Showing posts with label taliban. Show all posts
Showing posts with label taliban. Show all posts

Tuesday, February 12, 2013

Taliban ugut penjual viagra



Peshawar: Pergerakan Taliban di Pakistan semalam memberi amaran kepada peniaga di sebuah kawasan pasar terkenal supaya berhenti menjual VCD filem dewasa dan pil viagra atau yang menyerupainya.

Sekumpulan peniaga memberitahu sebuah agensi berita antarabangsa, mereka menemui empat risalah bertulis tangan mengandungi amaran berkenaan ketika membuka perniagaan kelmarin di pasar Karkhano di pinggir Peshawar.
Kata-kata amaran berbunyi: Menjual ubat seks dan filem lucah adalah bertentangan dengan Syariah, tercatat pada risalah amaran yang diedarkan di bawah nama Tehreek-e-Taliban Khyber. Semua yang terbabit dengan perniagaan ini diberi amaran agar berhenti berbuat demikian atau akan menerima padahnya.

Peniaga berkenaan enggan mendedahkan nama mereka berikutan bimbang dengan tindakan Taliban.

Berpuluh-puluh kedai di Karkhano menjual ubat seks, filem dewasa dan lucah secara terbuka, kata saksi.

Pasar Kakhano terletak di sempadan daerah Khyber, lokasi pertempuran yang semakin sengit antara tentera Pakistan menentang pergerakan Taliban dan militan lain di sempadan Afghanistan.

Peniaga dan penjual VCD muzik atau filem sering menerima ugutan daripada militan, malah kedai mereka pernah dibom kerana dianggap menjalankan perniagaan bertentangan dengan islam.
AFP

Sunday, December 30, 2012

21 polis Pakistan ditembak mati selepas dilaporkan hilang



PESHAWAR: Kerajaan Pakistan berkata 21 anggota polis yang dipercayai diculik Taliban ditemui ditembak mati di barat laut Pakistan selepas dimaklumkan oleh seorang daripada anggota keselamatan yang berjaya melarikan diri.

Pegawai Kerajaan Pakistan, Naveed Akbar Khan berkata, seorang anggota polis ditemui dalam keadaan cedera parah dalam kejadian pembunuhan anggota polis yang berkhidmat di wilayah bergolak serta terdiri daripada puak yang terdapat di negara itu.
Beliau berkata, mayat mereka ditemui di kawasan Jabai selepas 23 anggota polis dilaporkan hilang sebelum malam Khamis lalu.

Katanya, kehilangan mereka adalah susulan serangan militan yang bersenjatakan roket serta senjata automatik ke atas dua lokasi di bahagian depan daerah Peshawar, yang mana turut meragut dua nyawa anggota polis. - AP

Friday, December 28, 2012

Syarat gencatan senjata Taliban



Islamabad: Pergerakan Taliban, mengemukakan syarat gencatan senjata dengan kerajaan termasuk pelaksanaan hukum Syariah dan memutuskan hubungan dengan Amerika Syarikat , ketika pegawai menyifatkannya sebagai tidak munasabah.

Pergerakan itu di dalam surat yang dihantar kepada akhbar harian The News juga mendesak Pakistan menghentikan pembabitan dalam peperangan antara pejuang Taliban dengan kerajaan Afghanistan, sebaliknya memberi tumpuan kepada tindakan ‘membalas dendam’ ke atas India.
Surat daripada jurucakap Taliban Amir Muawiya diterima ketika tumpuan di Afghanistan berubah daripada tindakan ketenteraan oleh Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) kepada usaha mengadakan rundingan damai.

Ia disahkan seorang lagi jurucakap Taliban Ihsanullah Ihsan yang dihubungi melalui telefon. - Reuters

Tuesday, December 25, 2012

Jadikan Taliban parti politik



Kabul: Pakistan memberi kerjasama kepada Afghanistan untuk memulihkan keamanan di negara jirannya itu dengan memujuk pergerakan Taliban menjadi parti politik.

