Thursday, March 24, 2011

Luahan Hati Nenek Pendek Terhadap Rahim 'Perogol Budak Bawah Umur'

rahim_thamby_chik_norhayati_md_yusop
Berikut kenyataan Sabri bin Mohamed Yasin bagi pihak ibunya Pendek binti Ahmad, nenek kepada Norhayati binti Mohamad Yusop, mangsa rogol yang terlibat dengan kekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik di Hotel Belmount, Melaka ada 3hb November 1999:

Saya tidak faham mengapa cucu saya hanya menyatakan sekarang tidak mempunyai hubungan sulit dengan Tan Sri Rahim bila dia telah mengakui selama 5 tahun kebelakangan ini sejak 1994 bahawa dia mempunyai hubungan sulit dengan Tan Sri Rahim, termasuk membuat keterangan bersumpah di mahkamah di depan tuan hakim
Cucu saya, telah membuat satu kenyataan pada 2hb November 1999 menafikan keterangan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 29hb Oktober 1999 bahawa dia mempunyai hubungan sulit dengan bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik pada tahun 1994.

Saya amat terkejut dengan kenyataan cucu saya ini kerana sepanjang 5 tahun ini, cucu saya telah mengakui mempunyai hubungan sulit dengan Tan Sri Rahim semasa cucu saya masih berumur 15 tahun. Cucu saya juga memberitahu ahli keluarga dan saya bahawa Tan Sri Rahim merupakan orang lelaki pertama yang melakukan hubungan sulit dengannya.

Oleh kerana cucu terlibat dengan Tan Sri Rahim, dia ditahan oleh pihak polis pada akhir bulan Ogos 1994 sehingga saya sebagai nenek yang membesarkannya tidak dapat berjumpa dengannya. Saya hairan mengapa pihak polis dan kerajaan BN boleh membenarkan seorang mangsa rogol ditahan sedangkan mereka yang merogolnya bebas tanpa dipenjarakan. Ini boleh dilihat selepas 14 lelaki, kecuali Tan Sri Rahim, mengakui merogol gadis bawah umur di mahkamah tetapi tidak dipenjarakan sebaliknya dibebaskan. Akibat peristiwa hitam itu, cucu saya telah melahirkan seorang anak perempuan pada 1995.

Oleh kerana tidak dapat menjumpai cucu saya, saya telah meminta bantuan daripada Ahli Parlimen Kawasan Kota Melaka YB Lim Guan Eng yang berjaya memaksa pihak polis membenarkan saya melawat cucu saya. Saya amat kesal dan sedih bahawa YB Lim dalam usaha membantu mendapat keadilan untuk cucu saya telahpun dipenjarakan di Penjara Kajang pada 25hb Ogos 1998 dan kehilangan statusnya sebagai Ahli Parlimen.

Dalam kes mahkamah Lim Guan Eng yang mulai pada 20hb Jun 1995, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Mok Siew Hoong menyatakan bahawa cucu saya telah mengakui mempunyai hubungan sulit dengan Tan Sri Rahim. Pada 27hb Februari 1997, cucu saya pula memberikan keterangan sebagai seorang saksi kepada hakim Mahkamah Tinggi dalam kes YB Lim Guan Eng bahawa Tan Sri Rahim mempunyai hubungan sulit dengannya.

Selepas itu cucu saya, semasa berjumpa dengan saya, masih mengakui bahawa Tan Sri Rahim ada hubungan sulit dengannya. Malah, cucu saya telah membuat satu ucapan di depan kami di Hotel Federal, Kuala Lumpur pada 27hb Januari 1999 menyokong YB Lim Guan Eng yang dipenjarakan seperti berikut:-

"Saya merasa sungguh kesal atas apa yang telah berlaku di masa lampau, dan merasa sungguh sedih sekali kerana YB Lim Guan Eng kini telah dipenjarakan. Apa yang beliau cuba lakukan hanyalah untuk membantu saya. Tetapi beliau sendiri pula menjadi mangsa. Semua ini sungguh tidak adil. Saya berdoa semoga keadilan akan dikembalikan kepada YB. Malam ini, saya telah membawa dua surat rayuan, satu kepada Yang Di Pertuan Agong dan satu lagi kepada Yang Di Pertua Negeri Melaka, meminta supaya YB Lim Guan Eng diampunkan dan dibebaskan segera supaya meneruskan tanggungjawab sebagai seorang Ahli Parlimen sejati Malaysia. Saya meminta supaya YB Lim Kit Siang selaku Ketua Pembangkang Parlimen boleh membantu sampaikan surat-surat rayuan saya ini kepada kedua-dua pihak itu."

Saya tidak faham mengapa cucu saya hanya menyatakan sekarang tidak mempunyai hubungan sulit dengan Tan Sri Rahim bila dia telah mengakui selama 5 tahun kebelakangan ini sejak 1994 bahawa dia mempunyai hubungan sulit dengan Tan Sri Rahim, termasuk membuat keterangan bersumpah di mahkamah di depan tuan hakim.

Saya berasa hampa, malu dan marah atas kejadian rogol yang menimpa cucu saya. Tetapi saya berasa lebih hampa, malu dan marah bila cucu saya boleh membelakangkan kebenaran dan keadilan dengan melupai jasa baik YB Lim sehingga bersedia bohong dengan menafikan dia mempunyai hubungan sulit dengan Tan Sri Rahim. Nyata sekali, ini adalah satu lagi konspirasi kerajaan BN menutup kebenaran demi kepentingan politik.

Saya masih mengingati cucu saya begitu tersiksa semasa ditahan di Pusat Pemulihan Rembau sehingga cuba melarikan diri banyak kali. Dia memberikan keterangan di mahkamah bahawa dia berjaya melarikan diri daripada tahanan sekali sebelum ditangkap balik. Jelas, kasih sayang keluarga kami kepadanya tidak dibalas.

