Friday, April 10, 2015

Pakar Bedah Itali Dakwa Boleh Lakukan Pembedahan Pindah Kepala Lagi 2 Tahun


Diterbitkan: Khamis, 26 Februari 2015 1:24 PM

> Pakar bedah Itali, Sergio Canavero percaya dia boleh melakukannya
> Kos pembedahan dianggarkan sekitar £7.5 juta
> Pesakit lumpuh seperti mendiang Christopher Reeve (Superman) boleh mendapat faedah daripada prosedur ini
> Mendakwa dia memiliki teknik dan pengetahuan untuk melakukannya
> Dr Canavero berkata apa yang diperlukan ialah penderma dan persetujuan pesakit
> Teknik perekat akan turut digunakan
LONDON: Ia kedengaran seperti plot cerita seram atau Frankenstein tetapi kini seorang pakar bedah dari Itali percaya yang beliau mampu melakukan pembedahan perpindahan kepala dalam tempoh dua tahun lagi.
Dr Sergio Canavero berkata jika prosedur itu dapat dilakukan ia bakal mencatat sejarah sebagai yang pertama seumpamanya di dunia.
Menurutnya, prosedur itu akan membolehkan seseorang yang menghidapi penyakit yang tidak dapat disembuhkan, memindahkan kepalanya ke badan seorang penderma organ (iaitu badannya).
Ia memerlukan persetujuan daripada penderma dan juga penerima.
Doktor itu mendakwa, dia akan dapat melakukan prosedur itu dalam tempoh dua tahun lagi.
Dr Canavero berkata, bagaimanapun, kos pembedahan itu akan memakan belanja sehingga £7.5 juta.
"Prosedur ini akan membolehkan seseorang yang mempunyai otak yang sihat tetapi lumpuh dari badan ke bawah mendapat faedah daripadanya begitu juga dengan mereka yang menderita sakit kanser," ujarnya sepertimana yang terkandung dalam laporan Jurnal New Scientist yang diterbitkan minggu ini.
Laporan itu kemudiannya dipetik dan disiarkan oleh akhbar British, The Daily Mail.
Mereka yang menderita sakit saraf tunjang, sepertimana yang pernah dideritai oleh pelakon popular, mendiang Christopher Reeve dikatakan akan turut mendapat faedah daripadanya.
Begitu juga dengan pesakit otot dan 'motor neurone' sepertimana pakar fizik terkemuka, Dr Stephen Hawking juga dikatakan boleh mendapat faedah daripada prosedur baru ini.
Prosedur ini kini dinamakan ‘pembedahan kosmetik yang terulung’.
Bagaimanapun pengkritik menyifatkan prosedur ini sebagai fantasi semata-mata.
Namun Dr Canavero yang berkhidmat dengan Turin Advanced Neuromodulation Group percaya yang beliau memiliki segala teknik yang diperlukan untuk pembedahan seumpama ini dan hanya perlu memahirkan dirinya selama dua tahun lagi sebelum melakukan prosedur yang pertama.
Malah Dr Canavero mendakwa yang beliau telahpun mempunyai senarai klien yang sanggup dan bersedia menjalani pembedahan ini.
Beliau akan mengumumkan rancangannya pada satu persidangan perubatan pada musim panas akan datang dalam usaha untuk memperolehi sokongan daripada rakan-rakan perubatan yang lain bagi membolehkan prosedur yang pertama dilaksanakan pada 2017 sebagaimana yang dirancang.
Menjelaskan lanjut tentang langkah-langkah yang diperlukan bagi prosedur pembedahan kepala itu dilakukan, badan yang diperlukan akan datang daripada penderma normal yang mengalami 'kematian otak'.
Kedua-dua penderma dan penerima kemudian akan dibedah serentak di bilik pembedahan yang sama menggunakan pisau yang ultra-tajam bagi memastikan kesan luka tidak terjejas.
Kepala pesakit yang sanggup menjalani pembedahan ini selepas itu akan dipindahkan ke badan penderma dan dicantum menggunakan teknik perekat atau 'polyethylene glycol'.
Selepas itu, otot dan pembuluh darah dari leher dan kepala akan dijahit dan dicantumkan sebelum pesakit diletakkan dalam keadaan koma untuk sekurang-kurangnya empat minggu.
Tujuannya adalah untuk mengelakkan pesakit menggerakkan badan dan kepala sementara menunggu dua organ baru itu 'berinteraksi' dan 'menyesuaikan' dengan keadaan baru.
Jika prosedur itu tidak cukup pelik, dalam tempoh empat minggu dalam koma itu, pesakit akan diberikan 'kejutan elektrik' yang kecil untuk meransang tunjang belakang badan yang baru diterima dengan kepala pesakit yang dipindahkan ke badan baru berkenaan.
Kemudian, selepas pesakit disedarkan dari koma, dia sepatutnya sudah boleh mula menggerakkan badan, merasai muka dengan menggunakan tangan baru malah sepatutnya boleh bercakap dengan suara yang sama.
Sejenis dadah yang kuat dinamakan 'immunosuppressant drugs' akan membantu badan baru itu menerima kepala baru dan pesakit selepas itu akan melalui proses terapi saikologikal untuk membantunya menyesuaikan diri dengan 'persekitaran' baru.
Dr Canavero berkata, dia percaya apa yang bakal diperkenalkannya itu adalah sesuatu yang beretika dalam dunia perubatan moden kerana objektif seluruh prosedur baru ini hanyalah bertujuan untuk menyelamatkan nyawa seseorang.
Bagaimanapun, akhbar The Daily Mail bertanya, sejauh manakah etika itu mampu bertahan kerana pembedahan perpindahan kepala ke badan yang baru juga bermakna, jika pesakit berkenaan selamat dan kemudian mendirikan rumah tangga dan memperolehi zuriat, zuriat itu adalah anak siapa? Badan yang diderma atau milik pesakit yang memindahkan kepalanya ke badan baru.
Dr Canavero bagaimanapun berkata, jika suatu masa nanti dunia sains mampu menghasilkan klon manusia dengan mudah, seorang pesakit yang berusia 60 tahun berupaya untuk menghasilkan klon menggunakan DNAnya sendiri dan kemudian melakukan prosedur perpindahan kepala ke badan yang baru tanpa perlu risau tentang soal personaliti berbeza dan sebagainya.
Pengerusi Akedemi Neurologikal dan Pembedahan Orthopedik Amerika Syarikat, William Matthews berkata, beliau boleh menerima konsep pergabungan spinal sepertimana yang dikemukakan oleh Dr Canavero itu tetapi pembedahan perpindahan kepala adalah sesuatu untuk difikirkan pada masa depan bukan sekarang.
Seorang lagi pakar bedah, Dr Harry Goldsmith, dari California Amerika Syarikat yang beberapa kali berjaya melakukan pembedahan tunjang belakang sehingga membolehkan pesakit yang lumpuh berjalan semula berkata: "Saya tidak fikir prosedur Dr Canavero boleh dilaksanakan."

