Friday, December 2, 2011

Guan Eng dakwa Najib gagal atasi rasuah


Lim Guan Eng

Oleh : ZULAIKHA ZULKIFLI
 SHAH ALAM - Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak gagal mencapai matlamat anti-rasuah dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP) apabila Malaysia menduduki tangga ke-60 daripada 183 negara berbanding tangga ke-56 daripada 178 negara tahun lalu seperti yang dilaporkan Laporan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2011 oleh Transparency Internasional Malaysia (TI-M).

Beliau berkata, CPI negara telah menurun tiga tahun berturut-turut iaitu 4.3 bagi tahun ini berbanding 4.4 pada tahun lepas sedangkan status ekonomi pendapatan tinggi menjelang tahun 2020 dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP) juga gagal.

"Pada tahun 2003 apabila bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih pucuk pimpinan, Malaysia berada di tangga ke-37 dalam kaji selidik tersebut yang merangkumi 146 negara," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, kaji selidik TI-M terhadap 1,000 orang responden juga mendapati bahawa pihak polis dan parti-parti politik dilihat sebagai institusi yang paling korup dalam negara malah kebanyakan rakyat juga percaya tahap rasuah tidak akan berubah dalam masa tiga tahun akan datang.

Sebelum ini, Timbalan Presiden TI-M, Mohammad Ali Hassan memberitahu, CPI Malaysia terus merosot kerana únsur-unsur kerajaan'yang memudahkan 'rasuah besar' masih lagi tersebar luas.

Katanya, walaupun kejatuhan itu hanya membabitkan 0.1 mata tahun ini, namun ia masih membimbangkan kerana kerajaan telah berusaha memulakan beberapa usaha-usaha anti-rasuah.

"Mengapa ia harus jatuh? Kerajaan telah menganjurkan beberapa program (anti-rasuah). Persepsinya adalah bahawa program itu tidak berkesan," katanya.

Dalam pada itu, Guan Eng berkata, dakwaan yang begitu berat oleh TI-M jelas menunjukan bahawa serangan ganas Umno dalam Perhimpunan Agungnya yang kini sedang berlangsung terhadap DAP hanya berkisar pada perkauman, seks, fitnah dan bahasa kotor.

Bagaimanapun, jelas Guan Eng, Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang mendedahkan sebanyak RM3.7 bilion telah dibelanja lebih oleh jabatan-jabatan kerajaan, skandal lembu dan kondo yang melibatkan keluarga seorang Menteri Persekutuan tidak pula dikritik.

"Rakyat Malaysia menginginkan integriti dan bukan rasuah, tender terbuka dan bukan rundingan terus, tiada kenaikan tol dan bukan kenaikan tol yang membawa manfaat kepada syarikat-syarikat pengendali tol, kebebasan dan bukan penindasan, serta keluhuran undang-undang dan bukan ketidakadilan. Harapan untuk membasmi rasuah tidak akan tercapai selagi kita tidak mengambil langkah untuk menanganinya," ujarnya.

Justeru, Lim berkata, rasuah akan menjadi isu utama dalam pilihan raya umum yang akan datang, di mana rakyat boleh memilih sama ada untuk menyokong BN yang telah mencuri masa depan selama 54 tahun atau untuk menolak BN untuk mencegah masa depan anak-anak daripada dilenyapkan. Guan Eng dakwa Najib gagal atasi rasuah - Politik - Sinar Harian:

'via Blog this'

Bapa anak satu terlantar


Bapa anak satu terlantar

Oleh : WARTAWAN SINAR HARIAN
 JENGKA 16 - Seorang pe­muda, Khairul Azman Ismail, 28, yang terlibat dalam nahas ­jalan raya berdekatan Felda Jengka 14 pada 21 November lalu bertuah kerana menerima kunjungan Pesuruhjaya Pas Pahang, Tuan Ibrahim Tuan Man.

Dia terbabit dalam kemalangan selepas motosikal yang ditungganginya bertembung dengan sebuah kenderaan lain.

Akibat kejadian itu, Khairul Azman patah kaki kanan selain retak di betis sebelah kiri dan terpaksa menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHas) selama lapan hari, tetapi kini sudah dibenarkan pulang ke rumahnya di Jengka 16.

Bagaimanapun, anak peneroka Jengka 16 dan bapa kepada seorang anak ini bersyukur kerana terselamat dalam kemalangan itu walaupun mengalami kecederaan.