Lim Guan Eng ditangkap kerana membantu mangsa yang dirogol oleh Rahim Thamby Chik.lge_rahim
Apa yang dilakukan oleh cucu saya adalah tidak adil kepada YB Lim Guan Eng yang telah kehilangan begitu banyak, termasuk dipenjarakan kerana cuba mempertahankan hak cucu saya ini. Saya tidak boleh lupa betapa susah anak-anak dan isterinya yang sering menangis merindui bapa mereka semasa dipenjara. Oleh itu, saya ingin meminta maaf kepada YB Lim atas apa yang cucu saya telah lakukan.

Saya juga berhasrat memberikan jaminan kepada YB Lim bahawa keluarga kami sentiasa mengenang pengorbanan beliau dan mengingati kesediaan beliau menanggung segala penderitaan dan kerugian kewangan demi membantu sebuah keluarga Melayu miskin yang dianiayai oleh kezaliman kerajaan BN. Kami tidak akan lupai YB Lim adalah satu-satunya orang yang bersedia menegakkan keadilan untuk kami bila tidak ada seorang pun yang berani tolong sama kami.

Semoga Allah S.W.T boleh memaafkan cucu saya.
Pendek binti Ahmad
Sabri bin Mohamad Yasin
Alamat: Batu 13, Kampung Sungai Petai, 78000 Alor Gajah, Melaka
suara keadilan

Rahim sedia beri keterangan isu video


2011/03/24

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik, seorang daripada tiga orang yang membuat pendedahan mengenai klip video memaparkan aksi seks seorang yang dikatakan pemimpin pembangkang, sedia memberi keterangan jika dikehendaki oleh polis, kata pegawai khas beliau Ghazali Zainal. 

Ghazali memberitahu Bernama hari ini bahawa Rahim belum dipanggil oleh polis berhubung pendedahan itu.
Katanya, buat sementara waktu Rahim enggan memberi sebarang ulasan lanjut dengan alasan beliau telahpun mendedahkan kepada media semalam bahawa beliau bersama ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan bendahari Perkasa, Datuk Shuib Lazim, bertanggungjawab mendedahkan video berkenaan.
Dua hari lalu, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi berhubung video itu yang telah dipertontonkan kepada beberapa wakil media di Carcosa Seri Negara. - BERNAMA 

Tabah jaga suami, ibu sakit



SUNGAI PANJANG – Cuma mengharapkan hasil kebun kelapa sawit, seorang wanita tabah menjaga suaminya, Md Noor Ismail, 54, yang lumpuh kerana strok dan seorang ibu, Marinah Masrip, 83, yang terlantar sakit tua hampir tiga tahun lalu.

Saharom Saini, 53, berkata, jika sebelum ini ada menerima bantuan zakat selama enam bulan, kini dia bergantung sepenuhnya pada hasil kebun dan bantuan adik beradiknya untuk menguruskan perbelanjaan ibu dan suaminya.

“Ibu terlantar sakit dan tiba-tiba suami pula strok ketika duduk berehat selepas bekerja, tumbang dan tidak boleh bergerak. Selepas suami sakit, tiada siapa yang menguruskan kebun yang menjadi sumber pendapatan menyebabkannya semakin semak.

“Kos lampin pakai buang dan susu sangat tinggi dan dianggarkan lebih RM600 dibelanjakan untuk keperluan itu,” katanya ketika ditemui dalam program gotong-royong baik pulih rumah bersama Bridget Prihatin Parlimen Sungai Besar.

Hadir sama, Ahli Parlimen Sungai Besar, Noriah Kasnon.

Saharom berkata, dua anaknya masih belajar di sekolah menengah dekat sini, dua lagi anaknya bekerja di kilang dekat Klang, manakala empat anak perempuannya sudah berkeluarga.

Menurutnya, dengan keadaan kewangan yang tidak stabil, keadaan bumbung rumahnya yang uzur terpaksa dibiarkan sahaja.

“Biarpun bantuan yang diberikan bukan untuk keseluruhan bumbung rumah, saya bersyukur dan berterima kasih. Kerosakan yang masih tinggal itu akan saya usahakan untuk membaikpulih,” katanya.

Difahamkan, program baik pulih rumah bersama Bridget Prihatin Parlimen Sungai Besar itu adalah yang ke-14 untuk tahun ini dan dianggarkan berjumlah RM1,500 melalui peruntukan khas Ahli Parlimen Sungai Besar.

Program yang diadakan ini dapat meminimumkan kos baik pulih sekali gus membolehkan peruntukan disalurkan kepada lebih ramai golongan sasar.

"Saya serang bukan kerana cemburu"



KOTA BHARU – Isteri tua kepada mangsa kejadian tetak di Kampung Senang di sini, mengaku bertindak menyerang suaminya itu dengan menggunakan sebilah parang tumpul pada kejadian, Isnin lalu.

Bagaimanapun, wanita berusia 31 tahun berkenaan menegaskan bahawa serangan ke atas seorang pendikir barat itu mempunyai sebab dan bukannya bermotifkan cemburu.

Dia bersama ibu dan dua saudaranya hadir ke Pejabat Sinar Harian, semalam menyatakan suaminya itu sudah lima bulan tidak pulang menjenguk beliau dan anak-anak yang kini menumpang di rumah ibunya di Kampung Jejulok Banggu, Binjai.

Menurutnya, tindakan nekad bergelut dengan suami itu, didorong perasaan untuk melindungi anak keempat mereka yang didakwa dibawa suaminya untuk tinggal bersama isteri baru di Kuala Lumpur.

“Saya menjaga kelima-lima anak kami itu bersendirian dengan pendapatan RM500 sebulan sebagai guru fardu ain.

Ini kerana beliau tidak memiliki pendapatan yang baik dan hanya mendapat duit dari persembahan berdikir,” katanya.

Katanya, sebelum ini dia sanggup menjual ikan bersama suaminya untuk menambah pendapatan tetapi tidak lagi sejak ditinggalkan tanpa sebarang berita bermula 17 November lalu, kerana memberi tumpuan kepada anak bongsu yang kini berusia lapan bulan.

