Wednesday, April 28, 2010

Tembak orang macam tembak anjing!!!


Wajah kanak-kanak yang ditembak polis. Adakah seperti wajah perompak? Bagaimana kalau
kanak-kanak ini anak anda atau adik anda atau saudara mara anda?


Tembak orang seperti tembak anjing. Seolah-olah nyawa tidak bernilai langsung! Sebelum ini ramai
orang indonesia ditembak mati

dilabelkan dengan perompak  atau penyamun! Sekarang terkena orang Malaysia, baru tahu!
Kanak-kanak pulak tu. Umur baru 15 tahun masih sekolah lagi. Tak adapun bawa senjata api.

Sebelum ini ada diantara orang-orang indonesia yang mengadu kawan mereka yang ditembak
 polis orang baik memandu kereta pun tak tahu dan rtak ada lesen tiba-tiba ditembak polis.

Dituduh perompak. Kalau yang ditembak itu anak sendiri atau saudara sendiri baru lah tahu
bagaimana perasaan keluarga simangsa sekarang. Jangan sampai hendak mengakkan benang
basah kemudian mengada-adakan cerita dan meletakan senjata didalam kereta mangsa.

Ini boleh berlaku untuk menutup kesilapan pihak polis.
Undang -undang tidak memihak pada polis. Undang-undang tetap dikenakan pada semua
orang tidak mengira pangkat dan kedudukan. Kerajaan patut ambil perhatian dalam perkara

ini supaya rakyat tidak hilang kepercayaan kepada polis dan juga kerajaan.
Rakyat tidak mahu sikap double standard yang berat sebelah untuk menutup kelemahan
atau kesilapan pihak polis ataupun pihak kerajaan.

'Kami mahu keadilan'

SHAH ALAM: Keluarga Allahyarham Aminulrasyid Amzah, 15, mahu pihak berkuasa menyiasat kematian pelajar tingkatan tiga itu secara adil tanpa menyebelahi mana-mana pihak.
Ibu mangsa, Norsiah Mohamad, 60, berkata beliau tidak mahu menuduh sesiapa, sebaliknya mahu mencari kebenaran supaya ia dapat diselesaikan dengan cara sebaik.
Katanya, masih terlalu awal untuknya membuat keputusan sama ada mahu mengambil tindakan undang atau tidak dan pihaknya kini menunggu siasatan polis.

“Saya sebagai waris mahu polis siasat lebih adil untuk keluarga. Biar dia dibela sewajarnya.

“Saya tahu anak saya, dia bukan penjenayah atau terbabit dengan mana-mana aktiviti jenayah.

“Kita minta polis siasat, bila tahu nanti siapa yang betul atau salah, baru kita ambil tindakan,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini, semalam.

Norsiah yang juga ibu tunggal pada masa sama turut menafikan laporan media kononnya anak bongsunya daripada lapan beradik itu terbabit dalam aktiviti jenayah.

“Akhbar kata dia (Aminulrasyid) penjenayah. Ini yang menyebabkan kita kurang puas hati.

“Ia boleh mengaibkan keluarga saya, jadi saya terpanggil untuk menceritakan perkara sebenar supaya ia tidak disensasikan sehingga mengguris hati kami,” katanya dalam nada sebak.

Menceritakan latar belakang, anak kesayangannya itu, Norsiah berkata, Aminulrasyid aktif bersukan dan pernah mewakili sekolahnya dalam beberapa pertandingan peringkat daerah.

“Malah, dia banyak sijil dan piala yang dia dapat dalam bersukan. Jadi macam mana dia boleh terbabit dalam jenayah,” katanya mempersoalkan kewajaran polis menembak mati anaknya.

Kakak mangsa, Nor Azura Amzah, 39, berharap saksi yang melihat kejadian itu supaya tampil bagi memberi kerjasama kepada polis menyiasat kejadian itu.

“Saya percaya ramai yang melihat kejadian ini, jadi saya harap mereka tampil bagi membela adik saya.


