Thursday, August 12, 2010

politik ke tidak saman saja, kalau menang raya hindu.


Tuntutan saman RM200j peneroka Felda motif politik

12/08/2010 6:23pm

KUALA LUMPUR 12 Ogos - Tindakan 766 peneroka Felda Serting Hilir dan Gugusan Raja Alias, Negeri Sembilan mengemukakan tuntutan saman berjumlah RM200 juta terhadap badan itu berkenaan penyelewengan harga buah sawit sebenarnya bermotifkan politik hasil manipulasi pihak tertentu.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, tuntutan itu tidak sepatutnya timbul kerana setiap kali hasil sawit dijual oleh peneroka ke kilang, urus niaga itu disertakan slip terperinci mengenai kualiti buah sawit yang selari dengan harga dipersetujui peneroka seperti diamalkan sejak 15 tahun lalu. - Utusan

Panglima lawat bekas tentera daif




MUSA (kanan) mengatakan sesuatu kepada Abdul Aziz (dua dari kiri ) semasa melawat rumah bekas tentera itu yang kerap dinaiki air akibat banjir di Kampung Pulau Meranti, Puchong semalam.


PUCHONG - Sepasang suami isteri warga emas daif yang tinggal di Sungai Rasau, Kampung Pulau Meranti di sini, dikejutkan dengan kehadiran Panglima Pendidikan dan Latihan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Muda Datuk Musa Omar semalam.
Abdul Aziz Hitam, 80, yang juga bekas anggota tentera berkata, kedatangan Musa untuk melihat keadaan rumahnya yang uzur amat mengharukan kerana dia tidak pernah mengadu kesusahannya kepada mana-mana pihak.
"Saya gembira dengan keprihatinan beliau dan Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM). Saya harap dengan bantuan mereka saya dan isteri dapat menduduki rumah ini dengan selesa," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menurut Abdul Aziz, ekoran kejadian banjir yang kerap berlaku di kawasan itu sejak dua tahun lalu, beberapa bahagian dinding kayu rumahnya mula reput.

Wan Azizah sedia saman Ezam



SHAH ALAM - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Senator Ezam Mohd Nor jika terus membuat kenyatan fitnah. 

“Dia (Ezam) mengatakan saya pernah menghubungi beliau dan memberi arahan supaya orang ramai tidak mendekati Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

“Hakikatnya saya tidak pernah menghubunginya sama sekali. Saya cukup kesal dengan nafsu politiknya yang tidak ada batas,” katanya dalam satu kenyataan, semalam. 

Menurutnya, tindakan Ezam jelas usaha menarik perhatian dan meraih kepentingan dalam pimpinan UMNO. 

“Saya enggan melayan sebarang kenyataan murahan tetapi Ezam berulang kali dan mengaitkan saya secara peribadi membuatkan saya berasa kurang selesa. 

Sementara itu Ezam ketika dihubungi berkata: “Sempena Ramadan ini, Wan Azizah usahlah bersubahat dengan suami yang memfitnah orang lain hanya untuk menutup kelemahan. Ini kerana Wan Azizah tahu hal sebenar.”

Pasangan buang bayi waktu sahur



MELAKA - Ketika umat Islam sedang sibuk bersahur, seorang wanita tergamak membuang bayi perempuan yang baru dilahirnya ke dalam tong sampah hadapan kilang tempat dia bekerja di Ayer Keroh, dekat sini, semalam. 

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu, wanita itu dipercayai panik selepas melahirkan bayi dalam tandas kilang itu dan bertindak bersama kekasihnya membuang bayi itu dalam tong sampah. 

Bagaimanapaun, usaha mereka untuk 'melenyapkan' nyawa bayi seberat 1.5 kilogram itu gagal apabila dijumpai pengawal keselamatan kilang terbabit. 

Bayi yang diletakkan dalam sebuah beg kain ditemui pengawal keselamatan, Muhamad Asri Shaari, 44, dalam keadaan masih bernafas dan bertali pusat di dalam tong sampah yang terletak di bawah pokok berhampiran pondok pengawal.: 

Muhamad Asri berkata, ketika kejadian, dia sedang menghisap rokok sambil bersembang dengan dua rakan perempuan, sebelum didatangi seorang pekerja lelaki kilang itu. 

Menurutnya, lelaki itu meminta kebenaran keluar sebentar yang disangka hendak bersahur. 

Dalam masa sama, Muhamad Asri sebenarnya sedang menunggu giliran masuk ke tandas, selepas dua rakannya itu memaklumkan ada seorang wanita dalam tandas di sebelah pondok pengawal. 

“Ketika itu saya ada terdengar tangisan bayi seperti baru lahir dan saya beritahu dua orang kawan saya, tetapi disebabkan bunyi tangisan itu sekejap saja jadi kami membiarkan dan mengganggap bunyi ituadalah nada dering telefon bimbit saja,” katanya . 

Bagaimanapun, katanya, selepas beberapa saat dua rakannya ternampak wanita dalam tandas menghulurkan sesuatu kepada lelaki itu melalui tingkap tandas sebelum membuangnya ke dalam tong sampah. 

Mereka yang mencurigai perbuatan kedua-dua pekerja terbabit memaklumkan kepada Muhamad Asri sebelum dia memeriksa sendiri tong sampah itu. 

“Saya membuka penutup tong sampah dan ternampak sebuah beg. Saya kemudian mengangkat beg itu tetapi meletaknya semula ke dalam tong sampah, selepas beg itu bergerak-gerak. 

“Saya buka beg itu dan nampak bayi yang masih bertali pusat dan terdapat kain merah di lehernya,” katanya kepada :Sinar Harian:, di sini, semalam. 

Muhamad Asri kemudian memanggil kedua-dua pasangan terbabit yang dipercayai telah bertunang sebelum menghubungi polis. 

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, pihaknya sudah menahan kedua-dua pasangan itu, semalam. 

Beliau berkata, kedua-duanya ditahan di kawasan kilang tempat mereka bekerja selepas siasatan awal dilakukan. 

“Kedua-dua suspek berasal dari Gemas, Negeri Sembilan dan baru sebulan bekerja di kilang itu ditahan reman hingga 14 Ogos ini,” katanya di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK), semalam. 

Mohd Adnan berkata, bayi itu kemudian dibawa ke Hospital Melaka (HM) untuk menerima rawatan. 

Menurutnya, kes disiasat di bawah seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi yang baru lahir dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Jam besar diuji pada Ramadan



RIYADH - Arab Saudi mula menguji jam terbesar di dunia yang terletak menghadap Kaabah di Masjidilharam, Mekah selama tiga bulan bermula Ramadan ini. 

Setakat ini, hanya satu daripada empat jam siap pada bahagian bangunan mencakar langit yang dijadualkan mencapai ketinggian 600 meter apabila siap sepenuhnya, sekali gus bakal menjadi bangunan kedua tertinggi di dunia selepas Burj Khalifa di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE). 

Menara itu juga mempunyai permukaan jam dengan diameter 40 meter yang lima kali lebih besar berbanding permukaan jam Big Ben di London, malah mengatasi diameter 36 meter pada permukaan jam di Cevahir Mall, Istanbul, Turki. 

Satu sahaja daripada empat jam yang siap setakat ini dan permukaan jam itu dihiasi 98 juga kepingan mozek kaca. 