“Saya sudah banyak kali memaafkan dia dan pernah merujuk semula selepas bercerai pada tahun 2006 demi anak-anak. Bagaimanapun, dia tetap menjalin hubungan dengan wanita lain dan itu pun saya hanya mengetahuinya selepas anak bongsu kami mencecah usia empat bulan.

“Saya akui membenarkan dia berkahwin lain, tetapi dengan syarat dia berkemampuan dari segi kewangan serta melunaskan kewajipan dan tanggungjawabnya terhadap anak-anak kami dengan sempurna terlebih dahulu,” katanya.

Menurutnya, hatinya kini tidak lagi dapat menerima suaminya itu lebih-lebih kisah mendapat malu apabila kisah rumah tangga mereka disiarkan media.

“Saya tidak dapat memaafkan perbuatannya terhadap kami anak beranak dan sekarang saya dalam proses memohon cerai taklik di Mahkamah Syariah, Kota Bharu.

“Saya harap dia ‘lepaskanlah’ saya dengan cara baik dan tidak lupa memberi nafkah kepada semua lima anak perempuannya itu,” katanya.

Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan seorang isteri tua mengamuk dan menyerang suaminya dengan sebilah parang di kampung tersebut, kelmarin.

Dalam kejadian 8 pagi itu, mangsa, 29, cedera di lengan dan muka akibat digigit serta ibu isteri muda lelaki itu pula cedera tangan kiri selepas terkena libasan parang ketika pergelutan.

Johari dakwa diumpan habuan lompat parti





PETALING JAYA – Ahli Parlimen Sungai Petani dari PKR, Datuk Johari Abdul mendakwa beliau ditawarkan sejumlah wang dan jaminan keselamatan sekiranya ’lompat parti’ dan menyertai Barisan Nasional (BN).

Malah beliau Ahli Parlimen pertama ditunjukkan video aksi seks yang memaparkan lelaki mirip ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai umpan untuk menyertai BN.

Beliau berkata, individu yang terlibat ialah seorang ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Tamby Chik,

Johari berkata, beliau telah ditunjukkan video itu Isnin lalu dan ditawarkan untuk dibawa bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Mereka menawarkan saya jaminan kewangan dan keselamatan. Mereka jelaskan bahawa saya adalah Ahli Parlimen pertama yang menonton video ini.

"Jika saya bersetuju, mereka boleh aturkan perjumpaan saya dengan Perdana Menteri, tetapi saya tidak berkata apa-apa pada waktu itu,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Turut hadir, Setiausaha Agung PKR, Saifudin Nasution.

Johari berkata, Abdul Rahim kemudiannya memintanya membawa lebih banyak Ahli Parlimen pembangkang untuk menonton video tersebut.

Menurutnya, beliau mengetahui Shazryl adalah ’Datuk T’ petang Isnin lalu, selepas beliau bersama bapa saudaranya yang dipanggil ‘pakcik’ dibawa ke Hotel Flamingo bertemu kedua-dua individu itu.

Katanya, di hotel tersebut, Shazryl menunjukkan rakaman video seks kepadanya, yang didakwa melibatkan pemimpin tertinggi pembangkang untuk memujuknya keluar parti serta memintanya membawa beberapa pemimpin PKR lain lagi menonton video terbabit.

Katanya, beliau menolak sekeras-kerasnya bahawa lelaki yang di dalam video itu adalah Anwar, kerana terlalu banyak kemusykilan.

"Contohnya tidak mungkin Anwar tidak menyedari pergerakan di bilik tersebut dirakam kerana alat rakaman tersebut dipasang dari empat arah," katanya.

Menurutnya, rakaman tersebut tidak memfokuskan muka dengan dekat, kecuali menampakkan orang yang seakan-akan Anwar, namun bentuk badan terutamanya perut, bahu dan punggung tidak sama dengan pemimpin pembangkang terbabit.

“Demi Allah saya katakan bahawa saya yakin lelaki dalam video itu bukanlah Anwar,” katanya.

Beliau berkata, keadaan bilik hotel dalam video tersebut seolah-olah seperti zaman British kerana unit penghawa dingin yang tidak dipusatkan selain katil yang amat ‘cikai’.

“Susah hendak melihat hotel sebegitu lagi di Malaysia, lebih-lebih lagi di Kuala Lumpur. Ia mungkin banyak di negara jiran,” katanya.

Menurutnya, beliau bersedia membawa beberapa Ahli Parlimen PKR untuk menonton video tersebut dan bertemu Rahim, bagaimanapun perjumpaan telah dibatalkan.

Sementara Saifuddin berkata, adalah jelas itulah rancangan mereka untuk menunjukkan video tersebut kepada Ahli Parlimen PKR bagi menimbul keraguan dan membuat tawaran membeli mereka.

Suruhanjaya sumpah laknat



RAHIM Tamby Chik mencadangkan suruhanjaya bebas ditubuhkan untuk menyiasat dan mengkaji video lucah yang beliau tayangkan kepada wartawan. Katanya suruhanjaya itu perlu untuk menentukan kesahihan kandungan video berkenaan dan juga mengesahkan apakah watak dalam video berkenaan orang yang disangka dan dituduhnya.

Saya nak tanya beberapa soalan kepada persoalan dan cadangan Rahim Tamby Chik ini. Apakah perlunya suruhanjaya itu ditubuh dan apakah perlunya siasatan ke atas video berkenaan. Biasanya sebuah suruhanjaya bebas ditubuhkan untuk menyiasat perkara yang ada kepentingan umum. Dalam kes video lucah itu apakah ia kepentingan umum?

Video itu bersifat peribadi yang tidak ada kena mengena dengan orang ramai. Ia tidak perlu ditubuhkan. Kalaulah cadangan Rahim itu hendak diambil kira, maka banyak lagi suruhanjaya bebas perlu ditubuhkan. Bukan soal pengecut di sini tetapi keperluan dan kemunasabahannya.