Korea Utara Dakwa Kim Jong-Un Memandu Ketika Berusia 3 Tahun


Diterbitkan: Jumaat, 10 April 2015 8:31 AM

BUKU teks pelajar sekolah di Korea Utara mendakwa pemimpin utama negara itu, Kim Jong-Un belajar memandu ketika berusia tiga tahun.
Tidak cukup dengan itu, buku teks berkenaan juga mendakwa pemerintah yang disegani berkenaan berjaya mencatatkan kemenangan sensasi dalam perlumbaan kapal layar semasa berusia sembilan tahun.
Buku teks itu dikeluarkan sempena mata pelajaran baharu yang diperkenalkan kepada pelajar sekolah rendah dan menengah iaitu Revolusi Aktiviti Kim Jong-Un.
Buku Teks tersebut menceritakan kisah hidup pemimpin muda terbabit sehingga menggantikan bapanya Kim Jong-Il pada 2011.
Buku berkenaan juga dilapor mendakwa Jong-Un sebagai seorang pemuzik dan mampu mengubah lagu.
Pada tahun lalu, Korea Utara dilapor telah membohongi rakyatnya dengan mendakwa negara tersebut layak ke perlawanan akhir Piala Dunia di Brazil sedangan mereka telah gagal di pusingan kelayakkan.
Laporan itu menyatakan bahawa Korea Utara dengan beraninya mengungguli perlawanan bersama Jepun dengan 7-0, Amerika Syarikat (4-0) dan China (2-0) menerusi perlawanan dalam kumpulan sebelum layak ke peringkat akhir bagi menentang Portugal.

Saya Pertimbang Kritikan Dr Mahathir - PM


Diterbitkan: Jumaat, 10 April 2015 12:13 AM

EDISI Khas Soal Jawab Bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak - menjelaskan isu yang ditimbulkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menerusi program yang disiarkan di televisyen pada pukul 10 malam Khamis, Perdana Menteri memperincikan beberapa persoalan dan kritikan berkaitan isu semasa dan politik.
SOALAN (S): Bagaimana pula dengan pandangan Tun Mahathir yang mengatakan bahawa sekiranya Datuk Seri terus memimpin negara, Umno dan Barisan Nasional (BN) akan tewas dalam pilihan raya akan datang.
PERDANA MENTERI (PM): Itu pendapat peribadi Tun Mahathir. Apa yang kita dalam parti rasakan bahawa dalam soal kejayaan kepada Umno dan BN bergantung kepada kekuatan kita. Kekuatan kita hanya akan menjadi sesuatu kenyataan sekiranya kita padu dalam parti. Kalau kita padu dan tidak berbalah, sesama kita, tak ada unsur sabotaj dalam parti, saya yakin InsyaAllah kita boleh menang dalam PRU-14 akan datang.
S: Ada juga pihak yang berpendapat bahawa kritikan yang datang daripada pelbagai pihak terutamanya daripada Tun Mahathir, mungkin tak akan berhenti. Bagaimanakah Datuk Seri bercadang untuk menangani perkara ini dalam perjalanan menuju Wawasan 2020? Adakah ia akan memberi kesan kepada Datuk Seri?
PM: Saya merasakan bahawa apa yang saya patut lakukan ialah teruskan sikap saya, maknanya saya terbuka, setiap kritikan itu saya akan pertimbang dan saya lihat kalau ada apa-apa kekurangan dalam pentadbiran saya. Saya tak pernah kata pentadbiran saya tak melakukan sebarang kesilapan. Saya akui bahawa setiap manusia itu bukanlah perfect, tak ada manusia yang tak ada buat kesilapan, kepincangan.
Jadi maknanya saya bersedia untuk melakukan penambahbaikan. Tetapi kalau saya merasakan bahawa apa yang saya buat itu mendapat sokongan daripada parti, rakyat maka saya akan teruskan dasar-dasar saya sebab pada hakikatnya penentuan hala tuju negara ini bukanlah ditentukan oleh mana-mana individu tapi oleh rakyat dan parti.
S: Kita semua tahu bahawa keluarga Datuk Seri sendiri mempunyai perhubungan yang cukup erat dengan Tun Mahathir. Ini pertalian yang cukup lama. Walaupun dengan krtikan daripada Tun Mahathir, bagaimana Datuk Seri melihat Tun Dr Mahathir, adakah pandangan kepada beliau sudah berubah?
PM: Saya akan timbang apa-apa krtikan Dr Mahathir, tetapi saya ingin menyatakan bahawa hakikatnya saya bertanggungjawab kepada rakyat dan parti. Sama ada hubungan kita ini macam dulu atau tidak, masa akan tentukan.
Saya beriltizam untuk menyerahkan kedudukan saya kepada rakyat dan parti dan bukan bererti bahawa saya tidak hormat mana-mana individu tetapi itu soal individu. Tapi hakikatnya saya mesti serahkan kedudukan saya kepada parti dan rakyat.
S: Apa hasrat Datuk Seri kepada ahli-ahli parti dan rakyat secara keseluruhannya supaya dapat keluar dari kemelut ini dan bawa negara ke tahap yang lebih baik?
PM: Pada saya kita mesti lihat yang penting, soal big picture. Soal masa depan dan hala tuju, kita jangan benarkan sesuatu isu itu yang digembar-gemburkan seolah-olah ekonomi negara kita sudah hancur atau kita bermasalah hingga tak boleh ditangani. Itu tidak benar sama sekali.
Kita mesti yakin bahawa kita pada hala tuju yang baik, benar dan positif. Dalam pada itu, kalau ada apa-apa kelemahan kita akan perbaiki, kita perbetulkan. Sebab mana-mana kerajaan di dunia pun tak ada yang perfect, mesti ada kelemahan.
Zaman Tun Dr Mahathir pun tak perfect. Zaman saya pun tak perfect. Tetapi kita mesti sedar bahawa kita mempunyai sikap yang terbuka...kita betulkan keadaan supaya hari esok lebih baik daripada hari ini.