“Saya rasa bertuah kerana diziarahi Datuk Tuan Man. Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada ahli rombongan yang sudi melawat saya dan ahli keluarga,” katanya kepada Sinar Harian.

Turut hadir dalam program ziarah itu, Ketua Pemuda Pas Pahang, Shahril Azman Abdul Halim dan beberapa Jawatankuasa Pemuda Pas Kawasan Kuala Krau.

Sementara itu, Tuan Ibrahim yang merupakan Yang Dipertua Pas Kawasan Kuala Krau berkata, beliau bersimpati dengan kejadian yang menimpa mangsa.

“Kita berharap saudara Khairul Azman segera sembuh dan dapat menjalani kehidupan seperti sediakala serta dapat bekerja semula bagi menyara keluarganya,” katanya. Bapa anak satu terlantar - Pahang - Sinar Harian:

'via Blog this'

NFC: Siasatan masih jalan, kata Hishammuddin

Oleh Clara Chooi
December 02, 2011

KUALA LUMPUR, 2 Dis ― Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata Putrajaya belum menutup siasatan berkenaan projek ternakan lembu Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) yang dikaitkan dengan keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil meskipun polis mengatakan tiada elemen pecah amanah (CBT) setakat ini.

“Ya, hanya disebabkan tiada elemen CBT, ia tidak bermakna kes sudah berakhir,” kata beliau (gambar)kepada pemberita di sini hari ini.

Bagaimanapun Menteri Dalam Negeri enggan mengulas lanjut tetapi mengesahkan siasatan masih dijalankan.“Saya fikir tidak tanggungjawab bagi saya untuk membuat komen berdasarkan itu,” kata beliau pada sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan Kelab Umno Luar Negara di sisi Perhimpunan Agung Tahunan Umno di sini hari ini.

Dalam kenyataan pagi tadi, Jingga 13 amat kesal dengan kenyataan polis semalam bahawa siasatan awal mendapati tiada unsur pecah amanah jenayah dalam kes melibatkan skandal NFC.

Ia juga mendakwa wujud konspirasi mahu menyelamatkan Shahrizat yang juga Ketua Wanita Umno dan anggota Kabinet, dan keluarganya.

Pertubuhan tidak formal itu membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berkenaan pembelian kondominium mewah di Bangsar menggunakan dana projek itu dan kemudian kes itu dipindahkan kepada polis.

Ketua Koodinator Jingga 13 Fariz Musa berkata, kenyataan dibuat oleh Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar semalam kelihatan tergesa-gesa dan terlalu ‘pantas’ sedangkan siasatan masih di peringkat awal.

“Kenyataan Datuk Seri Khalid Abu Bakar ternyata bertujuan untuk membersihkan Datuk Seri Sharizat Jalil dan ahli keluarganya dengan skandal yang melibatkan wang rakyat sejumlah RM13.8 juta yang secara jelas menyimpang daripada matlamat asal pelaksanaan projek lembu fidlot kebangsaan yang bukan sahaja gagal terhadap objektif asal, malah diseleweng dengan membeli kondominium mewah,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Pagi semalam, Khalid berkata tiada unsur pecah amanah atau penyelewengan dalam isu dana NFC dan pembelian sebuah kondominium mewah di ibu negara.

Beliau berkata, siasatan masih dijalankan sambil memberi jaminan proses itu akan dilakukan secara telus tanpa melindungi mana-mana pihak.

“Siasatan polis setakat ini mendapati tiada elemen pecah amanah. Namun, kita masih menyiasat secara keseluruhannya kes ini termasuk ke mana wang atau dana NFC dibelanjakan.

“Kita sudah panggil 74 individu untuk diambil keterangan setakat ini,” katanya.

Main - Bahasa - NFC: Siasatan masih jalan, kata Hishammuddin @ Fri Dec 02 2011:

'via Blog this'

“Kami dah lali dengan tuduhan dan tohmahan Umno,” kata Salahuddin Ayub

December 02, 2011

KUALA LUMPUR, 2 Dis ― Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub berkata Umno boleh terus melemparkan pelbagai tuduhan kepada parti Islam itu dan rakan komponen dalam Pakatan Rakyat sambil menyifatkan ia tidak memberi sebarang kesan terhadap parti perikatan itu.

Menurut Salahuddin(gambar), PAS-PKR-DAP akan terus bergerak ke hadapan tanpa mempedulikan segala tuduhan dan tohmahan yang dilemparkan Umno.