Saya nak sebut beberapa suruhanjaya bebas yang perlu ditubuhkan kalau mengikut versi ataupun pendapat bekas Ketua Menteri Melaka itu. Sebelum kes video itu disiasat penyiasatan ke atas perkara berikut terlebih dahulu perlu dilakukan;

1. Mengenai skandal seks seorang bekas Ketua Menteri dengan pelajar sekolah berumur 16 tahun sehingga melahirkan seorang anak.
2. Mengenai hubungan seksual seorang bekas Ketua Menteri dengan seorang gadis Portugis.
3. Hubungan seks bekas Ketua Menteri dengan seorang perempuan yang bekerja di sebuah syarikat perumahan. Perempuan itu juga telah memohon sebuah projek di sebuah negeri.
4. Mengenai hubungan seorang menteri dengan seorang perempuan Portugis.
5. Mengenai hubungan seorang bekas artis sehingga mengandung dan terpaksa mengugurkan kandungannya.
6. Mengenai seorang menteri yang melayani gay.
7. Mengenai seorang bekas MB yang membawa Puteri UMNO ke tengah laut dengan bot.
8. Dua orang bekas setiausaha kepada bekas menteri dan menteri yang dikatakan telah menghamilkan seorang artis dan seorang pramugari.
9. Mengenai Ketua UMNO sebuah bahagian di Kelantan yang meniduri 13 perempuan kampung.
10. Seorang kenamaan yang telah mengahwini seorang perempuan walaupun ketika itu perempuan itu masih belum edah perceraian.
11. Kena siasat juga kesahihan mengenai perkahwinan seorang menteri dengan isterinya kini yang meragui daripada segi syarak.
12. Siasat juga bekas menteri yang dikatakan berhubung sesama jenis.
13. Siasatan juga setiausaha politik kepada menteri yang dikatakan mengamalkan ajaran sesat.
14. Siasat juga menteri yang terlibat melakukan perpindahan wang secara haram.
15. Siasat juga Ketua Menteri yang terlibat dengan pengurup wang.
16. Siasat juga bekas menteri yang menjadi kaya raya dengan memperdagangkan pendatang asing.

Ah, banyak lagi. Sebenarnya perkara disebut itu lebih utama dari video lucah itu kerana ia membabitkan negara dan rakyat.

Justeru saya tidak fikir pihak kerajaan bersedia melayani cadangan Rahim Tamby Chik itu. Kalau alasan suruhanjaya itu perlu disiasat kerana ia melibatkan pemimpin yang bercakap mengenai Islam, nah semua kes-kes melibatkan apa disebut itu juga melibatkan pemimpin Islam, yang bercakap mengenai Islam, yang pakai baju Melayu pada setiap hari raya.

Adalah tidak adil dan zalim kalau video itu perlu disiasat demikian rupa atas kehendak individu berkenaan. Yang jelas melihat dari cara modus operandinya, ia dilakukan atas sifat dendam, geram dan kemarahan yang tidak dapat dihilangkan.

Baiklah orang ini semua dan kita semua mengucap sedalam-dalamnya mentauhiudkan diri kepada Allah, menginsafi apakah yang kita lakukan ini mengutungkan kita, negara dan bangsa atau sebaliknya. Kepada rakyat di luar sana sesekali angkatlah tangan menadahkan doa kepada Allah dengan memintakan kita semua dimasukkan iman diberikan taufik dan hidayah. Kerana apa yang berlaku di negara kita sekarang adalah satu bala dan petaka.

Apakah bala dan petaka yang menimpa kita hari ini angkara sumpah laksana? Kita terlupa laknat Allah itu akan hadir secara umum walaupun ia hanya dilakukan oleh seorang manusia saja. Selagi orang yang bersumpah laknat berada di negara ini dan kita juga berada di negara ini maka bala atas sumpah laknat itu akan melaknat kita semua!

Dipetik daripada blog Mohd Sayuti Omar (blogger)

'Datuk T' yang membawa maksud 'tambi'


AHLI perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah (kiri) bersama bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik mengadakan sidang akhbar mendedahkan identiti 'Datuk T' berhubung video seks membabitkan pemimpin pembangkang di Impiana Hotel KLCC, Kuala Lumpur, petang tadi. Rahim mengakui beliau bersama Shazryl Eskay dan Bendahari PERKASA, Datuk Shuib Lazim adalah 'Datuk T' yang membawa maksud 'trio' bagi merujuk mereka bertiga. - Foto Syarafiq Abd Samad




Datuk T kumpulan 3 sahabat




Abdul Rahim Thamby Chik (duduk kiri) dan Shazryl Eskay Abdullah ketika sidang media mengenai pendedahan sebuah klip video membabitkan aksi seks



MISTERI siapa Datuk T yang merujuk tiga sahabat yang membuat pendedahan rakaman video seks seorang lelaki didakwa pemimpin pembangkang dengan wanita dipercayai pelacur dari China pada 21 Februari lalu di sebuah hotel di Kuala Lumpur terdedah semalam.
Tokoh itu ialah ahli perniagaan yang juga sahabat karib Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Shazryl Eskay Abdullah; bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan Bendahari Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Shuib Lazim.
Pada sidang akhbarnya di Kuala Lumpur, Shazryl Eskay dan Abdul Rahim yakin lelaki dalam rakaman video itu ialah seorang pemimpin parti pembangkang. Shuib bagaimanapun tidak hadir pada sidang akhbar itu kerana tidak sihat.
Berikut ialah sebahagian isi kandungan sidang akhbar itu.