Siapa Sokong Perdana Menteri, Perlu Sokong 1MDB Juga - Tun M


Diterbitkan: Khamis, 9 April 2015 4:28 PM
Dr Mahathir Mohamad.

PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad meminta pihak yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya turut mengisytiharkan sokongan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang hutangnya mencecah RM42 bilion.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, penyokong Najib juga sepatutnya menyokong Low Teik Jho yang dikenali sebagai Jho Low yang kononnya menguruskan pelaburan 1MDB.
"Hasil daripada pendedahan mengenai kes Altantuya dan IMDB, Najib kini mendapat sokongan daripada ketua Umno bahagian, Barisan Nasional, MIC, senator dan semua peringkat kumpulan.
"Saya tidak meminta sesiapa sahaja menyokong saya. Tapi saya meminta semua yang menyokong Najib untuk mengisytiharkan sokongan mereka terhadap 1MDB yang meminjam RM42 bilion dan ketidakupayaan untuk menjawab dimana wang tersebut ketika ditanya ," katanya menerusi tulisan di blognya, chetdet.cc pada Khamis.
Dr Mahathir berkata, beliau bertanya kepada Najib soalan mudah tetapi daripada menjawabnya, Najib meminta orang ramai supaya menyokongnya.
"Saya ingin bertanya kepada penyokong sama ada sokongan mereka bermaksud kehilangan RM42 bilion adalah okay, bahawa tiada keperluan untuk menjelaskan di mana wang tersebut.
"Sekiranya anda lakukannya, pergi beritahu (Tun) Daim Zainuddin, Tengku Razaleigh (Hamzah), (Tan Sri) Shahrir Samad dan Khairy Jamaluddin untuk tutup mulut," katanya.
1MDB yang ditubuhkan kerajaan pada 2009 untuk memacu inisiatif strategik bagi pembangunan ekonomi mampan jangka panjang dikritik kerana menanggung bebanan hutang yang besar.
Dr Mahathir turut bertanya kepada penyokong Najib sekiranya mereka menyokong penyimpanan duit berbilion ringgit di Pulau Cayman dan penjelasan bahawa wang tersebut tidak boleh dibawa balik ke Malaysia kerana Bank Negara akan mempersoalkan perkara itu.
"Adakah anda menyokong pembelian tanah kerajaan di KL pada harga yang jauh lebih rendah daripada harga pasaran untuk membayar hutang 1MDB," katanya.

Dr Mahathir Mahu 'Jambatan Bengkok' - Najib


Diterbitkan: Jumaat, 10 April 2015 12:40 AM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak  mendedahkan bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad pernah menyuarakan hasratnya supaya kerajaan meneruskan projek pembinaan 'jambatan bengkok' yang menghubungkan Malaysia-Singapura.

Selain itu Najib berkata, bekas Perdana Menteri paling lama berkhidmat tersebut juga pernah menyuarakan bantahannya terhadap pelaksanaan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang dilaksanakan kerajaan.

"Ada satu, dua perkara yang beliau nak saya buat. Tapi saya dah beri pandangan atas perkara ini. Misalnya beliau tak setuju BR1M, beliau minta buat (bina) 'jambatan bengkok' menggantikan tambak Johor yang ada sekarang ini.

"Tapi saya dah beri pandangan atas hal ini dan sebagainya. Jadi saya anggap ini sebagai perbincangan antara dua individu," katanya dalam program Soal Jawab TV3 Edisi Khas bersama Perdana Menteri malam ini, yang dihoskan Hamdan Ahmir.

Perdana Menteri berkata, kemungkinan dua isu berkenaan menjadi asas kepada serangan berterusan Dr Mahathir terhadap kepimpinannya.

Sebelum ini perundingan dan pelaksanaan pembinaan jambatan bengkok atau 'Jambatan Indah' diilhamkan Dr Mahathir ketika masih berkhidmat sebagai Perdana Menteri.

Bagaimanapun pembinaan jambatan bengkok dibatalkan atas keputusan kerajaan semasa Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri.

