Wednesday, November 23, 2011

Media perdana tidak adil pada Kelantan



Rizal Tahir
KOTA BHARU, 23 Nov: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melahirkan rasa kesal terhadap media arus perdana yang masih tidak berlaku adil terhadap kerajaan negeri dalam membuat laporan.
Menurutnya, walaupun pelbagai program pembangunan dilakukan oleh kerajaan negeri termasuk di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT), namun media ‘menyembunyikan’ laporan sebenar.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Perasmian Publisiti dan Penyertaan Awam yang melibatkan lima jajahan di sebuah hotel di sini tengah hari tadi.
(Gambar: Tuan Guru Nik Abdul Aziz menyampaikan draf pembangunan kepeda Ketua Jajahan Kuala Krai, Ahmad Robert.)
Lima jajahan terbabit ialah Pasir Putih, Tanah Merah, Machang, Kuala Krai dan Jajahan Jeli.
Menurutnya, cara berkenaan tidak ubah seperti lalat yang hanya gemar hinggap pada tempat kotor dan akhirnya membawa penyakit.
“Kelantan sejak sekian lamanya bukan sahaja tidak diberi keadilan dalam laporan media arus perdana, sebaliknya sering menjadi bahan fitnah,” ujarnya.
Bagaimanapun, beliau melahirkan rasa syukur memandangkan negeri ini berkembang pesat dalam semua aspek termasuk jumlah penduduknya juga kian bertambah.
“Pada tahun 2010 jumlah penduduk mencecah 1.46 juta orang berbanding hanya 1.31 juta pada tahun 2000,” ujarnya.
Media perdana tidak adil pada Kelantan:

'via Blog this'

Bantah hina agama, mengapa tunggu 30 hari

Nasrudin Hasan
Rakyat semakin keliru dan kian sangsi terhadap komitmen kerajaan UMNO dan BN dalam membawa agenda transformasi. Segalanya dilihat sebagai "lakonan strategik" di layar politik tanahair setelah satu demi satu komitmen UMNO dan BN terungkai dalam usaha janji mereka kononnya mahu melakukan perubahan di dalam negara tercinta.
Bermula dengan sikap flip flop mereka tehadap dasar PPSMI setelah mereka memberi komitmen mahu memansukhkannya dan diikuti pula dengan ISA. Masih panas dicuping telinga rakyat, kenyataan YAB Perdana Menteri yang memberi harapan kepada mereka untuk memansukhkan ISA, namun tidak lama kemudian 13 orang ditangkap di bawah ISA.
Kini Himpunan Aman pula diikat dengan pelbagai peraturan yang menggerunkan. Kononnya mereka membenarkan Himpunan Aman, sebaliknya segala peraturan yang ditetapkan seperti menutup ruang himpunan tersebut boleh diadakan malah dilihat lebih keras dari peraturan yang sedia termaktub dalam Akta Polis. Jika sebelum ini denda RM2K kini telah meningkat kepada RM20K.
Pula disyaratkan notis 30 hari sebelum himpunan diadakan, tidak boleh diadakan di jalan raya dan mesti di luar 50 meter dari rumah ibadah. Segala peraturan dan syarat ini seperti mereka tidak mahu himpunan aman diadakan. Sedangkan himpunan tersebut, jika sifatnya aman, kenapa tidak dibenarkan penganjuran himpunan tersebut sekalipun di perkarangan masjid dan di jalan raya.
Sebagai contoh, jika timbul isu yang melibatkan kepentingan agama Islam seperti penghinaan terhadap agama, isu aqidah dan seumpamanya, sudah tentu bermula dari mimbar khutbah sehinggalah perkarangan masjid menjadi lokasi himpunan yang paling starategik dan berkesan, justeru tujuan himpunan aman dianjurkan adalah untuk memberi maklumat, mencetuskan kesedaran, menyatukan suara dan tindakan. Demikian juga himpunan aman yang memerlukan perarakan dari satu destinasi ke satu destinasi yang lain untuk menarik perhatian umum terhadap mesej yang dibawa oleh penganjur jelas memerlukan jalanraya.
Isu yang berlaku terkadang perlu ditangani segera. Apa rasionalnya apabila terpaksa menunggu 30 hari selepas notis, barulah himpunan aman itu boleh dilangsungkan kerana disyaratkan notis himpunan tersebut mestilah 30 hari sebelum. Peraturan ini tidak menepati aspirasi penganjuran himpunan aman. Kita bukan berhimpun untuk konsert hiburan yang membolehkan kita bersiap awal. Penganjuran konsert, usahkan 30 hari, 3 bulan sebelum pun tidak mengapa. Tetapi ini adalah himpunan aman yang banyak keadaannya bersifat respon balas terhadap sesuatu isu semasa yang timbul dan perlu tindakan pantas. Contoh mudah, hari ini orang hina agama anda, apakah anda perlu menunggu 30 hari untuk menyatakan bantahan terhadap penghinaan tersebut?
Jika sifat himpunan itu aman, maka apa yang diperlukan ialah kawalan keselamatan oleh pihak polis pada hari peristiwa atau himpunan itu dianjurkan tanpa perlu pihak polis melancarkan sebarang provokasi seperti menggunakan gas pemedih mata dan water cannon. Sebagaimana yang dilakukan ke atas himpunan aman Citra Warna, perarakan Maulidur Rasul, perarakan Hari Kebangsaan atau sambutan Hari Kemerdekaan negara serta lainnya. Semua himpunan besar itu memerlukan lokasi seperti perkarangan masjid dan jalanraya.
Saya melihat, di sebalik tabir slogan transformasi yang diledakkan oleh UMNO dan BN, mereka secara strategik sedang merangka satu tindakan untuk lebih mencengkam kuasa ke atas rakyat sekaligus membohongi rakyat dengan pelbagai komitmen kononnya ke arah perubahan tetapi perubahan yang dimaksudkan ialah perubahan yang lebih mengukuhkan cengkaman, menyempitkan ruang demokrasi, mengeraskan hukuman ke atas rakyat.
Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
Bantah hina agama, mengapa tunggu 30 hari:

'via Blog this'

SMM tuntut penjelasan Mais sekat Aziz Bari

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 23 Nov: Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) menuntut Majlis Agama Islam Selangor (Mais) memberi penjelasan segera berhubung tindakan mengarahkan kertas kerja Prof. Dr. Abdul Aziz Bari ditarik balik daripada dibentangkan.
Pengerusinya, Ahmad Syukri Che Ab Razab berkata, tindakan itu merupakan satu lagi tindakan yang bercanggah dengan prinsip kebebasan akademik dan kebebasan bersuara yang termaktub dalam Perlembagaan Negara.
"Mahasiswa menuntut Pengerusi Mais, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa memberi penjelasan segera dan memohon maaf segera sebagai tanda menghormati konsep kebebasan akademik yang dituntut oleh ramai pihak," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.
Abdul Aziz sebelum ini menerima jemputan daripada Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis) untuk membentangkan satu kertas kerja dalam seminar esok.
Bagaimanapun, Aziz pagi tadi menerima notis daripada Kuis yang memaklumkan Mais mengarahkan pihak penganjur membatalkan pembentangan kertas kerja tersebut.
Syukri berkata, mahsiswa tidak teragak-agak untuk mengadakan demonstrasi lebih besar daripada yang diadakan di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) sebelum ini jika Mais memandang remeh tuntutan mereka.
"Mahasiswa juga memberi amaran bahawa sekiranya mais gagal memberi penjelasan segera dalam isu ini, mahasiswa tidak teragak agak untuk bertindak secara lebih drastik seperti yang pernah berlaku di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia," katanya sambil mendakwa Mais mengambil tindakan "menghukum" walaupun kes Abdul Aziz yang didakwa mengkritik Sultan Selangor masih dalam siasatan.
Justru, SMM akan menyusun pertemuan dengan pihak Mais bagi mendapatkan penjelasan secara bersemuka dan akan menyerahkan memorandum kebebasan akademik sebagai tuntutan agar pihak Mais menghormati konsep kebebasa alademik.
"Pertemuan tersebut juga akan membincangkan permasalahan berkaitan isu mahasiswa Kuis yang sebelum ini dibebankan dengan masalah kadar yuran yang membebankan mahasiswa," katanya.
Tambahnya, meskipun Kuis terletak di bawah Mais, Mais sewajarnya bertindak lebih profesional bagi memastikan aktiviti akademik tidak terjejas.
"Mais seharusnya lebih profesional dengan tidak menjadikan isu yang berlaku sebagai sentimen seterusnya bersifat prejudis sehingga merugikan institusi akademik.
"Mais selaku badan Agama Islam yang utama di Selangor tidak seharusnya mengambil tindakan yang mencemarkan imej badan itu yang selama ini dihormati oleh masyarakat," ujarnya.
SMM tuntut penjelasan Mais sekat Aziz Bari:

'via Blog this'

Lagi 'sindiket IC' warga asing dikesan

Harakah Daily
SEPANG, 23 Nov: Dewan Pemuda PAS menjejaki satu lagi operasi dipercayai sindiket memberi kad pengenalan kepada warga asing secara tidak sah di Pusat Latihan KIWA di tepi lebuh raya menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Timbalan Pengerusi Lajnah Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Rakyat Dewan Pemuda PAS Pusat Adram Musa ketika dihubungi Harakahdaily berkata, pihaknya mengesan perkara itu petang tadi dan telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang.

Menurutnya, kira-kira jam 5 petang tadi, orang ramai melihat sekumpulan warga asing berada di situ dan dilihat seperti sedang dipindahkan dari bilik latihan tersebut.

"Pihak polis telah sampai ke tempat kejadian dan telah menahan lima orang suspek yang cuba melarikan diri.

"Apa yang mencurigakan kita, agen atau penganjur nya kita dapati orang yang sama dalam kes serupa yang berlaku di Astana Dugang Desa Putra berhampiran Putra Jaya tempoh hari," katanya.

Kesemua suspek tambahnya, berjaya ditahan dan telah dibawa ke balai polis IPD Sepang.

"Kita serah kepada polis menyiasat kes ini," katanya lagi.

Oktober lalu, sindiket serupa dipercayai ada kaitan dengan pemberikan MyKad kepada warga asing untuk tujuan pilihan raya, dikesan melakukan operasi tersebut di sebuah resort berhampiran Putrajaya.

Ketika itu, enam buah bas didakwa membawa warga asing dibawa ke resort tersebut.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Sepang Superintendan Imran Abdul Rahman mendakwa bahawa ratusan warga asing yang ditemui di Istana Dugang Country Resort itu menghadiri kursus keusahawanan.

Namun alasan itu dibidas Pengerusi Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Dewan Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kaiat.

Suhaizan mendakwa, alasan itu sama sekali tidak dapat diterima rakyat malah tiada keperluan warga asing mengikuti kursus usahawan kerana mereka memang tidak dibenarkan berniaga di Malaysia. Lagi 'sindiket IC' warga asing dikesan:

'via Blog this'

Akta Perhimpunan teruskan tahan tanpa bicara

Aziz Muda
KUALA LUMPUR, 23 Nov: PAS menyimpulkan Akta Perhimpunan Aman 2012 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri pada persidangan Dewan Rakyat semalam semakin mengecilkan lagi sistem demokrasi di tanah air.
Beberapa peruntukan yang terdapat di dalam akta tersebut jelas menjurus ke arah itu, sehingga menjadikan akta itu jelas lebih menekan rakyat berbanding Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini mengumumkan akan memansuhkan ISA dan akta-akta zalim, tetapi akta tersebut jelas bercanggah dengan janji tersebut.
Menurutnya, menerusi Akta Perhimpunan Aman 2012 itu, pihak kerajaan tetap juga meneruskan tahanan tanpa bicara.
Katanya, selain itu, setiap perhimpunan aman yang hendak diadakan oleh parti-parti politik atau rakyat mestilah dikemukakan kepada pihak polis tidak kurang 30 hari sebelum perhimpunan diadakan.
"Sebelum ini, jika rakyat hendak mengadakan perhimpunan atau ceramah-ceramah kecil mestilah dikemukakan dalam masa 10 hari.
"Kini menerusi akta baru yang dibentangkan itu mestilah menunggu lebih lama sehingga 30 hari dan ini jelas lebih menekan rakyat dan semakin mengecilkan demokrasi," katanya pada sidang media di Dewan Rakyat, hari ini.
Dengan jangka masa menunggu kelulusan pihak polis yang begitu panjang untuk mengadakan perhimpunan, menurutnya, pelbagai kerumitan dan bahaya pasti akan berlaku.
"Bayangkanlah jika Isreal menyerang Palestin hari ini, untuk kita mengadakan perhimpunan mestilah menunggu kelulusan pihak polis sehingga 30 hari, tidakkah ini amat menyusahkan?" katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.
Dengan jangka masa sebegitu lama, tambahnya, rakyat Palestin yang diserang oleh Israel itu pasti gagal dibantu oleh rakyat negara ini disebabkan kezaliman akta tersebut.
Sehubungan itu, tegasnya, PAS dan Pakatan Rakyat telah mengambil ketetapan mendesak pihak Kerajaan BN menarik balik akta tersebut bagi membolehkan sistem demokrasi di negara ini hidup dengan subur.
"Sekiranya akta itu diluluskan juga oleh Parlimen nanti, bermakna seluruh rakyat negara ini akan lebih tertekan kerana ia langsung tidak memberikan ruang untuk demokrasi hidup segar di negara ini," katanya.
Seorang lagi Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz omar yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, pembentangan akta tersebut jelas menunjukkan janji Datuk Seri Najib untuk memansuhkan akta-akta zalim di negara ini hanyalah tinggal janji.
Manakala Ketua Pengarah Pilihanraya PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli berkata, menerusi akta tersebut, janji Perdana Menteri untuk melakukan perubahan tidak berlaku kerana tahanan tanpa bicara tetap dikekallkan.
"Ini jelas menunjukkan keadaan yang tidak berubah berhubung perkara itu," katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Kerai.
Turut hadir pada sidang media itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, Penasihat DAP, Lim Kit Siang.
Akta Perhimpunan teruskan tahan tanpa bicara:

'via Blog this'

NFC: PAC dapati banyak kelemahan



KUALA LUMPUR, 23 Nov: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen Malaysia hari ini memutuskan memanggil Kementerian Kewangan dan Ketua Setiausaha Negara untuk melihat semula sistem pengurusan bagi setiap agensi dan jabatan kerajaan.
PAC yang bermesyuarat hari ini membincangkan khusus permasalahan isu Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) yang dilihat banyak kelemahan yang timbul di dalam pengurusannya.
Pengerusi PAC, Datuk Seri Azmi Khalid berkata, mesyuarat itu khusus kepada isu NFC tetapi pada peringkat awal Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) sahaja dipanggil.
"Pada peringkat awal isu NFC ini kita hanya memanggil MOA dahulu untuk kita ketahui permasalahan tersebut, dan pihak NFC kita akan panggil bagi mendengar keterangannya pada bulan Januari 2012 tahun depan.
"Kita belum lagi membincangakn perkara ini secara khusus kerana PAC belum lagi memanggil NFC," jelasnya.
Beliau memberitahu melalui perbincangan hari ini, PAC mendapati beberapa kelemahan yang berlaku pada awal perancangan dan juga perlaksanaan.
"Kelemahan yang paling ketara antara MOA dan NFC adalah di mana wang telah dikeluarkan kesemuanya sejak tahun 2008 hingga akhir 2009.
"Wang tersebut dikeluarkan kepada akaun khas yang mana ia memerlukan kelulusan kementerian untuk disalurkan kepada akaun operasi syarikat.
"Tetapi masalahnya setelah kesemua wang tersebut dikeluarkan barulah perjanjian dilakukan pada 2010," jelasnya.
Beliau juga memberitahu sepanjang perbincangan yang dilakukan terhadap agensi mahupun jabatan kerajaan itu hanya perkara sama yang berulang sehinggakan rakyat sudah mula muak mendengarnya.
"PAC mendapati hanya perkara yang sama berlaku dan kita dapati kelemahan yang jelas adalah sistem pengurusan yang mana ia tidak selari antara pengurusan dengan perlaksanaan.
"Dalam pada itu melihat kepada permasalah yang berulang ini PAC bersetuju untuk memanggil Kementerian Kewangan dan juga Ketua Setiausaha Negara bagi mencari penyelesaian serta memperbaiki kembali sistem yang lama yang tidak sesuai lagi pada masa sekarang," sambungnya lagi.
Tambahnya lagi, pada masa sekarang kebanyakan agensi mahupun jabatan lebih tertumpu kepada projek berkonsep perniagaan dan bagi mengelakkan perkara seperti NFC ini berulang maka perubahan kepada sistem operasi perlu dilakukan.
"Wujud kelemahan dalam sistem yang ada, apabila pihak audit menjalankan tanggungjawabnya serta memaparkan yang benar ia tidak akan disenangi oleh semua jabatan kerajaan," sambungnya lagi.
NFC: PAC dapati banyak kelemahan:

'via Blog this'

Polis Soal Beberapa Orang Berhubung Kontroversi NFC - Ismail Omar


SHAH ALAM: Polis telah merekod kenyataan daripada lebih empat orang bagi memudahkan siasatan terhadap kemungkinan berlaku jenayah pecah amanah membabitkan Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC).

