Sunday, June 19, 2011

Maahad dikesan merekrut JI

KUALA LUMPUR 18 Jun - Sebuah maahad swasta di negara ini dikesan dijadikan pusat merekrut belia berasaskan ideologi pemimpin militan Jemaah Islamiah (JI), Abu Bakar Bashir yang dikenali sebagai fahaman Salafiah Jihadiah.

Malah pelajar yang direkrut di maahad atau pusat pembelajaran agama Islam itu dipercayai dihantar menjalani latihan ketenteraan di Afghanistan dan Filipina.

Kegiatan itu dikesan beroperasi selepas maahad tersebut dipercayai dijadikan lokasi mesyuarat antara Abu Bakar Bashir dan Abdullah Sungkar bagi menubuhkan JI selepas berlaku krisis kepimpinan Darul Islam, Anjengan Masduki.

Menurut sumber risikan anti keganasan, hasil kerjasama bersama pengendali maahad itu antara 1985 dan 2000, kumpulan militan yang menjadikan negara ini sebagai transit merekrut kira-kira 100 rakyat tempatan dan Indonesia sebelum dihantar menjalani latihan ketenteraan di kem Al-Qaeda di Afghanistan dan kem Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) di selatan Filipina.

Fahaman ekstrem Salafiah Jihadiah dikatakan merupakan pegangan utama kumpulan Al-Qaeda, JI serta para pengikutnya.

"Maahad itu sehingga kini dipercayai masih aktif digunakan untuk menyebarkan fahaman tersebut kepada kaum muda. Terdapat beberapa tokoh fahaman ini sama ada di luar atau dalam negeri giat menyampaikan ceramah di maahad tersebut.

"Akhir tahun lalu, tiga pelajar maahad berkenaan ditahan oleh pihak berkuasa kerana menunaikan sembahyang Jumaat berasingan atas alasan masjid-masjid lain mengamalkan bidaah," kata sumber itu ketika ditemui di sini.

Menurut sumber itu lagi, antara ciri fahaman Salafiah Jihadiah adalah mendakwa mereka ahli Sunnah sebenar, menolak Ijmak dan Qias, mendakwa perayaan Maulidur Rasul adalah haram serta menganggap orang Islam yang tidak mengikut mereka adalah bidaah dan sesat, terkeluar daripada Islam dan wajib diperangi.

"Fahaman ini giat disebarkan di kalangan penuntut universiti, profesional dan masyarakat umum. Sekiranya tidak dibendung, akan mendorong lebih ramai umat Islam terutamanya belia terpengaruh untuk menyertai kumpulan militan dan melancarkan serangan ganas.

"Satu lagi yang bahaya fahaman ini adalah mereka menolak sistem demokrasi dan pilihan raya kerana mereka menganggap kaedah jihad perang adalah salah satu kaedah yang digunakan untuk menubuhkan negara Islam," katanya lagi.

Difahamkan pada April 1985, Abu Bakar, Abdullah Sungkar, Mohd. Iqbal Abdul Rahman, Hambali dan 16 anggota kanan kumpulan Darul Islam dari Solo, Jawa Tengah melarikan diri ke Malaysia selepas pemerintahan Presiden Suharto melancarkan operasi besar-besaran untuk membanteras ancaman kumpulan Darul Islam di Indonesia.

"Mereka menaiki bot dari Tanjung Balai Indonesia dan mendarat di Pelabuhan Klang, Selangor. Setibanya di negara ini, mereka dikatakan terus berlindung di maahad tersebut," katanya.

Mahkamah Indonesia pada 16 Jun lepas menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun ke atas Abu Bakar setelah didapati bersalah membiayai kumpulan pengganas di republik itu.