Siasat Dakwaan 1MDB Biaya Filem - PM


Diterbitkan: Khamis, 9 April 2015 11:09 PM

EDISI Khas Soal Jawab Bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak - menjelaskan kontroversi 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Menerusi program yang disiarkan menerusi beberapa saluran televisyen pada pukul 10 malam Khamis, Perdana Menteri menjelaskan beberapa persoalan dan kritikan berkaitan isu semasa dan politik.
SOALAN (S): Datuk Seri saya nak beralih soal 1MDB, ada pihak-pihak yang mendakwa urus niaga 1MDB dengan didalangi oleh beberapa personaliti tertentu amatlah meragukan. Apa komen Datuk Seri
PERDANA MENTERI (PM): Saya nak jelaskan bahawa 1MDB ini merupakan sebuah badan yang kita sifatkan sebagai sebuah investment company. Bermula dengan build up capital dengan RM1 juta sahaja, berbanding dengan PNB, Khazanah dan badan-badan yang lain kita bagi macam-macam suntikan modal. Tapi untuk 1MDB cuma RM1 juta sahaja.
Bila 1MDB nak mengembangkan perniagaanya, dia terpaksa meminjam. Tetapi aset yang telahpun diperolehi oleh 1MDB melebihi liabilitinya. Ini saya tekankan...melebihi liabiliti. Kita perlu memberi masa kepada 1MDB untuk membangunkan atau mencairkan aset-aset ini supaya dia dapat melunaskan hutang-hutangnya.
Kita boleh pertikaikan business model, saya sedia mendengar pandangan yang berbeza dalam business model. Tapi apa yang saya nak tegaskan di sini bahawa saya tidak boleh terima kalau ada apa-apa salah guna kuasa dalam 1MDB. Misalnya kalau duit dilesapkan. Sebab itu apabila Deloitte Malaysia sebagai auditor telah pun mengesahkan auditnya, saya masih tak puas hati.
Saya telah pun membawa cadangan dalam Kabinet supaya Ketua Audit Negara menyemak balik secara terpeinci. Dan setelah menyemak, saya minta PAC meneliti pula. Dalam PAC ada pembangkang. Mereka boleh bincangkan laporan Ketua Audit Negara. Jadi apa yang saya nak katakan, biarlah proses ini berjalan. Bagi tempoh sebab kalau kita dakwa...ada banyak bezanya. Kalau kita kata duit telah dilesapkan ataupun ada pinjaman, ia berbeza. Saya juga minta Ketua Audit Negara tolong sahkan ada atau tidak dana 1MDB ini disalahgunakan untuk membuat filem umpamanya.
Saya nak tahu. Ini antara perkara-perkara yang mesti ditentukan oleh laporan Ketua Audit Negara dan seterusnya disahkan oleh PAC.
S: Adakah tempoh masa tertentu diberikan kepada Ketua Audit Negara dan juga PAC
PM: Kita tak beri tempoh tapi mereka perlu buat dengan seberapa segera yang boleh. Siasatan yang rapi dan seberapa segera yang boleh sebab saya nak rakyat tahu sebab saya telah bagi jaminan bahawa dalam urusan 1MDB kalau ada salah guna kuasa maka kita tidak akan pertahankan sesiapa.
S: Ada juga pihak yang bertanya wang 1MDB yang dipindahkan dari Cayman Islands di bawa ke Singapura tapi tidak dibawa balik ke Malaysia, mengapa Datuk Seri.
PM: Pertamanya duit itu tidak di Cayman Islands, Cayman Islands ini merupakan pendaftaran sahaja. Banyak syarikat...ada 200 syarikat Malaysia ada Cayman Island account. Mereka simpan duit ini diluar sebab ada hutang, iaitu hutang dalam bentuk hutang luar. Jadi daripada mereka bawa balik ke Malaysia elok mereka simpan di luar sebab mereka boleh dapat keuntungan dari segi foreign forex dan sebagainya.
Masa akan menentukan, tapi dalam masa tertentu duit itu akan dibawa balik ke Malaysia.
S: Jadi tiada kaitan dengan syarat-syarat yang dikenakan oleh Bank Negara untuk dibawa balik duit itu ke Malaysia
PM: Sistem kita bebas, apa-apa kita nak buat pun, dengan pengesahan daripada Bank Negara. Jadi Bank Negara tahu tentang movement of fund dan sebagainya.
S: Adakah Datuk Seri pernah menjelaskan perkara 1MDB ini kepada Tun Mahathir.
PM: Saya secara langsung tidak...dia tak bangkitkan secara terus dengan saya. Tapi saya tahu bahawa lembaga pengarah 1MDB dan CEO 1MDB ada berjumpa dengan beliau menerangkan keadaannya.
S: Adakah Datuk Seri memohon pihak pengurusan 1MDB agar lebih transparent dalam urusniaganya yang akan datang supaya rakyat mendapat maklumat yang secukupnya
PM: Ya begitulah, dengan penyusunan semula pengurusan 1MDB saya harap sedemikian. Begitu juga kita telah umumkan program rationalisation, kita sekarang dalam proses pelaksanaan langkah rationalisation of 1MDB. Perlu tempoh masa sikit tetapi pelannya sudah disediakan dan sekarang dalam peringkat pelaksanaan.
S: Tadi Datuk Seri ada sebut tentang pembikinan filem yang dituduh dibiayai oleh 1MDB. Kenapa Datuk Seri bangkitkan soal pembikinan filem itu. Apa implikasinya.
PM: Pada dakwaan-dakwaan sedemikian saya tak mahu mempertahankan apa-apa, sebab ia melibatkan ahli keluarga saya, tetapi saya nak Ketua Audit Negara mengesahkan perkara ini.