SIAPA Datuk T (Trio)?
Bukan nama individu tetapi sebaliknya kumpulan tiga sahabat yang saling mengenali sejak sekian lama. Nama Datuk T sengaja digunakan untuk mengelakkan orang ramai mengenali mereka pada awal pendedahan video seks berkenaan.
Mereka ialah bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, ahli perniagaan yang juga sahabat karib Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Bendahari Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Shuib Lazim.
Apa peranan mereka?
Shazryl Eskay Abdullah: Diarahkan oleh Anwar supaya mengambil jam tangan Omega di dalam sebuah bilik hotel di Kuala Lumpur. Bagaimanapun di bilik hotel itu selain menemui jam tangan, beliau turut menjumpai empat kamera litar tertutup (CCTV).
Beliau yang tidak dapat melihat isi kandungan rakaman video itu meminta bantuan Abdul Rahim dan Shuib bagi membuat salinan rakaman.
Beliau juga meminta Abdul Rahim untuk mencari lokasi yang boleh menjamin keselamatannya bagi mendedahkan isi kandungan video tersebut kepada wartawan pada 21 Mac lalu.
“Saya yakin 100 peratus (lelaki dalam video itu adalah seorang pemimpin parti pembangkang) sebab saya pun ada dalam rakaman video tersebut,” katanya.
Rahim Thamby Chik: Dihubungi Shazryl Eskay minggu lalu yang meminta bantuan bagi menyalin video seks itu. Juga bertanggungjawab memilih dan menempah bilik di Carcosa Seri Negara untuk tujuan pendedahan kepada wartawan.
Shuib Lazim: Membantu proses menyalin rakaman video. Beliau turut menjemput Ahli Parlimen Sungai Petani, Johari Abdul yang juga anak saudaranya supaya diberi peluang menonton rakaman video itu kerana hubungannya yang rapat dengan Anwar walaupun pada awalnya tidak dipersetujui oleh Shazryl Eskay dan Abdul Rahim.
Mengapa pendedahan dibuat?
Shazryl Eskay: “Sebenarnya (selepas) saya menunaikan umrah dan haji, saya rasa dipergunakan oleh Anwar sekian lama. Saya kenal Anwar sejak 1996.”
Rahim Tamby Chik: “Saya mengambil keputusan mendedahkan video seks ini bagi menegakkan kebenaran demi rakyat Malaysia mengenai akhlak sebenar pemimpin utama pembangkang ini.
Kami juga tampil mendedahkan identiti masing-masing kerana tidak mahu pembohongan, fitnah serta putar belit terus berleluasa menjadi asas politik di negara ini yang ditunjangi oleh pemimpin pembangkang tersebut.
Mengapa pilih Carcosa Seri Negara?
Rahim Tamby Chik: “Carcosa dipilih kerana mereka hendak tempat yang eksklusif dari segi keselamatan.”
Shazryl Eskay: “Kita tidak dapat perlindungan daripada polis, jadi saya tanya Tan Sri di mana tempat yang selamat dan Carcosa dikenal pasti. Sebenarnya kita hendak bagi lima orang wartawan sahaja yang tengok tetapi yang datang lebih 20 orang.”
Mengenai Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail?
Shazryl Eskay: “Seseorang (lelaki) menelefon saya, dia datang nak tengok video itu semalam. Saya kata okay, saya akan aturkan tempat untuk dia tengok. Tapi lelaki itu kata tidak dan nak datang sendiri untuk ambil video. Jadi, patutkah saya bagi video itu? (Dijawab ‘tidak!’ oleh wartawan). Dia kawan baik kepada Wan Azizah.”
Mengenai penglibatan Johari Abdul?
Abdul Rahim dan Shazryl Eskay mendakwa Johari mengakui lelaki dalam rakaman video berkenaan adalah pemimpin parti pembangkang berkenaan. Bagaimanapun sebaik pulang daripada menonton video itu, Johari menghubungi Shuib meminta wang pelincir. Johari juga meminta bayaran bagi tujuh ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk keluar parti. Permintaan itu ditolak.
Abdul Rahim: “Saya segera arahkan semua itu dihentikan. Ini bukan soal beri wang. Kita hendak tegakkan kebenaran. Kita bersusah payah untuk tegakkan kebenaran dan kita menghadapi rakyat Malaysia sebagai hakim yang bijaksana. Kerana itu walaupun semalam Ahli Parlimen ini (Johari) cuba membawa tujuh ahli Parlimen untuk temui kita. Kita tolak kerana kita tidak berminat sama sekali soal kewangan. Sedangkan misi sebenar untuk melihat kebenaran ini ditegakkan demi rakyat Malaysia.
Mengapa dedahkan sekarang?
Shazryl Eskay: “Ini bukan soal masa tapi yang cukup, cukuplah. Kebenaran mesti diberitahu.”
Mengapa tidak dedahkan kepada polis?
Shazryl Eskay: “Setiap kali polis dilibatkan, akan dipusing. Selalu akan dianggap konspirasi kerajaan. Saya bukan orang politik. Tapi saya pasti seseorang sudah melakukan sesuatu yang salah. Sebab itu kita biar wartawan yang putuskan. Kita bagi mereka tengok sendiri.
Siapa lagi terlibat?
Shazryl Eskay: “Tiada orang luar. Semua tiga ini, tiada sesiapa lagi. T untuk tiga atau trio.”


Warga tua tembak lelaki ‘jual mahal’





2011/03/24

pix_gal0
Penyerang 92 tahun berang gagal goda jiran

ST PETERSBURG: Seorang wanita berusia 92 tahun yang gagal menggoda seorang lelaki lebih muda bertindak menembak jirannya itu. 

Polis berkata, Helen Staudinger, mahu lelaki itu memberi ciuman dan berang apabila permintaannya tidak dipenuhi meskipun tahu jirannya itu sudah mempunyai teman wanita.
Wanita dari tengah Florida itu melepaskan tembakan empat kali menggunakan pistol separuh automatik ke arah jirannya yang berusia 53 tahun kerana enggan menciumnya, kata polis kelmarin.
“Jika kepala saya ke depan sikit tentunya peluru akan terkena belakang kepala saya. Tiga das tembakan terkena tepi rumah,” kata lelaki itu, Dwight Bettner yang mengakui hubungannya dengan Staudinger baik sebelum ini. 