Pas tetap aktif politik



KOTA BHARU- Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, Pas tidak akan mengurangkan aktiviti politik di bulan Ramadan walaupun ia kurang disenangi oleh pihak-pihak tertentu. 

Menteri Besar Kelantan itu berkata, Islam tidak pernah menghalang umatnya untuk berpolitik bila-bila masa sahaja, malah politik dan agama dua perkara yang tidak boleh dipisahkan. 

“Politik dalam Islam ni sedaging (bercantum), geraknya Islam kerana politik dan politik pula menuruti Islam, tidak payah pakai istilah demokrasi, guna Istilah Islam,”katanya ketika ditemui di Majlis Pelancaran Ihyat Ramadan di sini semalam. 

Beliau berkata demikian sebagai mengulas saranan daripada beberapa pihak termasuk dari Badan Bukan Kerajaan (NGO) supaya aktiviti berparti dikurangkan bagi menghormati bulan Ramadan. 

:Nik Abdul Aziz bagaimanapun berkata, terpulang kepada pemimpin Pas untuk menggunakan pendekatan berbeza dalam menjalankan aktiviti tersebut di bulan Ramadan ini. 

“Dalam ceramah saya jarang sebut soal kepartian kecuali ia majlis parti, saya banyak sebut mengenai Islam seperti ekonomi Islam dan akidah, tetapi jika hendak berpolitik tidak salah kerana Pas parti berdaftar,”katanya. 

Dalam pada itu, mengulas dakwaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed yang mengatakan kerjasama Pas dan DAP tidak ikhlas, Nik Abdul Aziz mempersoalkan adakah kerjasama yang dibuat antara UMNO dan MCA sebelum ini benar-benar ikhlas. 

“Saya nak tanya, adakah UMNO dan MCA itu ikhlas, bila berbaik dengan UMNO, parti itu telan Pas, usahkan nak buat benda-benda lain,”katanya.

Mengharap cahaya Ramadan



PASIR GUDANG – Seorang ibu tunggal mendiami rumah uzur bersama dua anak lelakinya di Kampung Perigi Acheh terharu dengan kunjungan rombongan Program Ziarah Ramadan ke rumahnya, di sini, semalam. 

Cahaya Imbi, 54, berkata, perbelanjaan hariannya hanya bergantung kepada pemberian anak-anak sejak kematian suami 18 tahun lalu kerana menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi. 

Menurutnya, bagaimanapun pendapatan anaknya sebagai pekerja kontrak kadangkala tidak mencukupi sehingga pernah menjamah bubur nasi sebagai pengalas perut. 

“Kami tiga beranak tidak kisah makan nasi berlaukkan apa, asalkan dapat makan kerana perbelanjaan harian hanya bergantung sepenuhnya kepada rezeki anak yang bekerja sebagai pekerja kontrak di kilang. 

“Makcik berterima kasih kerana sudi berkunjung ke rumah makcik yang uzur ini dan Alhamdulillah rezeki Ramadan lebih daripada biasa kerana ada yang sudi bersedekah,” katanya. 

Cahaya berkata, dua anaknya sudah meninggal dunia termasuk seorang kelainan upaya (OKU) berumur sembilan tahun, manakala yang tinggal kini dua lelaki dan tiga perempuan yang sudah berumah tangga. 

Menurutnya, rumah yang menjadi satu-satunya tempat berteduh hanya menunggu masa untuk roboh, malangnya pendapatan anaknya hanya cukup makan mereka tiga beranak. 

“Kami memang risau dengan keadaan rumah yang uzur ini kerana takut roboh terutama setiap kali hujan atau ribut, tetapi kami tidak mampu untuk membaik pulih atau membina rumah baru. 

“Makcik tidak pernah memohon untuk mendapatkan bantuan rumah kerana tidak tahu ingin memohon kepada siapa, tetapi jauh di sudut hati memang teringin untuk mendiami rumah yang lebih selesa,” katanya.

Bukan sahaja hilang pampasan RM2.5 juta, bekas tahanan ISA diarah bayar kos RM20,000



PUTRAJAYA - Bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bukan sahaja hilang pampasan RM2.5 juta yang diberikan Mahkamah Tinggi tetapi dia juga diperintahkan oleh Mahkamah Persekutuan di sini untuk membayar kos RM20,000.

Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff yang mengetuai tiga korum enggan memberikan kebenaran kepada Abdul Malek Hussin untuk merayu keputusan mahkamah rayuan dalam mengubah keputusan Mahkamah Tinggi.

Alauddin, dalam keputusan sebulat suara berkata, persoalan undang-undang yang dikemukakan oleh Abdul Malek dalam permohonannya bagi Mahkamah Persekutuan membuat penetapan, tidak tertakluk dalam lingkungan kriteria mengikut Seksyen 96
Akta Kehakiman Mahkamah agar memberikan kebenaran.

Dua lagi hakim yang bersidang ialah Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Hashim Yusoff dan Tan Sri Mohd Ghazali Mohd Yusoff.

Pada 25 Mac tahun ini, Mahkamah Rayuan memerintah Abdul Malek, 53, untuk membayar RM50,000 sebagai kos litigasi kepada responden bagi perbicaraan di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, selepas gagal dalam rayuannya.

Pada 18 Okt, 2007, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan samannya ke atas polis dan kerajaan atas penangkapan dan penderaan secara salah dan memerintahkan dia diberikan ganti rugi RM2.5 juta.

Bagaimanapun, keputusan itu diubah oleh Mahkamah Rayuan pada 25 Mac tahun ini yang membenarkan rayuan yang dibuat oleh polis dan kerajaan untuk mengetepikan penghakiman itu.

Mahkamah Rayuan menolak saman Abdul Malek selepas memutuskan bahawa penahanannya selama 57 hari adalah sah mengikut undang-undang. Abdul Malek dibebaskan pada 21 Nov, 1998.

Oleh itu, Abdul Malek memohon kebenaran hari ini untuk membawa rayuannya ke Mahkamah Pesekutuan.

Dalam saman sivilnya, Abdul Malek menamakan pegawai polis cawangan khas ASP Borhan Daud, Ketua Polis Negara pada masa itu, Tan Sri Abdul Rahim Noor, dan kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Dalam samannya, beluia mendakwa penangkapan dan penahanan adalah salah kerana dia tidak pernah dimaklumkan mengenai sebab penangkapannya dan turut didera semasa dalam tahanan.-Bernama


Tidak segan silu bersarapan



BANDARAYA MELAKA - Seorang lelaki berusia 54 tahun antara tiga yang ditahan Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim), semalam kerana makan di khalayak ramai pada bulan Ramadan.

Lelaki yang berasal dari Bukit Rambau itu ditahan ketika sedang menikmati sarapan nasi lemak di sebuah kedai makan bukan Islam tanpa segan silu.

Selain lelaki terbabit, dua lagi turut ditahan ketika sedang menjamu selera di kedai makan pada hari pertama umat Islam berpuasa, semalam.

Dalam operasi semalam, ia disertai 15 kakitangan Jaim bagi menyekat tindakan umat Islam yang tidak berpuasa dan makan di khalayak ramai sekitar Bandar Melaka.

Ketua Unit Pencegahan Penguatkuasaan Jaim, Nurul Iman Zakaria berkata, kesemua yang ditahan berusia lingkungan 31 hingga 54 tahun diberi notis perintah hadir ke Mahkamah Syariah oleh Jaim kerana tidak berpuasa.