Sirul Kecewa, 'Tak Setuju' Pertemuan Ibu-Tun M - Peguam


Diterbitkan: Khamis, 9 April 2015 8:36 PM
Sirul Azhar Umar

EKSKLUSIF
PETALING JAYA: Agenda pembangkang untuk membantu Sirul Azhar Umar yang ditahan di Australia bagi memberi tekanan kepada pihak berkuasa Malaysia menyiasat semula kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu kini memasuki episod baharu apabila ia tidak mendapat 'restu' bekas anggota komando itu.
Malahan, ketidakpuasan hati terhadap perkembangan terkini di Malaysia yang mengaitkan dirinya serta keluarga mendorong Sirul menghubungi dua peguamnya, Datuk Kamarul Hisham Kamaruddin dan Hasnal Rezua Merican.
Panggilan telefon bagi menyatakan kekecewaannya itu dibuat sebaik sahaja mendapat tahu mengenai pertemuan di antara ibunya, Piah Samad dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Rabu yang dirancang oleh Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar.
Hasnal yang dihubungi mStar Online petang Khamis mengesahkan bahawa sejak pertemuan ibu dan Dr Mahathir itu, dua kali Sirul menghubunginya, masing-masing pada malam Rabu dan petang Khamis bagi menyatakan kekesalan kerana tidak dimaklumkan tentang pertemuan tersebut.
Katanya, apa yang membuatkan anak guamnya lebih tertekan apabila dua peguam yang mewakilinya di Australia memberitahunya bahawa tindakan Mahfuz itu mungkin akan menjejaskan peluangnya yang kini mengemukakan permohonan menerusi perundangan di Australia untuk terus berada di negara itu.
"Dia tidak tahu-menahu pertemuan ibu dan bapa saudaranya dengan Tun M. Dia melahirkan kekecewaannya terhadap tindakan Datuk Mahfuz.
"Kini setelah tahu (pertemuan ibu dan Dr Mahathir), dia tidak setuju terutama selepas mendapat nasihat dua peguamnya di Australia yang menyatakan sebarang rujukan kepada kenyataan oleh Sirul atau sesiapa sahaja, boleh menjejaskan proses perundangannya di negara itu," kata yang menggambarkan nada suara Sirul yang kecewa sepanjang perbualan dengannya.
Ditanya mengenai status dan pendirian Sirul dalam kes ini, Hasnal berkata, menerusi perbualan telefon itu, anak guamnya mengulangi pendiriannya yang tidak mahu pulang ke Malaysia.
Jelasnya, Sirul kini ingin terus berusaha melalui proses undang-undang di Australia untuk membolehkannya kekal di negara itu.
"Dia tidak mahu pulang ke Malaysia kerana sudah dijatuhi hukuman gantung sampai mati dan mahu kekal di Australia melalui proses undang-undang.
"Untuk tujuan itu dia diwakili dua peguam Australia, sementara saya dan Datuk Kamarul Hisham masih lagi peguam Sirul di Malaysia, tetapi di Malaysia sudah tidak ada apa-apa (kes), jika ada pun kajian semula keputusan atau 'review' oleh Mahkamah Persekutuan," katanya sambil menambah Sirul kini berada dalam keadaan sihat dan selamat sebagai tahanan Imigresen di Australia.
Pada Rabu, ibu Sirul mengadakan pertemuan tertutup dengan Dr Mahathir di bangunan Yayasan Perdana di Putrajaya yang turut dihadiri Mahfuz dan bapa saudara Sirul, Mustafa Samad.
Selepas mengatur pertemuan itu, Mahfuz merancang untuk memberi ruang kepada Sirul bercakap sendiri dan menceritakan segala-galanya dengan Dr Mahathir menerusi telefon pula.
Mahfuz berkata, beliau percaya tindakan itu boleh memberi tekanan supaya siasatan semula dapat dilakukan terhadap kes berprofil tinggi itu.
Sirul dan bekas rakan sepasukannya dalam Unit Tindakan Khas, Azilah Hadri, disabitkan kesalahan pada 13 Januari tahun ini, atas dakwaan membunuh Altantuya di Shah Alam, pada 2006.
Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap Sirul tanpa kehadirannya kerana dia ketika itu berada di Australia.
Dr Mahathir dalam blognya sebelum ini berkata, tidak adil jika Sirul dan Azilah dikenakan hukuman gantung kerana mereka hanya bertindak mengikut arahan.
Bekas Perdana Menteri itu menggesa polis memandang berat kenyataan Sirul itu dan menjalankan siasatannya memandangkan setakat ini motif pembunuhan itu masih tidak dikenal pasti.
Bagaimanapun, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengatakan polis sudah menyiasat perkara itu sebelum ini.