Pembabitan Pakistan adalah penting dalam usaha Afghanistan dan Amerika Syarikat mempromosi keamanan di Afghanistan menjelang pengunduran askar NATO pada akhir 2014.
Mereka beritahu bersetuju dengan pelan kami mengubah Taliban daripada satu entiti tentera kepada entiti politik bagi membolehkannya mengambil bahagian dalam proses politik Afghanistan dan mendapat berkuasa secara aman seperti mana parti politik lain, kata pegawai Kabul.

Pandangan pegawai itu dianggap optimis kerana Pakistan sudah lama dituduh menyokong pergerakan berkenaan tetapi kini sedia menyokong usaha mencapai perdamaian yang masih di peringkat awal.

Syak wasangka di antara Afghanistan dan Pakistan sudah lama menyekat usaha menangani jalan menamatkan ancaman militan.

Pergerakan Taliban berkata, mereka diwakili pemimpin kanan dalam rundingan dengan Pakistan dan Afghanistan termasuk Shahabuddin Delawar yang berpejabat di Qatar.

Sehingga kini, pihak berkuasa Taliban dan Afghanistan tidak ada hubungan secara langsung.
Kenyataan pegawai itu berkata, Afghanistan bahawa Pakistan, yang sekian lama dituduh menyokong kumpulan pemberontak Afghanistan, kini bersedia berusaha ke arah mewujudkan penyatuan, yang masih di peringkat awal dan terdedah kepada perpecahan.

Kami amat optimis. Kami percaya mereka benar-benar ikhlas dalam perbincangan dengan kami, kata pegawai kanan kerajaan.

Pakistan sudah lama mahu menyekat pengaruh jirannya, India di Afghanistan dan dipercayai menyokong pergerakan itu dalam senyap.

Secara jujur, bagi kami, kebanyakan pihak di Pakistan sudah membuat kesimpulan bahawa masa semakin singkat.

Ini bukan lagi soal ketidakstabilan atau kurangnya keselamatan di Afghanistan tetapi juga di Pakistan, kata pegawai itu lagi.
REUTERS

Wednesday, October 10, 2012

Peluru dikeluar, Malala kritik Taliban stabil

Peluru dikeluar, Malala kritik Taliban stabil - Global - Sinar Harian:

Malala Yousafzai
Pasukan tentera membantu Malala Yousafzai yang cedera ditembak di Lembah Swat, Pakistan, semalam. - Foto EPA
Malala Yousafzai
Malala Yousafzai diberi rawatan oleh doktor tentera. - Foto EPA
ISLAMABAD – Pasukan perubatan Pakistan berjaya mengeluarkan sebutir peluru dari kepala remaja perempuan, yang ditembak oleh lelaki Taliban di Lembah Swat, pagi tadi – sehari selepas dia ditembak.

Pejuang hak asasi wanita, Malala Yousafzai, 14, kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil selepas pembedahan.

Selasa lalu, lelaki terbabit telah menyerang Malala dan turut mencederakan dua remaja perempuan lain sewaktu mereka pulang dari sekolah, sehingga membangkitkan kemarahan pihak sekolah.

Malala telah diterbangkan dari Mingora, di mana serangan itu berlaku ke bandar Peshawar, 150 kilometer dari tempat kejadian untuk pembedahan.

Pihak militan berkata, mereka menyasarkan serangan itu ke atas remaja berkenaan kerana mendakwa dia “menyebarkan fahaman sekularisme.”

Seorang jurucakap kumpulan Ehsanullah Ehsan memberitahu BBC, walaupun Malala selamat dari pembedahan, Taliban tidak akan melepaskan dia.

Katanya, pihak berkuasa kini sedang mempertimbangkan cara untuk melindungi remaja itu.

Beliau berkata, keluarga remaja itu tidak pernah terfikir tentang menerima perlindungan keselamatan kerana mereka yakin pihak militan tidak akan berdiam diri selepas dihina begitu.

Malala tampil mendapat perhatian awam pada 2009 selepas menulis diari untuk BBC Urdu tentang kehidupan di bawah pemerintahan Taliban yang mentadbir lembah itu.

