Thursday, January 15, 2015

Mejar Zaidi ditawarkan pekerjaan di Pulau Pinang


Mejar Zaidi Ahmad bersama keluarga diluar mahkamah, baru-baru ini. - Foto Sinar Harian oleh SITI AZIELAH WAHI
Mejar Zaidi Ahmad bersama keluarga diluar mahkamah, baru-baru ini. - Foto Sinar Harian oleh SITI AZIELAH WAHI
SHAH ALAM - Pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Mejar Zaidi Ahmad yang dihukum buang kerja oleh Mahkamah Tentera baru-baru ini mungkin akan diambil bekerja di Pulau Pinang.

Memetik laporan sebuah portal berita hari ini, Timbalan Ketua Menteri I, Mohd Rashid Hasnon dikatakan, sedang mencari peluang pekerjaan bagi membantu bekas pegawai tentera itu.

Menurut Mohd Rashid, buat masa kini, pihaknya masih meninjau kekosongan pekerjaan di kawasan Bertam atau Tikam Batu.

"Dia adalah kawan rapat saya dan ini masanya untuk saya bantu rakan yang memerlukan.

"Kami akan mempertimbangkan untuk menawarkan dia kerja dalam NGO mungkin," katanya seperti yang dipetik menerusi laporan tersebut.

Mejar Zaidi dibuang kerja 12 Januari lalu selepas didapati bersalah terhadap dua tuduhan melibatkan  isu dakwat kekal semasa PRU13 dan menyiarkan maklumat surat pertukaran kerjanya, dua tahun lalu.

Zaidi mencetuskan kontroversi semasa pilihan raya umum lepas Mei 2013 apabila beliau memberitahu media bahawa dakwat kekal yang digunakan boleh dikeluarkan dengan mudah.

"Akan ada peluang untuk Zaidi di mana beliau secara aktif boleh menyumbang kepada rakyat," kata Rashid, sambil menambah bahawa pada masa ini tiada kekosongan jawatan di pejabatnya.

Hairan pesalah boleh ke luar negara


Muhammad Shafee Abdullah
Muhammad Shafee Abdullah
SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Walaupun tidak menyalahi undang-undang, pemergian Koperal Sirul Azhar Umar ke luar negara dianggap menghairankan apatah lagi dia tidak kembali ke Malaysia semasa Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atasnya, kelmarin kerana membunuh warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu, sembilan tahun lalu.

Peguam kanan, Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah berkata, kebiasaannya pendakwaan akan menggunakan Akta Mahkamah Kehakiman 1963 untuk menghalang pesalah melarikan diri ke luar negara.

Katanya, akta ini banyak digunakan, terutama dalam kes membabitkan tertuduh dari luar negara.

"Sungguh pun (jika tertuduh dari luar negara) menang kes itu (di Mahkamah Rayuan), pihak pendakwaan akan guna akta tersebut. Bagi saya, apabila Sirul Azhar telah pun dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan (pada Ogos lalu), dia tidak salah dan rayuannya diterima.

"Cuma saya hairan kenapa dia boleh ke luar negara dan Jabatan Imigresen tidak diberitahu yang dia tidak boleh keluar," katanya kepada Sinar Harian.

Namun beliau berpendapat pendakwa raya dalam kes ini mungkin tidak menyangka seorang rakyat Malaysia, yang juga bekas polis, tidak akan hadir ke Mahkamah Persekutuan mendengar keputusan kesnya.

“Saya tidak rasa ada udang sebalik batu (mengenai kehilangan Sirul Azhar). Ia hanya tanggapan pendakwa raya atau timbalan pendakwa raya bahawa Sirul Azhar akan datang ke mahkamah, tetapi tanggapan itu nampaknya tidak betul,” katanya.
Dalam masa sama, Muhammad Shafee menyifatkan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes itu sebagai berasas, baik dan adil.

“Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan dengan mendalam membuat kajian, mengkaji kes secara bebas, melihat keterangan secara bebas dan mengkaji balik keputusan bertulis hakim-hakim di semua lapisan mahkamah (sebelum membuat keputusan),” katanya.

Sementara itu, seorang bekas hakim yang enggan dikenali berkata, seseorang yang didapati tidak bersalah oleh mahkamah bebas untuk ke mana-mana, termasuk ke luar negara.

