak akan dilakukan Erdogan semasa beliau melawat Mesir.
Beliau berkata, Erdogan yang melawat Mesir hari ini juga akan berkunjung ke Tunisia dan Libya.
Israel sebelum ini mempunyai hubungan yang tegang dengan Turki dan Mesir.
Satu lawatan Erdogan ke Gaza mungkin akan mencetuskan lagi ketegangan selepas Israel enggan meminta maaf ekoran serbuan sekumpulan komando Yahudi di atas kapal misi bantuan kemanusiaan ke Gaza milik Turki pada tahun lalu.
Dalam serbuan itu, seramai sembilan penduduk pro-Palestin maut. - AP