Staudinger dipenjara sehari selepas ditahan atas tuduhan melakukan serangan dengan senjata merbahaya dan menembak kediaman. Wanita itu juga dilaporkan menyasarkan kenderaan jirannya. 

Laporan polis menyatakan, Staudinger memberitahu pihak berkuasa bahawa dia pergi ke rumah Bettner di Pelabuhan McCoy, Florida, dan enggan pulang sehingga lelaki itu menciumnya. 

Apabila Bettner masih enggan lakukannya, mereka bertengkar dan Staudinger keluar dengan keadaan marah. Bettner berkata, tidak lama selepas itu, dia sedang berbual di telefon dengan bapanya apabila terdengar bunyi tembakan. 
Satu peluru menembusi tingkap rumahnya dan dia terkena serpihan kaca. Bekas penguasa undang-undang itu berkata jiran warga emasnya itu nampak berminat dengannya sejak dia berpindah ke situ enam bulan lalu. 

“Saya membantunya membuang sampah, hanya sebagai jiran. Saya rasa beliau ada tanggapan lain. Saya tidak sangka dia akan tembak saya,” kata Bettner. 

Staudinger dikenakan ikat jamin berjumlah AS$15,000 (RM45,000) dan dilarang menghubungi atau mendekati Bettner. Dia juga menolak menerangkan kejadian berkenaan kepada media. – Reuters/Agensi
bharian

6 terkorban protes parti Baath





2011/03/24

Askar Syria serang penentang kerajaan di Masjid Omari, doktor antara mangsa 

DAMSYIK: Askar Syria menembak mati sekurang-kurangnya enam orang semalam dalam serangan di sebuah masjid di selatan bandar Deraa, kawasan yang menyaksikan bantahan besar-besaran terhadap pemerintahan Parti Baath pimpinan Presiden Bashar al-Assad. 

“Pasukan keselamatan bertempur dengan kumpulan bersenjata di Masjid Omari, menembak beberapa anggotanya dan menahan yang lain. Anggota pasukan keselamatan turut terbunuh,” kata kenyataan itu.
Sebelum serangan pasukan keselamatan terhadap masjid itu, bekalan elektrik dan telefon dipotong di kawasan itu. Laungan Allahu Akbar (Allah Maha Besar) kedengaran di kawasan kejiranan Deraa apabila tembak menembak bermula.
Tidak jelas sama ada pembantah mempunyai senjata. Mereka yang terbunuh termasuk doktor daripada keluarga terkenal Deraa, Ali Ghassab al-Mahamid, yang ke Masjid Omari di kawasan kota lama bagi membantu mangsa serangan pada tengah malam, kata penduduk. 

Mahamid terbunuh ketika berada dalam ambulans yang diserang sekumpulan penyerang bersenjata. 

Serangan itu menjadikan 10 orang awam mati dibunuh askar selepas protes berlanjutan enam hari bagi menuntut pembaharuan politik dan mengakhiri rasuah di negara yang mempunyai penduduk 20 juta orang itu. 

Parti Baath mengharamkan pembangkang dan menguatkuasa undang-undang darurat sejak 1963. 
Tiada sebarang komen dari kerajaan Assad yang menghadapi cabaran besar sejak pemerintahannya selepas mengambil alih daripada bapanya, Hafez al-Assad pada 2000. Gelombang kebangkitan pemberontakan Arab berjaya menggulingkan pemerintah di Tunisia dan Mesir. 

“Dr Mahamid ditembak penembak curi. Sistem telefon diganggu tetapi kami tahu mengenai kejadian berdekatan masjid menerusi talian telefon bimbit Jordan,” kata penduduk. Deraa bersempadan dengan Jordan. 

Serangan itu terjadi sehari selepas pejabat Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu untuk Hak Asasi Manusia berkata pihak berkuasa perlu berhenti menggunakan kekerasan terhadap penunjuk perasaan yang melakukan demonstrasi secara aman. 

Pembantah yang memasang khemah di perkarangan masjid berkata mereka akan bertahan sehingga tuntutan mereka dipenuhi. 

Jemaah masjid, Ahmad Siasneh, memberitahu stesen televisyen Arabiya kelmarin yang masjid itu masih dalam keadaan aman. Penunjuk perasaan turut berkumpul di pekan berdekatan, Nawa. 

Kelmarin, Naib Presiden Farouq al-Shara berkata Bashar komited meneruskan pembaharuan dan permodenan Syria, lapor televisyen Lubnan, al-Manar. 

Tuntutan utama penunjuk perasaan ialah menghentikan penderaan oleh polis rahsia diketuai sepupu Bashar di wilayah Deraa. 

Pihak berkuasa menahan pemimpin pembantah, kata Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria. Loay Hussein, tahanan politik daripada 1984 hingga 1991, dibawa dari rumahnya berdekatan Damsyik. – Reuters
bharian

Libya akan menang perang: Gaddafi





2011/03/24

TRIPOLI: Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi menyatakan kesediaan Libya untuk berperang ketika pemimpin Barat menimbang langkah seterusnya pada hari kelima serangan tentera bersekutu terhadap negara yang kaya dengan minyak itu. 

“Kita akan menang peperangan ini,” kata Gaddafi kepada penyokong di perkarangan bangunan Bab Al-Aziziyah di Tripoli yang menjadi sasaran peluru berpandu tentera bersekutu.
Awal semalam, Cable News Network (CNN) melaporkan, serangan udara tentera bersekutu dilancarkan sepanjang malam di bandar Misrata, timur Tripoli.
Pemberontak berkata mereka menghadapi serangan bertalu-talu di bandar Misrata yang dikepung tentera Gaddafi sejak beberapa minggu lalu. Antara yang terbunuh empat kanak-kanak, kelmarin. 