Utusan Malaysia Online - Berita Utama

Perebutan wilayah maritim



Gambar fail bertarikh 19 April 2010 ini menunjukkan anggota tentera laut Vietnam melambai kepada pelancong di pulau Spratly atau dikenali sebagai Truong Sa yang turut dituntut oleh Vietnam. – AGENSI


WASHINGTON 18 Jun – Amerika Syarikat (AS) dan Vietnam semalam meminta supaya Laut China Selatan dijadikan kawasan bebas belayar dan menolak penggunaan tentera di perairan itu, ketika ketegangan antara China dan beberapa negara jirannya meningkat berikutan perebutan wilayah.
Selepas mengadakan rundingan di Washington, kedua-dua negara itu menyatakan ‘keamanan, kestabilan, keselamatan dan kebebasan berlayar di Laut China Selatan adalah perkara paling penting yang dimahukan masyarakat antarabangsa.
“Pertikaian wilayah di perairan itu perlu diselesaikan melalui kerjasama dan proses diplomatik tanpa penggunaan tentera,” kata kedua-dua negara itu dalam satu kenyataan bersama semalam.
Menerusi kenyataan itu, AS dan Vietnam turut menyokong rundingan diadakan mengikut perjanjian 2002 antara China dan 10 negara ASEAN, di mana kedua-dua pihak bersetuju mengikuti peraturan yang ditetapkan di Laut China Selatan.
Pertikaian di kawasan itu semakin meningkat beberapa minggu ini dengan Vietnam mengadakan latihan peluru hidup selepas menuduh kapal China mengganggu sebuah kapal pemantau minyak mereka dan memotong kabel cari gali minyak sebuah lagi kapal negara itu.
China dalam pada itu turut melancarkan latihan tentera selama tiga hari di Laut China Selatan yang disifatkan media sebagai memperkukuh rondaan agensi pengawasan maritim negara itu.
Sementara itu, Filipina hari ini berkata, 15 blok minyak di Laut China Selatan yang bakal ditawarkan kepada syarikat cari gali minyak antarabangsa akhir bulan ini terletak dalam wilayahnya.
Menurut peta yang dikemukakan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2009, dua daripada 15 blok itu terletak dalam kawasan yang turut dituntut oleh China. – AFP/AGENSIUtusan Malaysia Online - Luar Negara

744 banduan tunggu hukuman mati


KUALA LUMPUR 16 Jun - Seramai 744 banduan akhir masih menanti hukuman mati dijalankan ke atas mereka sehingga 30 April lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, hukuman terhadap banduan itu belum dapat dilaksanakan kerana Jabatan Penjara belum menerima keputusan atau perintah daripada Lembaga Pengampunan Negeri.

Hishammuddin berkata demikian dalam jawapan bertulis menjawab soalan Karpal Singh(DAP-Bukit Gelugor) pada sidang Dewan Rakyat hari ini mengenai bilangan banduan yang berada di bilik akhir setakat tarikh tersebut.

Utusan Malaysia Online - Parlimen

17 maut di jalan raya setiap hari

BERA 18 Jun - Purata kematian akibat kemalangan jalan raya di negara ini pada setiap hari sepanjang tahun lalu adalah seramai 17 orang.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Solah Mat Hassan (gambar)memberitahu, pihaknya mencatatkan 6,218 kes kemalangan maut daripada 397,330 kes kemalangan di seluruh negara pada tahun lalu.

Daripada jumlah kemalangan maut itu, kata beliau, penunggang dan pembonceng motosikal kekal sebagai penyumbang terbesar kepada kemalangan maut.

"Sungguhpun banyak usaha dilakukan oleh kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di negara ini, perangkaan kecelakaan masih tinggi dan membimbangkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program 'Satu Komuniti Satu JPJ' di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Purun dekat sini hari ini.

Sementara itu, Solah berkata, JPJ tidak akan mengambil tindakan sewenang-wenangnya tanpa bukti yang lengkap terhadap pesalah trafik di bawah pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Menurut beliau, PBT perlu mengemukakan butir-butir kesalahan secara tepat dan terperinci termasuk nama, alamat, jenis dan waktu kesalahan bagi membolehkan JPJ menjalankan penelitian.

"Selagi tidak mempunyai bukti lengkap, JPJ tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya termasuk menyenarai hitam kenderaan atau pemandu terbabit," katanya.

Beliau berkata, langkah itu perlu bagi mengelak pemandu teraniaya.

Beliau memberitahu, pihaknya kini di peringkat akhir perbincangan dengan Kementerian Pelajaran bagi pengeluaran lesen memandu motor berkelompok kepada pelajar sekolah menengah berumur 17 tahun ke atas.