“Kami sekeluarga hanya nak nama keluarga dibersihkan, itu saja,” katanya.

Sementara itu, kira-kira jam 2 petang semalam, Norsiah turut membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis (IPD) Shah Alam, menuntut kes anaknya disiasat polis Bukit Aman.

Harian Metro semalam melaporkan seorang remaja berusia 15 tahun yang memandu sebuah kereta bersama rakannya maut selepas terkena sedas tembakan di Seksyen 11, di sini.

Mangsa Aminulrasyid Amzah mati di tempat kejadian selepas terkena sedas tembakan di belakang kepalanya.

Kes RM10 juta tutup



PUTRAJAYA - Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat berkata, siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia terhadap beliau kerana didakwa menerima RM10 juta daripada Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Dimensi Sdn Bhd, Datuk Seri Tiong King Sing, ditutup dan tiada siasatan lanjut. 

Katanya, perkara itu dimaklumkan kepada beliau oleh SPRM dalam surat yang diterimanya pada 22 April lalu, yang menyatakan bahawa tiada bukti yang dapat mengaitkan beliau dengan dakwaan berkenaan. 

“Kes ini saya dimaklumkan bahawa ianya tamat siasatan dan tidak dilanjutkan siasatannya. Tiada sebarang bukti yang membuktikan tuduhan-tuduhan liar itu,” katanya kepada media selepas melancarkan kempen 'Red Means Stop' anjuran Jabatan Keselamatan Jalan Raya bersama Sun Media Corporation Sdn Bhd, di sini, semalam. 

Tahun lalu, SPRM memanggil Tee Keat untuk disoal siasat berhubung skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) dan dakwaan kononnya beliau menerima RM10 juta daripada King Sing untuk aktiviti MCA. Ketika itu Tee Keat adalah Presiden MCA, manakala Kuala Dimensi adalah kontraktor utama bagi pembinaan PKFZ. 

“Kini, jelas senario sebenarnya, walaupun jawapan ini saya terima agak lewat sedangkan saya sedia maklum kes ini tamat siasatannya agak awal sebelum ini. 

“Tanpa atas apa sebab, saya baru dapat maklum balas atau jawapan pada 22 April lalu,” katanya. 

Ditanya sama ada beliau kecewa lewat menerima surat jawapan daripada SPRM, Tee Keat berkata: “Sepanjang hayat kita ini, cukup banyak kekecewaan, rintihan itu ada, kecewa jangan. 

“Kalau inilah yang berlaku yang menimpa kita, kita kena juga berdepan dengannya dengan penuh ketabahan.” - Bernama

Noh bawa isu tembak remaja ke Kabinet



SHAH ALAM - Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar akan membangkitkan isu kematian remaja ditembak polis pada mesyuarat Kabinet, hari ini, bagi meminta supaya polis menjalankan siasatan kes itu secara adil. 

“Ini satu kes yang serius. Saya dimaklumkan polis akan melantik seorang pegawai di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) untuk siasatan menyeluruh," katanya ketika mengunjungi keluarga Aminulrashid Amzah, semalam, iaitu remaja yang dilaporkan terkena tembakan yang dilepaskan anggota polis peronda apabila dia dan seorang lagi sahabatnya dikatakan enggan memberhentikan kenderaan untuk pemeriksaan. 

Bagaimanapun, keluarga Aminulrashid, semalam, menolak dakwaan mangsa terlibat aktiviti jenayah walaupun polis menemui sebilah parang dalam kereta yang dipandunya. 

Kakak mangsa, Nor Azura, 39, berkata, setahunya tidak ada parang dalam kereta milik salah seorang ahli keluarganya, yang ada hanyalah sekaki payung. 

“Saya berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan yang mendalam dan adil dalam kes ini,” katanya pada sidang media di rumah ibunya di sini, semalam. 

Ibu mangsa, Norsiah Mohd, 61, pula meminta supaya Allahyarham anaknya tidak digelar penyamun atau penjenayah kerana beliau lebih mengenali siapa sebenarnya anaknya itu.