Sementara itu, Presiden Barack Obama tiba di Washington selepas memendekkan lawatan ke Amerika Latin berkata beliau menjangka penjelasan terhadap struktur arahan operasi tentera bersekutu dalam tempoh beberapa hari akan datang. 

Obama berkata ada sedikit pengurangan operasi pesawat tentera udara Amerika berikutan sekutu Barat mahu mewujudkan zon larangan terbang yang diluluskan Pertubuhan Bangsa Bangsa-Bersatu (PBB) bertujuan melindungi rakyat Libya. 

Kelmarin, pertempuran berlaku antara askar setia Gaddafi dengan pemberontak, ada laporan menyebut pemimpin Libya itu mencari jalan untuk keluar dari konflik. – AFP
bharian

Air paip dicemari radioaktif



PARIS 23 Mac - Ibu bapa di Jepun dinasihati supaya tidak membuat susu bayi menggunakan air paip selepas pihak berkuasa hari ini mengesan ia mengandungi paras radioaktif iodin berlebihan, yang boleh mendatangkan bahaya kepada golongan itu.
Seorang pegawai berkata, satu sampel air yang diambil dari sebuah wad di Tokyo, semalam didapati mengandungi bahan radioaktif 210 becquerels per kilogram, dua kali ganda berbanding paras yang dibenarkan.
"Di bawah garis panduan kerajaan, air yang mengandungi bahan radioaktif dengan kepekatan 100 becquerels per kilogram tidak sesuai digunakan untuk membuat susu bayi," kata seorang pegawai kepada pemberita.
Katanya, satu lagi sampel air dari hospital yang sama hari ini dikesan mengandungi bahan radioaktif 190 becquerels per kilogram.
Sehubungan itu, majlis perbandaran menasihati orang ramai agar tidak menggunakan air paip untuk membuat susu bayi sehingga satu notis lanjutan dikeluarkan.
Sementara itu, Perdana Menteri, Naoto Kan hari ini mengarahkan penghantaran produk ladang dari Fukushima dan Ibaraki dihentikan selepas ia dikesan mengandungi paras radiasi tinggi.
Menurut Jiji Press dan media lain, penghantaran sayur brokoli dan bayam 'komatsuna' dari Fukushima serta susu tidak dirawat dan sayur parsley dari Ibaraki perlu dihentikan.
Dalam perkembangan berkaitan, beberapa gegaran susulan dikesan di bahagian timur laut Jepun, hari ini, bagaimanapun ia tidak mendatangkan kesan serius kepada reaktor nuklear di Fukushima, lapor agensi berita Xinhua.
Pakar berkata, krisis nuklear di Jepun menyebabkan negara ini berhadapan masalah pembersihan yang mungkin mengambil masa bertahun-tahun atau berdekad-dekad, sekali gus melibatkan perbelanjaan yang besar.
Kata mereka, jangkaan kos pembersihan itu masih terlalu awal untuk dibuat ketika jurutera di reaktor No. 1 Fukushima masih berada dalam situasi cemas dan data atau maklumat mengenai kerosakan serta pembebasan radiasi itu masih belum diperolehi sepenuhnya. - AFP/Bernama
utusan

Cicit Suharto positif dadah



Putri Aryanti Haryowibowo


JAKARTA 23 Mac – Seorang cicit perempuan kepada bekas Presiden Indonesia, Suharto boleh dikenakan hukuman penjara lima tahun selepas dia ditangkap kerana memiliki dadah.
Putri Aryanti Haryowibowo, 22, ditemui bersama- sama 0.8 gram metamfetamina dan pil ekstasi dalam satu serbuan polis di sebuah hotel di ibu negara ini, dan didapati positif mengambil kedua-dua jenis dadah itu, lapor akhbar Jakarta Globe, kelmarin.
“Putri tidak akan dibebaskan daripada tahanan.
“Tidak ada pengecualian kerana kami melayannya sama seperti tahanan lain,” kata ketua polis narkotik Jakarta, Anjan Pramuka Putra.
Gadis itu boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga lima tahun, katanya. – AF
utusan

Israel bedil Gaza City, 8 maut



rakan-rakan Mohammed Abed, seorang pejuang Palestin yang terbunuh dalam serangan tentera udara israel mengangkat mayatnya untuk dihantar ke hospital al-Shifa di Gaza City, kelmarin. - AFP


GAZA CITY 23 Mac - Lapan penduduk Gaza termasuk dua remaja dan empat pejuang Palestin maut ketika ketegangan di sempadan wilayah Palestin itu dengan Israel terus memuncak selepas serangan udara dan roket dilancarkan sejak beberapa hari lalu.
Mangsa maut dalam dua serangan berasingan Israel di bahagian timur Gaza City, semalam sehari selepas berlaku pertumpahan darah dan keganasan.
Dua yang terkorban berumur 11 dan 16 tahun, sementara empat lagi merupakan anggota kumpulan pejuang Jihad Islam, lapor sumber pejuang Palestin dan perubatan.
Kumpulan perubatan berkata, dalam kejadian pertama, empat maut apabila tembakan meriam Israel mengenai sebuah rumah di Shejaiya.
Jurucakap pasukan kecemasan, Adham Abu Selmiya berkata, rejim Zionis melancarkan serangan tersebut ke atas sekumpulan remaja yang sedang bermain bola sepak.
Mereka yang maut dikenal pasti sebagai Mohammed al-Helu, 11; Yasser Ahad al-Helu, 16; Yasser Hamad al-Helu, 50; dan Mohammed Harara, 20 tahun.
Selmiya berkata, seramai 12 yang lain turut cedera dalam kejadian itu dengan empat daripadanya berada dalam keadaan kritikal.
Beberapa jam kemudian, empat anggota pejuang Palestin terbunuh dalam satu serangan udara Israel di kawasan kediaman di Zeitun yang terletak berhampiran.
Mereka dikenali sebagai Mohammed Abed, Saada Heles, Adham al-Harazine dan Mohammed Atya al-Harazine. - AFP
utusan