Menurut wartawan, Malala dikagumi seluruh rakyat Pakistan kerana keberaniannya dalam bercakap tentang kehidupan di bawah pemerintahan Taliban.

Dia mula menulis blog seawal usia 11 tahun iaitu dua tahun selepas Taliban mengambil alih Lembah Swat dan dengan menggunakan nama pena, Gul Makai remaja itu kemudiannya mendedahkan penderitaan yang  disebabkan oleh militan.

Identitinya akhirnya terdedah selepas Taliban dihalau keluar dari Swat.

Remaja itu kemudiannya memenangi anugerah kebangsaan bagi keberanian dan telah dicalonkan untuk anugerah damai kanak-kanak antarabangsa.
Kumpulan itu berjaya menawan Lembah Swat pada 2007 dan kekal berada dalam kawalan de facto sehingga mereka dihalau keluar oleh pasukan tentera Pakistan semasa serangan pada tahun 2009.

Sewaktu Taliban berkuasa, mereka telah menutup sekolah-sekolah perempuan, menggubal undang-undang Islam dan memperkenalkan langkah-langkah seperti mengharamkan bermain muzik dalam kereta.

Dalam pada itu, ahli politik Pakistan yang diketuai oleh presiden dan perdana menteri mengutuk kejadian tembakan itu dan menggelar Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (AS) sebagai kejam dan pengecut.

Presiden Zardari berkata, serangan itu tidak akan menggoncang azam Pakistan untuk memerangi militan Islam atau menggugat usaha kerajaan untuk menyokong pendidikan wanita.

'via Blog this'

Sunday, September 25, 2011

Karzai ikrar terus usaha berdamai dengan Taleban

Beberapa rakyat pula ikrar mahu balas dendam atas kematian Rabbani
KABUL: Presiden Afghanistan, Encik Hamid Karzai, semalam berikrar akan meneruskan usaha menjalin perjanjian damai dengan kumpulan pengganas Taleban.


Beliau berkata demikian sedang beribu-ribu penduduk setempat menghadiri majlis pengebumian mantan Presiden Afghanistan, Allahyarham Burhanuddin Rabbani, yang dibunuh Selasa lalu.Allahyarham Rabbani, 71 tahun, yang merupakan Presiden Afghanistan dari 1992 sehingga 1996, telah dilantik sebagai orang tengah dalam rundingan damai dengan kumpulan Taleban oleh Encik Karzai pada tahun lalu.


Allahyarham merupakan pemimpin Afghanistan paling kanan yang dibunuh sejak pencerobohan Amerika Syarikat di negara itu untuk menggulingkan pemerintah Taleban pada 2001.Encik Karzai semalam menegaskan bahawa pembunuhan itu tidak akan menjejas usahanya untuk cuba memeterai perjanjian damai dengan Taleban.'


Darah (Allahyarham Rabbani) yang mati syahid dan golongan syahid lain merupakan sebab kita meneruskan usaha sehingga negara kita mencapai keamanan dan kestabilan,' ujarnya.Jenazah Allahyarham Rabbani dikebumikan di atas sebuah bukit di ibu kota Kabul semalam.


Beberapa rakyat Afghanistan yang menghadiri upacara pengebumian itu bagaimanapun berikrar akan membalas dendam di atas kematian Allahyarham.Seorang penuntut universiti, Encik Enayatullah, berkata: 'Kami semua sedang berkabung. 


Rakyat telah kehilangan seorang pemimpin agung. Kami berikrar akan membalas dendam atas kematian Burhanuddin Rabbani. Kami juga menuntut agar pemerintah menahan mereka yang bertanggungjawab atas pembunuhan Rabbani.'Lebih 3,000 pegawai polis dikerahkan memantau upacara pengebumian semalam.


Encik Karzai berkata pengebom nekad yang menyembunyikan bom dalam serbannya dapat mendekati Allahyarham Rabbani dengan membawa cakera padat yang didakwa mengandungi 'mesej keamanan' daripada Taleban.