“Apa yang membanggakan saya adalah perkara-perkara yang memberangsangkan untuk parti pembangkang iaitu PAS, PKR dan DAP...ini membuktikan Pakatan Rakyat benar-benar menjadi alternatif kepada rakyat dan saingan yang begitu hebat sekali bagi Umno.

“Jadi kita gembira dengan perkembangan ini dan kita akan terus bergerak ke hadapan, merangka strategi untuk kita lebih menawan hati rakyat...saya tidak peduli apa tuduhan mereka tapi apa yang penting kita kini berada di persada tanah air yang mana Umno begitu gerun untuk menjawab setiap isu yang kita bongkarkan,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Kata Ahli Parlimen Kubang Kerian ini, Pakatan Rakyat telah berjaya menyaingi Umno dalam pelbagai aspek walaupun terdiri daripada tiga parti yang berbeza dasar perjuangan.

“Bila Pakatan Rakyat bergerak ke arah lebih dinamik ia menunjukkan kita lebih berbilang kaum, menunjukkan kita lebih toleransi dalam mendepani isu-isu masyarakat.

“...dan sebenarnya kita sudah masuk dalam gelanggang Umno dan gerakan kita ini mengancam Umno,” katanya.

Barisan kepimpinan dan perwakilan Umno menjadikan Perhimpunan Agung Tahunan Umno 2011 sebagai platform untuk mengecam Pakatan Rakyat habis-habisan.

Bagi PAS, Salahuddin berkata tohmahan dan tuduhan telah diterima parti itu lebih 50 tahun dan ia tidak akan merobohkan kepercayaan rakyat.

“Kita sudah lali, bagi PAS kita dah lalui lebih 50 tahun...kita sudah biasa,” katanya.

Main - Bahasa - “Kami dah lali dengan tuduhan dan tohmahan Umno,” kata Salahuddin Ayub @ Fri Dec 02 2011:

'via Blog this'

NFC: Jingga 13 kecewa, dakwa konspirasi ‘bersihkan’ Shahrizat, keluarga

December 02, 2011

KUALA LUMPUR, 2 Dis — Jingga 13 amat kesal dengan kenyataan polis semalam bahawa siasatan awal mendapati tiada unsur pecah amanah jenayah dalam kes melibatkan skandal Projek Fidlot Kebangsaan (NFC), yang dikaitkan dengan keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Ia juga mendakwa wujud konspirasi mahu menyelamatkan Shahrizat yang juga Ketua Wanita Umno dan anggota Kabinet, dan keluarganya.

Pertubuhan tidak formal itu membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berkenaan pembelian kondominium mewah di Bangsar menggunakan dana projek itu dan kemudian kes itu dipindahkan kepada polis.

Ketua Koodinator Jingga 13 Fariz Musa (gambar) berkata, kenyataan dibuat oleh Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar semalam kelihatan tergesa-gesa dan terlalu ‘pantas’ sedangkan siasatan masih di peringkat awal.

“Kenyataan Datuk Seri Khalid Abu Bakar ternyata bertujuan untuk membersihkan Datuk Seri Sharizat Jalil dan ahli keluarganya dengan skandal yang melibatkan wang rakyat sejumlah RM13.8 juta yang secara jelas menyimpang daripada matlamat asal pelaksanaan projek lembu fidlot kebangsaan yang bukan sahaja gagal terhadap objektif asal, malah diseleweng dengan membeli kondominium mewah,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Pagi semalam, Khalid berkata tiada unsur pecah amanah atau penyelewengan dalam isu dana NFC dan pembelian sebuah kondominium mewah di ibu negara.

Beliau berkata, siasatan masih dijalankan sambil memberi jaminan proses itu akan dilakukan secara telus tanpa melindungi mana-mana pihak.

“Siasatan polis setakat ini mendapati tiada elemen pecah amanah. Namun, kita masih menyiasat secara keseluruhannya kes ini termasuk ke mana wang atau dana NFC dibelanjakan.

“Kita sudah panggil 74 individu untuk diambil keterangan setakat ini,” katanya.

Fariz yang juga pemimpin PKR berkata, kenyataan itu bermakna ia menjadi satu teladan dan rujukan kepada sesiapapun bahawa membeli apa jua dengan menggunakan wang rakyat bukan berasaskan matlamat dan tujuan asal sesebuah projek bukan satu kesalahan dan pecah amanah jenayah tetapi ianya adalah “halal”.