Katanya, sekatan hanya boleh dilakukan sekiranya mahkamah meletakkan syarat sedemikian.

“Apabila seseorang itu dibebaskan, maka dia bebas ke mana-mana saja, melainkan mahkamah letak syarat seperti tahan pasport.

“Namun, secara asasnya sekatan itu tidak boleh dilakukan kerana apabila individu itu dibebaskan, bermakna dia tidak bersalah,” katanya.

Katanya, kebebasan untuk ke luar negara itu tetap diberikan walaupun pendakwa raya dalam kes Sirul Azhar telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan Ogos lalu membebaskan Sirul Azhar.

Bagaimanapun, katanya, dia sepatutnya menghadiri untuk pendengaran perbicaraan dan keputusan rayuan kes yang melibatkan dirinya.

'Wanita misteri' pertahan gadis K-Pop


'Wanita misteri' pertahan gadis K-Pop
SELEPAS banyak pihak memberikan reaksi negatif bersabit isu gadis K-Pop, hari ini tampil seorang 'wanita misteri' menyifatkan apa yang berlaku itu ketentuan ALLAH.

Dalam video berdurasi 5 minit 42 saat itu, wanita berkenaan berkata, bukan sahaja gadis-gadis yang dipeluk artis K-Pop itu sedang diuji malah masyarakat secara keseluruhannya juga sedang menghadapi perkara sama.

"Bukan mereka sahaja diuji, malah kita sebenarnya yang diuji juga.  Mereka yang berada di atas pentas dengan keizinan ALLAH.

".... di sebalik video yang telah diviralkan, ALLAH sebenarnya mahu menguji kita ...yang hebat sangat menjadi keyboard warrior, yang maki, seolah-olah anda semua sangat hebat daripada anda lahir sampai sekarang, Jadi renung-renungkan lah diri sendiri apa sebenarnya hikmah dan pengajaran yang berlaku di sebalik peristiwa ini," ujarnya.

Video yang dimuatnaik ke YouTube itu kini telah menarik perhatian lebih 3,000 pelayar.

Kebanyakan komen pelayar mengecam pandangan gadis tersebut.

Jabatan Agama Islam Persekutuan (Jawi) sudah membuka kertas siasatan berkenaan aksi kurang menyenangkan gadis Muslim bersama artis K-Pop baru-baru ini.

Jawi juga memberi tempoh seminggu kepada gadis-gadis yang terlibat supaya serah diri.

Jangan kejar anak muda berpelukan tapi...


Anwar Ibrahim. - Foto Sinar Harian oleh ZULFADLI ZAKI
Anwar Ibrahim. - Foto Sinar Harian oleh ZULFADLI ZAKI
SHAH ALAM – Ketua Umum Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan agar bukan hanya gejala seperti aksi kurang menyenangkan gadis Muslim bersama artis K-Pop baru-baru ini sahaja yang dikejar.

Namun, gejala sama yang didakwa berlaku di kalangan golongan atasan dan artis tidak diendahkan.

“Saya menyarankan agar penguatkuasaan terpilih tidak dilaksanakan oleh Jabatan Agama Islam Persekutuan (Jawi)  dan badan agama lainnya.

“Jangan gejala berpelukan anak muda berpelukan dikejar tetapi gejala yang sama kalangan penguasa atasan dan artis tidak ditegur,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menegur cara Jawi yang berbaur ugutan memberi tempoh seminggu untuk remaja bertudung terlibat dalam video kontroversi K-Pop tersebut untuk menyerah diri.

“Saya mengusulkan agar nasihat dan teguran kepada generasi muda dipergiat melalui kaedah dakwah bilhikmah.

“Mengasak mereka dengan ugutan hanya mendatangkan resah dan kekeliruan di kalangan mereka.

“Justeru kebijaksanaan dituntut agar mereka didekati dengan pendekatan psikologi yang bijaksana serta berhemah,” katanya.

Semalam, Pengarah Jawi, Paimuzi Yahya dilaporkan berkata waran tangkap akan dikeluarkan sekiranya remaja berkenaan tidak bekerjasama dalam siasatan.

Katanya, kes tersebut akan dibawa ke mahkamah dan perbicaraan diadakan sebelum melaksanakan sebarang hukuman atau denda.