BN menang sementara



KUALA LUMPUR – Pas menyifatkan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor Ahad lalu sebagai ‘gembira dalam gelisah’ dan hanya bersifat sementara. 

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, hasil analisis parti itu mendapati empat faktor utama menjadi penyumbang kepada pertambahan undi kepada BN untuk merampas kerusi itu yang dikuasai Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008. 

Katanya, sebahagian undi rosak pada PRU 2008 telah kembali memihak kepada BN pada pilihan raya kecil Hulu Selangor. 

“Separuh sudah tidak rosak, daripada undi yang rosak (pada 2008) sebahagian pengundi memang kembali kepada BN atas tindakan-tindakan yang tertentu,” katanya pada sidang akhbar mengenai analisis awal Pas mengenai kemenangan BN pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor. 

Selain itu kata Mustafa, BN juga memperolehi 600 undi pos yang disifatkannya sebagai undi tetap kepada BN setiap kali dalam pilihan raya diadakan. 

“Kita juga dapati lebih daripada 50 peratus pengundi di gugusan Felda menyokong BN kerana jentera mereka menumpu sepenuh perhatian terhadap kawasan tersebut. 

Selain itu, trend dengan kaum India yang didapati kembali semula menyokong BN juga menjadi penyumbang kepada kemenangan calon mereka. 

“Sebagai contohnya, ada di saluran undi di kawasan majoriti India, di mana BN mendapat 107 undi, manakala PKR hanya mendapat lapan undi sahaja,” katanya 

Analisis Pas kata Mustafa juga mendapati kemenangan BN hanya bersifat sementara. 

Menurut Mustafa, serangan peribadi terhadap Zaid dan perkara lompat parti oleh sebilangan kecil ahli PKR yang hebat diberitakan media juga sedikit pun tidak menjejaskan perhatian serta kepercayaan rakyat kepada kepimpinan PR malah semakin bertambah 

“Walaupun BN menabur pelbagai janji dan habuan sekiranya memenangi PRK, tawaran itu tidak mempengaruhi undi rakyat. 

“Rakyat sudah mempunyai kesedaran bahawa BN bukan lagi parti masa depan tetapi lebih percaya kepada komponen dalam PR malah PRK kali ini merupakan petanda bahawa BN perlu lebih berhati-hati pada PRU akan datang,” katanya.

Kalau dah bangang


Persatuan bogel serbu pulau di Britain


GAMBAR menunjukkan beberapa orang berbogel di Pulau Flat Holm di Britain pada minggu lalu.


BRISTOL - Sejumlah lelaki dan wanita yang menganggotai sebuah persatuan bogel menyerbu Pulau Flat Holm, dekat sini untuk menikmati aktiviti perkelahan dalam keadaan tanpa seurat benang, lapor sebuah akhbar semalam.
Mereka datang dari seluruh Britain dan berada di pulau berkenaan sepanjang hujung minggu lalu.
Ahli-ahli persatuan yang mengamalkan cara hidup bogel, itu turut tidak membenarkan orang lain berada di lokasi tersebut melainkan mereka bersetuju untuk turut sama melucutkan pakaian.
Pencipta telefon, Marchese Guglielmo Marconi menghantar mesej radio pertama dari Pulau Flat Holm pada tahun 1897 sekali gus menjadikan tempat itu terkenal di kalangan pelancong.
Pulau batu berkeluasan 34.8 hektar di Selat Bristol, dekat sini pernah menjadi tempat perlindungan penyeludup. - Agensi

Menteripun teruk!


Ahli Parlimen baling telur


SEORANG pengawal keselamatan melindungi Speaker Parlimen, Volodymyr Liytvyn pada satu insiden baling telur di Parlimen Kiev semalam.