“Jingga 13 telah menjangkakan lebih awal lagi apabila berlaku ‘tarik tali’ dalam aduan yang telah dibuat oleh Jingga 13 pada 10 November kepada pihak SPRM di mana pihak SPRM telah menyerahkan kes tersebut kepada pihak polis.

“Malah sewaktu pihak Jingga 13 dipanggil untuk diambil keterangan dan soal siasat oleh pegawai penyiasat dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial PDRM , mereka menyatakan tiada tercatat pembelian kondominium dalam akaun NFC,” kata beliau.

Sedangkan katanya, Pengerusi Eksekutif NFC Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail yang merupakan suami Shahrizat telah mengakui bahawa membeli dua unit kondominium One Menerung RM13.8 juta dan Jingga 13 juga turut membuat aduan kepada pihak polis pada 22 November lalu dengan merujuk kepada kenyataan oleh beliau.

“Satu pencanggahan yang ternyata membuktikan ada usaha dibuat bagi tujuan ‘menyelamatkan’ Datuk Seri Sharizat Jalil dan ahli keluarganya.

“Jingga 13 percaya bahawa ada satu konspirasi yang terancang dilaksanakan bagi tujuan untuk membersihkan imej, kredibiliti dan integriti Datuk Seri Sharizat Jalil yang juga merupakan Ketua Wanita Umno dalam suasana persidangan agung Umno yang sedang berlangsung sekarang dengan keluarnya kenyataan oleh Timbalan Ketua Polis Negara tersebut,” katanya.

Oleh itu soal beliau, kenapa terlalu awal kenyataan tersebut dilakukan sedangkan masih belum “di akhir siasatan?”

“Jingga 13 yakin kenyataan Datuk Seri Khalid Abu Bakar, Timbalan Ketua Polis Negara tersebut akan dipandang sinis dan prejudis oleh seluruh rakyat seolah-olah pihak polis yang merupakan badan penguasa undang-undang yang akan bertindak untuk ‘menyelamat dan membersihkan’ menteri dan kroni mereka dari didakwa dan dihadap ke muka pengadilan demi survival parti pemerintah Umno,” katanya lagi.

Main - Bahasa - NFC: Jingga 13 kecewa, dakwa konspirasi ‘bersihkan’ Shahrizat, keluarga @ Fri Dec 02 2011:

'via Blog this'

Skandal NFC masih hantui Wanita, dakwa Shahrizat liabiliti Umno

December 02, 2011

KUALA LUMPUR, 2 Dis — Apabila Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menutup persidangan agung tahunan Wanita Umno kelmarin, kelihatan beliau berjaya mengetepikan kesalahan berkenaan kontroversi projek ternakan lembu Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) daripada diletakkan pada bahunya.

Bagaimanapun tepukan berdiri menyambut pendirian beliau ketika itu nampaknya tidak berkekalan. Kini wujud sentimen senyap yang sebaliknya, berkenaan dengan isu berkenaan yang dikaitkan dengan keluarga anggota Kabinet ini.

Bercakap kepada The Malaysian Insider selepas persidangan mereka, beberapa pemimpin Wanita Umno mengakui bahawa Shahrizat (gambar) sudah menjadi “liabiliti” kepada parti tersebut dan beliau keluar sebelum skandal NFC “menghancurkan kami semua.”

Bagaimanapun menurut mereka, kebanyakan perwakilan akan merasa “amat takut” untuk bercakap mengenai ketua mereka bimbang boleh hilang jawatan dalam parti.

“Beliau (Shahrizat) menggunakan Wanita Umno untuk melindungi beliau tetapi isu (NFC) bukan isu Wanita (Umno) tetapi adalah bersifat peribadi melibatkan beliau dan keluarganya.

“Sebagai ahli Wanita Umno, saya sangat kecewa. Ramai daripada kami kecewa. Mengapa mengheret kami ke dalam isu ini?” kata seorang perwakilan Wanita Umno dari Perak.

Perwakilan itu menambah beliau sebenarnya terus duduk apabila lautan perwakilan bangun memberi tempukan kepada Shahrizat ketika berucap menutup persidangan.

Katanya, Shahrizat sepatutnya menjelaskan isu berkenaan kepada perwakilan berbanding memikat sokongan dengan hanya mendakwa skandal itu adalah taktik pembangkang mahu melemahkan Wanita Umno.