:"Mereka dikenakan tindakan di bawah Seksyen 49 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana tidak berpuasa.

"Jika sabit kesalahan, boleh didenda RM1,000 atau enam bulan penjara dan bagi kesalahan kali kedua, hukuman akan digandakan," katanya.

Nurul Iman berkata, operasi seumpama itu akan diteruskan setiap hari, termasuk melaksanakan kempen penghayatan bulan Ramadan yang dilancarkan kelmarin.

“Kempen ini diharapkan dapat memberi kesedaran kepada masyarakat Islam khususnya supaya menghormati bulan mulia ini.

“Kempen ini akan berterusan selama sebulan di seluruh daerah di negeri ini untuk memastikan umat Islam mengikut undang-undang dan menunaikan kewajipan berpuasa,” katanya.

Beliau berkata, tahun lalu, lebih 30 pesalah dikenakan tindakan di bawah seksyen berkenaan.

“Tahun ini, tindakan pencegahan digunakan menerusi operasi berbanding tahun-tahun sebelumnya apabila pesalah dibawa mengelilingi bandar Melaka menggunakan van jenazah, sebagai hukuman," katanya.

Sementara itu, beliau turut menasihatkan peniaga kedai makan Islam supaya memulakan perniagaan selepas 3 petang bagi mengelakkan ramai yang tidak berpuasa mengambil kesempatan.

Lelaki tertua masih berpuasa



RANTAU PANJANG – Seorang warga emas yang mendakwa berumur 120 tahun dan menjadi manusia tertua di Kelantan masih lagi berupaya berpuasa dan menunaikan amalan rukun ketiga itu. 

Yaacob Deris, dari Kampung Bendang Ikan, di sini dipercayai dilahirkan pada tahun 1880 di Kampung Cenerai, Siram ketika zaman Sultan Mulut Merah kelihatan masih lagi kuat untuk berdiri dan berpuasa walaupun usia lebih satu abad. 

Meskipun tutur katanya sukar untuk difahami, sembilan anaknya sudah biasa mendengar luahan bapanya itu untuk menunaikan amalan berpuasa menjelang Ramadan. 

Anaknya yang keempat, Mohd Zainudin Yaacob, 33, berkata, aktiviti rutin bapanya itu adalah membaca al-Quran bukan sahaja menjelang bulan puasa, malah ia menjadi kebiasaannya di waktu terluang. 

“Ayah selalu menceritakan pengalamannya ketika remaja, dilahirkan pada zaman Kesultanan Melayu Kelantan, Sultan Mulut Merah, Tok Kenali, Penjajahan Jepun dan British,” katanya kepada Sinar Harian, semalam. 

Terdahulu, Yaacob menerima sijil pengiktirafan sebagai tokoh kemerdekaan tahun ini yang dianugerahkan oleh Sekolah Kebangsaan Baroh Pial, Rantau Panjang. 

Mengulas lanjut mengenai perjalanan hidup ayahnya itu, Zainuddin berkata, ketika zaman pergolakan politik antara Sultan Mulut Merah dengan Raja Bangkok, bapanya berhijrah bersama isteri dan diikuti rakan-rakan membuka kampung yang masih dipenuhi hutan tebal. 

Malah katanya, Kampung Bendang Ikan telah dinamakan oleh bapanya bersama-sama teman seperjuangannya kerana kampung itu dipenuhi ikan di bendang. 

Menurutnya, bapanya merupakan seorang tokoh patriot yang disegani di zaman peperangan dengan Jepun dahulu dan dilantik sebagai ‘Home Guard’ manakala ‘Military Force’ pada zaman penjajahan British. 

“Ayah sangat mengagumi Tok Kenali iaitu seorang ulama dan tokoh pembangunan pemikiran Islam di rantau sini, yang dilahirkan hampir 20 tahun lebih awal berbanding ayah. 

“Ayah sering kali mengingatkan kami untuk berusaha mencapai kejayaan hasil dari pengorbanan pemimpin terdahulu mengejar dalam kemerdekaan,” katanya.

Taliban gesa tolak bantuan Barat



Mangsa banjir Pakistan berebut-rebut untuk mendapatkan bantuan makanan yang diedarkan oleh tentera Pakistan di Jaffarabad, Pakistan, kelmarin. - AP



ISLAMABAD 11 Ogos - Taliban Pakistan menggesa kerajaan supaya menolak bantuan Barat untuk mangsa banjir di negara ini, dengan alasan bantuan itu hanya akan diselewengkan oleh pegawai-pegawai korup.
Gesaan militan yang memerangi kerajaan Pakistan itu disuarakan selepas Amerika Syarikat (AS) meningkatkan bantuan untuk mangsa bencana tersebut.
Banjir di Pakistan yang merupakan yang terburuk dalam sejarah negara ini telah meragut lebih 1,600 nyawa, menyebabkan dua juta penduduk hilang tempat tinggal dan menjejaskan kehidupan kira-kira 14 juta penduduk lain atau lapan peratus daripada penduduk negara ini.
"Kami menggesa kerajaan supaya jangan menerima bantuan Barat.
"Kerajaan di Khyber-Pakhtunkhwa dan di pusat mahu mendapat bantuan itu, bukan untuk penduduk yang terjejas tetapi untuk membesarkan lagi akaun bank mereka," kata jurucakap Taliban Pakistan, Azam Tariq yang merujuk kepada wilayah yang paling teruk dilanda banjir di barat laut.
Banjir berterusan berpunca daripada hujan lebat monsun menghakis lembangan sungai Indus dan membawa kemusnahan meluas dari kawasan pergunungan di utara ke dataran wilayah Sindh di selatan.
Ratusan jalan dan jambatan musnah dan keadaan boleh menjadi bertambah buruk kerana paras air belum memuncak.
Timbul juga kebimbangan badan-badan kebajikan yang ada hubungan dengan kumpulan militan cuba mengisi kekosongan disebabkan apa yang dilihat sebagai operasi bantuan pihak berkuasa yang kurang berkesan.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, bencana itu adalah yang terbesar pernah dihadapi oleh negara ini dan berbilion-bilion dolar akan diperlukan untuk memulihkan kehidupan mangsa dan membina semula infrastruktur yang musnah.
AS mengumumkan bantuan tambahan berjumlah AS$20 juta (RM64 juta) semalam ketika kebimbangan semakin meningkat mengenai implikasi bencana tersebut terhadap politik, ekonomi dan keselamatan negara ini. - Reuters