KIEV – Parlimen Ukraine bersidang dalam situasi huru-hara semalam apabila kalangan anggotanya bertindak membaling telur, bom asap dan bergaduh sesama mereka.
Sejumlah anggota Parlimen negara itu berbalas-balas tumbukan manakala seorang wakil rakyat dilihat memijak kepala anggota lain.
“Telur, bom asap semuanya sudah dibaling. Cuma senjata api sahaja yang masih belum digunakan,” kata seorang ahli Parlimen, Andriy Shevchenko.
Situasi memalukan itu tercetus berhubung isu perjanjian melanjutkan pajakan sebuah pangkalan tentera laut yang menempatkan Armada Laut Hitam Rusia di Ukraine.
Kalangan wakil rakyat parti pembangkang berang kerana Presiden Ukraine, Viktor Yanukovych memeterai perjanjian dengan rakan sejawatnya dari Rusia, Dmitry Medvedev untuk melanjutkan pajakan pangkalan laut itu sehingga sekurang-kurangnya pada tahun 2042 yang dianggap sebagai menjual maruah negara.
Tidak dapat menahan kemarahan, beberapa wakil rakyat mula membaling telur ke arah Speaker, Volodymr Lytvyn yang memaksanya berlindung di sebalik dua payung hitam yang dipegang oleh dua pembantunya.
Seorang wakil rakyat pro-Barat kemudian membaling sebutir bom asap sebelum keadaan menjadi tidak terkawal dan pergaduhan tercetus.
Seorang anggota Parlimen, Andriy Shevchenko daripada blok pembangkang diketuai bekas Perdana Menteri, Yulia Tymoshenko mengetahui bahawa bom itu dibaling oleh anggota-anggota pembangkang.

PAYUNG digunakan untuk melindungi Speaker Parlimen, Volodymyr Liytvyn semasa sidang sedang berlangsung.


Namun, dia menyatakan tindakan tersebut wajar dilakukan.
“Sejarah akan menghakimi kita,” katanya.
Walaupun huru-hara, beberapa Ahli Parlimen cuba untuk meneruskan sidang. Beberapa Ahli Parlimen menjerit: “Memalukan.”
Parlimen kemudian mengiktiraf perjanjian itu dengan 236 anggota Parlimen menyokongnya.
“Bom asap, balingan telur dan pergaduhan tidak akan menghalang pihak majoriti membuat keputusan,” kata Perdana Menteri, Mykola Azarov selepas sidang berakhir.
Menerusi perjanjian itu, Rusia bersetuju untuk memberikan Ukraine 30 peratus diskaun import gas asli yang dianggarkan bernilai AS$40 bilion (RM127.50 bilion) selama 10 tahun. – AFP

Senator mahu elaun tetap perjalanan RM1,000 sebulan



KUALA LUMPUR 27 April - Kerajaan diminta supaya memberikan elaun tetap perjalanan sebanyak RM1,000 sebulan kepada senator bagi memudahkan mereka "turun padang" bertemu rakyat.
Senator Datuk Akbar Ali berkata, pihaknya kini menghadapi masalah untuk lebih kerap bertemu rakyat seperti yang disarankan kerajaan menerusi gagasan 1Malaysia disebabkan tiada elaun tetap untuk perjalanan.
"Kita kini hanya boleh membuat tuntutan perbatuan seperti pegawai kerajaan lain berasaskan perjalanan yang dibuat setiap bulan dan kadar bayaran yang diterima adalah berbeza-beza bergantung tuntutan yang dibuat.
"Tuntutan ini hanya boleh dibuat jika senator menghadiri acara yang dianjurkan oleh kerajaan dan ia mesti dibuktikan oleh surat jemputan rasmi," katanya ketika membahaskan usul menjunjung titah ucapan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada sidang Dewan Negara hari ini.
Menurut beliau, syarat yang ditetapkan itu adalah tidak sesuai bagi para senator yang turut perlu menghadiri acara yang dianjur pihak-pihak yang tiada kaitan dengan kerajaan.
"Kita dituntut untuk turun padang sama ada ketika bencana alam, kematian dan kemalangan termasuk menghadiri acara yang dikendalikan pertubuhan bukan kerajaan (NGO)," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Akbar juga meminta supaya elaun untuk pemandu para senator dinaikkan daripada RM1,200 kepada RM2,300 sebulan.
Katanya, jumlah itu akan meliputi gaji dan elaun untuk makanan, penginapan serta kerja lebih masa.
Beliau turut meminta supaya peruntukan kepada senator sebanyak RM200,000 bagi setiap tiga tahun sekarang dinaikkan kepada RM300,000 untuk tempoh sama atau RM100,000 untuk setiap tahun.