“Jangan lupa, orang yang pertama mendedahkan isu mengenai kelemahan NFC ialah Ketua Audit Negara, bukannya pembangkang. Jangan mengapa menyerang pembangkang untuk menutup kelemahan kita sendiri,” kata beliau lagi.

Ketika berucap merasmikan persidangan tahunan pergerakannya kelmarin, Shahrizat berkata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail juga harus meletakkan jawatan sebagai presiden PKR ekoran tuduhan jenayah dihadapi suaminya jika beliau dipaksa berundur berhubung isu NFC.

Shahrizat yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ini mencabar Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin agar mendesak peletakan jawatan oleh Dr Wan Azizah.

Shahrizat membuat cabaran itu ketika menyampaikan ucapan dasar pada Persidangan Agung Tahunan Wanita di sini hari ini.

“Beliau (Zuraida) minta saya letak jawatan sebab suami saya terlibat dalam NFC. Beliau buat kerja beliau dan saya buat kerja saya. Saya tiada kaitan dengan itu. Mengapa minta saya letak jawatan?” kata Shahrizat di hadapan 944 perwakilan Pergerakan Wanita. “Jika itu polisi dan prinsip beliau, maka saya mencabar ketua Wanita PKR agar minta presiden PKR letak jawatan,” katanya lagi.

“Hari ini saya mencabar semua (ahli Wanita PKR) agar minta peletakan jawatan Wan Azizah sebab suami beliau (Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim), yang telah dihukum dan didakwa,” katanya lagi.

Jelas Shahrizat, cabaran Zuraida itu umpama “gajah di depan hidung tak nampak, kuman di seberang laut nampak.”

Shahrizat dalam ucapan dasarnya turut menyelar Zuraida dan mengingatkannya agar tidak mengambil kesempatan terhadap Wanita Umno.

“Tetapi kebanyakan ahli Wanita Umno tidak tahu isu berkenaan NFC. Itu sebabnya mereka bangun menyokong beliau. Mereka tidak tahu isu. Wanita Umno, mereka adalah begitu,” kata perwakilan dari Perak.

Pemimpin kanan Wanita Umno ini juga menasihatkan The Malaysian Insider agar bertemu dengan perwakilan secara peribadi dan kebanyakannya, menurut beliau akan bersetuju bahawa Shahrizat perlu memikul tanggungjawab dalam isu NFC.

“Tolonglah, mereka faham. Dia suami kamu. Apa yang anda cakap, ia tiada kaitan dengan anda? Jika anda bukan menteri, adakah anda rasa boleh dapat projek ini?” katanya.

Apabila ditanya sama ada Shahrizat harus dianggap sebagai liabiliti kepada Umno sekarang, kedua-dua pemimpin ini sama-sama bersetuju.

“Sudah tentu. Ada yang sudah memberitahu perdana menteri, jangan adakan pilihan raya selepas Tahun Baru Cina sebab isu NFC ini tidak akan mati. Ia tidak akan dilupakan dalam tempoh satu atau dua bulan ini,” katanya lagi.

“Ada yang terlalu risau,” katanya.

Main - Bahasa - Skandal NFC masih hantui Wanita, dakwa Shahrizat liabiliti Umno @ Fri Dec 02 2011:

'via Blog this'

Guru Kafa Pulau Pinang dapat lagi RM300

Mohd Sabri Said

SEBERANG JAYA, 2 Dis: Seramai 1,394 orang guru kelas agama dan fardu ain (Kafa) seluruh Pulau Pinang senyum lebar apabila mendapat lagi imbuhan RM300 seorang daripada Kerajaan Negeri.

Pemberian itu sekaligus melengkapkan janji bonus RM600 kepada guru-guru Kafa seperti yang dijanji Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang diterajui Pakatan Rakyat.

Ianya juga sebagai tanda penghargaan kepada tenaga dan pengorbanan warga pendidik yang yang telah mendidik anak-anak bangsa untuk menjadi insan yang berguna pada negara.

Bayaran awal RM300 sebelum ini dibayar sebelum menjelang Aidil Fitri lalu.

Untuk tujuan memberikan bonus itu, kerajaan negeri telah membelanjakan keseluruhan melebihi RM500 ribu.

Ramai guru mengucapkan terima kasih serta meluahkan rasa gembira kepada Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Kata mereka, walaupun beliau bukan Islam namun tidak jemu-jemu memastikan para guru Kafa diberikan perhatian yang sewajarnya.