Pengebom nekad itu telah menunggu selama empat hari sebelum Allahyarham Rabbani kembali ke tanah air dari lawatan luar negeri.Dia meletupkan bom itu ketika memeluk Allahyarham Rabbani.Agensi perisikan Afghanistan berkata ia percaya badan kepimpinan Taleban, yang dikenali sebagai Quetta Shura, terlibat dalam pembunuhan itu.Taleban kini memimpin pemberontakan ke atas pemerintah Encik Karzai dan sekitar 140,000 askar asing yang ditempatkan di negara itu. -- AFP.

Saturday, August 20, 2011

Taliban mengaku lakukan serangan terbaru di Kabul

KABUL: Taliban mengaku bertanggungjawab terhadap serangan berani mati di Kabul hari ini dengan mensasarkan beberapa kepentingan British sebagai tanda cuti umum Hari Kemerdekaan Afghanistan. Jurucakap Taliban, Zabihulaah Mujahid berkata sasaran penyerang adalah Pusat Budaya Britain dan rumah tetamu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). "Taliban Mujahidin menyerbu dua lokai ini dan pertempuran besar berlaku dengan polis Afghanistan," katanya. - AFP -bharian

Saturday, May 21, 2011

Taliban serang konvoi konsulat AS


PESHAWAR: Seorang maut dan 11 cedera apabila Taliban menyerang konvoi konsulat Amerika Syarikat di Peshawar semalam.
Letupan bom yang dipasang pada kereta itu adalah serangan pertama Taliban ke atas kepentingan AS di Pakistan sejak Osama bin Laden dibunuh.

Jurucakap Kedutaan AS berkata, tiada kakitangan mereka cedera parah dalam serangan di kawasan dianggap kubu al-Qaeda itu.

Polis Pakistan pula berkata, dua warga asing cedera ringan.

“Satu daripada kereta perisai rosak akibat bom berkualiti rendah seberat 50 kilogram itu,” katanya.

Kedua-dua kenderaan itu dalam perjalanan ke konsulat AS apabila letupan berlaku. - AFP

Tuesday, May 10, 2011

Militan taliban tumpas



KANDAHAR 9 Mei – Pasukan keselamatan Afghanistan berjaya membunuh saki-baki anggota militan Taliban yang melancarkan serangan bertalu-talu ke atas bandar Kandahar, sekali gus menamatkan pertempuran bersenjata selama 36 jam.
Menurut seorang wartawan AFP, keadaan di bandar terbesar di selatan Afghan ini juga kembali pulih hari ini dengan orang ramai mula keluar menjalankan aktiviti masing-masing dan jalan-jalan dipenuhi kenderaan selepas lengang berikutan serangan tersebut.
Jurucakap tentera wilayah, Zalmay Ayobi berkata, dua daripada anggota terakhir Taliban ditembak mati awal pagi semalam, sementara militan ketiga yang menguasai bangunan polis trafik berhampiran pejabat Keselamatan Lembaga Pengarah Kebangsaan (NDS) dibunuh malam semalam.
“Tentera Afghan akhirnya berjaya mengawal bangunan tersebut yang sebelum ini dikuasai musuh.
“Kesemua tiga anggota terakhir Taliban itu ditembak mati semalam dengan yang ketiga tidak sempat meletupkan diri bersama jaketnya yang dipenuhi bom,” kata Ayobi.
Pertempuran bersenjata tersebut bermula pada kira-kira pukul 4.30 petang waktu Malaysia pada Sabtu lalu apabila sekumpulan militan Taliban dilengkapi jaket bom, senjata api dan pelancar bom tangan menyerang bangunan pejabat Gabenor dari bangunan bersebelahan.
Menurut pegawai, sekurang-kurangnya 10 letupan termasuk serangan berani mati menggegarkan Kandahar ketika serangan merebak ke lokasi lain seperti balai polis dan pejabat NDS. – AFP

