Showing posts with label pulang. Show all posts
Showing posts with label pulang. Show all posts

Sunday, May 1, 2011

Pulang selepas 13 tahun diLombok


LANGKAWI: Seorang anak yang mengikut seorang lelaki ke Lombok, Indonesia sejak 13 tahun lalu pulang ke rumah ibunya di sini malam tadi.
Nooriah Abdullah, 30, tiba dari Surabaya di Lapangan Terbang Antarabangsa Padang Mat Sirat pada jam 11 malam.

Kepulangannya disambut oleh ibunya, Dayah Sibun, 64, anggota keluarga serta Ahli Dewan Undangan Negeri Kuah, Datuk Nawawi Ahmad dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Langkawi, Nur Saidi Nanyan.

Nooriah menghilangkan diri selepas memberitahu ibunya bahawa dia mahu menghadiri majlis kenduri di Padang Mat Sirat tetapi mengikut seorang jejaka Indonesia yang membawanya ke Lombok. Dia berkata, dia sudah berkahwin dengan lelaki itu dan mereka kini mempunyai dua orang anak berumur 12 dan 5 tahun. Bagaimanapun suami dan anaknya tidak mengikutnya pulang. Katanya, dia gembira dapat kembali ke tanah air tetapi masih memikirkan mengenai anak dan suaminya yang berada di Mataram. Dayah mengucapkan syukur dan berterima kasih kepada semua pihak terutama Pemuda UMNO Langkawi yang berusaha membawa anaknya pulang.

Saturday, February 26, 2011

Pelajar boleh pulang ke Mesir




PELAJAR Malaysia yang baru pulang ke tanah air pada awal Februari lalu perlu bersedia untuk kembali ke Mesir mulai 12 Mac ini.


KUALA LUMPUR – Penuntut Malaysia yang sedang mengikuti pengajian di beberapa buah universiti di Mesir dan terpaksa pulang ke tanah air ekoran pergolakan politik di negara itu baru-baru ini boleh kembali ke negara tersebut untuk menyambung pengajian masing-masing mulai 12 Mac ini.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, keputusan itu dicapai hasil pertemuan pasukan khas negara dengan universiti-universiti di negara itu sejak Ahad lepas hingga semalam bagi menentukan tarikh untuk memulakan pengajian.
“Penuntut bagaimanapun diminta menunggu pengumuman daripada Majlis Keselamatan Negara mengenai kepastian tahap keselamatan di Mesir sebelum kembali ke negara berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Menurut Mohamed Khaled, hasil pertemuan dengan pihak universiti di negara itu, pihaknya dimaklumkan bahawa Universiti Kaherah akan memulakan semula pengajian perubatan peringkat pengajian praklinikal dan klinikal pada 12 Mac ini.
“Begitu juga dengan Universiti Al-Azhar yang turut memulakan pengajian program pergigian pradental pada hari yang sama,” katanya.
Bagi program perubatan di semua peringkat pengajian di Universiti Al-Azhar pula akan bermula pada 15 Mac manakala penuntut program Pengajian Islam perlu mendaftar semula selewat-lewatnya pada 8 April.
Kosmo! Online - Negara

Thursday, December 16, 2010

Nik Aziz dibenar pulang ke rumah


KOTA BHARU: Selepas empat hari menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, di sini, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, kini berehat di kediamannya selepas dibenarkan pulang kelmarin.
Setiausaha Akhbarnya, Ahmad Fadhli Shaari, berkata Nik Abdul Aziz kini berehat di rumahnya di Pulau Melaka, selain dijangka menjalani rawatan susulan pada hujung minggu ini seperti disarankan doktor.
“Menteri Besar sedang berehat di kediamannya selepas doktor berpuas hati dengan kesihatannya dan beliau dijangka menjalani rawatan susulan hujung minggu ini.

“Doakanlah supaya beliau sentiasa dikurniakan kesihatan berpanjangan daripada Allah,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.


Nik Aziz, 79, yang juga Mursyidul Am PAS dibenarkan pulang ke rumahnya pagi kelmarin selepas dimasukkan ke HUSM, Khamis lalu, untuk rawatan pada bahagian pinggangnya.

Sunday, November 21, 2010

Jemaah haji siap sedia untuk pulang



BERIBU-RIBU jemaah haji melakukan ibadah tawaf mengelilingi Kaabah di Mekah, semalam. - REUTERS


MEKAH 20 Nov. - Musim haji secara rasminya berakhir, semalam setelah 2.8 juta jemaah haji dari seluruh dunia selesai menunaikan tawaf di Kaabah dan saie di Masjidil Haram.
Sementara itu, sebahagian jemaah daripada beberapa negara telahpun pulang hari ini, manakala yang lainnya masih berada di Mekah dan sebahagian lagi menuju ke Madinah untuk melawat Masjid Nabawi dan melakukan ibadat di sana.
Sebahagian lagi pula mengambil kesempatan untuk membeli-belah di bazar-bazar di kota suci ini sebelum pulang.
Musim haji tahun ini berjalan dengan lancar tanpa sebarang insiden buruk. Pada peringkat awal, jemaah haji berdepan cabaran ekoran cuaca panas, terutama di Mekah, Arafah dan Mina.
Namun, ketika jemaah selesai melakukan wukuf di padang Arafah, hujan lebat di Mina dan Mekah petang kelmarin menyebabkan berlaku banjir kilat menenggelami jalan-jalan raya dari Mina ke Mekah dan juga banjir di kota suci itu.
Statistik kerajaan Arab Saudi menunjukkan kira-kira 2.8 juta jemaah haji dari seluruh dunia menunaikan haji pada tahun ini, meningkat daripada anggaran asal sebanyak dua juta jemaah.
Daripada jumlah itu, seramai 1,799,601 adalah jemaah asing dan 989,798 lagi adalah jemaah tempatan, menjadikan jumlah keseluruhannya ialah 2,789,399. Peningkatan berlaku ekoran kebanjiran jemaah haji tanpa permit.
Jumlah jemaah haji Malaysia pula ialah seramai 26,000 orang yang tiba dengan penerbangan pertama sejak 9 Oktober lalu. Setakat ini, seramai 22 jemaah Malaysia dilaporkan meninggal dunia di tanah suci Mekah.
Penerbangan pertama membawa pulang jemaah haji Malaysia dijadual pada 22 November ini, manakala penerbangan terakhir pada 21 Disember. - AGENSI