Semasa ditemuiada yang menggangap pemberian itu satu petanda bahawa Kerajaan Pakatan Rakyat tetap mengutamakan pendidikan Islam berbanding di era Barisan Nasional (BN) yang menganak tirikan persekolahan yang berteraskan Islam.

Seorang guru Kafa dari Sungai Dua, Tasek Gelugor, Puan Fatimah Ismail memberitahu langkah yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri sekarang amat sesuai tambahan lagi di waktu penghujung tahun.

"Apa yang Kerajaan Negeri berikan kami ucapkan terima kasih yang tidak terhingga. Banyak kami boleh gunakan terutamanya di penghujung tahun," ujarnya.

Guru Kafa Pulau Pinang dapat lagi RM300:

'via Blog this'

Anak sokong Pak Sam saman Isa Samad



Aziz Muda

 KUALA LUMPUR, 2 Dis: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) menyokong penuh langkah yang akan diambil oleh Ketua Peneroka, Shamsuddin Othman untuk menyaman Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad, sekiranya enggan memenuhi tuntutan warga Felda.

Menerusi perbincangan yang diadakan, Shamsuddin yang juga Ahli Lembaga Pengarah Felda tetap bersama-sama dengan warga Felda lain di seluruh negara mendesak Isa tidak menandatangani perjanjian pajakan tanah dengan FeIda Global Ventures Holdings Sdn Bhd.

Pengerusi Anak Kebangsaan, Mazlan Aliman berkata, Shamsuddin yang telah mengetuai peneroka sejak 15 tahun lalu dan berada dalam barisan Ahli Lembaga Pengarah Felda sejak 5 tahun lalu telah memberi masa sehingga 15 hari kepada ISA untuk tunduk kepada desakan itu.

Menurutnya, namun Isa dalam ucapannya enggan tunduk dengan desakan itu dan ini pasti memaksa Shamsuddin mengambil tindakan saman di mahkamah terhadap pengerusi Felda yang penuh kontroversi itu.

Katanya, Shamsuddin yang mesra dengan panggilan Pak Sam ternyata telah mengambil tindakan yang tepat untuk kepentingan warga Felda dan Anak telah mengambil tindakan menyokong penuh dengan sebarang tindakannya untuk mendesak Isa tidak menandantangi atau membatalkan perjanjian itu.

"Sekiranya Isa tetap enggan tunduk dengan desakan itu, Anak turut menyokong penuh langkah yang akan diambil oleh Shamsuddin untuk menyaman Isa," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, di sini, hari ini.

Menurut beliau, sekiranya Isa terus berdegil dan enggan tunduk pada desakan itu, Anak turut merancang langkah tersendiri untuk mendedahkan perkara itu dan mendesak Isa, Perdana Menteri dan kerajaan-kerajaan negeri membatalkan perjanjian tersebut, termasuk dengan mengadakan road show di seluruh negara bermula 8 Disember ini di Pahang.

"Pada keesokan harinya pula, 9 Disember, Anak turut merancang untuk menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaacub bagi mendesak Kerajaan Pahang membatalkan perjanjian tersebut," katanya.

Sekiranya tuntutan itu juga tidak diberikan perhatian oleh Perdana Menteri, tegasnya, pihaknya akan turut menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 20 Disember ini di Putrajaya.

Menurut beliau, tindakan Isa untuk menandatangani perjanjian dengan FeIda Global Ventures Holdings Sdn Bhdberhubung perkara itu jelas satu pengkhianatan terhadap Felda dan warga Felda di seluruh negara.

Langkah tersebut, tambahnya, tidak ubah seperti menguburkan masa depan Felda serta para peneroka dan jelas mempunyai motif kepentingan peribadi dari pihak Isa dan kroni-kroni pemimpin Umno BN.

Katanya, menerusi perjanjian pajakan yang awalnya hanya 60 tahun dan kemudiannya bertambah kepada 99 tahun itu, tanah-tanah Felda ternyata akan semakin berkurangan kerana akan diambil alih dan dikuasai sepenuhnya secara beransur-ansur oleh FeIda Global Ventures Holdings Sdn Bhd.

"Tanah-tanah Felda yang terhakis itu sekitar 30 hingga 3,000 hektar bagi setiap kawasan Felda di seluruh negara. Sekiranya perjanjian pajakan itu dimetrai, jumlah tanah Felda Plantations yang terkorban berjumlah 360,000 ekar semuanya," jelasnya.

