Kumpulan pembangkang Mesir menggunakan cara luar biasa membantah Presiden Mohammed Morsi: Mencalonkannya untuk satu pertandingan ke angkasa lepas.
Pergerakan Belia 6 April berkata dalam laman web rasminya, mereka mencalonkan nama presiden itu di Internet kerana ingin menyingkirkan beliau. Mereka menggesa penyokong pembangkang mengundi presiden itu supaya dia berpeluang memenangi kunjungan ke angkasa.
Pejabat media presiden tidak mengulas mengenai tindakan itu.
“Tiada ada orang yang boleh tahan dengan dengan penipuan Morsi yang dilakukan secara terang-terangan. Atas sebab inilah presiden memerlukan undian anda. Presiden Morsi, kami ucapkan perjalanan yang selamat,” kata kumpulan itu.
Kumpulan 6 April adalah dalang di sebalik pemberontakan 2011 yang menggulingkan kerajaan Hosni Mubarak. Kebanyakan penyokongnya menyokong Morsi pada pilihan raya Jun tahun lalu yang dimenangi secara tipis untuk menjadi Presiden Mesir pertama diundi secara bebas. Bagaimanapun, ia kemudian menjadi pengkritik utama presiden dan partinya Ikhwanul Muslimin. Pembangkang menuduh Morsi memonopoli kuasa dan mengingkari janji untuk mewujudkan kerajaan menyeluruh dan memperkenalkan pembaharuan. Penyokong Morsi menyangkal tuduhan itu dengan berkata, kerajaan baru tidak dapat memperbaiki segera pentadbiran buruk selama 29 tahun dalam sekelip mata.