MPP akur larangan mahasiswa berpolitik


PUTRAJAYA 11 Ogos - Jemaah Yang Dipertua dan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Institusi Pengajian Tinggi Awam menghormati dan menyambut baik keputusan kerajaan yang melarang mahasiswa menyertai parti politik.
Presidennya, Ahmad Wafi Sahedan berkata, beliau yakin kerajaan telah membuat penelitian dan pertimbangan menyeluruh sebelum membuat keputusan tersebut.
Bagaimanapun beliau meminta kerajaan memperkasakan saluran sedia ada supaya suara mahasiswa boleh diambil kira dalam pembangunan negara.
''Kami memohon kerajaan untuk memperkasakan Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) kerana ia merupakan pentas yang amat penting untuk mahasiswa bersuara.
''Diharapkan juga kerajaan lebih terbuka dalam menerima pandangan atau kritikan daripada pemimpin mahasiswa kerana kita juga ingin terlibat sama dalam memajukan negara," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.
Ahmad Wafi berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam bahawa larangan mahasiswa melibatkan diri dalam kancah politik kepartian adalah kekal.
Muhyiddin bagaimanapun menjelaskan, larangan itu tidak bermakna mahasiswa dilarang terus daripada membicarakan hal ehwal politik semasa yang berlaku di negara ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Wafi berkata, mahasiswa perlu mempunyai idealisme, pendirian dan identiti tersendiri tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak.
''Mahasiswa perlu bebas untuk berdiskusi secara ilmiah mengenai pelbagai isu termasuk isu politik.
''Mahasiswa harus melontarkan pandangan atau mengkritik secara membina kepada pihak kerajaan mahupun pihak pembangkang," katanya.
Beliau menjelaskan, isu untuk membenarkan mahasiswa menyertai parti politik sebenarnya masih dalam peringkat perbincangan di kalangan Yang Dipertua dan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar.
''Perkara ini perlu dilihat dan dikaji secara serius kerana ia melibatkan pelbagai implikasi jangka pendek dan jangka panjang.
''Kami yakin dan percaya pandangan pelbagai pihak termasuk mahasiswa, pensyarah dan pihak pengurusan institusi pengajian tinggi perlu diambil kira kerana mereka juga mempunyai hak untuk melontarkan pandangan dan cadangan tentang perkara ini," katanya.

Ikhlas atau tidak hanya tuhan yang tahu, tapi kalau UMNO sah tak ikhlas


Nik Aziz tolak tanggapan perkongsian Pas-DAP tidak ikhlas

KOTA BHARU 11 Ogos - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar) menolak kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menyifatkan kerjasama Pas dan DAP bukan satu perkongsian yang ikhlas.
Beliau sebaliknya mempersoalkan sejauh mana keikhlasan hubungan antara UMNO dan MCA.
"Yang UMNO dengan MCA itu ikhlaskah? Pas bila baik dengan UMNO, UMNO mamah Pas, dia telan Pas, jadi nak buat apa lagi," katanya ketika diminta mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri itu dalam blog http://chedet.co.cc.
Menurut Dr. Mahathir, tindakan Pas itu bukanlah satu perkongsian yang ikhlas sebaliknya parti itu hanya ingin mendapatkan sokongan dan undi kaum Cina semata-mata.
Dr. Mahathir dalam blognya itu turut menyifatkan tindakan Pas bersekongkol dengan DAP sebagai contoh jelas hipokrasi masih menebal dalam politik di negara ini.
Sementara itu, ditanya sama ada Pas akan mengurangkan kempen politiknya sepanjang bulan Ramadan ini, Nik Abdul Aziz berkata, ia terpulang kepada kebijaksanaan pemimpin dan aktivis parti.
Katanya, Pas adalah sebuah parti berdaftar dan bebas membuat kegiatannya pada bila-bila masa.
"Kaedah kempen itu atas masing-masing, saya dalam ceramah saya jarang sebut parti, kecuali dalam majlis parti sendiri. Program lainnya saya tekankan Islam, ekonomi cara Islam, akidah cara Islam, sosial cara Islam.
"Politik dalam Islam adalah sedaging. Islam tidak boleh bergerak tanpa berpolitik dan politik pula mesti turut Islam, amalan politik Islam lebih demokratik daripada sistem demokrasi yang ada," katanya.

Nallakarupan ajak Al Gore, Wolfowitz bersemuka



KUALA LUMPUR 11 Ogos - Datuk S. Nallakarupan mempelawa dua bekas pemimpin Amerika Syarikat (AS), Al Gore dan Paul Wolfowitz datang bertemu dengannya jika mereka ingin tahu lebih lanjut mengenai kes Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bekas rakan tenis Anwar itu berkata, ini bagi memastikan kedua-duanya mendapat gambaran sebenar dan sekali gus mengelakkan daripada membuat kenyataan yang tidak munasabah berhubung kes melibatkan kenalan mereka itu.
''Saya nak ajak dua orang ini jumpa saya (Gore dan Wolfowitz), apa yang mereka nak tahu pasal kes kenalan mereka itu (Anwar), saya boleh cerita sampai habis.
''Memanglah tujuan kenyataan mereka mahu kerajaan AS campur tangan dalam kes liwat Anwar itu tak susah nak tafsir tapi manalah tahu, mungkin mereka betul-betul tak faham sampai masih fikir semuanya konspirasi, jadi ini yang saya nak jelaskan," katanya ketika menghubungi Utusan Malaysia di sini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan bekas Naib Presiden AS, Al Gore dan bekas Timbalan Setiausaha Pertahanan negara itu, Paul Wolfowitz dalam akhbar Asian Wall Street Journal yang mahu kerajaan AS campur tangan dalam kes liwat Anwar yang sedang berlangsung di Mahkamah Tinggi di sini.
Anwar, 63, dituduh meliwat pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 25, di unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99 Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara pukul 3.01 dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008.
Sementara itu, Nallakarupan menyelar kenyataan Gore dan Wolfowitz itu yang jelas satu cubaan untuk mencampuri urusan negara lain oleh dua pemimpin yang sudah ditolak rakyat AS sendiri.
Katanya, sepatutnya mereka belajar daripada pengalaman lalu betapa dunia membenci sikap pemimpin negara kuasa besar yang berlagak mahu mencampuri urusan negara berdaulat lain.
''Pada 1998, Gore datang Malaysia, macam-macam kenyataan dia buat, tapi apa kesudahan? Rakyat AS tolak juga dia. Tak ada siapa pun suka.
''Jadi yang terbaru ini, saya nak minta mereka supaya dengar dan akur saja pendirian kerajaan AS yang enggan campur tangan dalam kes Anwar ini," tegasnya.

Kebakaran: PKNS tanggung makan, minum



KLANG 11 Ogos - Seramai 150 penghuni Pangsapuri Pandamaran Jaya di sini yang terpaksa tinggal buat sementara waktu di Dewan Serbaguna Pandamaran Jaya akan disediakan dengan makanan dan minuman percuma sehingga kediaman mereka disahkan selamat untuk diduduki.
Jaminan itu diberikan Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Othman Omar selepas meluangkan masa kira-kira dua jam melawat penghuni serta mangsa kebakaran yang berlaku di tingkat lima pangsapuri itu semalam.
Menurutnya, bekalan makanan dan minuman untuk berbuka puasa dan sahur itu disediakan oleh Hotel De Palma, Shah Alam yang dimiliki oleh PKNS mulai hari ini.
Beliau berkata, penghuni terlibat tidak boleh memasuki rumah mereka kerana bekalan elektrik telah dipotong dan atas faktor keselamatan berikutan sisa runtuhan dari unit pangsapuri yang terbakar dikhuatiri boleh membahayakan penduduk.
"Kita khuatir wayar elektrik yang terendam dalam air bertakung masih berfungsi dan pekerja-pekerja sedang melakukan proses pembersihan serta pembaikan.
"Namun, mereka yang tinggal di tingkat tiga mungkin dibenarkan pulang terlebih dahulu jika kerja-kerja pembaikan selesai," katanya ketika ditemui di pangsapuri tersebut hari ini.
Dalam kejadian sekitar pukul 4.17 petang semalam, sebanyak 10 unit rumah di tingkat lima pangsapuri itu termasuk lima daripadanya berpenghuni terbakar menyebabkan penduduk terlibat dipindahkan ke dewan tersebut sehingga keadaan pulih sepenuhnya.
Namun, tiada kehilangan nyawa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian tersebut.
Othman memberitahu, pihak PKNS sedang menaksir kerugian yang dialami oleh pemilik-pemilik unit kediaman di situ dan berharap penduduk bersabar sehingga urusan tersebut selesai termasuk berkaitan tuntutan insurans.
Beliau berkata, kontraktor PKNS dari bahagian sivil, mekanikal dan elektrikal sudah bersedia untuk memperbaiki segala kerosakan dan hanya menunggu pengesahan keselamatan daripada pihak bomba.