Sirul Kecewa, 'Tak Setuju' Pertemuan Ibu-Tun M - Peguam


Diterbitkan: Khamis, 9 April 2015 8:36 PM
Sirul Azhar Umar

EKSKLUSIF
PETALING JAYA: Agenda pembangkang untuk membantu Sirul Azhar Umar yang ditahan di Australia bagi memberi tekanan kepada pihak berkuasa Malaysia menyiasat semula kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu kini memasuki episod baharu apabila ia tidak mendapat 'restu' bekas anggota komando itu.
Malahan, ketidakpuasan hati terhadap perkembangan terkini di Malaysia yang mengaitkan dirinya serta keluarga mendorong Sirul menghubungi dua peguamnya, Datuk Kamarul Hisham Kamaruddin dan Hasnal Rezua Merican.
Panggilan telefon bagi menyatakan kekecewaannya itu dibuat sebaik sahaja mendapat tahu mengenai pertemuan di antara ibunya, Piah Samad dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Rabu yang dirancang oleh Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar.
Hasnal yang dihubungi mStar Online petang Khamis mengesahkan bahawa sejak pertemuan ibu dan Dr Mahathir itu, dua kali Sirul menghubunginya, masing-masing pada malam Rabu dan petang Khamis bagi menyatakan kekesalan kerana tidak dimaklumkan tentang pertemuan tersebut.
Katanya, apa yang membuatkan anak guamnya lebih tertekan apabila dua peguam yang mewakilinya di Australia memberitahunya bahawa tindakan Mahfuz itu mungkin akan menjejaskan peluangnya yang kini mengemukakan permohonan menerusi perundangan di Australia untuk terus berada di negara itu.
"Dia tidak tahu-menahu pertemuan ibu dan bapa saudaranya dengan Tun M. Dia melahirkan kekecewaannya terhadap tindakan Datuk Mahfuz.
"Kini setelah tahu (pertemuan ibu dan Dr Mahathir), dia tidak setuju terutama selepas mendapat nasihat dua peguamnya di Australia yang menyatakan sebarang rujukan kepada kenyataan oleh Sirul atau sesiapa sahaja, boleh menjejaskan proses perundangannya di negara itu," kata yang menggambarkan nada suara Sirul yang kecewa sepanjang perbualan dengannya.
Ditanya mengenai status dan pendirian Sirul dalam kes ini, Hasnal berkata, menerusi perbualan telefon itu, anak guamnya mengulangi pendiriannya yang tidak mahu pulang ke Malaysia.
Jelasnya, Sirul kini ingin terus berusaha melalui proses undang-undang di Australia untuk membolehkannya kekal di negara itu.
"Dia tidak mahu pulang ke Malaysia kerana sudah dijatuhi hukuman gantung sampai mati dan mahu kekal di Australia melalui proses undang-undang.
"Untuk tujuan itu dia diwakili dua peguam Australia, sementara saya dan Datuk Kamarul Hisham masih lagi peguam Sirul di Malaysia, tetapi di Malaysia sudah tidak ada apa-apa (kes), jika ada pun kajian semula keputusan atau 'review' oleh Mahkamah Persekutuan," katanya sambil menambah Sirul kini berada dalam keadaan sihat dan selamat sebagai tahanan Imigresen di Australia.
Pada Rabu, ibu Sirul mengadakan pertemuan tertutup dengan Dr Mahathir di bangunan Yayasan Perdana di Putrajaya yang turut dihadiri Mahfuz dan bapa saudara Sirul, Mustafa Samad.
Selepas mengatur pertemuan itu, Mahfuz merancang untuk memberi ruang kepada Sirul bercakap sendiri dan menceritakan segala-galanya dengan Dr Mahathir menerusi telefon pula.
Mahfuz berkata, beliau percaya tindakan itu boleh memberi tekanan supaya siasatan semula dapat dilakukan terhadap kes berprofil tinggi itu.
Sirul dan bekas rakan sepasukannya dalam Unit Tindakan Khas, Azilah Hadri, disabitkan kesalahan pada 13 Januari tahun ini, atas dakwaan membunuh Altantuya di Shah Alam, pada 2006.
Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap Sirul tanpa kehadirannya kerana dia ketika itu berada di Australia.
Dr Mahathir dalam blognya sebelum ini berkata, tidak adil jika Sirul dan Azilah dikenakan hukuman gantung kerana mereka hanya bertindak mengikut arahan.
Bekas Perdana Menteri itu menggesa polis memandang berat kenyataan Sirul itu dan menjalankan siasatannya memandangkan setakat ini motif pembunuhan itu masih tidak dikenal pasti.
Bagaimanapun, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengatakan polis sudah menyiasat perkara itu sebelum ini.

Calon Yang Betul Tentukan Kemenangan Di Permatang Pauh


Diterbitkan: Jumaat, 10 April 2015 10:32 AM
Wan Azizah menyatakan kesediaan bertanding di Permatang Pauh.

BUKIT MERTAJAM: "Saya dah banyak kali mengundi di Permatang Pauh ni dan kali ni kalau calon yang sama juga, maknanya kali kedualah calon tu bersilih ganti".

Itu antara luahan Ismail Ahmad, 61, yang menaruh harapan pilihan raya kecil kawasan Parlimen Permatang Pauh kali ini akan memberi angin perubahan dan muka baharu untuk membela nasib rakyat di kawasan itu.

Ismail, yang merupakan penduduk di Penanti berkata beliau bukan anggota mana-mana parti politik tetapi merasakan jika calon yang diletakkan berkisar kepada anggota keluarga orang tertentu sahaja, ia bukanlah sesuatu yang baik.

"Jika sebuah parti itu hanya meletakkan anggota keluarganya sahaja, ia dilihat seperti ia (parti) adalah milik mereka," katanya ketika ditemui di sini.

Ismail yang mencari rezeki dengan menanam padi (pesawah) berkata faktor calon adalah penting untuk menentukan kemenangan parti yang bertanding pada pilihan raya kecil kawasan Parlimen itu 7 Mei ini.

Pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh diadakan selepas kerusi itu diisytihar kosong apabila penyandangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai Anggota Parlimen setelah Lembaga Pengampunan menolak petisyen bagi pengampunan diraja yang dipohon keluarga Anwar atas sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 25 April ini hari penamaan calon manakala pengundian awal 3 Mei dan hari pengundian 7 Mei.

Kerusi Parlimen Permatang Pauh sebelum itu disandang isteri Anwar, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selepas memenangi pilihan raya umum pada 1999 apabila Anwar yang merupakan Anggota Parlimen kawasan itu menjalani hukuman penjara kerana kesalahan meliwat.

Wan Azizah kemudian meletak jawatan sebagai Anggota Parlimen Permatang Pauh pada Ogos 2008 untuk memberi laluan kepada suaminya, Anwar yang dibebaskan dari penjara pada 2004, bertanding pada pilihan raya kecil Permatang Pauh.

Pada pilihan raya umum 2013, Anwar mempertahankan kerusi Permatang Pauh selepas menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Dr Mazlan Ismail dengan majoriti 11,721 undi.

Ridhwan Malik, 37, yang merupakan penduduk di Kampung Pelet pula berkata penduduk tempatan kini dapat melihat dengan jelas bahawa sejak Anwar keluar BN dan menyertai PKR, kerusi Parlimen itu hanya diperuntukkan kepada anggota keluarganya.

"Sebelum ini, kami memang memandang tinggi kepada PKR, tetapi keadaan itu  sudah berubah kerana selepas beberapa kali pilihan raya umum dan pilihan raya kecil, calon hanya daripada keluarga Anwar...selepas menang jarang berada di  Permatang Pauh.

"Kami sudah muak dengan permainan politik keluarga beliau, lagipun mereka gagal mengotakan janji dan hanya muncul ketika tempoh berkempen kemudian hilang.
Kami susah nak jumpa wakil rakyat kami," katanya.

Seorang peniaga, Kee Sim Fuh, 42, yang merupakan penyokong Pakatan Rakyat turut melahirkan rasa kecewa kerana tiada banyak perubahan dilakukan di Permatang Pauh.