Mereka termasuk pengerusi eksekutifnya Datuk Dr Mohamad Salleh Ismail.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata siasatan berjalan lancar sejak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merujuk kes itu kepada polis baru-baru ini.

"Lebih daripada tiga hingga empat orang dipanggil bagi memudahkan siasatan. Mohamad Salleh hadir di Jabatan Jenayah Komersial (di Bukit Aman) Selasa untuk kenyataannya direkodkan.

"Polis sedang menyiasat perkara itu dari semua sudut," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian ibu pejabat baru kontinjen polis Selangor oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, di sini Rabu.

Sambil menyatakan beliau ada mendengar pelbagai versi kes itu, Ismail berkata orang ramai hendaklah mengelak membuat spekulasi.

"Tolong jangan buat spekulasi. Kita mesti berlaku adil kepada semua pihak oleh kerana kes ini masih disiasat," kata beliau.

Isu NFC timbul selepas laporan Ketua Audit Negara 2010 menarik perhatian bahawa projek itu tidak memenuhi sasaran yang ditetapkan kerajaan.

Mengenai perkara lain, Ismail menggesa media jangan membuat spekulasi tentang penahanan 13 orang dari Darul Islam yang disyaki pengganas di Tawau minggu lepas.

Harian The Star pada Rabu melaporkan mereka yang ditahan itu adalah sebahagian dari satu kumpulan dipercayai merancang membunuh seorang anggota dewan negeri tempatan.

Siasatan awal menunjukkan kumpulan itu menampakkan tanda-tanda yang mereka cuba menghasut pihak tertentu melakukan aktiviti berbahaya terhadap negara.

Menyebut sumber-sumber pembanterasan terrorisme, laporan itu berkata mereka juga merancang menahan seorang pegawai polis sebagai tebusan bagi mendapatkan pembebasan rakan-rakan mereka. - BERNAMA

mStar Online : Polis Soal Beberapa Orang Berhubung Kontroversi NFC - Ismail Omar:

'via Blog this'

300 juta rakyat China miliki akaun Weibo


BEIJING 22 Nov. - Lebih dari 300 juta penduduk di China mempunyai akaun laman blog mikro, lapor akhbar kebangsaan hari ini berhubung perkembangan pesat Internet yang dilihat boleh memintas kawalan media di negara ini.

Akhbar Changjiang Daily melaporkan, Kementerian Maklumat Internet Kebangsaan semalam mengumumkan terdapat lebih 300 juta penduduk mendaftar dalam rangkaian sosial Weibo.

Weibo mempunyai fungsi sama seperti laman sosial antarabangsa yang lain diperkenalkan selepas China mengharamkan penggunaan Twitter pada tahun 2009.

Dalam pada itu, perkembangan pesat Weibo secara tidak langsung mendedahkan kesukaran media untuk mengawal pengaliran maklumat apabila penduduk memilih medium tersebut untuk melahirkan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan berhubung isu rasuah dan skandal.

Pengguna Weibo dipercayai menokok tambah berita berhubung kemalangan maut membabitkan perlanggaran tren pada Julai lalu sehingga mencetuskan kemarahan pelbagai pihak terhadap kerajaan.

Perkara itu turut melibatkan penyebaran gambar menunjukkan mayat-mayat mangsa terjatuh dari gerabak ketika operasi menyelamat sedang dijalankan dan ia menimbulkan pelbagai reaksi dari orang ramai.

Sehubungan itu, pihak berkuasa berikrar untuk meningkatkan usaha membendung khabar angin yang timbul menerusi Internet.

Pada September lalu, portal Internet terbesar China, Sina menyatakan Weibobertanggungjawab menyebarkan khabar angin berhubung pelbagai perkara bagi memberi tekanan kepada kerajaan. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'