Kerugian-kerugian yang akan ditanggung oleh Felda sekiranya perjanjian itu dimetrai, menurut beliau, berupa kadar bayaran pajakan yang terlalu rendah hanya RM251 juta setahun, manakala bayaran itu pula adalah secara tetap atau bukan mengikut kadar semasa.

Katanya, dengan kadar bayaran serendah itu, Felda akan mengalami defisit RM1.3 juta sekiranya perjanjian itu dimetrai dan ia ternyata akan menjejaskan masa depan warga Felda yang berjumlah 1.6 juta di seluruh negara.

"Keperluan tahunan Felda tidak boleh kurang RM1,500 juta setahun, tetapi berdasarkan perkiraan yang dibuat dengan mengambil kira pendapatan dan perbelanjaan tahunan Felda pada tahun 2010, didapati Felda akan mengalami defisit sedemikian tinggi sekiranya perjanjian itu dimetrai," tegasnya.

Motif sebenarnya Isa menandatangai perjanjian itu, untuk membolehkan Felda disenaraikan di dalam Bursa Saham Malaysia menerusi Felda Global Vantures dan Koperasi Permodalan Felda (KPF) yang pasti akan mendatangkan keuntungan amat besar kepada beliau dan kroni-kroni pemimpin Umno BN.

"Untuk kepentingan peribadi, Isa dan koncu-koncunya ternyata sanggup mengorbankan kepentingan Felda dan seluruh warga peneroka. Inilah sikap para pemimpin Umno BN terhadap rakyat sekarang dan selama ini.

"Sikap buruk mereka itu ternyata masih mampu disembunyikan kepada sebahagian rakyat. Anak pasti akan mendedahkan semua itu menerusi road show kami nanti untuk membolehkan orang ramai tahu kejahatan pemimpin-pemimpin Umno BN terhadap rakyat selama ini, khususnya mengenai Felda yang kini menjadi semakin parah sejak berada di bawah Isa," ujar beliau.

Turut hadir pada sidang media itu, Timbalan Presiden Anak Kebangsaan, Aris Fezul Ismail dan bekas Naib Presiden Felcra, Datuk Ramli Buyung. Anak sokong Pak Sam saman Isa Samad:

'via Blog this'

Lagi MT sedia berundur

Oleh : MOHD FAZLI ZAINUL ABIDIN

KUALA LUMPUR - Kemenangan Umno dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) adalah lebih utama daripada berebut mendapatkan ruang untuk bertanding di mana-mana kerusi yang dipertandingkan.

Pimpinan Umno sendiri perlu akui ‘winable candidate’ adalah terasa utama kejayaan parti, ini adalah formula yang digariskan Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Walaupun bertaraf menteri, ahli majlis tertinggi atau ketua bahagian, ahli hendaklah akui sekiranya tidak mampu menggalas gelaran itu mereka sepatutnya menarik diri daripada meneruskan perjuangan.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kesedaran pimpinan Umno jelas kelihatan dimana beliau percaya lebih ramai sedia untuk mengosongkan kerusi yang disandangnya sekiranya diminta pucuk pimpinan.

“Saya sendiri akur dan percaya ramai pemimpin bersedia untuk melakukan perkara sama jika kami ini dikatakan tidak ada ciri-ciri ‘winable candidate’.

“Parti lebih diutamakan daripada perjuangan individu, ini ciri orang Umno sebagaimana disebut presiden dalam ucapan dasar beliau,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan tiga Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Hishammuddin yang bersedia menarik diri sekiranya mereka adalah calon yang dikatakan tidak mampu menang.

Sementara itu, seorang lagi Ahli Majlis tertinggi, Datuk Seri Noh Omar berkata, inilah pendekatan panglima perang, Khalid al Walid yang disebut presiden, apabila diarahkan Rasulullah berundur dan digantikan dengan orang muda, dia akur.

“Semangat ini yang diterapkan, sebab kita bekerja dan menerima arahan presiden, jika beliau fikirkan kita tidak layak, tidak boleh menang, kita besedia berundur.