Golongan miskin, ibu tunggal dapat rezeki



JOHOR BAHRU 11 Ogos - Setiap tahun Persatuan Alumni Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Jaafar, Johor Bahru tidak pernah melupakan tanggungjawab sosial membantu golongan berpendapatan rendah dan ibu tunggal.
Presidennya, Datuk Syed Hussien Al-Habshee berkata, tahun ini, adalah kali keenam persatuan tersebut menganjurkan majlis penyampaian bantuan di ambang Ramadan yang membabitkan 300 penerima daripada golongan berkenaan.
Beliau berharap, sumbangan keperluan asas seperti beras, minyak dan biskut yang dihulur sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan penerima.
"Penganjuran secara berterusan menandakan bahawa persatuan ini sentiasa dekat dengan masyarakat dan prihatin dengan penderitaan golongan memerlukan perhatian," katanya pada majlis berkenaan di sini semalam.
Sumbangan disampaikan oleh Tunku Temenggung Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim.
Antara golongan yang mendapat bantuan ialah ibu tunggal, Orang Asli dan pesara.
Salah seorang penerima sumbangan, Hasimah Hashim, 41, berkata, sudah 12 tahun dia menunggu untuk menerima sumbangan sebegitu.
Ibu kepada lima orang anak yang berusia antara empat hingga 13 tahun itu memberitahu, dia pernah memohon daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak dua kali, tetapi gagal.
"Entahlah mungkin saya tidak layak mendapat bantuan kerana suami bekerja sebagai pembantu perubatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA).
"Berapa sangatlah gaji suami, sedangkan mulut yang hendak disuap ramai. Ditambah pula dengan anak kedua, Muhamad Rafi Haris, 12, yang kurang upaya," ceritanya.
Menurut Hasimah, anaknya itu tidak boleh berjalan sejak kecil dan disebabkan kesempitan hidup, Muhamad Rafi tidak berpeluang untuk belajar di sekolah khas.
Bersempena Ramadan, Hasimah berharap ada banyak pihak dapat membantunya meringankan bebanan yang digalas.
Sementara itu, Rosni Aman, 47, ibu kepada enam orang anak dan bekerja sebagai atendan di HSA berkata, gaji RM800 yang diperoleh tidak mencukupi menampung kehidupan mereka sekeluarga.
"Inilah pertama kali saya mendapat bantuan sebegini. Semasa arwah suami terlantar sakit selama dua tahun kerana kencing manis, dengan gaji itulah kami hidup.
"Saya tidak tahu nak mengadu kepada siapa. Harap sangat ada pihak yang sudi membantu kerana dua anak saya masih lagi bersekolah," katanya.
Bagi pasangan adik beradik, Mohd. Ridwan, 26, dan Mohd. Amir Hamzah Sumadi, 24, sumbangan yang diterima amat menggembirakan.
Mohd. Ridwan yang buta kerana demam panas dan murid Sekolah Kanak-Kanak Spastik Johor Bahru itu berharap ada pihak sudi mengambilnya bekerja.
"Sudah tentulah saya gembira kerana penganjur tidak meminggirkan orang kurang upaya seperti saya. Seperti orang lain, saya juga mahu hidup berdikari tetapi sehingga kini belum ada rezeki," katanya.

Kebas wang Royalti bagi wang ihsan, penyamun berlakon baik


Wang ihsan bertujuan baik



AWANG Adek Hussin memberi semangat kepada pelajar tingkatan enam Sekolah Menengah Long Yunus selepas menyampaikan wang ihsan di sekolah itu di Bachok, baru-baru ini. – UTUSAN/ TOREK SULONG


BACHOK 11 Ogos – Peruntukan wang ihsan sebanyak RM15 juta kepada murid-murid miskin di sekolah rendah dan semua pelajar tingkatan enam seluruh Kelantan membuktikan Kerajaan Pusat sentiasa menjadikan agenda membangunkan pendidikan di negeri ini sebagai keutamaan.
Pengagihan wang ihsan itu dibuat secara terus menerusi buku akaun bank pelajar bagi membolehkan mereka menguruskan perbelanjaan sekolah dan membeli peralatan pembelajaran yang diperlukan.
Malah, pertimbangan Jawatankuasa pengagihan Wang Ihsan Kelantan terhadap permohonan sekolah atau Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) mendapatkan sumber kewangan bagi menampung perbelanjaan rawatan pelajar yang menghidap penyakit kronik seperti jantung, buah pinggang, kencing manis dan lain-lain juga merupakan pembelaan kepada pelajar yang tidak bernasib baik.
Pengerusi Jawatankuasa Wang Ihsan Kelantan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, pengagihan wang ihsan dilaksanakan secara terperinci dan telus tanpa mengira fahaman politik kerana ia lebih mementingkan pembelaan kepada pelajar.
Menurutnya, fokus utama adalah untuk melihat berlakunya peningkatan dalam pencapaian akademik sekolah-sekolah Kelantan terutama pelajar tingkatan enam yang perlu menyambung pelajaran mereka ke universiti.
“Wang ini diagihkan tanpa agenda yang bermotifkan politik untuk dinikmati seluruh rakyat Kelantan. Semua pelajar tingkatan enam tanpa mengira Melayu, Cina atau keturunan Siam turut menikmati agihan wang ini.
“Ini termasuk murid di sekolah rendah dengan pendapatan bulanan ibu bapa mereka sebanyak RM1,500 ke bawah dan tidak mendapat bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin,” katanya di sini, baru-baru ini.
Awang Adek yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata, semua agihan wang ini direkodkan dan tidak wujud unsur salah guna kerana ini adalah amanah dan wang rakyat yang perlu diagihkan secara telus dan adil.
Buktinya, seramai 1,303 pelajar tingkatan enam daripada enam buah sekolah sekitar daerah ini menerima pengagihan wang ihsan itu dalam satu majlis di sini, baru-baru ini.
Pelajar pra-universiti terbabit menerima sebanyak RM200 seorang dengan jumlah keseluruhan RM260,600. Seramai 11,925 pelajar tingkatan enam di seluruh negeri bakal menerima agihan wang tersebut secara berperingkat-peringkat.
Turut menerima sumbangan ialah 3,225 ibu bapa murid sekolah rendah seluruh Bachok melibatkan peruntukan sebanyak RM667,000.
Pengarah Pelajaran negeri, Hussain Awang yang turut hadir pada majlis itu berkata, bantuan itu amat dihargai kerana wang yang diterima bakal menyuntik semangat pelajar untuk mencapai kejayaan dalam pelajaran.
Beliau turut menyifatkan pengagihan wang ihsan itu bukti kesungguhan dan usaha murni jawatankuasa berkenaan untuk memanfaatkan sumber kewangan yang diperoleh daripada hasil gas atau minyak di negeri ini yang suatu ketika dahulu dijadikan isu hangat oleh pihak tertentu.
“Setiap pelajar menerima sebanyak RM200 sebagai insentif dan galakan kepada mereka meningkatkan kecemerlangan dalam bidang akademik. Bantuan ini dianggap sebagai satu pemberian yang tinggi nilainya,” katanya.
Sementara itu, pelajar tingkatan enam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunong, Wan Khairi Wan Mustafa, 19, berkata pemberian wang ihsan adalah suatu penghargaan kepada pelajar supaya berjaya dalam pelajaran.
Katanya, ini merupakan kali pertama semua pelajar tingkatan enam di negeri ini diberi keutamaan dalam mendapat agihan wang ihsan itu.
“Wang itu tidak akan dipersia-siakan dan akan digunakan sebaiknya untuk membeli bahan bacaan tambahan selain buku teks yang diterima menerusi Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT),” katanya.
Bagi pelajar keturunan Cina, Chia Soon Kit, 19, dari SMK Dato’ Perdana, pengagihan wang ihsan itu merupakan satu pembelaan kepada penerimanya dan ia sewajarnya dihargai.
“Pengagihan dibuat secara adil dan mengikut ketetapan yang telah diputuskan oleh kerajaan iaitu tanpa mengira bangsa serta keturunan,” katanya.
Seorang lagi penerima, Cheng Siaw Tin, 19, pelajar SMK Long Yunus berketurunan kacukan Siam dan Cina berkata, agihan wang ihsan itu dapat meringankan bebanan kewangan yang terpaksa ditanggung oleh ibu bapanya.
“Sebagai anak petani saya berterima kasih dan bersyukur di atas pemberian wang ihsan itu dan ia akan menyuntik semangat saya untuk meningkatkan usaha mencapai kemajuan dalam pelajaran,” katanya.
Dia turut menyifatkan pengagihan wang ihsan itu selari dengan aspirasi negara untuk melahirkan rakyat yang berilmu dan meningkatkan tahap keintelektualan secara menyeluruh.
“Ini terbukti apabila pelajar dan aspek pendidikan lebih diberi keutamaan. pelajar miskin dibantu. Pelajar yang menghidapi penyakit kronik dibela dan pelajar yang berjaya menyambung pengajian ke institusi pengajian tinggi turut dijanjikan insentif yang sama,” katanya.