Gaddafi selar kuasa Barat



Seorang rakyat Libya memegang poster Gaddafi di Pangkalan Tentera Laut Libya yang ranap dalam serangan Tentera Bersekutu di timur Tripoli, kelmarin. - REUTERS


TRIPOLI 23 Mac - Kuasa Barat yang membedil sistem pertahanan Libya akhirnya 'akan dimasukkan ke dalam tong sampah sejarah', kata Muammar Gaddafi, ketika askarnya menyekat kemaraan pemberontak, meskipun diserang dari udara selama empat malam, berturut-turut.
Serangan udara kuasa Barat telah berjaya melumpuhkan tentera udara Libya dan memaksa askar dan kereta kebal tentera Libya berundur dari pinggir kubu pemberontak di Benghazi, tetapi pemberontak yang tidak tersusun dan kekurangan senjata gagal memanfaatkan bantuan udara itu dan terus terperangkap.
Tentera pemberontak belum berupaya mengusir askar Gaddafi dari persimpangan utama bandar Ajdabiyah di timur, manakala kereta kebal tentera kerajaan terus membedil Misrata, bandar terbesar terakhir yang cuba dipertahankan oleh pemberontak.
Terdapat kemungkinan besar berlaku kebuntuan di darat, kata penganalisis.
Sekurang-kurangnya dua letupan kedengaran di Tripoli sebelum subuh hari ini, sementara deruan sebuah jet pejuang kedengaran di ruang udara disusuli tembakan bertalu-talu meriam antipesawat.
"Kita tidak akan menyerah kalah, kita akan menewaskan mereka dengan apa cara sekalipun kerana kita bersedia untuk berperang dalam jangka pendek atau jangka panjang....kita akan mencapai kemenangan akhirnya," kata Gaddafi kepada penyokong yang membentuk perisai manusia di pekarangan kediamannya di Tripoli.
Beliau menyifatkan serangan itu sebagai keganasan yang dilancarkan kumpulan fasis yang kesudahannya akan 'dimasukkan ke dalam tong sampah sejarah'.
Kerajaan Libya menafikan tenteranya melancarkan serangan, sebaliknya mendakwa mereka hanya mempertahankan diri apabila diserang, tetapi pemberontak dan penduduk berkata, kereta kebal rejim meneruskan bedilan ke atas Misrata di barat, menyebabkan 40 orang terbunuh kelmarin, di samping menyerang pekan kecil Zintan di sempadan Tunisia.
Kemaraan pemberontak di timur juga tersekat di pinggir Ajdabiyah sejak baki kereta kebal Gaddafi berkawal di sana selepas barisan kenderaan berperisai tentera beliau yang sedang mara ke Benghazi musnah dalam serangan udara tentera Perancis lewat Sabtu lalu.
Pemberontak yang berlindung di balik bukit pasir daripada tembakan meriam kereta kebal dari bandar itu tidak mempunyai senjata berat, kepimpinan, komunikasi atau pelan.
Negara-negara Barat keberatan menempatkan tentera darat yang dapat memberi panduan melancarkan serangan udara dengan lebih tepat bagi membantu pemberontak menawan Tripoli.
Sementara itu, penganalisis pertahanan berkata, kuasa Barat dijangka menanggung kos melebihi AS$1 bilion (RM3 bilion) untuk menguatkuasakan zon larangan terbang di Libya jika operasi itu berlarutan selama beberapa bulan. - Reuters
utusan

RM377.8j caruman KWSP tak dituntut



KUALA LUMPUR – Sebanyak RM377.8 juta caruman dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak dituntut sehingga Disember tahun lepas membabitkan seramai 188,733 ahli berumur 75 tahun ke atas.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, berdasarkan rekod KWSP, hampir keseluruhan maklumat tentang pencarum terbabit adalah tidak lengkap memandangkan rekod pencarum yang terdahulu tidak mempunyai maklumat negeri.
Katanya, daripada jumlah pencarum itu, hanya 1,960 boleh dikenal pasti mengikut negeri.
Negeri-negeri itu ialah Johor 124 kes, Kedah (101), Kelantan (26), Melaka (33), Negeri Sembilan (43), Pahang (76), Perak (141), Pulau Pinang (148), Sabah (236), Sarawak (371), Selangor (340), Terengganu (41) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (280).
“Jumlah keseluruhan caruman bagi negeri-negeri yang dikenal pasti itu ialah sebanyak RM195.9 juta manakala selebihnya sebanyak RM358.2 juta adalah jumlah caruman daripada 186,773 kes yang tiada maklumat negeri,” katanya menjawab soalan Datuk Dr. Marcus Mojigoh (BN-Putatan) di Dewan Rakyat di sini semalam.

kosmo

Pilihan raya Sarawak 16 April




ABDUL AZIZ menunjukkan peta persempadanan pilihan raya bagi kawasan Dewan Undangan Negeri Sarawak pada sidang akhbar di Kuching semalam.


KUCHING – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam menetapkan 6 April sebagai tarikh penamaan calon dan 16 April sebagai tarikh pengundian bagi pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-10.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng pada 21 Mac lalu berhubung pembubaran DUN Sarawak.
“Dengan ini kita mengumumkan 23 Mac tarikh keluar writ iaitu hari ini (semalam), 25 Mac tarikh notis pilihan raya, 6 April hari penamaan calon dan 16 April tarikh pengundian,” katanya pada sidang media di sini semalam.
Beliau berkata, SPR akan menggunakan daftar pemilih suku pertama, kedua, ketiga dan empat tahun 2010 yang diwartakan pada 25 Mac iaitu membabitkan seramai 979,796 pengundi iaitu 961,433 pemilih biasa dan 18,363 pemilih pos.
Katanya, pengundi boleh membuat semakan maklumat pusat mengundi dan saluran mengundi mereka melalui laman web rasmi SPR, melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) atau menghubungi terus ke pejabat SPR.
kosmo