"Mereka (Pakatan Rakyat) sebenarnya hanya bagus dalam perkara mencari kesalahan dan menonjolkan kesilapan pesaing mereka. Satu-satunya cara untuk BN  menang ialah meletakkan calon yang diterima akar umbi...isu 'kubu kuat' Pakatan Rakyat bukan soal utama," katanya yang tinggal di pekan Permatang Pauh.

Tersilap: Seorang Pekerja Biasa Sertai Mesyuarat Barack Obama


Diterbitkan: Jumaat, 10 April 2015 10:24 AM
Lance Futch, 26, hadir mesyuarat bersama Obama, gara-gara kesilapan yang dilakukan syarikatnya.

SEORANG pekerja di Pengawal Udara Negara, Utah kebingungan apabila berada di dalam bilik mesyuarat bersama Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama serta beberapa pegawai tertinggi negara itu.
Lance Futch, 26, menyangka dia akan mendengar ucapan daripada Obama tentang mewujudkan peluang pekerjaan kepada golongan veteran tetapi dibawa bersama ke dalam mesyuarat itu.
"Saya dimaklumkan bahawa ia merupakan perjumpaan kasual dan tidak rasmi.
"Pada ketika itu apa yang terlintas di fikiran saya ialah Komander pasti akan memarahi saya kerana perkara ini dan saya sepatutnya tahu tentang perkara ini," kata Futch.
Pereka di syarikat Vivint Solar itu juga percaya pemilihan pakaiannya ketika itu mungkin tidak menarik perhatian Presiden.
"Semasa Presiden Obama memasuki bilik mesyuarat, dia memandang pakaian saya dan fikir saya sepatutnya memakai pakaian seragam atau sekurang kurangnya memakai sut," tambahnya lagi.
Seorang wakil syarikat menerangkan pihaknya menyangka seorang wakil perlu dihantar sebagai seorang penonton semasa majlis ucapan tetapi sebenarnya pihak presiden meminta seorang wakil untuk menyertai mesyuarat tersebut.
"Kami sepatutnya menghantar Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebagai wakil sebaliknya menghantar seorang kawan kerana salah faham yang berlaku," kata wakil syarikat itu.
Gambar Futch menghadiri mensyuarat itu dengan berpakaian baju polo putih Vivint Solar tersebar luas di laman sosial.
Malang bagi Futch apabila bahagiannya di dalam gambar telah dipotong apabila pihak Tentera Udara mengeluarkan gambar rasmi mesyuarat tersebut.

Sirul kecewa ibu dibawa jumpa Tun M


Sirul Azhar Umar
Sirul Azhar Umar
SHAH ALAM - Sirul Azhar Umar tidak tahu menahu malah tidak bersetuju sama sekali dengan tindakan pihak tertentu membawa ibunya, Piah Ahmad berjumpa Tun Dr Mahathir Mohamad, kelmarin.

Peguamnya, Hasnal Rezua Merican berkata, bekas koperal polis itu turut merayu kepada semua pihak supaya tidak mengeksploitasi kesnya untuk kepentingan mereka kerana itu boleh menjejaskan proses perundangan yang sedang dihadapinya di Australia.

 "Sejak dapat tahu ibunya dibawa berjumpa dengan Tun (Mahathir), Sirul sudah dua kali hubungi saya. Kali pertama lebih kurang jam 9 malam tadi (Rabu), dan kali kedua 5 petang ini (semalam).
"Nada suara dan kata-katanya menunjukkan dia sangat kecewa dengan tindakan mereka (bawa ibunya jumpa Dr Mahathir)," kata Hasnal ketika dihubungi, malam tadi.

Menurut Hasnal, Sirul juga mengulangi pendirian mahu terus berada di Australia.

"Dia akan guna semua saluran dan proses perundangan untuk tidak dihantar balik ke sini," katanya.

Untuk tujuan itu, kata Hasnal, Sirul kini menggunakan khidmat dua peguam tempatan di Australia selain beliau sendiri dan Datuk Kamarul Hisham Kamaruddin yang mewakilinya di negara ini.

Mahkamah Persekutuan 13 Januari lalu menjatuhkan hukuman mati ke atas Sirul dan Azilah Hadri, bekas inspektor polis juga daripada pasukan UTK atas kesalahan membunuh model Mongolia, Altantuya Shaariibuu di Lot 12843 dan Lot 16735 Mukim Bukit Raja, Klang, dekat sini, antara jam 10 malam 19 Oktober hingga 1 pagi 20 Oktober, 2006.

Mengikut perjanjian ekstradisi Malaysia - Australia yang dikuatkuasakan sejak 28 Disember 2006, negara itu berhak menolak permohonan ekstradisi Malaysia atas kedudukan Sirul yang dihadapkan dengan hukuman mati kecuali kedua-dua pihak berbincang dan mencapai persetujuan bersama untuk ekstradisi itu dibenarkan.

Mengikut rekod Imigresen, Sirul berlepas ke Australia pada Oktober tahun lalu dan dia kini ditahan di sebuah pusat tahanan Imigresen negara itu.

Hasnal berkata, Sirul telah dinasihatkan oleh peguam yang mewakilinya di Australia bahawa sebarang kenyataan yang dibuat oleh mana-mana pihak yang memetik dirinya (Sirul) sebagai berkata, boleh menjejaskan kepentingannya dalam proses perundangan yang dihadapi di negara itu.

"Ini termasuk kenyataan-kenyataan yang mengaitkan dirinya sebagai 'kambing hitam' ataupun 'membunuh atas arahan'. Kenyataan seperti ini boleh menimbulkan prejudis terhadap dirinya dalam proses perundangan yang sedang dilalui di sana," katanya.

Sehubungan itu, kata Hasnal, Sirul merayu kepada semua pihak termasuk yang bersimpati terhadap dirinya supaya tidak menyeret kesnya ke  dalam kemelut politik tanah air.

