Donetsk: Tentera Ukraine semalam meneruskan serangan ke atas kumpulan pemisah pro-Russia di timur negara itu untuk hari kedua dan bertekad untuk melakukan operasi ketenteraan sehingga semua ‘pengganas’ ditewaskan.
Datuk Bandar Donetsk berkata, pertempuran yang tercetus sejak kelmarin itu menyebabkan 40 orang mati, termasuk dua orang awam.
‘Perdana menteri’ kumpulan pemberontak Alexander Borodai berkata, lebih 50 orang anggotanya terbunuh.
Sehubungan itu, Presiden Russia Vladimir Putin menggesa Kiev menamatkan operasi ketenteraan di timur Ukraine dan mendesak rundingan diadakan antara pihak berkuasa negara itu dengan kumpulan pemisah terbabit.
Pertempuran untuk menawan semula hab pengangkutan utama di kawasan perindustrian Ukraine itu meletus beberapa jam selepas presiden baru Ukraine, Petro Poroshenko berikrar untuk bertindak tegas terhadap pemisah pro Russia yang dianggapnya ‘pengganas.’ Menteri Dalam Negeri Ukraine Arsen Avakov berkata, lapangan terbang di Donetsk kini berada di bawah penguasaan tentera Ukraine sepenuhnya.
“Musuh mengalami kekalahan besar.
Tidak ada tentera kita yang terbunuh,” katanya dalam satu kenyataan.
Serangan kelmarin berlarutan sepanjang malam dan jalan menuju ke lapangan terbang itu menyaksikan kesan pertempuran serta bunyi tembakan masih kedengaran sehingga pagi semalam.
Arsen Avakov memberitahu di Kiev bahawa lapangan terbang itu berjaya dikuasai semula.
Timbalan Perdana Menteri Ukraine Vitaly Yarema berkata, operasi berkenaan akan diteruskan sehingga tiada lagi pengganas di negara itu.
Jurucakap kumpulan pemberontak Dima Gau berkata, angka kematian sebenar pihaknya masih belum dapat dipastikan.
“Antara 29 atau 30 orang terbunuh di pihak kami, tetapi jumlah sebenar belum dipastikan,” katanya.
Seorang anggota pemisah, Leonid Baranov berkata, 100 orang pemisah mungkin terbunuh banyak mayat yang masih belum ditemui.
“Memandangkan tentera Ukraine mengawal lapangan terbang dan pertempuran masih berlaku, kami tidak dapat mengenal pasti jumlah sebenar mangsa,” katanya.
Menurutnya, beratus-ratus orang turut cedera dalam pertempuran itu.- Reuters
MAYAT anggota kumpulan pemisah pro-Russia yang terbunuh dalam pertempuran dengan tentera Ukraine di sekitar Lapangan Terbang Donetsk dikumpulkan di sebuah rumah mayat di bandar itu, semalam.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/28