Monday, May 9, 2011

Serangan Taliban ke atas Kandahar



KANDAHAR 8 Mei - Pertempuran bersenjata di Kandahar berterusan untuk hari yang kedua hari ini ketika tentera Afghanistan cuba mematahkan serangan Taliban yang setakat ini mengorbankan 18 orang.
Hampir 50 orang cedera dalam tempoh 24 jam sejak militan yang memakai jaket pengebom berani mati dan menggunakan senjata api serta roket menyasarkan pejabat kerajaan, balai polis dan ibu pejabat perisikan tempatan.
Pertempuran dramatik itu bermula kira-kira pukul 1 petang (4.30 petang waktu Malaysia) semalam, apabila skuad militan menyerang pejabat gabenor dari bangunan berhampiran.
Serangan ini adalah yang terbesar sejak Taliban mengumumkan operasi serangan tahunan minggu lalu dan berjanji meningkatkan tentangan selepas tentera elit Amerika Syarikat (AS) membunuh Osama bin Laden.
Sebagai bandar terbesar di selatan negara ini dan juga tempat kelahiran Taliban, penguasaan Kandahar dilihat sebagai kunci utama kepada usaha tentera asing diketuai AS untuk menamatkan pemberontakan pergerakan itu sejak 10 tahun lalu dan menyerahkan tanggungjawab keselamatan kepada kerajaan Afghanistan menjelang 2014. - AFP

Sunday, November 21, 2010

Penduduk Afghanistan tidak tahu mengenai serangan 11 September

KABUL: Kebanyakan penduduk di dua wilayah yang menyaksikan pertempuran paling sengit antara tentera asing dengan Taliban tidak pernah mendengar mengenai serangan 11 September 2001.
Kajian yang dijalankan di Helmand dan Kandahar bulan lalu menunjukkan 92 peratus daripada 1,000 responden tidak tahu mengenai serangan terhadap Washington dan New York yang menyebabkan Amerika Syarikat mengetuai serangan terhadap Afghanistan.

Hasil kajian itu diterbitkan semalam oleh Majlis Keselamatan dan Pembangunan Antarabangsa (ICOS) ketika pemimpin Nato bermesyuarat di Lisbon untuk menentukan penyerahan tanggung jawab keselamatan kepada tentera Afghanistan.

Sehubungan itu, ICOS mencadangkan supaya Nato meningkatkan usaha untuk meyakinkan penduduk Afghanistan bahawa kehadiran tentera asing adalah untuk kebaikan negara mereka.


“Kita perlu menjelaskan kepada penduduk Afghanistan alasan kita berada di negara itu dan membuktikan masa depan mereka akan lebih baik bersama kita daripada dengan Taliban,” kata Presiden ICOS, Norine MacDonald. - Reuters
metro

Tuesday, October 5, 2010

Taliban mengaku serang bekalan NATO



MIRANSHAH, Pakistan 4 Okt. - Taliban Pakistan mengaku bertanggungjawab melakukan dua serangan ke atas konvoi bekalan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di negara ini dan mengancam akan melakukan lebih banyak serangan.
Jurucakap Tehreek-e-Taliban Pakistan (TTP), Azam Tariq berkata, mereka mengaku bertanggungjawab atas serangan terhadap konvoi pembekal NATO di Sindh dan Islamabad.
"Kami akan melakukan lebih banyak serangan dan tidak akan membenarkan mereka menggunakan negara ini sebagai laluan membawa bekalan untuk tentera NATO yang berpangkalan di Afghanistan.
"Ini juga adalah sebagai tindakan balas terhadap serangan peluru berpandu yang dilancarkan oleh NATO," kata Azam.
Menurut polis, sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh apabila 20 trak yang membawa bekalan minyak untuk tentera NATO di Afghanistan diserang dan dibakar berhampiran ibu negara Pakistan, awal pagi tadi.
Serangan dilancarkan ketika pihak berkuasa Pakistan terus menutup jalan darat utama bagi mengangkut bekalan NATO buat hari kelima berturut-turut, selepas Islamabad menuduh helikopter perikatan itu membunuh tiga askar Pakistan di daerah Kurram, pada Khamis lalu.
Dalam kejadian sama Jumaat lalu di selatan Pakistan, sekumpulan lelaki bersenjata berat membakar berpuluh-puluh trak dan lori tangki yang membawa minyak untuk keperluan 152,000 tentera NATO yang memerangi pemberontak Taliban.
"Tiga orang terbunuh dan lapan lagi cedera. Kebanyakan yang cedera akibat terkena tembakan dan merupakan pemandu dan pembantu," kata pegawai polis kecemasan, Mohammad Ahad kepada AFP. - AFP

