Showing posts with label gelap. Show all posts
Showing posts with label gelap. Show all posts

Saturday, September 10, 2011

5 juta penduduk California bergelap




Bandar Raya San Diego bergelap berikutan bekalan elektrik terputus, semalam. - REUTERS


SAN DIEGO 9 Sept. - Lebih lima juta penduduk di California Selatan dan sebahagian Arizona serta Mexico semalam ‘bergelap’ selepas bekalan elektrik ke kawasan berkenaan terputus, kata syarikat San Diego Gas and Electric.
Operator grid kuasa California berkata, keadaan itu berlaku selepas kabel kuasa tinggi yang membekalkan elektrik dari Arizona ke California Selatan terputus.
Lapangan Terbang Antarabangsa San Diego membatalkan semua penerbangan, manakala lalu lintas menjadi sesak selepas lampu isyarat tidak berfungsi.
Penduduk juga melahirkan rasa marah dan berlaku kekeliruan di laman web Twitter, terperangkap dalam lif selain alat penghawa dingin tidak berfungsi.
Syarikat San Diego Gas dan Electric dalam Twitter berkata, 1.4 juta pelanggan syarikat itu mengalami bekalan elektrik terputis, manakala syarikat Southern California Edison menyatakan keadaan itu memaksa pihaknya menutup dua unit loji tenaga nuklear.
Syarikat kemudahan awam Arizona melaporkan kira-kira 56,000 penduduk kawasan itu terputus bekalan elektrik sejak pukul 3.40 petang waktu tempatan.
Seorang Profesor Universiti San Diego, Alan Gin berkata, lampu isyarat dan stesen minyak di San Diego tidak beroperasi manakala liputan telefon bimbit terjejas teruk.
Syarikat-syarikat kemudahan awam San Diego memberi amaran bekalan elektrik tidak dapat dipulihkan dalam tempoh yang singkat.
‘‘Bersedia untuk tinggal di rumah tanpa bekalan elektrik,’’ ujar syarikat Sempra kepada pelanggan,
Keadaan itu turut dialami oleh Baja California Utara, Mexico sejak petang. – Agensi

Thursday, November 25, 2010

Tiada lampu jalan



Oleh Hafizzul Mohamad 

2010/11/25

Penduduk FELDA Bersia hidup ‘bergelap’ sejak 50 tahun lalu

GRIK: Penduduk perkampungan FELDA Bersia, di sini kini bimbang untuk keluar pada waktu malam berikutan jalan masuk ke penempatan itu yang jaraknya kira-kira dua kilometer dari jalan besar, begitu gelap berikutan ketiadaan lampu jalan. 

Selain boleh menyebabkan kemalangan kepada pengguna laluan terbabit, suasana gelap pada waktu malam itu juga boleh mengundang kejadian tidak diingini lain, termasuk ancaman jenayah jika tidak berhati-hati.
Wakil penduduk, Abdul Malek Mohammad Basiron, 38, berkata masalah ketiadaan lampu jalan ke penempatan itu sejak ia dibuka kira-kira 50 tahun lalu, mengakibatkan penduduk sering mengalami kesukaran untuk keluar masuk ke kawasan itu pada waktu malam.
Katanya, walaupun jalan masuk ke sini bertar cantik, namun disebabkan tiada lampu jalan di situ, beberapa kemalangan berlaku di laluan terbabit, khususnya di kalangan penunggang basikal dan motosikal. 

“Walaupun kawasan penempatan penduduk diterangi jalan, tetapi disebabkan jalan masuk ke situ yang gelap dan sunyi membuatkan penduduk dirundung ketakutan dan kebimbangan untuk menggunakan jalan itu pada waktu malam,” katanya. 

Shamsul Annuar Amir Hamzah, 35, pula berkata dia sering berpesan kepada adiknya supaya tidak keluar ke bandar Grik pada waktu malam kerana bimbang sesuatu buruk. 

“Keadaan jalan masuk ke FELDA Bersia ini pada waktu malam terlalu gelap. Saya sendiri tidak berani untuk keluar memandu, apatah lagi menunggang motosikal sesuka hati. 
“Semua urusan di bandar Grik akan cuba selesaikan pada waktu siang dan apabila sudah berada di rumah, saya tidak akan keluar lagi,” katanya. 

Tinjauan Berita Harian ke kawasan itu mendapati hanya beberapa batang lampu jalan diletakkan di luar simpang masuk ke kawasan FELDA itu, manakala sepanjang kira-kira dua kilometer jalan masuk ke penempatan itu tiada satu pun lampu jalan disediakan di situ. 

Seorang lagi penduduk tempatan, Umi Kalthom Mohammad Yunos, 42, mendakwa adik perempuannya pernah cuba disamun ketika pulang dari tempat kerjanya dengan menunggang motosikal pada waktu malam. 

“Adik perempuan saya nyaris menjadi mangsa samun selepas motosikalnya dihadang oleh sebuah motosikal lain ketika pulang dari pejabatnya di pekan Grik. Dia terselamat, namun dompetnya lesap dibawa lari penjahat pada kejadian itu. Adik saya tidak dapat mengecam wajah penjahat itu kerana keadaan gelap,” katanya. 

Beliau berharap, masalah ketiadaan lampu jalan itu akan segera berakhir menjelang tahun baru nanti, sekali gus memberi keselesaan kepada penduduk FELDA Bersia yang selama ini dilanda kebimbangan untuk keluar waktu malam. 

“Semoga pihak berwajib segera memasang lampu jalan yang diminta oleh penduduk supaya kami dapat melakukan sebarang aktiviti pada waktu malam selepas hidup dalam ‘kegelapan’ sejak bertahun lamanya,” katanya. 

FELDA Bersia mula dibuka 1960 dengan penempatan awal peneroka ialah pada 1963. Nama FELDA Bersia dikatakan berasal daripada nama kampung asalnya Bersia Lama iaitu sebuah kampung tradisional yang paling hampir dengan FELDA berkenaan.