WASHINGTON 23 April – Bekas Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton dan Senator dari Florida, Marco Rubio mendahului populariti untuk menjadi calon Presiden pada Pilihan Raya Presiden AS 2016, mewakili parti masing-masing, berdasarkan satu tinjauan pendapat yang diterbitkan semalam.
Menurut tinjauan Universiti Quinnipac, Hillary jauh mendahului pencabar terdekatnya dalam Parti Demokrat, Naib Presiden, Joe Biden.
Hillary menerima sokongan sebanyak 60 peratus daripada anggota Parti Demokrat, meninggalkan jauh pencabarnya Biden yang hanya memperolehi sebanyak 10 peratus sokongan.
Tinjauan tersebut mungkin berita gembira buat penyokong Hillary, namun timbul kebimbangan keadaan akan berubah apabila tibanya kempen pemilihan utama.
Keadaan itu mungkin berlaku berdasarkan penemuan Universiti Quinnipac bahawa lebih separuh daripada pengundi dalam tinjauan tersebut, tidak mempercayai pemimpin berumur 67 tahun berkenaan untuk muncul sebagai wanita pertama menjadi Presiden AS.
Skandal-skandal melibatkan beliau termasuk suaminya, Bill Clinton ketika menjadi Presiden AS telah dibangkitkan semula, selain dakwaan penggunaan pelayan e-mel peribadi, cara beliau menguruskan pembunuhan diplomat AS di Libya, dan sumbangan asing kepada yayasan keluarga Clinton.
Sementara itu, Rubio yang merupakan anak imigran Cuba, memperoleh 15 peratus sokongan pengundi dalam tinjauan tersebut mendahului pencabar terdekatnya, Jeb Bush yang menerima 13 peratus sokongan, untuk menjadi calon popular Parti Republikan.
Rubio merupakan satu-satunya calon Parti Republikan dengan sokongan dua digit, antara pilihan penyokong tegar daripada Tea Party, selain parti berfahaman Kristian dan liberal.
Tinjauan itu melibatkan 1,353 pengundi berdaftar di seluruh negara dan dijalankan antara 16 dan 21 April lalu. – AFP