MCA tuduh Perkasa punca undi Cina terhadap BN kurang



KUALA LUMPUR 27 April - MCA hari ini mengutuk kenyataan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali yang mahu kerajaan menangguhkan segala bantuan kepada kaum Cina.
Presidennya, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek berkata, kewujudan pertubuhan seperti Perkasa inilah sebenarnya menyebabkan kurangnya sokongan pengundi Cina kepada calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor baru-baru ini.
"Kemajuan negara akan terbantut jika kita terus mempunyai pemimpin seperti Ibrahim Ali yang tidak sensitif terhadap perasaan kaum lain.
"Ini sekali gus akan mengagalkan usaha gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini, Ibrahim Ali menggesa kerajaan menangguhkan bantuan dan peruntukan yang dijanjikan untuk masyarakat Cina apabila keputusan pilihan raya kecil kawasan itu menunjukkan kebanyakan pengundi kaum itu tidak menyokong calon BN, P. Kamalanathan.
Menurut Ibrahim, tindakan itu adalah penting kerana kaum Cina tidak berterima kasih walaupun kerajaan sebelum ini telah banyak membantu mereka.
Pada pilihan raya kecil itu, Kamalanathan menang dengan majoriti 1,725 undi setelah menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim.
Dalam pada itu, Soi Lek berkata, duit kerajaan adalah milik rakyat dan ia seharusnya digunakan untuk kemajuan rakyat berbilang kaum di negara ini.
"Saya telah berjumpa dengan Perdana Menteri dan beliau memberi jaminan untuk mengotakan janjinya yang mahu membawa pembangunan kepada penduduk di Hulu Selangor.
"Saya yakin BN akan sentiasa mengotakan apa yang telah dijanjikannya kepada pengundi," jelasnya.

Speaker pertahan soalan sensitif dibawa ke Sidang Dewan



ALOR SETAR 27 April - Meskipun terpaksa menarik balik dua soalan bertulis daripada seorang wakil rakyat Pas dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah semalam, Speaker, Datuk Dr. Abdul Isa Ismail tetap mempertahankan kewajaran membenarkan pertanyaan itu dibawa ke Sidang Dewan.
Abdul Isa berkata, pihaknya tidak terlepas pandang soalan yang mencetuskan kontroversi berkenaan kerana telah mempertimbang dan membincangkannya bersama urus setia pejabat DUN Kedah sebelum persidangan.
Beliau berpandangan, soalan daripada Mohd. Nasir Mustapa (Pas-Kubang Rotan) itu tidak sampai ke tahap melanggar peraturan Dewan.
"Saya melihat soalan wakil rakyat Kubang Rotan itu bukan mempersoalkan kuasa Tuanku Sultan tetapi bertanyakan sejauh mana bidang kuasa itu dihormati," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Speaker Kedah diminta mengulas mengenai kekecohan dalam Sidang DUN Kedah semalam apabila bantahan keras daripada beberapa wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang mempertikaikan dua soalan bertulis dikemukakan oleh Mohd. Nasir menyebabkan Abdul Isa membatalkan soalan berkenaan.
Penyokong pembangkang menganggap soalan itu seolah-olah cuba mempertikai kuasa Sultan selaku Ketua Agama Islam di negeri ini.
Menurut Abdul Isa, tindakan menarik balik dua soalan tersebut bertujuan mengelakkan pertikaman lidah antara penyokong kerajaan negeri dan pembangkang daripada menjadi bertambah serius dan tidak terkawal.
Katanya, tindakan itu juga dibuat kerana ada pihak yang mentafsirkan soalan berkenaan sebagai amat sensitif sehingga menimbulkan pertengkaran mulut.
Dalam pada itu, ditanya sama ada sebarang tindakan akan diambil ke atas wakil rakyat yang terlibat, beliau mengatakan tidak perlu kerana ia tidak melanggar tata etika Dewan.
"Suasana yang tercetus itu kerana kedua-dua belah pihak ingin menegakkan pendapat masing-masing. Ia berlaku secara spontan dan tidak sengaja," katanya.