Minggu lalu, sebuah video tersebar luas melalui media sosial memaparkan beberapa gadis Melayu yang manis bertudung tidak segan silu dipeluk dan dicium oleh artis K-pop berkenaan di atas pentas.

Adegan tersebut nyata mengundang kritikan pedas daripada pelayar media sosial yang rata-rata tidak bersetuju dengan adegan tersebut.

Nurul Izzah Akhirnya Bercerai


Diterbitkan: Khamis, 15 Januari 2015 5:06 PM
Perkahwinan Anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dengan suaminya, Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Ismail berakhir selepas pasangan itu sah bercerai talak satu di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, pada Khamis.
 --fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dan ahli perniagaan Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Ahmad akhirnya bercerai talak satu. 
Raja Ahmad Sharir melafazkan talak pada pukul 4.17 petang dihadapan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Mohd Amran Mat Zain pada Khamis.

Izzah telah memfailkan prosiding penceraian pada Disember 2013.

Australia Tidak Akan Ekstradisi Sirul


Diterbitkan: Khamis, 15 Januari 2015 5:43 PM

PETALING JAYA: Kerajaan Australia tidak akan mengekstradisi Koperal Sirul Azhar Umar yang dijatuhi hukuman gantung sampai mati atas kesalahan membunuh model Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Sirul dilaporkan berada di Australia sejak November tahun lalu dan tidak memiliki wang yang mencukupi untuk pulang menyebabkan dia tidak dapat pulang untuk menjalani hukuman yang dijatuhkan terhadapnya.

The Sydney Morning Herald berkata mengikut undang-undang ekstradisi Australia tidak membenarkan seseorang yang dijatuhi hukuman mati dihantar pulang, melainkan individu tersebut tidak akan dikenakan hukuman gantung sampai mati.

Seorang jurucakap daripada pejabat Peguam Negara Australia berkata antara sebab mereka enggan mengekstradisi Sirul adalah kerana negara itu menentang hukuman gantung sampai mati.

Pada Selasa, Mahkamah Persekutuan menyabitkan Sirul, 43, dan Cif Inspektor Azilah Hadri, 38, atas kesalahan membunuh Altantuya.

Mahkamah memutuskan bahawa pasukan pendakwaan berjaya membuktikan kesnya tanpa keraguan munasabah terhadap kedua-dua tertuduh.

Sebelum ini Sirul dilaporkan tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk pulang ke negara ini. 

Daim Sedia Bekerjasama Dengan SPRM


Diterbitkan: Khamis, 15 Januari 2015 5:20 PM
Daim Zainuddin.

KUALA LUMPUR: Tun Daim Zainuddin berkata beliau sedia bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan terhadap perniagaan perbankannya di luar negara.

"Saya bersedia untuk menyokong dan bekerjasama dengan SPRM dalam penyiasatan mereka," kata bekas menteri kewangan itu dalam satu kenyataan hari ini.

Daim juga berkata beliau mempunyai keyakinan terhadap kemampuan SPRM untuk menjalankan siasatan tersebut.

Sebelum ini terdapat laporan mengatakan Daim mengesahkan memiliki sebuah bank di Tanzania, namun menafikan terlibat dalam penyalahgunaan kuasa.

Daim dipetik oleh laporan berita sebagai berkata beliau telah disiasat dua kali sejak 1999 berhubung perkara itu, dan tiada apa yang tidak kena dalam siasatan itu.

Surat Kepada FBI Bukan Sokongan Jangan Dakwa - Zahid Hamidi


Diterbitkan: Khamis, 15 Januari 2015 1:23 PM
Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid Hamidi

PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi  menegaskan bahawa surat beliau kepada Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) bukan surat sokongan untuk tidak mendakwa rakyat Malaysia Paul Phua yang sedang menghadapi pertuduhan di Amerika Syarikat.
Beliau berkata, surat yang ditulis kepada Timbalan Pengarah FBI, Mark F. Giuliano pada 18 Disember tahun lepas adalah untuk menjelaskan status Paul Phua.
Katanya, sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal keselamatan negara, beliau menjelaskan bahawa kumpulan kongsi gelap 14K Triad tidak wujud di Malaysia dan Paul Phua bukanlah anggota kumpulan kongsi gelap itu di Malaysia.
Ahmad Zahid berkata, pengeluaran surat sedemikian bukan isu kerana menteri-menteri KDN terdahulu juga menulis dan mengeluarkan surat penjelasan seumpama itu atas kapasiti menteri yang bertanggungjawab dalam soal keselamatan.
"Maka dengan menggunakan budi bicara, saya mengeluarkan surat penjelasan berhubung status Paul Phua itu kepada FBI, bukannya surat sokongan untuk tidak mendakwanya," katanya dalam sidang media selepas menyampaikan amanat tahun baharu dan menghadiri perhimpunan bulanan kementerian itu di sini.
Paul Phua dan anaknya, Darren Wai Kit Phua kini dalam tahanan rumah di Amerika Syarikat dan menghadapi pertuduhan di mahkamah negara itu atas kesalahan penghantaran maklumat pertaruhan dan menjalankan kegiatan perjudian tidak sah di Las Vegas semasa Piala Dunia 2014 lalu.
Paul Phua yang cukup terkenal dalam sirkit permainan poker profesional, pernah mengambil bahagian dalam kejohanan Big One For One Drop dalam Siri Poker Dunia 2012.
Beliau menduduki tempat keenam dalam European Poker Tour Grand Final Monte Carlo 100k Super High Roller 2014 dan dia juga disyaki terlibat dengan kegiatan kongsi gelap 14K Triad, sebuah kumpulan kongsi gelap dan sindiket pengedaran dadah antarabangsa.
Berikutan penahanan Paul Phua, firma guamannya, Chesnoff  and  Schonfeld telah memohon Ahmad Zahid agar mengeluarkan surat kepada Timbalan Pengarah FBI, Mark F.Giuliano untuk mengesahkan yang lelaki itu bukan seorang anggota 14K Triad dan kumpulan kongsi gelap itu juga tidak wujud di Malaysia.
Ahmad Zahid juga memaklumkan bahawa pengeluaran surat kepada FBI itu bukanlah atas permintaan kerajaan Amerika Syarikat tetapi oleh peguam yang mengendalikan kes tersebut dan atas alasan itu surat daripadanya dikendalikan oleh syarikat guaman Shafee  and  Co.
Berhubung pertikaian kandungan surat mengenai Paul Phua membantu kerajaan dalam urusan keselamatan, Ahmad Zahid berkata ia tidak dapat didedahkan kerana melibatkan isu keselamatan berstatus Rahsia Besar dan turut dilindungi oleh Akta Rahsia Rasmi 1972.
Beliau berkata pertikaian berhubung surat itu telah dijelaskannya kepada kabinet semalam dan jemaah menteri menerima baik penjelasan itu.
Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan tidak sama sekali menyokong sebarang tindakan mana-mana individu termasuk Paul Phua yang berkait rapat dengan sebarang organisasi jenayah.
Katanya pihaknya komited tidak akan berkompromi dan akan tetap membanteras gejala tidak sihat terutama gengsterisme, judi dan dadah di negara ini.
"Isu surat ini sebagai pembakar semangat untuk terus memerangi dan menghapuskan aktiviti jenayah hingga ke akar umbi," katanya.- Bernama

Eric Paulsen, Jakim Ditawar Debat Di TV - Ahmad Shabery


Diterbitkan: Khamis, 15 Januari 2015 1:57 PM
Eric Paulsen (hadapan) keluar dari Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini selepas tamat tahanan reman, Khamis.