"Dia merayu supaya mereka memberikan ruang kepadanya untuk menghadapi proses perundangan yang sedang atau akan dilalui di sana tanpa sebarang gangguan," katanya.

Menjawab pertanyaan, Hasnal memberitahu, Sirul ada memaklumkan kepadanya bahawa dia telahpun menghubungi ibunya petang semalam.

Piah petang kelmarin telah dibawa oleh Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar dan bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Pulau Pinang, Datuk Khairuddin Abu Hassan bertemu Dr Mahathir di pejabatnya di Putrajaya.

Ini berikutan kenyataan bekas perdana menteri itu yang dalam beberapa entri blognya melontarkan kritikan keras terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak termasuk yang menyentuh pembunuhan Altantuya.

'Saya tidak kenal Altantuya'


Najib Tun Razak
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika diwawancara dalam rancangan "Soal jawab" edisi khas yang disiarkan TV3 di sini hari ini. - Foto Bernama
SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] ‎"Saya tidak kenal Altantuya dan tidak terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan kes itu," kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menjawab soalan pengacara dalam program wawancara khas yang disiarkan TV3, malam ini.
 
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas persoalan mengenai perkara itu seperti yang dibangkitkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, sebelum ini.
 
‎Tambah Najib, isu dirinya yang dikaitkan dengan kes pembunuhan berprofil tinggi ini merupakan 'cerita lama' yang timbul pada 2008.
 
"Saya sudah lafaz sumpah yang saya tidak mengenali Altantuya dan tidak terlibat secara langsung sama sekali dengan Altantuya.
 
"Pak lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) iaitu Perdana Menteri yang terdahulu juga sudah mengesahkan perkara ini termasuk Ketua Polis Negara (Tan Sri Musa Hassan) pada masa itu juga sudah buat kenyataan saya tidak terlibat," katanya lagi.
 
Menurut Najib lagi, mahkamah juga tidak ada bukti atau saksi untuk mengaitkan beliau terlibat dalam kes itu.
 
"... takkan kita nak pertikai integriti mahkamah," katanya lagi.
 
Ketika disoal pengacara, sama ada Najib pernah disoal Dr Mahathir mengenai kes Altantuya, Najib berkata, beliau pernah membincangkan perkara itu sekali.
 
"Beliau tak persoal penglibatan perkara ini secara langsung kepada saya. Isu ini tak berbangkit sama sekali. 
 
"Saya sendiri, sebagai Perdana Menteri pergi ke rumah beliau untuk berbincang," katanya.

Najib jawab kritikan Tun Mahathir

Najib ketika ditemu bual oleh Hamdan dalam rancangan Soal Jawab TV3 Edisi Khas malam tadi.


KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau terbuka kepada sebarang kritikan daripada mana-mana pihak terhadap kepimpinannya.
Namun, katanya, kritikan itu seharusnya dibuat secara berhemah dan bertanggungjawab.
“Saya meneliti, saya menimbang kewajaran setiap kritikan itu. Apapun pendapat individu, pada kesudahannya, saya akan bertanggungjawab kepada rakyat dan kepada parti.
“Itu saya nak tegaskan,” kata beliau semasa diwawancara dalam program Soal Jawab TV3 Edisi Khas yang disiarkan malam tadi.
Najib ditanya oleh hos Hamdan Ahmir mengenai kritikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad terhadap kepimpinannya baru-baru ini.
Najib berkata, beliau tetap menghormati Dr. Mahathir seperti mana beliau menghormati rakyat Malaysia yang lain.
Menjawab mengenai isu 1Malaysia Development Bhd. (1MDB), Najib berkata, 1MDB memerlukan masa untuk membangun atau mencairkan asetnya bagi membayar hutang.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, syarikat itu perlu meminjam wang bagi tujuan pengembangan, memandangkan 1MDB mempunyai modal permulaan hanya RM1 juta.
Beliau berkata, 1MDB bermula dengan modal RM1 juta sahaja, berbeza dengan Permodalan Nasional Bhd. dan Khazanah Nasional Bhd., yang telah diberi pelbagai suntikan modal.
Ketika ditanya mengenai pelaburan 1MDB di Kepulauan Cayman, Najib menegaskan bahawa wang tersebut tidak dipindahkan ke sana kerana akaun tersebut hanya untuk pendaftaran.
Beliau berkata, kepulauan itu merupakan satu ‘syurga cukai’ di mana terdapat 200 syarikat Malaysia yang mempunyai akaun Cayman.
Bagaimanapun, Najib menegaskan bahawa beliau tidak akan bertolak ansur bagi sebarang salah laku dalam pengurusan kewangan 1MDB mahupun mempertahankan mana-mana individu.
Malah, beliau menyerahkan kepada Ketua Audit Negara untuk menyiasat tuduhan dana 1MDB digunakan untuk menghasilkan filem.
Najib dalam wawancara tersebut turut menjawab mengenai isu Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dikatakan dilaksanakan tidak tepat pada masanya iaitu sewaktu kejatuhan harga minyak dunia.
Katanya, tiada masa yang benar-benar sesuai untuk melaksanakan GST, namun kejatuhan harga minyak dunia menjadi antara faktor yang menyebelahi langkah kerajaan untuk memperkenalkannya.
“Bila harga minyak jatuh, bermakna harga petrol dan diesel juga jatuh, yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.
Ditanya mengenai kes Altantuya Shaariibuu yang turut dibangkitkan Dr. Mahathir, kata Najib, beliau sudah pun melafazkan sumpah sebanyak tiga kali termasuk di sebuah masjid di Permatang Pauh, Pulau Pinang pada 2008.
“Ini cerita 2008...dah lama dah. Sebenarnya saya dah lafazkan sumpah Wallahi Wabillahi Watallahi sebanyak tiga kali bahawa saya tidak mengenali Altantuya dan saya tidak terlibat sama sekali sama ada secara langsung atau tidak langsung.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0410&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz3WrPcS1Io 
Hakcipta terpelihara