“Apa yang penting semuanya adalah untuk kemenangan Umno dan Barisan Nasional, terutamanya di Selangor,” katanya. Lagi MT sedia berundur - Politik - Sinar Harian:

'via Blog this'

Generasi baru suka rasuah


Generasi baru suka rasuah

Oleh : Wartawan Sinar Harian
SUBANG JAYA – Agak mengejutkan, kajian dilakukan Transparensi Antara­bangsa-Malaysia (TI-M), me­nunjukkan generasi baru di Malaysia suka pada rasuah.
Timbalan Presidennya, Profesor Datuk Mohamad Ali Hasan berkata, kajian ke atas 1,000 rakyat Malaysia berumur 16 tahun ke atas menunjukkan hampir 70 peratus pelajar dan penuntut universiti sedia menerima rasuah.
“Saya bimbang dengan situasi ini. Mereka mengetahui ia adalah jenayah. Malah, masyarakat pun sedar mengenainya, namun yang menjadi persoalan, kecenderungan menerima rasuah tidak jadi kesalahan.
“Bagi mereka, rasuah adalah amalan biasa dan diperlukan dengan alasan. Ia adalah pelincir untuk memudahkan urusan seharian,” katanya di Forum Laporan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dan Barometer Rasuah (CB) di Subang, semalam.
Menurutnya, rakyat Malaysia dan pemerintah seolah-olah memandang ringan mengenai masalah ini sedangkan kedudukan negara ini telah meningkat empat tangga pada 2011 dari 56 pada tahun lalu.
“Jika dibuat perbandingan de­ngan 183 buah negara, CPI Singapura di tangga kelima selepas New Zealand, Denmark, Finland dan Sweden. manakala di Asean, negara itu berada tempat pertama dengan 9.2 mata sedangkan Malaysia di tempat ketiga, dengan 4.3 mata.
“Kita patut mencontohi negara tersebut. Jika tidak kepercayaan kepada agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhakis dan patut mengambil pengajaran daripada negara Islam seperti Syria, Pakistan, Iraq, Sudan, Nigeria dan Somalia berada di tangga ke-100 atas serta terakhir,” katanya.
Beliau berkata, 49 peratus masalah ini berpunca daripada kelemahan kerajaan, agensi penguat kuasa dan politik wang.
Malah, katanya, ‘ibu rasuah’ dilakukan ahli politik dan satu daripada sembilan menunjukkan mereka yang telah menerima rasuah terdiri daripada Ahli Parlimen serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).
“Kerajaan dan pembangkang jangan asyik cakap serta beretorik sepanjang masa hendak cegah rasuah.
“Mereka perlu bertindak mena-nganinya. Jika tidak kredibiliti mereka di mata rakyat akan terjejas. Malah, kerajaan yang ada sekarang, jika tidak mahu berubah, tidak mustahil akan diubah oleh rakyat,” katanya.
Untuk memastikan keberkesanan pencegahan, katanya, SPRM perlu bebas daripada pengaruh politik dan diletakkan di bawah Parlimen.
Generasi baru suka rasuah - Nasional - Sinar Harian:

'via Blog this'

Tiga naib presiden sedia tarik diri


Tiga naib presiden sedia tarik diri

Oleh : Wartawan Sinar Harian
KUALA LUMPUR - Siapa agaknya lagi dalam kalangan pemimpin Umno yang akan tampil untuk menyatakan kesediaan mereka tidak dicalonkan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) bagi memberi laluan kepada calon boleh menangf?
Setakat ini tiga naib presiden dan seorang ahli Majlis Tertinggi menyatakan kesediaan mereka menarik diri daripada bertanding dalam PRU itu jika mereka difikirkan tidak mampu menjadi calon yang boleh menang.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal membuat kenyataan tersebut pada sidang akhbar bersama selepas perasmian Per­him­pu-n­an Agung Umno 2011 oleh Presiden parti Datuk Seri Najib Razak, semalam.
Sementara Datuk Seri Idris Jusoh menyatakan kesediannya itu melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Ahmad Zahid.
Hishammuddin yang mewakili ketiga-tiga mereka berkata “tiada masalah” apabila ditanya adakah mereka sanggup melepaskan kerusi.
Katanya, ini selaras dengan ucapan dasar presiden parti yang antara lain menyebut anggota parti perlu menilai sama ada mereka dapat bantu parti memenangi PRU jika bertanding.
“Presiden parti tidak mahu meletakkan parang yang tajam untuk memenggal leher orang yang tidak lagi boleh memberikan kemenangan kepada parti, namun kita sendiri mesti lakukan muhasabah pada diri. Kalau kita tidak boleh memberikan kemenangan kepada parti lagi maka kita perlu mengundurkan diri,” katanya.
Tiga naib presiden sedia tarik diri - Politik - Sinar Harian:

'via Blog this'