PADANG JAWA – Rata-rata pemilik kenderaan yang ingin menjalani pemeriksaan kenderaan di Puspakom bengang apabila mereka bukan sahaja terpaksa menunggu masa yang lama hingga lapan jam, malah terpaksa menahan lapar dan dahaga dengan berada dalam kenderaan masing-masing.
Lebih 300 kenderaan seperti lori dan teksi bersusun di sepanjang jalan masuk ke Puspakom sehingga menyebabkan Jalan Padang Jawa sesak teruk, Isnin lalu.
Pengadu yang juga pemilik lori 1 tan, Yap Kim Huat mendakwa, kebanyakan pemandu kenderaan memilih Isnin untuk menjalani pemeriksaan.
“Akibatnya kenderaan terpaksa bersusun menunggu giliran dan bagi menghindar perkara ini, Puspakom harus mengehadkan bilangan kenderaan.
“Malah pemilik kenderaan juga diminta tidak tertumpu pada Isnin sahaja selain tidak mengambil tarikh akhir untuk menjalankan pemeriksaan,” katanya.
Katanya, pemilik kenderaan terpaksa berada dalam kenderaan masing-masing terutamanya yang datang seorang diri bagi mengelak kenderaan mereka dipintas kenderaan lain.
“Saya tiba di Puspakom Padang Jawa jam 1 tengah hari dan saya sangka dua tiga jam kemudian kenderaan saya dapat jalani pemeriksaan.
“Bagaimanapun saya kesal kerana sehingga jam 9.15 malam barulah kenderaan saya berjaya diperiksa selama 20 minit,” katanya.
Menurutnya, dalam masa yang sama dia dan pemilik kenderaan terpaksa menahan lapar dan dahaga kerana tiada sebarang kedai yang menjual makanan di situ.
“Malah, untuk membuang air juga sukar kerana tiada tandas disediakan di luar Puspakom. Oleh itu saya minta Puspakom menyediakan kemudahan ini bagi orang awam terutamanya ketika berlaku situasi seperti ini.
“Saya dimaklumkan tandas ada disediakan, namun kedudukannya agak jauh. Ia mengambil masa kita untuk ke situ tambahan lagi kita khuatir kenderaan yang berada dalam susunan akan bertindak memintas antara satu sama lain,” dakwanya.
Dalam pada itu, Kim Huat berkata, pihaknya meminta Puspakom memasang lampu di kawasan syarikat supaya pemandu kenderaan tidak berada dalam keadaan gelap sementara menunggu giliran diperiksa terutamanya pada waktu malam.
Dalam pada itu, Sinar Harian memaklumkan perkara ini kepada wakil Puspakom dan katanya, Puspakom akan menyiasat dan meneliti perkara ini terlebih dahulu.