Zulkulim buat lagi


Desak siasat MalaysiaKini

KUALA LUMPUR 27 April - Pihak berkuasa perlu mengadakan siasatan menyeluruh terhadap portal berita propembangkang, Malaysiakini yang akhir-akhir ini bertindak seolah-olah mereka golongan yang tidak boleh disentuh.
Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin (gambar) berkata, beliau percaya sudah tiba masanya pihak berkuasa melakukan siasatan bagi mengetahui adakah portal berita itu dibiayai oleh kumpulan-kumpulan tertentu untuk mereka-reka laporan palsu.
"Siasatan juga perlu dibuat mengenai siapakah yang mengupah mereka (Malaysiakini) untuk membuat laporan palsu seperti yang ditegaskan oleh ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong.
"Pihak berkuasa tidak perlu khuatir untuk mengambil tindakan tegas terhadap pemilik, pengarang, wartawan-wartawan dan penulis kolum di Malaysiakini yang akhir-akhir ini bertindak seperti mereka golongan yang kononnya tidak boleh disentuh," katanya.
Zulkifli berkata demikian dalam entri terbarunya di blog beliau, http://zul4kulim.blogspot.com.

Menteri gaduh di parlimen siap pakai bom asap!


Parlimen Ukraine kecoh



KIEV 27 April - Parlimen Ukraine menjadi kecoh hari ini apabila anggota Parlimen bergaduh dan melontar bom asap ketika berlaku perbahasan hangat mengenai tempoh melanjutkan kehadiran sebuah pangkalan tentera laut Rusia di negara ini.
Di sebalik kejadian luar biasa yang menyaksikan dewan persidangan dipenuhi asap, Parlimen meluluskan usul untuk melanjutkan tempoh armada Laut Hitam Rusia di Crimea sehingga 2042, yang disifatkan oleh pembangkang sebagai 'menggadai' Ukraine.
Kekecohan bermula apabila Speaker, Volodymr Lytvyn dibaling sedozen telur memaksa beliau berlindung di sebalik payung.
Beberapa bom asap juga dilontar di dalam dewan, dipercayai dilakukan oleh wakil rakyat pembangkang pro-Barat sebelum tercetus pergaduhan apabila anggota-anggota Parlimen saling tumbuk-menumbuk.
Andriy Shevchenko, ahli Parlimen daripada blok yang diketuai bekas Perdana Menteri, Yulia Tymoshenko, mengaku bom asap berkenaan dilontar oleh pihaknya.
Walaupun keadaan kecoh, terdapat ahli Parlimen meneruskan ucapan seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku.
Dengan sebahagian ahli Parlimen memekik 'malu,' Parlimen meluluskan usul berkenaan dengan 236 daripada 450 anggota Parlimen mengundi menyokong usul tersebut.
''Tidak kira lontar bom asap atau baling telur ataupun bergaduh, mampu menidakkan pihak majoriti membuat keputusan,'' kata Perdana Menteri, Mykola Azarov selepas sesi tamat.
Rusia sebelum ini bersetuju untuk memberikan Ukraine diskaun sebanyak 30 peratus ke atas gas asli yang diimportnya bernilai AS$40 bilion (RM128.8 bilion) bagi tempoh 10 tahun jika Ukraine melanjutkan tempoh kehadiran pangkalan tenteranya di Ukraine. - AFP