KUALA LUMPUR: Kerajaan membuka peluang kepada Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty, Eric Paulsen untuk berdebat dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di televisyen berhubung kenyataannya di Twitter mendakwa jabatan itu mempromosi ekstremisme.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menganggap ruang itu perlu kerana Paulsen bertanggungjawab memberi penjelasan mengenai kenyataannya itu supaya masyarakat lebih jelas dan dapat membuat penilaian.
"Eric perlu jelaskan kepada orang ramai mengenai kenyataannya di Twitter yang begitu pendek,  tak semestinya dalam  TV tapi kalau ada stesen yang ingin benarkannya.
"Saya rasa tak ada masalah dan setuju kalau Jakim kata "Ok kita berbahas" dan minta Eric datang ke stesen TV, beritahu apa yang dimaksudkan dengan kenyataannya bahawa Jakim menggalakkan keganasan melalui khutbah setiap Jumaat," katanya pada sidang media selepas melancarkan identiti jenama baharu Pos Malaysia di sini, Khamis.
Ahmad Shabery berkata, beliau terbuka sekiranya terdapat mana-mana stesen televisyen yang mahu menyiarkan perbahasan tersebut secara langsung, termasuk Radio Televisyen Malaysia (RTM) , asalkan ia dipersetujui Paulsen, Jakim dan stesen TV itu sendiri.
"Tak ada masalah secara 'live', Parlimen pun kita benarkan 'live'.
"Saya minta Jakim pun ada sama, kalau Jakim setuju saya rasa tak ada masalah.
"Dalam konsep kebebasan bersuara saya kira tak jadi masalah jika pihak stesen TV atau RTM merasakan perlu diberikan platform untuk penjelasan dan membenarkan Eric menerangkan apakah yang dikatakan ekstremisme oleh Jakim pada setiap hari jumaat," katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata kenyataan Paulsen itu jelas tidak disenangi ramai, khususnya oleh umat Islam yang berpandangan Jakim bersederhana dalam khutbahnya dan dianggap jabatan kerajaan yang paling menetang fahaman ektremisme.
"Tiba-tiba Eric kata Jakim yang ekstrim, dia perlu jelaskan, bukan keluarkan satu kenyataan, orang marah dan sebagainya, dia diam saja.
"Penyokongnya jangan marah polis, sebaliknya marah Eric kerana dia bertanggungjawab menjelaskan, bukan dengan hanya satu kenyataan yang mengundang kemarahan orang ramai dan dia seronok orang marah," katanya.
Paulsen menerusi catatan di laman Twitter pada Jumaat lepas: "Jakim sedang menggalakkan ekstremisme pada setiap Jumaat dan kerajaan perlu menanganinya jika serius mahu membanteras ekstremisme di Malaysia".
Paulsen ditahan oleh polis di Brickfields pada Isnin, dilepaskan selepas ditahan reman dua hari.
Kertas siasatan berhubung kes itu akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara tidak lama lagi, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh.

Papagomo Diperintah Bayar Ganti Rugi Kepada Peguam


Diterbitkan: Khamis, 15 Januari 2015 7:33 PM
Wan Muhammad Azri Wan Deris (Papagomo) diperintah bayar ganti rugi atas dakwaan menerbitkan artikel berbaur fitnah.

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini, Khamis memerintahkan seorang blogger membayar ganti rugi kepada seorang peguam bersabit dengan penyiaran artikel-artikel yang berbaur fitnah.

Panel tiga orang hakim Mahkamah Rayuan iaitu Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim, Datuk Tengku Maimun Tuan Mat dan Datuk Abang Iskandar Abang Hashim mendapati bahawa ketiga-tiga artikel yang dimuatkan dalam laman web www.papagomo.blogspot.com merupakan fitnah terhadap Datuk Sukri Mohamed.

Mahkamah membenarkan rayuan Sukri untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi menolak samannya terhadap Wan Muhammad Azri Wan Deris, 31.

Hakim Abdul Aziz, yang mempengerusikan panel itu memerintahkan kes dikembalikan ke Mahkamah Tinggi di Kota Baharu di Kelantan untuk taksiran ganti rugi.

Dalam keputusannya, Hakim Abdul Aziz berkata Mahkamah Tinggi gagal mempertimbangkan keterangan saksi-saksi yang mengenal pasti Wan Muhammad Azri sebagai blogger papagomo.

Beliau berkata Mahkamah Tinggi hanya mempertimbangkan seorang saksi daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang memberi keterangan pada perbicaraan di Mahkamah Tinggi bahawa SKMM tidak mempunyai apa-apa maklumat mengenai pemilik papagomo.blogspot.com blog.

Hakim Abdul Aziz berkata mahkamah (Mahkamah Rayuan) mendapati bahawa keterangan tiga orang saksi sudah cukup untuk mengenal pasti Wan Muhammad Azri sebagai blogger papagomo.

Beliau juga memerintahkan Wan Muhammad Azri membayar kos RM20,000 kepada Sukri bagi prosiding mahkamah di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

Sukri, 51, yang juga anggota Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri Kelantan dan bekas anggota Majlis Perajaan Negeri Kelantan menyaman Wan Muhammad Azri kerana menerbitkan ketiga-tiga artikel dalam laman web papagomo.blogsport.com pada 2011 yang didakwa memfitnahnya.