Friday, September 10, 2010

Taliban menang

KABUL: Seorang pemimpin kanan Taliban semalam berkata, kumpulan pejuang itu memenangi peperangan di Afghanistan.
Mullah Omar juga berkata, Amerika Syarikat membazirkan berbilion-bilion dolar dengan meneruskan sengketa itu.
Dalam kenyataan sempena berakhirnya Ramadan yang disiarkan menerusi laman web satu kumpulan jihad, Mullah Omar berkata, beliau percaya Amerika Syarikat dan sekutunya akan meninggalkan negara itu tidak lama lagi.

Beliau turut menggesa anggota Taliban mematuhi arahannya dan mengelak mengancam orang awam.

“Kemenangan kita terhadap penceroboh sudah semakin nyata dan kejayaan ini adalah dengan bantuan daripada Allah SWT serta perpaduan di kalangan kita.

“Selepas ini, kita akan mewujudkan sebuah sistem yang kukuh, lengkap dan utuh,” kata Omar.

Dalam kenyataan yang ditujukan kepada rakyat Amerika, beliau berkata, tentera negara itu gagal mencapai matlamatnya selepas sembilan tahun berperang.

“Anda perlu sedar pemimpin anda sentiasa berbohong sejak mula melancarkan peperangan terhadap kami,” katanya. - Reuters

Thursday, August 12, 2010

Taliban gesa tolak bantuan Barat



Mangsa banjir Pakistan berebut-rebut untuk mendapatkan bantuan makanan yang diedarkan oleh tentera Pakistan di Jaffarabad, Pakistan, kelmarin. - AP



ISLAMABAD 11 Ogos - Taliban Pakistan menggesa kerajaan supaya menolak bantuan Barat untuk mangsa banjir di negara ini, dengan alasan bantuan itu hanya akan diselewengkan oleh pegawai-pegawai korup.
Gesaan militan yang memerangi kerajaan Pakistan itu disuarakan selepas Amerika Syarikat (AS) meningkatkan bantuan untuk mangsa bencana tersebut.
Banjir di Pakistan yang merupakan yang terburuk dalam sejarah negara ini telah meragut lebih 1,600 nyawa, menyebabkan dua juta penduduk hilang tempat tinggal dan menjejaskan kehidupan kira-kira 14 juta penduduk lain atau lapan peratus daripada penduduk negara ini.
"Kami menggesa kerajaan supaya jangan menerima bantuan Barat.
"Kerajaan di Khyber-Pakhtunkhwa dan di pusat mahu mendapat bantuan itu, bukan untuk penduduk yang terjejas tetapi untuk membesarkan lagi akaun bank mereka," kata jurucakap Taliban Pakistan, Azam Tariq yang merujuk kepada wilayah yang paling teruk dilanda banjir di barat laut.
Banjir berterusan berpunca daripada hujan lebat monsun menghakis lembangan sungai Indus dan membawa kemusnahan meluas dari kawasan pergunungan di utara ke dataran wilayah Sindh di selatan.
Ratusan jalan dan jambatan musnah dan keadaan boleh menjadi bertambah buruk kerana paras air belum memuncak.
Timbul juga kebimbangan badan-badan kebajikan yang ada hubungan dengan kumpulan militan cuba mengisi kekosongan disebabkan apa yang dilihat sebagai operasi bantuan pihak berkuasa yang kurang berkesan.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, bencana itu adalah yang terbesar pernah dihadapi oleh negara ini dan berbilion-bilion dolar akan diperlukan untuk memulihkan kehidupan mangsa dan membina semula infrastruktur yang musnah.
AS mengumumkan bantuan tambahan berjumlah AS$20 juta (RM64 juta) semalam ketika kebimbangan semakin meningkat mengenai implikasi bencana tersebut terhadap politik, ekonomi dan keselamatan negara ini. - Reuters