Hanya 13 hotel sah halal







SHAH ALAM 11 Ogos – Hanya 13 hotel di Selangor telah mendapat pengesahan halal dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Sehubungan itu, Pengarah JAIS, Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata, umat Islam di Selangor diingatkan supaya sensitif dengan status halal hidangan berbuka puasa sepanjang bulan Ramadan ini terutama jika berbuka di hotel.
Beliau berkata, hanya hotel yang dapurnya telah disahkan halal oleh JAIS dan Jakim boleh diyakini bebas daripada penggunaan bahan-bahan mentah yang tidak halal dan meragukan serta jaminan kebersihan penyediaan dan pengendalian mengikut hukum syarak.
‘‘Sebahagian besar hotel-hotel memaparkan tag line Buffet Ramadan atau seumpamanya, seolah-olah menghalalkannya secara automatik kerana situasi Ramadan dan umat Islam.
‘‘Hakikatnya Buffet Ramadan atau seumpamanya ini tidak dapat memberi apa-apa jaminan terhadap status halal seperti dituntut oleh hukum syarak dan pematuhan kepada keperluan-keperluan lainnya,” kata beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Menurut Mohammed Khusrin, biar pun penyediaan makanan di hotel menggunakan bahan mentah yang disahkan halal, masih banyak potensi bagi berlakunya pelbagai bentuk pencemaran unsur-unsur tidak halal secara langsung mahupun tidak langsung khususnya dalam aspek pengendalian dan penyediaan makanan.
Lebih malang katanya, apabila ia turut melibatkan unsur-unsur yang menjadi penyebab kepada masalah kesihatan jangka pendek dan jangka panjang.
‘‘Peningkatan budaya umat Islam berbuka puasa di hotel semasa bulan Ramadan berbanding hari-hari biasa menyebabkan beberapa hotel yang tidak mempunyai sumber guna tenaga dan prasarana lengkap akan mencari jalan bagi meningkatkan persediaan dan permintaan dengan kos yang minimum.
‘‘Berdasarkan beberapa petunjuk yang wujud serta pengalaman lalu, dijangkakan ada pihak hotel bakal memanipulasi bulan mulia ini sepenuhnya untuk mengaut keuntungan tanpa ada rasa tanggungjawab kepada penunaian hak mendapatkan hidangan yang halal dan bersih kepada umat Islam,” ujarnya.
Oleh itu katanya, logo halal yang diguna pakai dan dipamer di hotel dan restoran harus diteliti agar umat Islam tidak tertipu dengan penggunaan logo palsu.

Senarai hitam ditarik balik





PUTRAJAYA 11 Ogos - Kabinet bersetuju menarik balik langkah menyenaraihitamkan kenderaan buat sementara waktu bermula hari ini hingga 28 Februari tahun depan.
Ini bermakna, mereka yang dikenakan notis saman boleh membayar secara penuh atau ansuran dalam tempoh kelonggaran tersebut.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, Jemaah Menteri mengambil keputusan itu setelah mengambil kira dan mempertimbangkan aduan, rayuan serta rungutan orang ramai mengenai tindakan senaraihitamkan kenderaan.
Menurutnya, tindakan tersebut diambil bagi memberi kelonggaran kepada orang ramai sempena ketibaan musim perayaan yang bakal tiba termasuk Hari Raya Aidilfitri, Deepavali, Krismas serta Tahun Baru Cina.
"Bagaimanapun pesalah perlu membayar jumlah saman secara penuh dan tidak akan diberikan sebarang diskaun untuk kesalahan yang dilakukan.
"Pada masa sama, bagi kenderaan yang telah disenaraihitamkan sebelum keputusan Kabinet ini dibuat, mereka tetap perlu menjelaskan semua notis saman sedia ada dan tidak akan dihapus kira," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet kementerian di sini hari ini.
Sementara itu, Chong Ha memberitahu, tindakan menyenaraihitamkan kenderaan akan dilakukan semula selepas 28 Februari 2011.
"Kalau individu yang dikenakan saman ini membayar pada tempoh kelonggaran ini, mereka tidak akan dikenakan demerit,'' katanya.
Beliau menambah, maklumat terperinci mengenai sistem penyenaraian hitam kenderaan akan diberitahu dalam masa sehari dua lagi.