Wan Muhammad Azri, dalam pernyataan bela diri yang dipinda, menafikan yang dia adalah blogger papagomo dan pemilik blog itu. Dia juga mendakwa bahawa penerbitan artikel itu bersifat mempertahankan justifikasi, ulasan yang adil dan berupa perlindungan bersyarat.

Sukri diwakili oleh peguam Hisham Fauzi sementara Wan Muhammad Azri mewakili dirinya sendiri.

Pengguna internet India cecah 213 juta orang


14 Januari 2015


NEW DELHI - INDIA. Jumlah pengguna Internet mudah alih di India dijangka mencecah 213 juta menjelang Jun 2015, meningkat berbanding 173 juta pada Disember tahun lepas, demikian menurut laporan oleh Persatuan Internet dan Mudah Alih India (IAMAI) dan IMRB International.

Laporan bertajuk Internet Mudah Alih di India 2014 itu, turut mendapati pengguna Internet mudah alih di kawasan luar bandar India dijangka meningkat pada kadar 33 peratus berbanding Oktober tahun lepas kepada 49 juta menjelang Mac 2015 dan 53 juta pada Jun 2015.

"Kawasan bandar India, bagaimanapun akan terus menyumbang kepada peratusan terbesar pengguna Internet mudah alih di seluruh negara, dengan unjuran mencecah 143 juta menjelang Mac 2015 dan 160 juta pada Jun 2015," kata laporan itu.

Ia berkata, purata bil bulanan mudah alih meningkat 13 peratus kepada Rs. 439 (US$7.05).

Jumlah perbelanjaan untuk Internet mudah alih yang mencatatkan paras 45 peratus tahun lepas, telah meningkat kepada 54 peratus tahun ini.

Berbanding tahun lepas, purata perbelanjaan bulanan untuk Internet mudah alih meningkat 36 peratus kepada Rs. 235 (US$3.78). - Bernama

AS hantar lima tahanan Guantanamo ke Oman, Estonia



Senator Republikan dari New Hampshire Kelly Ayotte (kanan) di samping Republikan Senator dari Arizona John McCain (L), berucap semasa sidang akhbar yang diadakan untuk membincangkan mengenai undang-undang penjara persekutuan di Guantanamo Bay, di Washington, Amerika Syarikat, baru-baru ini. - Foto EPA
WASHINGTON: Amerika Syarikat memindahkan lima tahanan dari penjara pangkalan tentera lautnya di Teluk Guantanamo ke Oman dan Estonia, kata Pentagon.
Empat orang dihantar ke Oman manakala seorang lagi ke Estonia.
Kesemua tahanan itu "mendapat kelulusan sebulat suara untuk dipindahkan," selepas penilaian oleh beberapa agensi Amerika Syarikat.
Sementara itu, seramai 122 tahanan masih ditahan di Guantanamo. - AFP

Jepun lulus bajet tentera terbesar 4.98 trilion yen



AFP - GAMBAR fail 26 Oktober 2014 menunjukkan Abe (tengah, kanan) mendengar penerangan selepas memeriksa pesawat F35A di Ibaraki, Jepun.


TOKYO – Jepun semalam meluluskan bajet pertahanan terbesar untuk tahun fiskal 2016 selepas Perdana Menteri Shinzo Abe berusaha meningkatkan pemantauan perairan negara berikutan pertelagahan berterusan dengan China.
Bermula tahun ini hingga Mac 2016, Tokyo akan membelanjakan 4.98 tri­lion yen (RM150.86 bilion), kata kerajaan Jepun sekali gus peningkatan pada tahun ketiga berturut-turut.
“Ini bajet pertahanan terbesar oleh Jepun,” kata Kementerian Pertahanan.
Bajet terebut memba­yangkan rancangan Abe untuk membina angkatan tentera yang lebih aktif susulan ketegangan dengan China berhubung pemilikan beberapa buah pulau di Laut China Timur.
Bajet mega itu antara lain akan digunakan untuk membeli 20 pesawat maritim P-1, lima kapal terbang V-22 Osprey bersama enam jet kalis radar F-35A.
Jepun dan China terus bertelagah berhubung pemilikan Kepulauan Senkaku yang dikawal oleh Tokyo tetapi dituntut oleh Beijing. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0115&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3OroF2bZ5 
Hakcipta terpelihara