Katanya, langkah itu bagi membolehkan pelajar memiliki lesen memandu yang sah dan tahu mengenai peraturan jalan raya.

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

3 terbunuh dalam operasi di penjara Venezuela

CARACAS: Sekurang-kurangnya dua anggota keselamatan kebangsaan Venezuela dan seorang tahanan maut, semalam selepas pasukan keselamatan melancarkan operasi serbuan secara besar-besaran untuk menguasai kembali Penjara El Rodeo, di mana 22 orang terbunuh dalam rusuhan.

Kira-kira 1,300 tahanan menguasai sebahagian penjara itu dan enggan menyerah diri lewat malam tadi selepas operasi sehari suntuk membabitkan ribuan pengawal kebangsaan yang mengambil alih kawalan sebanyak 70 peratus daripada populasi penjara yang dianggar menempatkan 4,700 tahanan. Penjara yang asalnya dibina untuk menempatkan 750 banduan menyaksikan insiden pergaduhan Ahad lalu yang menyebabkan 21 banduan dan seorang pelawat maut dan sebahagian tahanan mengambil alih kuasa di situ sejak kejadian itu.


Dalam serbuan semalam pasukan keselamatan menemui semula raifal, pistol, bom tangan dan merampas dadah disorok serta 100 telefon bimbit, kata Timbalan Menteri Keselamatan Awam, Nestor Reverol. - AFP

myMetro3 terbunuh dalam operasi di penjara Venezuela

Perogol ‘Silence Of The Lambs’ dihantar pulang ke Britain

SYDNEY: Kerajaan Australia, semalam bersedia untuk menghantar pulang seorang rakyat Britain yang dihukum 12 tahun penjara kerana menyeksa dan merogol seorang wanita dalam kes seperti dalam filem ‘The Silence of the Lambs’.

Menteri Imigresen Chris Bowen berkata visa dimiliki Leslie Cunliffe sudah ditarik balik ekoran pembebasannya dengan parol April lalu dan proses penghantaran pulang sedang dilakukan.


“Saya sudah menimbangkan kes itu secara terperinci. Ia bukan kes yang menarik untuk diteliti,” katanya, semalam.

“Bagaimanapun selepas, saya membaca semua nota fail dan sejarah kes itu, saya memutuskan bahawa Cunliffe bukan individu yang sihat dan tidak mempunyai ciri tingkah laku yang baik untuk terus menetap di Australia,” tambahnya. Cunliffe digelar perogol ‘Silence Of The Lambs’ oleh pihak berkuasa Australia. Dia menyamar sebagai anggota polis untuk melarikan wanita berusia 21 tahun dengan mengancamnya menggunakan pistol dari bandar Geelong pada 1999 sebelum mengunci wanita terbabit di bangsal di belakang kediamannya. Wanita itu kemudian diikat di kerusi dengan mata serta mulutnya dilekatkan dengan pita pelekat. Dia diseksa dan diperkosa beberapa jam sebelum Cunliffe mengikat bom palsu di tubuhnya. Dia juga dibogelkan sebelum gambarnya diambil untuk tuntutan bayaran tebusan sebanyak AS$665,000 (RM1.9 juta). - AFP

myMetro Perogol ‘Silence Of The Lambs’ dihantar pulang ke Britain

Seoul tembak pesawat China


SEOUL: Tentera Korea Selatan menembak pesawat penumpang dari China yang membawa 119 orang termasuk penumpang dan kru kabin selepas menyangka ia adalah pesawat tentera Korea Utara, kata pegawai penerbangan dan tentera, semalam.
Kejadian itu berlaku hampir dengan kawasan perairan di mana ketegangan tercetus antara kedua-dua negara. Anggota tentera yang berkawal di pos kawalan di Pulau Gyodong di barat perairan Korea Selatan menembak dengan raifal K-2 ke arah pesawat yang terbang rendah sebaik menghampiri Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon di Seoul. Gyodong terletak kira-kira 1.7 kilometer di selatan perairan Korea Utara.

Pesawat itu terbang di tenggara melintasi Pulau Jumun iaitu 12 kilometer di selatan Gyodong menuju ke Incheon. “Tembakan berterusan kira-kira 10 minit tetapi pesawat berada jauh dari jarak sasaran raifal dan tidak mengalami sebarang kerosakan,” lapor agensi berita Yonhap sebagai memetik kenyataan pegawai tentera laut.