Jangan tinggal anak dalam kereta



KUALA LUMPUR 11 Ogos – Ibu bapa perlu mengambil berat aspek penjagaan anak-anak dengan tidak memberi ruang dan peluang kepada penjenayah untuk melakukan perlakuan yang boleh mengancam keselamatan anak-anak mereka.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin berkata, ibu bapa perlu memainkan peranan tersebut supaya sebarang bentuk jenayah membabitkan kanak-kanak dapat dibanteras.
“Penjenayah sering mencari ruang bagi melakukan jenayah walaupun dalam tempoh yang singkat dan tidak mustahil mereka mempunyai pelbagai motif bagi melakukannya.
“Pada awalnya, mungkin niat penjenayah ingin merompak atau mencuri tetapi terdapat peluang lain seperti kanak-kanak berada di dalam kenderaan atau rumah yang terlibat menyebabkan penjenayah cenderung untuk menculik pula,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pasangan ibu bapa yang berjaya menggagalkan niat sekumpulan empat lelaki yang menaiki sebuah kereta jenis Toyota Harrier semalam untuk melakukan cubaan menculik salah seorang anak perempuan mereka yang berusia 11 tahun.
Dalam pada itu Mohd. Bakri mengingatkan ibu bapa supaya jangan sekali-kali meninggalkan anak mereka walau hanya seketika di dalam kenderaan.
‘‘Ini kerana ia tetap memberi ruang kepada penjenayah melakukan kegiatan jenayah seperti culik, rogol dan bunuh,’’ katanya.
Bagi menangani jenayah membabitkan kanak-kanak, katanya, masyarakat juga perlu mempunyai sikap menjaga tepi kain orang lain untuk membantu pihak polis membasmi jenayah.
“Pihak polis amat mengalu-alukan aduan daripada orang ramai bagi membantu kita menjalankan tugas dan menangani masalah sosial dan jenayah di negara ini,” katanya.
Sementara itu, penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim berkata, terdapat tiga elemen berlakunya jenayah iaitu penjenayah, mangsa dan ruang yang diberi.
“Ibu bapa mampu mengelak berlakunya kejadian jenayah dengan mengecilkan risiko dan jangan memberi peluang yang boleh mendedahkan anak-anak sebagai mangsa kepada penjenayah.
“Jangan biarkan anak-anak berada di luar lingkungan pengawasan kita walaupun hanya seketika kerana ia mampu memberi ruang dan peluang berlakunya perkara yang kita tidak ingini,” katanya.
Katanya, kejadian culik juga boleh mendorong penjenayah melakukan kekerasan terhadap mangsa termasuk rogol.

Tindakan Kabinet keputusan bijak



KUALA LUMPUR 11 Ogos - Tindakan kerajaan menarik balik langkah menyenaraihitamkan kenderaan pesalah-pesalah trafik untuk sementara waktu adalah keputusan bijak dalam menangani isu tersebut.
Malah, tindakan itu juga menunjukkan kerajaan prihatin tentang desakan pelbagai pihak berhubung bebanan yang terpaksa ditanggung masyarakat apabila berdepan masalah nama disenaraihitam oleh pihak berkuasa.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, tindakan kerajaan yang dianggap bijak dan terbaik itu menunjukkan Pemuda UMNO berjaya dalam usahanya membantah saman ekor.
"Pemuda UMNO berterima kasih kepada kerajaan kerana bertindak balas terhadap bantahan yang disuarakan kami sebelum ini.
"Cuma kami berharap perkara ini dapat dimansuhkan selepas ini atau diganti dengan sistem lain yang lebih mesra pengguna," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas keputusan Kabinet yang bersetuju menarik balik tindakan menyenaraihitamkan kenderaan buat sementara waktu bermula hari ini hingga 28 Februari tahun depan.
Ini bermakna, mereka yang dikenakan notis saman boleh membayar secara penuh atau ansuran dalam tempoh kelonggaran tersebut.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, Jemaah Menteri mengambil keputusan itu setelah mengambil kira dan mempertimbangkan aduan, rayuan serta rungutan orang ramai mengenai tindakan senaraihitamkan kenderaan.
Sementara itu, Pengerusi kempen anti saman ekor (KASE), Datuk Mahfuz Omar menganggap pengumuman itu satu berita gembira buat kumpulannya yang berusaha untuk menghapuskan saman ekor.
"Ini satu berita baik, bagi saya suara kami telah didengari oleh kerajaan. Walaupun ia dilakukan untuk sementara waktu namun, pengumuman itu adalah berita gembira.
"Selepas ini kami akan meneruskan lagi KASE sehingga kerajaan menghapuskan saman ekor yang dilihat membebankan rakyat," katanya.
Beliau yang juga Naib Presiden Pas menambah, KASE menganggap tindakan menyenarai hitam pesalah trafik adalah bertentangan dengan perlembagaan negara.
Jelasnya, sepatutnya pesalah trafik dihadapkan ke mahkamah dahulu sebelum namanya disenaraihitam oleh polis atau Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)

Harga ayam naik mendadak





KUALA LUMPUR 11 Ogos - Para peniaga nampaknya tidak mengendahkan nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam perutusannya sempena kedatangan Ramadan semalam supaya tidak mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barangan dengan sewenang- wenangnya.
Ini terbukti apabila tinjauan yang dibuat di pasar seluruh negara hari ini mendapati berlaku kenaikan harga ayam antara 30 sen sehingga RM1.30 sekilogram (kg).
Di ALOR SETAR, harga ayam yang pada kebiasaannya sehingga serendah RM5.70 satu kg kini mencapai RM7 menyebabkan pengguna merungut.
''Baru-baru ini saya beli baru RM6.50, tapi hari ini naik mendadak kepada RM7. Saya minta pihak berkuasa buat pemantauan, jangan biar pengguna teraniaya," kata Saniah Ahmad, 42, ketika ditemui di Pasar Besar Alor Setar hari ini.
Sementara itu, peniaga yang ditemui pula mendakwa kenaikan harga ayam berpunca daripada pembekal.
''Saya tiada pilihan dan terpaksa menjual mengikut harga pasaran walaupun mahal," kata Abdul Shukur Darus, 30.
Pengarah Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kedah, Salleh Ma'amor yang dihubungi berkata, buat masa ini harga ayam ditentukan oleh pasaran.
''KPDNKK menjangka harga ayam akan mengalami kenaikan sehingga RM1 satu kg menjelang Ramadan. Bagaimanapun dua minggu menjelang Aidilfitri, ayam akan dijadikan barang kawalan dan harganya akan terkawal," katanya.
Di KOTA BHARU, harga ayam di Pasar Siti Khadijah dilaporkan telah dinaikkan sebanyak 40 sen sejak dua hari lalu iaitu menjelang umat Islam berpuasa dan kini dijual pada harga RM7 satu kg.
Tinjauan Utusan Malaysia hari ini mendapati, beberapa peniaga mengakui kenaikan tersebut dibuat semata-mata kerana ketibaan Ramadan.
Seorang peniaga, Alimah Abdul Latif, 52, berkata, sebelum ini dia menjual ayam RM6.60 satu kg dengan harga daripada pemborong ialah sebanyak RM6.30.
''Tetapi dua tiga hari lalu, pemborong naikkan harga ayam kepada RM6.60, kami sebagai peniaga pun terpaksalah menjual lebih tinggi kalau tidak, tiada untung," katanya.
Di PULAU PINANG, tinjauan di Pasar Taman Tun Sardon dan Pasar Bayan Baru mendapati berlaku kenaikan harga ayam sebanyak 30 sen.
Ayam yang sebelum ini dijual pada harga RM7.20 satu kg telah dinaikkan kepada RM7.50 pada hari ini.
Di SEREMBAN, Pengarah KPDNKK negeri, Norashiken Ishak berkata, harga tertinggi bagi satu kg ayam yang siap diproses hari ini adalah RM7.50 berikutan berlakunya permintaan tinggi pada musim perayaan ini.
Kenaikan sehingga 30 sen berbanding harga sebelum ini masih berada dalam paras siling antara RM5 hingga RM7.50 satu kg.
Tinjauan di beberapa pasar di Seremban menunjukkan akibat pengaruh bulan Ramadan dan menjelang perayaan Aidilfitri kelak, ada kecenderungan peniaga menaikkan harga ke paras maksimum yang dibolehkan iaitu RM7.50 satu kg.
Di MELAKA, Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK negeri, Abd. Hafidz A. Rahim berkata, semua peniaga masih mematuhi arahan dengan menjual ayam pada harga antara RM6.90 hingga RM7.20 satu kg.
Menurutnya, berdasarkan pemantauan penguat kuasa sejak semalam mendapati tidak ada laporan berkaitan peniaga menaikkan harga ayam sewenang-wenangnya.
Di KUANTAN, harga ayam juga masih terkawal apabila ia dijual pada harga biasa iaitu antara RM6.90 hingga RM7.50 sekilogram.
Tinjauan Utusan Malaysia ke Pasar Besar Kuantan hari ini mendapati tidak berlaku kenaikan ketara oleh peniaga ayam di premis berkenaan.
Sementara itu, Pengarah KPDNKK Pahang, Mohd. A. Aruwan Ab. Aziz ketika dihubungi memberitahu, hampir semua kedai runcit dan pasar raya di negeri itu masih menjual ayam pada harga biasa.
Di JOHOR BAHRU, pemantauan di beberapa pasar di negeri itu mendapati ayam masih kekal dijual pada harga antara RM6.60 dan RM7 satu kg dan tiada sebarang kenaikan yang dilaporkan.

Derita mangsa banjir Tawau terus dapat perhatian



KOTA KINABALU 11 Ogos - Penderitaan 500 keluarga mangsa banjir kilat di Kampung Pasir Putih, Tawau terus mendapat perhatian kerajaan yang menghulurkan sumbangan RM100,000 melalui Tabung Bencana Bakti Desa.
Sumbangan disampaikan oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal kepada Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Abdul Ghapur Salleh dalam satu majlis di Tawau baru-baru ini.
Mohd. Shafie berkata, bantuan tersebut membuktikan kerajaan sentiasa prihatin atas musibah yang berlaku ke atas rakyat di negara ini tanpa mengira kaum.
''Pegawai kementerian saya juga telah membuat tinjauan dan memberi laporan mengenai kerosakan dan kerugian yang dialami oleh penduduk kampung berkenaan.
''Dalam laporan dan gambar yang diberikan, amat memilukan di mana keadaan paras air sampai ke atas rumah dan amat membimbangkan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Pada 29 Julai lalu, kira-kira 500 buah rumah di Kampung Pasir Putih, Tawau rosak apabila dilanda banjir kilat ekoran hujan lebat yang berterusan selama dua hari.
Kejadian tersebut turut menyebabkan dua buah rumah musnah dibawa arus dan berpuluh-puluh kenderaan rosak.
Mohd. Shafie berkata, beliau sudah meminta Ghapur meneliti keperluan yang diperlukan rakyat di kawasan berkenaan untuk dikemukakan kepada kerajaan Pusat.
Sementara itu, mengulas mengenai tanah runtuh di Kilometer 42 Jalan Tawau-Semporna, Mohd. Shafie berkata, kerja baik-pulih jalan itu perlu dilakukan segera memandangkan jalan berkenaan adalah laluan utama ke Semporna, Kunak, Lahad Datu, Sandakan dan Kota Kinabalu.
Katanya, kelewatan memperbaiki jalan itu akan menjejaskan perhubungan beberapa daerah dan menimbulkan masalah jika berlaku kecemasan.
''Saya akan membawa perkara ini kepada Kementerian Kerja Raya di peringkat pusat untuk mengambil tindakan segera," katanya.
Beliau berkata, kerja-kerja pembaikan sementara jalan itu akan memakan masa dua hingga tiga minggu untuk siap.

Lelaki kudung rayu bantuan



JAMALUDDIN Omar menunjukkan ikan keli peliharaannya yang sedia untuk dipasarkan ketika ditemui di rumahnya di Kampung Permatang Rawa Kepala Batas, Pulau Pinang, semalam.


KEPALA BATAS 11 Ogos - Seorang lelaki, Jamaluddin Omar, 37, merayu keprihatinan pihak berwajib untuk menghulurkan bantuan selepas hilang mata pencarian sebagai nelayan apabila kaki kanannya terpaksa dipotong, dua tahun lalu.
Kaki kanannya itu dipotong sehingga paras paha akibat penyakit kencing manis dan kini beliau hanya bergantung kepada tongkat untuk bergerak selain menggunakan kerusi roda yang dipinjam daripada jirannya.
Menurut Jamaluddin, selama lapan bulan beliau hanya terlantar di rumahnya di Kampung Permatang Rawa dekat Kuala Muda di sini tanpa mampu bergerak untuk mencari rezeki.
"Mujurlah saya mendapat bantuan melalui projek Bumi Hijau oleh Jabatan Perikanan untuk mengusahakan ternakan ikan keli dalam sangkar pada November lalu.
"Namun ia tidak mencukupi kerana mereka hanya menyediakan peralatan seperti tong dan paip manakala saya perlu keluarkan modal sendiri untuk membeli anak ikan serta makanan," kata anak ketiga daripada tujuh beradik.
Jelasnya, beliau terpaksa mengeluarkan RM275 setiap bulan untuk membeli keperluan ternakan seperti makanan ikan.
Oleh itu, Jamaluddin merayu sumbangan pihak berkaitan untuk membeli sebuah motosikal roda tiga yang akan digunakan untuk berniaga ikan dan sayur di sekitar kawasan itu.
Selain itu katanya, pada masa sama beliau ingin mengembangkan lagi ternakan ikan keli yang ada kerana kini hanya enam sangkar yang mampu diusahakan.
"Sepatutnya saya yang menyara keluarga selepas abang dan kakak berkahwin serta memiliki keluarga sendiri namun keadaan menyukarkan saya untuk bergerak.
"Kini kami sekeluarga hanya mengharapkan adik, Ismail, yang bekerja sebagai nelayan selain Ali yang bekerja kilang di Butterworth," ujarnya yang mendapat bantuan sebanyak RM150 sebulan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat sejak lima bulan lalu.
Bagaimanapun katanya, nasib Ali juga tidak baik kerana turut memerlukan bantuan selepas tiga jari kanannya putus ekoran kemalangan di tempat kerja awal tahun lalu.
Bapanya juga tidak mampu bekerja kerana uzur akibat menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi dan jantung selain jari kakinya terpaksa dipotong beberapa tahun lalu.
Dua lagi adiknya iaitu Nornasriah, 22, kini bertugas sebagai juruwang di plaza tol manakala adik bongsu, Nasriah, 20, masih belajar di sebuah pusat latihan kemahiran di Melaka.
"Saya harap ada pihak yang sudi tampil membantu saya agar kehidupan keluarga saya dapat dibela dan mengubah nasib kami sekeluarga," katanya.