Apabila pesawat terbang di Pulau Jumun, tentera menyangka ia adalah pesawat tentera Korea Utara dan terus melepaskan tembakan,” tambahnya. Jurucakap angkatan tentera laut memberitahu laporan itu benar tetapi enggan mengulas lanjut. Menurut petugas kawalan penerbangan, penerbangan Asiana dari China yang membawa 119 orang termasuk kru kabin dan penumpang mengikut jadual perjalanan biasa. - AFP
myMetroSeoul tembak pesawat China

Benigno tak benar Marcos dikebumi di kubur pahlawan

MANILA: Presiden Filipina Benigno Aquino memutuskan untuk tidak membenarkan mayat pemimpin diktator negara itu Ferdinand Marcos dikebumikan di kawasan perkuburan pahlawan kebangsaan, kata jurucakapnya, semalam.

Ketua Jabatan Pembangunan Komunikasi dan Perancangan Strategik di pejabat Presiden, Ricky Carandang memberitahu Presiden masih belum membuat keputusan sama ada Marcos akan diberi penghormatan ketenteraan ketika dikebumikan di tempat asalnya, Ilocos Norte.


Selepas dua dekad memerintah, Marcos digulingkan dalam rampasan kuasa yang disokong tentera pada 1986 yang menyaksikan Corazon Aquino, ibu Benigno mengambil alih kuasa. “Presiden berkata kawasan perkuburan pahlawan di Libingan ng mga Bayani di luar daripada topik perbincangan.

“Isu yang ingin diselesaikan ialah sama ada Marcos berhak mendapat penghormatan ketenteraan sebagai bekas askar. Beliau adalah mejar tentera ketika Perang Dunia Kedua,” katanya. - Reuters

myMetroBenigno tak benar Marcos dikebumi di kubur pahlawan

Hefner jadi pekak angkara Viagra

DUA beradik kembar, Karissa (kiri) dan Kristina Shannon yang menjadi  bekas kekasih Hefner.
DUA beradik kembar, Karissa (kiri) dan Kristina Shannon yang menjadi bekas kekasih Hefner.
HUGH Hefner.
HUGH Hefner.

HOLLYWOOD: Pengasas Playboy Hugh Hefner dikatakan sudah pekak kerana mengambil terlalu banyak pil Viagra, kata bekas kekasihnya, kembar Karissa dan Kristina Shannon.

Bagaimanapun, Karrisa dan Kristina, 21, berkata kasanova berusia 85 tahun itu tidak akan berubah kerana dia tidak mahu kehilangan nafsu seksualnya.


Karissa berkata: “Hefner memberitahu dia lebih rela menikmati seks berbanding memiliki deria pendegarannya. Dia memakai alat bantuan pendengaran dan hanya boleh mendengar melalui sebelah telinga saja. “Anda perlu menghampirinya dan bercakap dekat di telinganya supaya dia dapat memahami anda.

“Kami boleh duduk di sampingnya tetapi dia tidak tahu apa yang kami bualkan,” kata kembar itu lagi.


Kajian di Amerika Syarikat tahun lalu memberi amaran bahawa lelaki yang mengambil pil Viagra dalam jumlah yang banyak berkemungkinan menghadapi kehilangan deria pendengaran secara berganda.


Pakar perubatan Doktor Carol Cooper berkata: “Ia memberi kesan kepada saraf kita.” Karissa dan Kristina yang tinggal di rumah agam milik Hefner di Los Angeles selama dua tahun berkata, lelaki itu juga turut kehilangan daya ingatan.

Karissa berkata: “Dia juga selalu lupa dengan nama haiwan peliharaan kami.” Selasa lalu, tunang Hefner, Crystal Harris, 25, membatalkan perkahwinan mereka - mengatakan dia tidak rela berkongsi Hefner dengan wanita lain. Karissa dan Kristina yang tinggal bersama Hefner ketika berusia 18 tahun dikatakan menimbangkan untuk berpindah semula ke kediaman bos Playboy itu. - Agensi

myMetroHefner jadi pekak angkara Viagra